Followers

Showing posts with label balik kampung. Show all posts
Showing posts with label balik kampung. Show all posts

Friday, 10 October 2014

Balik Kampung Beraya Haji

As-salam.

Mak Aji, Pak Aji serta Boy pulang beraya ke kampung genap seminggu yang lalu. Kami bertolak sebaik sahaja selesai makan sahur dan memasukkan beg pakaian (serta sekotak buah betik dan mangga dari laman sebagai ole-ole dari KL ke kampung!) ke dalam kereta. Bergegas kami keluar dari rumah agar kami sempat keluar sebelum masuknya waktu solat Subuh (agar terlepas kewajiban untuk menunaikan solat Jumaat ke atas Pak Aji dan Boy). Kami menyinggah di masjid di Selayang untuk solat Subuh berjemaah. Usai solat kami meneruskan perjalanan balik ke kampung mengikuti jalan Gua Musang. Kenderaan agak banyak tetapi lalu-lintas berjalan lancar tanpa kesesakan.

Kami selamat tiba di rumah kakak Mak Aji, Cik Ning sekitar jam 1.00 tengah hari. Setelah berehat seketika, kami keluar untuk mencari lauk untuk juadah berbuka - Boy mahu makan lidah lembu bakar! Kami ke Pasar Siti Khadijah untuk tujuan tersebut.

Sejam dua kemudian Mak Aji menerima pesanan daripada Along berserta foto kemalangan melibatkan treler yang melintang serta menutup terus jalan menuju KB. Saksikan foto berikut:

Kemalangan dalam perjalanan dari Kuala Lipis - Gua Musang sekitar Merapoh.
Mak Aji dimaklumkan kesesakan sepanjang 30 km dari tempat kejadian menghala ke KL. Dari tempat kejadian ke Gua Musang juga sesak teruk. Alhamdulillah kami terlepas daripada terperangkap dalam kesesakan tersebut. Setelah 4 jam barulah treler dapat dialihkan dengan serba susah payahnya! (kawasan berbukit - Bukit Tujuh nama tempatnya).

Mengikut rencana awal kami sepatutnya bertolak balik ke KL pada hari Rabu tetapi dek kerana Pak Aji ada urusan penting, maka kami terpaksa percepatkan ke hari Selasa. Apa lagi, sampai sahaja kami ke kawasan Machang (jalan Gua Musang), kesesakan teruk berlaku. Kami berpusing balik dan meneruskan perjalanan melalaui jalan Grik. Alhamdulillah jalan agak selesa tanpa kesesakan dan kami selamat tiba sekitar jam 2 pagi hari Rabu.

Kami bertiga menunaikan ibadah korban di Pattani - di pondok arwah guru Pak Aji. Kami menyeberang sungai (tanpa pasport!) dari Kampung Simpangan, Tumpat. Hati berdebar-debar memerhati arus sungai yang sedikit lesu dan pada masa yang sama Mak Aji teringat kejadian perahu karam di Sungai Golok ini juga (ketika itu dua lagi mangsa belum ditemui), iaitu di Mundok, Thailand. Kalau diikutkan hati tidak mahu Mak Aji pergi kerana Mak Aji tidak tahu berenang! Apapun Mak Aji beranikan diri berbekalkan bacaan ayat Kursi! Alhamdulillah kami selamat menyeberang, selesaikan korban, makan kendurinya dan selamat menyeberang balik!! 

Suami mangsa serta 3 mangsa yang terkorban.
Sumber foto: http://duniaitu.blogspot.com/2014/10/korban-sungai-golok.html
Semoga keluarga mangsa tabah menerima takdir Allah ini dan semoga semua roh mangsa dicucuri rahmat-Nya jua dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan solehah, amin!!



Friday, 4 April 2014

Jalan-jalan Orang Pencen

As-salam.

Mak Aji dan Pak Aji balik kampung lagi semasa cuti sekolah yang baru berlalu. Sebelum itu kami menyinggah ke rumah adik Mak Aji di Batu Gajah, Perak untuk menziarahinya yang kurang sihat - ada bengkak serta bernanah di dadanya! Sebenarnya adik Mak Aji ini pernah mengalami kemalangan motorsikal beberapa tahun lalu yang hampir meragut nyawanya. Alhamdulillah umurnya masih panjang. Dia sudah kembali bekerja (sebagai guru) namun terpaksalah bertongkat (dimasukkan besi ke tulang belakangnya). Harap-harap tiadalah apa yang serius dengannya. Dengar khabar, keadaan seperti ini agak biasa berlaku untuk mereka yang pernah menjalani pembedahan! Pertama kali Mak Aji mendapat tahu perkara ini!

Usai solat Jumaat, kami bergerak ke Kelantan melalui jalan ke Cameron Highlands. Kami berhenti sebentar di sebuah tempat rehat di Tapah - Lata Iskandar:

Air terjunnya tidak sebanyak biasa, musim panas agaknya.
Di tempat itu juga Pak Aji leka memerhati pelbagai jenis tongkat yang dijual oleh seorang wanita orang asli - harganya boleh tahan mahalnya, ada yang berharga RM400 lebih sebatang, jenis kayu teras gemunggal. Pak Aji menjeling-jeling pada Mak Aji (minta kelulusan ke??, 'tak payahhh,!' Mak Aji balas dengan jelingan juga!) Akhirnya tongkat tidak dibeli tetapi Pak Aji asyiklah menyebut-nyebut tentang tongkat kayu teras gemunggal tersebut! 

Dalam perjalanan ke Tanah Rata, kami menyinggah lagi di tempat menjual barang-barang kraf. Apa lagi, seronoklah Pak Aji! Dibeleknya sejenis tongkat, kayu kemuning hitam. Apabila ditanya harganya, Pak Aji tersenyum panjang sambil menjeling dan mengangguk lagi! - RM100! Di kedai yang terdahulu harganya jauh lebih mahal lagi!

Tersenyum puas dengan kayu kemuning hitam di tangannya!
Ini pula tongkat penunduk gajah! Entah bertemu tidak dengan
gajah yang bakal ditundukkannya, he he!
Apabila Pak Aji cukup seronok mendapat apa yang dimahukannya, Mak Aji pun minta agar dibeli bahagian Mak Aji pula, ini dia:

Wind chime Mak Aji punya!
Seperti biasa asalkan ke Cameron, tentu sahaja kami mahu pekena teh masalanya!:

Nampak tidak masala chai di tengah-tengah tu??
Tarik jangan tak tarik Pak Aji - alhamdulillah sedapnya teh masala panas dalam
sejuk dingin cuaca Cameron Highlands!!
Tanpa membuat tempahan hotel apa-apa (Pak Aji punya idealah tu!) kami main terpa sahaja ke mana-mana hotel untuk bermalam. Secara kebetulan kami terjumpa Hotel Medina, sebuah hotel muslim. Ditanya kadar, hanyalah RM145 semalam tanpa minum pagi. Oklah tu. Dek kerana sekolah sudah mula cuti, hotel agak penuh dan kami terpaksa menginap di tingkat 2 - naik tangga weh, tiada lif - sedikit longgar lutut ini! Apapun biliknya selesa walau agak kecil. Di luar bilik kami terdapat satu ruang kecil untuk solat - mini surau - cukup untuk kami berdua solat berjamaah!

Selepas pekena teh tarik secawan!






Pagi esoknya kami bertolak ke Chuchoh Puteri di Kuala Krai, iaitu ke rumah kakak Pak Aji untuk majlis kenduri kahwin anak saudaranya.:


Usai majlis kenduri kami ke Pasir Puteh untuk menghadiri satu lagi kenduri kahwin. Kami juga mengambil peluang berziarah sanak saudara di kampung. Pada malamnya kami bermalam di Bisikan Bayu Beach Resort, sebuah penginapan yang baru sehari dua dibuka sempena cuti sekolah ini. Menurut kata kakitangannya, penginapan itu sebenarnya dijangka dibuka pada awal April tetapi oleh kerana terlalu banyak permintaan agar ia dibuka sempena cuti sekolah, maka mereka terpaksa beralah.

Mak Aji tidak sempat mengambil foto tempat penginapan ini kerana tergesa-gesa bertolak balik ke KL. Walaupun begitu, penginapan ini memang jauh berbeza daripada Tok Aman Bali Resort dari segi 'bintang'nya dan tentu sekali dari segi harganya! Jika anda inginkan penginapan yang lebih murah apabila bermalam di Pantai Bisikan Bayu, maka inilah pilihan yang baik. Kami dicaj harga promosi sebanyak RM100 sahaja manakala kadar biasa ialah sekitar RM125.00 semalam.

Pantai Bisikan Bayu.
Setelah mendaftar keluar kami ke Terengganu mengikut jalan pantai - apa lagi kalau bukan untuk merasa ikan celup tepung! Sambil menikmati keindahan suasana di tepi pantai, kami menikmati ikan celup tepung. Menjelang malam kami mencari-cari tempat menginap di kawasan Merang. Kami terpandang papan tanda Merang Suria Resort. Kami bernasib baik kerana mereka ada satu bilik kosong untuk kami.

Usai sarapan kami bertolak ke rumah saudara dua pupu Mak Aji yang bakal melangsungkan perkahwinan dua orang anak perempuannya pada dua hari berikutnya (kami tidak dapat hadir). Kami tidak bersua muka sejak sekitar 30 tahun lalu!

Kami meneruskan perjalanan ke KL melalui LPT. Kami menyinggah di Ajil untuk membeli keropok lekor. Sempat juga Mak Aji menjengah benda-benda lain yang dijual.

Salak madu - rasanya taklah sesedap salak biasa.
Buah kundang madu yang dijual RM20 sekilo! Ingatkan murah, Mak Aji beli setengah kilo. Rupa-rupanya di KL lagi murah! Tipah tertipu!!
Sesudah beberapa jam perjalanan kami sampai ke rumah dengan selamat, alhamdulillah!



Sunday, 16 February 2014

Beraya Cina di Kampung

As-salam.

Semasa raya Cina tempoh hari Mak Aji serta anak dan menantu balik kampung berkereta. Perjalanan balik sehingga ke Kuala Krai agak lancar, tiada kesesakan lalu lintas. Elok sahaja kami sampai ke persimpangan utama Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu, jalan mula sesak. Pada awalnya kami berhajat makan kenduri tengah hari itu di Pasir Puteh, di rumah mak saudara Mak Aji. Dek kerana kesesakan yang melampau dan perut mula berkeroncong, kami terpaksa berhenti makan di tepi jalan. Kami makan nasi air (kalau di utara mereka panggil moi, kan!) Alhamdulillah nasi airnya sedap sekali!

Nasi air siap dengan telur puyuh lagi! 
Dengan perut yang beralas, kami keluar dari jalan sesak itu menuju Pasir Puteh. Kami makan kenduri lagi - gulai kawah serta kerabu sare (kerabu rumpai laut - cukup popular di Kelantan). Kami bertolak dari Pasir Puteh menuju Kota Bharu (Pasir Tumboh tempat tinggal kakak Mak Aji - destinasi kami). Jalan sesak lagi. Kami terpaksa singgah solat dek kerana takut tidak sempat sampai - memang ya pun! Bayangkan perjalanan sekitar 30 km memakan masa 5 jam!! Kami tidak jadi singgah ke Pasir Tumboh. Sebaliknya terus ke Wakaf Che Yeh untuk kenduri tahlil keluarga di rumah bapa saudara Mak Aji (yang mengahwinkan anaknya keesokan harinya).

Sekitar jam 8 pagi kami bertolak ke kampung selepas sarapan dan kami tiba di Kota Bharu jam 8 malam! Separuh hari berada di dalam kereta. Mak Aji tidak mahu taubat sahaja untuk tidak balik kampung lagi semasa cuti perayaan begini!  

Kalau sudah balik kampung, yang pasti makan nasi berlauk puas-puas! Mak Aji juga berpeluang merasa ABC pelangi yang sedap seperti berikut:

ABC yang cantik, berwarna pelangi, sedap!!
Tentang kenduri kahwin, tunggukan entri berikutnya!




Thursday, 17 October 2013

Menjamu Tekak dan Mata

As-salam.

Setiap kali balik kampung, apa lagi, makan ajalah kerjanya! Apa yang tiada atau susah dicari di KL, itulah yang dituju semasa di kampung. Anak-anak menantu juga selain makan mengambil peluang ke pasar Wakaf Che Yeh dan juga ke Rantau Panjang untuk sesi menjamu mata dan sedikit beli-belah. Tidak ketinggalan juga mereka sempat ke Kuala Besut serta Tok Bali untuk sesi menjamu selera:

Pulut ikan bakar - sedap!!
Boy, Hanif dan Nadia menunggu makan.
Mida dan Pak Aji di belakang sibuk memilih ikan untuk dibuat ikan bakar!


Perjalanan 12 Jam Berkereta!

As-salam.

Selamat hari raya aidiladha semua!

Kami baru kembali dari kampung dan kami tiba ke rumah pada jam 11.30 malam tadi. Perjalanan bermula dari Wakaf Che Yeh sekitar jam 11.00 pagi semalam! Percayalah, perjalanan yang cukup panjang!!!

Alhamdulillah Aleesya tidak meragam sepanjang perjalanan!
Kami bertolak ke kampung pada pagi Sabtu lepas dan kami menyusuri Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan sempat menyinggah di Pantai Penarik untuk pekena keropok lekor dan juga ikan serta sotong celup tepung (cicah dengan sos cili) - sedap hingga menjilat jari! Setelah cukup kenyang baru kami meneruskan perjalanan ke kampung Pak Aji di Jerteh. Selesai makan malam kami ke rumah Cik Ning di Pasir Tumboh, Kota Bharu untuk bermalam di situ. 

Kami balik kampung dengan tujuan utama memperkenalkan menantu baru kami, Mida kepada sanak saudara yang sebahagiannya tidak dapat hadir majlis kenduri kahwin selepas raya puasa tempoh hari. Mida juga kebetulannya belum pernah ke Kelantan. 

Perjalanan sepanjang balik kampung, sepanjang berada di sana serta perjalanan balik cukup menduga kekuatan fizikal kami semua - cukup meletihkan, namun cukup menggembirakan!

Puas kami makan daging korban dan puas juga kami berziarah sanak saudara demi menjaga hubungan silaturrahim antara kami semua, alhamdulillah!



Tuesday, 30 April 2013

Kalau Macam Awan Dania, kan Bagus??


As-salam.

Mak Aji baru balik dari kampung petang semalam. Mak Aji balik dengan Firefly sebab jarak yang dekat dengan rumah berbanding ke LCCT. Jarak jauh serta masa yang dijimatkan agak-agak lebih kurang sahaja berbanding penjimatan jika mengambil tiket AirAsia.

Sudah beberapa kali Mak Aji menggunakan Skybus (Terminal Sultan Abdul Aziz - Subang). Suasana memang agak lengang dan tidak sesibuk di LCCT, jadi agak selesalah di situ. Yang Mak Aji kurang suka tangga naik ke pesawat yang agak sempit dan curam (kapalterbang kecil makcik oii, what do you expect??).

Jika anda biasa dengan siri Awan Dania yang pernah bersiaran tidak berapa dahulu, tentu kita sentiasa teringat-ingatkan Scha al-Yahya yang cukup comel itu dengan gelagatnya dan juga gelagat penumpang pesawat. Jika pramugari dalam siri itu suka senyum, lain pula pengalamannya kali ini. Ada seorang pramugari Melayu yang apabila menghulur kacang/bun dan minuman tidak sedikit pun senyum. Mulutnya mumble entah apa-apa dan apa yang didengar cuma ekor-ekornya sahaja - cang untuk kacang, bla bla bla bla, soya untuk guava ke kacang soya?. Bila kita terpinga-pinga kerana tidak faham, dibuatnya muka pelik kepada kita (dengan kata lain, umpama berkata "orang cakap pun tak faham ke??").   

Mak Aji rasa kalau orang seperti ini rasa tidak seronok bekerja, jadi elok duduk sahaja di rumah (macam Mak Aji, boleh goyang kaki!). Mak Aji sebagai pelanggan berasa - we pay for your service and good service is what we expect from you!!

Tak ke bagus kalau senyum macam ni? Jangan setakat senyum dalam
iklan sahaja!! Bukankah senyum itu sedekah??



Saturday, 29 December 2012

Balik kampung Lagi

As-salam.

Sekarang Mak Aji bersiaran dari kampung, dengan lebih tepatnya Mak Aji berada di rumah kakak, Cik Ning di Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan. 

Pak Aji serta rakannya balik kampung berkereta beberapa hari lepas. Dia mengajak Mak Aji balik sekali tetapi Mak Aji menolak sebab terasa belum puas berada di rumah setelah dua minggu sebelum itu tiada di rumah. Ketika itu Mak Aji sedang menikmati betapa seronoknya tidur di katil sendiri, makan di meja makan sendiri, dan segalanya yang sendiri punyalah! It felt so good to be home after a long leave. 

Walau bagaimanapun, apabila Cik Ning mengajak untuk balik kampung kerana kereta dia masih kosong, Mak Aji terus menyanggup untuk balik. Mereka sebenarnya dalam perjalanan balik selepas menghantar anak bongsu mereka ke UNITEN di Muazam. Kata Cik Ning dia akan membuat sedikit majlis sempena kelahiran cucu keduanya, juga seorang puteri. 

Nur Sarah Farisya dan adik barunya, Nur Sarah Farhana,
cucu-cucu saudara Mak Aji.

Tahniah Syam dan Aimi atas kelahiran anak kedua mereka!

Catatan: Untuk pengetahuan, ini kali keempat Mak Aji balik kampung sejak pencen Julai lalu. Hai, mentang-mentanglah orang pencen, asyik berjalan tak berhenti rentak! (mengata diri sendiri).




Sunday, 14 October 2012

Balik Kampung untuk Raya Haji??


As-salam.

Tidak sampai dua minggu lagi kita akan merayakan hari raya haji/korban. Anda balik kampung ke? Mak Aji insya-Allah tidak balik kerana Cik Ning (kakak sulung) akan turun ke JB untuk beraya dengan anak-anaknya di sana, jadi Mak Aji tiadalah tempat untuk beraya (anak yatim piatu, tiada emak ayah lagi). Begitu juga dengan Pak Aji. 

Apapun untuk mereka yang akan balik kampung nanti Mak Aji ingin berkongsi maklumat tentang persiapan untuk perjalanan jauh itu, yang dipetik,  diubah suai dan diterjemah daripada rencana dalam The Star seperti berikut:

Sekadar hiasan - Hanif mengangkat beg ke but kereta sebelum bertolak
balik ke KL dari rumah Along tempoh hari.

1. Periksa kenderaan anda
Pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan sempurna terutama untuk perjalanan jauh. Selain memeriksa enjin, brek dan juga tayar perlu diteliti sama. Pastikan semua tayar termasuk tayar ganti diisi anginnya (Mak Aji selalu terlupa isi angin tayar spare!). Pastikan juga semua lampu terutama lampu isyarat menyala, wiper (tukar getah wiper jika perlu) dan hon berfungsi dengan baik.

2. Sediakan kit kecemasan
Setiap kenderaan mesti menyediakan kit kecemasan yang mengandungi reflective triangle, lampu suluh, jumper cable dan kit pertolongan cemas. Keadaan kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa, jadi pastikan anda bersedia untuk menghadapinya. Ingat bahawa accidents do not happen to others only, it can also happen to you too! 

3. Kemaskan barang-barang di but kereta
Yang idealnya kesemua barang disusun kemas agar tiada yang akan bergerak ke kiri dan ke kanan semasa dalam perjalanan. Ini akan menyebabkan bunyi bising yang akan mengganggu pemanduan.

4. Bawa makanan
Belilah makanan berbentuk snek dan minuman sehari sebelum anda bertolak. Ini untuk mengelak daripada terpaksa berpusu-pusu di stesen minyak untuk berebut membelinya. Anda juga boleh mengelak beratur panjang untuk membayar dan mengelak daripada tercari-cari tempat letak kereta. Tambahan pula, harga barangan di stesen minyak (kalau tidak percaya, cuba bandingkan!) tentunya lebih tinggi berbanding di kedai runcit berhampiran rumah anda.

5. Bawa barang yang mesra-kereta
Pastikan anda membawa tisu basah dan juga beg plastik sampah ke dalam kereta. Dua barang ini memang barang kemestian terutama jika anda mempunyai anak kecil. (Oh ya, bawa sekali plastik tambahan jika anak anda jenis yang mudah muntah).

6. Berhenti rehat
Gunakanlah sepenuhnya kemudahan R&R yang disediakan (memang itupun tujuannya!). Sebaik-baiknya berhentilah setiap dua jam (kerap samngat pula ya??) untuk meregangkan kaki anda dan membetulkan perjalanan darah (boleh mengelak thrombosis daripada berlaku - kes ekstrim). 

7. Bawalah muzik/halwa telinga yang anda pilih dan gemari
Tentunya anda akan terputus siaran radio di tempat-tempat tertentu sepanjang perjalanan. Sebagai alternatif, bawalah halwa telinga sendiri. Gunakanlah peluang ini untuk mendengar ceramah agama, zikir, ayat-ayat suci al-Quran yang membawa manfaat.

8.  Selidiklah sedikit
Dapatkan maklumat tentang waktu bertolak yang sesuai, yang disarankan oleh pihak berkuasa demi menjaga kelancaran lalu-lintas. Kemalangan dan kesesakan lalu-lintas berlaku apabila terdapat terlalu banyak kenderaan di jalan raya pada satu-satu masa.

9. Nikmatilah perjalanan anda
Pastikan sikap anda dan semua penumpang anda positif sepanjang perjalanan. Ini untuk memastikan perjalanan menyeronokkan. 

Sekadar itu sahaja untuk dikongsi. Semoga bermanfaat dan tidak dianggap leteran, he he!!

Sumber: http://star-motoring.com/TipGuides/Prepare-for-a-long-road-trip.aspx




Thursday, 26 January 2012

Raya Cina Exodus

Seperti tahun-tahun lepas juga setiap kali ada perayaan yang bertemu dengan hari minggu, warga kota terutamanya mengambil peluang pulang ke kampung masing-masing. Apa lagilah dengan cuti seminggu (biasanya) ekoran raya puasa atau raya Cina.

Kami pun berbuat yang sama dan kami bergerak menuju Kota Bharu pada jam 8.30 pagi selepas sarapan. Elok sahaja sampai ke lebuh raya Karak, selepas Seri Gombak, kenderaan semakin banyak dan jalan semakin sesak. Jalan sedemikian sehinggalah ke persimpangan masuk ke Bentong. Melihatkan keadaan tersebut, Pak Aji terus sahaja dan hanya masuk ke simpang Sertik/Cinta Manis. Jalan itu agak selesa berbanding jalan Bentong.  

bumper-to-bumper somewhere in Pahang

Cuaca menyebelahi kami kerana agak nyaman, tidak panas dan tidaklah hujan. Kami tiba di Kota Bharu sekitar jam 7.00 malam. Hilang sesak dalam perjalanan, bermulalah pula sesak di bandar Kota Bharu!

Selesai semua urusan kenduri, Mak Aji dan anak-anak balik ke KL (tanpa Pak Aji - ada urusan lain). Kami bertolak sekitar jam 8.00 malam dan tiba di KL jam 2.00 pagi. Selepas menghantar anak buah ke UPM Serdang (dia menumpang) kami tiba ke rumah jam 3.30 pagi. Jam 4.00 barulah boleh rebahkan belakang! Kunci jam untuk bangun jam 5.30 tetapi tewas, badan tak mahu bangun. Jam 6.30 pagi barulah boleh bangkit dan terus bersiap ke pejabat. Apa lagi, badan umpama zombi, melayang-layang rasa nak tumbang! Itulah dia pengalaman balik kampung dengan tidak mengambil cuti tambahan. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...