Showing posts with label Dato Zainal. Show all posts
Showing posts with label Dato Zainal. Show all posts

26 March 2010

ALFATIHAH: YB DATO' ZAINAL

Salam 2 all.

Innalillah hiwa inna ilai hiroji'un dan salam takziah saya ucapkan atas pemergian Almarhum YB Datuk Zainal Abidin Ahmad, Ahli Parlimen Hulu Selangor yang meninggal malam semalam.

Kebetulan saya dalam perjalanan ke Kedah setelah selesai sidang Parlimen semalam. Sebaik menerima berita sedih tersebut, saya membuat keputusan untuk berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Alhamdulillah saya sempat menziarahi jenazah beliau di Batu 9 1/2 Jalan Ceras (bersebelahan dengan carwash berdepan dengan sebuah sekolah). Ramai juga yang hadir, termasuk YB DSAI & DSWA, YB Dato' Dr. Hassan Ali, YB Azmin Ali, YB Dato' Seri Noh Omar dan lain-lain. Ramai juga sahabat dan rakan yang turut kelihatan. Saya juga sempat berjumpa dengan sahabat dan rakan lama yang turut berada disitu. Dan alhamdulillah saya sempat bersama mendirikan solat jenazah untuk Almarhum di Masjid Batu 10 Ceras (orang situ panggil Masjid Kuning, pernah jugalah saya berkhutbah disitu dahulu).

Solat jenazah diimamkan oleh YB Dato' Dr. Hasan Ali, dan doa dibaca oleh sahabat saya Ustadz Hj. Syamsul Firdaus Mohamed Supri (mantan Imam Masjid Saidina 'Umar Al Khattab, Bukit Damansara). Jenazah dibawa ke tanah perkuburan Kg. Melaka, Batu 9 Ceras untuk dikebumikan sebentar tadi (sebelum solat Jumaat).

Saya mengenali Almarhum sebagai seorang yang sangat lembut, sangat pendiam, jarang bercakap, cukup kuat tersenyum, tetapi mempunyai idea yang sangat bernas dan memberangsangkan. Beliau juga semasa sidang Parlimen selalu memastikan dia akan mendirikan solat apabila masuk sahaja waktunya (macam jugak YB Mohsin - Bagan Serai).

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat PKR khususnya, dan negara umumnya. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan sangatlah dihargai. Saya selalu bergurau dengan Almarhum, kalau Pakatan Rakyat memerintah, beliau sepatutnya menjadi Menteri Pelajaran kerana pengalaman dan kepakaran beliau sudah pasti akan memberi satu sumbangan besar kepada dunia pendidikan negara.

Saya berdoa kepada ALLAH agar memasukkan Almarhum dalam golongan yang soleh, dijauhkan daripada siksa kubur dan api neraka. Semoga ALLAH melapangkan kubur Almarhum, dan meneranginya dengan segala rahmat dan rahimNya, dan memasukkan Almarhum dalam golongan Ahlul Jannah. Semoga ALLAH juga memberikan kesabaran kepada keluarga Almarhum yang sedang menghadapi ujian dan dugaan yang besar ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
10 Rabi'ul Akhir 1431
26 Mac 2010

#############################################

(Petikan daripada lapuran MalaysiaKini bertarikh Jumaat 26.03.2010)

MP Hulu Selangor selamat dikebumikan
Mar 26, 10 11:36am

Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melaka, Jalan Cheras.Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor itu meninggal dunia jam 9.27 malam tadi akibat barah otak.Beliau meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali; Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali; Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.
Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, beliau merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.Antara jawatan exco yang dipegangnya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.
Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.