Showing posts with label Hadi Awang. Show all posts
Showing posts with label Hadi Awang. Show all posts

13 December 2013

KHIANATKAH AKU?

Adakah PAS yang khianat kepada umat Melayu-Islam?

Salam 2 all.

Cikgu Zainon Ismail @ CN Al-Afghani, ahli seumur hidup PAS dan bekas mujahidin Afghanistan dan Kashmir, bekas ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia dan bekas tahanan ISA sekali lagi menggemparkan pentas politik negara dengan buku terbarunya bertajuk 'Khianatkah Aku'.

Didalamnya CN Al-Afghani, yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Non menceritakan tentang pengalaman yang dilalui selepas terbitnya buku best-seller Kafirkah Aku yang mendedahkan pekung Amanat Hadi Awang 1981 yang menyebabkan tercetusnya peristiwa kafir-mengkafir terhadap UMNO.

Didalam buku Kafirkah Aku, Cikgu Non menceritakan bagaimana dia sendiri yang terpengaruh dengan Amanat Hadi telah mengkafirkan ayah kandungnya! Dan yang paling beliau kesal ialah beliau tidak sempat memohon ampun dan maaf daripada Allahyarham Haji Ismail ayahandanya!

Kekesalan itu bertambah parah kerana Cikgu Non teringat kepada hadis Rasulullah saw yang bersabda, sesiapa yang mengkafirkan seorang Muslim dan ternyata tidak benar, maka kafir itu kembali kepadanya.

Cikgu Non bukan sahaja kesal mengkafirkan Allahyarham bapanya dan tidak sempat memohon ampun, yang dia lebih kesal dan khuatir ialah tuduhan kafir itu kembali semula kepadanya.

Atas keinsafan itulah maka Cikgu Non menulis buku Kafirkah Aku. Tujuan beliau hanya satu, untuk mendedahkan kesan buruk dan serius Amanat Hadi Awang, dan semoga sesiapa yang membacanya dan terlibat dengan kafir-mengkafir ahli UMNO ini segera sedar dan bertaubat dan memohon keampunan kepada sesiapa yang pernah dikafirkan.

Beliau juga berharap buku Kafirkah Aku itu akan menjadi kifarah dan penebus dosanya kerana pernah mengkafirkan Allahyarham bapanya.

Kesan daripada pendedahan didalam buku Kafirkah Aku, ramai mangsa Amanat Hadi, terutamanya dikalangan ahli taksub PAS, tampil kedepan dan menceritakan pengalaman masing-masing.

Memang sangat menggerunkan kita mendengar kisah sedih mereka. Nikah semula, bercerai suami isteri, berpisah anak-bapak, bergaduh sesama keluarga, memboikot kenduri kendara, tidak mahu solat jemaah dibelakang imam UMNO, solat dua imam, enggan memandikan jenazah orang UMNO, malah ada yang sanggup kebumikan isteri di halaman rumah kerana tidak mahu berkongsi kubor dengan orang UMNO!

Diwaktu yang sama, masih ada ahli penaksub PAS dan rakan sahabat Cikgu Non yang memaki hamun dan mencaci beliau kerana mendedahkan pekung Amanat Hadi 1981.

Kebanyakkannya tidak berpuashati kerana pendedahan itu menyebabkan Hadi Awang dikritik hebat oleh umat Melayu-Islam. Mereka tidak boleh melihat desakan supaya Hadi taksuban mereka menarik balik Amanat itu. Mereka terluka melihat desakan supaya Hadi idola mereka bertaubat!

Bagi penaksub PAS, ini satu penghinaan kepada Hadi Awang, Tuan Guru mereka. Bagi mereka, itu satu dosa besar didalam PAS. Mereka tidak peduli samada pendedahan itu betul atau tidak; yang penting tuan guru mereka tidak boleh dikritik. Tuan guru mereka maksum! Tuan guru mereka kebal dari segala kritik dan teguran!

Dan yang menjadi pantang dan taboo paling besar bagi para penaksub PAS ini ialah pendedahan buku Kafirkah Aku itu menguntongkan UMNO! Wah, itu bukan lagi dosa besar dalam PAS. Itu dosa yang tidak terampun. Itu dosa yang walau direbus tujuh kali dengan air laut para peliwat penduduk Kg Sadom pun tidak akan menghapuskan dosa!

Dan para penaksub PAS menuduh Cikgu Non sebagai pengkhianat kepada PAS!

Atas sebab itulah Cikgu Non menulis buku terbarunya Khianatkah Aku!

Persoalan menarik yang dilontarkan oleh Cikgu Non dalam buku itu ialah, adakah dia yang mengkhianati PAS, atau PAS yang mengkhianati dia? Mengkhianati umat Melayu-Islam?

Dan Cikgu Non cuba membuktikan sebenarnya PAS yang telah mengkhianati beliau; PAS yang mengkhianati umat Melayu-Islam. Asas hujah beliau ialah dengan menunjukkan perbezaan pendirian prinsip Hadi Awang dengan membandingan Amanat Hadi Awang 1981 dan Amanat Hadi Awang 2003 (diikuti dengan DokumenPersefahaman Pembangkang 08 Sept 2008 dan Memorandum Persefahaman Pembangkang DAP-PKR-PAS pada 19 Dis 2009).

Apa perbandingan itu?

Asas bagi Amanat Hadi Awang 1981 yang membawa kepada persitiwa kafir-mengkafir terhadap ahli UMNO ialah kononnya UMNO mendokong Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan yang digubal berdasarkan Lapuran Suruhanjaya Reid yang didakwa Perlembagaan sekular, Perlembagaan yang memisahkan agama dan politik, Perlembagaan yang menjadikan Islam suku politik suku!

"Amanat Hadi Awang 1981


"Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku".

Sedangkan Amanat Hadi Awang 2003 pula menyatakan bahawa Islam yang ada didalam Perlembagaan sudah mencukupi. Malahan jika ditakdirkan, na'uzubillah, Pakatan DAP-PKR-PAS menang PRU dan memerintah, maka Perlembagaan yang sama akan terus digunakan. Ini diikuti dengan Dokumen Persefahaman Pakatan DAP-PKR-PAS bertarikh 08 Sept 2008 dan Memorandum Persefahaman Pakatan DAP-PKR-PAS bertarikh 18 Dis 2009 yang mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam didalamnya!

"Amanat Hadi Awang 2003

"Justru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan syari'at menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif (DAP-PKR_PAS) dahulu, maka PAS perlu membuat satu perngorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat Federal. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan saperti yang diamalkan kini di peringkat Federal. Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah Kerajaan Demokratik dan Adil diperingkat Federal atau Pusat, yang akan mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!".



Jadi tanya Cikgu Non, mana satu yang betul? Perlembagaan Persekutuan itu kafirkah atau Perlembagaan Persekutuan itu okay?

Kalau Perlembagaan Persekutuan itu kafir dan sekular, mengapa Hadi Awang boleh membuat Amanat Hadi 2003 yang 'menghalalkan' dan 'mengislamkan' Perlembagaan Persekutuan itu, tanya Cikgu Non.

Sebaliknya, kalau Perlembagaan Persekutuan itu cukup Islamik seperti Amanat Hadi 2003, yang kemudiannya turut disahkan oleh Hadi Awang pada 08 Sept 2008 dan 19 Dis 2009 dengan menandatangani Dokumen Persefahaman dan Memorandum Persefahaman pembangkang; adakah itu bermakna Amanat Hadi 1981 tidak betul? Kalau tidak betul, mengapa Hadi Awang tidak menarik balik amanat itu? Kenapa ahli PAS semuanya diam membisu dengan amanat yang telah membawa kepada pengkafiran sesama Islam?

Inilah politik flip-flop yang memperkaldaikan Islam demi menghalalkan matlamat PAS untuk menjatuhkan UMNO. Bukan matlamat untuk memerintah kerana tidak mungkin PAS boleh memerintah sendiri kata Cikgu Non. Matlamat PAS hanya mahu menjatuhkan UMNO, saudara se-agama dan se-aqidah mereka hanya untuk memuaskan nafsu serakah yang bertuhankan kerusi!

Lihat sahaja dalam isu kalimah ALLAH, betapa jelasnya politik flip-flop PAS memperkaldaikan Islam termasuk aqidah sendiri!

Bila Lim Guan Eng mendesak kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam mesej krismas 25 Dis 2012, Hadi Awang bersama Anwar dan Lim Kit Siang telah membuat pernyataan bersama pada 08 Jan 2013 mempersetujui desakan itu dan membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH walaupun tidak menepati kehendak Islam.

Sebaliknya Majlis Syura' PAS telah pada 13 Jan 2013 membuat ketetapan bahawa kristian tidak boleh menggunakan kalimah ALLAH kerana ini soal aqidah bukan politik. Malah Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr. Haron Din membuat kenyataan sesiapa yang bersetuju kristian guna kalimah ALLAH adalah syirik dan wajib bertaubat!

Sehingga hari ini, samada Hadi Awang mahupun PAS Pusat langsung tidak menarik balik persetujuan 08 Jan 2013 itu walaupun bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura' PAS sendiri!

Ini pendirian politik flip-flop yang bukan sahaja mengelirukan ahli PAS, malah menyebabkan mereka terjebak ke dalam krisis aqidah yang serius dan memudaratkan!

Inilah antara persoalan besar yang dilontar oleh Cikgu Non yang membawa kepada rumusan beliau. Iaitu yang khianat ialah PAS. Yang khianat ialah pemimpin PAS. Yang khianat ialah Hadi Awang.

Pengkhianatan yang sampai membawa Cikgu Non mengkafirkan Allahyarham bapanya sendiri! Pengkhianatan yang menyebabkan Cikgu Non tidak sempat memohon keampunan daripada Allahyarham bapanya. Pengkhianatan yang mungkin menyebabkan tuduhan kafir yang beliau lemparkan terhadap Allahyarham bapanya akan boomerang kembali kepadanya.

Ini pengkhianatan kabir! Ini pengkhianatan besar!

Dan pengkhianatan kabir, pengkhianatan besar ini mesti dilawan dengan jihadul akbar, jihad besar. Dan jihad besar itu ialah berkata benar walau kepada pemimpin yang zalim.

Dan itulah buku Kafirkah Aku, iaitu berkata benar kepada pemimpin dan parti yang telah mengkhianati beliau dan umat Melayu-Islam!

Saya telah membaca buku terbaru CN Al-Afghani bertajuk Khianatkah Aku ini. Sebagai bekas seorang ahli dan pimpinan PAS, saya mendapati banyak fakta dan bukti serta keterangan yang didedahkan oleh Cikgu Non sememangnya telah dan sedang berlaku. Ada antaranya saya sendiri mempunyai pengalaman melaluinya.

Jelas fakta, bukti dan keterangan yang dirujuk oleh Cikgu Non sangat membimbangkan saya kerana ada antaranya membabitkan soal aqidah dan keimanan, bukan lagi soal siasah atau politik. Dan paling membimbangkan ialah ramai ahli PAS masih terus dengan sikap fanatik dan taksub yang melampau; samada akibat kejahilan ataupun kerana kebencian melampau. Apapun ianya akan merusakkan diri mereka sendiri.

Satu soalan yang saya tertanya-tanya ialah, apakah mereka boleh berhadapan dengan persoalan di alam barzakh nanti? Adakah mereka sudah bersedia untuk berhadapan dengan ALLAH nanti.

Apapun, apa yang jelas, analisa dan kupasan Cikgu Non dalam buku terbarunya Khianatkah Aku berdasarkan fakta, bukti dan keterangan yang beliau kemukakan menjurus kepada satu rumusan - iaitu PAS telah mengkhianati Cikgu Non, PAS telah mengkhianati umat Melayu Islam, dan PAS telah mengkhianati perjuangan asal mereka sendiri!

Saya syorkan supaya semua ahli PAS khususnya, dan umat Melayu-Islam amnya supaya membaca buku Khianatkah Aku tulisan Cikgu Non ini. Dan saya yakin buku setebal 177 mukasurat ini akan dan boleh menjadi 'pembuka mata dan jiwa' bagi mereka yang benar-benar mencari kebenaran dan keredhaan ALLAH swt insya ALLAH.

Saya akhir dengan memetik doa penutup yang dicatat oleh Cikgu Non didalam buku ini:

"Ya ALLAH! Bersaksikan Malaikat Mu, aku telah sempurnakan tanggungjawabku. Lembutkanlah hati para pemimpin politik umat Islam di negara (Malaysia) ini agar dapat bersatu. Perkenankan lah".

Amin ya rabbal 'aalamiin.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
10 Safar 1435
12 Dis 2013

01 November 2013

SANDIWARA HUDUD PAS LAGI?


Adakah PAS berani menempelak DAP yang menentang perlaksanaan hudud dan perjuangan menegakkan Negara Islam?
Salam 2 all.

Nampaknya tiap kali ada pilihanraya, samada PRU atau PRK, pasti PAS akan mula memukul gendang hudud. PRK Sg. Limau tidak terkecuali.

Malah mereka semakin galak bila Tuanku Sultan Brunei mengumumkan Negara Brunei Darussalam akan melaksanakan hudud; tanpa sedikit pun memahami perbezaan besar diantara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam.

Pertama, Negara Brunei Darussalam adalah negara milik Tuanku Sultan sebagai pemerintah mutlak. Tiada siapa boleh mempertikai kuasa Tuanku Sultan Brunei. Dan kita bersyukur walaupun diberi kekayaan hasil minyak yang melimpah ruah, dan menjadi antara orang terkaya didunia, Tuanku Sultan Brunei tetap meletakkan undang-undang ALLAH sebagai keutamaan. Alhamdulillah. Dan sekarang Tuanku telah bersedia melaksanakan hudud.

Kedua, Negara Brunei Darussalam tidak ada parti cauvinis rasis extremis seperti DAP. Brunei tidak ada Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Brunei tidak ada Anwar Ibrahim. Brunei tidak ada Suaram, Bar Council, pejuang seks bebas LGBT. Brunei tidak jual kalimah ALLAH. Brunei tidak bersekongkol dengan mana-mana kafir harbi!

Suasana di Brunei berbeza dengan Malaysia. Malaysia sebuah negara yang tidak dimiliki atau dikuasai oleh individu. Malaysia milik seluruh rakyat dan warganegaranya, dengan Tuanku Sultan dan Raja-Raja Negeri sebagai payung mahkota bagi rakyat jelata.

Kalau PAS benar-benar ikhlas mahu mengikut seperti Brunei, saya cadangkan kepada PAS supaya membawa usul ke Parlimen supaya hakmilik dan kekuasaan pemerintahan negara diserah kembali kepada Raja-Raja Melayu secara mutlak, sebagaimana Tuanku Sultan Brunei.

Dan setelah hakmilik negara dan kuasa pemerintahan mutlak diserahkan kepada Tuanku Raja-Raja Melayu, barulah kita usulkan kepada Tuanku supaya mengikut jejak langkah Tuanku Sultan Brunei.

Jika tidak, janganlah bandingkan Malaysia dengan Brunei. Itu perbandingan yang cukup kurang cerdik namanya!

Dan bagi Datuk Seri Hadi Awang untuk sekali lagi bermain kompang hudud, dan konon menolak sistem Malaysia negara berpaksikan Perlembagaan sebagai sekular, saya mahu tanya Datuk Seri Hadi Awang:

1. Beranikah Datuk Seri Hadi Awang membawa usul hudud ke Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS supaya hudud diterima dan dilaksanakan sebagai undang-undang negara jika pembangkang menang PRU dan berkuasa?

2. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 08 Sept 2008 menandatangani Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang yang menegaskan pendirian 'menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan termasuk dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan?'.

3. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA Shah Alam dalam Konvensyen Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS menandatangani Memorandum Persefahaman yang menegaskan akan 'mempertahankan Perlembagan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan?'.

4. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang sendiri menyatakan dalam Amanat Perdana Pemangku Presiden bertajuk 'Pilihanraya ke 11: Formula Kemenangan" pada 18 Januari 2003 bahawa 'justru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan Syari'at menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud diperingkat Federal. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub didlam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini diperingkat Federal. Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau Pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil diperingkat Federal atau Pusat, yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada?'.

5. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang yang menyatakan semasa Muktamar Agong PAS 2011 bahawa 'Negara Islam tidak disebut dalam Al-Quran, yang disebut ialah Negara Berkebajikan?'.

6. Bukankah Datuk Seri Hadi Awang pada 08 Jan 2013 bersesama dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang menyatakan kristian boleh menggunapakai kalimah ALLAH, dan walaupun Majlis Syura' PAS telah pada 13 Jan 2013 menegaskan kristian tidak boleh mengguna-pakai kalimah ALLAH atas soal aqidah, Datuk Seri Hadi Awang tidak pernah menarik balik persetujuan pembangkang 08 Januari 2013 tersebut?

7. Adakah Datuk Seri Hadi Awang lupa kenyataan beliau mengenai perlaksanaan hudud semasa mengambil alih menjadi Menteri Besar Terengganu?
Sebenarnya saya boleh aturkan beberapa lagi kenyataan dan pendirian Datuk Seri Hadi Awang dan PAS mengenai hudud dan negara Islam.

Pokok pangkalnya, janganlah jadikan hudud sebagai modal meraih undi hanya bila tiba musim pilihanraya sahaja. Takutlah kepada ALLAH!

Dan janganlah bermegah dengan calon PAS bagi PRK Sg. Limau lulusan agama, lulusan Al-Azhar. Kita memang menghormati para ulama dan ilmuan, termasuk para Ustaz dan Ustazah yang benar-benar hidup melaksanakan ajaran Islam.

Tetapi jangan lupa pernah ada dua orang Ustaz dan Ustazah lulusan Al-Azhar Mesir telah mengisytiharkan diri murtad dan keluar daripada agama Islam. Pernah ada Ustaz dicekup berkhalwat. Pernah ada Ustaz yang menyondol isteri orang. Menjadi Ustaz dan Ustazah, menjadi graduan dan lulusan Al-Azhar semata-mata bukan tiket dan kelayakan untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat!

Yang penting dalam soal kepimpinan ialah pnya sifat amanah dan quwwah, selain beriman dan benar-benar memperjuangkan Islam yang sebenarnya seperti yang diperintahkan ALLAH didalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Kita ambil contoh mendirikan solat jemaah. Untuk membolehkan seorang Muslim itu mengerjakan solat jemaah di masjid, kita perlukan pembangunan. Individu itu memerlukan kenderaan untuk ke masjid.

1. Dia perlu makan dan minum mengisi perut supaya solatnya tidak terganggu akibat kelaparan. Ini bermakna dia perlukan pekerjaan atau peluang untuk mencari rezeki melalui perniagaan;

2. Dia perlu kesihatan yang baik untuk menyempurnakan solat. Maknanya dia perlu persekitaran yang sihat dan prasarana perubatan yang baik seperti hospital dan pusat kesihatan;

3. Dia perlukan rehat yang cukup bermakna dia perlukan rumah yang sempurna dan selesa;

4. Dia perlukan kenderaan yang selesa seperti motor atau kereta untuk ke Masjid, bermakna dia perlu ada pendapatan untuk membeli kenderaan tersebut;

5. Dia perlukan adanya sebuah Masjid untuk membolehkan dia solat berjemaah. Dan Masjid itu perlukan peralatan dan seperti paip air, kipas, pembesar suara dan lain-lain;

6. Dia perlukan jalan raya untuk ke Masjid, bermakna sebatang jalan raya perlu dibina;

7. Dan bila dia pergi berjemaah waktu Subuh, Maghrib atau Isyak dia perlu melalui jalan yang terang berlampu supaya tidak kegelapan.

8. Dan bila dia ke masjid, keluarga dan harta benda dirumah perlu dijaga, maka dia memerlukan polis untuk menjaga keselamatannya;

Bermakna, cukupkah sekadar menjadi ustaz maka rakyat wajib mengundi calon itu. Adakah cukup sekadar dia boleh jadi imam solat. Bagaimana pula dengan segala prasarana yang diperlukan untuk melaksanakan solat itu?

Kalau kebolehan dan kelayakan calon sekadar menjadi ustaz, elok bertanding jawatan imam atau bilal, bukan untuk menjadi wakil rakyat. Dan calon yang akan menjadi wakil rakyat memerlukan bantuan dan kerjasama sebuah Kerajaan untuk melaksanakan tugas dan tanggung jawab dia.

Dan kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa sejak dulu, kini dan selamanya, BN adalah sebuah kerajaan yang bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah Kerajaan, malah akan menepati semua janji-janji yang diberikan.

Menjadi wakil rakyat memerlukan lebih daripada hanya seorang ustaz. Dan rakyat serta pengundi Sungai Limau wajib sedar akan perkara itu.

Rakyat Sungai Limau wajib sedar bahawa hanya calon Barisan Nasional sahaja yang boleh melaksanakan dan menterjemahkan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat, bukan sekadar untuk menjadi khalifah tahlil.
Bagi penduduk dan pengundi Sg. Limau, gunakanlah aqal fikiran yang waras dan rasional. Jangan lupa siapakah yang sebenarnya menghina Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak semasa Allahyarham menjadi Menteri Besar dahulu? Jangan lupa siapa yang cuba mengaibkan dan menjatuhkan Kerajaan pimpinan Allahyarham dahulu?

Bukan UMNO; bukan BN; bukan Dato' Sri Najib; bukan Tan Sri Muhyiddin; bukan Datuk Paduka Mukhriz; bukan Tun Mahathir; bukan Perkasa; dan bukan saya!

BUKAN! BUKAN! BUKAN!

Hangpa sendiri tau siapa! Jadi jangan terkeliru dengan mainan silap mata, sandiwara, pembohongan, gambar palsu dan macam-macam lagi. Ini semua Islam tidak ajar kita.

Dan jangan lupa kenyataan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak apabila kerajaan PAS tewas dalam PRU 13, 'nasib baik PAS tak menang sheh'!

Rasulullah SAW bersabda, "Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi bila turun mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk dari bangkai.".

Hadits Riwayat Ath-Thabrani

Oleh itu atas kesedaran Islam, atas keinsafan bangsa Melayu, dan demi kebenaran dan perjuangan...

Marilah kita Beranikan Diri Berhijrah!

Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1435!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
27 ZulHijjah 1434
01 Nov 2013

06 March 2013

OPS DAULAT-ANGKATAN TAKBEER PAS?

(Panglima 2 Briged Angkatan Takbeer Negara sedang mengawal keselamatan kerusi harbi)

Salam 2 all.

Teman menghargai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasharuddin Hasan At-Tantawi yang menyatakan kesediaan beliau menghantar ahli-ahli PAS ke medan tempur di Lahad Datu dan lain-lain demi mempertahankan negara daripada pencerobohan pengganas dan anasir subversif asing daripada Filipina.

Cuma teman agak musykil dengan kenyataan Nasharudin ini dengan satu persoalan: pasukan asykar mana yang dia bercadang nak hantar tu? Dewan Pemuda PAS? Unit Amal PAS?

Kalau takat nak hantar Dewan Pemuda atau Unit Amal, teman rasa lebih baik dok jaga markas PAS aje lah. Takat kepakaran kutip derma masa ceramah, atau tukang takbeer masa penceramah dok maki hamun orang lain (termasuk bertakbeer bila penceramah harbi DAP maki orang Melayu), atau takat kepakaran buat demo haram ikut Ambiga tu, elok dok rumah ajelah. Kang tak pasal polis dan tentera kita yang sedang sibuk berperang terpaksa jaga keselamatan dema pulak dah!

Pada teman, kenyataan Nasharudin Tantawi ni menepati pepatah Melayu, "cerdik tak boleh diajar, bodoh tak boleh diikut".

Tugas menjaga keselamatan negara, termasuk berdepan dengan musuh luar adalah tanggungjawab khusus pasukan Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Mereka ada pasukan yang terlatih dalam bidang masing-masing dan mempunyai kepakaran tersendiri.

PDRM ada Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerak Khas, Komando Vat 69, Unit Tindakan Khas, Unit Cawangan Khas, Pasukan Khas Senoi Praq, Pasukan Simpanan Persekutuan dan banyak lagi unit-unit yang cukup terlatih dan mempunyai kepakaran tersendiri.

Disebelah ATM jangan cakap lagilah, selain pasukan regular saperti Rejimen Askar Melayu DiRaja (yang kawan Nasharudin Tantawi cauvinis biaDAP berangan sangat nak bubar dan hapuskan), ada pasukan Renjer, Rejimen Gerak Khas, Rejimen Askar Wataniah, Rejimen Kor Jurutera, dan macam-macam lagi. Kita ada TLDM dengan pelbagai pasukan termasuk Pasukan elit PASKAL, pasukan kapal selam KD Tun Razak (yang kekawan Nasharuddin fitnah tidak boleh menyelam), TUDM dengan Skyhawk dan F-16, dan banyak lagi yang masih belum digunakan dalam gerakan Ops-Daulat!

Pendek cerita, walaupun kita menghargai kesediaan Nasharudin Tantawi beriya nak berjihad dan nak mati syahid di Lahad Datu, kita sudah punya pasukan yang lebih daripada mencukupi untuk menangani masalah pencerobohan pengganas Sulu ini.

Apa yang penting, Nahsarudin Tantawi dan yang sewaktu dengannya perlu faham, pencerobohan oleh anasir pengganas dan subversif Sulu ini bukan satu peperangan, tetapi perlakuan jenayah. Ianya adalah jenayah untuk menceroboh negara kita yang berdaulat dan merdeka, ianya adalah satu jenayah untuk membunuh pasukan polis yang menjaga keselamatan negara. Kita sedang berhadapan dengan penjenayah, bukan pasukan tentera sebuah negara.

Sebab itu pihak Polis yang mengendalikan kes ini bukan pasukan tentera (walaupun ATM sedang membantu polis berdasarkan kerjasama strategik Blue-Ocean Strategy). Sama saperti kes pencerobohan Al-Maunah (kebetulan ahli parti Nasharudin yang banyak terlibat), kes pencerobohan Sulu adalah kes jenayah, dan saperti kes jenayah lain, ianya harus dikendalikan oleh pasukan PDRM.

Selanjutnya pada teman, daripada Nasharudin Tantawi sibuk konon nak perang jihad di Lahad Datu, eloklah Nasharudin Tantawi dan yang sewaktu dengannya pergi berperang jihad dengan Tian Chua, rakan sekongkol Nahsarudin Tantawi daripada parti manusia rosak akhlak Anwar Ibrahim!

Nasharudin Tantawi tentu sudah tahu bagaimana rakan sekatil sebantal beliau menghina pihak polis dengan mendakwa pencerobohan anasir pengganas dan subversif Sulu adalah konspirasi UMNO. Sehinggakan ada anggota dan pegawai polis yang terkorban pun nak dipolitikkan oleh rakan sebantal Nasharuddin Tantawi. Inilah politik paling sial yang pernah teman tengok dimainkan oleh haiwan politikus negara ini.

Jadi kalau Nasharuddin Tantawi berasa nak berperang jihad sangat, teman nasihatkan Nasharuddin Tantawi eloklah pergi berperang dengan rakan sebantalnya itu. Pada teman, pihak keselamatan, terutama ahli keluarga anggota polis yang terkorban akan sangat menghargai jasa Nasharudin Tantawi jika dia mengangkat pedang jihad dan bertakbeer menentang Tianchua, dan kalau jumpa dia elok Nasharuddin melempang Tianchua dua tiga kali sambil bertakebeer sakan!

Jangan Nasharudin jadi macam Nik Aziz, ketua Majlis Syura PAS yang pergi kerumah Karpal Singh membawa pisau; yang teman ingatkan nak pergi lempang Karpal Singh kerana mempertikaikan keputusan Syura PAS melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian dimana Nik Aziz pengerusinya; rupa-rupanya Nik Aziz pergi rumah Karpal bawak pisau untuk potong kek sambut birthday dihari Taipusam!

Atau elok juga Nasharuddin Tantawi mengajak Angkatan Takbeer PAS berperang dengan Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang bertegas mahu kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH sapertimana perisytiharan yang turut ditandatangani (malah disediakan) oleh ketua Nasharudin Tantawi sendiri Hadi Awang pada 08 Januari 2013!

Sedangkan Nasharuddin Tantawi tahu keputusan itu bukan sahaja bertentangan dengan syara', malah bercanggah dengan pendirian Majlis Syura parti Nasharuddin Tantawi sendiri! Malah kata Timbalan Mursyidul Am Dr Haron Din, adalah syirik dan kufur untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH kerana ini soal aqidah. Sampai Dr. Haron Din kata akan pertahankan kalimah ALLAH sehingga habis nyawa!

Jadi nasihat teman kepada Nasharuddin Tantawi, daripada mike sibuk nak hantar Angkatan Takbeer PAS ke Lahad Datu, eloklah mike hantar Angkatan Takbeer PAS berjihad menentang Anwar Ibrahim, Guaneng, Kitsiang, Karpal Singh, dan mungkin juga Hadi Awang (kerana sampai hari ini tak tarik balik kenyataan bersetuju dengan Anwar & Kitsiang kristian boleh pakai kalimah ALLAH, malah Anwar sampai kata baru ni Hadi Awang yang sediakan text persetujuan tersebut)!

Pada teman, kalau ditakdirkan Nasharudin Tantawi dan Angkatan Takbeer PAS terkorban semasa perang menentang Anwar, Guan Eng, Kitsiang dan Karpal Singh demi mempertahankan kalimah ALLAH yang disyirikkan, insyallah Nasharuddin Tantawi boleh digolongkan sebagai mati syahid!

Dan Nasharuddin Tantawi akan berjasa besar kepada negara dan rakyat Malaysia kalau dia boleh mengetuai Angkatan Takbeer PAS ke Filipina untuk mendesak dan mencari kebenaran lapuran media Filipina yang mendedahkan siasatan Bahagian Risik Filipina yang membongkar dalang sebenar disebalik serangan anasir pangganas subversif Sulu menceroboh Malaysia.

Lapuran tersebut secara jelas mendedahkan penglibatan kalipah yang disanjung oleh parti Nasharuddin Tantawi sebagai dalang dan barua kepada insiden ini. Negara dan rakyat Malaysia pasti akan berbangga dan bersyukor jika Nasharuddin Tantawi dan Angkatan Takbeer PAS membongkar rahsia yang didedahkan oleh media Filipina tersebut! Dan jika lapuran media Filipina itu didapati benar, negara akan sangat berbangga jika Nasharuddin Tantawi dan Angkatan Takbeer PAS mengisytiharkan perang jihad dan sanggup mati syahid menentang pengkhianat dan petualang negara ini!

Oh ya sebelum lupa, mungkin Nasharuddin Tantawi boleh menasihatkan beberapa orang rakan taulan dia dalam PAS yang begitu ghairah dan seronok menggunakan gelaran Datu (yang ditukar sendiri oleh dema lepas itu menjadi Datuk) yang konon ceritanya dianugerahkan oleh mereka yang mengaku Sultan Sulu. Teman dengar cerita dalam kepimpinan PAS pun ada yang yang pakai gelaran palsu yang tak diiktiraf ini!

Jadi Nasharuddin Tantawi, mike sebenarnya ada banyak kerja lagi nak buat. Jadi eloklah mike fikir semula niat dan cadangan nak hantar rejimen Angkatan Takbeer PAS berjihad ke Lahad Datu. Mike pun takde asykar nak hantar, yang ada pun pasukan takbeer dan pasukan demo haram.

Biarlah pasukan PDRM & ATM kita menyelesaikan masalah pertahanan negara ini.  Mike selesaikanlah masalah parti mike sendiri. Berjihad menentang pemimpin dan rakan sekongkol mike yang zalim, mungkar dan maksiat ini lebih baik daripada mike berangan nak berjihat di Lahad Datu itu.

Yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak kelemahan teman sendiri. Moga ALLAH meneguhkan aqidah dan iman kita, dan menjauhkan kita daripada syirik dan kekufuran.

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
23 Rabi'ul Akhir 1434
06 Mac 2013

27 February 2013

KALIMAH BiaDAP

(Apakah penyalah-gunaan kalimah ALLAH saperti ini yang dimimpikan Guaneng, Kitsiang & Karpal Singh; dan disokong pulak oleh Anwar & para pasrasitnya? Na'uzubillah minzalik!
Lakum diinukum waliyadiin - untuk kafir agama mereka, untuk kita agama Islam)

Salam 2 all.

KEMELUT KALIMAH ALLAH

Tindakan Lim Guan Eng membuat desakan pada 25 Disember 2012 sempena sambutan Krismas supaya Kerajaan Persekutuan memberikan kebenaran rasmi kepada penganut kristian menggunakan kalimah ALLAH didalam hal berkaitan agama kristian adalah jelas satu penghinaan terhadap Rukun Negara, mencabul Perlembagaan Persekutuan dan melanggar peruntukkan undang-undang negara!

Dan tindakan Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang membuat kenyataan bersama pada 08 Januari 2013 bahawa penganut kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dengan alasan antara lain kononnya Islam membenarkannya membuktikan pakatan DAP-PKR-PAS adalah satu pakatan yang tidak menghormati agama Islam, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan dan peruntukkan undang-undang negara.

Malahan Majlis Syura PAS telah pada 13 Januari 2013 menyanggah pendirian Presiden PAS sendiri dan ketetapan pembangkang DAP-PKR-PAS dengan membuat pendirian yang sama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan para ulama' muktabirin serta NGO-NGO Islam dengan memutuskan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh diguna oleh umat Islam dan melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh non-Muslim termasuk kristian atas dasar aqidah!

Namun pembangkang, terutamanya Karpal Singh, berserta beberapa pimpinan DAP-PKR telah terus menerus mempertikaikan keputusan Majlis Syura PAS, malah ada yang mendesak supaya Majlis Syura PAS supaya menarik balik keputusan pelarangan tersebut dan akur dengan ketetapan pakatan DAP-PKR-PAS yang membenarkan kristian menggunapakai kalimah ALLAH!

Sebenarnya, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 telah memperuntukkan melalui Seksyen 91 bahawa kalimah ALLAH (termasuk beberapa perkataan dan kalimah lain saperti Baitullah, solat dan lain-lain) adalah dilarang penggunaannya oleh bukan-Islam.

Enakmen tersebut digubal oleh Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang pada April 1988 (semasa dibawah pemerintahan Kerajaan BN Selangor) dan digazetkan pada Julai 1988. Enakmen yang sama juga telah digubal oleh hampir kesemua Dewan Undangan Negeri yang lain.
Bermakna hampir semua negeri telah menggubal undang-undang melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh non-Muslim.

Dan untuk memperkuatkan kedudukan, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah menetapkan pelarangan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan-Islam (sila rujuk www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-Allah).

Fatwa pelarangan Majlis Fatwa Kebangsaan ini telah diikuti oleh hampir kesemua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri termasuk Selangor yang membuat gazet bagi fatwa tersebut pada 18.02.2010 melalui Sel. P.U. 6.

Apa yang jelas ialah sudah ada peruntukkan undang-undang yang sah dan sahih digubal melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan-Islam. Peruntukkan ini dipanggil 'Undang-Undang Anti-Dakyah Agama' yang dengan jelas menyatakan memperuntukkan "bahawa penggunaan kalimah ALLAH adalah khusus untuk umat Islam dan penggunaan kalimah ALLAH dikalangan bukan Islam adalah dilarang sama sekali dalam apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka".

Peruntukkan undang-undang ini pula sebenarnya dibuat berdasarkan peruntukkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain terhadap orang Islam.

Dan ini semua adalah bersesuaian dengan semangat dan peruntukkan Rukun Negara dimana seluruh rakyat dan warganegara telah berikrar menyatakan antara lain akan menghormati, mentaati dan mempertahankan "keluhuran Perlembagaan & kedaulatan undang-undang".

Dan pelanggaran peruntukkan Undang-Undang Anti Dakyah ini boleh membawa kepada pertuduhan di Mahkamah Jenayah Sivil dan boleh dihukum termasuk penjara.

Dan jangan lupa Seksyen 298A Kanun Kesiksaan juga menjadikan ianya satu kesalahan jenayah jika seseorang itu "menyebabkan diatas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan dan sebagainya, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan".

Dan hukuman bagi pesalah dibawah Seksyen ini ialah "hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari dua (2) tahun dan tidak lebih dari lima (5) tahun".

Tidak cukop dengan itu, Tuanku Sultan Selangor secara jelas dan sarih bertitah melarang penggunaan kalimah ALLAH dikalangan penganut agama selain Islam termasuk kristian. Dan titah Tuanku Sultan Selangor diikuti dengan titah Tuanku Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dan beberapa Sultan yang lain.

Ringkasnya, pelarangan penggunaan kalimah ALLAH dikalangan non-Muslim dalam apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka adalah bersesuaian dengan ikrar dan peruntukkan Rukun Negara, sah dan sahih dibuat menurut Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri serta telah digazetkan, dan ianya adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum minimum 2 tahun penjara dan maksimum 5 tahun penjara!.

Apa makna semua ini?

Maknanya sesiapa yang membenarkan, menyokong, mempromosi, mencadangkan, bersetuju, bersekongkol, menghasut dan dalam apa juga bentuk dan tindakan mahu kalimah ALLAH digunakan oleh penganut agama selain Islam termasuk kristian adalah mengkhianati Rukun Negara, mencabul Perlembagaan Persekutuan, menderhaka kepada titah Tuanku Sultan dan melanggar undang-undang yang sah dan sahih!

Cukup jelas kemelut dan isu penggunaan kalimah ALLAH yang dicetuskan oleh Lim Guan Eng pada 25 Dis 2012 dan kemudiannya disokong oleh kepimpinan DAP-PKR-PAS melalui kenyataan bersama Lim Kit Siang, Anwar dan Hadi Awang pada 08 Januari 2013 telah menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan (termasuk didalam PAS sendiri), dan menyebabkan atau boleh menyebabkan permusuhan, benci membenci dan akan memudaratkan.

Ini terbukti dengan berlakunya begitu banyak lapuran polis yang dibuat, demonstrasi dan bantahan besar-besaran diseluruh negara termasuk dikalangan ahli PAS sendiri terhadap kepimpinan pembangkang sehingga membawa kepada memijak dan membakar gambar kepimpinan mereka sendiri. Malah Majlis Syura PAS dengan jelas memutuskan bahawa penggunaan kalimah ALLAH oleh selain umat Islam adalah ditegah samasekali atas dasar aqidah!

Akibat daripada itu, kita melihat pertelagahan terbuka sesama mereka. Datuk Harun Taib, disokong oleh Dato' Haron Din, Datuk Nik Amar dan lain-lain kepimpinan ulama PAS secara terbuka mencabar dan mengkritik Karpal Singh yang berkeras mahu kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH.

Sebaliknya Karpal Singh, disokong oleh beberapa pimpinan pembangkang secara terbuka mencabar kepimpinan PAS supaya menarik balik dan membatalkan keputusan Majlis Syura yang dibuat pada 13 Januari 2013.

Atas dasar itu, tindakan tegas dan tanpa kompromi perlu diambil saperti berikut iaitu pertuduhan dibawah Seksyen 298A Kanun Kesiksaan dan Seksyen 91 Enakmen Anti-Dakyah dan/ atau mana-mana peruntukkan undang-undang sedia-ada perlu dikenakan terhadap:

1. Lim Guan Eng yang pada 25 Dis 2012 membuat desakan melalui mesej Hari Krismas supaya Kerajaan Persekutuan membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam perkara berkaitan agama kristian;

2. Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang yang pada 08 Januari 2013 membuat kenyataan bersama mendesak kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH didalam perkara berkaitan dengan agama kristian; dengan menggunakan dan/ atau memberi gambaran seolah-olah Islam membenarkannya!

3. Karpal Singh yang terus menerus membuat kenyataan mendesak supaya kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH didalam perkara berkaitan dengan agama kristian walaupun rakan sekongkolnya Majlis Syura' PAS dengan jelas mengharamkannya!

Dan kepada rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum, cubalah ambil kemelut isu penggunaan kalimah ALLAH ini sebagai "pembuka jiwa & minda" dan gunakanlah aqal untuk berfikir; adakah kita mahu golongan jenis ini, yang sanggup mempolitik dan memainkan agama dan tuhan mereka sendiri sebagai pemimpin dan kerajaan memerintah kita?

Kalau tuhan pun mereka boleh politikkan, kalau tuhan pun mereka boleh permainkan, apakah jaminan kita rakyat Malaysia manusia biasa ini tidak akan dipolitikkan, tidak akan dipermainkan?

Kepada ahli PAS, bukalah minda dan jiwa anda! Anwar Ibrahim, manusia rosak akhlak yang anda beriya-iya sangat mahu tabalkan sebagai Perdana Menteri dengan jelas dan terang menolak keputusan Majlis Syura PAS. Malah bertegas mengheret PAS dengan berpegang kepada ketetapan 08 Januari membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH!

Bukankah ini satu penghinaan kepada PAS, sedangkan slogan PAS ialah kepimpinan melalui ulama. Ulama' anda telah buat keputusan, jelas Anwar dan DAP menolak! Anda mahu mengikut Anwar atau ulama' anda? Sudah hilangkah maruah dan harga diri anda yang mengaku kepimpinan ulama' tetapi gagal mempertahankan, membela dan memartabatkan Ulama' sendiri dalam isu aqidah yang begitu fundamental?

Anda tidak pelik kah melihat Lim Guan Eng tiba-tiba menjadi dajjal bisu seribu bahasa? Dia yang mencetuskan kemelut isu kalimah ALLAH ini, tiba-tiba PAS pula yang menerima bahananya akibat tindakan kurang cerdik Presiden PAS mendahului ulama'!

Yang menjadi mangsa sekarang ialah ulama PAS. Timbalan Mursyidul PAS sahibul fadhilah Dato' Dr Haron Din yang tegas mempertahankan aqidah dan mahu menyelamatkan iman pengikut PAS pula kini dimaki hamun oleh penyokong pembangkang, termasuk para parasit.

Hinggakan ada yang menuduh Dato' Haron Din sebagai barua UMNO! Dan Lim Guan Eng pencetus kemelut ini, Anwar Ibrahim sebagai pembakar kemelut ini boleh terlepas! Dan sangat menghairankan ahli-ahli PAS boleh menjadi syaitan bisu; langsung tidak membela & mempertahankan ulama anda.

Dan yang paling memalukan, Pengerusi Majlis Syura PAS, Datuk Nik Aziz yang sepatutnya mempertahankan keputusan Syura PAS, sanggup ke rumah Karpal Singh membawa pisau bukan untuk berjihad membela keputusan syura, tetapi untuk memotong kek harijadi ke 82 dihari Taipusam dirumah kafir yang terang-terang menghina keputusan syura!

Adakah mendapat undi, memenangi kerusi dan pergi ke Putrajaya itu terlalu penting untuk anda sehingga anda menjadi kaum Pekak, Bisu & Buta kepada hak dan kebenaran?

Gunakanlah aqal yang waras yang ALLAH telah anugerahkan kepada kita. Janganlah kita terus-terusan mengambil sikap dan melakukan kesilapan dan kesalahan umat terdahulu - menjadi kaum Pekak, Bisu & Buta kepada kemungkaran dan kejahatan yang berlaku depan mata kita.

Sebab itu kita rakyat Malaysia, dan kita rakyat adalah Hakim, gunakanlah medan di Mahkamah Rakyat, didalam PRU 13 nanti untuk menghukum mereka ini, iaitu pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS, dengan menolak mereka sepenuhnya dengan tidak memberikan walau satu undi pun kepada mereka sebagai tanda kita tidak setuju dan tidak redha, dan tidak mahu berskongkol mereka yang mengamalkan politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara, sehinggakan agama dan tuhan pun turut dipolitikkan!

Yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak adalah kelemahan teman sendiri. Daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali.

Semoga ALLAH memelihara aqidah kita, dan memberikan petunjuk dan hidayahNya agar kita terus berada dijalan yang lurus, bukan dijalan kaum yang dimurkai, dan kaum yang disesatkan.

Ameen!

Wallahua'lam & wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
13 Rabi'ul Akhir 1434
24 Februari 2013