Showing posts with label Nurul Izzah. Show all posts
Showing posts with label Nurul Izzah. Show all posts

12 March 2015

NURUL IZZAH - KEKEBALAN AHLI PARLIMEN!


alt
Kenyataan media selepas selesai membuat lapuran polis Dang Wangi Repot No. 006551/15 terhadap Nurul Izzah Anwar di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur tengahari tadi!
Salam 2 all.

Pada hari ini Khamis 21 Jamadil Awal 1436 bersamaan 12 Mac 2015, saya telah membuat lapuran polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berkaitan ucapan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Binti Anwar didalam sidang Dewan Rakyat pada 10.03.2015.

Ucapan itu berkaitan dengan keputusan lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah pada 10.02.2015 menolak rayuan bapanya Anwar Bin Ibrahim dan mensabitkan beliau dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Bin Azlan dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan dan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun keatasnya. 

Butiran ucapan beliau itu ada dilampirkan dibawah ini.

Pada saya ucapan Nurul Izzah Binti Anwar ini bukan sahaja menghina Hakim-Hakim tersebut, malahan berbaur dengan unsur hasutan kerana akan menyebabkan rakyat dan orang awam membenci Hakim-Hakim tersebut dan institusi kehakiman negara.

Walaupun ramai beranggapan seseorang Ahli Parlimen itu kebal daripada sebarang tindakan perundangan, namun itu adalah persepsi yang salah.

Memang benar Perkara 63 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan memberikan imuniti kepada Ahli Parlimen untuk bebas bercakap apa sahaja didalam Dewan dan diberi kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang, namun Perkara 63 Fasal 4 memperuntukkan bahawa kekebalan itu tidak terpakai bagi sebarang kesalahan dibawah Akta Hasutan.

Ini disahkan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan didalam kes Datuk Mark Koding -v- Pendakwaraya [1982] 2 MLJ 120 FC bilamana Datuk Mark Koding dikenakan tindakan pendakwaan menghasut dibawah Akta Hasutan walaupun ucapan beliau itu dibuat didalam sidang Dewan Rakyat!

Saya berharap pihak polis akan segera menjalankan siasatan dan jika didapati ada kes, saya mendesak Peguam Negara supaya segera mengambil tindakan pendakwaan terhadap Nurul Izzah Binti Anwar sebagai pengajaran kepada Ahli Parlimen bahawa mereka tidak boleh bercakap sesuka hati konon kerana mereka ada kekebalan undang-undang! 

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
21 Jamadil Awal 1436
12 Mac 2015

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
LAPURAN POLIS
Oleh ZULKIFLI BIN NOORDIN
Balai : Jalan Dang Wangi
Daerah : Dang Wangi
Kontinjen : Kuala Lumpur
No Repot : Dang Wangi/006551/15
Tarikh : 12.03.2015
Waktu : 14.14hrs
Pengadu : Zulkifli Bin Noordin

Pengadu Menyatakan:

Semasa saya berada di pejabat di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, 50100 Kuala Lumpur semalam 11 Mac 2015, saya telah menerima satu link videoklip YouTube beralamat di https://youtu.be/RbSMNVMhD0. Setelah membukanya saya dapati ianya adalah satu petikan ucapan Nurul Izzah Binti Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai semasa menyampaikan ucapan dalam Bahas Titah DiRaja dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Mac 2015 yang telah membuat ucapan kononnya atas alasan membaca teks kenyataan bapanya Anwar Bin Ibrahim seperti berikut:

Dalam tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik, Hakim-Hakim menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman. Mereka menjual diri mereka kepada syaitan, memperdagangkan nurani mereka demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan”.

Mereka diberi peluang untuk menebus diri dengan bertindak membetulkan kesilapan badan kehakiman yang lampau, mengembalikan kemuliaan dan mengukir nama baik sebagai pembela sebenar keadilan. Sebaliknya mereka memilih untuk kekal dalam kegelapan”.

Dan selepas beliau ditegur Tuan YDP Dewan mengenai Peraturan 36 (8) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Nurul Izzah Binti Anwar menyambung:

“Saya hargai, kerana itu saya akan menunggu, apabila Ahli Parlimen Padang Serai membawa usul untuk membahaskan perilaku jahat Hakim-Hakim dalam Mahkamah Persekutuan yang saya harap akan diluluskan oleh pihak Yang DiPertua”.

Saya percaya Nurul Izzah Binti Anwar membuat kenyataan ini dalam konteks mempertikai penghakiman lima (5) orang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah pada 10.02.2015 menolak rayuan bapanya Anwar Ibrahim dan mensabitkan beliau dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan dan mengekalkan hukuman penjara selama 5 lima (5) tahun.

Saya sesungguhnya percaya kenyataan Nurul Izzah Binti Anwar ini bukan sahaja menghina dan mencera Yang Arif Hakim-Hakim tersebut dan merupakan suatu kenyataan yang “highly contemptuous”, malah ianya berbaur hasutan kerana boleh membawa kepada rakyat dan orang ramai mempertikai dan memandang hina, dan mencurigai integriti, kewibawaan dan kredibiliti Hakim-Hakim Mahkamah tersebut kerana dituduh sebagai:

1. tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik;
2. menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman;
3. menjual diri mereka kepada syaitan;
4. memperdagangkan nurani mereka demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan;
5. memilih untuk kekal dalam kegelapan;
6. usul perilaku jahat Hakim-Hakim dalam Mahkamah Persekutuan.

Saya percaya kenyataan Nurul Izzah Binti Anwar itu tidak dilindungi oleh kekebalan sesorang Ahli Parlimen seperti diperuntukkan dibawah Perkara 63 Fasal (2) Perlembagaan berdasarkan Perkara 63 Fasal (4) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa kekebalan seseorang Ahli Parlimen dibawah “Fasal (2) tidak terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan dibawah Akta Hasutan 1948”; dan ini disahkan oleh Mahkamah Persekutuan didalam kes Datuk Mark Koding v. Pendakwaraya [1982] 2 MLJ 120 FC.

Saya dengan ini memohon pihak Polis untuk menjalankan siasatan terhadap Nurul Izzah Binti Anwar dan memohon pihak Pendakwa Raya mengambil tindakan pendakwaan sekiranya didapati ucapan Nurul Izzah Binti Anwar ini sememangnya melanggar mana-mana peruntukkan dibawah Akta Hasutan 1948.

Saya sesungguhnya membuat lapuran ini untuk memastikan integriti dan kewibawaan badan kehakiman dan Hakim-Hakim Mahkamah terpelihara dan terbela.

Sekian lapuran saya.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
21 Jamadil Awal 1436 / 12 Mac 2015

21 March 2014

TAZKIRAH KAJANG: NO-2-ANWARIZAH


SAY NO-2-ANWARIZAH



Tanya sama Zizah

mana jam Omega

nanti jawab Zizah

ada kat rumah



Tanya sama Zizah

pasal tak percaya

nanti jawab Zizah

bukan perut dia


LOOKS LIKE ME, SOUNDS LIKE ME…BUT NOT MY TUMMY!!!
Salam 2 all.

Saya menulis ini sebagai peringatan untuk diri saya dan khusus kepada ahli dan penyokong PAS , dan kepada umat Melayu-Islam umumnya, dalam menghadapi PRK Kajang khasnya, dan dalam menilai hubungan dan kerjasama dengan DAP-PKR yang diselindungkan disebalik konsep tahaluf siyasi, dan dalam menilai persoalan survival dan masadepan sosio-politiko umat Melayu-Islam!

Datin Seri Wan Azizah, calon PKR bagi PRK Kajang adalah Presiden PKR, juga isteri kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan ibu kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. Bermakna hubungan mereka bukan sekadar politikal tetapi juga hubungan peribadi dan kekeluargaan. Apa juga tindak-tanduk Anwar dan Nurul Izzah adalah mengikat Wan Azizah samada dari segi politik mahupun kekeluargaan

Pada 16.02.2014, Anwar dalam kapasitinya sebagai Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang membuat kenyataan didalam Gereja Holy Family, Kajang bahawa kristian boleh dan dibenarkan menggunakan kalimah Allah. Ini mengulangi pendirian Anwar yang disebut pada 08.01.2013 bersama Datuk Seri Hadi Awang dan Lim Kit Siang yang menyokong desakan Lim Guan Eng pada 25.1.2012 agar kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Bermakna ini bukan sahaja pendirian peribadi Anwar, malah pendirian rasmi PKR dan pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS.

Sebaliknya Majlis Syura Ulamak PAS telah pada 13.01.2013 membuat ketetapan jelas bahawa ‘kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah kerana ini bukan soal politik tetapi soal aqidah’.

Ketetapan Majlis Syura Ulamak PAS ini memperkaui kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Dr. Haron Din yang menegaskan bahawa ‘barangsiapa yang setuju atau redha dengan kristian untuk menggunakan kalimah Allah maka ia termasuk dalam perlakuan syirik’.

Ini bermakna pendirian Anwar dan PKR adalah bercanggah dengan pendirian Majlis Syura Ulamak PAS.


Percanggahan Antara Majlis Syura Ulamak PAS dan Anwar-PKR

Dalam keadaan itu, saya lontarkan pertanyaan kepada ahli dan penyokong PAS, pendirian mana yang kamu akan patuh dan ikut.

Sudah tentu sebagai ahli PAS, jelas disebut didalam Fasal 7 (3) bahawa ‘Majlis Syura Ulamak diberi kepadanya kuasa-kuasa seperti berikut:

  1. menghuraikan, menjelaskan dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukkan didalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya; 
  1. mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan didalam PAS dan mengawasi serta memelihara suoaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS; 
Adalah jelas bahawa ketetapan Majlis Syura Ulamak PAS wajib dipatuhi dan dilaksanakan oleh ahli-ahli dan pemimpin PAS.

Persoalannya sekarang, mengapa masih terdapat ahli dan pemimpin PAS yang bertungkus-lumus menyokong dan membantu Wan Azizah dalam kempen PRK Kajang; sedangkan jelas pendirian PKR dalam isu kalimah Allah yang asas dan fundamental membabitkan aqidah sangat bercanggah dengan pendirian dan ketetapan Majlsi Syura Ulamak PAS?

Menyokong dan membantu Wan Azizah dalam kempen PRK Kajang bermakna menyokong dan menerima pendirian PKR bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh kristian, satu pendirian bercanggah bukan sahaja dengan syara’, malah bertentangan dengan Majlis Syura Ulamak PAS!

Menyokong dan membantu Wan Azizah dalam PRK Kajang termasuk membuka bilik gerakan, menjalankan culaan, menampal poster, memacakkan bendera, menyebarkan risalah dan bahan cetak, meraih undi, memakai t-shirt, mengibar bendera PKR, memberi ruang di markaz dan penempatan PAS dan apa juga perlakuan, perbuatan, perkataan dan lain-lain yang boleh membantu Wan Azizah mendapatkan undi dan sokongan pengundi DUN N.25 untuk memenangi kerusi DUN Kajang!

Sekiranya ada mana-mana ahli dan penyokong PAS membuat sedemikian, bermakna mereka telah membelakangkan dan menghina institusi tertinggi dalam PAS iaitu Majlis Syura Ulamak!

Dan kalau diambil kira pendirian Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Dr. Haron Din, bermakna menyokong dan membantu Wan Azizah dalam PRK Kajang dengan pengetahuan penuh bahawa PKR menyokong kristian mengguna-pakai kalimah Allah boleh menjerumuskan seseorang itu ke kancah kesyirikan!


PENGHINAAN TERHADAP DATUK SERI HADI AWANG OLEH PKR

Malahan pada saya ahli-ahli dan penyokong PAS sepatutnya sedar bahawa menyokong dan membantu Wan Azizah seumpama menghina Presiden mereka sendiri iaitu Datuk Seri Hadi Awang.

Ini kerana Shamsul Mat Amin, seorang pemimpin PKR negeri Trengganu, yang merupakan calon PKR bagi DUN Bukit Besi didalam PRU-13 telah menyaman Datuk Seri Hadi Awang dan memperolehi penghakiman sebanyak RM2 juta atas dakwaan Hadi menghinanya dengan tuduhan sebagai pengedar pil kuda, menyebabkan PAS memutuskan untuk meletakkan calon menentang beliau dan calon BN di DUN Bukit Besi.

Sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan diambil oleh Wan Azizah mahupun PKR terhadap Shamsul Mat Amin. Malahan sikap membisu Wan Azizah memberi gambaran beliau tidak menghormati langsung Datuk Seri Hadi Awang, sedangkan beliau adalah Presiden PKR dan ketua kepada Shamsul Mat Amin.


10 DALIL MENOLAK WAN AZIZAH DAN PKR

Dan ahli-ahli PAS wajib mendesak Wan Azizah memberikan penjelasan tentang pendirian beliau samada sebagai isteri Anwar Ibrahim atau ibu kepada Nurul Izzah atau dalam kedudukan beliau sebagai Presiden PKR dalam isu-isu fundamental berikut:

1. KALIMAH ALLAH – apakah pendirian Wan Azizah dalam isu kristian mahu mengguna-pakai kalimah Allah? Adakah Wan Azizah berkongsi pendirian dengan suaminya yang juga Ketua Umum PKR seperti yang dinyatakan didalam Gereja Holy Family Church, Kajang pada 16.02.2014 bahawa kristian boleh mengguna-pakai kalimah Allah; sedangkan pendirian ini bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura Ulamak PAS yang dibaut pada 13.01.2013?

2. SAMAN DATUK SERI HADI AWANG ­apakah pendirian Wan Azizah dalam kes saman dan penghakiman RM2 juta yang dibuat oleh pemimpin PKR Trengganu dan calon PKR Bukit Besi Shamsul Mat Amin? Jika Wan Azizah bersetuju, ini satu penghinaan terhadap Prseiden PAS dan pengkhianatan terhadap kerjasama politik PAS-PKR. Jika tidak bersetuju, apakah tindakan Wan Azizah terhadap Shamsul Mat Amin; adakah beliau akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat atau di arah menarik balik saman terhadap Datuk Seri Hadi Awang?

3. PLURALISMA - apakah pendirian Wan Azizah dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang dibuat di London School of Ecnomics London yang membawa maksud bahawa semua agama adalah sama; apa yang disebut oleh Allahyarham Prof Dr. Uthman El-Muhammaddy sebagai fahaman pluralisma yang boleh merosakkan aqidah. Adakah Wan Azizah bersama sependapat dan sependirian dengan Anwar dalam isu ini?

4. MURTAD LINA JOY - apakah pendirian Wan Azizah dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa ‘Lina Joy (Azlina Jailani) memang patut diberi kebenaran untuk menukar agamanya (daripada Islam ke kristian). Itu adalah haknya’.  Ringkasnya Azlina Jailani patut dibenarkan murtad. Persoalannya, adakah Wan Azizah bersama satu pendirian dengan Anwar dalam isu ini iaitu membenarkan murtad dikalangan umat Islam?

5. NURUL IZZAH DAN MELAYU MURTAD - apakah pendirian Wan Azizah dengan kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR yang juga anak sulongnya Nurul Izzah Anwar pada 03 Nov 2011 di premis Gereja Tabernacle USJ yang membawa maksud orang Melayu wajar diberi kebenaran untuk menukar agamanya sebagaimana kaum lain. Ringkasnya orang Melayu wajar dibenarkan murtad. Adakah Wan Azizah bersetuju dengan pendirian Naib Presiden PKR yang juga anak kandungnya sendiri?

6. MURTADNYA NOR AZMAN - apakah pendirian Wan Azizah apabila ahlinya bernama Nor Azman Abdullah menukar agama daripada Islam kepada kristian. Nor Azman adalah saksi bagi Anwar dalam kes liwat terhadap Azizan Abu Bakar. Beliau juga adalah calon PKR bagi Parlimen Kapit dalam PRU-11 dan calon PKR bagi DUN Engkili dalam PRN Sarawak 2001. Beliau dilapurkan telah menukar agama dan memakai nama Beginda Anak Minda. Anak Beginda juga terlibat dalam kontroversi membawa sosej babi ke sekolah. Persoalannya, apakah pendirian Wan Azizah dalam isu ini, adakah beliau bersetuju atau sebaliknya?

7. MENJAGA KESELAMATAN ISRAEL - apakah pendirian Wan Azizah dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang dibuat kepada akhbar Wall Street Journal bahawa ‘saya menyokong sebarang usaha untuk menjamin keselamatan negara Israel’. Adakah Wan Azizah bersetuju dengan pendirian ini dan berkongsi pendirian dengan suaminya yang juga Ketua Uum PKR?

8. BAR COUNCIL & LIWAT SUKA SAMA SUKA - apakah pendirian Wan Azizah dengan kenyataan Christopher Leong, Presiden Majlis Peguam Malaysia yang mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 07 Mac 2014 mensabitkan Anwar dengan pertuduhan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara; bilamana Christopher menyatakan bahawa ini adalah kes ‘liwat suka sama suka’. Adakah Wan Azizah bersetuju dengan pendirian ini? Jika ya, adakah Wan Azizah bersetuju dengan amalan seks bebas LGBT? Jika tidak bersetuju, adakah Wan Azizah akan menyaman atau menegur Presiden Majlis Peguam ini?

9. SAKSI ALIBI - Wan Azizah juga wajib memperjelaskan mengapa beliau tidak hadir sebagai saksi alibi dalam kes pertuduhan liwat oleh Anwar Ibrahim terhadap pembantunya Saiful Bukhari Azlan. Ini adalah kerana didalam Notis Alibi kepada Mahkamah, peguam Anwar Ibrahim menyenaraikan Wan Azizah sebagai saksi. Namun Wan Azizah, dan saksi-saksi alibi yang lain telah tidak hadir memberi keterangan ke Mahkamah; menyebabkan pembelaan alibi Anwar gagal dikemukakan. Jadi Wan Azizah bertanggungjawab memperjelaskan kepada ahli PAS dan pengundi DUN Kajang mengapa beliau tidak hadir memberi keterangan dalam kes melibatkan Ketua Umum PKR yang juga suaminya sendiri?

10. JAM OMEGA - Wan Azizah juga wajib memperjelaskan dimana jam Omega yang didedahkan oleh Datuk Eskay Shazryl. Semasa menjawab pertanyaan pemberita, Anwar Ibrahim menyatakan jam Omega itu ada dalam simpanan Wan Azizah, dan ini diperakui oleh Wan Azizah sendiri didalam satu sidang media. Namun Datuk Eskay telah mengeluarkan satu videoklip menunjukkan jam Omega itu ada dalam simpanannya, dan beliau telah menyerahkan kepada pihak Polis yang menjalankan siasatan. Isu jam Omega ini bukan satu isu kecil, tetapi melibatkan isu kredibiliti dan kewibawaan; samada Wan Azizah dan Anwar berbohong atau Datuk Eskay yang berbohong. Maka wajib bagi Wan Azizah memberikan penjelasan tentang perkara ini.


RUMUSAN

Berdasarkan fakta-fakta diatas, maka semua ahli dan penyokong PAS khususnya, dan pengundi Kajang umumnya wajib menilai semula dan bertanya satu soalan fundamental: adakah wajar untuk terus menyokong dan memberikan undi kepada Wan Azizah sebagai calon PKR dalam PRK DUN N.25 Kajang ini.

Adakah wajar memebri amanah kepimpinan dan perwakilan kepada Wan Azizah dalam keadaan ada sepuluh (10) dalil yang boleh mempertikaikan kredibiliti dan kewibawaan Wan Azizah sebagai Presiden PKR, sebagai isteri kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, dan sebagai ibu kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar!

Ingatlah firman Allah swt, ‘janganlah kamu condong kepada sesuatu kezaliman, kelak nanti kamu akan disambar oleh api neraka’.


Pisau ditangan kamu, mentimun ditangan kamu, kamulah yang membuat pilihan. Cuma ingat, kamu akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah terhadap apa juga perlakuan, perbuatan dan pendirian kamu; walau sebesar zahrah sekalipun.

Dan jangan kamu nanti dihadapan Allah menyatakan ‘saya tidak tahu; kerana kamu telah diperingatkan


Inilah tazkirah saya buat kamu semua ahli dan penyokong PAS khususnya, dan umat Melayu-Islam umumnya.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
19 Jamadil Awal 1435
21 Mac 2014

24 January 2014

NASIHAT BUAT NURUL IZZAH-SYAHRIR

Perceraian itu suatu keharusan yang sangat dibenci ALLAH

Salam 2 all.


Saya berasa sedih dan terkilan mendengar berita Nurul Izzah Anwar telah memfailkan permohonan cerai secara fasakh terhadap suaminya Raja Ahmad Syahrir Iskandar Raja Salim.

Permohonan difailkan menurut Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur awal bulan Januari ini.

Mengikut maklumat, Raja Syahrir telah pada 16.01.2014 menerima sesalinan saman nombor MRSWP No: 14001-055-0023-2014 yang telah disebut dihadapan YA Hakim Syariah Ab Malek Awang pada hari Selasa 21.02.2014 lepas.  Syahrir telah memohon penangguhan dan kes itu dijadualkan untuk sebutan semula pada 18.02.2014.

Saya merasa sedih dan terkilan kerana saya antara orang yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan majlis pernikahan Izzah dan Syahrir pada 09 Mei 2003 di rumah Anwar di No. 8, Jalan Setiamurni 2, Bukit Damansara.

Waktu itu Izzah baru berumur 23 tahun. Baru sahaja lepas belajar di Universiti Teknologi Petronas Sri Manjung. Syahrir, kerabat di raja Johor baru berumur 24 tahun.

Saya pada masa itu masih peguam Anwar, dan beliau masa itu masih merengkok di Penjara Sg. Buloh menjalani hukuman penjara 6 tahun atas sabitan kesalahan salahguna kuasa berkaitan kes meliwat pemandunya Azizan Abu Bakar.

Memang mengikut peraturan penjara Anwar tidak boleh keluar untuk menikahkan anaknya sendiri.

Maka saya diberi arahan untuk mendapatkan pelepasan Anwar daripada Penjara Sg. Buloh dan mengendalikan urusan-urusan berkaitan upacara pernikahan. Masih ingat lagi masa itu saya membawa seorang bernama Ustaz Shamsul, masa itu Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara masuk ke Penjara Sg. Buloh. Tujuannya untuk mendapatkan perwakilan wali daripada Anwar, dan diwaktu yang sama membuat latihan upacara akad nikah.

Masih saya ingat masa itu saya berlakon jadi pengantin, dan Ustaz Shamsul konon Tok Kadi yang mempersaksikan Anwar menikahkan Izzah. Gelak besar masa tu bila Ustaz Shamsul kata ini macam mau orang lain jadi menantu ni kang!

Pada masa itu Tun Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri. Dan Tun Abdullah Ahmad Badawi @ Pak Lah adalah Menteri Dalam Negeri. Saya ingat lagi diarah berjumpa dengan Pak Lah untuk memohon kebenaran untuk Anwar dibenarkan keluar penjara untuk majlis akad nikah Syahrir-Izzah.

Memang tension masa tu. Turun naik tangga KDN, berulang-alik Penjara Sg. Buloh, panjat tangga Jabatan Agama Islam Wilayah untuk mengurus pernikahan mereka.

Alhamdulillah akhirnya Pak Lah memberi kebenaran untuk Anwar dibenarkan keluar untuk menghadiri upacara aqad nikah Syahrir-Izzah.

Masih saya ingat lagi suasana masa itu. Sesampai sahaja Anwar dirumah, suasana sedih dan hiba diiringi tangisan sedih bercampur gembira dengan kehadiran Anwar, bapa pengantin.

Hasil perkahwinan Syahrir-Izzah, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Raja Nur Safiyah (7) dan Raja Jarith (4).

Saya mendengar pelbagai cerita mengenai sebab permohonan perceraian itu difailkan oleh Izzah. Saya percaya tentu ada sebab yang serius untuk menyebabkan perkara ini berlaku.

Namun saya berdoa dan berharap Syahrir dan Izzah akan berusaha keras untuk menyelamatkan perkahwinan mereka yang sudah berusia 10 tahun itu.

Kalau boleh, kenangkan betapa susah payahnya kami semua masa itu untuk mengurus perkahwinan kamu berdua. Pernikahan kamu disempurnakan diatas airmata ramai orang.

Memang saya sekarang menentang ayah Izzah, tapi itu atas soal prinsip mempertahankan aqidah dan agama saya. Saya juga menentang pendirian Izzah dalam soal memberi kebebasan untuk umat Melayu-Islam memilih agama termasuk boleh murtad, sebagaimana yang disebut oleh Izzah dalam Forum 'Islamic State: Which Version: Who's Responsibility' di Gereja Tabernacle USJ pada 03.11.2012 lepas.

Tetapi dalam hal perkahwinan Izzah-Syahrir, saya mengambil pendirian bahawa ini soal peribadi mereka yang tidak sepatutnya digembar-gemburkan, apatah lagi dipolitikkan.

Berilah mereka ruang dan peluang untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi menyelamatkan perkahwinan mereka, juag demi anak-anak mereka yang masih kecil.

Nasihat saya kepada Izzah dan Syahrir, berusahalah mencari jalan perdamaian. Carilah kesepakatan. Ingatlah perceraian adalah suatu keharusan yang paling dibenci Allah.

Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kamu berdua.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
23 Rabi'ul Awal 1435
24 Jan 2014

05 April 2013

MENGHIDUPKAN IFC?


Akan datang suatu zaman dimana berjuang untuk Islam itu saperti memegang bara api yang panas; Islam akan dianggap asing, yang berjuang untuk Islam dianggap orang asing, jumlahnya terlalu sedikit. Beruntonglah mereka yang termasuk golongan yang sedikit itu!



Salam 2 all.

Semasa Ambiga Sreenavasan dan Bar Council memperjuangkan penubuhan Interfaith Commission - Suruhanjaya Antara Agama pada tahun 2006; yang antaranya mendesak semua manusia, termasuk orang Melayu diberi kebebasan memilih agama termasuk murtad berdasarkan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia, umat Islam-Melayu UMNO-PAS dan semua NGO bangkit bersatu menentang penubuhan IFC sehingga ianya gagal!

Semasa Nurul Izzah anak perempuan kepada Anwar Ibrahim membuat kenyataan di premis Gereja Full Gospel Tabernacle Subang Jaya pada 03.11.2012 bahawa orang Melayu juga patut diberi kebebasan memilih agama, memberi makna orang Melayu yang ditafsir menurut Artikel 160 Perlembagaan sebagai wajib Islam boleh murtad; dia di apit oleh pemimpin kanan PAS! Umat Melayu-Islam terutama UMNO dan beberapa NGO bangkit bersatu menentang; tetapi PAS tidak!

Persoalannya: apakah perbezaan perjuangan Ambiga untuk IFC yang dahulu ditentang hebat oleh PAS dan UMNO; dengan kenyataan Nurul Izzah anak perempuan Anwar Ibrahim yang tetap ditentang oleh UMNO tetapi PAS langsung tidak membantah, malah ada yang mempertahankan Nurul Izzah?

Siapa yang istiqomah dalam perjuangan? UMNO atau PAS?
Adakah cukop sekadar melabel diri dengan jenama Islam maka sudah dijamin masuk syurga?

Aamantu billah summastaqeem - beriman lah kepada ALLAH dan istiqomah lah!

Mengundi pembangkang DAP-PKR-PAS bermakna redha kalimah ALLAH digadai!
Mengundi pembangkang DAP-PKR-PAS bermakna redha Islam dihina!
Mengundi pembangkang DAP-PKR-PAS bermakna redha Melayu dihina!

Tepuk dada tanyalah iman masing-masing yop!

Wallahua'lam dan wassalam!

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
24 Jamadil Awal 1434
05 April 2013

08 November 2012

ALAHAI SITI KUCIWA!

(Bang Non..Jah dah fenin ni..fenin! Ni bukan kes salah ibu ngandung ni!)

Salam 2 all.

Teman perturunkan dibawah lapuran daripada laman www.freemalaysiatoday.com bertarikh 08 Nov 2012 yang melapurkan kenyataan peserta yang bertanyakan soalan lipat-maut kepada Nurul Izzah Anwar Ibrahim yang jelas maksudnya.


Peserta yang bertanya tersebut bernama Siti Kasim, seorang peguam dan ahli  jawatankuasa Human Rights Committee, Bar Council dalam program forum bertajuk ‘Islamic State: Which version; Who’s responsibility?’ yang dihadiri Nurul Izzah anjuran bersama NGO bernama OHMSI (Oriental Hearts and Mind Study Institute) dan IRF (Islamic Renaissance Front) bertempat di Gereja Full Gospel Tabernacle,Wisma Eagles No 5 Jalan TP4 Taman Perindustrian UEP Subang Jaya.

Apa yang jelas mengikut peguam Siti Kasim, beliau memang bertanya Izzah tentang isu hak kebebasan orang Melayu untuk memilih agama (maknanya selain Islam! Dan itulah respon yang beliau dapat!

Apa yang beliau faham ialah Nurul menegaskan hak kebebasan memilih agama tidak patut terhad kepada non-Muslim sahaja. Malah hak kebebasan agama itu patut diberikan kepada orang Melayu (yang juga beragama Islam)!

Maknanya apa yang beliau faham daripada jawapan Izzah (mengambil kira ucapan Izzah semasa membentangkan pandangan dia semasa berucap) ialah orang Melayu juga wajar diberi hak kebebasan memilih agama selain Islam! Dan itulah yang dilapurkan oleh laman portal pro-Anwar MalaysiaKini dan www.1christians.blogspot.com!

Jadi beliau kecewa dengan pendirian Nurul yang pada beliau sudah mengubah pendirian 180 darjah sekarang!

Apapun, mike baca sendirilah! Kalau tak puas hati, elok mike gi tanya sendiri Siti Kasim ni! Mungkin mike boleh dapat hidayah nanti insyallah!

ALLAH dah beri mike otak yop; bukan untuk buat sup, tapi untuk berpikior yop! Maka berpikior lah sikit!

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
23 Zulhijjah 1433
08 Nov 2012

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Lapuran daripada www.freemalaysiatoday.com bertarikh 08.11.2012)

‘I am disappointed with Nurul’

Leven Woon | November 8, 2012
 
The lawyer who posed the sensitive question on religious freedom is disappointed that the PKR leader has changed her stand.


PETALING JAYA: A lawyer who posed the question on religious freedom to PKR vice-president Nurul Izzah Anwar during a forum last Saturday is disappointed with the politician’s 180 degree turn.

Siti Kasim, a member of the Bar Council human rights committee, said she was disappointed that Nurul had “retracted” her remark.

“I believe Nurul was just trying to impress the people, she didn’t think of the consequences,” she told FMT.
Siti said Nurul should have stood firm on her remark that freedom of religion was a right for all including the Malay-Muslim.

“There’s nothing wrong about it, she is saying the truth. I expected a hoo-ha after that. But as a politician, you just need to stick to the truth,” she added.

She wondered if Nurul was merely adjusting herself to the largely non-Muslim audience on that day and making a political remark.

At the forum titled “Islamic state: Which vision? Whose responsibility?”, Siti asked Nurul whether freedom of religion should be extended to the Malays since the PKR leader talked about the issue in her speech.
Siti said while Nurul did not mention about apostasy in her response, the latter however was a clear supporter of freedom of religion for the Malays.

“In the following days she ‘retracted’ her remark, and said she did not support apostasy. But indirectly when you say you support freedom of religion, and if Malay wants to get out from Islam, that’s apostasy,” she pointed out.

The Orang Asli rights advocate said she once posed the same question to Nurul’s father, Opposition Leader Anwar Ibrahim, but failed to get a direct response.

“He was going around the bush and didn’t answer directly. We want politicians to be straight forward,” she said.

Meanwhile, Siti said it was high time for the issue to be debated as the Federal Constitution did not exclude the Malays from their right to freedom of religion.

She said the individuals who criticised Nurul were the conservatives who insisted that their version of religion was the correct one.

06 November 2012

KEPUPUSAN MELAYU?

izzah-gereja513 

Salam 2 all.

Berikut adalah lapuran yang dimuat-turun daripada lamanweb www.agendadaily.com bertarikh 05.11.2012 yang mengupas isu hangat kenyataan Nurul Izzah Anwar Ibrahim yang menyentuh tentang isu "kewajaran hak kebebasan beragama juga diberikan kepada orang Melayu".

Mike baca sendirilah yop, peh tu mike pikior lah sendiri! Masing-masing dah ada akal, maka gunakanlah akal tu sebaik mungkin.

Adios amigos, grasias senor & senorita.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
21 Zul Hijjah 1433
06 Nov 2012

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Lapuran daripada lamanweb www.agendadaily.com)

Kalau tak sebab Nurul Izzah Anwar nak tunjuk pandai dengan bercakap benda yang dia tidak pasti, kita pun tak tahu yang Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai itu rupanya rancak juga berforum dalam gereja.

Forum dengan tajuk 'bola tanggung' seperti Negara Islam: Versi siapa?, Tanggungjawab Siapa? yang diadakan di Gereja Full Gospel Tabernacle, USJ, Subang Sabtu lalu.

Samada dalam gereja atau dewan dalam gereja, bagi masyarakat Melayu/Islam Malaysia adalah 'taboo' untuk buat program di tempat begitu.

Sebelum ini laporan mengenai polemik kenyataannya itu tidak menyebut dimana lokasi forum berkenaan diadakan.

Ada yang sangka ia berlangsung di sebuah dewan biasa saja.

Bila kita amati balik, ada kemungkinan sebab itulah Izzah gairah bercakap begitu dalam ketika jawab soalan hadirin.

Biasalah bila berada dalam satu majlis dalam gereja, dengan audien rata-rata kristian, boleh mendorong seseorang itu tunjuk dia liberal dan tidak sedar implikasi apa yang dikatanya.

Naib Presiden PKR itu ketika jawab soalan dalam forum yang dianjurkan oleh think tank Kristian Oriental Hearts and Mind Study Institute (OHMSI), dan Islamic Renaissance Front itu mahu orang Melayu diberi kebebasan penuh untuk memilih agama mereka.

Ini dibimbangi boleh membawa implikasi orang membayangkan mereka harus diberi kelonggaran memilih agama selain Islam.

Kalau rajin sila google nama Full Gospel Tabernacle, buka laman webnya, kita akan dapati ia juga ada sidang dalam Bahasa Malaysia. Siap dengan jadual lagi.

OHMSI pula memang diketahui umum think tank Kristian yang sebelum ini pernah anjur forum tajuk The Christian and the Malaysian General Election 2008.

Ia bukan pergerakan agama sahaja, melihat kepada seranai panelis yang dijemputnya termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membayangkan ia amat minat dengan politik.

Oh ya.. forum The Christian and the Malaysian General Election 2008 dibuat sebelum PRU ke 12 iaitu 26 Januari 2008.

Apa maknanya semua ini? maknanya kemana undi orang kristian hendak pergi...

Sebab itu, jangan terkejut apabila Nurul Izzah 'tunjuk belangnya' dalam forum tersebut. Siapa tahu belang itu adalah untuk meraih undi.

izzah-postergerejaRamai yang terkejut membaca laporan mengenai  jawapan Nurul Izzah ketika ditanya oleh peserta forum (seorang perempuan) mengenai undang-undang yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.

“Tidak harus ada paksaan di dalam agama. Bagaimanakah seseorang itu boleh berkata maaf.. ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia (sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum),” kata anak sulung Anwar Ibrahim itu.

Untuk rekod, undang-undang di Malaysia mengekang mubaligh/pendakwah bukan Islam untuk menyebarkan agama kepada rakyat yang beragama Islam.

Pada masa sama undang-undang syariah juga menetapkan seseorang yang memeluk Islam tidak boleh murtad demi memelihara kesucian Islam.

Berdasarkan video ucapan Nurul Izzah dalam forum tersebut, beliau menekankan isu pengkristianan orang Melayu boleh ditangani dengan mengasah keimanan penganut Islam itu sendiri.

"Walaupun saya bersekolah di Assunta yang mempunyai salib besar di dewannya …saya tidak terpengaruh (dengan ajaran Katholik,” kata beliau.

Turut serta sebagai panelis dalam forum tersebut adalah MP PAS Parit Buntar, Dr Mujahid Rawa, Ketua PKR Serawak Baru Bian, peguam Malik Imtiaz dan beberapa yang lain.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menjalankan siasatan lanjut terhadap rakaman ucapan Nurul Izzah di majlis tersebut.

Pengarahnya, Datuk Marzuki Hussin memberitahu Jais tidak teragak-agak untuk memanggil anak Nurul Izzah untuk memberikan keterangan jika terdapat maklumat yang bertentangan dan melanggari Majlis Fatwa.
“Jais perlu tengok terlebih dahulu dan dapatkan rakaman ucapan Nurul Izzah itu, kalau ada kenyataan-kenyataan yang tidak betul, kita akan buka fail lah,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Shah Alam petang Isnin.

Izzah dalam satu kenyataan di blognya pada Isnin mempertahankan pendirianya dengan memetik ayat al Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 256 "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)".

Nurul Izzah hanya memetik satu ayat, terjemahan penuh kepada ayat yang disebut Nurul Izzah itu adalah "Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Beliau juga melalui kenyataan di blognya menegaskan beliau sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad.

"Saya sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan sebagai berbahaya dan mengelirukan, kenyataan Nurul Izzah bahawa orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.

Beliau berkata kenyataan sedemikian adalah tidak wajar kerana ia boleh mengelirukan penafsiran masyarakat dan umat Islam.

"Di dalam Perlembagaan negara telah termaktub bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan, dan setiap anak yang dilahirkan sebagai orang Islam maka dia itu kekal sebagai orang Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Persidangan Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam seluruh Malaysia yang turut dihadiri negeri yang diwakili pembangkang di Kuala Lumpur Isnin.

Malah, Jamil Khir berkata, ayat Al-Quran yang digunakan Nurul Izzah bagi menyokong kenyataan beliau semasa forum berkenaan adalah luar daripada konteks sebenarnya kerana ayat itu berkaitan dengan hal orang bukan Islam yang tidak boleh dipaksa dalam penerimaan agama Islam.

Dalam pada itu, Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali dalam satu kenyataan pada Isnin turut sama 'belasah' Nurul Izzah. Menurut beliau, kenyataan Nurul Izzah membuka laluan dan tiket percuma kepada mereka yang mahu menyesatkan umat Islam.

"Pendirian Izzah yang kononnya berpandukan sepotong ayat Al-Quran itu telah membuka ruang yang cuba ditutup dan menjadikan gerakan memesongkan akidah bertambah kuat dan garang.

"Mereka mempunyai seluruh jentera dan keupayaan. Kenyataan Nurul Izzah memberi laluan dan tiket percuma kepada mereka menyesatkan Umat Islam," kata Hasan dalam satu kenyataan medianya.

Hasan kemudiannya melahirkan kebimbangannya bahawa keupayaan majlis agama dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin, membendung gejala memesongkan akidah ini mempunyai kelemahan dan batas-batasnya yang tersendiri.

"Bukan sahaja kita tidak mempunyai kuantiti dan kualiti tenaga pendakwah tetapi kita berdepan dengan orang-orang yang mempunyai pemikiran dan pengaruh seperti Nurul Izzah dan konco-konconya.

"Kehadiran orang-orang seperti ini dalam masyarakat kita pastinya menambahsulitkan lagi gerakerja memurnikan akidah yang sememangnya penuh dengan liku-liku itu," katanya lagi.

Hasan menambah apa yang berlaku kini membayangkan virus pluralisme agama dan fahaman Islam liberal sudah merebak luas.

"Kenyataan Nurul Izzah menjadi petanda bahawa gerakan ini sudah secara terang-terangan beroperasi secara aktif dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini," kata Hasan.

Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat Jalil pula meminta penjelasan daripada Nurul Izzah apa yang beliau dimaksudkan dengan “Melayu Bebas Pilih Agama?” seperti dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 4 November 2012

Dalam satu kenyataan beliau Wanita UMNO menolak sekeras-kerasnya pemikiran liberal yang cuba dibawa oleh beliau yang mana dengan jelas boleh meruntuhkan institusi agama Islam di Malaysia dan memecah belah serta menimbulkan huru-hara di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

Wanita UMNO juga ingin mengetahui pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku bapa dan Ketua Pembangkang serta Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku ibu dan Presiden PKR mengenai kenyataan Nurul Izzah yang jelas bertentangan dengan prinsip pembangkang supaya komuniti tidak sepatutnya dijadikan mangsa.

"Dengan ini kami menegaskan bahawa orang Melayu Islam tidak sepatutnya dipermainkan oleh pihak pembangkang semata-mata untuk kepentingan politik dalam mendapatkan sokongan kaum lain. Kenyataan YB Nurul Izzah juga jelas telah menggadaikan maruah Melayu Islam demi mencapai kehendak politik tanpa memikirkan kepentingan dan kemakmuran komuniti beragama di dalam Negara ini.

Wanita UMNO juga menegaskan bahawa kenyataan beliau ini amat bertentangan dengan Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahawa orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam dan Perkara 11, mengenai Kebebasan Beragama yang telah diamalkan dengan penuh harmoni di Negara ini.- 5/11/2012 - OLEH HELME HANAFI - AGENDADAILY.COM