Showing posts with label PRK Teluk Intan. Show all posts
Showing posts with label PRK Teluk Intan. Show all posts

26 May 2014

FITNAH HUDUD PAS?

Akan datang kelak suatu zaman dimana kamu akan terkena satu fitnah yang tidak kamu nampak, kerana datangnya seperti kepingan malam, seperti seekor semut hitam diatas batu hitam dimalam gelap gelita. Iaitu kamu Islam waktu pagi, tetapi kamu kafir waktu petang; kamu Islam waktu petang, tetapi kamu kafir waktu pagi. Kamu mahu hudud bersama UMNO, tetapi kamu bersama DAP menolak hudud. Kamu terkena suatu penyakit dipanggil 'wahan' - hubbud duniya wakaro hiyatul maut, kamu terlalu cintakan dunia, jawatan, kedudukan dan habuan, dan kamu terlalu takut mati dan kehilangan jawatan, kedudukan dan habuan duniawi itu.
Salam 2 all.

Tahniah kepada kepimpinan PAS kerana berjaya membantu calon DAP Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh memenangi kerusi Parlimen Bukit Gelugor dengan undi sebanyak 41,242 mengalahkan calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi, dan dua calon bebas Mohamed Nabi Bux Bin Mohd. Nabi Sathar (ahli PAS) yang mendapat 799 undi dan Abu Backer Sidek Mohd. Zan yang mendapat 225 undi*.

Ini bermakna PAS berjaya memenangkan calon DAP menjadi Ahli Parlimen yang telah berjanji akan menolak dan menentang cadangan pembentangan RUU Hudud PAS Kelantan.

Eh...macam pelik pulak bunyinya. PAS membantu memenangkan calon yang akan menentang PAS untuk laksanakan hudud?

Dan itulah hakikat sebenarnya. PAS yang kononnya mahu membentang Rang Undang-Undang Perlaksanaan Hudud PAS Kelantan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang telah memenangkan musuh hudud PAS!

Ceritanya mudah sahaja. Untuk membolehkan RUU itu diluluskan, PAS memerlukan majoriti mudah iaitu 112 Ahli Parlimen menyokongnya.

PAS ada 21 Ahli Parlimen. Bermakna PAS memerlukan sokongan 91 lagi Ahli Parlimen.

Daripada mana PAS nak dapatkan 91 Ahli Parlimen ini?

Rakan sebantal PAS iaitu DAP telah mengisytiharkan penentangan, over my dead body kata mendiang Karpal Singh, bekas Pengerusi DAP. Kata-kata penentangan yang masih dipegang oleh DAP.

Rakan sekatil PAS iaitu PKR telah menyatakan penolakan jelas. Kata pimpinan PKR yang sebangsa dan seagama dengan PAS, kami tetapi mengangkat Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang yang tidak menjadikan hudud sebagai agenda pembangkang.

Dalam keadaan penentangan dan penolakan rakan sekatil dan sebantal mereka, PAS menadah tangan mohon sokongan UMNO - parti Melayu-Islam yang mempunyai 88 Ahli Parlimen.

Alhamdulillah, kepimpinan UMNO termasuk Presidennya Dato' Sri Najib Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin menyatakan UMNO tidak menolak hudud Islam sebagai hukum Allah, dan bersedia bekerjasama dengan PAS.

Bermakna PAS campur UMNO menjadi 109 Ahli Parlimen - kurang 3 untuk majoriti mudah.

Mana mahu cari 3 Ahli Parlimen ini?

Tiba-tiba Allah mengosongkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan Parlimen Teluk Intan. Dua kerusi Parlimen sudah terbentang depan mata PAS untuk ditambah sokongan.

Bermakna dengan 21 MP PAS, tambah 88 MP UMNO, ditambah 2 kerusi lagi menjadikan 111 kerusi. Hanya tinggal satu kerusi sahaja lagi untuk mendapat majoriti mudah, sesuatu yang hampir pasti boleh dicapai dengan izin Allah.

Dalam keadaan itu, sudah pasti akal waras manusia akan menjangkakan PAS akan meletakkan calon di kedua-dua Parlimen itu, atau sekurang-kurangnya memastikan calon yang menang ialah calon yang akan sokong RUU Hudud PAS Kelantan.

Dan dalam keadaan itu, sudah pasti mana-mana umat Islam yang masih punya sekelumit iman akan menjangkakan PAS akan mengisytiharkan jihad untuk bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan!

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Rakan sekongkol PAS iaitu DAP meletakkan Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh sebagai calon Bukit Gelugor, dan Dyana Sofya Daud sebagai calon Teluk Intan.

DAN KEDUA-DUA CALON DENGAN JELAS, TERANG DAN NYATA MENGISYTIHARKAN MENOLAK HUDUD DAN AKAN MENENTANG PEMBENTANGAN RUU HUDUD PAS KELANTAN!

Dalam keadaan itu, akal waras manusia akan menjangkakan PAS bukan sahaja akan meletakkan calon sendiri, malah akan mengisytihar jihad menentang calon-calon DAP ini.

Tetapi sebaliknya yang berlaku!

Di Bukit Gelugor, PAS bukan sahaja menyokong dan membantu calon DAP yang menentang hudud, malah menentang dan mencemuh ahli PAS sendiri Mohamad Nabi Bux yang bertanding untuk menyokong RUU Hudud PAS Kelantan!

Di Teluk Intan, PAS bukan sahaja menyokong dan membantu calon DAP yang menentang hudud, malah pimpinan PAS turun berkempen untuk memenangkan calon DAP tersebut yang bukan sahaja menentang hudud, malah tidak bertudung pun!

MANA-MANA MANUSIA YANG MEMPUNYAI AKAL WARAS AKAN KATA INI POLITIK TIGA-SUKU!

MANA-MANA UMAT ISLAM YANG BERIMAN AKAN BERKATA INI SIKAP HIPOKRIT POLITIK YANG SANGAT MEMUALKAN!

Tetapi hairan, masih ada penyokong dan pendokong PAS yang terus menerus taksub dengan retorik hudud yang dibawa PAS - mereka menjadi kaum yang Allah sebut sebagai PBB - Pekak, Bisa & Buta - summum bukmum 'umyum fahuum.

Mereka membaca Al-Quran, mereka tahu Allah telah memberi amaran tentang perkara ini. Tetapi mereka umpama kaldai yang memikul kitab yang banyak dibelakang tetapi tidak membawa sebarang menafaat kitab-kitab itu selain bebanan kepada mereka. 

Persoalannya, dalam suasana sebegini, adakah PAS masih mempunyai hak agama, moral dan politik untuk mendesak UMNO terus menyokong dan membantu mereka kononnya mahu membentangkan RUU Hudud PAS Kelantan?

Hanya orang bodoh dan jahil sahaja yang akan mengikut rentak politik tiga-suku PAS ini yang hanya mempermainkan agama untuk kepentingan politik kepartian mereka!

Apa pun yang jelas ialah impian mendiang Karpal Singh sudah tercapai.

PAS bukan sahaja tidak berani 'melangkah mayat Karpal' untuk melaksanakan hudud, malah Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh yang turun berkempen dengan prinsip menentang hudud PAS berjaya 'melangkah mayat PAS' dengan memenangi kerusi Parlimen Gelugor dengan bantuan PAS.

Ya Allah, peliharalah aqidah dan keimanan kami, dan jauhkanlah kami daripada fitnah aqidah yang melanda umat ini, dan berilah kami kekuatan dan istiqomah, ameen!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
26 Rejab 1435
26 Mei 2014

* Nota: kesemua calon iaitu Datuk Huang Cheng Guan (PCM), Mohamed Nabi Bux & Abu Backer hilang deposit. Ramkarpal memperolehi majoriti sebanyak 36,659 (89%) undi. Tetapi peratus turun pengundi terlalu sedikit iaitu 46,099 iaitu sebanyak 56.04% daripada jumlah pengundi berdaftar seramai 82,431. Pecahan pengundi mengikut etnik di Parlimen Bukit Gelugor ialah 61,267 Cina (74.33%), Melayu 11,913 (14.45%), India 8,848 (10.73%) dan lain-lain kaum 403 (0.3%). Dalam PRU 13 pada 05.05.2013, mendiang Karpal Singh mendapat sebanyak 55,839 undi (iaitu majoriti 41,778 undi) daripada 82,042 (86%) pengundi yang turun. Calon BN masa itu Teh Beng Yeam (MCA) mendapat 14,061 undi. Bagaimanapun peratus majoriti yang diperolehi Ramkarpal adalah 89%, sedangkan mendiang Karpal ialah 79.1%.

24 May 2014

NEO-MALAYU: MALAI-SI

Kuan Yew berjaya memperdaya orang Melayu dengan memelayukan diri! Akhirnya, walaupun benar tidak Melayu hilang di Singapura, tetapi Melayu hilang tanah pusaka!
Salam 2 all.

Kejayaan DAP meletakkan calon Melayu di PRK Teluk Intan sebenarnya mempunyai mesej halus yang cukup jelas kepada para cauvinis bukan sahaja di Teluk Intan, tetapi juga seluruh negara!

MELAYU SUDAH DALAM GENGGAMAN KAMI!

Bagi kaum cauvinis, sebenarnya kejayaan DAP menjadikan Dyana Sofya Daud sebagai calon PRK Teluk Intan adalah suatu penjajahan politik yang sangat memberangsangkan mereka.

Cuba bayangkan fakta berikut:

1. Namanya Dyana Sofya Binti Mohd. Daud kini berumur 27 tahun dan seorang graduan - daripada namanya kita boleh anggap dia berbangsa Melayu dan beragama Islam;

2. Ibunya YAMMY SAMAT juga dapat kita anggap sebagai orang Melayu beragama Islam;

3. Yammy Samat adalah bekas pimpinan Wanita UMNO Bahagian;

4. Yammy Samat juga adalah Ketua Wanita Perkasa yang pertama;

5. Dyana sendiri adalah graduan lulusan daripada UiTM;


Berdasarkan fakta diatas, sudah pasti rumusannya ialah Dyana mempunyai semua ciri yang tepat untuk menjadi pelapis kepimpinan muda dalam UMNO, PAS atau PKR, dan mungkin juga menyertai NGO Melayu seperti Perkasa atau NGO Islam seperti ISMA atau ABIM!

Tetapi sebaliknya Dyana memilih untuk menyertai DAP, menjadi Pegawai Khas Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah, dan menjadi calon mewakili DAP untuk PRK Teluk Intan!

Dyana tidak pilih UMNO! Dyana tidak pilih PAS! Dan Dyana tidak pilih PKR!

Dyana tidak sertai Perkasa! Dyana tidak sertai ABIM! Dyana tidak serta ISMA!

Dan Dyana membawa personaliti dan retorik politik berikut:

1. tidak memakai tudung;

2. menolak dan menentang perlaksanaan hudud;

3. mendesak UiTM dibuka kepada bukan Melayu;

4. mendesak supaya IPTA seperti UiTM ditubuhkan khas untuk kaum Cina (nasib kaum India langusng tidak ada);

5. mahu merobohkan tembok perkauman, maksudnya mahu hak istimewa Melayu & bumiputera dihapuskan atau disamaratakan untuk kaum Cina.

Cuba bayangkan apa perasaan kaum cauvinis ketika ini?

Sudah pasti mereka bertepuk tangan bersorak gegak gempita. Anak Melayu beragama Islam yang lahir daripada perut Melayu dan makan daripada tangan bangsa Melayu kini bangkit menentang bangsa dan syariat agamanya sendiri diatas pentas parti paling rasis, extremis dan pelampau perkauman!

Sebenarnya orang Melayu, tidak kira samada daripada UMNO, PAS mahupun PKR; samada daripada ISMA, ABIM mahupun Perkasa wajar bermuhasabah dan bertanya dengan jujur - dimana silap kita boleh lahirnya neo-Melayu seperti Dyana?

Kita mendabik dada konon Gen-Y sudah bersama kita. Konon cerita kita ada pemimpin-pemimpin muda UMNO yang menjadi ikon dan gilaan Gen-Y. Kita berbelanja berbillion ringgit untuk program-program Gen-Y: PLKN, IM4U, Hari Belia dan banyak lagi.

Tetapi yang lahir ialah neo-Melayu seperti Dyana - mengibar bendera DAP!

Saya cukup yakin Dyana bukan sahaja akan menang, malah akan menang dengan majoriti bertambah di PRK Teluk Intan. Antara alasannya:

1. Dalam PRU-12 dan PRU-13, calon DAP menang besar dikawasan yang dahulunya kubu kuat BN. Walaupun BN menawarkan pelbagai pakej pembangunan dan insentif, dengan pelbagai habuan dan tawaran, pengundi cauvinis tetapi menolak dan memenangkan calon DAP!

2. Ini bermakna majoriti pengundi Teluk Intan, terutama dikalangan kaum cauvinis tidak menjadikan pembangunan dan habuan sebagai kayu pengukur mereka dalam mengundi calon;

3. apakah yang menjadi kayu pengukur mereka? Mudah sahaja, asalkan bukan BN, bukan UMNO. Mereka mahukan kuasa politik dan pemerintahan. Yang ini MCA mahupun Gerakan tidak dapat tawarkan, sebaliknya DAP berjaya bukan sahaja menawarkan kuasa politik dan pemerintahan, malah dapat membuktikan mereka berupaya memperkaldaikan segelintir Melayu untuk mendapatkan kuasa politik dan pemerintahan itu;

4. Calon BN Datuk Mah memang hebat, tetapi bagi kaum cauvinis Datuk Mah masih duduk dibawah pemerintahan UMNO. Datuk Mah boleh tawarkan pembangunan, habuan, BR1M, jalan, lampu, rumah, beras, gula, minyak dan lain-lain; tetapi Datuk Mah tidak boleh tawarkan apa yang pengundi cauvinis mahu iaitu kuasa politik dan pemerintahan;

5. DAP bukan sahaja membawa calon Melayu yang menolak bangsa dan syariat agamanya, yang lebih penting DAP membawa mesej menolak hudud! Undang-undang kasi potong yang cauvinis cukup takut. Dan DAP menunjukkan kepada kaum cauvinis Teluk Intan, walaupun PAS cakap berdegar mengenai hudud, tetapi PAS masih membantu dan menyokong calonnya Dyana yang terang-terang telah menolak hudud dan berjanji akan menentang RUU Hudud PAS dalam Dewan Rakyat jika dibentangkan. Sudah pasti kaum cauvinis akan tertarik dengan pakej perkaldaian ini dan memberi undi kepada Dyana;

6. Manakala pengundi Melayu Teluk Intan yang menolak BN dalam PRU-12 dan PRU-13, sudah pasti tidak akan membuat sebarang perubahan kerana calon BN masih bukan Melayu. Jadi tidak ada sebab untuk mereka mengundi Datuk Mah. Manakala faktor Dyana menentang hudud tidak akan mempengaruhi mereka kerana pimpinan PAS masih menyokong dan membantu Dyana termasuk turun berkempen untuk calon DAP ini;

7. Manakala pengundi-pengundi daripada kategori Gen-Y pula sudah pasti akan tertarik dengan pencalonan Dyana. Mereka ini kebanyakannya pun bukan tahu sejarah cauvinisma dan pelampau perkauman DAP. Malah ada yang tak tahu pun apa dia Tragedi 13 Mei. Mereka tidak pernah dengar laungan malai-Si-Mampus Melayu yang pernah dilaungkan cauvinis. Apa yang mereka nampak seorang wanita Melayu muda lulusan UiTM pun mendapat peluang dan ruang didalam DAP sampai boleh menjadi calon Parlimen walaupun lebih ramai ahli dan pimpinan kanan di Teluk Intan dan DAP Perak yang boleh menjadi calon;

Jadi pada saya, strategi DAP memang mengena. Pakej politik mereka cukup hebat:

1. Melayu sudah dalam genggaman mereka dengan bukti orang macam Dyana pun boleh menyokong perjuangan DAP, dan PAS yang nak buat hudud pun menyokong Dyana walaupun dia menolak dan menentang hudud, dan Anwar bersedia melantik Kitisang sebagai TPM jika menang. Mesej kepada kaum cauvinis jelas, beri undi kepada kami untuk terus memperkaldaikan Melayu demi untuk mendapat kuasa politik dan pemerintahan;

2. Mengundi Dyana bermakna menolak hudud PAS. Dengan memberi kemenangan kepada Dyana, ianya satu bentuk referendum untuk menghalalkan tindakan DAP menolak hudud; kerana bukan sahaja calonnya Dyana menolak dan menentang hudud, parti PAS yang beriya-iya nak hudud pun sokong DAP;

3. Mengundi Dyana bermakna menolak parti Cina lain seperti MCA dan Gerakan kerana mereka ini dianggap oleh kaum cauvinis hanya seperti 'kaldai dicucuk hidung' oleh UMNO, sedangkan DAP membuktikan mereka yang berjaya 'menyucuk hidung Melayu menjadi kaldai DAP', satu impian yang sudah lama dipendam-idam oleh para cauvinis.

Nota khas kepada Dyana dan anak-anak muda Melayu, nasihat saya ialah:

1. Bacalah Lapuran Kertas Putih Mageran bertarikh 06 Okt 1969 mengenai punca rusushan kaum dan peristiwa berdarah 13 Mei 1969;

2. Bacalah buku "13 Mei: Sebelum & Selepas" tulisan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra;

3. Pergilah mendengar dan berbincang dengan orang lama dan pimpinan kanan DAP seperti YM Tunku Aziz, bekas Naib Presiden DAP dan Ahli Dewan Negara mewakili DAP;

Saya percaya 3 sumber ini sahaja sudah cukup untuk menyedarkan Dyana dan anak-anak muda Melayu siapa DAP sebenarnya; apa matlamat dan strategi mereka; dan mengapa DAP adalah parti paling merbahaya yang bukan sahaja wajib dijauhi, malah wajib ditentang habis-habisan.

Dan kepada Dyana, kalau masih merasakan institusi khas untuk anak Melayu dan bumiputera seperti UiTM tidak patut ujud, eloklah serahkan kembali Ijazah yang katanya diperolehi daripada UiTM. Itu bukti paling bermaruah bahawa Dyana memang mahu runtuhkan tembok keistimewaan bangsa Melayu & bumiputera; robohkan dahulu nikmat tembok keistimewaan Melayu yang telah Dyana perolehi dan kecapi terlebih dahulu!

Apa pun, kita bangsa Melayu perlu bermuhasabah dan melihat kembali survival dan kelangsungan kesinambungan talian-hayat politik bangsa Melayu.

Kalau orang seperti Dyana boleh menyertai DAP, kalau ibu Dyana bekas Ketua Wanita Perkasa dan pimpinan Wanita UMNO bahagian boleh menyokong DAP; kalau PAS yang terkiyal-kiyal nakkan hudud pun masih menyokong dan mendokong DAP yang terang-terang menolak hudud; kalau Anwar yang gila nak jadi PM bersedia melantik Kitisiang sebagai TPM; kita orang Melayu punya banyak sebab untuk khuatir dan risau dengan nasib masa depan bangsa Melayu.

Mungkin bangsa Melayu tidak akan hilang daripada dunia, tetapi bangsa Melayu mungkin akan hilang tanah pusaka! Adakah laungan Malai-si-mampus Melayu yang dilaungkan cauvinis dalam peristiwa 13 Mei 1969 sudah mereka capai? Renung-renungkan!

Semoga Allah memelihara agama dan bangsa kita, dan semoga Allah memberi kita kekuatan iman dan taqwa serta istiqomah dalam perjuangan kita insya Allah, ameen!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
24 Rejab 1435
24 Mei 2014 

21 May 2014

POLITIK 3-SUKU

Peluru musuh Islam tidak membezakan diantara UMNO atau PAS, Hamas atau Fatah! Bagi tiap jiwa yang mempersaksikan 'Tidak ada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu Pesuruh Allah' adalah musuh qati'e bagi Iblis, syaitan dan dikalangan manusia yang memusuhi Allah & Islam!
Salam 2 all.

Nak hudud cari UMNO, nak kerusi cari DAP? Nak Islam cari UMNO, nak politik cari DAP!

Adakah PAS menjadi pengamal POLSAS - politik suku agama suku?

Saya melihat PRK Bkt Gelugor & PRK Teluk Intan sebagai bukti amalan POLSAS ini.

Dalam keadaan PAS sibuk mendesak Ahli Parlimen UMNO menyokong usul hudud PAS Kelantan; tetapi diwaktu yang sama mereka menyokong dan mengundi calon-calon DAP bagi PRK Parlimen Bkt Gelugor dan Teluk Intan yang terang-terang menentang hudud PAS!

Malahan PAS cukup kuat mengutuk dan mengecam mana-mana wanita Melayu Islam yang tidak bertudung, tetapi mereka menyokong dan mengundi calon DAP PRK Teluk Intan yang bukan sahaja tidak bertudung malah menentang hudud PAS!

Sebab itu saya rasa iblis sendiri pun akan menangis melihat politiking hipokrit dan melampau PAS ini! Sebab jahat-jahat iblis pun dia berterus terang dengan pendirian dia depan Allah menolak Nabi Adam a.s, sedangkan PAS mempertopengkan agama Allah untuk kepentingan politik kepartian mereka!

Baru-baru ini saya berkesempatan berjumpa seorang pemimpin kanan PAS yang juga seorang yang dikenali sebagai Ustaz. Malahan kekadang dia dikenali dan dipanggil sebagai ulamak walaupun bagi saya beliau hanya seorang penggemar nasi lemak.

Saya bertanya kepada Ustaz ini satu soalan;

"Enta desak Ahli Parlimen UMNO sokong hudud PAS, tetapi enta sokong calon DAP bagi Parlimen Bkt Gelugor dan Teluk Intan yang terang-terang menolak dan menentang hudud PAS! Bukankah ini paradoks politik dan sifat hipokrit yang sangat serius".

Jawab Ustaz ini, "hudud soal agama sheikh, PRK soal politik. Enta kena bezakan antara perlaksanaan hudud dan pilihanraya".

Saya menjawab dengan bertanya balik, "bukankah itu bermakna enta memisahkan antara agama dan politik. Hudud agama, pilihanraya politik. Ini bermakna amalan politik suku agama suku? Bukankah atas tuduhan politik suku agama suku inilah PAS mengkafirkan UMNO?".

Pada pandangan saya, inilah sikap politik hipokrit PAS yang Allah dedahkan melalui PRK Bkt Gelugor dan PRK Teluk Intan.

Kalau benar perjuangan PAS berdasarkan Al-Quran & Sunnah sebagaimana yang selalu dimomokkan kepada orang Melayu, sudah tentu mereka akan menentang calon DAP bagi PRK Bkt Gelugor dan Teluk Intan.

Tetapi yang pelik calon ahli PAS sendiri bagi PRK Bkt Gelugor Haji Mohamed Nabi Bux yang jelas perjuangan dia mahu membantu PAS melaksanakan hudud, bukan sahaja tidak disokong dan dibantu oleh PAS, malahan beliau dimaki dan dicaci nista.

Sampai ke peringkat PAS tidak mahu mengaku beliau sebagai ahli walaupun ada sijil keahlian yang ditandatangani sendiri oleh Almarhum Ust Fadil Nor, mantan Presiden PAS!

Sebaliknya PAS bermati-matian membantu dan menyokong Ramkarpal Singh yang terang-terang menyatakan jika dia menang menjadi Ahli Parlimen, dia tetap dengan pendirian mendiang bapanya sendiri Karpal Singh akan menentang RUU hudud PAS jika dibentangkan didalam Parlimen nanti!!!

Malah Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang turut hadir menyambut Ramkarpal Singh dalam perarakan pada hari penamaan calon!

Didalam PRK Teluk Intan, secara jelas lagi sarih calon DAP yang tidak bertudung ini menegaskan bahawa jika dia menjadi Ahli Parlimen, dia sama sekali tidak akan menyokong usul RUU Hudud PAS Kelantan, malah akan menentangnya.

Sekali lagi PAS mengambil sikap menyokong dan membantu calon DAP ini untuk memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan. Malah pimpinan PAS turut sama berarak meraikan calon tidak bertudung penentang hudud ini pada hari penamaan calon!

Dan bila ditanya kepada kepimpinan PAS kenapa sokong calon DAP yang terang-terang menentang hudud, pasti mereka akan menjawab membantu DAP adalah strategi politik tahalluf siasi, melaksanakan hudud adalah kewajipan syariah.

Bantu DAP siasah, buat hudud syariah!

Bukankah itu namanya politik suku agama suku?

Adakah PAS sudah lupa Amanat Hadi yang dibuat di Kg Banggol Pradong, Kuala Terenganu pada tahun 1981? Adakah PAS lupa bahawa, "PAS menentang UMNO kerana mengamalkan politik suku agama suku".

Atau adakah PAS sudah sampai ke peringkat politik tiga suku?

Kepada ahli-ahli PAS yang saya percaya cukup ikhlas mahukan Islam, sedar dan insaflah kalian semua daripada kesesatan politik yang sedang dibawa oleh kepimpinan kalian, terutama daripada kalangan parasit yang sudah meresap menguasai PAS yang berpendirian mempertuhankan kerusi dan demokrasi!

Bangkitlah melakukan jihad mengembalikan PAS kepada perjuangan menegakkan sebuah Daulah Islamiyyah dan melaksanakan syariat Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, semoga kita semua diberi kekuatan dan sifat istiqomah dalam perjuangan in insya-Allah, ameen!

Aamantu billah summastaqeem - intan surullah hayan surkum, wayusabbit aqdaamakuum!

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
21 Rejab 1435
21 Mei 2014