Showing posts with label fudzail. Show all posts
Showing posts with label fudzail. Show all posts

15 March 2011

FUDZAIL-CERPEN INTERKOK

(Kok Yangoat..bila aku punya turn nak berkok-kok darrr)

Cerpen : InterKok *

Oleh Mohd. Fudzail Mohd. Nor

1. Kok Zumma

Semua ini adalah dari perbualan yang didengari dan pengalaman secara langsung. Bukan dari laman WikiLeaks mahupun mana-mana blog. Bukan dari pihak ketiga. Boleh dikelaskan sebagai prima facie. Segalanya adalah kebetulan. Sesuatu yang ditakdirkan akan berlaku. Sesuatu yang tidak dapat dielakkan dari merempuh kehidupan tidak harmoni satu keluarga kelas menengah di kota raya.

Bukan keluarga 69 yang lucu dan sinis. Bukan keluarga Kennedy yang menjadi keluarga "diraja" di Amerika. Bukan keluarga elit di kalangan senarai orang paling kaya. Bukan mana-mana kerabat yang glamor.

Sekadar sebuah keluarga yang tiba-tiba menjadi sebahagian dari perjalanan demokrasi. Mungkin satu teater yang tidak semena-mena menjadi pecah panggung kerana lebih hebat dari drama bersiri Korea dan Indonesia di TV.

Begitulah yang terjadi diluar jangkaan. Fakta lebih aneh dari fiksyen. Fiksyen pun tidak sehebat fakta kerana kehidupan adalah sebuah teater yang penuh dengan luar jangkaan dan kadang-kadang lebih tidak logik. Dan dia, ditakdirkan menjadi sebahagian dari konflik keluarga yang turut mempengaruhi ramai manusia marhaen.

"Saya mempunyai bukti semua salah laku Kok Zamin, abang kandung yang tidak mengaku saya sebagai adiknya sendiri kerana kepentingan politik dan mempertahankan mentor yang bertaraf dajal."

Suara Kok Zumma memecah suasana. Bergetar dengan nada kemarahan. Wajahnya memaparkan kebencian. Melepaskan segala yang menjadi lava dari gunung berapi dalam gua dirinya. Dengan usia empat puluhan dan masih sahaja belum berkahwin, masih anak dara, Kok Zumma cuba menonjolkan sedikit kegedikan aura wanita anggun. Keinginan untuk menjadi wanita pertama negara sudah lama terbenam, dan sisa-sisa impian masih terpancar dari gaya pembawaan, berpakaian jenama dan designer label mengerlap-ngerlip. Itulah dia, wanita berani yang perasan bertaraf mujahidah agung abad ini.

"Kok Zamin bukan sahaja menjadi alat kepada Sheikh Kok, alat politik, kadang-kadang alat melepaskan nafsu serakah, malah isterinya juga sebahagian dari pakej konspirasi terhebat abad ini. Mereka adalah pengkhianat bangsa yang boleh menjahanamkan negara kalau berkuasa!"

Kok Zumma sudah tidak boleh bersembunyi lagi. Mahu melepaskan semuanya dari dalam kelambu ke dalam seluar dalam. Cerita sensasi yang boleh menjadi tajuk besar di mana-mana tabloid dunia. Cukup sensasi sehingga boleh melariskan jualan mana-mana tabloid, apalagi dengan wajah Kok Zumma yang kadang-kadang menjadi ludahan para mereka yang tidak faham perjuangan sucinya.

Para wartawan yang hadir berkelip- kelip mendengar pembocoran rahsia selanjutnya dalam sebuah keluarga yang seakan siri Simpson. Cuma bezanya berkisar pada adik beradik yang berlainan arah dalam semua segi dan hala tuju. Hatta dalam membicarakan sesuatu yang berkaitan dengan hal-hal rahsia keluarga.

Maka Kok Zumma terasa lega, amat berpuas hati di sidang media yang menjadi lebih sensasi kerana bukan sahaja pelbagai dokumen di paparkan, malah segala carut marut yang dilontarkan sesama adik beradik.

"Saya tidak akan berhenti memperjuangkan kebenaran selagi Kok Zamin dan mentornya Sheikh Kok terus memperdaya bangsa, terus hidup dalam pembohongan dan penipuan. Mereka adalah munafik yang mesti ditentang habis-habisan, selagi nyawa bernafas, saya akan terus membongkar amalan luar tabie para pengkhianat ini!"

Bergema suara Kok Zumma mengakhiri sidang media tergempar di sebuah hotel lima bintang.

"Untuk maklumat lanjut, terkni dan sensasi, sila ikuti Twitter, Facebook, Youtube dan blog saya!"

Para wakil media terus menggempur dengan pelbagai soalan. Kok Zumma terus juga melayan kerana peluang untuk muncul di semua media perdana adalah promosi dan publisiti yang boleh membawa banyak bisnes baru. Kalau tidak musuh atau peminat baru.

Kok Zumma bertukar menjadi mata mesra sehingga setiap yang hadir mula merasakan dialah wanita luar biasa dekad ini yang mesti diberi sokongan kerana dialah penyelamat agama, bangsa dan negara dari konspirasi setan anggota lain keluarga Kok.

2. Kok Zawan

Katanya tidak mahu jadi stereotaip. Dia telah banyak melakukan perkara-perkara yang luar biasa dalam dunia hiburan. Misi dan visi dalam perjuangan yang membawa dia ke persada pentas dunia hiburan bertaraf nasional. Walau masih tidak ke mana-mana untuk ke peringkat asia tenggara, Kok Zawan tahu yang dengan apa yang telah dilakukan, dia sepatutnya telah lama bergelar datuk. Walau mungkin dianugerah datuk paling rendah dalam kelasnya, Kok Zawan tahu yang dia adalah material seorang datuk.

Semua orang tahu yang dia berani begitu meneroka dimensi baru dalam persembahan TV realiti. Kepopularan yang memungkinkan dia boleh dianggap satu ikon dan idola semasa. Keceluparannya dalam memberi komen, melebihi taraf Simon Cowell dalam program American Idol.

"Sundal!"

Sepatah komen Kok Zawan melalui Twitter.

Pelbagai komen menerpa dari sepatah kata yang sudah sinonim dengan lenggok bahasa Kok Zawan. Itulah Kok Zawan. Celuparnya sudah bertaraf antarabangsa. Komen-komen yang berisi makin hamun, carut marut dan lucah menjadikan dia lebih popular. Suka atau benci, itulah Kok Zawan, penghibur superstar.

Siapakah yang sundal?

"Kakak aku!" Jawab Kok Zawan selamba di sebuah pusat karaoke eksklusif untuk para jantan istimewa sahaja, seperti yang diiklankan.

"Kau cakap kakak kau Kok Zumma itu sundal?" Tanya teman baiknya, Kok Zanil. Keduanya kadang jadi seteru, bergaduh di TV, Twitter, blog dan dalam drama yang mereka terbitkan bersama. Bermaafan di program hari raya dan sambung bergaduh sebagai promosi yang sensasi. Itulah publisiti terbaik untuk meramaikan penonton dan menaikkan rating. Penaja berebut-rebut dan mereka jadi jutawan sebagai idola remaja masa kini dan boleh meminta bayaran setimpal di mana-mana pertunjukan, sama ada untuk amal atau untuk kaut untung semata-mata.

"Sundal kelas pertama, buat malu bangsa mahu saman adik beradik berbilion ringgit!"

Kok Zawan dengan kegedikan bercakap dengan tangan berpusing lembut. Dia pernah berkali-kali berlakon sebagai mak nyah dan tidak pernah menafikan yang dia adalah seorang mak nyah. Dia bangga sebagai mak nyah kerana baginya, utuk apa jadi hipokrit, jadi munafik dalam dunia yang terbuka. Tidak perlu bersembunyi dengan berlakon seperti orang biasa.

Lagipun dia sudah bertaraf ikon dan idola nasional, menjadi ikutan ribuan anak-anak muda yang dahagakan mentor dalam dunia globalisasi dan penuh dengan saingan produk import. Siapa tidak kenal Kok Zawan dan Kok Zanil sebagai tokoh penghibur dan budaya.

Bak pendekan ciri-ciri komputer, WYSIWYG, iaiatu What You See is What You Get!

"Semua itu adalah lakonan semata-mata. Badan sendiri penuh najis jijik, lesbian tak guna. Mahu bisnes lah itu. Selepas lama senyap sebab kenyang dengan projek, tiba-tiba kembali dengan modal sama, jatuh miskin apa! Memang sundal!"

Sambung Kok Zawan sambil matanya sesekali menjeling ke skrin TV yang menyiarkan protes rakyat Mesir. Dia pernah menyokong Hosni Mubarak kerana katanya pemimpin diktator kadang lebih baik dari demokrasi. Pendapat yang dia tidak pernah tarik balik walau jutaan rakyat Mesir bangkit memprotes berhari-hari di Dataran Tahrir, setelah 30 tahun bawah rejim diktator.

Kaki rasuah

"Tidak betul ke tuduhan Kok Zumma pada abang kau si Kok Zamin itu? Malah dahulu kau sokong Kok Zumma? Habis-habisan kau membantai Kok Zamin dan Sheikh Kok sebagai kaki rasuah, malah teroris!"

Kok Zawan tergelak. Kemudian terkekeh sendiri, seperti lakonan mak nyahnya walau pernah mengaku jantan sebenar yang belum mahu kahwin.

"Siapa kata aku ubah pendirian? Dahulu aku sokong Kok Zumma sebab masa itu memang aku rasa dia betul. Sekarang aku yakin dia tidak betul. Kenapa selepas berbelas tahun mahu tunjuk bukti-bukti baru. Apa bukti-bukti boleh direka-reka?"

Kok Zanil sama ketawa. Kedua-duanya saling berpelukan sambil menikmati jus. Memulakan sesi karaoke dengan lagu Maher Zain, MasyaAllah.

"Kok Zamin itu memang sah biseksual ke?"

Kok Zanil bertanya kembali dalam kesamaran bilik karaoke. Sesuatu yang tiba-tiba mengasak jiwa Kok Zanil kerana dia pernah berkahwin, sudah ada anak-anak sebelum mengenal dirinya yang sebenar. Jantan yang sukakan jantan. Kok Zanil teringat isteri Kok Zamin, kakak ipar Kok Zawan iaiatu Kok Zamzi yang berkawan baik dengan bekas isterinya. Dia pernah mengsyaki sesuatu kerana mereka kelihatan terlalu mesra. Walau tidak pernah terbukti, mungkin itulah proses usia yang penuh kekeliruan dalam kegawatan dunia material.

Kok Zawan menjeling manja. Menunjukkan wajah sedikit cemburu. Memang hatinya selalu cemburu dalam usia meningkat dan pelbagai pilihan yang ada di kalangan "ahli-ahli" muda persatuan sosial atas talian mereka yang semakin bercambah melalui Facebook.

Dan Kok Zanil segera mengusap rambut Kok Zawan yang didandan oleh seorang pendandan ternama. Yang sama-sama bertaraf jantan. Sama-sama menjadi sebahagian dari budaya semasa, jantan suka jantan. Trend abad ke 21 yang menjadikan kehidupan semakin meriah di sebuah negara majmuk dan menghampiri sebuah negara maju.

"Jangan kau nak goda abang aku itu, mentang-mentang dia bakal jadi pemimpin besar, apa kamu ada niat dan mahu jadi wanita pertama?"

Kok Zawan menampar-nampar Kok Zanil dalam suasana yang boleh menjadi sebahagian dari adegan sensasi filem pecah panggung, sebagai pasangan romantis yang serasi untuk siri komedi, Hantu Kok Zimah Kahwin Zombie!"

3. Kok Zamin

Dia telah hampir ke kemuncak hierarki politik parti. Kalau silap haribulan, boleh jadi ketua menteri. Begitulah yang berada di fikiran Kok Zamin sebaik disahkan sebagai timbalan presiden. Cuma, bila-bila masa sahaja mentor politiknya boleh masuk penjara kerana pelbagai pertuduhan di mahkamah dan luar mahkamah. Dari kes luar tabie, kes pengkhianat, kes perisik CIA, kes ejen Yahudi ke kes terorisme.

Begitupun, dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Politik adalah persepsi dan persepsi adalah penting. Semuanya tidak mustahil dalam politik. Dia tahu semua itu, dalam politik, matlamat menghalalkan cara dan cara tidak pernah terbatas. Sama ada halal, haram, sunat, makruh, harus mahupun melanggar undang-undang, selagi ada kemahuan, selagi itu ada ruang untuk manipulasi.

"Bagaimana dengan kemunculan semula Kok Zumma? Ada strategi baru?" Sheikh Kok perlahan bertanya di ruang pejabat parti.

"Selain Kok Zawan yang memberikan sedikit ruang untuk bernafas, kita terperangkap dengan strategi kitar semula musuh!"

Kok Zamin masih terdiam. Dia telah membayar saguhati pada Kok Zawan untuk membeli sokongan. Adik bongsu yang pernah berpatah arang. Berputus hubungan adik beradik kerana pegangan dan pendirian politik terlampau. Kafir mengkafir dan memurtadkan sesama bangsa.

Sheikh Kok dan Kok Zamin telah lama mengukir hubungan, seakan adik beradik. Apa sahaja milik Kok Zamin adalah milik Sheikh Kok, bak kata Kok Zumma, termasuk isteri.

"Semakin banyak yang terbongkar dan akan terbongkar, sama ada melalui WikiLeaks, pembocoran oleh mereka yang meninggalkan parti dan tentunya musuh-musuh itu yang tidak akan berdiam diri. Kita perlu strategi baru yang lebih efektif kerana mungkin ramai kalangan kepimpinan yang mula meragui perjuangan kita, terutama apabila kita tidak dapat lagi mempertahankan diri secara siber!"

Kok Zamin melepaskan suaranya. Dalam dirinya ada kekeliruan setelah melalui pelbagai kejutan dan pelbagai peristiwa semenjak bernaung bawah kepimpinan Sheikh Kok. Semenjak merasa kekuasaan dalam pemerintahan, disingkirkan dan mahu kembali menapak ke kekuasaan. Pahit getir, suka duka, pahit manis dan kekayaan yang dikumpul belum cukup selagi belum mencapai impian sang mentor, Sheikh Kok. Mereka sama-sama mahu ke kemuncak walau apa cara pun.

"Apa strategi baru? Mereka boleh kitar semula strategi, kenapa tidak kita?"

"Kita sudah masuk tahun 2011, abad baru, dasawarsa baru, banyak strategi sudah menjadi lapuk. Lihat warga Mesir dan Tunisia bangkit melalui jalinan sosial atas talian. Walau majoriti penyokong alternatif bersama kita, musuh ada pilihan lain dan mereka mungkin belajar dari apa yang telah berlaku untuk memastikan tidak berulang di sini!"

Kok Zamin tidak mahu meneruskan kata-kata kerana tidak mahu mengulang perbualan kitar semula. Dia ada sesuatu yang lebih besar dan penting mahu disampaikan.

"Saya baharu sahaja menerima maklumat terkini dari Kok Zawan!"

Suara tegas Kok Zamin menyebabkan Sheikh Kok tersentak dalam melihat kertas-kertas pertuduhan yang akan membawa dia kembali ke mahkamah, menyambung perbicaraan yang telah berjaya dilambat-lambatkan. Strategi yang berhasil untuk memastikan dia tidak kembali ke penjara, tidak kembali menjadi banduan. Sesuatu yang cuba dielakkan dalam usia semakin tua, walau dia tahu yang tidak boleh menang dan dibebaskan.

"Adik beradik kami, keluarga Kok yang lain telah kembali bersatu, kali ini selain saya dan Kok Zawan, semua akan menyokong Kok Zumma, mereka menerima bayaran jauh lebih tinggi dari yang kita tawarkan untuk menutup mulut!"

Suasana menjadi sepi dan menyeramkan seketika. Seakan ada latar muzik dari filem-filem seram tempatan. Latar muzik yang kadang-kadang tidak kena pada tempatnya.

Sheikh Kok menyandarkan diri, merenung jauh. Menembusi dinding. Debaran semakin kencang. Wajah semakin menghitam. Bayangan penjara dan kehilangan sokongan merempuh kewarasan. Walau tidak mahu membayangkannya, dia tahu yang waktunya semakin hampir untuk pilihan terakhir.

"Tidak bolehkah kita dapatkan dokumen-dokumen yang ada pada Kok Zumma dan bakar seperti mereka yang membakar Interlok?" Kok Zamin menggeleng.

"Semua dokumen rahsia kita telah diberikan kepada polis!"

Sheikh Kok pun menghela nafas. Percaturan politik, persepsi dan perang psiko serta pelbagai perancangan, sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang menemui jalan buntu. Berita mengenai semakin ramai ahli dan pengikut yang keluar dan belot sudah semakin kerap untuk terus dalam keadaan penafian dan berlakon yang tiada apa-apa berlaku.

"Gerakan opsyen terakhir kita!'

Kok Zamin mengangguk. Hanya mereka berdua tahu untuk bila terpaksa menekan butang kecemasan dan terjun paracut. Kalau perlu, tidak lagi boleh lari ke mana-mana kedutaan untuk perlindungan politik sebagai gimik yang pernah memberi simpati. Pembohongan sudah lama terbongkar dan kalau diulang boleh menjadi cerita humor yang tidak kelakar langsung.

Mereka perlu segera mencari jalan, seperti bekas presiden Tunisia Zainal Abidin Ali, atau Shah Iran, lari ke mana-mana negara yang sudi menerima dan memberi suaka politik. Perang sesama keluarga porak peranda Kok boleh menjahanamkan segala yang dirancang rapi bersama sahabat-sahabat dari Washington dan Tel Aviv. Bertahun-tahun merancang dan melaksana, akhirnya realiti menyambar dan memusnahkan impian sang mentor dan protege.

"Cis! Kita tewas dalam perang saraf InterKok!!

Mohd. Fudzail Md. Nor
Dubai
*Cerpen ini disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 13 Mac 2011. Bagi yang berminat dengan penulisan saudara Fudzail Md. Nor, sila layari www.fudzail.blogspot dan dapatkan cerpen terbaru beliau "Trilogi Aoteroa".

23 October 2010

LASYKAR SYUHADA

Salam 2 all.

Saya tertarik dengan cerpen bertajuk "Layskar Jihad" yang ditulis oleh sahabat saya Fudzail Mohd. Nor yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini. Ianya berkisar tentang kisah perjuangan di Gaza. Saya rasa cerita ini wajar dibaca sebagai satu pengajaran dan iktibar khususnya bagi bangsa Melayu beragama Islam.

Kebetulan semalam team "Viva Falastin" dari Malaysia yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan "LifeLine 5" gabungan 340 sukarelawan seluruh dunia membawa 137 kontena bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza, Falastin.

Saya dan saudara Fudzail juga kebetulan baru sahaja berada dibumi yang diberkati Gaza semasa kempen "Ramadhan di Gaza" baru-baru ini. Saya boleh merasai kegembiraan yang dilalui oleh para sukarelawan Viva Falastin yang berada di bumi Gaza bersama umat Falastin. Dan saya boleh bayang wajah-wajah ceria anak Falastian yang menyambut kedatangan konvoi tersebut. Insyallah jika tiada aral saya akan kembali ke Gaza selepas sidang Parlimen berakhir 15.12.2010 jika keadaan mengizinkan insyallah.

Diwaktu yang sama, bagi yang berminat membaca sendiri cerpen "Lasykar Syuhada", sila layari laman web www.fudzail.blogspot.com. Ada tawaran menarik bagi sesiapa yang membeli buku cerita "Trilogi Aoteroa" termasuk tiket penerbangan pergi-balik ke New Zealand, I-Pad dan banyak lagi. Buat pengetahuan, buku "Trilogi Aoteroa" akan dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia pada hari Selasa 02.11.2010 @ 3pm di Parlimen Malaysia. Jangan tak beli yop!

Adios amigos.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
14 ZulQaedah 1431
22 Okt 2010

###########################

LASYKAR JIHAD
Fudzail Md. Nor

Berita Harian Sabtu 23 Oktober 2010

(1)

KEEMPAT-EMPAT mereka bernafas kelegaan sebaik memboloskan diri dari terowong sepanjang 640 meter. Salah satu dari lebih 800 terowong di sempadan Rafah dan Gaza, terowong yang memisahkan dua dunia. Dalamnya empat meter, lebar satu meter, tinggi mencecah dua meter, cukup-cukup untuk memuatkan seorang demi seorang. Berjalan dalam kegelapan. Meraba-raba, terkadang, teraba punggung orang di depan. Berjalan perlahan, bernafas dalam kekurangan oksigen. Dalam dada berdebaran.

Apa sahaja boleh terjadi, termasuk pengeboman daripada serangan udara tentera Israel.

Datuk Ariffin terduduk dalam bangsal, mencari oksigen, meraba mencari rokok, tetapi teringat sudah berada pada bulan Ramadan. Ketiga-tiga yang lain, Datuk Rusdi, Datuk Mushil dan Datuk Imran sama terduduk di atas pasir. Awal subuh dan suhu masih rendah memberi kenyamanan dalam debaran jantung yang terus kencang.
“Fasa pertama misi sudah selesai!”

Mereka mengangguk. Menyeludup masuk ke Gaza mempunyai risiko besar. Tetapi destinasi itu bukan kebetulan. Mereka tahu dan tidak peduli. Semuanya sudah dirancang dengan teliti, sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Tiada jalan kembali.

Datuk Ariffin bangkit melihat keluar bangsal, memastikan tiada kelibat pihak penguatkuasa Palestin, apalagi tentera dan perisik Israel yang menjejak. Mata liar mencari petunjuk seperti yang telah dirancang. Ternampak sebuah kereta kuning cair parkir dalam 30 meter.
“Kenderaan yang ditempah sudah menanti!”

Mereka bergegas mengambil beg, berlari anak ke kereta.

“Kata laluan!” Pemandu berkumis, berkaca mata hitam bertanya.
“Angelina Jolie!”

Pemandu mengangguk sambil mata merenung wajah keempat mereka yang cuba kelihatan tenang. Cuba untuk menjadi macho dan hebat.

(2)

PERJALANAN dari Rafa ke bandar Gaza melalui kawasan kem pelarian yang kelihatan tidak teratur dengan bangunan seperti tidak siap. Keempat Datuk dengan satu misi bersama itu menatap pemandangan dengan penuh perhatian. Seperti dalam mimpi pula untuk berada di bumi bersejarah yang selama ini hanya diketahui dari media, buku-buku dan cerita-cerita.

“Ini bukan sahaja bumi anbia, tetapi juga bumi Musyrikin!”

Yasir, pemandu yang fasih berbahasa Inggeris itu menjadi pemandu pelancong yang baik.

“Kalau tiada orang jahat, tiada diturunkan nabi-nabi!”

Yasir menyambung cerita. Dari sejarah ribuan tahun ke situasi semasa. Seperti sahaja berada dalam dokumentari National Geoghrapic. Seketika, setelah berlegar di kawasan perumahan dan kedai-kedai, mereka menghampiri sempadan Israel.

“Tengok seberang tembok, di sana Israel, tanah kami yang dirampas sejak tahun 1948! Setiap hari melihat tanah yang dirampas, setiap hari yang tidak memudarkan semangat untuk kembali ke tanah kelahiran!”

Suara Yasir mendesir bersama-sama angin Mediterranean berhembusan. Suara yang melontar dendam dan keazaman. Wajahnya serius.

Datuk Ariffin, Datuk Imran, Datuk Rusdi dan Datuk Mushil mengangguk dengan wajah-wajah yang gusar. Kehadiran mereka ke bumi Gaza di bulan Ramadan bukan lagi satu mimpi, mereka benar-benar bernafas di ruang magis. Ruang yang membawa harapan berbunga dari satu misi kudus.

“Berapa lama kalian mahu berada di Gaza?” Yasir bertanya.

“Paling lama dalam dua minggu!” Jawab Datuk Mushil.

“Tidak menyambut Syawal di sini?”

“Kalau ada rezeki, mahu juga!” Datuk Imran pula menjawab.

“OK. Setelah tiba dan rehat di hotel, saya boleh bawa keliling Gaza, melihat kem-kem pelarian dan kita berbuka puasa di salah sebuah masjid dalam kem pelarian!”

Yasir mengatur jadual aktiviti, sesuatu yang tidak termasuk dalam pembayaran, tetapi cukup melegakan empat Datuk yang membawa pakaian cukup-cukup untuk seminggu.

(3)

MELIHAT kesan-kesan perang dan serangan rejim zionis yang ganas memang menginsafkan empat Datuk. Ada kalanya air mata mereka bergenangan melihat keadaan dhaif di khemah pelarian dan apabila bertemu dengan mereka yang cacat akibat serangan bom. Apalagi bertemu kanak-kanak pelarian yang kelihatan terbiar walau ceria dan berkumpul setiap kali melihat kedatangan mereka, ‘pelawat’ dari Malaysia, sebuah negara yang menjadi sebutan ramai kerana banyak membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak lama.

Sebaik solat Tarawih, mereka bersantai di kawasan pantai yang mula dipenuhi ramai warga Palestin. Meriah dengan manusia mengunjungi gerai makan yang menawarkan shisha dan tayangan filem percuma.

“Ada lebih 150 masjid yang musnah akibat pengeboman, manakala 300 yang lain rosak!”

Datuk Rusdi mengulang maklumat yang diterima. Sebagai seorang yang pernah menjadi pegawai kerajaan menjaga wang zakat dan masjid, dia mengira-ngira jumlah kos yang diperlukan untuk membina semula atau membaiki masjid-masjid tersebut. Sememangnya dia tahu wang zakat yang dikutip olehnya selama ini tidak semuanya sampai kepada yang berhak, malahan ada ketirisan dan digunakan untuk urusan lain, termasuk penyelewengan dalam bentuk hiburan seperti lawatan sambil belajar atas nama urusan rasmi. Walhal, tidak lebih untuk melancong secara percuma. Kekadang pelbagai perancangan dan tindakan dibuat atas nama agama pun tidak lebih sekadar menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan di kalangan pegawai.

“Masjid di Gaza ini semuanya ada kelas tahfiz, sudah puluhan ribu hafiz yang lahir. Nampaknya dalam keadaan seperti penjara ini, warga Palestin di Gaza tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan, bersedia untuk kembali ke tanah yang dirampas!”

Sambung Datuk Mushil sambil matanya sesekali meninjau wanita-wanita Palestin yang lalu lalang. Tidak dapat mengelak untuk mengagumi kecantikan mereka, apalagi buat seorang yang selama ini ada banyak skandal sebagai ketua pengarah sebuah stesen TV. Dikelilingi artis-artis glamor yang mahukan publisiti dan kemewahan hidup tanpa bekerja keras. Datuk Mushil selalu mengambil kesempatan tanpa mengira dosa pahala. Asalkan bahagia dan seronok melapah seorang demi seorang artis wanita, terutama yang baru mahu berkecimpung dalam dunia hiburan dengan impian ke persada sebagai penghibur popular, selain kalau-kalau bernasib baik disambar para Datuk yang mahu melengkapkan kuota poligami.

“Kamu perasan selama dua hari di sini, sudah keliling Gaza, kita belum bertemu seorang pun peminta sedekah. Walhal, majoriti hidup di bawah paras kemiskinan!”

Datuk Ariffin mencelah. Sebagai seorang ahli politik yang sekian lama hidup mewah di bawah kuasa politik yang mana matlamat menghalalkan cara, dia cukup arif dengan sikap ahli politik yang lebih kurang sahaja sikap, sebagai peminta sedekah, kalau tidak sebagai pencuri dan perompak wang rakyat. Malah kekadang ada kebenarannya yang ahli politik sama taraf dengan pelacur, sesuatu yang tidak dinafikan oleh Datuk Ariffin yang telah menggadai bukan sahaja maruah diri, malah bangsanya sendiri dengan bisnes atas angin dan ali baba. Menidakkan hak majoriti kerana dia termasuk golongan elit yang berkuasa.

“Betullah! Malah ada yang apabila kita mahu beri wang, menolak dan minta masukkan dalam tabung, untuk dikongsi bersama!” Datuk Imran melepaskan kata-kata sambil melihat jauh ke arah kerlipan lampu kapal-kapal. Sebagai seorang penyanyi rock veteran yang bukan sahaja glamor, pernah menjadi idola anak muda malahan hidup dalam berfoya-foya, Datuk Imran selalu mencari publisiti murahan dengan konsert amal dan aktiviti seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Semuanya sandiwara, apalagi pihak media terus memberatkan hiburan dengan menjadikan artis sebagai bahan pelaris, walhal, kebanyakan artis seperti Datuk Imran yang mendapat anugerah Datuk kerana jasa mencemarkan budaya dengan budaya rock dan hippie, tidak lebih sekadar gimik.
Hidup dalam kemungkaran, solat tidak tentu hala dan mabuk-mabuk. Lebih banyak membawa keburukan kepada masyarakat yang menjadikan hiburan sebagai pelengkap kehidupan setelah muak, jelak, mual dan benci dengan gelagat, suasana politik dan ahli politik yang tidak berhabisan berebut kuasa. Jatuh menjatuh dan fitnah menfitnah sesama sendiri terutama kalau dalam sidang Parlimen yang boleh menjadi sarkis dan zoo.

Maka dalam kemeriahan malam Ramadan di Gaza menyelubungi suasana, tetapi tidak pada keempat Datuk yang kelihatan serba kekeliruan. Masih dalam ketidakpastian walau sebelum ini bertekad dengan satu misi. Sanggup masuk secara haram ke Gaza kerana tidak mahu menunggu lama untuk visa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.

Misi yang diharapkan boleh mengubah satu destini dan destinasi kehidupan, setelah puluhan tahun bernafas dalam dosa, noda, pembohongan dan hipokrasi. Misi yang lahir dari satu sesi karaoke di pusat perjudian atas gunung setelah melihat dengan mata sendiri, seorang Tan Sri bertaraf bilionair mati sakit jantung di atas dada telanjang seorang GRO dari negeri China.

(4)

“KAMU tahu, abang saya adalah seorang syuhada. Dia menjadi pengebom berani mati yang berjaya membunuh 15 orang askar Zionis laknatullah di bandar Jericho!”
Keempat-empat Datuk segera tersedar mendengar cerita Yasir walau cukup mengantuk. Perjalanan selepas Zuhur ke kawasan khemah pelarian terbesar dan paling padat di dunia, Al-Jabaliah memang cukup menyeksakan kerana mata terpaksa dibuka luas. Tersengguk bersama cerita Yasir yang tiba-tiba terasa menyegarkan.

“Kamu tahu ini juga bermakna, saya boleh menjadi ahli syurga kerana setiap syuhada boleh memilih 70 orang untuk bersamanya ke dalam syurga!”

Mendengar perkataan syuhada dan ahli syurga menambahkan tarikan. Semua orang mahu masuk syurga walau ramai yang mencorakkan neraka dalam kehidupan seharian.

“Sebab itukah kamu memandu berbahaya,” Tanya Datuk Ariffin yang sejak lama mahu menegur cara Yasir memandu. Ciluk sana, ciluk sini. Kadangkala laju tidak bertempat dan memotong ikut suka hati, walau Yasir bukan pemandu unik di Gaza, sedikit sebanyak mencemaskan.

Yasir ketawa.

“Ya! Saya ada lesen ke jannah!”

“Tetapi kami belum ada, kamu boleh mati syahid, masuk jannah, kami boleh mati katak di Gaza ini dengan cara kamu memandu!”

Ujar Datuk Rusdi diikuti ketawa beramai-ramai. Teringat jumlah mereka yang mati nahas jalan raya terus meningkat di tanah air, biarpun kenderaan semakin canggih dan jalan raya semakin banyak.

“Bukankah kamu berempat datang ke Gaza ini untuk mati syahid?”

Tanya Yasir kembali, setelah lima hari, Yasir sudah seperti lama mengenali empat orang Melayu awal lima puluhan yang juga sudah tidak segan silu bercerita latar belakang masing-masing.

Membongkar satu misi untuk mati syahid kerana yakin taubat mereka sukar untuk diterima. Walau berkali ke umrah dan haji, masih terasa terlalu banyak dosa dan noda untuk dihapuskan. Terlalu banyak menganiaya orang. Menipu, menyeleweng, berzina, memberi dan menerima rasuah, hantar santau, malah merogol dan merancang pembunuhan kerana persaingan dan dendam. Taraf kejahatan melampau yang menyebabkan keempat-empat mereka yang pernah bergelar golongan elit Melayu Baru itu bertekad untuk menyusup ke Gaza, berdepan dengan rejim Zionis dan kalau bernasib baik, mati syahid. Terus ke syurga tanpa hisab. Boleh bawa 70 orang lain sama-sama ke syurga.

“Kamu ahli politik bukan?” Tanya Yasir kepada Datuk Ariffin yang mengangguk.

“Di bumi Palestin ini pun ramai ahli politik yang korup. Sebab itu kami memilih parti Hamas walau dianggap teroris kerana sudah muak, jelak dan benci dengan pemimpin Fatah berpuluh tahun memungkiri janji dan amanah. Sebab itu saya cakap di sini bukan sahaja bumi anbiya, malahan bumi Musyrikin. Sebab itu orang Palestin berterusan dizalimi, dilanyak Yahudi kerana pemimpin kami ada yang sudah dibeli, korup dan mementingkan perut semata-mata. Perjuangan keramat membebaskan Palestin hanya sandiwara semata-mata. Apalagi dunia Arab yang bersetongkol dengan Israel dan Amerika!”

Tersentuh hati Datuk Ariffin yang memang selama ini sekadar proksi kepada ahli-ahli perniagaan yang menggunakan beliau untuk manipulasi kontrak. Kekayaan yang dikumpul di bawah dasar politik kronisme. Berguni-guni, malahan kadang berlori-lori wang tunai yang disimpan hasil rasuah dan penyelewengan. Hidup mewah tetapi seperti bangkai kerana makan minum duit haram.

“Kamu bayangkan nanti, berapa ramai yang kamu mesti minta maaf setelah menyalahgunakan, menyelewengkan duit rakyat, duit zakat, duit derma, seperti ramai ahli politik Palestin yang mengagihkan sesama sendiri sewaktu berkuasa dan menidakkan hak-hak kami, terutama anak-anak yatim, anak-anak pejuang yang syahid dan anak-anak yang terus dalam kemiskinan walhal hasil negara dari dana derma cukup menampung perbelanjaan untuk menanggung mereka!”

Yasir terus melepaskan apa yang selama itu terbuku dalam diri, apalagi setelah mengetahui niat dan tujuan misi empat orang Melayu bertaraf Datuk di bulan Ramadan ke Gaza, tanah genting sekangkang kera yang tidak putus dengan konflik dan terus mengorbankan jiwa para syuhada hampir setiap hari.

“Di kawasan Jabaliyah ini selalu ada tentera Israel menyusup masuk untuk membunuh mereka yang dianggap teroris. Kamu tahulah, dikalangan kami pun ramai pengintip upahan Israel yang cari makan dengan beri maklumat, kekadang maklumat salah kerana dendam dan dengki!”

Yasir memberhentikan kereta menghala ke kawasan lapang. Diperbukitan adalah sempadan Israel. Ada tembok dinding sedang dibina.

“Nampak kereta kebal, kereta pacuan empat roda yang mengawasi sempadan?”

Keempat-empat Datuk memandang dan mengangguk. Berdebaran, begitu hampir dengan sempadan Israel yang memungkinkan apa sahaja. Tentera Israel boleh bertindak mengikut keputusan mereka kerana ‘keselamatan negara Israel’ lebih penting daripada segalanya.

“Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok kurma, pihak Israel musnahkan semua dan kini menjadi kawasan lapang untuk memudahkan mereka membolos masuk. Semua kilang yang pernah memenuhi kawasan ini dibom dan diratakan, meranapkan terus ekonomi Gaza!”

Suasana menjadi hening. Hembusan bayu menerojah minda yang diselaputi bayang-bayang.

“Kalian mahu mati syahid bukan?”

Tanya Yasir. Separuh serius, separuh berjenaka.

“Nampak kereta kebal Israel itu sedang mara ke sini?”

Terpaku keempat-empat Datuk. Debaran jantung membawa gelombang ke wajah.

“Bersedia untuk melontar dengan batu-batu seperti yang kami, terutama anak-anak kami lakukan, kalian baling sebaik kereta kebal itu masuk ke kawasan Palestin!”
Yasir memberi arahan, setelah lama berteori dengan pelbagai strategi, hari ke enam Ramadan yang cerah itu boleh merealisasikan satu misi empat Datuk Melayu sebagai Laskar Syuhada, ribuan kilometer dari tanah air dan keluarga yang sudah diwariskan harta dan wang jutaan ringgit dalam ASB, Tabung Haji, akaun bank Islam, yang semuanya dari hasil tidak halal.

Kalau mereka mati syahid, bukan sahaja ke syurga malah semuanya menjadi halal, begitulah fatwa yang mereka sama-sama rumuskan di malam terakhir berkaraoke sebelum Ramadan. Fatwa yang menjadi pegangan sebagai sandaran ke syurga. Fatwa yang membawa mereka ke genting Gaza.

Seketika dalam pandangan menerpa ke arah kereta kebal Israel yang seakan laju menghampiri, imej-imej kehidupan lima dekad mereka seakan terlontar ke layar yang memerangkap perasaan. Wajah-wajah mereka yang pernah dianiaya, dirasuah, difitnah, di jadikan kambing hitam mengejek-ngejek ke seluruh ruang.
Suara-suara menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah disalahgunakan berdengung, bergema, memekik-mekik ke seluruh pendengaran.

Tiba-tiba Datuk Ariffin terasa mual oleh perut memulas, Datuk Mushil pula berpinar oleh kecepatan jantung mengepam udara, Datuk Rusdi basah berpeluh-peluh kepanasan dan Datuk Imran seakan mahu terkencing. Segala-galanya begitu real sekali, tidak lagi sureal atau dalam sebuah mimpi. Sesaat yang mengerikan, mereka kini berdepan dengan tentera paling canggih dan kejam di dunia dan serentak, mereka yang lengkap berbaju raya Melayu dengan samping songket, secara spontan keluar dari kereta, berlari selaju mungkin untuk berpatah, menyusup keluar Gaza, ke terowong nun 50 kilometer di Rafah!

03 April 2010

FUDZAIL: PERTAMA KALI ITU

Salam 2 all.

Tengah-tengah dok relax sat pagi ni, terbaca pulak satu cerpen tulisan sahabat saya sdr Fudzail Mohd Noor (antara kami memanggil beliau dengan nama Fudz) yang disiarkan di akhbar Berita Harian hari ini Sabtu 18 Rabi'ul Akhir 1431/ 03 April 2010.

Ini adalah petikan daripada siri-siri cerpen beliau yang boleh didapati dalam novel bertajuk "Wainuiomata", sebuah koleksi novel menceritakan tentang pengalaman beliau semasa belajar di New Zealand. Kebetulan kami sama-sama belajar di New Zealand.

Wainuiomata adalah nama daerah tempat Fudz mengikuti pengajian A-Level, tak silap saya Wainuiomata High School. Bersama beliau disitu ialah Azmi Darlis (dengar cerita dah jadi orang besau kat Maybank).

Saya pula mengkuti A-Level di Pakuranga College, Bucklands Beach, Auckland. Kira-kira tempat elit lah jugak, tepi pantai Bandaraya Auckland. Saya senior sikit daripada Fudz and the gang, tapi sebab jumlah kitorang sikit sangat, jadi kamcing lah.

Jadi memang banyak pengalaman kami semasa disana. New Zealand ni negara adventure, penuh dengan peluang dan ruang. Tinggal untuk kita explore sahaja. Apatah lagi masa tu kami semua baru berumur lingkungan 18-19 tahun. Ligat satu macam.

Dalam ramai-ramai kami, Fudz yang paling pandai menulis. Dia lah penerbit pertama media kami, saya pun dah lupa nama suratkhabar tu. Dan Fudz ni paling rajin buat get-together, kerja kitorang makan saje..hehe. Saya dengar di Dubai oun dia buat benda yang sama, kira Tok Penghulu Dubai lah Fudz sekarang ni.

Anyway, saya lampirkan dibawah cerpen bertajuk "Pertama Kali Itu". Seronok membacanya kerana teringat first bungee jumping yang dibuat. Masa tu bungee jumping ni orang tak berapa tahu: Bungee jumping ni dia ikat kaki kita, kemudian kita melompat dari platform yang tinggi terjun kebawah hingga hampir mencecah sungai dibawah.

Masa terjun tu memang kepala kita dah hilang. Yang syok mase dia melantun tu, nak story pun tak guna yop, mike try sendiri. Memang syok gilerz.

So enjoy the reading. Dan jangan lupa beli buku "Dotkomania" tulisan Fudz, juga koleksi cerpen-cerpen beliau yang meang sangat menarik dan menghiburkan.

Adios amigos. Grasias.

Zulkifli Noordin
Sabtu
18 Rabi'ul Akhir 1431
03 April 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

PERTAMA KALI ITU
Fudzail Mohd. Nor

SUATU hari nanti, barangkali aku akan menoleh kembali pada satu hari musim luruh bulan April tahun 1983 dengan perasaan bercampur baur. Memori haru biru. Catatan pinggiran nostalgia yang tersimpan di sebuah cakera liut. Terutama kalau aku belum nyanyuk untuk bercerita sebuah biografi kepada anak-anak dan cucu-cucu. Kalau juga aku masih bernafas dan tidak dihantar ke rumah kebajikan orang-orang tua.Selagi serebrum, serebellum dan batang otak berfungsi untuk menyimpan jutaan memori, tidak akan aku lupakan satu hari yang mengubah perspektif mengenai apa yang dikatakan ‘fear’ atau ketakutan. Mengubah tanggapan mengenai faktor-faktor luaran yang selama ini ditakuti kerana ia tidak diketahui. Banyak perkara yang menakutkan. Bermula dari kegelapan. Hantu. Ular-ular. Ketinggian. Kegagalan. Mati. Masa depan.Ah! Juga cinta. Menakutkan kalau dalam prasangka dan pernah kegagalan. Aku mahu berdepan dengan ketakutan yang selalu menyebabkan aku mengundur. Tidak mengambil kesempatan dan membiarkan peluang berlalu begitu sahaha. Melihat hidup dari satu pandangan sehala. Jalan yang selamat, sudah terbiasa dan diketahui tidak akan menggagalkan. Mahu membuat pelbagai advencer, tetapi sekadar advencer biasa-biasa sahaja. Bukan sesuatu yang memberi kejutan, yang membuatkan tunggang terbalik dan boleh menambahkan komplikasi.Mesti berfikir secara lateral. Di luar lingkaran takutkan risiko. Takut tanpa justifikasi dan analisis kualitatif.Aku memerlukan advencer penuh adrenalin, sebuah advencer luar biasa dalam advencer biasa-biasa. Menyemarak satu eksplorasi yang bermula dari satu idea. Idea yang juga bermula dengan kelucuan. Sangkaan awal, tidak mungkin sekali ianya menjadi realiti. Idea bodoh dan membodohkan.Tepuk dada, tanya iman. Bolehkah, beranikah seorang budak Melayu Felda Keratong melakukannya. Sesuatu yang pertama dalam hidup. Sesuatu yang sebelum tiba di Queenstown, tidak langsung terfikirkan. Diluar imaginasi, ilusi, halunisasi dan mimpi-mimpi. Bagaimanapun, seperti kata Rozita dalam perbualan kami di atas kapal TSS Earnslaw di tengah-tengah tasik Wakatipu, “There is always a first time in life!”Ya, akan selalu ada pertama kali dalam hidup ini. Pertama yang tidak semestinya terakhir kali. Pertama yang tidak semestinya juga berulangan sebagai satu kebiasaan. Tetapi tanpa pertama kali, sama ada pertama kali gagal atau pertama kali berjaya, dunia tidak mungkin akan seperti hari ini. Tiada kemajuan dalam apa bidang pun. Tiada teknologi yang menambah kemeriahan. Tiada keturunan berkembang dan tiada darah kacukan yang menjadikan dunia sejagat sebuah kampung manusia. Ya! There is always a first time !“Aku telah berjaya melakukannya semalam dengan cemerlang, gemilang dan terbilang!”Bangga, Park Jin-young, teman lelaki Sandra, yang berasal dari Korea itu memberitahuku di kantin asrama sewaktu sarapan pagi. Bersarapan roti bakar dengan jem. Lelaki Korea yang bercita-cita menjadi juruterbang itu mahu dipanggil sebagai Edward sahaja. Hanya aku dan Edward di meja makan. Rozita dan Sandra masih belum turun. Aku diperkenalkan dengan Edward dan Sandra sewaktu bertembung di ruang legar asrama petang semalamnya. Tubuh Edward kecil sahaja berbanding dengan aku, mungkin saiz badan orang Asia sebegitu, walau aku pernah melihat di kaca TV, orang Korea bersaiz pemain bola keranjang Amerika yang bertubuh besar dan sasa.Dia lelaki Korea yang bangga kerana telah melakukan sesuatu yang aku budak Melayu Felda Keratong masih teragak-agak dan was-was.“Itulah perkara yang paling menyeronokkan dan menikmatkan yang pernah saya lakukan dalam hidup setakat ini. Kamu mesti melakukannya, sudah sampai masanya untuk kamu menghadapi dan menewaskan rasa takut!”Aku tidak boleh membayangkan apa yang dikatakan oleh Edward. Tidak juga boleh merasakan keseronokan dan kenikmatan. Tidak pernah melakukannya. Kata-kata Edward bagai mencabar keseluruhan kejantanan dan kelakian seorang budak Melayu Felda Keratong. Cabaran yang mesti direalisasikan sebagai satu kejayaan, kejayaan untuk mengatasi dan menyahkan faktor ketakutan daripada membelenggu pergerakan. Membebaskan kongkongan psikologi yang mungkin menyebabkan pasukan bola sepak Malaysia masih sahaja corot walau sudah ada liga profesional.“Sandra juga sama menikmati keseronokan, kamu dan Rozita juga mesti melakukannya. Ada pelbagai stail yang kamu boleh lakukan. Pilihannya, sama ada mahu atau tidak sahaja untuk melakukannya!”Aku segera memikirkan baik dan buruk untuk melakukannya. Kesan, implikasi dan impak, sama ada dari segi jangka pendek atau panjang. Ianya bukan sesuatu yang menjadi budaya orang-orang Melayu. Seperti berdemonstrasi dan memprotes di tepi-tepi jalan.Dalam usia 19 tahun, aku masih muda dan sihat. Tiada penyakit apa-apa. Mempunyai stamina yang baik. Mempunyai tahap daya tahan yang baik. Mempunyai kejantanan untuk menyambut cabaran Edward dan Sandra.Hmm, bolehkah pula Rozita melakukannya? Sanggupkah dia? Bersetujukah dia untuk melakukannya pertama kali? Walhal kami hanya baru berkenalan.“Keberanian, selain ada sedikit keperatusan gila! Buat sahaja keputusan, pejam mata dan lakukan terus. Tiada risiko apa-apa. Ianya satu perkara yang selamat dan menyihatkan jasmani dan rohani. Jangan terlalu banyak berfikir, nanti kamu boleh berubah fikiran dan mengundur diri. Merugikan kerana mungkin tiada peluang lain untuk melakukannya di sini!”Sekali kata-kata Edward mengasak fikiran. Mengasak seluruh kewarasan dan keimanan.“Kena pakai bahan perlindungan demi keselamatan, itu mesti sebagai perlindungan, tidak mahu pula kemuncak keseronokan menjadi fatal. Malang tidak berbau, yang berbau ialah ketakutan dan aku terbau itu daripada nafas kamu!”Bersungguhan Edward meracun pemikiran dengan kata-kata yang terus terang. Tidak perlu berkias. Tidak perlu berpantun. Mesejnya jelas, aku budak Melayu Felda Keratong yang penakut.Rangsangan daripada cerita keseronokan dan kenikmatan ‘pertama kali’ disahut oleh para setan dan iblis. Terus membisikkan kata-kata pujukan, menaikkan semangat dan melontarkan imej-imej seorang hero. Lebih berani daripada Hang Tuah yang menghilangkan kerana terlalu setia. Keputusan muktamad, aku berani untuk melakukannya dan bersedia untuk menjadi lebih berani setelah dapat menewaskan ‘rasa takut’, rasa gentar, rasa tidak yakin terhadap diri sendiri.Rasa takut itu, legasi daripada budaya keturunan yang terlalu bersopan santun, lemah lembut, daripada sentimen penuh hipokrasi yang boleh menjadikan seorang budak Melayu Felda Keratong terus berada dalam kepompong kekampungan. Tiada anjakan pradigma, tidak berani merenangi samudera biru, hanya berani sebagai jaguh kampung. Di luar kampung, sekadar seekor tikus di makmal eksperimen.Lantas, satu hari musim luruh pada bulan April tahun 1983, aku mahu melakukannya pertama kali. Biar apa sahaja akibat daripada tindakan tersebut. Aku berani untuk menghadapinya. Rozita juga nampak bersedia dengan keputusan itu.“New Zealand adalah negara yang bebas, mana ada halal dan haram untuk melakukannya, kalau sudah berani dan cukup bersedia dari segi mental dan fizikal, semuanya BOLEH!”Ya! Aku sudah bersedia. Memandang wajah Rozita yang nampak cemas. Panik.Sungai Kawarau akan menjadi saksi kehebatan seorang budak jantan Melayu Felda Keratong dalam mempamerkan kejantanan kepada dunia, lihatlah dunia, aku sudah tidak takut untuk melakukannya. Akulah si jantan yang bakal menjelma secara magis sebagai lelaki dewasa di Queenstown, bukan lagi remaja Felda Keratong yang tidak pernah melakukannya.Selalu ada pertama kali dalam hidup dan masanya telah tiba!Ya! Pertama kali di Sungai Kawarau yang memungkinkan ulangan berkali-kali kerana aku telah menjadi seorang jantan. Tidak takut kepada cabaran, tidak takut kepada segala yang dulu menakutkan. Segalanya akan berubah, aku akan jadi seorang Melayu Baru.Dalam kefanaan, terdengar jauh daripada sepasang tua warga Amerika yang sudah melakukannya berkali-kali dan menjadi begitu ‘fetish’, membuat laungan seperti bunyi jeritan Arab Badwi. Barangkali kata-kata menyuntik semangat. Barangkali mahu memberi sokongan padu. Aku tidak peduli lagi.“Segalanya hanya dalam minda!”Terdengar setan dan iblis sama memberi sorakan. Mengelilingi setiap ruang Queenstown yang terus indah berlatarbelakangkan The Remarkables dan Tasik Wakatipu. Tersergam dan mengancam.“Relaks. Tarik nafas dalam-dalam. Pandanglah ke saujana pergunungan yang indah. Hanya 5 saat yang menyeronokkan. Bersedia. Lima. Empat. Tiga. Dua. Satu. Terjun!”Dua saat berikutnya adalah letupan angin dari atas, menyilaukan kelajuan yang meluruhkan jantung. Terbang bergemuruh dan memekakkan, melayang dan terus meluncur ke bawah, seolah-olah disedut melalui penyedut vakum raksasa. Sedutan dari bawah yang menghantar klimaks ke persada otak.Zoom!Tiba-tiba perut meloyakan. Aku mahu termuntah. Membuka mata dan terbeliak.Ironi sekali. Tidak bermimpi dan belum gila. Luas sekali ruang realiti yang tiba-tiba melegakan. Tiada lagi pertempuran adrenalin yang meratah urat saraf. Nah! Bila aku membuka mata, aku masih di situ. Di hujung platform papan yang bergoyang-goyang. Menggigil-gigil, menggeletar walau kaki sudah ditambat secukupnya mengikut piawaian keselamatan antarabangsa. Bagai sahaja mahu terbuang air kecil, kalau belum lagi seluar kebasahan dari jarak setinggi 45 meter atas jambatan Sungai Kawarau yang jernih mengalir.Itulah pertama kali aku, budak Melayu Felda Keratong, benar-benar mencuba untuk terjunan bungee bersama ketawa yang memecahkan sejenak suspen, dalam percubaan paling spontan untuk memartabatkan bangsa di persada sukan terjunan bungee!

INFO:FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti.

18 January 2010

TAHNIAH FUDZAIL

(Fudzail and family: Saifullah, Dr. Azma, Muhaimin and Faidhi di Bumi Al Anbiya')
Salam 2 all.

Saya ucapkan tahnia kepada sahabat saya Sdr Fudzail Mohd. Nor yang terpilih menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18 yang akan berlangsung hari ini Isnin 02 Safar 1431/18 Januari 2010 di Hotel Legend. Hadiah akan disampaikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin.

Cerpen Sdr Fudzail bertajuk "Jerebu Dalam Blog Mak Andeh" diterbitkan dalam akhbar Berita Minggu pada 14.05.2006 (sinopsis ceritanya dibawah). Bagi sdr/i yang berminat dengan karya sdr Fudzail, sebuah antologi cerpen karya beliau telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia bertaju "DOTKOMANIA". Buku ini boleh didapati dikedai-kedai buku atau pun secara online. Untuk mereka yang berminat untuk mengenali sdr Fudzail dengan lebih dekat, sila layari http://1426.blogspot.com/ Saya secara peribadi mengenali sdr. Fudzail sejak 1983, dan mendapati karya-karya beliau sangat hidup kerana mengupas isu-isu semasa, dengan bahasa yang santai dan bersahaja. Memang banyak kata-kata sinis dilontarkan didalam karya beliau. Hanya yang makan budu akan terasa sodapnya!! Kalau dalam alam kartun kita ada Lat dan Zunar melakari kisah dan isu semasa, maka dalam penulisan dan cerpen, kita ada Sdr. Fudzail yang coretannya pasti akan menghiburkan dan membuka minda kita.

Tahniah sdr. Fudzail, dan selemat membaca "Dotkomania" kepada semua.

Adios amigos.

Zulkifli Bin Noordin
02 Safar 1431
18 Januari 2010

##########################################################

Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18
Pada hari ini diadakan penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18, di Hotel Legend Kuala Lumpur.Pemenang yang karya mereka diterbitkan pada 2004, 2005, 2006 dan 2007 dalam bentuk buku, karya eceran dalam akhbar, majalah, jurnal dan antologi serta skrip drama yang dipentaskan akan menerima hadiah masing-masing daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.Menurut Ku Seman dalam Utusan hari ini, HSPM adalah satu-satunya anugerah berprestij bertaraf nasional bagi bidang kesusasteraan negara ini. HSPM menjadi pengukur turun dan naik mutu pengkaryaan dalam kesusasteraan, khususnya sastera Melayu.Dari segi pandangan umum, HSPM tidak sehebat Juara Lagu, Akademi Fantasia, Anugerah Skrin dsbnya yang meletakkan para artis seumpama bintang-bintang berkelipan dengan menawarkan hadiah-hadiah hebat.Bukan sahaja tiada siaran langsung, malah berita dalam akhbar pun sekadar berita kaki.Begitupun, buat karyawan, pengiktirafan seperti HSPM, walau sekadar dua tahun sekali, sudah cukup memberi sesuatu yang bermakna. Sastera adalah sebahagian dari tamadun yang perlu diteruskan. Para pejuang sastera merupakan kesinambungan warisan untuk generasi akan datang menilai kehidupan masa kini.Tahniah pada saya buat semua pemenang malam ini, nama-nama hebat dunia sastera yang menjadikan saya amat kerdil. Alhamdulillah, saya mewakilkan anak sulung, Saifullah dan ibu untuk menerima sijil dari TPM.Karya saya yang terpilih ialah cerpen , 'Jerebu dalam Blog Mak Andeh' yang tersiar dalam Berita Minggu 14 Mei 2006.Dibawah adalah sebahagian dari cerpen tersebut. Cerpen ini juga terdapat dalam antologi, 'Dotkomania'.

JEREBU DALAM BLOG MAK ANDEH
Dalam banyak percakapan atau perbualan atau dialog biasa dengan mereka yang biasa, kekadang ada perkara yang mungkin terkeluar dari norma. Sememangnya kebiasaanya, manusia terlalu banyak mengambil tidak endah dengan banyak perkara. Kesibukan, prioriti berlainan dan kekalutan mengejar impian menjadikan banyak perkara sekadar catatan nota kaki.Seperti dalam keadaan berjerebu yang begitu teruk, saya terperangkap di hujung minggu. Tidak dapat bermain golf seperti biasa. Isteri, Rohaya dan kakak ipar yang bergelar ibu tunggal, mengambil kesempatan untuk pergi ke majlis reunion kelas sekolah berasrama penuh mereka.Begitu gembira keduanya untuk bertemu kawan-kawan sekelas tahun 75-80 setelah 25 tahun meninggalkan sekolah. Old girls network yang semuanya sudah menjadi makcik-makcik, kalau tidak bertaraf datin-datin.Meninggalkan anak-anak dibawah jagaan saya. Lima anak perempuan dan empat anak lelaki di sebuah rumah teres empat bilik. Paling tua dalam tingkatan lima dan paling muda dalam darjah satu. Biarkan saja mereka dengan aktiviti masing-masing.Ada menonton TV, ada bermain dengan Gameboy, playstation, membaca novel terbaru Harry Potter, membaca novel cinta Melayu, mendengar muzik, bermain catur, ada yang asyik menghantar sms dan ada yang sibuk melayar Internet."Pak Ngah tak ada blog?" Pertanyaan itu memecah kebekuan bila saya menjenguk ke arah skrin PC. Suara Daniel yang berusia 12 tahun itu sudah pecah. Sudah akil baligh rupanya budak tembam dan sihat itu.Saya hanya tersenyum sambil menggeleng. Ramai kawan-kawan yang sebaya, empat puluhan begini turut menyusur arus blog. Selalu juga sekiranya kebosanan di pejabat, saya melayari blog mereka yang mempunyai pelbagai variasi. Dari humor, politik, merapu ke taraf jurnal profesional."Tak happening lah Pak Ngah...mak kita pun ada blog...!"Kata-kata itu menyambar imaginasi. Kak Fidah ada blog sendiri? Sejak bila dia menjadi Internet-savvy?Saya memandang ke arah skrin. Terpampang dalam warna-warna ceria."Blog Mak Andeh".
(Ikuti selanjutnya dalam 'Dotkomania').