Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, March 31, 2014

Selawat Nabi, bukan puja Nabi

12:16 PM Posted by RIDHUAN TEE 20 comments
(Sinar Harian 31 Mac 2014)

Saya ucapkan tahniah atas inisiatif menganjurkan Selawat Perdana Putrajaya, Malam Cinta Allah dan Cinta Rasul, dengan tema Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan, yang sedang menjelajah seluruh negara masa kini, yang dijayakan hampir seratus peratus oleh pendakwah seberang.

Saya tidak pasti sama ada ia telah menjadi ‘fenomena’ ataupun tidak, di kalangan anak muda, seperti rancangan Pencetus Ummah, Astro Oasis. Saya juga tidak mahu termasuk dalam golongan ‘membidaahkan’ program yang sebegitu baik ini, dalam mendidik hati-hati manusia.

Sejujurnya, program ini amat baik untuk sebagai ‘hiburan’ altenatif kepada masyarakat. Tetapi, agak stereotaip. Jika tidak diberikan penambahbaikan, sekali itulah sahaja. Ia sukar untuk menarik perhatian buat kali kedua, kerana semuanya sama, termasuk tazkirah yang disampaikan sebelum ini,    

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian adalah;

Pertama, penonjolan kepada Rasulullah terlalu berlebihan sehingga menenggelamkan penonjolan kepada Allah SWT.

Pada hemat saya, perkara ini patut diperbaiki. Majlis ini sepatutnya membawa kita mengingati Allah, kemudian baharulah utusanNya, Rasulullah SAW, seperti mana temanya, Malam Cinta Allah dan Cinta Rasul. Dalam kata lain, utamakan Allah dalam segala hal. 

Kita memang diminta dan dituntut berselawat ke atas Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW, barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda. Ini tidak termasuk mendapatkan syafaat Baginda di akhirat nanti.

Cuma, persoalannya, Selawat Perdana terlalu ‘over’ menonjolkan Rasulullah SAW. ‘Lagu-lagu’ Cinta Rasul yang disampaikan seperti Qasidah dan sebagainya terlalu berlebihan, sehingga membawa kepada tahap ‘pemujaan’ terhadap Nabi.

Adakah Rasulullah mahukan kita memuja Baginda? Sudah tentu tidak. Nasib baiklah Baginda tidak meninggal gambar atau foto Baginda. Jika tidak, saya bimbang, kita akan menyembah Baginda seperti agama lain. 

Memang tidak dapat dinafikan, kita memang dituntut mencontohi Nabi dalam apa jua keadaan dan cara hidup Baginda, tetapi janganlah terlalu berlebih-lebihan sehinggakan mengidolkan Baginda. 

Kita perlu ingat, perkara yang utama dalam Islam adalah akidah. Sebab itu rukun Islam dan rukun iman disusun sedemikian rupa. Rukun iman misalnya, pertama Percaya kepada Allah, diikuti dengan mengimani yang lainnya termasuk kepada para Rasul. 

Begitu juga dengan rukun Islam, pertama mengucap dua kalimah syahadah, diikuti kedua adalah solat. Kalimah Syahadah adalah paling utama.

Solat bukan penanda seseorang itu telah beramal dengan Islam, jika akidah tidak betul. Misalnya, soal mentauhidkan Allah SWT, Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah. 

Bersolatlah dan berselawatlah beribu kali sekalipun, jika akidah tidak betul, semuanya menjadi sia-sia. Sebab itu, akidah perlu dimantapkan sebelum yang lain.  Kenalkan manusia kepada Allah SWT, sebelum kenalkan kepada PesuruhNya iaitu Baginda, Rasulullah SAW.

Kedua, nawaitu menganjurkan program ini hendaklah betul. Jika benar malam perpaduan atas nama Islam, lakukanlah, tanpa ada agenda politik tersirat dan tersurat. 

Saya difahamkan semua pemimpin pembangkang mahu hadir dalam Selawat Perdana Perdana. Tetapi PRK Kajang telah menguburkan segala-galanya. Kita lebih sibukkan PRK. Tak apalah, mungkin kita boleh buat kedua kalinya. 

Apapun, pengalaman yang dilalui pada malam tersebut, selaku ‘pendakwah-pendakwah Astro Oasis, Pencetus Ummah, Duniaku Dakwahku, begitu pahit sekali.

Jadual kami telah disusun oleh pihak Astro Oasis bermula jam 7.00 hingga jam 9.00 malam. Malangnya semua tidak menjadi. Seolah-olah ada tangan-tangan yang tidak mahu kami menonjol.

Pihak penganjur seolah-olah sengaja melambat-lambat jadual kami. Pentas, lampu dan sistem pembesar suara (sound system) tidak bersedia. Program kami hanya bermula selepas jam 8.00 malam, itupun dalam keadaan begitu kelam kabut.

Selepas azan Isyak, pihak kami tidak dibenarkan meneruskan program seperti yang dijadualkan. Kesihan pendakwah yang datang dari jauh tidak dapat memberikan persembahan. 

Pihak yang mendakwa dirinya penganjur mahu mengambilalih. Persoalannya, siapakah ‘penganjurnya’? Apa tujuan mengadakan program ini. Ikhlas kerana Allah atau apa?

Sejujurnya, apabila kami dijemput oleh oleh pihak Astro, dengan niat yang murni untuk menghimpunkan semua pemimpin umat Islam tanpa mengira fahaman politik. Kami menjadi begitu teruja dan bersemangat sekali. 

Atas nama Islam, kami menerima jemputan tersebut. Kami lakukan kerana Allah.

Tidak ada keinginan langsung mahu bersaing dengan stesen tv yang mahu berhijrah. Kami sudah ada ‘trade mark’ sendiri. Tidak perlulah terasa terancam dengan kehadiran kami di situ. 

Kepada stesen TV yang mahu berhijrah, buatlah kerja kerana Allah, bukan kerana yang lain. Hodoh sangat melihat stesen TV mahu menonjolkan diri, siapakah yang lebih Islamik, sedangkan pengisiannya hanya biasa sahaja. 


Apapun sekalung tahniah daripada saya kerana telah menjayakan majlis ini. Walaupun targetnya setengah juta tidak kesampaian, dapat limapuluh ribupun kira jadilah.  

Monday, March 24, 2014

Pengajaran MH 370

7:03 AM Posted by RIDHUAN TEE 23 comments


(Sinar Harian 24 Mac 2014)

Perjalanan menaiki pesawat MAS dari Kuantan ke KLIA pada 17 Mac 2014, jam 7.45 malam, begitu menarik. Anak kapal (pilot) membaca doa menaiki kenderaan. Diikuti apabila mendarat disebut Alhamdulillah. Sejuk hati.

Selepas transit sebentar untuk ke Kota Bharu, saya ingatkan anak kapal MAS akan melakukan perkara yang sama. Rupanya tidak, anak kapal tidak diingatkan untuk membesarkan Allah. Di manakah jati diri kita?

Apakah selama ini MAS tidak mengajar atau melatih anak-anak kapalnya (Islam) apabila menyampaikan maklumat, paling kurang menyebut Bismillah,  dan Alhamdulillah? Kenapa semua ini tidak dijadikan prosedur dan panduan?

Malu sangatkah menyebut kebesaran Allah di hadapan menumpang? Kenapa tidak belajar dari pengajaran MH370? Tonjolkan kepada pelancong, inilah Malaysia, yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Hari ini, boleh dikatakan semua penumpang ‘sengsara’ menaiki pesawat MAS. Segala-gala akan diperiksa. Luar dan dalam ‘dirabanya’. Paling ‘sakit hati’ barang yang dibawa kena scan dua kali. Sebelum ‘check in’ dan selepas.

Apa nak buat. Keselamatan lebih penting dari segalanya. Kenapa sebelum ini, keselamatan kita begitu longgar? Kenapa bertindak ‘action oriented’? Apapun hati merasa lega, setelah berada dalam pesawat MAS dapat mendengar kalimah-kalimah yang dikaitkan dengan Allah, walaupun tidak semua melakukannya. Pesawat tambang murah lain, sekelumit kalimah Allah pun langsung tidak kedengaran.

Saya bukanlah orang teknikal untuk memberikan komen terhadap kehilangan MH 370. Meskipun begitu, saya boleh rumuskan insiden ini merupakan konspirasi terancang pihak Barat dan Yahudi yang mahu memusnahkan Islam dan negara berideologi komunis yang tidak sehaluan dan memberi ancaman mereka.

Beberapa perkara yang perlu diambil perhatian daripada insiden ini adalah,

Pertama, lakukan pemeriksaan ketat seperti yang dilakukan hari ini. Tidak mengapa, saya rela menanggal dan membuka apa yang diminta seperti jam tangan, tali pinggang dan apa jua peralatan telekomunikasi. Rabalah sepuas-puasnya demi maruah dan keselamatan tanahair tercinta.

Jika kita berada di luar negara, mereka akan melakukan perkara yang sama, malah lebih teruk daripada itu sehingga menggunakan anjing.

Setakat ini keselamatan negara kita begitu longgar. Tidak mustahil negara lain tahu kekuatan pertahanan dan keselamatan kita. Apatah lagi, insiden ini telah ‘menelanjangkan’ rahsia keselamatan dan pertahanan yang kita ada.

Kedua, semua anak-anak kapal (Islam), terutama pilot, mesti ditanamkan dengan jiwanya dengan roh Islam. Mengutamakan jati diri agama, bangsa dan negara. Mereka tidak boleh hanyut dengan segala ‘keseronokan’ dalam kapal yang dianggap sebagai kerjaya ‘glamour’.

Ketiga, elakkan menjamu makanan dan perkara haram dalam pesawat. Mereka meminta arak itu, adalah kalangan mereka yang biasa minum arak. Maka tidak perlulah kita jamu peminum arak dengan arak. Alihkan mereka dengan makan tempatan yang lebih berkhasiat seperti cendol dan sebagainya.

Keempat, biasakan anak-anak kapal mengingati Allah (Tuhan kepada bukan Islam). Sebutlah kalimah Bismillah, Alhamdulillah, Salam dan lain-lain. Perkara ini nampak kecil, tapi impaknya besar.

Kelima, tutuplah aurat paramugari jika mereka berkehendakkan. Lagipun untuk mengelakkan rambut jatuh ke dalam makanan. Tidak salah jika paramugari menutup aurat (Islam) dan pakaian bersopan untuk bukan Islam.

Amat menjengkelkan lagi apabila pakaian paramugari yang singkat dan jarang. Lebih kelakar pakaian paramugari penerbangan tambang murah, yang hanya diselaputi kebaya putih yang begitu jarang sehingga nampak yang tersurat dan tersirat. Peliknya semua penerbangan ini, bos-bos yang menjaganya adalah orang Melayu (Islam).

Keenam, kita hendaklah jangan terlalu kebaratan ketika berada dalam pesawat. Amalkan budaya-budaya negara. Utamakan bahasa Melayu. Ucapkan salam dan selamat mengikut cara kita. Belajarlah dengan anak-anak kapal pesawat Thai, Brunei dan sebagainya. Mereka sentiasa mengutamakan jati diri negara.

Ketujuh, jika ditakdirkan berlaku lagi insiden seperti MH370 pada masa depan, jangan memanggil bomoh untuk mencari. Jika Islam itu boleh diubati dengan menggunakan bomoh, sudah tentu umat Islam tidak perlu bersusah payah atau ada yang merempat hari ini. Gunakanlah bomoh untuk mengatasi segala-galanya.

Nabi Muhammad adalah raja segala bomoh dan mempunyai mukjizat. Kenapa dan mengapa Rasulullah tidak menggunakan mukjizat yang ada untuk membomohkan semua bukan Islam supaya tunduk dan menurut kata-kata Baginda? Atau dengan bahasa mudah membomohkan mereka supaya segera memeluk agama Islam dan tidak perlu bersusah diuji dan dicuba?

Jika bomoh kita terlalu mujarab, kita bomohkan air yang disalurkan kepada Singapura. Apabila diminum, merekapun akan tunduk kepada kita dan menyerah diri untuk bersunat, serta membeli air kita dengan kadar harga semasa, bukan membeli dengan harga 0.03 sen per 1000 gelen?

Kepada pembuat keputusan dan pembesar negara, gunakan kuasa untuk mencari keredhaan Allah selagi ada kuasa. Hak ini dijamin perlembagaan. Kita bimbang, apabila sudah tidak ada kuasa nanti, baru nak menyesal. Jangan leka ketika berkuasa, hanya bertaubat setelah pencen. Buruk sungguh rasanya.

Monday, March 17, 2014

Melayu, MH 370, Bomoh dan Ajaran Sesat

10:56 AM Posted by RIDHUAN TEE 17 comments


 (Sinar Harian 17 Mac 2014)

Menggunakan bomoh dan sihir mencari MH 370 telah menjadi bahan ketawa dunia. Rakyat Malaysia di luar negara, termasuk anak-anak saya yang berada di Iskandariah, Mesir, amat malu dengan kejadian ini.

Kita sering mendakwa, kita adalah negara Islam contoh. Hari ini, kita sedang  ditertawakan kerana percaya kepada perkara-perkara khurafat, tahyol dan tidak masuk akal.

Persoalannya siapakah yang memanggil bomoh tersebut? Apakah orang tersebut pernah menggunakan khidmat bomoh? Apakah tujuan khidmat bomoh itu digunakan? Jika benarlah ‘kesaktian’ bomoh tersebut, buatlah di tempat tertutup, bukanlah tempat terbuka sebegitu, hingga menjadi perhatian dunia, dengan alat lucu seperti teropong buluh, tikar, kelapa, labu sayung dan lain-lain

Kejadian ini mengingatkan saya kenapa ajaran sesat berleluasa? Walaupun tidak masuk akal, tetapi ramai yang mempercayainya, terutama kalangan orang Melayu.

Bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai ada orang mengakui diri dia tuhan, Imam Mahdi, Rasul dan sebagainya. Pengikut ayah Pin mempercayai ayah Pin boleh hidup di alam langit. Begitu juga pengikut Harun yang percaya Harun boleh menjadi tuhan. Ini tidak termasuk orang Jawa yang mengakui Imam Mahdi.

Jika ditanya orang kafir sekalipun, walaupun mereka sudah syirik, mereka tidak akan mempercayai perkara tersebut. Dalam isu kehilangan MH 370, paling kurang, mereka tampil bermeditasi dan berdoa mengikut cara masing-masing. Penampilan mereka tidak pelik.  

Sebagai umat Islam, segala tindak-tanduk kita mestilah berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah. Apa jua perbuatan yang bercanggah, hendaklah ditolak kerana boleh menjejaskan akidah.  

Ini termasuk menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang, penilik nasib atau sesiapa jua yang mendakwa mengetahui ilmu-ilmu ghaib. Maksud saya, pengetahuan yang tidak dapat diperolehi melalui deria manusia, seperti khabar yang akan datang, isi hati manusia dan peristiwa yang tersembunyi.

Ilmu-imu ini hanya dimiliki oleh Allah SWT dalam firmanNya yang  bermaksud, "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada kalangan orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106)

Ayat ini jelas mengharamkan kita meminta pertolongan selain daripada Allah SWT. Kita dituntut memohon pertolongan dan berdoa secara langsung ke hadrat Allah yang Maha Esa dan Maha Berkuasa ke atas segalanya.

Selain itu, Islam juga melarang umatnya daripada menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda, "Jauhilah 7 perkara yang merosakkan. Golongan sahabat bertanya, "Apakah 7 perkara itu? Jawab Baginda, " Mensyirikkan Allah, melakukan sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan zina". (Hadis riwayat Bukhari)

Perlu diingat, umat Islam perlu berhati-hati menggunakan khidmat bomoh supaya tidak terjebak dalam amalan syirik yang akan menjejaskan akidah. Setiap daripada kita diwajibkan berusaha dan berikhtiar serta seterusnya bertawakal kepadaNya kerana Allah saja yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.

Saya amat bersyukur ramai kalangan kita yang melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT, mohon petunjuk. Jika di darat tunjukkanlah, jika di laut, timbulkanlah, jika di udara, turunkanlah. Inilah yang sepatutnya dilakukan. Serahkan semua kepada Yang Maha Esa dan Maha Kuasa.

Kenapa kita melakukan tindakan yang pelik-pelik, lebih teruk daripada orang bukan Islam. Kita menuduh mereka syirik, tetapi kita lebih syirik daripada mereka.

Kepada orang bukan Islam, ingin saya jelaskan di sini bahawa perbuatan berbomoh seperti yang dilakukan ini bukan sumber daripada ajaran Islam, meskipun ada yang mendakwa ia akan mengikut kaedah Islam. Pandanglah agama Islam daripada sumber agama Islam itu sendiri, bukan daripada perbuatan orang Islam.

Jika perbuatan umat Islam itu tidak mencerminkan hakikat Islam yang sebenar, maka ia bukanlah daripada sumber agama Islam.

Ketika saya memeluk Islampun dahulu, saya mengkaji Islam dan mendalami Islam. Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH 370 sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam.

Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang akan dapat memberi petunjuk dan menjumpai MH 370 itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percayai kepada bomoh daripada menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Justeru, apa jua yang berlaku dalam pencarian MH 370, kita beriktiar, selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT, yang lebih mengetahui hikmah semua kejadian ini.

Ingat kata-kata ini, kadang kala Allah hantar orang baik kepada kita, sebab kita tidak cukup baik. Kadang kala Allah tarik balik mereka semua, Allah mahu menguji kita sama ada kita jadi baik kerana Allah atau kerana manusia.

Monday, March 10, 2014

Jangan sampai tiada telur?

7:20 AM Posted by RIDHUAN TEE 24 comments


(Sinar Harian 10.3.14)

Belum pun PRK Kajang bermula, bermacam-macam tuntutan dan desakan telah dikemukakan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri oleh parti-parti politik dan NGO ultra kiasu Cina.

Mereka tidak segan-segan menuntut, kerajaan mesti mengiktiraf UEC dan menambah lagi Sekolah Persendirian Cina. Undi hanya akan diberikan kepada parti politik yang dapat memenuhi hak Cina.

Persoalan saya, hak bangsa lain pula bagaimana? Ingatan kepada pihak berkuasa, jangan sampai tiada telur kerana kemarukkan undi.  

Cukup! tidak perlu tambah masalah pendidikan negara ini yang sudah semakin berserabut.

Lebih berani lagi, kerajaan ultra kiasu Pulau Pinang, mempertikaikan Putrajaya kerana tidak melayan permintaan mereka yang telah meluluskan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJK) di Bagan Dalam, Pulau Pinang.

Kerajaan ultra kiasu menyalah Putrajaya kerana tidak memenuhi permintaan mereka. Persoalannya, kenapa perlu dibina institusi perkauman ini lagi? Tidak cukupkah dengan lambakan SJKC/T yang sedia ada. Sehinggakan kadang kala kita lihat murid dan gurunya terlalu sedikit bilangannya. Tetapi mereka tetap mahu sekolah ini beroperasi.

Tidak cukupkah kita pisahkan mereka sejak kecil? Perlukah kita pisahkan lagi mereka sehingga dewasa.

Pengerusi Dong Zong dalam temubual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, peratus kelulusan keputusan kertas Bahasa Melayu (BM) UPSR SJKC sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK).

Nasihat saya, berikan data. jangan bercakap kosong dan penuh penipuan. Tidakkah beliau tahu bahawa kertas BM di SJKC jauh lebih mudah berbanding SK. Lebih menyedihkan lagi beliau berkata, BM adalah bahasa orang Melayu yang pertama, kedua bagi orang Cina. Jika pelajar Cina tidak berjaya dalam kertas ini ada justifikasinya.

Kenapa beliau melihat kertas BM atau BM adalah bahasa pertama untuk orang Melayu? Bukankah BM adalah bahasa pertama dan utama atau bahasa negara untuk semua warganegara Malaysia? Di manakah kiblat kita sebenarnya?  

Saya mohon Kementerian Pendidikan paparkan statistik pencapaian BM kalangan pelajar Cina di SJKC. Jangan biarkan mereka memanipulasikan angka.

Buatlah kajian di kelas peralihan. Berapa ramai bilangannya. Lebih serius lagi, kebanyakan mereka langsung tidak boleh menguasai BM mudah. Sedangkan Bangladesh dan Nepalis yang tinggal di sini buat seketika, boleh menguasai BM. Kenapa kita yang lahir dan tinggal di sini beratus tahun sukar sekali untuk menguasai BM

Beliau berkata lagi, kerajaan hanya memperuntukkan 3.6 peratus sahaja peruntukan untuk sekolah Cina dalam Rancangan Malaysia ke-9. Congak bodoh saya, siapakah yang menggaji semua guru SJKC dan bantuan buku teks dan kemudahan lain? Jangan ultra kiasu.

Berhubung dengan pengiktirafan UEC, katanya, seluruh dunia mengiktiraf UEC, kenapa begitu sukar bagi kerajaan. Apakah beliau tidak sedar bahawa kerajaan mensyaratkan supaya Sekolah Persendirian Cina mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Kenapa begitu berdegil? Kenapa masih berkiblat kurikulum daripada Taiwan dan China?

Tidakkah beliau sedar dengan UEC, pelajar-pelajar ini masih berpeluang untuk memasuki universiti swasta? Apa lagi yang mereka mahu?

Baru-baru ini kerajaan telah membuat keputusan, bagi meramaikan orang Cina dalam menyertai perkhidmatan polis, maka cukup dengan syarat sekadar lulus BM sahaja, tanpa kredit. Apakah kerajaan masih tidak bertolak ansur dan memenuhi kehendak orang Cina? Kecinaan bagaimana yang orang Cina mahu lagi?

Sudahlah kita ada universiti perkauman yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Apakah selepas ini universiti perkauman ini akan menerima pelajar daripada sekolah perkauman juga. Perkara ini perlu difikirkan secara serius.

Ultra kiasug sengaja melakukan perkara ini untuk menguji dan memberi tekanan kepada Putrajaya. Selepas ini mereka ada alasan untuk ditudingkan kepada Putrajaya. Tengok! Putrajaya yang tidak meluluskan, bukan mereka. Liciknya strategi mereka.

Saya amat mengharapkan kerajaan pusat tidak akan tunduk kepada tekanan desperado sebegini. Biar pun kalah dalam PRK Kajang. Pembangunan negara bangsa mesti diutamakan daripada agenda bangsa dan politik.

Kita tidak mahu keputusan yoyo. Sekejap ya, sekejap tidak. Tidak ada negara dalam dunia bertindak sebegini melain kita. Apakah kita mahu menambah masalah yang sedia menjadi masalah atau menyelesaikan masalah tersebut?

Saya amat yakin, dalam kempen-kempen PRK DUN Kajang, kita akan menjanjikan bulan dan bintang. Ingatlah wahai pemimpin, sekali keputusan dan hak terlepas, terlalu sukar untuk kembali semula.

Ini strategi licik ultra kiasu, tekan dan minta semaksima mungkin. Mereka tahu kerajaan akan terkejut. Untuk memberi semua, mustahil. Maka, kerajaan akan berikan sedikit. Sedikit itu adalah merupakan kejayaan besar kepada mereka.

Apabila berdebat dengan mereka, saya selalu bertanya, berikan contoh negara-negara yang ada dalam dunia ini, yang mempraktikkan sistem sebegini. Jawapannya, tidak ada jawapan. Justeru, kenapa perlu beriya-iya mendesak dan menggugat, Ultra kiasu akan menyambung, inilah uniknya Malaysia. Malaysia boleh!