20 November 2010
PAKU TERAKHIR!
Apabila mendengar Anwar & Azmin membelasah Zaid sampai rapat ke lantai termasuk dalam 'Rapat Umum' semalam di Dewan MBSA, teman dapat melihat betapa desperadonya mereka sekarang. Sebenarnya mereka tahu hari-hari akhir mereka makin dekat. Tindakan Zaid mengumumkan keluar secara rasmi dari PKR dan cadangan menubuhkan sebuah parti baru adalah paku-paku terakhir kepada keranda PKR. PKR sekarang berhadapan dengan krisis keyakinan kepimpinan yang serius. Krisis yang akan membawa kepada berkuburnya PKR! Apatah lagi daripada 3 bateri AAA, kini yang berfungsi hanya Bateri 2A, sebiji lagi sekadar Bateri Penghias aje!
Kenyataan Tuan Guru Haji Hadi baru-baru ini bahawa PAS perlu berdiri dan membina kekuatan dalaman adalah satu isyarat kehilangan keyakinan kepada halatuju dan kepimpinan Anwar. Teman tahu tidak semua kepimpinan PAS boleh menerima kepimpinan Azmin.
Kritikan dan teguran terbuka oleh penyokong tegar, terutama dikalangan blogger saperti Raja Petra, Hishamuddin Rais, Haris Ibrahim dan lain-lain membuktikan trend sokongan terhadap kepimpinan Anwar mula dipersoalkan. Mereka sudah nampak apa yang teman sudah nampak. Bahawa PKR ini adalah kuda tunggangan Anwar berpaksikan kepada politik pembohongan dan cakap tak serupa bikin, hanya untuk memahkotakan Anwar sebagai Perdana Menteri!!
Teman nampak PKR akan ghaibul-ghuyub tak lama lagi. Yang tinggal hanyalah tulang-tulang dinasour politikus yang rakus. Jeneral tanpa lasykarnya. Sekadar pal hangguk dan pak turut yang masih keliru dengan perjuangan reformasi. Demokrasi yang sebenarnya demokerusi! Penuh dengan penipuan, pembohongan, putar belit dan penyelewengan!
Cuma dalam semua kemelut yang berlaku ini, teman heran dimana suara Sang Presiden Dato' Seri Wan Azizah (atau lebih teman kenal dengan panggilan Kak Zah). Adakah Kak Zah sudah terpinggir atau dipinggirkan. Sepatutnya seorang Presiden yang menang tanpa bertanding akan menjadi suara yang sangat perkasa, digeruni dan dihormati. Namun Kak Zah langsung tidak kedengaran, malah langsung tidak kelihatan.
Teman masih ingat diperingkat awal gerakan reformasi. Semasa Anwar sudah disumbat kedalam penjara. Peranan Kak Zah sangat jelas. Kalau bukan kerana penglibatan secara langsung Kak Zah dalam gerakan reformasi, teman percaya ianya tidak akan menjadi sebuah gerakan yang efektif. Reformasi tanpa Kak Zah mengetuainya akan hilang ghaib. Suara Kak Zah melaung-laungkan reformasi disegala pelusuk negara, membelah ibukota telah mencetuskan satu fenomena yang tidak pernah dilihat negara.
Teman masih ingat kata-kata Kak Zah, "kini cacing dah jadi naga!". Keberanian dan kelantangan Kak Zah menjadikan beliau serikandi reformasi. Kak Zah menjadi kiblat penyokong dan pendokong reformis. Tapi kini naga itu seolah-olah sudah kembali menjadi cacing. Bukan sahaja cacing, malah menjadi umpan untuk dimakan ikan-ikan rakus yang dibutakan dengan sandiwara demokerusi yang jijik, kotor dan makiavelian!
Teman teringat kata-kata Kak Zah dahulu. "Agaknya nanti bile Bang Non bebas, adakah dia akan buat untuk Kak Zah apa yang Kak Zah buat untuk dia?".
Jawapan dia jelas Kak Zah. Bang Non bukan sahaja tidak membela dan mempertahankan Kak Zah, kedudukan Kak Zah sebagai Presiden pun dia tidak hormati. Zaid Ibrahim yang cuba membela Kak Zah, memartabatkan jawatan Kak Zah sebagai Presiden dihamput keluar macam anjing kurap, dan hari ini bintang sinaran reformasi itu dilayang saperti taik bintang. Dari hero ke zero. Dulu dikompang kini dilempang!
Sekurang-kurangnya Kak Zah berani juga bertanding dan menang jawatan Presiden. Bang Non bukan sahaja tidak bertanding, malah dia mahu berkuasa tanpa bertanding. Dia mau jawatan yang tak ada pun dalam Perlembagaan, dan yang siapa pun tidak boleh cabar. Jawatan yang entah siapa bagi kat Bang Non kita pun tak tahu? Dan Bang Non kini sibuk hendak memahkotakan adinda kesayangannya Azmin sebagai pengganti untuk Kak Zah nanti!
Kak Zah sendiri pun tahu selepas daripada ini, semua keputusan penting akan hanya dibuat oleh Ketua Umum dan Timbalan Presiden. Kak Zah akan hanya menjadi pengumum keputusan-keputusan itu. Pendekkata, mereka sedang menukar Kak Zah balik kepada cacing umpanan, sekadar menjadi penghias majalah PKR.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Kak Zah, perbetulkanlah kemungkaran yang sedang berlaku. Saya tahu Kak Zah tahu apa yang saya tahu. Masih belum terlambat untuk Kak Zah bertindak. Saya tidak mintak Kak Zah tinggalkan Anwar, kerana Kak Zah adalah isteri Anwar. Tetapi nasihatkanlah Anwar. Sudah-sudahlah tu. Selesaikanlah masaah peribadi yang dia hadapi tanpa perlu mengorbankan kebajikan rakyat dan kepentingan negara, sehingga negara asing didesak mencampuri urusan negara hanya untuk kepentingan peribadi Anwar. Kak Zah seorang yang berjiwa luhur. Kak Zah begitu menjaga hukum ALLAH, sehingga Kak Zah memastikan ketika bersalaman dengan lelaki ajnabi pun aurat Kak Zah terjaga dengan ciptaan sarung tangan ala Michael Jackson itu. Itu membuktikan Kak Zah takutkan hukum ALLAH. Dan Kak Zah boleh buktikan ketaqwaan itu dengan menterjemahkannya kepada hal-hal politik Anwar & Azmin yang semakin membahayakan umat dan rakyat.
Ingatlah firman ALLAH Kak Zah, "kamu akan menjadi contoh ikutan manusia bilamana kamu menyeru manusia kepada ma'ruf,mencegah kemungkaran, dan beriman dengan sebenarnya kepada ALLAH". Pada saya, Kak Zah boleh menjadi smula naga yang hebat. Pada saya, Kak Zah boleh menjadi paku terakhir untuk mencegah kemungkaran politik yang sedang berlaku sekarang. Dihari tasyriq terakhir ini, lontarkanlah batu-batu keadilan kepada jamrah-jamrah kemungkaran, dan ucapkanlah Labbaikallah hummalabbaik, aku datang kepada Mu ya ALLAH, aku datang kepada Mu ya ALLAH.
Wallahua'lam & wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
13 Zulhijjah 1431
20 Nov 2010
16 November 2010
KAU PERGI JUA!!
Salam 2 all.
Pengumunan Zaid Ibrahim bahawa beliau akan meninggalkan PKR secara rasmi tidak lama lagi sekadar pelengkap kepada sandiwara yang dimainkan kepimpinan PKR selama ini. Kecundangnya Zaid sekadar mengesahkan apa yang kami di Konsensus Bebas telah dedahkan dari awal, bahawa PKR hanyalah parti untuk golongan Firaun-Firaun Kecil yang mendokong falsafah politik "matlamat menghalalkan cara, "Putrajaya at all cost", menggunakan kaedah pembohongan dan cakap tak serupa bikin untuk memahkotakan angan-angan seorang manusia untuk menjadi Perdana Menteri.
Dengan pengunduran Zaid, kita sudah boleh membaca susunan kepimpinan PKR akan datang yang jelas membuktikan amalan "Kakane-KKN" (dalam bahasa Jakarta pak), iaitu "kronisma, korupsi & nepotisma" yang cukup hebat:
Ketua Umum - Anwar Ibrahim. Suami Presiden dan bapak kepada bakal Naib Presiden! Inilah dia "mujahiddin demokrasi" yang begitu "taksub" kononnya kepada amalan demokrasi barat, tetapi mahukan jawatan yang bukan sahaja tak payah bertanding dan tidak boleh ditandingi, tetapi tak ujud pun dalam perlembagaan PKR. Entah siapa lantik Anwar jadi Ketua Umum pun teman tak tau, sebab tidak pernah ada mesyurat perwakilan yang buat keputusan. Lagipun jawatan yang takde dalam perlembagaan, macam mane perwakilan nak buat keputusan!
Presiden - Wan Azizah. Isteri Ketua Umum dan mak bakal Naib Presiden. Jawatan yang kata Zaid Ibrahim sekadar penghias majalah. Tanpa kuasa dan tanpa martabat. Dan bila Zaid membuka manifestonya antara lain untuk mengembalikan maruah dan martabat kepada jawatan Presiden, Zaid pula yang kena musibat!
Timbalan Presiden - Azmin Ali. Bekas Setiausaha Sulit Anwar zaman sebagai Timbalan Perdana Menteri UMNO. Dari kecik sampai tua Azmin sentiasa melekat dengan Anwar, yang Nallakarupan kata mereka berdua ini punya hubungan yang sangat istimewa. Zaid kata Anwar-Azmin punca kepada segala penyakit dalam PKR. Anwar bertungkus lumus bekerja keras memastikan Azmin memenangi jawatan Timbalan Presiden sehingga hero hindustan PKR Zaid Ibrahim pun kena tendang keluar. Dan untuk memastikan warna demokrasi kekal, Mustafa Kamil Ayub dipujuk supaya jangan menarik diri. Apa yang dijanjikan kepada Mus teman pun tak tahu. Mus yang pada satu ketika cukup garang macam rimau lapar, bersama dengan Zaid memberi ultimatum dan kata dua kepada PKR, tiba-tiba jadi macam kucing sakit gigi. Bayang yop kalau Mus tarik diri, malulah kat Azmin menang free pulak!!
Naib Presiden 1 - Nurul Izzah. Semua orang tau dia anak Ketua Umum dengan Presiden. Dengar cerita nak buat pact dengan Zaid, tau-tau tak jadi. Papa hebat kata Nurul, dipetik dimuka hadapan akhbar Sinar Harian! Anak bapak yop..anak bapak!
Naib Presiden 2 - Tian Chua. Mamat sorang ni ketaksuban dia kepada Anwar hingga sanggup dok bawah lori FRU. Sehingga sanggup mereka foto palsu PM bersama Altantuya, dan sikit pun tak rasa malu atau bersalah dengan perangai hodoh tu. Disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menggigit polis!!
Naib Presiden 3 - Mansor Othman. Bekas Setiausaha Sulit Anwar semasa menjadi Menteri Kewangan. Sekarang jadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Bertanding pilihanraya dahulu semua kalah, kemudian entah macam mane dema pusing tau-tau Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohd Fairuz kena tendang dan Mansor ambil alih kerusi Penanti dan bertanding sorang-sorang sebab UMNO malas nak layan politik sempit PKR. Lepas menang ambil tempat Fairuz, jadi TKM dan dah pun dapat Datuk!
Ketua AMK - Shamsul Iskandar Akin. Mula-mula patut bertanding jawatan Naib Presiden. tetapi bila calun pilihan Anwar mendapat jumlah pencalunan yang sangat memalukan, kalah kepada Chegu Bard, Shamsul tetiba buat u-turn dan bertanding jawatan Ketua AMK. Kerana Anwar tidak boleh kontrol orang macam Chegu Bard. Chegu Bard ni walaupun kawin dengan anak sedara Anwar, tetapi otak dia macam Zaid, Anwar tak boleh nak kontrol. Dia ni ada pendirian sendiri dan sangat berani. Kiblat Chegu Bard kepada Reformasi bukan kepada Anwar. Jadi Anwar akan gerun kalau sayap muda dikuasai oleh orang yang dia tak boleh kontrol.
Ketua Wanita - Zuraida. Walaupun Zuraida ni jenis mengaji kat ustad dan bertudung lipat, dan cukup rajin mengikut kelas Dr. Asri, tetapi ketaksuban dia kepada Anwar cukup hebat. Walaupun saingan beliau Puan Anima Ferer membuat pelbagai aduan salahlaku dan penipuan serta manipulasi didalam perebutan jawatan Ketua Wanita, malah Anima minta pemilihan digantung, namun suara Anima jadi macam suara Zaid aje, walaupun Anima adalah pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR!
Macam tu lah lebih kurang barisan kepimpinan kakane yang akan ujud dalam PKR tidak lama lagi. Cuma yang teman kesal sedikit ialah tindakan terburu-buru Zaid untuk keluar PKR dan mengumumkan kemungkinan menubuhkan parti politik lain.
Pada teman Zaid sepatutnya meneruskan perjuangan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Walaupun Zaid merasakan bahawa Jawatankuasa Pemilihan sekadar menjadi tunggul untuk "calun impian Anwar", walaupun Zaid melihat banyak penipuan, pembohongan, putar belit dan lain-lain semasa proses pemilihan, beliau tdiak sepatutnya menarik diri dan keluar PKR.
Sebaliknya dengan meneruskan pertandingan dan kekal didalam PKR, Zaid akan dapat mendedahkan lebih banyak kepalsuan dan kepincangan didalam PKR.
Itu yang teman buat semasa dikenakan tekanan supaya keluar daripada mewakili PKR sebagai Ahli Parlimen. Teman tau puak-puak Firaun Kecil didalam PKR sudah tidak sabar melihat teman meninggalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen PKR. Kerana suara Islam, perjuangan Islam yang teman bawa sebagai MP PKR sangat dibenci oleh DAP dan yang sewaktu dengannya. Dan para Firaun Kecil dan sekutunya DAP merasakan perjuangan Islam itu akan menggagalkan impian mereka ke Putrajaya. Maka mereka lakukan pelbagai perkara untuk memaksa teman keluar.
Tetapi teman bertekad, walaupun teman tahu pada masa itu teman sedang menongkah arus mungkar yang deras, bahawa teman perlu bertahan untuk terus membongkar topeng kepalsuan didalam PKR. Sehingga mereka memberi tekanan kepada teman dengan melantik panel jawatankuasa disiplin kafir untuk membicarakan teman dalam isu kalimah ALLAH. Satu penghinaan besar kepada Islam. Dan alhamdulillah umat Islam khususnya, dan rakyat umumnya dapat melihat kepalsuan perjuangan mereka.
Kepada Zaid, nasihat teman ialah jangan berganjak. Biarkan mereka pecat. Mike pun tahu Firaun-Firaun Kecil yang ada dalam PKR akan cari jalan memecat mike. Jangan beri mereka bola percuma. Let them pay for their "crime", so to speak! Biar rakyat dapat melihat kepalsuan dan kepura-puraan mereka. Teruskan pendedahan, bongkarkan kepalsuan mereka.
Tindakan Zaid untuk menubuhkan parti baru akan hanya memberi mereka bola tanggung. Mereka akan canangkan mike sebagai orang gila kuasa dan kedudukan. Mereka akan kata tak dapat jadi presiden PKR dia pegi buka parti baru dan jadi presiden! Masuk bakul angkat sendiri! Dengan sejarah mike yang pernah melompat dari UMNO dan merajuk bila kalah pertandingan Ketua Bahagian di Kota Bharu, ruang untuk mereka serang mike terbuka luas. Mike nanti akan disamatarafkan dengan Ibrahim Ali. Begitu cara mereka akan perlekekhkan mike.
Dan Zaid, bila mike memilih untuk melawan mereka, bersedialah dengan segala macam maki hamun, caci maki, fitnah, pembohongan, putarbelit, penipuan dan lain-lain cacamerba. Ni belum mike bagi surat rasmi pun dema dah tuduh mike dah siap dengan parti baru sebenarnya. Nanti mike akan dituduh sebagai barua BN didalam PKR, sebagai Trojan horse UMNO. Jangan terkejut kalau mike dituduh taik judi, kaki botol, kaki betina! Malah teman tak terkejut kalau mike didakwa sebagai punca kekalahan PKR di PRK Hulu Selangor. Semua jentera dan balatentera balaci mereka, termasuk akhbar, media portal, dan para penceramah akan diguna untuk mengganyang mike. Malah mike akan diperkartunkan nanti. Teman dah boleh bayang gambar kartun mike di MalaysiaKini, Suara Keadilan dan MalaysiaKini. Apa boleh buat yop, memang itu cara dema!
Namun jika mike rasa sudah tiada pilihan, dah terlajak kata nak keluar, teman nasihatkan mike menerima tawaran yang disebut oleh Husam Musa semalam bahawa PAS bersedia menerima mike. Pintu PAS sudah terbuka untuk mike. Eloklah mike pertimbangkan tawaran Husam itu. Cuma nasihat teman jangan mike terima terus, cume kata akan pertimbangkan. Sebab badut ingusan Anwar masih ada didalam PAS. Pak-pak jangoat ini akan segera mengeluarkan kenyataan bahawa tawaran Husam itu bersifat peribadi, ataupun lebih teruk mereka akan kata akhbar misquote Husam.
Mereka akan lakukan sedaya upaya menghalang mike daripada menyertai PAS, sebab paduka tuanku Anwar yang mereka sembah akan murka. Dan pak jangoat takkan biarkan kemurkaan Anwar, kerana mereka dah terliur nak ke Putrajaya jadi menteri, macam mike pernah rase. Bukan senang yop dari budak jual cendol tau-tau dapat pakai kot & tai, tiba-tiba pulak jadi menteri dengan siren sana sini. Dah lama dema ngidam tu yop. Jadi daripada mereka jatuh pokok kelapa tengah sedap berangan nak ke Putrajaya, baik dema terajang mike dulu yop. So be tactful, but maintain your fight.
Last but not least, teman ucap selamat pada mike Zaid. Moga mike berjaya mengharungi onak duri yang akan makin tebal dihadapan nanti.
Adios amigos. Grasias senor.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Selasa
09 Zulhijjah 1431
16 Nov 2010
09 November 2010
ZAID: ANWAR PUNCA PENYAKIT!
Baru 2 minggu lepas ada desakan dan nasihat kepada Anwar supaya berundur dari politik. Beliau sudah menjadi 'dinasour PKR' kata desakan tersebut. Teman sendiri pun telah membuat kenyataan berkali-kali sebelum daripada itu menasihatkan Anwar supaya berhentilah daripada dunia politik, dan menumpu kepada menyelesaikan masalah peribadinya.
Tau-tau hari ni, Dato' Zaid Ibrahim membuat desakan yang sama. Bukan Zaid yang nak keluar PKR, sebaliknya Zaid mendesak Anwar supaya keluarlah daripada PKR. Tidak cukup dengan Anwar, Zaid juga mendesak Azmin juga supaya keluar PKR. Alasan yang diberi oleh Zaid, kedua-dua Anwar-Azmin adalah punca penyakit dalam PKR!! Dan Zaid menambah bahawa "Anwar mempunyai masalah peribadi yang perlu dia selesaikan sendiri. Dan Azmin adalah antara masalahnya!".
Baru semalam Zaid menegaskan bahawa "PKR adalah parti yang penuh dengan kepalsuan" dan mempersoalkan bagaimana parti yang penuh dengan hipokritus itu boleh memerintah negara!
Tak cukup dengan itu, seorang lagi calun Timbalan Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub memberikan kata dua dan ultimatum kepada PKR supaya memperbaiki segala penipuan dan manipulasi dalam proses pemilihan dalam tempoh 48 jam. Dan beliau membayangkan akan mengambil tindakan yang sama saperti Zaid jika desakan beliau saperti yang terkandung didalam memorandum tidak dipedulikan.
Isyk..isyk..isyk..dema lagi garang dari teman yop! Tu dia nak kata apa lagi. Kalau macam tu punya desakan Anwar-Azmin buat pekak badak jugak, dan teman yakin dema akan buat pekak-badak je, memang PKR ni akan hancus mancus yop. Teman ingat akan bungkus bulan Februari atau Mac tahun 2011, rupenya lagi awal yop.
Cuma sekarang yang teman hairan, sampai hari ni dema tak berani ambik tindakan terhadap Zaid. Walaupun kenyataan dan tindak-tanduk Zaid jelas memperlekehkan kalipah PKR. Adakah mereka terlalu takut Zaid akan membongkar lebih banyak kepalsuan dan pembohongan dalam PKR? Atau Zaid mengetahui sesuatu yang lebih daripada yang dia beritahu, sehingga berani dia menyatakan Anwar-Azminlah punca penyakit dalam PKR! Atau apakah Zaid, yang mahu memartabatkan Wan Azizah mendapat bantuan "tangan ghaib"?
Apa pun, yang jelas PKR menjadi takut nak mengambil tindakan terhadap Zaid. Sebab mereka tahu sebagaimana kami Konsensus Bebas semua tahu, rahsia dan pembohongan serta kepalsuan mereka dalam poket je. Kami baru lepaskan sikit dah habis gabrah. Dan itu pun kami di Konsensus berpegang kepada prinsip kita tidak akan londehkan dema, kecuali kalau dema sengaja mencari pasal memaksa kami melondehkan dema.
Kepada Zaid, nasihat teman ialah sertai lah PAS. Teman percaya PAS akan berikan ruang kepada Zaid, kerana Zaid hanya berminat nak mengadakan reformasi. Dan bila dah masuk PAS yop, buang semua kudis-kudis buta yang ada dalam PAS tu. Suruh pak jangoat badut-badut ingusan tu ambil tempat ganti mike didalam PKR. Bior dema tidor satu selimut dengan Anwar, baru dema tahu nanti siapa kalipah PKR yang mereka taksubkan sangat tu!
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
01 Zul Hijjah 1431
09 Nov 2010
@@@@@@@@@@@@@@@
(Lapuran kenyataan media Zaid Ibrahim hari ini 09.11.2010)
Anwar tidak akan tunduk kepada desakan Zaid
2010/11/09
KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan Datuk Zaid Ibrahim yang memintanya berundur daripada parti itu dan menyifatkannya sebagai satu pandangan peribadi.Bagaimanapun, katanya, beliau sedia mempertimbangkan perkara itu sekiranya ada desakan daripada pemimpin parti tersebut yang mahu beliau berundur daripada PKR."Itu pandangan dia (Zaid). Namun jika ada konsensus daripada kalangan pimpinan saya akan pertimbangkan tetapi dalam perkara ini tidak pernah saya dengar lagi. Ini kali pertama kali saya dengar daripada Zaid," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pandangan tersebut disuarakan bagi memastikan PKR terus relevan sebagai sebuah parti pembangkang dengan berkesan.
06 September 2010
TALQIN BUAT ZAID!!
Zaid Ibrahim hari ini membuat kenyataan terbuka kekecewaan beliau dengan politiking melampau didalam PKR. Beliau mendakwa ada kemungkinan beliau akan "dikuburkan saperti Pak Gafar Baba"! Bak kata beliau, "12 bulan lepas saya di arak macam hero, hari ini saya dituduh sebagai pengacau!!" (sila baca lapuran penuh kenyataan beliau dibawah).
Dan semua itu kerana Zaid mengumumkan niat mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Dan saya cukup yakin dengan pengumuman itu, mereka sudah mula membaca talqin buat Zaid!
Saya tidak mahu komen panjang. Pertama Zaid perlu ingat apa yang dia sendiri lakukan semasa konspirasi nak memecat saya dari menjadi Ahli Parlimen PKR tidak lama dahulu.
Dan apabila saya menuntut Jawatankuasa Disiplin yang hendak membicarakan saya hendaklah terdiri dari ahli yang beragama Islam kerana isunya membabitkan kalimah ALLAH, Zaid langsung tidak membuat pendirian apa-apa. Sebaliknya PKR membariskan panel yang majoritinya bukan Islam (dua aktivis Kristian & seorang Hindu) untuk membicarakan saya. Apabila saya enggan mengiktiraf panel tersebut, saya dipecat atas alasan ingkar dan enggan mengiktiraf panel tersebut. Dimana Zaid pada masa itu?!
Saya berharap Zaid akan dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri bahawa budaya politiking kotor dan jijik yang didakwa dilakukan oleh UMNO/BN sebenarnya subur mekar didalam PKR. Kerana kebanyakan mereka sebenarnya adalah "ketul-ketul shit" yang ditendang daripada jamban UMNO (meminjam kata-kata Pak Shahnon Ahmad didalam buku "SHIT"). Zaid kena ingat, bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO pun dia kalah, inikan nak bertanding jawatan dalam parti yang UMNO pun tak mau!!
Saya cadangkan kepada Zaid kalau benar beliau mahu lakukan perubahan, sertai PAS. Saya cukup yakin PAS boleh menerima orang saperti Zaid. Kerana sejarah membuktikan Rasulullah saw sendiri pernah menerima orang saperti Saidina 'Umar r.a, Saidina Amr bin Asr r.a, Saidina Ikrimah Abu Jahal r.a dan lain-lain. Zaid perlu sedar bahawa PAS adalah parti yang benar-benar ikhlas mahu melakukan perubahan kearah kebaikan, iaitu kearah Islam.
Cuma segelintir dika
Sekiranya Zaid mahu kembali kepada perjuangan Islam yang sebenarnya, dan berubah menjadi seorang pejuang Islam, saya yakin Zaid boleh menjadi saperti Saidina 'Umar r.a atau Saidina Ikrimah r.a kepada perjuangan Rasulullah.
Semoga Zaid bertemu jalan kembali kepada perjuangan Islam. Dan kepada para ulama' dan pendakwah didalam PAS, cubalah jinak-jinakkan Zaid kepada perjuangan Islam sebenarnya. Tinggalkanlah persekongkolan dengan para kafir harbi yang akan merosakkan PAS kepada perjuangan Islam yang hakiki.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
27 Ramadhan 1431
06 Sept 2010
*********************************************
MALAYSIAKINI.COM
Saya akan dikuburkan seperti Ghafar Baba?
06 Sept 210 7.10am
Sambil meluahkan rasa kecewanya, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata ketika diterima masuk PKR setahun lalu, beliau digelar sebagai wira, tetapi setahun kemudiannya "saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan menjual parti pada Umno".
Dalam satu kenyataannya, pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu berkata sejak beliau mengumumkan hasrat hendak bertanding jawatan dalam PKR minggu lepas, "sibuk sekali mereka yang tidak selesa dengan keputusan ini". "Ada yang cuba memberi upah kapada seorang blogger Melayu yang popular untuk memburukkan nama saya. Blogger itu diminta menulis yang saya akan membayar RM20 ribu kepada cabang yang mencalonkan saya, dan menulis bahawa saya kononnya orang suruhan (bekas menteri kewangan) Tun Daim Zainuddin untuk menghancurkan Parti Keadilan Rakyat," katanya.
Zaid yang mengumumkan semalam hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden, bimbang selepas pemilihan parti nanti, beliau akan ditimpa nasib seperti yang dialami Tun Ghafar Baba pada 1993.
"Ada yang memberi amaran bahawa saya akan dikuburkan seperti Ghafar Baba. Saya teringat lagi peristiwa 1993 di mana Tun Ghafar dibelasah oleh Umno sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri.
Katanya, jasa seorang ketua yang berkhidmat setia untuk Umno dilupakan begitu saja semata-mata kerana ada wira baru yang handal masa itu, iaitu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.
"Saya tidak lupa melihat wajah muram dan lesu Pak Ghafar di Masjid Telipot Kota Bharu, keseorangan di tangga masjid walaupun masih lagi timbalan perdana menteri waktu itu.
"Saya bersalam dan beritahu beliau saya tewas di Kota Bharu masa itu dalam pemilihan bahagian dan tidak dapat menolongnya. Dia mengangguk," tegas Zaid.
Berikutan adalah kenyataan penuh Zaid: Sejak saya umumkan hasrat nak bertanding jawatan dalam PKR minggu lepas, sibuk sekali mereka yang tidak selesa dengan keputusan ini. Ada yang cuba memberi upah kapada seorang blogger Melayu yang popular untuk memburukkan nama saya. Blogger itu diminta menulis yang saya akan membayar RM20 ribu kepada cabang yang mencalonkan saya, dan menulis bahawa saya kononnya orang suruhan Tun Daim Zainuddin untuk menghancurkan Parti Keadilan Rakyat.Kesetiaan saya juga dipersoalkan oleh sesetengah ahli-ahli Parlimen PKR, tapi kesetiaan terhadap siapa itu tidak dijelaskan. Mungkin saya ini tidak setia kepada perjuangan parti, atau kepada pemimpin tertinggi parti. Entahlah. Mungkin ahli-ahli Parlimen ini akan menjelaskan mengapa saya tidak boleh disokong hari Isnin ini dalam sidang akhbar mereka untuk mengumumkan sokongan mereka kepada gandingan hebat Anwar Ibrahim-Azmin Ali. Saya dengar Presiden Wan Azizah juga akan diminta berundur. Pelik sungguh tabiat dan tindakan mereka ini. Semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang orang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan. Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada Umno. Tuduhan terhadap peribadi saya juga ditingkatkan. Teringat saya semasa di Hulu Selangor dulu, cuma masa itu Umno yang membelasah saya. Jawapan saya begini: Saya masuk Keadilan kerana saya mahukan parti ini berganding dengan Pakatan untuk mengubah budaya dan kuasa politik di negara ini supaya rakyat Malaysia mempunyai Kerajaan yang berlaku lebih adil dan saksama kepada rakyat jelata. Dalam perjuangan ini, kesetiaan saya tidak berganjak seinci pun. Malah semangat saya lebih kuat. Sebab itu saya ingin menawarkan diri untuk bertanding; manalah tahu kalau ahli-ahli Keadilan terpanggil untuk melihat perubahan dalam parti ini dan menyokong gandingan Anwar Ibrahim-Zaid Ibrahim. Kita tidak boleh mengubah budaya politik dan meningkatkan tahap pentadbiran negara kalau parti kita sendiri tidak mempraktikkan prinsip-prinsip yang kita laungkan itu. Saya akan huraikan semasa berkempen nanti. Memang saya tidak setia membuta tuli. Saya menganggotai sebuah organsasi politik yang demokratik, sebuah parti yang terbuka untuk dikritik; bukan sebuah “cult organsation” yang sentiasa mendewakan pemimpin agung mereka. Saya sokong pemimpin yang benar dan bijak, dan saya sanggah pemimpin yang berpura-pura. Kalaulah ini bererti saya tidak setia saya rela dihukum oleh ahli-ahli nanti.
Ada yang memberi amaran bahawa saya akan dikuburkan seperti Ghafar Baba. Saya teringat lagi peristiwa 1993 di mana Tun Ghafar dibelasah oleh Umno sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri. Jasa seorang ketua yang berkhidmat setia untuk Umno dilupakan begitu saja. Sedikit penghormatan dengan memberi pencalonan kepada dia pun Umno tidak sanggup. Semata-mata kerana ada wira baru yang handal masa itu, iaitu Anwar Ibrahim. Saya tidak lupa melihat wajah muram dan lesu Pak Ghafar di Masjid Telipot Kota Bharu, keseorangan di tangga masjid walaupun masih lagi Timbalan Perdana Menteri waktu itu. Saya bersalam dan beritahu beliau saya tewas di Kota Bharu masa itu dalam pemilihan Bahagian dan tidak dapat menolongnya. Dia mengangguk. Kalau nasib saya seperti Pak Ghafar pun saya rela. Dalam perjuangan politik saya, sifirnya mudah. Kalau benar saya sokong, kalau palsu saya bantah.
20 June 2010
"BATU" BELAH "BATU" TERLUNGKUP
Isu yang hangat diperkatakan sehari dua ini adakah kerusi Parlimen terpaksa dikosongkan YB Tian Chua. Apakah "Batu" Belah "Batu" Terlungkup? Ianya bertambah panas apabila YB Karpal Singh tiba-tiba membuat kenyataan menegaskan bahawa YB Tian Chua (PKR-Batu) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Dan kerusinya mesti dikosongkan dan pilihanraya kecil diadakan.
Ini adalah kerana Mahkamah Tinggi baru ini membuat keputusan menukar hukuman denda RM3,000-00 yang dikenakan terhadap Tian Chua kepada RM2,000-00.
Walaupun Hakim menyatakan tujuan hukuman itu dikurangkan supaya tiada pilihanraya kecil, tetapi masalahnya Artikel 48 Perlembagaan menyatakan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan apabila dihukum antara lain denda "tidak kurang RM2,000-00".
Pelbagai tafsiran diberi tentang keputusan ini. Termasuk Prof Dato Shad Faruqi, Dekan Undang-Undang yang menyatakan bahawa Tian Chua tidak hilang kelayakan. Pendapat ini dipersetujui oleh YB Dato' Seri Nazri Aziz. Malahan saya juga bersetuju dengan pendapat itu kerana peruntukan itu menyebut tidak kurang daripada RM2,000-00, bermakna ianya mesti lebih RM2,000-01 keatas. Pada saya Tian Chua tidak hilang kelayakan.
Namun ramai yang agak kehairanan mengapa tiba-tiba dalam keadaan semua menerima keputusan itu dan berpendapat Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen, Karpal Singh mempertikaikannya dan menyatakan Tian Chua hilang kelayakan dan satu pilihanraya kecil mesti diadakan. Apakah agenda tersirat disebalik kenyataan Karpal Singh itu?
Persoalannya mengapa seorang pemimpin Pakatan Rakyat dari DAP mahukan seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengosongkan kerusinya.
Jawapannya mudah. DAP adalah aprti dominan didalam Pakatan. Dan DAP tahu Pakatan tidak lama lagi mungkin memerlukan pengganti seorang Ketua Pembangkang yang baru. DAP sebenarnya tahu Anwar akan dihukum penjara atas pertuduhan meliwat Saiful. Dan kali ini hukuman itu akan lama, kerana dahulu Anwar dihukum 6 tahun penjara. Mengikut amalan kehakiman, kali ini jika disabit kesalahan Anwar akan dihukum lebih daripada 6 tahun penjara.
Persoalan besar ialah siapa akan mengganti Anwar menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.
Walaupun mengikut amalan demokrasi kerusi Ketua Pembangkang sepatutnya dipegang oleh Lim Kit Siang kerana DAP punya kerusi paling banyak (28), namun PAS sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan Lim Kit Siang sebagai ketua Pakatan
Sebaliknya DAP pula tidak dapat menerima kepimpinan Pakatan diserah kepada Ustad Hadi.
Alternatif daripada PKR memang tiada. Kalau ada pun orang selepas Anwar ialah YB Azmin Ali. Sebagai Naib Presiden, beliau pemimpin paling kanan dalam PKR yang duduk dalam Parlimen.
Kedua-dua PAS dan DAP saya rasa tidak pernah terfikir pun akan dipimpin oleh Azmin, mungkin kerana usia Azmin yang masih muda walaupun berkaliber!
Maka Pakatan dijangka akan berhadapan dengan masalah kepimpinan di Parlimen bila Anwar dihukum penjara nanti. Mereka mesti mencari seorang pengganti, dan mesti segera.
Dan calon yang boleh diterima oleh DAP sebagai parti dominan didalam Pakatan sekarang ialah Zaid Ibrahim. Selain mempunyai nama bapa yang sama, Zaid dilihat mempunyai karektoristik yang sama dengan Anwar. Liberal dan tidak tebal semangat Islam dan kemelayuannya.
PAS juga boleh menerima Zaid walaupun beliau pernah mempertikai perlaksanaan enakmen hudud. Sebab itu PAS turun dengan penuh semangat takbir membantu dan menyokong Zaid semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor.
Sebab itulah DAP melihat peluang sekali lagi muncul untuk menobatkan Zaid jika kerusi Batu dikosongkan. Sebab itu saya tidak hairan Karpal Singh mengeluarkan pendapat bahawa Tian Chua sudah hilang kelayakan dan kerusi Batu mesti dikosongkan. Ini buntuk memberi laluan kepada Zaid mencuba nasib sekali lagi!
Malahan saya mendapat maklumat jika ada Ahli Parlimen yang disabit kesalahan yang boleh membatalkan kelayakan beliau, maka elok kerusi itu dikosongkan. Apakah YB Gobalakrishnan akan terpaksa mengosongkan kerusinya? Yang pastinya YB Gobala juga telah dihukum dengan hukuman yang boleh membatalkan kelayakan beliau sebagai Ahli Palimen.
Malah tersebar bisik-bisik dikalangan mereka kemungkinan Tan Sri Khalid Ibrahim akan diminta mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi laluan kepada Zaid, dan memberi tumpuan kepada Selangor.
Apa pun Zaid adalah "anak emas" bagi DAP sekarang untuk menggantikan Anwar. Dan kehendak DAP terpaksa dituruti kerana mereka yang dominan sekarang didalam Pakatan.
Lagipun, memang menjadi stail kepimpinan mereka terutama dikalangan Firaun-Firaun Kecil mahukan ada isu terus hidup demi survival politik mereka. Dan lebih banyak pilihanraya kecil diadakan lebih baik bagi mereka.
Sebab itu baru-baru ini saya mencadangkan kepada Parlimen supaya menghapuskan amalan mengadakan pilihanraya kecil, sebaliknya mencari mekanisme untuk seuatu kerusi itu diganti wakilnya tanpa keperluan kepada pilihanraya kecil. Ini kerana pilihanraya kecil adalah sesuatu yang membazir, dan hanya sekadar menjadi medan politiking yang melampau.
Apa yang pasti, samada Tian Chua hilang kelayakan atau tidak, samada kerusi Batu kosong atau tidak, itu adalah hak mutlak Parlimen menentukannya dibawah Artikel 53 Perlembagaan.
Apapun, kita perlu menunggu tempoh rayuan 14 hari itu luput, kerana Tian Chua berhak merayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Jika beliau merayu, maka semua isu berkaitan status kerusi Parlimen Batu adalah mainan akademik sahaja kerana sehingga keputusan rayuan dibuat oleh Mahkamah Rayuan (yang pasti akan mengambil masa bertahun), selagi itulah kedudukan Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen.
Jadi semuanya terletak kepada Tian Chua, kalau dia memfailkan rayuan, isu ini tidaklah timbul samasekali. Kita sekadar menghabiskan air liur sahaja!
Dan mengenali beliau, saya pasti Tian Chua akan berusaha mempertahankan kerusinya walau apa keadaan sekalipun.
Adios amigos.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Ahad
07 Rejab 1431
20 Jun 2010