Pages

Showing posts with label COVID-19. Show all posts
Showing posts with label COVID-19. Show all posts

Saturday, July 10, 2021

Catatan COVID: Pelepasan Kuarantin

Di Facebook, ramai kawan-kawan upload gambar dapat vaksin. 

Kita mampu upload gambar surat pelepasan kuarantin sahaja.




Disangka demam biasa, rupanya COVID. 


Punca? Tak diketahui.


Keluar rumah pun hanya ke kedai berdekatan sahaja.


Rasanya dah jaga SOP sebaik mungkin.


Ketentuan Allah, dijangkiti juga.


Pagi tadi dah potong gelang. Menandakan berakhirnya tempoh 10 hari kuarantin. 


Alhamdulillah 'ala kulli hal. 


.


Nadiah Sidek 

Bekas pesakit COVID-19

Tuesday, July 28, 2020

Majlis Perpisahan GPKPK

Beberapa minggu lepas telah diadakan satu majlis perpisahan di sekolah anak buat Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (GPKPK) yang akan berpindah ke sekolah baru atas kenaikan pangkat sebagai Guru Besar. Jika diikutkan aturcara, majlis bermula pada jam 9.30 pagi tapi jam 10 baru saya dapat gerak ke sekolah. Ada sedikit urusan perlu diselesaikan sebelum itu.

Saya sampai beberapa minit sebelum GPKPK berucap. Elok beberapa minit GPKPK berucap, empangan mata tiba-tiba bocor. Sebak sangat dengar ucapan GPKPK. Bersungguh tahan air mata daripada gugur tapi airnya berlinangan juga ke pipi. Sudahlah tak bawa tisu. Aduhai. Kejap-kejap kesat air mata guna tangan. Makin lama, makin laju pula air mata yang mengalir. Memang tak mampu nak tahan dah.

Paling sayu, apabila GPKPK berulang kali sebut:

"Anak-anak kita ni semua ada potensi masing-masing. Tugas kita kena cari dan gilap bakat mereka."

"Anak-anak inilah yang bagi kami pahala setiap pagi."

Ayat ini sebenarnya ayat yang selalu GPKPK ulang hampir setiap kali ada pertemuan antara ibu bapa dan guru-guru PPKI. Setiap kali tu rasa sebak. Ayat ingatan untuk diri sendiri terutamanya. Ada masa memang rasa down fikirkan masa depan anak istimewa. Kata-kata beginilah yang menaikkan balik semangat yang pudar.

GPKPK kami ni tegas orangnya. Seorang yang outspoken. Apa yang terbuku di hati, dia terus sebut sahaja. Yang perlu ditegur, dia tegur sahaja tak kiralah ibu bapa nak berkecil hati atau tidak. GPKPK sendiri pun mengaku hal ni..hehe. Jujurnya, saya memang takut dengannya. Kecut perut nak berdepan..hihi.

TAPI, insan inilah yang banyak fight untuk anak-anak PPKI di sekolah itu. Segala kemudahan untuk anak-anak PPKI sebolehnya disediakan. Tak cukup dana untuk sesuatu projek, dicarinya sumbangan merata tempat. Selama hampir lima tahun anak sulung di sekolah itu memang boleh nampak kesungguhan GPKPK membantu anak-anak PPKI.

Pertemuan terakhir inilah sebenarnya saat pertama saya berbual dengan GPKPK. Hehe..tak patut betul. Itu pun disebabkan GPKPK duduk di sebelah saya. Sembang perihal anak istimewa saya serba sedikit. Al-maklumlah, dah beberapa bulan anak tak dapat ke sekolah asbab COVID-19. Pertemuan terakhir ini pun tak dapat bawa anak bersama sebab tak dapat keizinan daripada Guru Besar. Sebelum balik, sempat minta maaf dengan GPKPK tapi GPKPK pula beriya-iya minta maaf. Huhu...sedih pula.


Gambar kenangan terakhir bersama GPKPK (berbaju kuning)


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.


Monday, June 15, 2020

PKP: Terkandas di Kampung

Lumrah setiap kali cuti sekolah, kami sekeluarga akan pulang ke kampung. Rumah mentua saya. Itu pun bukan setiap cuti sekolah dapat pulang ke sana. Jika suami ada urusan yang tak boleh ditangguh, maka duduk di rumah sahajalah jawabnya. Anak-anak kalau dapat tahu yang kami tak dapat balik kampung, masam mencukalah muka mereka.

Alhamdulillah bulan Mac lepas sempena cuti pertengahan penggal pertama persekolahan, Allah beri ruang pada kami untuk pulang ke kampung. Pagi Sabtu 14 Mac 2020, kami mulakan perjalanan ke Kelantan. Sampai sana dalam pukul 2 petang kalau tak silap. Waktu tu yang ada di rumah hanyalah Wan (bapa mentua saya) dan seorang anak buah. Mok (mak mentua) keluar dengan adik ipar sekeluarga.

Anak-anak seperti biasalah gembira dapat jejakkan kaki di kampung. Lebar senyuman masing-masing. Kalau ada sepupu-sepapat, lagilah berganda keseronokan mereka. Ummi dengan papa pun macam tak wujud bila berada di kampung 😏. Tapi aman sikit sebenarnya. Anak-anak kurang sikit buat perangai.  Kurang jugalah sakit kepala ummi..hehe.

Pagi Isnin dah siap-siap berkemas nak pulang ke Kuala Lumpur semula. Tak dapat nak berlama-lama sebab suami ada urusan yang perlu diselesaikan segera. Dapat balik sekejap pun dah satu rahmat dah. Sebelum bertolak balik, suami ke hospital. Dah dua hari pening kepalanya tak hilang. Nak bernafas pun agak kurang selesa.  Bimbang dijangkiti COVID-19 je masa tu.

Suami balik dari hospital dalam pukul 2 petang. Alhamdulillah, doktor kata bukan disebabkan COVID-19. Tak lama lepas tu pula suami dapat panggilan yang memaklumkan urusan yang patut diselesaikan segera tu terpaksa ditunda akibat penularan COVID-19. Makanya suami buat keputusan untuk bermalam di kampung untuk beberapa hari lagi. Anak-anak dapat tahu je terus bersorak.

Tak disangka pula pada 16 Mac tu Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Susulan tu suami rancang nak mohon permit di balai polis untuk pulang ke KL pada hari Khamis tapi tak jadi akhirnya sebab anak-anak belum nak balik rumah. Hmmm...kalau dah 
balik kampung, tak ingat rumah dah ya, anak-anak? Akibat menangguh-nangguh, akhirnya terkandaslah kami di sana selepas pengumuman baru larangan rentas negeri dikuatkuasa.

Saya berlapang dada je masa tu. Lagipun, waktu tu hanya tinggal kami sekeluarga je di kampung bersama mentua. Ipar-duai yang lain dah selamat balik ke rumah masing-masing.  Makna kata, tak perlulah saya tutup aurat sepanjang masa di sana. Rezeki juga tu. Hehe.

Itulah kisahnya bagaimana kami terkandas di kampung. Asalnya nak balik ke kampung 3 hari sahaja. Sudahnya, hampir 2 bulan kami berada di sana. Lebih tepat lagi, genap 55 malam di sana. Pecah satu rekod...hehe. Betullah, kita ni hanya mampu merancang, yang tentukan hanyalah Allah.

Alhamdulillah, awal Mei kerajaan umumkan kebenaran rentas negeri bagi yang terkandas di kampung.  Giliran dari Kelantan adalah pada 8 Mei. Serba-salah masa tu untuk buat keputusan. Separuh hati rasa nak balik, separuh lagi kata jangan balik. Kalau balik, kesian pula mok dan wan. Hampir 2 bulan rumah tu riuh-rendah dengan suara anak-anak. Tiba-tiba jadi sunyi-sepi. Raya pun dah tak lama lagi. Tapi kalau tak balik, susah anak-anak nak buat kerja sekolah. Nak dapat kebenaran rentas negeri lagi entah bila pula. Berat hati, kami buat keputusan untuk balik juga.

Saya paling tak suka jadi yang terakhir tinggalkan kampung. Tak sanggup tengok wajah sedih mok. Air mata mok. Hari nak balik tu mujurlah keluarga kakak ipar ada di sana. Kurang sikitlah sedih mok tapi tetap juga air mata mok menitik 😭....




Sunday, June 7, 2020

Dari PKPB ke PKPP

Semalam Perdana Menteri dah umumkan peralihan daripada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun ini kepada fasa pemulihan (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan - PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020. Lebih banyak sektor akan dibuka sepanjang PKPP nanti.

Yang paling menggembirakan ramai orang pastilah kebenaran merentas negeri yang bermula Rabu ini. Bukan main seronok lagi masing-masing dengar pengumuman tersebut. Jadi terhibur baca status Facebook masing-masing 😂. Rata-rata yang saya baca, semuanya tak sabar nak balik kampung berjumpa mak ayah dan adik-beradik. Yalah, berbulan-bulan tak dapat balik ke kampung, pastilah rindu sarat di dada.

Saya pun turut tumpang gembira walaupun rentas negeri tidak memberi kesan besar buat kami sekeluarga. PKP atau tidak, memang tak ke mana-mana pun. Paling tinggi pun balik ke rumah mentua. Itu pun bukannya setiap bulan boleh balik..hehe.
 
Doa saya, yang berhajat mahu pulang ke kampung dilindungi Allah sepanjang perjalanan dan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Amalkan kebersihan diri dan patuhi segala SOP yang telah ditetapkan. Mudah-mudahan wabak COVID-19 ini segera berlalu pergi..ameen.