Salam,
Tiga hari yang lalu, Umno menyambut ulangtahun ke 63. Istimewanya, kali ini Umno menyambut hari jadinya dengan kepimpinan baru di peringkat atasan.
63th sebagai sebuah parti, Umno terlibat dalam setiap detik perjalanan politik negara. Bermula sebagai penentang Malayan Union dan perjuangan kemerdekaan daripada penjajah, hari ini Umno kekal sebagai teras mengemudi perjuangan mengisi kemerdekaan.
Dalam tempoh itu, Umno telah melalui sejarah hitam putih dalam perjalanannya. Satu ketika Umno diharamkan, menang dengan cemerlang dan tewas dalam pilihanraya datang silih berganti. Terbaru, bersama BN, Umno dikejutkan kekalahan dalam PRU 12 tahun lalu.
Sempena ulang tahun ke 63th dan setahun selepas tsunami pilihanraya, timbul persoalan mampukah Umno bangkit? Dengan segenap asakan dari pelbagai penjuru, berdepan pembangkang dan musuh di kalangan ahli sendiri, kuatkah Umno menongkah cabaran?
Atau, Umno akan menjejaki Golkar di Indonesia dan Kongres di India, pejuang kemerdekaan yang tersungkur dan kehilangan kuasa?
Semua persoalan ini hanya akan terjawab dalam PRU akan datang. Tanggungjawab memastikan Umno kekal relevan di persada politik negara tersandar di bahu setiap ahli Umno. Seorang Presiden hingga ke ahli biasa, tanpa kecuali berperanan atas kapasiti masing-masing.
Mungkin satu cara memastikan Umno kekal relevan ialah dengan mempraktiskan konsep 'persahabatan'. Ahli Umno wajar mengamalkan konsep ini, di semua peringkat sesama ahli. Anggaplah semua ahli adalah sahabat seperjuangan. Pemimpin adalah sahabat pengikut, pihak atasan sahabat kepada ahli di bawah. Maknanya, tindakan yang membuka ruang kepada perbalahan dan merosakkan nilai persahabatan elok dijauhi.
Malahan, konsep persahabatan ini boleh juga dipraktiskan di luar Umno. Umno 'bersahabat' bukan sahaja dengan komponen BN, mungkin dengan parti pembangkang. Mungkin wujud perbezaan dalam perjuangan, tapi itu bukanlah alasan untuk tidak berusaha mencari titik persamaan. Perjuangan membela Islam dan Melayu umpamanya, tentulah persamaan di antara Umno dan PAS.
Jika konsep ini dapat dihayati oleh semua ahli Umno, harapan untuk melihat Umno bangkit dan terus menerajui perjuangan memajukan bukanlah satu khayalan. Tembok yang memisahkan dan menghalang persahabatan sejati di kalangan mesti diruntuhkan. Mungkin sukar, tetapi tiada jalan mudah menggapai kejayaan.
Selepas 63th, rasanya bukanlah sesuatu yang berat untuk setiap ahli berkorban!