Showing posts with label Salam. Show all posts
Showing posts with label Salam. Show all posts

24 October 2014

HIJRAH-4-UKHWAH!

 
Kegagalan umat Islam bersatu dalam ukhwah Islamiyyah menyebabkan musuh mengambil kesempatan; perpecahan umat Islam sampai ke peringkat kalimah Allah menjadi bahan dagangan politik demi kerakusan nafsu untuk kuasa dan kedudukan!
Salam 2 all.

1435 Hijrah akan berlalu, 1436 Hijrah menjelang tiba - sekali lagi kita menyambut Ma'al Hijrah.

12 Rabi'ul Awal, itulah tarikh sebenar Rasulullah saw tiba di Yathrib dalam peristiwa besar Hijratul-Rasul. Setelah beberapa hari berada di Quba', dan mendirikan Masjid Quba', serta mendirikan solat Jumaat pertama dalam Islam (kini didirikan Masjid Jumaat ditapak itu berhampiran Madinah), Rasulullah bergerak ke Yathrib bersama sahabat Baginda Saidina Abu Bakr As-Siddiq.

Sesampai Baginda di Yathrib, dengan sambutan nasyid tola'al badru 'alaina, Rasulullah yang menunggang unta bernama Quswa memulakan ucapan dengan berkata:

Aiyyuhannas - Afsyussalam!!! Wahai manusia, sebarkan salam!

Mengapa Rasulullah saw membuka ucapan dengan kenyataan itu? Menyeru manusia supaya menyampaikan salam - iaitu ucapan Assalammau'alaikum!

Kerana didalam salam ada pelbagai mesej - dan ia adalah pengikat perpaduan dan kesatuan.

Pertama, didalam salam ada doa. Berbeza dengan ucapan tradisi yang diamalkan oleh orang lain, ucapan salam bermaksud 'saya doakan sejahtera keatas kamu'. Dan penerima salam juga wajib menjawab dengan doa - wa'alaikum salam- sejahtera juga keatas kamu!

Kedua, ucapan salam merangkumi semua waktu. Ia tidak setakat ucapan selamat hanya untuk waktu pagi seperti Good Morning, atau hanya untuk waktu petang seperti Good Evening, tetapi ianya mencakupi seluruh hari tidak kira siang, malam, ribut, terang dan lain-lain!

Ketiga, ucapan salam bersifat universal. Pergilah kemana sahaja - barat, timur, utara, selatan, Eropah, Amerika, Russia, India, China, Australia, malah ke Kutub Utara atau Kutub Selatan, atau bercakaplah dalam bahasa apa pun - tetapi ucapan salam bagi umat Islam tetap sama - assalammu'alaikum.

Keempat, disebabkan ucapan salam itu berbentuk universal, maka dengan mudah kita mengenali saudara se Islam - walaupun dia daripada negara mana sekalipun, walau dia bercakap apa bahasa sekali pun. Bila sahaja bertemu dan dia mengucapkan salam, kita sekalugus tahu dia adalah Muslim saudara kita!
Kelima, disebabkan sifat universal salam itulah maka ucapan salam menjadi pengikat kepada perpaduan, kesatuan dan ukhwah umat Islam. Kerana didalamnya mengandungi kesatuan bahasa, kesatuan doa, kesatuan akidah!

Sebab itulah Rasulullah saw menyeru didalam muqaddimah ucapan Baginda sebaik sahaja menyempurnakan hijratul-Rasul - aiyyuhannas, afsyussalam - wahai manusia - sebarkanlah salam.

Hari ini umat Islam berpecah parah. Pertelingkahan kerana perbezaan mazhab, politik, kaum, etnik, dan pelbagai kepentingan menyebabkan kita menjadi lemah dan musuh mengambil kesempatan.

Apabila ada umat Islam sendiri meredhakan kristian mengguna kalimah Allah sebagai tuhan triniti, apabila umat Islam meredhai arak diminum secara berleluasa di tempat awam, apabila umat Islam melebihkan gereja daripada masjid, apabila umat Islam lebih seronok membelai dan berpelukan dengan anjing daripada bermesra sesama Islam - bermakna KPI umat Islam menurut Al-Quran dan Sunnah sudah sampai ke tahap kronik!

Sempena 1436 Hijrah ini, marilah kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, memperkukuhkan ukhwah, kesatuan dan perpaduan kita dengan mengamalkan perkara yang begitu mudah - amalkan memberi salam kepada sesiapa sahaja umat Islam yang kita temui.

Apabila amalan memberi dan menjawab salam ini sudah meluas diamalkan dikalangan umat Islam, lihatlah nanti bagaimana mukjizat salam akan membawa kesan menyatupadukan umat Islam insya Allah.

SATU UMAT - AQIDAH DIUTAMAKAN, SYARIAH DIDAULATKAN

HIJRAH PENCETUS UKHWAH PERPADUAN

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
29 Zul-Hijjah 1435
24 Okt 2014

04 November 2013

SALAM 1435 - AFSYUSSALAM

Sempenan Ma'al Hijrah 1435, marilah kita umat Islam berusaha membebaskan Masjidil Aqsa
Salam 2 all.

Aiyyuhal muqminuun...afsyussalam...afsyussalam...afsyussalam!

Wahai orang beriman...sebarkanlah salam...sebarkanlah salam....sebarkanlah salam!

Itulah ucapan pertama Rasulullah saw sebaik sahaja tiba di Yathrib dalam peristiwa yang kini diperingati oleh umat Islam sedunia sebagai peristiwa Ma'al Hirah.

Ucapan salam dengan lafaz assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh, salam sejahtera keatas kamu berserta rahmat dan keberkatan ALLAH adalah satu ucapan universal, yang bukan sahaja mendoakan sesama umat, malah ia adalah syiar kesatuan dan ukhwah Islam.

Dimana sahaja kita pergi, samada benua Eropah Barat, Australia, India, Afrika, Russia, Eropah Timur, malah segala mana ceruk dunia, sebaik sahaja mendengar ucapan salam kita tahu ianya adalah saudara satu aqidah dengan kita.

Begitulah peranan salam.

Dan itulah yang semakin ketandusan dikalangan umat Islam. Ukhwah, kesatuan dan perpaduan!

Umat Islam kini berpecah, samada dari segi mazhab, dari segi kefahaman, dari segi politik, dari segi assobiyyah kenegaraan dan kedaerahan dan segala macam lagi.

Agak ganjil bagi umat yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Aqidah, Satu Qiblat tetapi berpecah belah. Bukan sekadar bertelingkah dan berselisih faham, malah sampai membawa kepada peringkat peperangan dan pembunuhan.

Dan anasir-anasir yang tidak senang dengan Islam menggunakan kesempatan sepenuhnya peluang dan ruang itu untuk terus melunyaikan umat Islam.

Sebab itu marilah kita menggunakan kesempatan sambutan Ma'al Hirah 1435 sebagai titik permulaan untuk berusaha kearah memupuk dan menyemai ukhwah dan kesatuan kita.

Kalau umat Yathrib kaum 'Auz dan Khazraj yang telah berperang beratus tahun berjaya bersatu dan berpadu dibawah satu risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw, mengapa pula kita umat Islam, khususnya bangsa Melayu tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Demi untuk penyatuan umat Islam dan mempunyai perasaan sense of belonging, Saidina 'Umar r.a  telah melakukan satu pembaharuan yang telah berjaya mencorakkan umat Islam supaya mempunyai identiti tersendiri - iaitu memperkenalkan Taqwim Islam dengan mengambil sempena peristiwa hijrah Rasulullah saw sebagai permulaan perkiraan kalendar Islam.

Ini dilakukan oleh Saidina 'Umar r.a kerana mahu membezakan umat Islam daripada amalan kalendar Gregorian, iaitu kalendar yang diambil sempena daripada kononnya kelahiran Jesus Christ, individu yang diangkat sebagai anak tuhan oleh kaum yang dikenali sebagai kristian hari ini. Sebab itu kalendar masihi ini disebut dengan In the Year of Our Lord - Anno Domini!

Saya menyeru umat Islam termasuk diri saya sendiri supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkan penggunaan kalendar Islam. Kita boleh bermula dengan mengingatkan tarikh kelahiran kita, anak isteri kita, kaum keluarga kita dengan menggunakan kalendar Islam.

Bagi memudahkan kita yang mungkin tidak tahu, hanya perlu layari www.islamicfinder.org dan dalam ruang 'calendar', kita cuma perlu masukkan tarikh kelahiran kita dalam tahun masihi dan 'convert' ke taqwim Islam; nanti akan keluar tarikh kalendar Islam yang bersamaan dengan tarikh masihi yang kita catatkan.

Perlu juga saya ingatkan diri saya dan saudara-saudari semua, bahawa salah satu rukun zakat, selain cukup nisab, ialah cukup haul; iaitu cukup tempoh matang setahun. Dalam konteks pembayaran zakat, cukup setahun itu dikira mengikut tempoh setahun kalendar Islam, bukan kalendar masihi!

Bermakna kalau kita mengambil perkiraan setahun daripada bulan Muharram, maka nisab harta untuk dizakat hendaklah dikira tempoh haul nya daripada 01 Muharram 1434 sehingga 01 Muharram 1435. Maka jika cukup nisabnya, hendaklah dikeluarkan zakat pada 01 Muharram 1435, iaitu esok.

Kalau kita mengira mengikut kalendar masihi, bermakna tiap tahun kita kekurangan 11 hari. Kalau dalam tempoh 30 tahun, bermakna kita sudah kekurangan 1 tahun. Bermakna kita tidak membayar zakat bagi setahun hijrah. Sedangkan hukum membayar zakat itu Rukun Islam! Bermakna kita tidak menunaikan Rukun Islam untuk setahun!

Apapun, kita umat Islam seharusnya mempunyai identiti kita sendiri. Dan antara identiti kita ialah ucapan salam, dan penggunaan taqwim Islam. Begitulah uniknya kita umat Islam, yang mempunyai satu Tuhan yang disebut ALLAH. Dimana juga ceruk dunia kita pergi, sesiapa sahaja yang mengucapkan salam dan mempertuhankan ALLAH, mereka adalah saudara kita.

Sebab itu, selain menghidupkan sunnah Rasulullah saw dengan mengamalkan salam, kita juga wajib mempertahankan kalimah ALLAH sebagai benteng aqidah kita.

Justru itulah Rasulullah saw berhijrah. Bukan kerana mahukan kuasa, bukan kerana mahukan harta, bukan kerana mahukan wanita!

BUKAN! BUKAN! BUKAN!

Rasulullah ditawarkan oleh musyrikin Makkah dengan harta sebesar Jabbal Uhud, kekuasaan keatas keseluruhan masyarakat Makkah, dan wanita tercantik untuk dijadikan suri. Namun Rasulullah saw menjawab dengan satu ketegasan yang wajib menjadi pendirian kita;

Andaikata mereka memberikan aku matahari ditangan kanan ku, dan bulan ditangan kiri ku, namun aku tidak akan sekali-kali berhenti menyebarkan risalah Laa ila ha illallah - Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH Yang Maha Esa!

Itulah matlamat kita, itulah perjuangan kita. Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanyalah kerana ALLAH!
Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1435!

Assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
01 Muharram 1435
05 November 2013

24 January 2011

PELIK TAPI BENAARRR!

(Isterinya sampai bersarung tangan, lakinya bisa menyorong pak..kompius dong!!)

Salam 2 all.

Teman kesal dengan kenyataan Dato' Seri Chua Soi Lek, yang kemudiannya diikuti oleh Dato' Seri Ng Yen Yen yang mempertikaikan tindakan calon PAS di PRK DUN Tenang Normala Sudirman @ Cikgu Mala tidak mahu bersalaman dengan lelaki ajnabi. Adalah sangat malang setelah lebih 50 tahun merdeka masih ada lagi kejahilan di kalangan kepimpinan bukan Islam dalam negara ini mengenai soal yang begitu fundamental dan asas.

Dato' Seri Chua sepatutnya memahami bahawa ada 'amalan dan hukum hakam yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada kepercayaan dan keyakinan seseorang pada agamanya, walaupun mungkin kelihatan pelik bagi orang lain.

Contohnya dalam isu terbaru membabitkan Bhagan Singh a/l Surinderpal Singh yang digunting rambutnya oleh mereka yang tidak diketahui semasa sedang tidur di kem PLKN. Rambut beliau dikatakan sudah mencecah sampai kebawah pinggang. Bagi orang Melayu dan mungkin juga bagi sesetengah kaum lain, ini sesuatu yang pelik bagi seseorang lelaki menyimpan rambutnya sebegitu panjang. Malah menyimpan rambut panjang disamatarafkan dengan gejala negatif saperti mat pit, kaki dadah dan lain-lain. Malah ada media yang mengharamkan artis berambut panjang muncul dikaca televisyen.

Tetapi tiada siapa pun mempertikaikan, apatah lagi memperlekehkan rambut panjang beliau Malahan ramai umat Islam, termasuk teman sendiri yang mengutuk tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab kerana memotong rambut beliau. Bukan kerana teman menyokong menyimpan rambut panjang itu, tetapi kerana itu adalah fahaman agama Sikh, yang dipanggil kesh. Rupanya menggunting rambut adalah diharamkan didalam fahaman agama Sikh, walaupun teman hairan dan keliru apa hukumnya bagi orang Sikh kepada mereka yang mengguntingnya dengan sengaja saperti Karpal Singh. Adakah murtad, atau dosa besar, teman pun tak tahu. Nanti ada kesempatan teman mahu juga minta pandangan hukum itu dari para agamawan Sikh.

Sama saperti perayaan Thaipusam baru-baru ini. Ada kelompok yang akan melihat tindakan mencocok diri sendiri, berjalan atas api, memecah buah kelapa dan lain-lain sebagai satu amalan yang sangat pelik. Malah ianya kelihatan saperti satu pembaziran. Tetapi kerana itu adalah kepercayaan kaum Hindu, kita menghormatinya walaupun tidak bersetuju dengannya.

Begitu jugalah amalan kaum Kristian, mempercayai Santa Claus, meletak pokok Krismas, merayakan Krismas dengan salji (takde salji pun terpaksa buat salji palsu) yang bagi sesetengah kelompok satu amalan pelik, kerana Jesus sendiri pun tak pernah tengok pokok Krismas. Malah Jesus tak pernah jumpa pun, apatah lagi mengenali Santa Claus. Apatah lagi nak tengok Santa Claus terbang sana sini dengan rusa. Lagilah Jesus tak pernah tengok., sebab Jesus pun tak bioleh terbang macam Santa Claus. Tetapi kita umat Islam masih menghormatinya kerana itu kepercayaan umat Kristian masakini, walaupun kita tidak bersetuju apatah lagi meredhoinya.

Itulah pentingnya toleransi dan kefahaman inter-agama. Supaya tidak timbul salah faham. Cuba kita tinjau balik insiden yang sama beberapa minggu lepas bilamana seorang peguam kafir mempertikaikan azan di Masjid Ikhlasiah, Kg. Kerinci, Kuala Lumpur. Rupanya yang dia pertikaikan ialah kuliah dan zikir yang dipasang kuat melalui mikrofon, maka bila bunyi azan dia samakan. Sedangkan dia tidak faham azan itu memang perlu dikumandangkan, tetapi tidak kuliah dan kuliah. Hanya setelah difahamkan baru beliau mengerti, dan dengan segera memohon maaf. Itu toleransi agama namanya!

Tetapi kepada pihak masjid pun hendaklah mengambil kira hukum kuliah dan zikir tidak perlu dipasang ke corong pembesar suara dengan kuat. Cukup sekadar dalaman masjid sahaja buat makmum dan jemaah yang hadir mendengarnya. Tetapi azan memang perlu dikumandangkan. Cuba tanya Dr. Asri Zainal Abidin, yang menegaskan hanya azan perlu dikumandangakan, sebaliknya zikir dan bacaan Al Quran tidak perlu. Kupasan beliau agak detail dalam hal ini (layari lamanweb www.drmaza.com).

Dan kita umat Islam pun perlu tanya diri sendiri mengapa orang macam Dato' Seri Chua Soi Lek masih tidak faham. Seperkara yang kita perlu ingat, kenyataan Dato' Seri Chua adalah kerana kejahilan, tidak saperti Karpal Singh & Kitsiang yang menentang. Itu perbezaan besar. Karpal dan Kitsiang adalah kafir harbi disegi hukum. Yang mencabar Islam dan umat Islam. Sehingga umat Islam mahu melaksanakan Islam dicabar "over my dead body". Kafir harbi saperti ini perlu diperangi, wajib ditentang habis-habisan, bukan disekongkoli dan dikawanrakankan. Tetapi orang macam Dato' Seri Chua, Dr. Ng Yen Yen, kenyataan dan tindakan mereka lebih kepada kerana kejahilan. umngkin elok pendakwah dan ilmuan PAS mendekati mereka dengan cara hikmah. Eh yop, takkan sebab parti lain kita tak mau berdakwah. Itu bukan cara Rasulullah saw tu yop. Dakwah tidak kira siapa, jangan dakwah pun nak kira parti jugak, teruk bebenor dah tu yop!

Dan teman sendiri pun tidak akan salahkan seratus peratus kejahilan orang saperti Dato' Seri Chua dan Ng Yen Yen. Ini kerana dia melihat rakan sekutu PAS juga mengamalkan perkara yang sama. Disatu pihak, mereka melihat isteri manusia yang ditabal sebagai anugerah tuhan beriya-iya menjaga adab bersalam sehingga membuat sarung tangan khas ala Michael Jackson (sarung tangan sebelah dibuat dari sutera lembut yop). Salam tiada masalah bagi beliau, cuma berlapik dengan sarung tangan. Teman pun tak tahu dari segi hukum, yang dilarang itu bersalam ke atau menyentuh kulit tangan? Sebab prinsipnya ialah menjaga adab dan kehormatan wanita Muslimat. Jadi tiada guna kalau bersarung tangan tetapi masih bersalam kesana-kemari. Tetapi itu untuk para ulama' dan fuqaha membincangkannya, teman sendiri pun tak tahu hukumnya.

Tetapi diwaktu yang sama, laki yang beliau sendiri tabal sebagai anugerah tuhan itu bersalam-salam dengan perempuan ajnabi macam tak cukup tanah. Langsung tiada masalah. Siap berjoget lagi, dengan anak tokeh judi Lim Goh Tong pun berdangdut habis (cuba lihat videoklip diatas). Tambah-tambah pulak manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan ini adalah mursyidul am Pakatan pembangkang. Dan PAS pun duduk didalam kelompok yang sama!!

Jadi sudah tentu ini memberi satu kekeliruan kepada orang kafir saperti Dato' Seri Chua. Isterinya sampai bersarung tangan pak, lakinya sampai berjoget sakan!? Bagaimana itu dong..kompius gue dong!!??

Jadi kita umat Islam punya banyak kerja lagi yang perlu dibuat. Kerja dakwah perlu dipertingkatkan. Kefahaman tentang Islam perlu disebarkan. Jangan batasan parti dan politik menyebabkan kita tidak berdakwah. Dan dok sibuk tuding jari ni kerja orang lain. Ni kerja kita umat Islam, salah satu sifat Nabi saw, tabligh! Janganlah kita dok sibuk berpolitiking sampai akhirnya berputih-mata nanti. Sampai kerja dakwah pun nak berpolitik. Akhirnya yang tum-PAS ialah Islam juga. Teman cukup yakin kalau kena cara penjelasannya, Dato' Seri Chua insyallah akan memahaminya. Dan sebagaimana dalam insiden azan di Masjid Ikhlasiah itu, mau beliau pula yang meminta maaf. Tidak guna kita nak memaki-hamun beliau kalau ada dikalangan kita sendiri pun mengamalkan perkara diluar tabi'e - isterinya bersarung, lakinya menyorong pak!!

Apa pun, teman angkat tabik kepada Cikgu Mala yang bertegas tidak mahu bersalam dengan lelaki. Kenyataan Cikgu Mala, "dengan lelaki Islam pun saya tidak bersalam" adalah satu penegasan yang sangat berprinsip. Teman berharap Cikgu Mala akan terus mempertahankan prinsip itu, "walau karihal kaafiruun, walau karihal musyrikun, walau karihal munaafiquun". Cuma teman risau tengok gambar hari ni Cikgu Mala dah mula meniru jejak langkah isteri manusia yang dilabel anugerah tuhan ini, dah pakai sarung tangan sebelah ala Michael Jackson pulak dah, dah bersalam sakan dah pun. Pada teman, prinsip tetap prinsip, pertahankanlah Cikgu Mala. Jangan bertaklik kepada manusia, tetapi berpeganglah kepada Al Quran dan Sunnah. Dan yakinlah dengan bantuan ALLAH, dan bantulah agama ALLAH dengan mematuhi hukum hakamnya. intansurullah hayannsurkum, wayusab bit a'kdaamaqum - bantulah agama ALLAH, pasti ALLAH akan membantu kamu.

Adios amigos, grasias senor!

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
19 Safar 1432
24 Januari 2010