Salam,
Ketua Penerangan baru Umno, Datuk Ahmad Maslan dilaporkan kesal kerana kekuatan Umno dengan memiliki 60,000 orang Ketua Penerangan di peringkat cawangan gagal digembleng tenaga mereka.
Melihat jumlahnya memang cukup ramai, jika diandaikan ia sebagai perniagaan MLM pasti produk yang dipasarkan meletup di pasaran. Andai Umno sebuah syarikat, keuntungan diterima pasti berlipat kali ganda.
Sayangnya, mengapa penerangan Umno sejak akhir-akhir ini gagal?
Jika dihujahkan, ada banyak faktor kenapa kegagalan penerangan ini berlaku. Ketua Penerangan gagal berfungsi dengan baik adalah salah satu sebabnya. Jika Ketua Penerangan pun sudah ‘kabur’, bagaimana dia boleh menjelaskan kekaburan! Yang buruknya, dia sendiri tidak pun tidak setuju dengan mauduk yang hendak diterangkan, bagaimana mahu diterangkan?
Mungkin bukan salah Ketua Penerangan. Ketua Penerangan adalah jawatan dilantik. Ketua Penerangan tidak pernah memohon dilantik, tapi dia terpilih kerana dia ‘setia’ kepada ketua yang melantik, sebagai membalas kesetiaan maka terisilah jawatan tersebut. Hasilnya, dia memang bukan ‘Penerang’.
Menjadi Ketua Penerangan mesti seorang yang berani, mampu berhujah dan semulajadi bersifat ‘politician’. Sifat malu-malu kucing tidak wajar wujud dalam kamus hidup seorang Ketua Penerangan. Diajak berdebat, pasti dia tidak menolak dan mampu berhujah dengan baik.
Secara peribadi, saya pernah terserempak dengan seorang kawan yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan. Sebagai penghargaan, diucapkan tahniah kepada kawan tersebut. Sayangnya, kawan tersebut bukan pula mengucapkan sama-sama tetapi cuba berdolak-dalih seakan tidak mahu mengaku yang dia sudah dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Bagaimana mengharapkan penerangan daripada Ketua Penerangan seperti kawan tersebut, yang mahu mengaku jawatannya pun dia malu-malu? Bukan salahnya, mungkin dia memang tidak mampu tapi kerana dia terpilih oleh sang ketua, maka jadilah dia Ketua Penerangan. Kasihan Datuk Ahmad Maslan dan Umno!
Agak-agak bagaimanalah Ketua Penerangan seperti kawan ini mahu menerangkan dasar dan perjuangan Umno, adakah yang mahu mendengar?