Showing posts with label JAIS. Show all posts
Showing posts with label JAIS. Show all posts

13 January 2014

SUMPAH YANG DILANGGAR!




Khalid Ibrahim mengangkat sumpah jawatan dengan memegang Tombak Sang Buana sebagai tanda tunduk kepada kekuasaan Tuanku Sultan Selangor sebagai Raja berdaulat pemerintah Selangor Darul Ehsan
Salam 2 all..

Saya mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim, YAB Menteri Besar Selangor dan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor supaya memohon maaf kepada Tuanku Sultan Selangor dan umat Melayu-Islam Selangor dan meletakkan jawatan serta merta.

Ini adalah kerana beliau dan Kerajaan PKR-DAP-PAS pimpinannya gagal menunaikan sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor yang dilafaz dihadapan Tuanku Sultan Selangor untuk membela dan mempertahankan Islam.

Pada 14.05.2013, selepas kemenangan pembangkang DAP-PKR-PAS dalam PRU-13 di negeri Selangor, Tan Sri Khalid telah diberikan mandat untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor dengan mengangkat sumpah dihadapan Tuanku Sultan Selangor.

Upacara penuh adat istiadat kebesaran Di-Raja Selangor itu dimana Tan Sri Khalid Ibrahim mengangkat sumpah dengan memegang Tombak Sang Buana telah melafazkan 10 sumpah dan akujanji jawatan yang antara lain menyatakan:

Bersumpah menjunjung tinggi prinsip Rukunegara serta memelihara dan melindungi kesucian serta keagongan Islam sebagai agama negeri Selangor Darul Ehsan; dan berjanji mematuhi kedaulatan Institusi Raja dan mempertahankannya daripada digugat oleh mana-mana pihak"

Sumpah yang tidak dilaksanakan mamanda Menteri Besar
Lafaz sumpah jawatan tersebut adalah disediakan oleh kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor sendiri yang juga telah memastikan adat-istiadat mengangkat sumpah mengikut tradisi Di-Raja Selangor termasuk Tombak Sang Buana dipatuhi dan dilaksanakan.

Tetapi terbukti pentadbiran Khalid gagal memelihara dan melindungi kesucian serta keagongan Islam; dan gagal mematuhi dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja Selangor Darul Ehsan.

Antara kelemahan dan kegagalan pentadbiran beliau dalam memartabat dan memelihara kesucian Islam dan institusi DiRaja Selangor yang sangat sangat jelas sejak daripada Mac 2008 lagi ialah:

1. Arahan mengembalikan arak yang dirampas oleh MBSA tahun 2011 yang jelas melanggar enakmen syariah Selangor dan/ atau undang-undang tubuh Kerajaan negeri Selangor;

2. Mempersalahkan JAIS dalam isu siasatan terhadap kegiatan dakyah dan cubaan memurtadkan umat Islam dibulan Ramadhan oleh Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) walaupun Tuanku Sultan Selangor menitahkan tindakan JAIS betul cuma kekurangan bukti untuk tindakan pendakwaan;

3. Mengarahkan JAIS mengembalikan bibel versi Bahasa Melayu yang dirampas di pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) walaupun jelas bible tersebut melanggar Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Selangor 1988 kerana mengandungi istilah dan perkataan yang dilarang termasuk kalimah ALLAH;

4. Kegagalan mengambil pendirian dan tindakan tegas terhadap Paderi Lawrence Andrew & Lee Min Choon dari PBM yang secara terang-terang mencabar kedudukan Islam & titah Tuanku Sultan Selangor dengan terus menerus mahu menyalahgunakan penterjemahan kalimah ALLAH dalam upacara keagamaan kristian didalam negeri Selangor.

5. Kegagalan bertindak tegas tehadap mereka ini jelas menghina dan memperlekeh kedudukan dan kemuliaan institusi DiRaja Selangor bilamana Tuanku Sultan Selangor, sebagai Ketua Kerajaan dan Ketua Agama Islam Selangor dengan jelas menitahkan larangan penggunaan kalimah ALLAH oleh non-Muslim didalam Negeri selangor.

Pada hemat saya, ternyata pentadbiran Kerajaan DAP-PKR-PAS dibawah YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah gagal menunaikan sumpah jawatan & dan gagal mempertahankan Islam didalam negeri Selangor!

Oleh itu, saya mendesak supaya Tan Sri Khalid dan seluruh anggota jemaah Exco Kerajaan Negeri Selangor mengambil tanggunjawab dan mengambil tindakan berikut:

1. Menyembah ampun kepada Tuanku Sultan Selangor;

2. Memohon maaf secara terbuka kepada umat Melayu-Islam Selangor;

3. Meletakkan jawatan serta merta.

Sekian.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
11 R'Awal 1435
13 Jan 2014

10 POINT RESOLUTION



Penyelesaian 10-perkara hanya polisi bukan undang-undang, kata NGO Melayu-Islam

OLEH MD IZWAN - www.malaysianinsider.com
January 07, 2014
Latest Update: January 07, 2014 05:10 pm
 

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam menegaskan penyelesaian 10-perkara dengan Kristian hanyalah satu polisi dan bukannya undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, sambil mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Jurucakap sembilan pertubuhan tersebut, Datuk Zulkifli Nordin (gambar) berkata sesebuah polisi tidak boleh membelakangi mana-mana undang-undang di dalam negara.
"Penyelesaian 10-perkara tersebut hanyalah sebuah polisi, ianya tidak boleh membelakangi sebuah undang-undang," kata Zulkifli dalam sidang media di pejabat Pertubuhan Masyarakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) hari ini.

Zulkifli kemudian menjelaskan tindakan Jais menyerbu PBM adalah kerana melakukan kesalahan jenayah di bawah Mahkamah Sivil.

"Tindakan Jais adalah dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang jenayah iaitu Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa di negeri Selangor," kata Zulkifli mempertahankan serbuan Jais.

Menurut Zulkifli lagi, tindakan Jais menyerbu premis PBM berasaskan penerbitan Injil berbahasa Melayu dan Iban tersebut telah melanggar Seksyen 9, iaitu disyaki mengandungi perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya termasuk kalimah Allah.

"Ini adalah satu kesalahan jenayah yang jika cukup bukti boleh dikenakan pertuduhan jenayah di Mahkamah Jenayah Sivil," tegasnya lagi.

Kumpulan NGO tersebut juga mengecam keras kenyataan oleh Pengerusi Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN), Tan Sri Samsudin Osman yang membidas serbuan Jais kerana membelakangi penyelesaian 10-perkara.

"10-perkara itu adalah berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimportan Injil versi berbahasa Melayu ke dalam negara ini.

"Ia langsung tidak menyentuh dan tidak ada kena-mengena dengan isu kalimah Allah," kata Zulkifli lagi.
Zulkifli juga mempersoalkan tindakan gopoh MPPN kerana tidak memanggil Jais terlebih dahulu bagi mendapatkan penjelasan, sebaliknya menunding jari tanpa memberi peluang untuk mereka membuat penjelasan.

"Kami kesal melihat pihak MPPN seolah-olah tergesa-gesa dan gopoh dalam menangani isu ini.
"Mengapa MPPN tidak panggil semua pihak yang berkepentingan untuk memberi penjelasan atau hujah sebelum MPPN membuat sebarang keputusan?" katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Perkasa Muhamad Zahid Mat Arip dalam sidang media yang sama mendesak supaya MPPN melantik tiga ulama supaya dapat memainkan peranan yang lebih seimbang dan berkesan.

"Kami mendesak supaya MPPN melantik tiga tokoh agama yang boleh dianggap sebagai ulama dalam majlis ini," katanya.

Zulkifli turut menyokong cadangan memasukkan golongan ulama dalam majlis tersebut.

"Apa yang kami khuatirkan ialah kelak nanti timbul persepsi seolah-olah MPPN dipenuhi oleh golongan tertentu yang mewakili suara kumpulan tertentu dan sekadar menjadi suara kepada pihak berkepentingan," katanya lagi.

Kontroversi kalimah Allah mendapat perhatian umum kembali selepas Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu walaupun Jais telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.

Susulan kontroversi tersebut, Jais pada minggu lepas telah merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban di premis PBM di Damansara Kim, Selangor. – 7 Januari, 2014.

07 January 2014

PERANG SALIB MODEN?

Mengapa kristian tidak terjemahkan perkataan 'God' kepada 'Elohim' , 'Eli', atau 'Adonai' seperti terkandung dalam bible bahasa hebrew, bahasa asal Jesus? Mengapa mereka berkeras mahu terjemah menggunakan perkataan 'Allah' ?
Salam 2 all.

Saya mengecam keras kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional (MKPN) yang mengadakan perbincangan semalam mengenai isu kalimah ALLAH dan perampasan bibel versi Bahasa Melayu oleh JAIS baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang disampaikan oleh Pengerusi MKPN Tan Sri Samsudin Osman seperti yang dilapurkan oleh media cetak dan elektronik termasuk media portal dan siber, MKPN dipetik sebagai mengkritik JAIS atas alasan kononnya tindakan JAIS itu adalah satu 'blatant disregard for the agreed 10-Point Resolution' yang kononnya dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan dipersetujui oleh pihak kristian.

Saya mengecam tindakan dan kenyataan MKPN itu atas alasan-alasan berikut:

1. Pihak JAIS langsung tidak dipanggil menghadiri mesyuarat tersebut, atau diberi peluang memperjelaskan tindakan mereka atau membela diri mereka. Pada saya ini adalah satu pencabulan hak asasi dan pelanggaran prinsip keadilan sejagat (natural justice) yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sebuah badan yang ditubuh untuk tujuan memupuk perpaduan nasional;

2. Tindakan JAIS adalah dalam menguatkuasakan peruntukkan undang-undang jenayah iaitu Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa didalam Negeri Selangor. Seksyen tersebut dengan jelas melarang penggunaan beberapa kalimah termasuk kalimah ALLAH dan menjadikan pelanggarannya suatu perlakuan jenayah;

3. Tindakan JAIS bukannya merampas bibel versi Bahasa Melayu per se, tetapi merampas penerbitan yang melanggar Seksyen 9 tersebut, iaitu disyaki mengandungi perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya termasuk kalimah ALLAH. Ini adalah satu kesalahan jenayah yang, jika cukup bukti, boleh dikenakan tindakan pertuduhan jenayah di Mahkamah Jenayah sivil;

4. Oleh itu, tidak timbul soal JAIS harus berbincang atau berunding dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan suatu perlakuan jenayah. Sebagaimana agensi penguatkuasaan yang lain, tugas, tanggungjawab dan bidang kuasa JAIS adalah untuk menguatkuasakan undang-undang dan mencegah sebarang perlakuan jenayah;

5. Sama juga seperti agensi penguatkuasaan yang lain seperti polis dan lain-lain. Contohnya pihak polis tidak menahan sesebuah kenderaan per se, tetapi menahan kenderaan itu kerana disyaki membawa dadah. Adakah perlu diwajibkan pihak polis berunding dengan pemandu tersebut sebelum mengambil tindakan? Namanya pun agensi penguatkuasaan, maka tindakan JAIS menguatkuasakan undang-undang adalah dalam bidangkuasanya dan menjadi tanggungjawab dan kewajipan yang harus dilaksanakan.

6. Sekiranya mana-mana OYDS (Orang Yang Di Syaki) atau OKT (Orang Kena Tuduh) merasakan mereka mempunyai pembelaan dalam mana-mana prosiding pertuduhan jenayah, maka mereka mempunyai hak mengemukakan pembelaan tersebut didalam Mahkamah dalam prosiding tersebut. Tidak timbul soal hak asasi dan hak membela diri mereka dicabuli atau dilanggar!

7. Berkaitan 10-Point Resolution yang dijadikan sandaran oleh MKPN, ianya sudah dihujahkan di Mahkamah Rayuan dengan panjang lebar dalam isu kalimah ALLAH. 10-Point Resolution itu adalah berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimpotan bibel versi bahasa Melayu kedalam negara ini. Ia langsung tidak menyentuh dan tidak ada kena-mengena dengan isu kalimah ALLAH.

Sebagai pihak yang berbidangkuasa didalam hal-ehwal impot-ekspot dan perdagangan antarabangsa, Kerajaan Persekutuan berhak memberi kelonggaran atau syarat kepada mana-mana pihak yang mahu membawa masuk atau mengimpot apa juga barangan daripada luar.

8. Dan sebagaimana dalam soal kemasukan dan impot-ekspot barangan luar kedalam negara ini, ianya wajib mematuhi undang-undang negara. Dan undang-undang negara melarang penggunaan beberapa kalimah dan perkataan tertentu dalam mana-mana penerbitan termasuk kalimah ALLAH. Maka membawa masuk atau mengimpot mana-mana penerbitan yang mengandungi perkataan atau kalimah yang dilarang adalah prima facie satu pelanggaran undang-undang yang boleh dikenakan tindakan termasuk merampas bahan penerbitan itu dan dikenakan pertuduhan jenayah di mana-mana Mahkamah Jenayah sivil;

9. Selanjutnya, 10-Point Resolution tersebut hanyalah dasar dan polisi Kerajaan. Mana-mana pihak yang mempunyai sedikit asas pengetahuan perundangan akan sedar bahawa dasar dan polisi Kerajaan tidak boleh melanggar, bercanggah atau bertentangan dengan mana-mana undang-undang negara. Dan jika ianya bercanggah, bertentangan atau melanggar mana-mana undang-undang negara, ianya tidak terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Saya kesal melihat pihak MKPN seolah-oleh tergesa-gesa dan gopoh dalam menangani isu ini. Mengapa pihak MKPN tidak memanggil semua stake-holder dan pihak yang berkepentingan untuk memberi penjelasan atau hujah masing-masing sebelum MKPN membuat sebarang keputusan?

Apa yang saya khuatirkan ialah kelak nanti timbul persepsi seolah-olah MKPN dipenuhi oleh golongan tertentu yang mewakili suara kumpulan tertentu dan sekadar menjadi mouthpiece kepada pihak berkepentingan.

Jika persepsi ini berlaku, maka tanggungjawab legal dan moral MKPN untuk menjadi sebuah badan tanpa kepentingan bertujuan untuk mencari kata sepakat dalam mencapai dan memupuk perpaduan nasional dan keharmonian antara pelbagai agama dan kaum akan gagal; malah sebaliknya akan dilihat lebih mengeruhkan keadaan lagi.

Pada saya MKPN telah gagal dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara matang, profesional dan berhemah dengan mematuhi lunas-lunas hak asasi dan prinsip keadilan sejagat (natural justice).

Satu perkara yang juga ingin saya sentuh ialah mengapa semua pihak terlalu beriya-iya memperkatakan tentang soal penyalahgunaan kalimah ALLAH oleh segelintir pendakyah kristian yang jelas telah menterjemahkan secara salah perkataan 'god' ke dalam Bahasa Melayu menggunakan perkataan 'Allah' walaupun terjemahan sebenar dan betul perkataan 'god' dalam Bahasa Melayu ialah perkataan 'tuhan'?

Saya hairan mengapa pihak pendakyah kristian ini tidak menterjemahkan perkataan 'god' kepada 'elohim', 'eli' atau 'adonai' seperti yang digunakan dalam bibel versi bahasa hebrew, iaitu bahasa asal Jesus. Sedangkan perkataan 'god' dalam bahasa hebrew ialah 'elohim', 'eli' atau 'adonai'!

Sikap degil dan keras kepala mereka mahu juga menggunakan perkataan 'Allah' dalam menterjemahkan perkataan 'god' sangatlah pelik dan mengundang syak wasangka yang sangat serius. Apakah mereka mempunyai agenda tersirat dan tersembunyi?

Selanjutnya mengapa isu ini langsung tidak dilihat dari perspektif umat Islam? Apakah umat Islam di Malaysia ini sudah tidak ada hak dalam mempertahankan aqidah dan hak asasi kami untuk menganut, mengamal dan melaksanakan agama Islam dengan aman dan harmoni sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan?

Apakah umat Islam di Malaysia sudah tiada hak didalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan?

Satu perkara yang perlu saya tegaskan ialah kita tidak pernah mnenghalang umat kristian untuk menganut, mengamal dan melaksanakan keprcayaan mereka. Malah kita berbangga negara umat Islam Malaysia merupakan antara negara yang mengamalkan sifat toleransi agama dan kaum yang sangat tinggi, dan begitu akomodatif terhadap agama dan bangsa lain walaupun kita menjadi tunjang pemerintahan sejak zaman Kesultanan Melayu sehinggalah era pemerintahan moden ini.

Dan antara rahsia besar pengekalan keamanan dan keharmonian serta perpaduan unik ialah kerana sikap umat Melayu-Islam yang cukup bertolak ansur dan toleran.

Oleh itu kita berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menguji kesabaran dan sikap toleran umat Melayu-Islam, terutama dalam hal berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam. Kerana tiap kesabaran ada hadnya; dan mencabul dan menghina agama Islam dan bangsa Melayu adalah sempadan yang rapuh yang memungkinkan pelbagai perkara berlaku.

Oleh itu saya memberi amaran kepada semua pihak supaya bersikap rasional dan matang dalam menjaga keharmonian antara agama dan perpaduan nasional yang telah kita bina begitu lama. Jangan sampai ianya tercemar dek kerana nafsu dan keghairahan segelintir antara kita yang tidak langsung mengerti untuk menghormati sensitivit dan hak orang lain.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
06 Rabi'ul Awal 1435
07 Januari 2014

12 October 2011

GEREJA DAKYAH!


Salam 2 all.

Petikan lapuran media berkaitan kenyataan teman tentang isu titah Tuanku Sultan berkaitan Gereja Methodist Damansara Utama yang disasat JAIS kerana kegiatan mendakyah agama.

Rabu
14 ZulQaedah 1432
12 Okt 2011

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Kuala Lumpur, 11 Oktober- "Apa yang penting dalam isu DUMC ini, mereka membawa dan menyebarkan fitnah bahawa ianya satu serbuan yang tidak patut dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor terhadap sebuah gereja yang menjalankan aktiviti kegerejaan. Itulah gambaran yang diberikan kepada rakyat," ujar Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Dato' Zulkifli Noordin.

Tambahnya, gambaran yang diberikan kepada rakyat ini menyebabkan Menteri Besar Selangor tanpa sebab, tanpa usul periksa, tanpa menunggu laporan penuh terus melutut minta maaf kepada pihak gereja dan menyalahkan pihak JAIS.

"Itu gambaran yang diberi dahulu. Sekarang jelas, daripada titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor, bahawa apa yang didakyahkan itu tidak betul, sebenarnya memang wujud cubaan untuk mendakyah ajaran Kristian kepada sebahagian umat Islam sebagai aktiviti gereja tersebut dan apa yang dilakukan JAIS ialah untuk menyiasat, tiada langsung elemen serbu.

Titah Tuanku mengesahkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor betul mengikut undang-undang dan yang paling penting, ianya benar dari segi adanya dakyah untuk memurtadkan orang Islam," ujarnya sebentar tadi di Parlimen.

Ujarnya, melalui titah tersebut jelas bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor termasuk Menteri Besar Selangor adalah terburu-buru, dalam nak melutut dan minta maaf kepada pihak gereja sebelum mendapat laporan penuh daripada JAIS sendiri.

Sehubungan dengan itu, Zulkifli mendesak kerajaan Selangor dan Menteri Besar Selangor untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan Selangor kerana memperkecilkan satu institusi yang duduk di bawah naungan Tuanku.

"Kedua, Menteri Besar dan Kerajaan Selangor harus minta maaf kepada JAIS kerana memperlekehkan dan menidakkan fungsi JAIS dalam memartabat dan menobatkan serta membela akidah umat Islam.

Ketiga, golongan dan mereka-mereka yang memaki hamun Datuk Hassan Ali dan JAIS wajar minta maaf kerana mengambil tindakan terburu-buru menfitnah Datuk Hassan Ali sedangkan ianya menjadi tanggungjawab dia sebagai EXCO Agama dalam mempertahankan tindakan JAIS, yang ternyata sekarang ini betul," tambahnya.

Dalam masa yang sama, Zulkifli mendesak supaya kerajaan Selangor segera mengambil tindakan terhadap gereja ini kerana terbukti, ada kegiatan dakyah kegiatan agama lain terhadap umat Islam, serta terbukti bahawa gereja ini beroperasi tanpa permit, ianya gereja haram, mengapa tidak ada sebarang tindakan sehingga sekarang?

Beliau juga mendesak institusi Islam di Selangor dimartabatkan dan diberi kuasa yang sewajarnya untuk mengambil tindakan dengan peruntukan yang cukup agar agama Islam boleh dipelihara dan dipertahan dalam negeri Selangor.

"Rumusannya pada saya, titah Sultan Selangor ini bukti bahawa kerajaan Selangor bertindak terburu-buru. Mereka sepatutnya mengambil sikap berhemah sebagaimaan Tuanku Sultan Selangor yang menunggu dulu laporan penuh dari JAIS, barulah baginda bertindak.

Tindakan yang diambil Sultan Selangor sekarang ini, bukan bermakna baginda memihak kepada mana-mana pihak, jangan disalah tafsir apatah lagi diputar belit kononnya Tuanku hanya mengambil tindakan sekarang, sebenarnya kalau kita tengok sejarah kesultanan Selangor ini, pernah Tuanku Almarhum Sultan Salahuddin menegur kerajaan Selangor di bawah pemerintahan BN, banyak kali Tuanku tegur secara terbuka," tambahnya.

Ini membuktikan tindakan Tuanku Sultan Sharafuddin sekarang ini merupakan kesinambungan warisan di Raja Selangor yang sentiasa meletakkan kepentingan kebajikan rakyat terdahulu tanpa mengira siapapun yang memerintah dan ini adalah tradisi yang sepatutnya kita hormati dan kita sepatutnya membantu Tuanku dalam memperkukuh serta memantapkan lagi institusi Di Raja dan juga pentadbiran kerajaan.