Followers

Showing posts with label cucu. Show all posts
Showing posts with label cucu. Show all posts

Friday, 1 May 2015

Cucu Baru - Muhammad Harith - Selamat Hari Lahir!

As-salam.

Pada tanggal 14 Mei Mak Aji terbang ke JB untuk menemani anak sulung Mak Aji yang bakal bersalin pada tanggal 16hb. 

Sebelum bersalin dan berpantang Mak Aji perlu memenuhi permintaannya untuk menikmati kek cawan mulberi seperti yang Mak Aji buatkan sempena hari ulang tahun Mikhail beberapa hari sebelumnya. Maka sesampai di rumahnya di Skudai, Mak Aji membuatlah kek cawan yang diminta:


Kek cawan berinti mulberi dengan frosting berperisa mulberi dan dihiasi mulberi segar di atasnya!
Kek cawan mulberi yang dibikin tempoh hari untuk hari ulang tahun pertama Mikhail.

Selain itu Mak Aji juga melayan Along keluar. Sempat disambarnya aiskrim McFlurry dari McD sebanyak dua kali! Alahailah makyong! Sabar ajelah Mak Aji melihatnya! Suka hati kamulah Along! 

Pada 16hb. seperti yang dijadualkan, kami pagi-pagi lagi ke Hospital Columbia Asia di kawasan Perling. Along dijadualkan menjalani pembedahan caesarian pada jam 9 paginya. Alhamdulillah sekitar jam 4.30 petang lahirlah puteranya yang ke-3 - Muhammad Harith dengan beratnya 3.3 kg. Maka bermulalah tugas Mak Aji menjaga Along serta baby baru, juga dua anak lelakinya yang besar. 


Jari-jari mungil cucuku! Foto sepenuhnya selepas habis pantang Along ya!

Selang beberapa hari timbul pula rasa rindu untuk meroti. Maka disuruhlah Pak Aji untuk membawanya dari KL kerana dia berkereta. Meroti pulalah Mak Aji melayan cucu serta melayan gian meroti!:

Piza mini (sebelum bakar).
Ban manis
Imran - anak kedua Along.
Naufal - anak sulung Along.
Apabila melihatkan BM yang dibawa Pak Aji dari KL, terdetik di hati - BM. never leave home without it!! 



Tuesday, 19 August 2014

Ubat Menangis

As-salam.

Dalam menjalankan tugas sebagai babysitter/inang pengasuh cucu ini Mak Aji buat pelbagai cara untuk meredakan tangisan cucu. Antara yang paling mujarab ialah 'lagu' doa dhuha yang dialunkan oleh Kumpulan UNIC. Aleesya apabila dinyanyikan boleh mendodoikannya sehingga lena manakala untuk Mikhail cukup untuk membuatnya berhenti menangis lantas tersenyum dan ketawa. Ini versi Mak Aji yang banyak kurengnya berbanding yang asli dari UNIC:



Kalau doa ini mujarab untuk cucu Mak Aji, anda juga boleh mencubanya!





My Princess

As-salam.

Dalam entri lalu, Bebas di Laman, Mak Aji tunjukkan foto Aleesya di laman dengan rupa seakan-akan tomboy, sekarang Mak Aji mahu tunjukkan foto Aleesya yang semacam princesslah pulak!:

Yay, bebas di laman lagi! 
Amacam, menjadi tidak catwalk Aleesya ni??
Tokma ajar step untuk tarian ballet ni!
Jaga-jaga ya Tokma, Aleesya nak buat pirouette ni!!

Berikut foto Aleesya semasa raya tempoh hari:

Ke mana hilang tangan kanan Aleesya tu??
Senyum manis Aleesya yang berbaju sedondon
dengan mamanya.
Nona kecil berkebaya merah!

Catatan: Sebahagian besar foto dirakam mama Aleesya.



Thursday, 19 June 2014

Make Way for Mikhail Zahrin

As-salam.

Cucu Mak Aji nombor empat sudah mula Mak Aji jaga apabila ibunya mula bertugas pada pertengahan bulan Jun ini. Perkenalkan Mikhail Zahrin:

Mikhail sedang lena tidur semasa kami ke Sijangkang untuk memenuhi permintaan
anak dara untuk membeli keperluannya.
Berikut pula Mikhail semasa baru lahir:

Merah bibirnya bak delima merekah!
Jadi janganlah terkejut apabila mendengar tangisan dalam video Aleesya berjalan - itulah dia suara Mikhail! Tokma sibuk ambil video Aleesya, Mikhail pula yang memangil-manggil untuk dilayan! Sibuk Tokma sekarang sejak ada dua handbag!!





Daripada Berkaki Empat ke Berkaki Dua

As-salam.

Cucu Mak Aji si Aleesya sudah pandai berjalan pada usia 11 bulan - agak cepat juga berbanding anak-anak Mak Aji sendiri. Tergelak kami melihat telatahnya mendapat kaki - diukurnya rumah Mak Aji setakat mana yang mampu dia pergi - entah berapa kilometer sehari! Jalannya rupa umpama robot. Seperti orang mabuk todi pun ada juga, he he! Walaupun berjalan jatuh, digagahkan juga berjalan terus - syabas Aleesya!!


Catatan: Aleesya nampak terkejar-kejar berjalan apabila mendengar suara baby Mikhail memangil-manggil!

Wednesday, 28 May 2014

Pinjam Aleesya, Boleh??

As-salam.

Pagi semalam Pak Aji mengajak Mak Aji ke JB atas urusannya bertemu dengan kawannya, seorang ustaz dari Yaman yang mengajar di Perling. Kawannya ini juga sedang menyambung pelajaran peringkat PhD di Akademi Islam Universiti Malaya. 

Mak Aji mahu sahaja mengikut tetapi kalau bermalam agak susah sebab Mak Aji menjaga Aleesya sementara mamanya bekerja. Pak Aji menyuruh Mak Aji 'meminjam' Aleesya daripada mamanya hanya untuk semalam! Mak Aji memang tahu yang mamanya tidak akan mahu berenggang dengan Aleesya tetapi dek kerana desakan Pak Aji, Mak Aji ikut sahaja. Memang betul pun, mamanya tidak setuju!

Hanya seorang ibu sahaja akan faham akan hal ini. Perkara yang sama pernah Mak Aji alami semasa anak bongsu Mak Aji Asyraf masih kecil. Ketika itu bibik kami  terpaksa balik ke Indonesia kerana dia mendapat panggilan telefon daripada suaminya yang memaklumkan anak mereka sakit teruk. Pada malam terakhir di rumah, dia meminta agar Asyraf tidur dengannya (dia memang rapat dan sentiasa memanjakan Asyraf - sentiasa didukung denga kain selempang tu - jadi anak Indon, si Asyraf!). Mak Aji faham perasan dia tetapi tetapi Mak Aji tidak mampu untuk berbuat demikian, walaupun berada di bawah bumbung yang sama, apalagi kalau berjauhan! Tidak apa-apa Nadia, mama faham! Ingat senang eh, mahu main pinjam-pinjam anak orang??

Manalah mampu mamanya berpisah dengan budak comel ni!!!



Saturday, 17 May 2014

Pabila Dua Dara Bertemu Muka

As-salam.

Semalam kakak Mak Aji, Cik Ning menyinggah ke rumah Mak Aji dalam perjalanan balik ke KB. Kami makan tengah hari bersama-sama - cukup meriah sekali! Lauk cukup simple tetapi makan bertambah-tambah - lauk daging segar goreng, sayur bayam ditumis, ikan pekasam digoreng, telur dadar gebu serta ulam-ulaman dari laman (kacang panjang, ulam raja, cili api putih) yang dicicah budu. Cik Ning datang bersama-sama suami dan anak perempuannya serta suaminya dan juga anak kecil mereka, Mia. 

Aleesya cucu Mak Aji dan Mia cucu Cik Ning dan beza umur mereka cuma sebulan. Mia lahir dahulu. Seronok melihat gelagat mereka. Aleesya agak lasak manakala Mia agak manja serta lemah lembut, juga sensitif. Semalam Mia asyik merengek kerana dia perasan yang mamanya gelakkannya - Aleesya pula kelihatan pelik melihatkan Mia menangis (kenapa Kak Mia ni nangis??) Lihatkan gelagat mereka:

Menangis , menangis juga, nak cium, cium juga!
Hah, dah dapat cium!
French kiss apa Mia!??
Begitulah gelagat dua pupu ini apabila bertemu! Gelak kami sekeluarga melihat gelagat mereka berdua!




Wednesday, 14 May 2014

How Do I Look!?

As-salam.

Tokma ini tiada kerja lain, asyik melayan cucu sahaja. Kali ini Aleesya bergaya dengan kaca mata hitamnya!:

Mek bungo - sampai 3 kuntum bunga menghiasi diri, he he!!
"It's sunny outside. I better put my shades on. How do I look???"



Monday, 12 May 2014

Mana Gigi??

As-salam.

Dalam diam cucu Mak Aji sudah 9 bulan lebih usianya. Begitu cepat masa berlalu! Hadirnya Aleesya di rumah kami cukup menjadikan suasana cukup meriah dengan gelak tangisnya. Suasana senyap sunyi tanpa kehadirannya! Semakin hari semakin lasak dia. Begitu juga dengan manjanya. Sekarang kalau dia mengantuk, dia mahu dipeluk dan didodoikan sampai lena - maka menyanyilah Tokma ni! Kegemarannya -  'lagu' doa dhuha oleh UNIC. 

Berikut beberapa foto Aleesya yang Mak Aji rakam pada petang ini sambil melayan telatah manjanya:

Gigi baru empat batang tapi semua yang kita makan dikeceknya juga!
Nampak tidak pokok kelapa atas kepala Aleesya??
Manja sungguh cucu Tokma ni!




Wednesday, 7 May 2014

Aleesya's First Kiddy Ride

As-salam.

Dalam banyak-banyak tempat untuk Aleesya naik kiddy ride, apa hal pulak pilih Kuala Selangor untuk berbuat demikian?? Begini ceritanya. Semalam hari Isnin dan pada setiap Isnin dan Jumaat Mak Aji ketip kuku si Aleesya. Oleh sebab semalam sejak pagi kami bersiap ke Hutan Melintang, maka Mak Aji tidak berkesempatan berbuat demikian. Mak Aji cari ketip kuku di dalam kereta dan tidak berjumpa. Maka kami berhenti di Kuala Selangor untuk membelinya selain menyinggah makan tengah hari. Sambil tercari-cari apa yang diperlukan, terjumpa pula kiddy ride ini:

Muka agak blur! Entah benda apa yang Tokbah suruh naik ni??
Baru nampak excited sedikit si Aleesya ni!



Sunday, 13 April 2014

Ahli Baru Keluarga Kami

As-salam.

Malam tadi kami sekeluarga memanjatkan berbanyak-banyak syukur atas kelahiran anggota keluarga kami yang terbaru:

Bayi lelaki, cucu Mak Aji yang keempat!

Anak pertama Zhafran dan Mida lahir (secara pembedahan) sekitar 8 lebih malam tadi setelah Mida (menantu) puas berusaha untuk melahirkannya secara normal. 

Kami bertiga ke HUKM Cheras pagi semalam apabila Mida mengadu sakit sejam sekali. Kami sempat bersarapan dahulu sebelum itu. Sampai sahaja ke hospital, air ketuban dipecahkan. Kami mengharapkan bayi akan lahir tidak lama selepas itu, namun kami terpaksa tunggu sejak pagi hinggalah ke malam. Maka bertunggu tanggalah kami di hospital. di luar bilik bersalin. 

Setelah puas berusaha doktor membuat keputusan agar pembedahan dilakukan kerana ditakuti bayi mula mengalami stres. Tidak lama setelah masuk ke OT, kedengan suara tangisan yang nyaring - cucu Mak Ajilah tu!!

Bayi lahir dengan berat 3.65 kg - boleh tahan beratnya walaupun mamanya cuma kecil saiznya!

Alhamdulillah dan tahniah Zhafran dan Mida atas kelahiran cahaya mata pertama. Mama doakan agar anak ini akan menjadi anak yang soleh yang bakal membahagian ibu ayahnya di dunia malahan juga di akhirat nanti, insya-Allah! Amin!!



Tuesday, 11 March 2014

Control Ayu

As-salam.

Beberapa minggu lepas Mak Aji ke Bukit Beruntung untuk melihat-lihat rumah yang ingin dibeli oleh anak menantu Mak Aji. Aleesya juga dibawa sekali. Setelah selesai meninjau rumah kami berhenti minum sebelum balik. Lihatkan foto Aleesya (dirakam di kedai makak) berikut yang Mak Aji suka sangat!:

Semacam sengaja posing, kan! Nampak tidak air liur setitik kat dagu, he he!
Melihatkan foto ini Aleesya kelihatan seperti lebih tua daripada usia sebenarnya, walhal usianya baru 8 bulan! Jangan muak ya, beginilah gelagat nenek, asyik muat naik foto cucu sahaja ya!



Aleesya Dikekong!

As-salam.

Anda pernah dengar perkataan kekong?? Kalau anda belum pernah dengar, mari Mak Aji kongsikan. 

Perkataan kekong tergolong dalam dialek Kelantan, juga Terengganu. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, kekong maksudnya:

      mengekong mengangkat atau mendukung (budak) di belakang atau di atas bahu.

Jika anda masih kurang jelas, mari Mak Aji tunjukkan beberapa foto Aleesya yang dikekong atau Zhafran mengekong Aleesya:










Anda sudah faham?? Sekarang bolehlah anda mengekong ya!





Monday, 27 January 2014

Aleesya Lagi

As-salam.

Harap pembaca jangan jemulah ya! Asyik-asyik muat naik foto cucu dia saja! Apakan daya nenek ini memang suka melayan karenah anak dara kecil ini. Cukup seronok kami merakam fotonya! Berikut foto yang dirakam pada hari minggu:




Aleesya sudah enam bulan lebih usianya. Pantang melihat orang makan, semuanya mahu dimakannya juga. Gigi bawahnya baru tumbuh dua batang dan dek kerana itulah agaknya dia suka main bibir bawahnya - terasa pelik akan kehadiran giginya agaknya.

Semalam dia sibuk menarik-narik tudung pappunya (menantu Mak Aji - mak cik Aleesya), lantas disarunga terus tudung tersebut. Maka terhasillah foto-foto di atas!

Moga tudung insya-Allah akan terus menghiasi dirimu ketika besar nanti dan Tokma doakan Aleesya menjadi anak yang solehah, amin!!



Friday, 1 November 2013

Mandi Milo Sambil Makan!

As-salam.

Seperti biasa, setiap kali kami ke Skudai, anak menantu kami membawa kami makan di luar dan pilihan pada hari Sabtu malam ialah Restoran Sup Tulang ZZ di Jalan Petrie, Johor Bahru. Mak Aji belu pernah ke situ dan kali terakhir kami makan sup tulang, semasa menyambut raya haji di ampung tempoh hari. Ini sup tulang Mak Aji, siap dengan straw besar lagi!!:

Sup tulang - perhatikan straw tu!!
Mak Aji pesan teh tarik sebagai minuman sementara Imran memesan milo ais untuknya. Imran berdiri di sebelah Mak Aji dan Along dan enggan duduk sementara hidangan sepenuhnya sampai. Dia bermain-main sambil menghayunkan tangan dan badannya. Tiba-tiba Mak Aji nampak gelas milonya melayang (secara slow motion ni!) dan terdetik di hati - 'mandi Milo aku kali ni!' Memang benar telahanku, Milo tumpah ke atas baju dan mandi Milolah Mak Aji!




Mencari Cucu yang 'Hilang'

As-salam.

Mak Aji sebenarnya sudah berbulan-bulan (sejak Julai lepas - tertangguh kerana menantu Mak Aji bersalin dan berpantang di rumah dan seterusnya Mak Aji menjaga baby yang baru lahir itu hingga sekarang) merancang untuk ke Skudai untuk menziarah anak cucu yang menetap di sana. Menantu Mak Aji asyik sibuk dan tidak berkelapangan untuk membawa keluarga mereka untuk berziarah ke KL. Mak Aji sekadar menelefon dan Skype sahaja mereka. Lain rasanya jika tidak dapat benar-benar melihat mereka dengan mata kepala sendiri. Mereka semacam 'hilang'!

Pada hari Jumaat lepas (malamnya), sekembalinya mama dan ayah Aleesya ke rumah, Mak Aji dan Pak Aji bertolak ke Skudai. Kami menyinggah di Melaka untuk makan asam pedas terlebih dahulu. Terbukti asam pedas di medan selera Ayer Keroh kurang menyengat berbanding yang biasa kami makan di Restoran Pokok Besar di Kota Laksamana! Pak Aji malas untuk pergi jauh-jauh sebab tidak mahu lambat tiba di Skudai nanti. Lain kali sahajalah!

Kami tiba sekitar jam 12.00 malam dan cucu berdua sudah diulit mimpi. Keesokan paginya, sambil kami berehat di bilik selepas solat Subuh, pintu bilik diketuk keras! Apabila dibuka sahaja pintu, kedua-dua mereka menerkam memeluk kami! Inilah buah hati kami, Naufal dan Imran:

Naufal di kiri dan Imran di kanan.

Sunday, 20 October 2013

Ustazah Bekeng!

As-salam.

Aleesya, cucu Mak Aji tidak banyak ragamnya dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung. Kerjanya tidur sahaja dan cuma bangun bila lapar untuk menagih susu. Cuaca yang agak mendung dan hujan sana-sini dan dalam kereta dengan hawa dinginnya, Aleesya diselimut juga dengan nursing shawl mamanya untuk menahan sejuk. Ini foto comelnya:

Apa tengok-tengok? Cepat ngaji, kalau tidak ustazah rotan!
Si comel ini Mak Aji doakan akan menjadi anak yang soleh, berhijab tentunya dan akan menjadi saham kami di akhirat nanti, insya-Allah!!




Thursday, 17 October 2013

Meniarap Sudah

As-salam.

Cucu Mak Aji, Aleesya mula meniarap semasa usianya dua bulan setengah. Sekali sahaja meniarap dia terus diam, tidak meniarap lagi!

Ketika berada di kampung tempoh hari dia menunjukkan kemahiran barunya itu buat kali keduanya!:

Sibuk melihat corak pada tilam.
My trojan girl!

Kalau orang lain perlu letakkan gel rambut untuk menghasilkan rambut trojan, si Aleesya perlu letak gel untuk merebahkan rambutnya!




Aleesya dan Mia

As-salam.

Cucu saudara Mak Aji, Mia serta ibu-bapanya juga balik kampung untuk raya. Jadi, apa lagi, kami sibuk merakam foto Mia dan Aleesya serta membanding-banding saiz, juga gelagat mereka!

Aleesya dan Mia! Aleesya 3 bulam manakala Mia empat bulan usianya!
Mata Mia bergenang air mata, memang manja anak dara ni!
Aleesya selamba aja, dok asyik main tangan.



Thursday, 3 October 2013

Tidak Tewas Dek Jarum!

As-salam.

Pada hari ini genaplah usia cucuku Aleesya tiga bulan dan kebetulan pula pada pagi ini Mak Aji ke klinik untuk temu janjinya bagi mendapatkan suntikan terjadual. Kalau sebulan lepas Aleesya tidur sahaja sepanjang kami berada di klinik, pada kali ini Aleesya juga good girl dan tidak meragam walaupun di keliling kami ada bayi yang asyik merengek, budak-budak berlari sana-sini dan suasana agak sibuk dek ramainya hadir untuk temu janji. 

Apapun, Mak Aji sudah siang-siang lagi ingatkan Pak Aji agar membawa stroller Aleesya sekali sebab Mak Aji tidak larat mendukung dia sepanjang separuh hari (memang lama weh menunggu!) di klinik. Alhamdulillah pada kali ini legalah bahu Mak Aji sebab hampir sepanjang masa Aleesya di dalam strollernya.  

Berat Aleesya pada hari ini (tanpa seurat benang! - pampers pun disuruh tanggalkan, nasib baik tiada accident!) 6.2 kg - mana larat nak didukung lama-lama, mengalahkan kampit beras 5 kg!! 

Lihatlah si Aleesya sebelum disuntik:

Tengok apa tu Yang??
Nampak tidak rambut trojanku yang terpacak dan enggan rebah??
Gelak diagah Tokbahnya!

Yang agak mengejutkan Mak Aji, apabila jururawat memberi suntikan hinggalah selesai, Aleesya terus selamba tanpa menangis sedikit pun!! Wah, hebat betul anak dara kecil ini! - tidak tewas dek jarum!! Cayalah Aleesya, cool aje!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...