Showing posts with label Kuih Moden. Show all posts
Showing posts with label Kuih Moden. Show all posts

Monday, February 4, 2013

Pandan Pancake with Vanilla Ice Cream


Assalamualaikum ... Salam ceria buat semua pengunjung setia Dapur CT. Bertemu kembali diawal bulan February, semoga kita semua di beri kesihatan yang baik pada setiap masa dan ketika dan sentiasa ceria bersama insan-insan tersayang.


Apa menu sarapan teman-teman hari ini agaknya ya. Sebagai entri pembukaan untuk minggu ini, CT kongsikan resepi menu sarapan yang senang iaitu Pancake Pandan. Sudah agak lama juga CT tak buat pancake sebagai menu sarapan pagi. CT bangun awal untuk menyediakan menu sarapan ni. Maklumlah nak perap adunan tu dulu sebelum menyediakannya. Anak-anak CT gemar juga menu sarapan macam ni dan biasanya anak-anak CT suka dilapis dengan sapuan peanut butter dan jem. Untuk CT pulak, biasanya CT bersarapan lewat sedikit dan CT hidangkannya bersama ais krim vanila dan sos chocolate. Emm... memang sedap! tapi CT makan setakat 2 keping aje dah kenyang hehehe.


Resepi Pancake ni boleh dipelbagaikan adunannya. Dan ada juga yang turut mencampurkan inti yang ingin di sapu kedalam adunan tersebut. Itu semua terpulang pada selera masing-masing mengikut citarasa yang diinginkan. Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini, CT membuatnya dengan perisa pandan. Sebelum-sebelum ni CT pernah buat dengan perisa vanila dan chocolate. Bila anak-anak merasa pancake perisa pandan ni, anak-anak bertanya... "kenapa pancake mama kali ni rasa lain daripada biasa" hehehe.


Sebenarnya resipi ni hasil carian CT di Google. Asalnya CT mencari resipi kek pandan tapi dalam mencari-cari tu, terjumpa pulak resipi pancake pandan. Apalagi, cuba ajelah hehehe. Lain nak dibuat lain pula yang dijumpanya, namun adunan pancake ni memang lembut walau sudah seharian dibiarkan diluar.


CT olah resepi tersebut dengan menambahkan anggaran 1 sudu besar mentega cair. Untuk hasil dari adunannya pula, CT dapat dalam 7 keping mengunakan frying pan 5 inci. Jika teman-teman ingin mendapatkan jumlah yang lebih, gandakan saja adunan yang CT kongsikan dibawah tu ya.


Okeylah CT berhenti setakat di sini dulu ye. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa singgah di Dapur CT. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Pandan Pancake with Vanilla Ice Cream
Resepi olahan Che CT

Bahan-bahan :
1 cawan tepung gandum
1/2 sudu baking powder
1/2 sudu baking soda
secubit garam
1 1/2 sudu besar gula kaster
1 biji telur besar
1 cawan susu segar
1 sudu besar mentega - dicairkan
1 sudu teh esen pandan
Beberapa titik pewarna hijau
Sedikit mentega - untuk gris

Cara-cara :
1. Adunan Kering: Campurkan tepung gandum, baking powder, baking soda, secubit garam dan gula kaster ke dalam mangkuk besar.
2. Adunan Cecair: Dalam mangkuk lain, campurkan telur, susu, mentega cair, esen pandan dan pewarna hijau kacau dengan whisk hingga rata.
3. Masukkan perlahan-lahan adunan cecair ke dalam adunan kering. Kacau hingga rata dan hingga tiada ketulan tepung lagi. Jika adunan terlalu pekat, tambahkan sedikit lagi susu.
4. Tutup adunan pancake dengan plastik bersih dan rehatkan adunan kira-kira 30 minit.
5. Gris frying pan dengan mentega nipis-nipis dan panaskan dengan api perlahan. Tuangkan anggaran 1/3 cawan adunan dan masak sehingga nampak lubang-lubang kecil diatasnya, terbalikkan dengan perlahan-lahan. Masak lagi hingga bahagian bawah kekuningan. Angkat.
6. Hidangkan bersama lapisan inti kegemaran dan tambahkan ais krim vanila bersama sos chocolate sebagai toppingnya.

Monday, July 16, 2012

Baulu Kukus Pulut Hitam


Assalamualaikum... Salam manis dan salam penuh kemesraan dari CT untuk semua tak kira walau dimana berada. Tak lupa untuk CT ucapkan ribuan terima-kasih untuk semua pembaca setia dan teman-teman yang tetap setia berkunjung ke Dapur CT. Walaupun mungkin sibuk dengan urusan seharian tetapi tetap menitipkan sedikit masa membaca dan meninggalkan komen yang membina untuk CT. Terima kasih tak terhingga CT ucapkan.


Resepi yang CT kongsikan pada hari ini, CT teringin untuk mencubanya setelah ternampak resepi ini yang ditayang oleh Ayin manismanis di FB nya. Selepas menyalin resepinya, dari sehari ke sehari tapi masih lagi tak datang seru untuk membuatnya sehinggalah bila ternampak Mat Gebu pula mencuba dan menayangnya di FB beliau. Selepas pada tu, teruslah berombak hati ni nak membuatnya juga. Tak tunggu lama terus CT ke kedai beli tepung pulut hitam 2 bungkus. Saja beli lebih buat stok manalah tahu nanti ada resepi lain yang nak dicuba yang juga menggunakan bahan yang sama, jadi tak perlulah berulang ke kedai semula.


Untuk resepi yang CT publish ini, CT gunakan resipi dari perkongsian Mat Gebu. CT juga tambahkan ovallate dalam bahannya macam Mat Gebu juga. Cuma CT tak gunakan santan sebab stok dah habis, jadinya CT tukarkan kepada susu cair 8O ml dan gantikan gula castor. Hasilnya memang lembut dan tidak terlalu manis, sedang-sedang aje manisnya. Untuk yang tidak suka rasa yang terlalu manis macam CTmemang sesuailah. Tapi dalam tak berapa suka terlalu manis tu, CT ayakkan gula aising sedikit ke atas baulu tu masa nak makan, saje aje nak bagi cantik kat mata sikit hehe.


Sebenarnya dah lama juga CT nak mencuba resepi kuih yang dikukus seperti ini yang dipanggil "Boulu Kukus Ketan Hitam" oleh orang Indonesia. Untuk orang kita, namanya dipanggil "Baulu Kukus Pulut Hitam". Bila CT singgah diblog teman-teman di seberang, pasti ada resipi boulu ketan hitam ni. Resepi kuih yang hitam ni, walau pun ia HITAM, tapi bukan sebarang hitam ni. Bila dah masuk mulut sedap tau rasanya. Tapi kalau nak tahu sendiri, kenalah cuba ye hehehe.


Terima kasih pada kedua teman CT,  Ayin dan juga Mat Gebu yang baik hati yang telah berkongsi resepi yang sedap ini yang dapat pula CT mencubanya untuk hidangan keluarga CT. Izinkan CT panjangkan lagi resepi ini didalam senarai Dapur CT juga untuk manfaat teman-teman lain yang ingin mencubanya pula. Mungkin juga CT akan buat lagi dan divariasikan bahannya pula nanti, siapa tahu kan.


Okeylah, jika ada yang berminat, jangan tunggu lama-lama ya. Salin resipi tu dan pergi cari bahannya, lepas tu buat. Baulu ni kalau dimakan semasa hangat lagi sedap. CT buat 2 adunan sekali gus dan CT gunakan acuan silicone tu dapat 12 biji. Lepas tu CT makan sekali 2 ketul gitu hehehe.  Okeylah, sampai jumpa lagi ye, salam manisss dari CT. Daaa.....


Baulu Kukus Pulut Hitam
Sumber : Ayin-manismanis
Di Olah : Che CT

Bahan-bahan :
2 biji telur gred A
70 gram gula kastar
1 camca teh ovallate
1/2 camca teh baking powder
120 gram tepung pulut hitam
50 ml minyak jagung
80 ml susu cair
Secubit garam
3/4 camca teh esen vanilla

Cara-cara :
1. Panaskan kukusan, lenser acuan-acuan kecil dengan mentega, tabur sedikit tepung dalam acuan tadi dan ketuk keluar lebihan tepung. Boleh juga guna acuan silicone jika ada. Ketepikan.
2. Ayak tepung pulut hitam dalam mangkuk sederhana dan ketepikan.
3. Putar gula dengan ovallate pada kelajuan sederhana hingga rata dalam 1 minit. Masukkan baking powder, garam dan telur, putar pada kelajuan tinggi hingga adunan kembang dan pekat dalam 3 minit.
4. Masukkan tepung pulut hitam ke dalam adunan telur dan gaul dengan kaedah kaup balik dengan spatula hingga rata. Masukkan esen vanilla, santan dan minyak jagung, gaul hingga rata dan sebati.
5. Isi dalam acuan anggaran 3/4 penuh, kemudian kukus dengan api sederhana selama 10 - 12 minit. Keluarkan baulu dari kukusan dan biarkan suam dan boleh keluarkan dari acuan. Ayakkkan gula aising ke atas baulu sebelum dihidangkan jika suka.


Friday, June 22, 2012

Donat Lembut Bergula


Assalamualaikum... Salam ceria dan salam manis buat pengunjung setia Dapur CT. Pejam celik pejam celik dah pun sampai hari Jumaat. Sekejap amat rasanya masa berlalu. Rasanya baru semalam aje hari Isnin, pejam celik dah berakhir seminggu lagi. Terlalu pantas jarum masa berputar berlari meninggalkan kita, hingga kita tak perasan setiap detik yang berlalu. Usia pun semakin meningkat menjangkau hampir setengah abad. Alamak dah semakin tua diri ini rupanya hehehe. Walaubagaimanapun, alhamdulillah sebab CT sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik. Kalau diberi sakit pun cuma sakit demam, pening kepala biasa aje. Sekarang ni pun baru aje ok sikit sebab kena sakit kepala yang menganggu tugas seharian CT selama 4 hari kebelakangan ini. Bila dah sakit kepala ni CT jarang nak buat kerja yang berat, lepas makan ubat CT akan tidur dan rehat je. Bila rasa dah berkurang sikit barulah bangun dan sambung semula kerja-kerja harian yang tertunda. Tapi seperti yang kita selalu dengar, setiap sakit yang kita tanggung adalah penebus dosa-dosa kecil yang kita lakukan, jadi kita hendaklah redha dan sabar bila menghadapi ujian sakit.


Hari ini CT kongsikan resepi Donat Lembut Bergula yang CT buat kerana anak-anak buka mulut kata nak makan kuih yang sedap dan lembut. Dengan kepala yang masih sakit, jadinya CT carilah menu yang cepat dan ringkas nak disediakan. Tak mahulah duduk lama-lama didapur bila kepala sakit macam ni. Macam Donat lembut resepi dari Hasue ni yang dah beberapa kali CT buat disebabkan cepat dan ringkas nak membuatnya. Dan Donat ini juga tetap lembut aje walau dah semalaman kita membuatnya. Kiranya resepi ini adalah penyelamat sebab memudahkan kerja bila kita mengejar masa. Tambahan pula anak-anak pun suka, bila siap digoreng dan disalut gula anak-anak hulur piring seorang satu. Mulanya CT ingat nak salut coklat, tapi anak bujang CT yang sulong Azree kata nak salut gula aje, hmmm lagilah mudah kerja Mama dia ni kan hehehe.


Kira lama jugalah CT tak buat donat ni, kalau nampak teman-teman buat donat mulalah keinginan nak buat sama tu meluap-luap. Tapi bila dah sampai masanya mood tak datang, terus terbantut nak mulakan kerja menguli tu, aduhaiii... kadang-kadang itulah yang terjadi. Tentang resepi donat ni, banyak sudah resipi donat ni yang telah CT cuba, termasuk juga resepi yang diambil luar dari negara kita. Resipinya lebih kurang sama tapi ada yang mengunakan buttermilk dan mengantikan air suam dengan susu segar dan pelbagai variasi lagi. Rata-ratanya semuanya tak menghampakan. Pendek kata macam-macamlah resipi dah jumpa, nak dengan tidak aje kita nak mencubanya. Tapi tidak salah kalau kita mencuba sesuatu yang baru, setidaknya adalah resipi baru dalam senarai Dapur CT nanti, bukan resepi sama yang diulang-ulang, nanti jemu pulak pembaca setia Dapur CT ni nanti kan hehehe.


Okeylah. kita terus pada resipilah ya. Walaupun ini adalah resipi ulang tayang, tapi CT kongsikan sekali lagi untuk manfaat teman-teman yang lain yang belum pernah mencubanya. Jika ada yang berminat silakan lah ye. Resipi donat dari HaSue ni memang sedap dan banyak masa dapat dijimatkan hehehe. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Donut Lembut Bergula
Resipi : HaSue
Olahan: Che CT

Bahan-bahan:
500 gm tepung gandum
1 peket yis Mauripan (11gram) - atau apa2 jenama
50 gm Marjerin
1 sudu besar Shortening
2 sudu besar gula kastor
2 sudu besar susu pekat / 2 sudu besar susu tepung - Letak dua-dua lagi sedap
1 biji telur - dipukul lembut
1/2 Sudu teh garam

190 ml - 200 ml air suam kuku - bergantung pada kualiti tepung
Gula halus atau topping kegemaran

Cara-cara:
1. Di dalam bekas yang agak besar,tuangkan air suam. Masukkan yis segera, gula pasir, susu, marjerin dan shortening. Kacau sedikit dan biarkan selama 8-10 minit.
2. Setelah yis mula berbuih, ayakkan separuh dari tepung gandum terus ke dalam adunan. Masukkan pula telur yang dpukul sedikit dan juga garam.
3. Kacau adunan sehingga sebati dan melekat pada sudu (bila dah sebati dikacau satu arah saje menggunakan sudu).
4. Ayak lagi tepung selebihnya, gaul menggunakan sudu seketika barulah uli menggunakan tangan.
5. Uli sehingga doh sebati dan tidak lekat di tangan. Tidak ada sisa tepung pada bekas lagi.
6. Doh tidak perlu direhatkan. Jika nak rehatkan juga boleh selama 5-10minit. Boleh terus sahaja dicanai setebal setengah inci. Boleh tambah sedikit2 tepung jika adunan agak lembik ketika ini.
7. Terap doh mengikut acuan donut atau bentuk kesukaan anda. Doh akan mula mengembang dan ringan sementara minyak dipanaskan dengan api perlahan.
8. Gunakan minyak yang banyak untuk mengoreng.
9. Setelah minyak sedikit panas masukkan donut dalam 2-3 biji dan goreng sehingga kekuningan dan toskan.
10. Sedia untuk dihidangkan bersama gula halus atau topping kegemaran anda.




Monday, May 28, 2012

Kuih Seri Muka Pelangi


Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria buat semua teman-teman CT yang jauh dan dekat. Alhamdulillah, CT panjatkan rasa syukur kerana hari ini CT dapat bersiaran dan mengupdate resepi seperti biasa dalam Dapur CT ini. Sememangnya kalau tak menjengah satu hari blog kesayangan CT ni macam tak lengkap aje rasanya hari-hari CT tauuuu hehehe. Terima kasih juga buat teman-teman CT yang tak pernah jemu singgah Dapur CT ni juga, sayang kamu ketat-ketat hehehe.


Untuk resepi hari ni, CT kongsikan resepi kuih tradisional yang CT ubah-suaikan sedikit mengikut peredaran zaman iaitu Kuih Seri Muka Pelangi. Kadang-kadang tu kita perlu menginovasikan sedikit resepi kuih-kuih lama ni untuk menarik perhatian anak-anak kita untuk menyukai kuih-kuih melayu seperti ini. Tidaklah nanti diaorang asyik dihadapkan dengan muffin, kek dan kuih barat lainnya tapi tak meminati kuih-kuih melayu tradisi lama kita. Kalau tidak kita yang mempromosikannya siapa lagi betul tak. Lagipun, proses pembelajaran untuk apa pun tajuknya adalah bermula dari rumah. hehehe... dah macam cikgu pulak Che CT ni.


Okeylah, berbalik pada menu CT hari ini, Kuih Seri Muka Pelangi, agak-agaknya semalam ada hujan tak...? hehehe. Takde angin takde hujan, tup-tup pagi ni pelangi keluar pulak kat Dapur CT ni kan hehehe. Sebenarnya CT nak buat kuih Seri Muka Pelangi ni kepada 4 lapisan jadi CT bahagikan adunan tu kepada 4 bahagian. Tapi entah macamana terlebih tuang 3 lapisan yang sebelumnya atau loyang tu yang rendah sangat agaknya, jadinya adunan ke 4 tu tak dapat CT nak tuang, adusss... kecewa jugalah sebab dah plan baik aje nak buat 4 lapis. Jadinya, hanya 3 lapisan ajelah yang dapat dilapis kuih ni. Lain kali kalau nak buat lagi kena guna loyang yang tinggi sedikit. Jadi eloklah nanti kejadiannya, sambil makan sambil tenung dan renung kaler yang cantik macam pelangi tu kan hehehe. Untuk lapisan pulut tu CT memang buat nipis sedikit sebab CT alah kalau makan pulut banyak sangat, nanti mulalah berangin satu badan. Untuk teman-teman yang ingin mencuba pulak, ikutlah selera masing-masing ye, nak tebal ke atau nipis ke pulut tu ya.



Pada yang meminati kuih-kuih lama tapi dibaharukan ini bolehlah mencuba jika teringin nak merasa atau dah lama tak buat. CT buat adunan pelangi tu dari resipi kuih lapis 1 Malaysia yang CT tambah sedikit adunan nya. CT suka buat berlapis sebab anak bungsu CT suka kopek kuih tu selapis demi selapis, serupa macam Mama dia hehehe. Okeylah kita terus pada resipi dibawah ya. Sampai jumpa lagi, Insya'Allah. Salam manis dari CT. Daaa....


Kuih Sri Muka Pelangi
Resipi : Che CT

Bahan lapisan bawah:
2 cawan santan cair
1 1/2 cawan beras pulut - cuci dan rendamkan 3 jam
1 sudu teh garam

Bahan lapisan pelangi:
2 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung jagung
1/2 cawan gula pasir (boleh tambah lagi jika suka lebih manis)
3 1/2 cawan santan (boleh tambah lagi jika perlu)
1 camca teh garam
Pewarna  Merah, Oren dan kuning.

Cara-cara :
1. Panaskan periuk kukus hingga air mendidih.
2. Satukan bahan lapisan bawah dan masukkan semua dalam loyang dan kukuskan.
3. Apabila pulut telah masak tekankan dalam loyang sehingga mampat - boleh juga alas loyang dengan plastik, agar senang nak keluarkan kuih nanti.
4. Satukan semua bahan lapisan pelangi kecuali pewarna, blender halus dan tapiskan.
5. Bahagikan adunan lapisan pelangi kepada 3 bahagian sama banyak.
6. Masukkan setiap bahagian dengan satu warna kacau rata.
7. Kukus semula pulut yang telah dimampatkan.
8. Tuangkan lapisan dengan warna merah dan kukus selama 8 minit. Buat lapisan kedua kukus lagi dan seterusnya hingga habis.
9. Apabila telah habis semua lapisan, kukus semula selama 20-25 minit dan tutup dengan  tuala bersih pada tutup kukusan agar tiada air menitis atas kuih nanti. Sejukkan betul-betul baru dipotong kuih dengan pisau plastik.
10. Sesuai untuk minum pagi atau petang.


Monday, May 7, 2012

Talam Kacang Merah Dan Cendol


Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria buat teman-teman CT semuanya. Diharap hari ni hari yang lebih menceriakan kita semua walau dimana saja kita berada. Untuk resepi pembukaan pada minggu ini, CT kongsikan resepi yang CT cuba dari sebuah buku masakan. Seperti kebiasaan bila ada masa terluang CT akan belek-belek semua buku resipi yang telah CT beli, yang baru mahupun yang lama. Agak banyak jugalah dalam simpanan CT sampai tak tahu mana dah nak letak buku resipi tu semua. Yang paling lama tahun 1993, iaitu resepi dari majalah wanita. Tapi CT simpan resipinya aje yang lain-lain tu CT buang hehehe. Kalau ditimbang dan dijual pada apek yang beli surat khabar lama tu mungkin cuma dapat dalam RM3 je kot hehehe. Jadi simpan ajelah sebab tak berbaloi rasanya kalau jual buku-buku resepi lama ni. Kita beli aje sekeping dah berapa, malah ada juga buku resipi yang CT beli harganya dalam RM50, nanti di ambik dek apek tu cuma dapat 5 sen je hehe. Jadi, baiklah simpan aje. Boleh guna untuk rujukan dikemudian hari resipi lama-lama ni, kemudian kita ubahlah mana-mana yang kita rasa perlu dan jadilah resipi terbaru kannnn... hehehe.


Berbalik pada resipi hari ni yang CT bagi nama Talam Kacang Merah Dan Cendol. Nama asalnya Sweetened Kidney Bean and Cendol Cake. Resipi asalnya ialah dari dari buku resipi AROMA KUIHS hasil terbitan Chef Amy Wong. CT beli buku ni di kedai buku POPULAR masa CT pergi ke IKEA dua bulan lepas, ingatkan lepas beli tu nak terus mencuba satu tapi baru kali ni dapat mencubanya. Untuk resepi ni, CT tengok pada aduanan yang tertulis dalam buku tu memang banyak. Jadi CT sukat jadi 1/2 adunan aje, hasilnya cukup-cukup buat kami sekeluarga. Kalau dilihat dalam buku resipi ni semuanya ingin dicuba, tapi satu-satulah dulu ya sebab dalam list banyak lagi yang nak CT cuba. CT akan cuba buat juga satu persatu jika ada kesempatan ye... Insya'Allah.


CT tak berapa puas hati sedikit pada kejadian kuih ni sebab cendol tu semuanya dok naik kat atas masa CT kukus tu. Hisss... kena cuba lagilah sampai berjaya ni kan baru ada rasa puas hati banyak sikit hehehe. Kemudian tu, kacang merah kat dalam kuih tu anak bongsu CT si Haqim tak berapa sukalah pulak, asik kuis-kuis aje kacang merah tu susun kat tepi piring hehehe. Payah betul nak suruh anak-anak ni suka pada sesuatu yang belum pernah dimakan. CT cuba paksa juga Haqim makan kacang merahnya tu tapi tetap ditolaknya ketepi, alahaiiii anakkk hehehe.


Pada pendapat CT, kuih ni tak selembut macam kuih talam keladi yang pernah CT cuba sebelum ni. Tak lembut tapi taklah juga keras. Agaknya memang begitulah kot kejadian kuih ni, supaya senang untuk dipotong bila dah masak. Tapi bila CT tanya pendapat My laling CM katanya "okeylah, sedap juga macam ni ..." hehehe. Resipi ni kalau dilihat bahan asalnya menggunakan tepung sago yang agak banyak iaitu 260gm. Untuk 1/2 adunan sepatutnya 130gm, tapi CT kurangkan jumlahnya jadi 110gm aje takut kuih tu jadi kenyal sangat.



Okeylah kalau ada sesiapa yang ingin mencuba atau sudah membeli buku resipi AROMA KUIHS dari Chef Amy Wong ni apa lagi ditunggu, jom kita buat sama-sama ya dan kongsikan bersama teman-teman yang lain juga okey. Di sini, CT letakkan resipi asalnya ya, kalau ada yang nak buat 1/2 adunan tu pandai-pandailah adjust sukatannya okey. Salam manis dari CT, sampai jumpa lagi. Daaa....

Talam Kacang Merah Dan Cendol
Resipi : Chef Amy Wong - AROMA KUIH
Di Olah : Che CT


Bahan :  A
150 gm kacang merah dalam tin
150 gm cendol
2-3 titik pewarna merah (CT ganti dengan pewarna pink)

Bahan : B (Mixed)
240 gm tepung beras
260 gm tepung sago
1/4 sudu kecil garam
300 ml santan
300 ml air

Bahan : C
320 gm gula pasir
700 ml air
4 lembar daun pandan - simpul

Cara - cara :
1. Didihkan air dalam periuk kukusan terlebih dahulu. Sapu sedikit minyak pada loyang dan alas dengan plastik bersih dan lebihkan sedikit agar mudah untuk mengeluarkan kuih nanti. Ketepikan.
2. Masak bahan C dalam periuk hingga mendidih dan gula larut sepenuhnya. Ketepikan.
3. Bila air gula dah sejuk campurkan kedalam bahan B tadi kacau rata, tapis dan bahagi kepada 2 bahagian sama banyak.
4. Satu adunan diletak sedikit pewarna merah/pink dan satu adunan lagi dibiar plain saja.
5. Masak adunan plain diatas api kecil hingga naik wap dan kacau sentiasa lebih kurang 1 minit. Taburkan kacang merah dalam loyang dan tuang adunan cendol dan kukus selama 15 minit dengan api sederhana.
6. Masak pula adunan pink hingga naik wap dan sentiasa kacau agar adunan tidak bergentel. Bila adunan cendol mula mengeras, bolehlah dituang adunan pink perlahan-lahan dan taburkan kacang merah diatasnya. Tutup loyang dengan aluminium foil agar air tidak menitis diatas kuih. Kukus lagi selama 20 minit.
7. Bila tinggal 2 minit masa terakhir buka tutup kukusan dan aluminium foil biarkan kuih sebentar diatas api. Angkat dan sejukkan dahulu barulah boleh dipotong.


Wednesday, April 25, 2012

Popia Kentang


Assalamualaikum... Salam ceria dan salam manis buat semua pengunjung Dapur CT. Doa CT buat semua teman-teman CT semoga semuanya sihat sejahtera dan berbahagia selalu tidak kira walau dimana pun berada, dan semoga kurniaan kesihatan yang baik akan membuat kita semua merasa gembira setiap masa, Insya'Allah.


Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini iaitu Popia Kentang yang simple aje resipi nya ini, CT percaya dah ramai dah yang pernah membuat popiah yang mudah dan cepat nak disediakan ni kan. Dok main gulung-gulung dah pun siap. Tapi tak adalah sekelip mata aje dah boleh siap ya tak. Kenalah rebus kentangnya dulu dan buat sedikit rencah untuk menjadikan intinya sesedap rasa, kemudian barulah boleh digoreng sebelum boleh di ngappp! Untuk resepi popia kentang ni, banyak juga CT membuatnya. CT buat lebih-lebih dan simpan beku dalam peti sejuk, jadi bila nak makan tinggal ambil dan goreng aje, tak payah menunggu lama.


Sebenarnya CT agak rasa kurang mood dikala CT menaip entri ini. Malahan CT rasa gambar popia yang CT ambik ni pun macam kurang menarik di mata CT. Itulah jadinya bila kita buat kerja dengan mood dan emosi yang terganggu. Semuanya gara-gara pencurian gambar-gambar di blog CT oleh individu tidak bertanggung-jawab dan tidak mempunyai rasa malu dan menidakkan etika hak cipta intelek yang didedahkan kepada CT kelmarin. Walaupun CT cuba untuk tidak merasa marah dan cuba memberi sebanyak mungkin kemaafan kepada pencuri karya gambar CT  yang tidak perlu CT nyatakan pengenalan dirinya di sini, namun sedikit sebanyak hati dan emosi CT masih terkesan juga. Untuk mereka-mereka yang tersebut, CT doakan semoga mereka diberikan hidayah supaya tahu menggunakan otak untuk berfikir mana yang betul dan mana yang salah. Dan semoga kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi kepada mana-mana individu yang lain di masa hadapan. 


Okeylah kita lupakan hal tersebut dan berbalik kepada popia goreng ni. CT suka dengan resepi ni yang rangup diluar dan sedap didalamnya. Mula-mula tu, CT ingat resipi inti tu CT nak gunaka daging cincang, tapi dok selongkar dalam peti sejuk tu tak jumpa entah mana hilangnya daging cincang tu. Entahkan dah habis atau mungkin CT terbuang masa mengemas isi peti sejuk tu agaknya. Akhirnya adalah tinggal 4 keping ayam burger Ramly dalam peti sejuk tu, tup-tup idea datang, terus aje CT gantikan guna daging burger ayam tu aje. Dan hasilnya, sedap juga rasanya. Kesimpulannya, terpulanglah kalau ada teman-teman yang ingin mencuba resepi ini nanti samada nak letak isi ayam atau daging yang dicincang atau guna 'daging segera' macam yang CT buat ni. Atau boleh juga kalau nak gantikan dengan ikan sardin ke, manalah tahu lagi sedap kan. Tak salah mencuba sesuatu yang baru mengikut selera kita masing-masing betul tak. Asal saja kena dengan selera kita dan juga keluarga, apa salahnya mencuba ye tak. Hasil yang kita dapat terserah pada cara kita memasak. Lain tangan yang membuatnya, lainlah pula kejadian akhirnya.


Okeylah rasanya dah panjang lebar CT berceloteh dalam takde takde mood ni. Sebelum hilang mood yang dah sedikit okey ni, apa kata kita terus aje pada resipi dibawah ni ye. dan sekiranya ada yang ingin mencuba silakan. Sampai jumpa lagi, salam manis dari CT untuk teman-teman semua. Daaa....

Popia Kentang
Resipi : Che CT

Bahan inti :
5 biji ubi kentang direbus empuk - dibuang kulit dan dilecek halus
1 biji bawang besar - dicincang halus
2 biji bawang putih - dicincang halus
1/2 sudu teh serbuk lada putih
Secubit serbuk lada hitam kasar
3 keping daging ayam burger - suhu bilik dan cincang kasar
3 tangkai daun sup - dicincang halus
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak masak untuk menumis

Kulit popia secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga layu. Masukkan lada putih dan lada hitam. Kacau seketika.
2. Masukkan daging buger yang dicincang. Masak sehingga air daging kering. Perasakan dengan sedikit garam.
3. Masukkan kentang lecek. Kecilkan api dan gaul rata semua dan tutup api.
4. Akhir sekali masukkan daun sup. Gaul rata. Sejukkan seketika.
5. Sediakan kulit popia, isikan inti ditengahnya dan gulung kemas. Goreng dengan api sederhana panas hingga perang keemasan. Angkat dan toskan atas paper towel.
6. Hidangkan dan boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama sos pilihan.

Sos Popia :
5 biji cili merah - belah dua buang biji
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil cuka
Secubit garam
gula secukupnya
sedikit air masak - untuk blend

Cara-cara :
1. Masukkan kesemua bahan diatas ke dalam blender dan kisar halus
2. Boleh juga jika ingin dimasak atas api sebentar hingga mendidih sedikit.
3. Letak sedikit garam dan gula sesedap rasa, kacau sebentar dan angkat.
4. Hidangkan bersama popia goreng ketika masih panas.

 
 

Friday, March 9, 2012

Prata Bungkus Berinti Daging



Assalamualaikum... Salam manis dan salam ceria di pagi Jumaat yang mulia. Alhamdulillah... Dapat juga CT update resipi dalam Dapur CT cukup untuk seminggu ni. Walaupun terkejar-kejar dengan masa kerana dalam masa yang sama terpaksa menyiapkan kerja-kerja rumah seharian, tapi dah kerana minat CT pada memasak, jadi dapatlah juga CT menyisipkan sedikit masa untuk update blog dapur CT ni. Bagi CT, Blog Dapur CT ini ajelah tempat yang dapat CT kongsikan segala cerita dan berita tentang resepi dan kisah seharian yang lainnya. Ini semuanya untuk dibuat kenangan bila CT dah bersara dari food blogging ni nanti. Bila ketikanya dah sampai nanti, sesekali bolehlah juga CT baca kembali semua komen-komen dari semua teman-teman dan pengunjung yang telah banyak memberi inspirasi dan teman-teman food blogging lainnya yang telah berkongsi resipi yang telah CT cuba setiap satunya. Itulah gunanya berkawan walaupun cuma di alam maya, namun terasa seolah persahabatan ini sangat dekat dihati.



Berbalik pada menu CT pagi ni Prata Kentang berintikan daging, kentang dan keledek semuanya ada... hehehe. Tapi oleh sebab panjang sangat namanya kalau nak letak semua bahan yang digunakan, CT letak ajelah namanya Prata Bungkus Berinti Daging. Mula-mula tak tahu apa nak buat dengan prata yang tinggal sebungkus dalam peti ais tu. Hasil pencarian resipi terjumpa pulak resepi dalam blog Ros Jintanmanis yang boleh diguna-pakai. Tapi Ros letak inti tuna, CT pulak buat inti sendiri aje kentang dan daging lagi sedap... hehehe. Sebab anak CT ada sorang yang alah pada ikan sardin ni. Nanti kalau buat kesian pulak dia seorang aje yang tak makan. Jadinya buat inti macam ini semua boleh makan dan puas hati betul tak. Kalau nak lihat macamana nak melipat kulit prata tu boleh lihat kat blog Ros lah ya.



Buat inti daging ni sengaja CT buat lebih-lebih sebab inti macam ni boleh dibuat macam-macam kan. Kalau rajin nanti adalah projek lagi... hehehe. Rasanya buat sebungkus ni macam tak cukup ajelah, sebab kecik-kecik masuk mulut 2 kali ngappp! aje dah habis... hehehe. Anak-anak dan My laling CM pun suka makan. Ditambah pulak letak inti tu lebih sikit nampaklah gebu isinya. Tapi lain kali CT nak cuba buat guna kulit puff pulak, tentu lebih rapuh dan sedap. Itu untuk resepi akan datang pulaklah ye.



Oh ya sebelum CT terlupa, hari ini anak-anak dah last exam jadinya minggu depan dah bermula cuti persekolahan. Di kesempatan ini CT ingin memohon maaf kerana Dapur CT terpaksalah berehat sekejap dan tak dapat menyinggah blog teman-teman seperti biasa kerana CT sekeluarga akan balik ke kampung CT dan suami di Johor Bahru selama 3-4 hari. Bila CT balik semula nanti sudah semestinya banyak kerja-kerja rumah yang sedia menanti, mendobi, mengemas rumah dan macam-macam lagi. Jadi walaupun dah balik dari kampung nanti pun pastinya masih sibuk, jadi kalau CT tidak berkesempatan untuk menjawab mesej dan menjengah blog teman-teman, CT mintak maaf dulu lah ye.



Bagi yang ingin sama balik kampung tu hati-hati semasa memandu dan jadikan diri kita pemandu yang berhemah bila di jalan raya, semoga perjalanan kita akan di permudahkan. Sampai berjumpa lagi bila CT dah kembali semula dari kampung nanti. Jika ada kesempatan dan terasa ingin mencuba resipi dibawah tu, silakan lah mencuba ya. Salam manis dan salam rindu untuk semua teman-teman CT, jumpa lagi. Daaa....


Prata Bungkus Berinti Daging
Resipi : Che CT

Bahan-bahan :
1 paket roti prata segera
1 biji kuning telur - pukul sekejap dengan garfu + sedikit pewarna kuning

Bahan untuk Inti :
300 gm daging cincang
4 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
sehiris halia *
3 sudu besar rempah kari daging – larutkan dengan sedikit air
2 sudu besar cili kisar
4 biji kentang – potong kiub
2 biji keledek sederhana - potong kiub
1 biji bawang besar – potong kiub
Daun sup - hiris kasar
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-cara membuat inti :
1. Blend bahan yang bertanda *.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan masukkan bahan yang diblend dan goreng hingga kekuningan.
3. Masukkan cili kisar dan rempah kari. Masak dengan api kecil hingga agak garing.
4. Masukkan daging cincang, goreng sebentar. Kemudian masukkan keledek dan kentang, gaul rata. Masukkan air separas bahan-bahan tadi. Masak hingga keledek dan kentang empuk.
5. Bila dah hampir pekat masukkan garam dan sedikit gula. Kemudian masukkan pula bawang cincang dan masak hingga pekat.
6. Akhir sekali, masukkan daun sup. Gaul rata, angkat dan sejukkan.



Cara-cara membuat dan melipat prata :
1. Ambil sekeping roti prata segera dan potong 4 bahagian - ikut saiz yang dikehendaki.
2. Letakkan satu sudu besar inti di tengah-tengah roti prata dan lipat kemas, seakan bentuk puff segi tiga, kemudian susun di atas dulang pembakar yang dialas kertas minyak. Pastikan bahagian yang di lipat diletakkan di bahagian bawah dan gunting sedikit kulit prata, gliss kan di bahagian atas dengan sedikit telur. Ulang langkah tadi sehingga roti prata dan inti habis digunakan. (boleh lihat cara-cara melipat kulit puff dalam blog ROS-Jintanmanis)
3. Akhir sekali bakar prata yang siap dibungkus tadi di dalam oven pada suhu 180 darjah, selama 25 hingga 30 minit ataupun sehingga perang keemasan. Sedap dimakan panas-panas. Selamat Mencuba.


Wednesday, March 7, 2012

Banana Layered Bread Pudding



Assalamualaikum... Salam ceria dan salam manis buat semua di pagi Rabu. Cantik berseri-seri semua teman-teman CT pagi ni, pakai baju berkaler-kaler ada yang berbunga-bunga lagi... hehehe. Macam ada cctv pulak kat Dapur CT ni kan, sampai boleh nampak orang pakai baju apa.. hehehe. Okey jangan buang masa dengan omelan CT yang merapu ni, nanti semua kerja tak siap sebab masa tidak menunggu kita.



Berbalik pada menu CT hari ini yang menu terdahulunya di beri nama Puding Roti Pandan Kukus di SINI. Tapi kali ini CT ada tambah hirisan buah pisang dalam lapisan roti ni dan paipkan sedikit cream cheese diatasnya. Jadi rasa macam tak sesuai pulak kalau puding roti yang dah dimekapkan dan naik pangkat ni guna nama lama. Jadi CT letak nama resepi ni Banana Layered Bread Pudding ala-ala macam menu orang putih gitu... hehehe.



Menu ni amat sesuai untuk dihidang sebagai sarapan pagi atau buat minum petang. Kita juga boleh pelbagaikan bahan sampingannya dan boleh ikut kreativiti masing-masing untuk menghiasnya. Jika nampak lebih menarik, tentu lebih menaikkan selera untuk menikmatinya, betul tak. Resepi ni kalau nak dikurangkan sukatan gulanya tu pun boleh juga, sebab pisang berangan pun dah sedia manis bila dah masak. Nak guna pisang yang lain-lain pun boleh juga. Cuma CT nasihatkan, bila dah dihiris pisang tu letak dahulu diatas sehelai paper towel supaya airnya menyerap dahulu. Bila kita kukus taklah banyak air dari pisang akan keluar.



Satu lagi kalau nak buat dua lapis roti baru letak hirisan pisang pun boleh juga. Tapi yang ini CT lapiskan satu-satu agar nampak cantik sikitlah. Dan tunggu hingga betul-betul sejuk baru dipotong agar kemas potongannya dan nampak cantik. Yang lain-lain tu terpulanglah pada masing-masing. Kalau ada yang ingin mencuba silakan ye. Okey, kita terus pada resipi dibawah, sampai jumpa lagi nanti. Salam manis dari CT. Daaa...




Banana Layered Bread Pudding
Resepi : Che CT

Bahan-bahan :
12 keping roti putih - tak perlu buang kulit tepi.
200 ml santan kotak
21/2 cawan air
1/2 cawan gula pasir (boleh dikurangkan sukatan jika tak suka manis).
3 biji telur - pukul sebentar dengan garfu
1/2 sudu teh esen vanila
1 sudu kecil paste pandan
1 susu kecil pewarna hijau
Sedikit garam

5 biji pisang berangan masak - hiris serong

Cara-cara :
1. Didihkan air dalam periuk kukusan. Sapu loyang bulat 8 inci dengan sedikit minyak. Ketepikan (boleh juga letakkan plastik bersih dalam loyang yang disapu minyak tadi. Lebihkan sedikit plastik keluar supaya senang nak keluarkan adunan nanti).
2. Dalam mangkuk besar masukkan semua bahan-bahan kecuali roti. Pukul dengan whisk hingga gula larut dan rata.
3. Rendamkan kepingan roti dalam adunan tadi dan susun kedalam loyang sekeping demi sekeping. Kemudian susun hirisan pisang diatasnya dan susun lagi kepingan roti yang direndam tadi sekeping demi sekeping. Ulang proses menyusun tersebut hingga habis.
4. Kukus selama 15 - 20 minit dengan api sederhana. Buka penutup kukus biarkan roti yang dikukus tu berada dalam periuk kukus selama 3 minit lagi baru dimatikan api.
5. Biar betul-betul sejuk dahulu baru boleh dipotong dan sedia untuk dihidang.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...