Showing posts with label Bible Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bible Melayu. Show all posts

13 January 2014

10 POINT RESOLUTION



Penyelesaian 10-perkara hanya polisi bukan undang-undang, kata NGO Melayu-Islam

OLEH MD IZWAN - www.malaysianinsider.com
January 07, 2014
Latest Update: January 07, 2014 05:10 pm
 

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam menegaskan penyelesaian 10-perkara dengan Kristian hanyalah satu polisi dan bukannya undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, sambil mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Jurucakap sembilan pertubuhan tersebut, Datuk Zulkifli Nordin (gambar) berkata sesebuah polisi tidak boleh membelakangi mana-mana undang-undang di dalam negara.
"Penyelesaian 10-perkara tersebut hanyalah sebuah polisi, ianya tidak boleh membelakangi sebuah undang-undang," kata Zulkifli dalam sidang media di pejabat Pertubuhan Masyarakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) hari ini.

Zulkifli kemudian menjelaskan tindakan Jais menyerbu PBM adalah kerana melakukan kesalahan jenayah di bawah Mahkamah Sivil.

"Tindakan Jais adalah dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang jenayah iaitu Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa di negeri Selangor," kata Zulkifli mempertahankan serbuan Jais.

Menurut Zulkifli lagi, tindakan Jais menyerbu premis PBM berasaskan penerbitan Injil berbahasa Melayu dan Iban tersebut telah melanggar Seksyen 9, iaitu disyaki mengandungi perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya termasuk kalimah Allah.

"Ini adalah satu kesalahan jenayah yang jika cukup bukti boleh dikenakan pertuduhan jenayah di Mahkamah Jenayah Sivil," tegasnya lagi.

Kumpulan NGO tersebut juga mengecam keras kenyataan oleh Pengerusi Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN), Tan Sri Samsudin Osman yang membidas serbuan Jais kerana membelakangi penyelesaian 10-perkara.

"10-perkara itu adalah berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimportan Injil versi berbahasa Melayu ke dalam negara ini.

"Ia langsung tidak menyentuh dan tidak ada kena-mengena dengan isu kalimah Allah," kata Zulkifli lagi.
Zulkifli juga mempersoalkan tindakan gopoh MPPN kerana tidak memanggil Jais terlebih dahulu bagi mendapatkan penjelasan, sebaliknya menunding jari tanpa memberi peluang untuk mereka membuat penjelasan.

"Kami kesal melihat pihak MPPN seolah-olah tergesa-gesa dan gopoh dalam menangani isu ini.
"Mengapa MPPN tidak panggil semua pihak yang berkepentingan untuk memberi penjelasan atau hujah sebelum MPPN membuat sebarang keputusan?" katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Perkasa Muhamad Zahid Mat Arip dalam sidang media yang sama mendesak supaya MPPN melantik tiga ulama supaya dapat memainkan peranan yang lebih seimbang dan berkesan.

"Kami mendesak supaya MPPN melantik tiga tokoh agama yang boleh dianggap sebagai ulama dalam majlis ini," katanya.

Zulkifli turut menyokong cadangan memasukkan golongan ulama dalam majlis tersebut.

"Apa yang kami khuatirkan ialah kelak nanti timbul persepsi seolah-olah MPPN dipenuhi oleh golongan tertentu yang mewakili suara kumpulan tertentu dan sekadar menjadi suara kepada pihak berkepentingan," katanya lagi.

Kontroversi kalimah Allah mendapat perhatian umum kembali selepas Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu walaupun Jais telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.

Susulan kontroversi tersebut, Jais pada minggu lepas telah merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban di premis PBM di Damansara Kim, Selangor. – 7 Januari, 2014.

12 March 2011

AL-KITAB


(Bible versi Bahasa Melayu Al Kitab yang diperolehi tahun 2006 di Kuala Lumpur)

Salam 2 all.

Semalam selepas kuliah teman bertemu dengan beberapa rakan bergelar ustad-ustad, mereka ini lulusan pengajian Islam dan ada yang aktif dalam politik. Sambil bersembang, teman tunjukkan buku diatas bertajuk "Al Kitab". Respon awal mereka berkata tak pernah pulak tengok kitab ni, dan ada antara mereka bertanya "ulama' mana yang tulis ni sheh?". Bila teman katakan ini adalah bible versi bahasa Melayu, mereka terkedu tak terkata apa. Jelas mereka sendiri terkeliru dan terpedaya! Bagaimana pula umat Islam awam yang bukan ustad agaknya?

Sesiapa juga yang melihat tajuk buku tersebut diatas pasti akan terfikir ianya adalah sebuah kitab berkaitan Islam. Dan kita tidak akan persalahkan sesiapa kerana memang itulah kelaziman kefahaman di Malaysia ini.

Sebenarnya isu bible versi bahasa Melayu ini pada teman ialah isu Perlembagaan. Artikel 11 (4) Perlembagaan jelas membuat suatu peruntukkan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam di Malaysia ini, dan bagi maksud itu kesemua negeri diberi kuasa membuat undang-undang pelarangan tersebut. Boleh dikatakan kesemua negeri sudahpun mempunyai peruntukan mengharamkan penyebaran agama lain kepada umat Islam dan penggunaan beberapa perkataan saperti "ALLAH, Rasulullah, wahyu, qiblat" dan banyak lagi oleh mereka yang bukan Islam. Bermakna kalau bible versi bahasa Melayu ini dibawa ke Selangor, Negeri Sembilan dan lain-lain, ianya akan menyebabkan pembawanya melakukan satu kesalahan jenayah!

Yang teman pelik bin heran, ada para penyokong puak kristian ini dan pro-murtad menyatakan bahawa penyebaran dan penggunaan bible versi bahasa Melayu ini adalah hak asasi puak kristian. Hairannya puak-puak ini bila ada peruntukkan Perlembagaan yang memihak kepada umat Islam dan bangsa Melayu, ianya diputar-belitkansebagai isu hak asasi kemanusiaan. Tapi kalau peruntukkan Perlembagaan itu nampak memihak kepada mereka, dengan cepat mereka berkokok dan menyalak memperjuangkan Perlembagaan kononnya. Begitulah hipokritnya puak-puak ini!!!

Adalah jelas bible versi bahasa Melayu ini adalah bercanggah dengan peruntukkan Perlembagaan dan undang-undang anti-propagasi yang telahpun dikanunkan. Kita lihat contoh-contoh tajuk dan ayat-ayat yang digunakan didalam Al-Kitab ini:

"Sepuluh Perintah Allah, Pemerintahan Allah, Kerajaan Allah, Mengenal Allah etc". Beikut petikan ayat didalam Al Kitab ini iaitu: "AlKitab akan menjawab pertanyaan saya tentang Allah", "Anda akan menemukan petunjuk-petunjuk dari tindakan Allah terhadap keadaan (kesedihan) itu", "Al Kitab akan dapat mengilhami anda tentang betapa besarnya kuat kuasa Allah", "Al Kitab dapat menjawab keraguan anda, dan Al Kitab dapat menunjukkan anda bagaimana mempercayai Allah".

Kalau macam ni punya jelas pun ada puak yang masih mengambil sikap tidak mahu memahami putar belit dan niat sebenar segelintir puak missionary kristian ini, tak tahulah teman nak kata apa lagi yop! Sebab itu ALAH mengingatkan kita didalam Surah Al Baqarah: 120, "sesungguhnya Yahudi & Kristian ini tidak akan redho dengan kamu (umat Islam) selama-lamanya sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka".

Ada segelintir daripada mereka mendakwa bahawa Al Kitab versi bahasa Melayu ini adalah untuk kegunaan kaum pribumi Sabah & Sarawak. Pada teman ini satu pembohongan. Kerana teman sendiri menerima naskah Al Kitab ini pada tahun 2006. Dan terdapat catatan tulisan tangan didalamnya yang menyebut "semoga anda disentuh oleh kebenaran buku ini. Luv in Christ".

Selanjutnya, persoalan kita mahu tanya mengapa sampai 35,000 naskah bible versi bahasa Melayu ini hendak dibawa masuk, dan 5,000 naskah daripadanya sedang ditahan di Pelabuhan Klang? Ramai betul kaum Kristian yang tak faham bahasa Inggeris ini agaknya? Kalau benar ianya untuk kegunaan kaum pribumi Sabah & Sarawak, kenapa tidak ditulis sahaja bible versi bahasa kadazan, dayak, iban, dan banyak lagi? Kenapa mesti bahasa Melayu? Ada antara kaum pribumi ni bahasa Melayu pun dia tidak faham!?

Teman masih ingat pada 07.08.2006, semasa hangat isu murtadnya Azlina Jailani @ Lina Joy, timbul isu mengenai bible versi bahasa Melayu di internet. Mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow dalam kenyataan yang disiarkan akhbar The Star berkaitan isu ini menyatakan ianya hanya bertujuan untuk "penganut Kristian Sabah & Sarawak". Tahun 2006 mereka bercakap tentang hak nak guna bible versi bahasa Melayu di internet, dalam tempoh lima tahun sekarang mereka bercakap tentang hak nak bawa masuk naskah bible versi bahasa Melayu pulak. Teman tidak akan terkejut lagi lima tahun mereka akan mendesak orang Melayu diberi hak membaca bible versi bahasa Melayu ini. Dan lima tahun selepas itu mereka akan mendesak prang Melayu diberi hak memilih untuk murtad dan masuk kristian. Amaran ALLAH itu tetap benar!!!

Ada juga diantara mereka menyatakan mengapa bible versi bahasa Melayu ini boleh dicetak dan diedarkan di Indonesia. Sedangkan Indonesia ada 200 juta lebih umat beragama Islam, dan mereka tidak bising pun.

Pertama teman ingin tegaskan sebenarnya ramai umat Islam di Indonesia yang membantah tentang bible versi bahasa Melayu ini, tetapi Indonesia terperangkap dengan fahaman Pancasila yang diamalkan.

Kedua, kalau hendak sangat ikut cara Indonesia, kita perlu ikut semua. Di Indonesia, semua rakyatnya tidak kira apa bangsa dan agama mesti pakai dan gunakan nama Melayu. Tidak ada Karpal, tidak ada Kitsiang, tidak ada kecuali semuanya nama Melayu. Di Indonesia tidak ada sekolah jenis Cina, Tamil atau sekolah missionary. Semuanya sekolah kebangsaan, berbahasa Melayu. Kalau hendak sangat ikut Indonesia, kita kena ikut semua, baru adil! Persoalannya, mahukah puak-puak ni berbuat sedemikian; buang nama bukan Melayu, tutup semua sekolah bukan Melayu dan lain-lain. Kalau berani, persilakan!

Dan kalau beriya sangat nak guna frasa-frasa Islam saperti nama ALLAH; teman cabar supaya kita tukar prinsip pertama Rukunegara daripada "Kepercayaan Kepada Tuhan" kepada "Kepercayaan Kepada ALLAH". Berani? Kalau berani jom kita lakukan!

Teman membantah cubaan untuk membawa masuk dan menggunakan bible versi bahasa Melayu yang dipanggil Al Kitab. Ianya hanya memperkuatkan apa yang ALLAH telahpun nyatakan kepada kita umat Islam dalam ayat yang teman sebut diatas yang dinyatakan didalam Surah Al Baqarah: 120. Yakinlah apa yang disebut ALLAH itu benar; dan amaran ALLAH itu juga adalah benar.

Oleh itu teman mendesak kerajaan khususnya Kementerian dalam Negeri supaya bertegas dalam melarang kemasukan bible versi bahasa Melayu ini. Jangan tunduk kepada tekanan melampau segelintir kaum fanatik dan missionaruy kristian dan penyokong pro-murtad. Ingat, jangan ingat orang bukan Islam sahaja ada perasaan sensitif, orang Melayu beragama Islam juga punya perasaan sensitif. Jangan dicabar kami melampau-lampau, kerana tiap kesabaran itu ada hadnya!!!

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
07 Rabi'ul Akhir 1432
12 Mac 2011