Showing posts with label Aroma. Show all posts
Showing posts with label Aroma. Show all posts

Monday, April 30, 2012

AROMA Mei 2012 - Sempena Hari Ibu


Assalamualaikum dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Sebelum CT berbicara lebih lanjut, terlebih dahulu CT ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan ucapan Syukur Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat kerana CT sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dilimpahi dengan nikmat kebahagiaan. Dan dengan nikmat kesihatan yang baik dan berterusan ini, CT dapat terus untuk berbakti kepada keluarga selain daripada melakukan perkara baik yang lain yang dapat memberi manfaat bukan saja kepada diri CT tetapi juga kepada insan yang lain seperti berkongsi minat memasak ini yang dapat CT kongsikan kepada semua melalui penulisan blog masakan ini.

Masuk hari ini, genap 3 tahun, 4 bulan, 18 hari usia blog Dari Dapur CT ini. Dan sepanjang tempoh itu jugalah, blog ini telah melalui pelbagai perkara dan rentetan dalam mencapai usia kematangannya. Tarikh 12/11/2008 adalah tarikh mula-mula CT menulis dalam blog ini. Untuk beberapa entri yang mula-mula tu, CT hanya berkongsikan gambar masakan CT sahaja dan tiada resepi yang dikongsikan. Maklumlah CT masih jahil lagi tentang berblog dan masih tidak cukup keyakinan untuk berkongsi sesuatu yang mungkin akan dicuba oleh orang lain sedangkan CT masih lagi dalam proses mencuba-cuba.

Resepi yang pertama sekali CT kongsikan adalah pada 24/2/2009 iaitu selepas 3 bulan CT membuka blog ini. Bila CT tengok semula entri tersebut, CT tersenyum simpul sendiri. Rupanya telah jauh juga perjalanan yang telah CT tempuh dalam blogging masakan ini. Dalam awal-awal pembabitan dulu, CT ambik gambar pun main tangkap muat aje. Kamera yang CT guna pada masa tu pun dah rosak dah sekarang ni. Tapi CT masih simpan lagi dengan baik dan letakkan pada tripod mini dan display atas cabinet sebelah TV walaupun dah rosak sebab itulah kamera yang telah banyak berjasa kepada CT untuk blog ini. Kadang-kadang tu memang perlu untuk kita melihat kembali kebelakang apabila kita sudah jauh berada dihadapan. Mengimbau sesuatu seperti itu akan memberi kita ruang untuk bermusabahah dan juga melihat dengan lebih jelas perkara-perkara yang kurang baik yang boleh kita perelokkan lagi dan memperbaiki lagi segala kekurangan yang ada. InsyaAllah.


Nampaknya CT dah jauh menyimpang dari tajuk post CT hari ni. Yang sebenarnya CT sekadar ingin berkongsi kegembiraan dihati tapi terlebih taip pulak. Maafkan CT ye.. hehe. Mood ceria CT ni disebabkan oleh 14 dari resepi yang pernah CT kongsikan dalam blog ini telah diterbitkan lagi oleh Majalah AROMA keluaran bulan Mei 2012. Pada mulanya, pihak AROMA cuma meminta 10 entri lauk-pauk. Bila CT selak-selak entri yang lepas-lepas, CT mula sedar yang entri lauk-pauk yang CT buat tak banyak sangat jadi bila nak memilih tu CT jadi kurang pasti nak memilih yang mana satu. Disebabkan itu, CT hantar aje 14 buah resepi supaya pihak AROMA dapat memilih 10 darinya seperti yang diminta. Tapi selepas CT tengok majalah tu semalam, rupanya kesemua 14 resepi yang CT hantar telah diterbitkan sekaligus.


CT tak dapat berkata apa lagi, sekadar CT ingin merakamkan rasa penghargaan kepada pihak AROMA yang telah memberi ruang terbitan mereka sekali lagi kepada CT. Dan sudah tentunya rasa perhargaan itu juga ingin CT kongsikan kepada semua pemilik asal resepi yang resepinya telah CT cuba sendiri dan kongsikan untuk tatapan semua dalam blog Dari Dapur CT ini. Kesemua resepi-resepi CT yang terpapar dalam Majalah AROMA keluaran bulan Mei tersebut adalah sebanyak 7 mukasurat iaitu dari halaman 58 hingga halaman 64. Jika berminat untuk melihat dan ingin menatap dengan lebih jelas, kenalah dapatkan senaskah majalah tersebut ye.


Akhirkata, terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menyokong CT untuk terus mengemudikan blog ini dan semoga kita semua akan terus mendapat manfaat dan berjaya bersama-sama. Sekian, salam sayang dari CT. Daaaa...

Monday, March 26, 2012

CT bersama AROMA


Assalamualaikum. Salam sejahtera dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Hari ni CT tak update entri masakan ye. Sebab hari ni CT nak berkongsi kegembiraan CT kerana 8 daripada resepi yang pernah CT publish telah di paparkan dalam 6 muka surat di majalah AROMA keluaran bulan April 2012.


CT masih lagi ingat, ketika CT mula-mula berblog dalam blog masakan ini pada tahun 2009 dulu, blog masakan adalah salah satu aliran blog yang terpencil dalam dunia dan kelompoknya sendiri. Kitarannya agak terasing dan hanya berkisar di kalangan kepompongnya saja. Namun kini, blog masakan sudah mula menonjolkan diri dan menjadi salah satu aliran penulisan blog yang tak kurang popularnya. Dan kini, bukan sekadar golongan chef, atau golongan wanita yang season di dapur. Tetapi kini golongan anak muda, malahan tidak terkecuali golongan anak muda yang lelaki turut sama memeriahkan dunia masakan. Semuanya gara-gara kehangatan rancangan masakan realiti TV yang sedikit sebanyak turut menambahkan lagi tempiasnya dalam mempopularkan aliran blog masakan.


Fenomena ini amat menggembirakan CT sebab masakan adalah satu-satunya aliran blogging yang sehati dan sejiwa dengan minat CT. Maklum sajalah, untuk suri rumah sepenuh masa seperti CT, blogging masakan adalah salah satu hobi yang dapat memberikan manfaat bukan saja untuk CT dan keluarga tetapi juga kepada semua yang membaca blog CT. Dengan blogging ini, CT dapat mencuba pelbagai variasi masakan yang bukan saja dapat dinikmati oleh keluarga tersayang malah dapat juga dikongsikan kepada semua pembaca blog CT yang berminat untuk mencubanya.


CT ingin merakamkan ribuan terima-kasih kepada pihak AROMA terutamanya Cik Nur Aziera Ridzuan yang telah menghubungi CT mula-mula sekali dan memberi peluang untuk resepi Dapur CT dipaparkan dalam Majalah AROMA bulan April 2012 ini. Juga kepada Ketua wartawannya iaitu Akmar Jamaludin yang juga kemudiannya telah juga menghubungi CT untuk membuat penggambaran di rumah, tetapi terpaksa CT tolak. InsyaAllah dimasa yang lain lagi jika berpeluang. Dan tak lupa juga, ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua penyumbang-penyumbang asal resepi yang antara resepinya telah CT cuba dan kongsikan dan telah kini terpapar untuk tatapan semua dalam majalah tersebut.


CT amat gembira diberi peluang sebegitu kerana bukan lagi sekadar dikitaran dunia cyber, tetapi dengan diberi peluang untuk muncul dalam media cetak seperti ini dapat memberi peluang untuk CT berkongsi resepi kepada mereka yang tidak melayari dunia internet. CT anggap ini adalah penyuntik semangat untuk CT untuk membuat dan memberi yang lebih baik lagi dimasa hadapan. Akhir-kata, pastinya ucapan yang paling tinggi adalah buat suami tersayang yang memberi sepenuh sokongan dan tunjuk ajar, baik dari cara untuk mengambil gambar sehinggalah kepada cara penulisan CT di blog ini. Tanpa sokongan insan tersayang, tak mungkin CT akan pergi sejauh ini. Apa yang pasti, jalan ini masih jauh dan semoga CT terus diberi kesihatan yang baik supaya CT dapat terus menulis dan berkongsi lebih banyak lagi dan lebih baik lagi untuk semua pembaca blog CT yang tersayang dimasa yang mendatang, InsyaAllah. Akhirkata, salam sayang dari CT untuk semua. Muahss!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...