Search This Blog
Thursday, February 16, 2012
Antara Kurta dan Nande....
Kehadiran PM ke Perayaan Thaipusam di Batu Caves, yang kemudiannya ditegur oleh Mufti Perak, menjadi bahan puak pembangkang membelasah PM. Malah dikata sehingga menggadai akidah.
Kemudian diikuti pendedahan blogger kehadiran Anwar ke Perayaan Pesta Ponggal di Batu Gajah, Perak pula menjadi bahan membelasah Anwar.
Tan Sri Harussani mencerahkan tegurannya kepada PM, dengan menyatakan kehadiran PM tidak menyalahi hukum syarak, selepas PM memberikan penjelasan.
Bayangkan berapa banyak komen yang dilontarkan rakyat Malaysia - sama ada yang faham atau tidak - terhadap teguran Mufti Perak terhadap PM. Bayangkan juga berapa banyak komen dibuat terhadap perarakan kereta lembu Anwar Ibrahim.
Malahan, bayangkan bagaimana pandangan umum terhadap Islam sebagai agama rahmat dan kesejahteraan untuk semua umat manusia - ketika begitu kerasnya pandangan kita terhadap kehadiran seseorang pemimpin dalam majlis perayaan melibatkan kaum lain.
Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada insiden ini?
1. Pihak berkuasa agama termasuk para mufti wajar mendapatkan maklumat yang tepat tentang sesuatu perkara sebelum memberikan komen. Komen yang salah akan menyebabkan rakyat mendapat maklumat yang salah. Walaupun komen tersebut dapat dibetulkan, tapi bayangkan berapa banyak 'kerosakan' yang berlaku?
2. Para pemimpin wajar mendapatkan nasihat yang betul daripada para penasihat mereka, sebelum melakukan sesuatu tindakan apalagi jika melibatkan sensitiviti kaum dan agama.
3. Para pemimpin dan rakyat wajar menjaga adab dan berhemah dalam memberikan komentar terhadap sesuatu perkara. Komen yang tidak membina dan berniat provokasi wajar dielakkan.
4. Hubungan toleransi antara kaum dan agama wajar dipertahankan agar kehidupan harmoni yang terjalin selama ini dapat kita wariskan kepada anak cucu kita nanti.
Monday, February 13, 2012
Najib bakal rasmikan acara pecah tanah di Sipitang
Projek besar itu dimiliki oleh Petronas Chemicals Group Bhd. Pengurus besar pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Joseph Podtung berkata kehadiran SAMUR bertaraf dunia di Sipitang akan mewujudkan kesan positif ke atas industri kimia dan berkaitannya, termasuk pertanian, hotel dan katering, penyenggaraan kilang dan pengangkutan.
"Ia juga akan menyediakan syarikat dan para usahawan prospek perniagaan yang meluas dan menjana pekerjaan untuk tempatan, sekali gus menyemarakkan pertumbuhan ekonomi, terutamanya untuk komuniti tempatan di Sipitang,” kata beliau pada satu majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Petronas Chemicals Group. — BERNAMA
Diucapkan SELAMAT DATANG kepada PM Najib, untuk sekali lagi ke Daerah Sipitang......
Thursday, March 31, 2011
Pemimpin Rakyat, Berjiwa Rakyat!
''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.
Salam,
Perdana Menteri DS Najib berterusan tanpa jemu menggariskan kriteria yang wajib dimiliki oleh pemimpin BN, demi memastikan mereka tidak alpa bahawa kuasa yang dimilik sekarang boleh hilang apabila rakyat sudah bosan dengan karenah pemimpin mereka. Terbaru semasa merasmikan AGM BAKTI, pandangan yang sama terus diutarakan.
Menurut Najib, pemimpin hari ini harus peka dengan perkembangan semasa. Harus sentiasa bersikap telus dan jangan sama sekali membohongi rakyat. Mungkin ada perkara yang mahu disorok dari pengetahuan rakyat, tetapi dengan kecanggihan tekonlogi maklumat hari ini, lama-kelamaan pasti akan terbongkar jua.
Elok rasanya jika seseorang pemimpin lebih terbuka dan berterus-terang dengan rakyat. Katakan perkara benar, jangan sesekali menganggap rakyat 'bodoh' dan tidak tahu. Pada era maklumat di hujung jari sekarang, tiada lagi perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Apalagi sikap menipu, tidak jujur dan tidak amanah, semuanya hanya akan menunggu masa untuk diketahui rakyat akhirnya.
Najib juga dilaporkan mahu pemimpin mengurangkan protokol dalam perjumpaan dengan rakyat. Perjumpaan dengan rakyat atau pemimpin kecil di peringkat bawah harus kerap diadakan, untuk mencari jalan terbaik terhadap sesuatu perkara. Jika berkaitan dengan kemajuan dan keselamatan kampung, pastilah dengan JKKK. Jika berkaitan parti tentulah dengan Ketua Cawangan.
Protokol zaman feudal dengan para Laksamana, Temenggung dan Bendahara datang bersembah mengadap Raja pada masa yang ditetapkan, sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini. Seorang pemimpin harus sentiasa bersedia mendengar laporan dari para pembantu, pemimpin tempatan atau rakyat biasa setiap masa. Datang ke sesuatu kawasan hanya kerana ada acara dirasmikan bukan cara terbaik mendekati rakyat.
Sudahlah jarang bertemu, datang pula di kelilingi oleh para balaci, pencacai dan 'yang biasa-biasa' bersama dengannya sehingga rakyat tiada ruang untuk bersemuka dengan pemimpin harapan mereka. Akhirnya, wujud jurang pemisah di antara pemimpin dengan rakyat. Rakyat cuma mampu melihat pemimpin mereka dari jauh. Dan pemimpin tidak dapat mendengar rintihan, aduan atau denyut nadi rakyat.
Jika saranan PM Najib ini diambil peduli dan dilaksanakan oleh para pemimpin BN, sebagai pemimpin rakyat berjiwa rakyat, pasti BN akan terus mendapat sokongan padu rakyat. Perubahan yang dituntut oleh PM Najib di kalangan pemimpin BN, jika segera diambil tindakan, pasti suara sumbang di kalangan rakyat - sebahagiannya penyokong BN - tidak lagi kedengaran.
Harapnya, mereka akan mendengar!
Friday, February 12, 2010
PM Turun Padang...Mesej Kepada Yang Lain!
Dalam tempoh hampir setahun sebagai PM, Datuk Seri Najib Tun Razak telah beberapa kali turun padang ke lapangan dan melihat sendiri perkembangan di kawasan tertentu. Selepas meninjau Kg. Baru, PM buat kali kedua kembali ke kawasan Petaling Street.
Langkah PM turun padang ini tentulah satu usaha yang wajar dipuji. Kesungguhan beliau untuk menjenguk kawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti Kg. Baru dan Petaling Street harus diberikan kredit. Hanya mereka yang buta hati sahaja akan menafikan hakikat keprihatinan PM ini.
Ekoran rajinnya PM kita ini turun padang, saya ingin memberikan dua pandangan :
1. Sewajarnya juga kesungguhan PM ini dicontohi pula para pemimpin yang lain, terutama yang bergelar Wakil Rakyat. Masa turun padang hanya kerana memenuhi jemputan kenduri kahwin atau merasmikan sesuatu acara, dengan sambutan paluan kompang, barisan bunga manggar dan kelihatan yang muluk-muluk sahaja mungkin sudah berlalu.
Langkah PM ini seharusnya difahami oleh para YB dan pemimpin lain supaya terus bekerja sama seperti apa yang diperlihatkan oleh PM. Biar denyut nadi rakyat, susah senang mereka turut sama dirasai. Hendaknya janganlah cuma mendengar laporan dari pegawai yang lazimnya tidak akan memberitahu perkara sebenar. Kebanyakannya akan melapor yang enak untuk didengar...
2. Pada masa yang sama, wajar juga bagi PM untuk sesekali turun padang ke kawasan kampung yang terpencil. Melihat 'derita' penduduk kampung yang tiada kemudahan elektrik, tiada air atau terpaksa menempuh jalan tanah merah yang becak ketika hujan dan berdebu ketika kemarau.
Melihat sendiri sukarnya nelayan menangkap ikan atau petani mengusahakan tanah. Kelihatan kini tumpuan PM turun padang hanya ke kawasan bandar yang telah menikmati banyak kemudahan. Mungkin kekurangan mereka adalah terlalu ringan dibandingkan dengan penghuni desa yang serba kekurangan.
Sebenarnya penduduk kampung juga teruja untuk PM turun ke kawasan mereka, menjenguk dan beramah mesra dengan mereka sambil bertanya khabar. Boleh PM melihat sendiri permasalahan yang berlaku seperti bangunan sekolah yang lewat disiapkan atau projek jalanraya yang tidak sempurna pelaksanaannya!
Harapnya, usaha PM untuk terus turun padang ini akan berterusan, disusuli pula rajinnya para YB untuk turut mengambil langkah yang sama. Biarlah bukan kerana untuk dipuji atau menagih sokongan pengundi, tetapi biarlah ia berlaku kerana kesedaran untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Kepada para Wakil Rakyat, contohilah usaha PM ini!
Tuesday, November 10, 2009
Sabah Sebagai 'Fixed Deposit'.
Komitmen menyelesaikan isu Pendatang Tanpa Izin ( PATI ) yang berlarutan sekian lama sangat ditunggu-tunggu. Isu ini seakan sudah menjadi barah, apa yang diharapkan jaminan penyelesaian ini dilaksanakan dengan baik. Kerjasama para majikan - yang suka menggunakan buruh, pembantu rumah dsb yang murah - ditagih dalam menyelesaikan isu ini.
Tuesday, August 11, 2009
Apa Susah...'Runtuhkan' Saja!!!
Salam,
Kecoh dengan 'berhala' buatan di Batu Caves, replika DS Najib dibina tinggi. Sudah mula kedengaran di sana sini, oleh para blogger.
Tiada apa perlu dikecohkan, runtuhkan saja replika ini. Jika PBT di kawasan terlibat tidak mahu bekerjasama, maka tugas Pemuda Umno melaksanakannya!
Pemuda Umno Selangor, khususnya Pemuda Bahagian Gombak dicabar jalankan urusan meruntuhkan replika ini sebelum ia terus menjadi 'kudis' + nanah + barah, sebelum ia mencemar 1Malaysia. Kalau bukan pemuda, nak harap siapa lagi?
Janganlah berkokok soal pengkhianat bangsa kalau kerja mudah ini pun tidak mampu dilaksana!
Friday, May 15, 2009
PM Rakyat
Hasrat Perdana Menteri sebagai PM Rakyat, sewajarnya disambut oleh segenap peringkat lapisan pentadbiran kerajaan. PM telah mendahulukannya, maka adalah menjadi tanggungjawab bermula daripada Kabinet hinggalah ke lapis bawah pentadbiran untuk mengikutinya.
Hasrat mulia PM menjadikan rakyat keutamaan dalam pentadbirannya sememangnya satu hasrat murni. Jika dapat dipraktiskan, nescaya pelbagai isu yang membelenggu rakyat selama ini akan dapat diatasi.
PM Rakyat sebagai kesinambungan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah satu komitmen jitu kerajaan dalam menjadikan rakyat sebagai pelanggan utama mereka. Komitmen ini memerlukan kepekaan dan keprihatinan semua anggota pentadbiran. Zaman menteri atau pegawai tinggi dikompang atau dibunga manggarkan, mungkin sudah sampai ke penghujungnya!
Namun, jika hasrat murni PM ini tidak dilaksanakan dengan berkesan dan gagal disambut dengan teladan pemimpin lain, ia cuma akan menjadi retorik. Harapan rakyat untuk mendapat perkhidmatan terbaik daripada agensi berkaitan hanya akan menjadi harapan palsu. Proses merakyatkan perkhidmatan awam ini mungkin mengambil masa, tetapi keazaman akan mampu merealisasikannya.
Harapan kita, hasrat PM menjadi PM Rakyat ini akan dapat dijelmakan. Seperti kata DS Najib, biarlah denyut nadi, suara nurani rakyat akan didengar dan diambil perhatian oleh para pemimpin!
Sunday, April 5, 2009
Warkah Untuk PM Najib...
Pada hari-hari awal bertugas sebagai PM keenam Malaysia, hendaknya Datuk Seri berkelapangan membaca warkah ini.
Sama seperti 28 juta rakyat pelbagai kaum, blog ini berharap Datuk akan memimpin negara ini dengan amanah, bijaksana dan penuh tawadhuk.
Laksanakan keadilan sepertimana adilnya Saidina Abu Bakar, tegas sebagaimana Saidina Umar, berkasih-sayang seperti Saidina Uthman dan berhikmah seperti Saidina Ali. Serta penuh mahabbah wa rahmah sebagaimana pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Harapan kami Datuk akan terus memacu kemakmuran negara, demi kesejahteraan rakyat jelata. Jangan ada hendaknya rakyat terpinggir dan tersisih di tengah arus kemajuan. Si kaya dan si miskin terus dekat dengan perhatian Datuk, tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit.
Dalam kesibukan membangunkan negara, janganlah dilupakan pembangunan luar bandar. Orang kampung masih dahagakan kemudahan asas yang belum sempurna, mengharap perhatian istimewa Datuk. Ada banyak lagi perkara yang Datuk boleh laksanakan untuk mengangkat darjat penduduk luar bandar.
Dengan pengalaman yang dimiliki, kami yakin Datuk akan berjaya mengemudi negara tercinta ini menuju kegemilangan, sebagaimana yang telah diasaskan oleh 5 PM terdahulu.
Semuanya dengan petunjuk Allah jua...SELAMAT BERTUGAS DATUK SERI!
Saturday, April 4, 2009
Lain Mengidam, Lain Yang Merasa!
Ini bukan peribahasa Melayu. Kata-kata ini cuma menggambarkan situasi terkini politik negara.
Tahun lalu, selepas pilihanraya yang dimenangi BN, seorang pemimpin mewar-warkan bahawa akan berlaku perubahan dalam pentdbiran kerajaan. Tanpa segan-silu, orang itu meramal kerajaan BN pimpinan Pak Lah akan jatuh.
16hb September dijadikan dateline penubuhan kerajaan baru, dengan sejumlah MP BN akan melompat parti dan menyertai kerajaan yang bakal ditubuhkan. Dia menjadikan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan campuran yang berlainan ideologi dan berlainan mimpi.
Keazamannya semakin kuat apabila dia memenangi kerusi Permatang Pauh. Slogan diberi: Dari Permatang Pauh Ke Putrajaya. Keyakinan tingginya disokong penuh oleh kawan-kawannya sealiran, tidur sebantal mimpi lain-lain.
Anda tentu dapat meneka dengan tepat, siapa dia?
Ya,hari ini apa yang diramalkan menjadi kenyataan. Segala fantasi menjadi realiti. Walaupun cubaan mengagalkan perubahan ini berterusan, sehingga ke saat akhir. Dicanangkan bahawa SPB YDP Agong tidak berkenan kepada perubahan yang dirancang.
Lain mengidam lain yang merasa. Memang Pak Lah turun daripada kerusi empuk PM tapi yang akan duduk di kerusi tersebut ialah Datuk Seri Najib. Bukan pemimpin yang mengidam sebelum ini.
Kecuali berlaku takdir lain, nampaknya selepas ini di Dewan Rakyat, kerusi no.1 akan diduduki oleh MP Pekan bukan Permatang Pauh...
Friday, April 3, 2009
SELAMAT BERSARA PAK LAH!
Dijadualkan hari ini adalah hari terakhir Pak Lah menyempurnakan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima, dengan Pak Jib akan memulakan tugas PM keenam.
Pak Lah akan mengakhiri tugas sebagai PM dengan catatan 'tinta emas' yang panjang. Tanpa ada sesalan, pasti Pak Lah akan 'pergi' dengan meninggalkan kerusi empuk Ketua Eksekutif pemerintahan negara dengan tinggalan yang akan dikenang dalam lipatan sejarah.
Dasr Terbuka, Pelan Integriti, Pencegahan Rasuah, Penambahbaikan Perkhidmatan Awam dan Polis, Pertanian Adalah Perniagaan dan Islam Hadhari, adalah sebahagian legasi tinggalan Pak Lah. Mungkin tidak sesempurna seperti yang diharapkan, namun usaha awal Pak Lah merintis perjuangan tidak dapat dinafikan.
Pasti akan terus diingati, kemenangan besar BN dalam PRU 11 tahun 2004. Pembangkang diberi pukulan mati dalam kejayaan gilang-gemilang tersebut. Kalau pun dikira kegagalan, kekalahan BN dalam PRU 12 tahun 2008 bolehlah dikira Pak Lah gagal mengendalikan asakan berterusan, bukan sahaja oleh pembangkang tetapi oleh 'orang dalam'.
Pak Lah mungkin tidak meninggalkan monumen cantik dan indah untuk kita tatapi, namun usaha Pak Lah mengasas kempen modal insan jauh lebih indah untuk kita ingati. Apa pun cabaran yang telah dihadapi Pak Lah selama 5 tahun pemerintahannya, ketenangan yang ditunjukkan beliau menghasilkan banyak kejayaan, sebahagiannya tidak mungkin kita lihat sekarang.
Melihat kegigihan Pak Lah mendaki anak tangga satu demi satu dalam kerjaya politiknya, pasti wajar dijadikan teladan. Pak Lah bukan setakat berjaya dan menggapai kemuncak kejayaan, malah pernah tewas dan pernah tidak diberikan peluang langsung mencapai apa yang dikecapinya hari ini.
Hakikatnya, Pak Lah adalah contoh pemimpin berjiwa besar - mendahulukan kepentingan parti dan negara mengatasi kepentingan sendiri. Sanggup 'berhenti' dan memaafkan orang lain ketika berada di puncak kuasa!
Selamat Bersara Pak Lah! - Namamu pasti akan terus diingati...
Friday, March 13, 2009
Makna Sekeping Gambar
Melihat gambar yg terpampang, pelbagai tafsiran boleh dibaca. Tpulang kpd empunya diri, melihat dan mtafsir dr sudut mana.
Ada orang melihat gambar ini sebagai persediaan Pak Lah menidakkan peralihan kuasa. Pak Lah berbincang dgn DS Anwar mbentuk kerajaan perpaduan.
Ada orang melihat gambar ini sebagai persiapan Pak Lah di hujung perkhidmatan menjadi PM. Hari-hari akhir sebelum bersara diisi dengan kegiatan keagamaan.
Ada juga mentafsir gambar ini sebagai salah satu cara DS Anwar melarikan diri daripada pelbagai masalah yg berlaku, daripada tuduhan kes liwat, kerajaan pintu belakang yg gagal, lompatan ADUN dan tumbangnya kerajaan PR di Perak, serta kes Eli yg menggegar.
Yang ekstrim tafsiran ini: Tok Guru Syeikh Mahmud ini sengaja memanggil PM dan Ketua Pembangkang sekali dalam majlis itu. Tujuannya supaya madrasah yg diasaskannya menjadi lebih glamour dan diikuti ramai orang, dgn kehadiran VIP.
Mana-mana pun tafsirannya, tidak dapat kita halang. Terpulang...tapi rasanya, bukankah lebih elok kalau dalam gambar ini ada Tuan Guru DS Haji Hadi Awang! …Boleh bincang pasal perpaduan Islam / Melayu!!!
Alangkah indahnya saat itu, tiga tokoh utama dari parti yg mewakili orang Islam / Melayu, duduk semeja sambil makan-makan, dipengerusikan seorang ulama, berbincang soal serius, menolak ke tepi pbezaan pendapat dan ideologi, mencari kesatuan fikrah...
Subhanallah!
Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!