Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.
Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Monday, October 1, 2012

TAATI PEMERINTAH ADALAH AQIDAH

Dewasa ini telah muncul dalam masyarakat kita golongan-golongan yang pada zahirnya dilihat sebagai Ahli Ilmu dan Ulama’ namun pada hakikatnya mereka adalah perompak yang menyekat laluan para penuntut ilmu daripada memperoleh ilmu yang benar, menyesatkan Umat daripada jalan ALLAH yang lurus.

Mereka ini terpengaruh dengan agenda pemikiran Barat yang berusaha menyesatkan Umat Islam dan memesongkan mereka daripada landasan Aqidah yang benar lalu sama ada secara sedar atau tidak, golongan ahli ilmu agama ini menjadi agen barat untuk merosakkan Umat.

Antara seruan yang memesongkan hati dan meranapkan aqidah yang diserukan oleh golongan ini adalah dakwaan mereka urusan mentaati pemerintah muslim yang ALLAH s.w.t telah fardukan dalam kitabNya al-Quran bukanlah urusan aqidah, pada mereka ia hanyalah isu politik dan cabang(furu’) yang tiada kaitan dengan kepercayaan(aqidah) seorang muslim.

Kenyataan ini berlawanan dengan fakta yang sebenar kerana mentaati pemerintah muslim itu telah difardukan ALLAH s.w.t dalam al-Quran, surah al-Nisaa ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taat juga kepada Rasul dan mereka yang berkuasa dalam kalangan kamu …”

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahih beliau yang maksudnya: “Barangsiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati ALLAH, barangsiapa yang menderhaka kepadaku maka dia telah menderhaka kepada ALLAH; barangsiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku, barangsiapa yang menderhaka kepada pemerintah maka dia telah menderhaka kepadaku”.

Daripada Ibnu Abbas radiallahu ‘anhuma daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda bersabda: “Barangsiapa yang membenci sesuatu perkara pada pemerintahnya maka hendaklah dia bersabar kerana sesungguhnya barangsiapa yang memberontak terhadap penguasa lalu dia mati maka matinya itu seumpama mati orang jahiliah” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Kedua-dua hadis ini menunjukkan betapa kuatnya kaitan antara urusan mentaati pemerintah dengan aqidah sehingga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menyatakan dalam hadis yang kedua mereka yang mati dalam keadaan memberontak kepada pemerintah adalah mati dalam keadaan Jahiliah. Dalam hadis yang pertama pula amat jelas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mengaitkan ketaatan pada pemerintah itu dengan ketaatan pada baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri yang mana ketaatan kepada baginda adalah ketaatan kepada ALLAH. Apakah ini masih lagi bukan urusan Aqidah?!

Dalam hadis yang lain Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Barangsiapa yang diperintah oleh seorang pemerintah lalu dia melihat pemerintahnya itu melakukan maksiat kepada ALLAH maka hendaklah dia membenci perbuatannya yang maksiat kepada ALLAH itu namun jangan pula dia mencabut tangannya daripada ketaatan (terhadap pemerintah itu)”. [HR Muslim].

IJMAK PARA ULAMA

Benar di dalam Islam dilarang kita mentaati pemerintah dalam perintahnya yang mengandungi maksiat kepada ALLAH s.w.t sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: “Dengar dan Taat (kepada pemerintah) itu adalah suatu hak selama mana tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat, maka jika diperintahkan dengan perkara maksiat maka tidak boleh dengar dan tidak boleh taat”. [HR al-Bukhari dan Muslim]

Namun, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam juga melarang kita daripada memberontak dan menggulingkan pemerintah yang zalim dan fasiq kerana pada tindakan tersebut terdapat kerosakan dan mudarat yang lebih banyak lagi dan perkara ini juga telah menjadi kesepakatan (Ijmak) dalam kalangan Ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah bahkan mereka memasukkan urusan mentaati pemerintah muslim dan haramnya memberontak kepada mereka walaupun melakukan kezaliman dan kefasiqan sebagai salah satu prinsip Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kata al-Imam al-Nawawi r.h (w.676 H): “Adapun memberontak kepada mereka (pemerintah muslim) maka ianya Haram dengan kesepakatan kaum Muslimin walaupun mereka itu orang-orang yang zalim dan fasiq …” [Syarah Sahih Muslim, 12/229].

Kata Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h (w.324H): “dan kami (Ahli Sunnah wal Jamaah) berkeyakinan perlunya mendoakan untuk pemimpin-pemimpin kaum Muslimin dengan kebaikan dan mengakui kepimpinan mereka dan MENYESATKAN sesiapa sahaja yang berpendpat perlu memberontak ke atas mereka jika mereka melakukan kezaliman” [al-Ibanah, hal. 254]

Kata Imam Abul Husin al-Barbahari r.h (w. 329 H): “Barangsiapa yang memberontak kepada pemerintah kaum muslimin maka dia adalah seorang ‘Khawarij’, memecahkan kesatuan kaum muslimin, dan menyalahi atsar serta matinya adalah mati jahiliah”. [Syarhus Sunnah]

Berkata Imam al-Muzanni r.h –salah seorang murid besar Imam al-Syafii r.h dan tokoh utama mazhab al-Syafii- (w.264 H): “dan (antara aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah itu) mentaati pemerintah dalam perkara yang diredai oleh ALLAH azza wa jalla dan menjauhi perintah yang dimurkai ALLAH serta meninggalkan perbuatan memberontak kepada pemerintah apabila mereka melakukan kezaliman dan bertaubat kepada ALLAH azza wa jalla mudah-mudahan dengan itu ALLAH akan lembutkan hati mereka terhadap rakyat”. [Syarhus Sunnah oleh al-Muzanni, hal 84]

Kata Imam Abu Ja’far al-Tahawi r.h (w.792 H) dalam kitab beliau yang masyhur; al-Aqidah al-Tahawiah yang merupakan salah satu kitab yang penting dalam menjelaskan prinsip-prinsip Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah: “dan kami tidak berpandangan memberontak ke atas pemerintah kami walaupun mereka melakukan kezaliman dan kami tidak mendoakan kejahatan atas mereka dan kami tidak akan mencabut tangan dari ketaatan terhadap mereka dan kami berkeyakinan mentaati mereka adalah termasuk ketaatan kepada ALLAH azza wa jalla yang merupakan kewajipan selama mana mereka tidak menyuruh melakukan maksiat dan kami mendoakan mereka dengan kebaikan dan keafiatan”.

Berkata Imam Abul Qasim al-Asbahani r.h (w.535 H) dalam kitab beliau yang masyhur dan antara rujukan utama dalam memahami prinsip Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah; al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah: “dan di antara mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah adalah: mereka tidak membolehkan memberontak ke atas pemerintah walaupun terdapat kezaliman selama mana pemerintah itu mendirikan solat seperti mana yang telah datang akannya khabar (hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam)”. [2/466].

Demikian nukilan-nukilan daripada Ulama-ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah ini yang mereka catatkan dalam kitab-kitab yang membahaskan prinsip-prinsip Aqidah bahawa mentaati pemerintah dan larangan memberontak terhadap pemimpin muslim termasuk salah satu prinsip Aqidah di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah, dan tidak ada yang menyelisihi aqidah ini melainkan dia terkeluar daripada lingkungan Ahli Sunnah wal Jamaah, sekaligus menyanggah pandangan songsang sebahagian ilmuan Islam yang terpengaruh dengan agenda barat yang cuba menghasut umat Islam untuk meninggalkan agama mereka secara halus. Barangkali ilmuan Islam yang terpengaruh dengan idealis barat ini menuduh kita dengan gelaran literalist dan jumud kerana membawa perkataan Allah, Rasul dan para ulama dalam membantah hujah sesat mereka. Wallahua’lam.

~Penulis adalah Pengerusi Sekretariat iLMU Cawangan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Siaran akhbar Sabtu, 29 September 2012.


Sumber sini.

Wednesday, June 1, 2011

Ahli Sunnah Waljama'ah (Pengenalan)

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Akan berpecah umat ku kepada 73 kelompok kesemuanya di dalam neraka kecuali satu." Para sahabat bertanya...

"Siapakah yang satu itu wahai Rasulullah?"

Nabi menjawab, "Yang satu itu adalah orang yang berpegang (ber'aqidah) sebagai peganganku dan pegangan para sahabatku" (Hadis riwayat Thabarani).

Dalam kitab Sadah al-Muttaqin oleh Iman al Zabidi (syarah Ihya'Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazali), "Apabila disebutkan golongan Ahli Sunnah Waljama'ah, maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut rumusan fahaman al-Asy'ari dan fahaman Abu Mansur al-Maturidi."

Perpecahan umat islam setelah wafatnya Nabi S.A.W adalah satu fakta sejarah yang tidak dapat dihindarkan. Fahaman-fahaman seperti Syi'ah, Khawarij, Mu'tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mujassimah, Baha'iyyah, Ahmadiyyah, Wahhabiyyah dan lain-lain adalah di antara fahaman yang disebut dalam kitab-kitab Usuluddin, Umat Muhammad S.A.W. akan berpecah kepada firqah-firqah dan pada hari ini dapat kita rasakan gerakannya.

Tersebut dalam kitab 'Bughyah Mustarsyidin' karangan Mufti Syaikh Sayyid 'Abdulrrahman bin Muhammad bin Husin bin 'Umar yang dimasyhurkan sebagai Ba'alawi, menyatakan firqah-firqah yang sesat itu yang berpokok pada tujuh firqah. Mereka ialah;

1- SYI'AH

Berpecah kepada 22 aliran. Golongan yang memuja saidina 'Ali secara berlebih-lebihan sehingga mengkafirkan sebahagian para sahabat Nabi S.A.W.

2-KHAWARIJ

Berpecah kepada 20 aliran. Golongan yang berlebih-lebihan membenci Saidina 'Ali karamallah wajhah ada diantaranya mengkafirkan Saidina 'Ali karamallah wajhah.

3-MU'TAZILAH

Berpecah menjadi menjadi 20 aliran. Mempunyai pemahaman bahwa segala perbuatan manusia merupakan hasil karya ciptaan manusia sendiri, tidak ada intervensi takdir. Mereka juga mengatakan bahawa di syurga kelak, orang-orang mukmin tidak akan melihat Dzat Allah. Mereka juga menyatakan bahawa Allah wajib memberi pahala kepada orang-orang yang taat dan menyiksa orang-orang durhaka.

4-MURJI'AH

Berpecah menjadi 5 aliran. Golongan yang mempunyai pemahaman bahawa seseorang yang membuat maksiat tidak menjadi masalah setelah mereka beriman. Sementara orang kafir pula apapun kebaikannya tidak memberi manfaat.

5- NAJARIYYAH

Aliran ini memiliki kesamaan pendapat dengan Ahlussunnah tetapi mempunyai kefahaman serupa dengan Mu’tazilah dalam hal sifat-sifat Allah dan tidak qadîm-nya Kalam Allah. Najjariyah terbahagi menjadi 3 aliran.

6- JABARIYYAH

Aliran ini menyatakan bahawa makhluk sepenuhnya dipaksa oleh takdir dan tidak memiliki ikhtiyâr (kehendak atau kekuatan untuk berbuat). Semua yang dilakukan oleh hamba adalah perbuatan Allah semata. Makhluk tak ubahnya robot yang hanya bergerak dan berjalan dengan arahan perintah Allah.

7- MUSYABBIHAH

Golongan yang menyerupa dan menjisimkan (menjasadkan) Tuhan dengan makhluk seperti bertangan, berkaki, duduk di atas kursi dan lain-lain.

Ahli Sunnah Waljama'ah (1 aliran) + Syi'ah (22 aliran) + Khawarij (20 aliran) + Mu'tazilah (20 aliran) + Murji'ah (5 aliran) + Najariyyah (3 aliran) + Jabariyyah (1 aliran) + Musyabbihah (1 aliran) = JUMLAH (73 aliran).

Saturday, January 29, 2011

Hukama' Sohyuni 2

Protokol ketujuh: Orang-orang Yahudi wajib menaburkan fitnah supaya timbul kekacauan, pertelagahan dan permusuhan di kalangan manusia. Bila timbul penentangan terhadap bangsa Yahudi, maka wajiblah orang Yahudi menyambutnya dengan peperangan secara total di seluruh dunia.

Protokol kelapan: Pemerintah Yahudi akan dikelilingi oleh segolongan besar ahli-ahli ekonomi dan orang Yahudi sendiri akan dikelilingi oleh ribuan ahli-ahli korporat, jutawan dan usahawan.

Protokol kesembilan: Yahudi akan mendirikan kerajaan diktator degan menggubal dan melaksanakan undang-undang yang tegas iaitu undang-undang yang akan membunuh tanpa pengampunan. Yahudi akan merosak moral pemuda-pemuda bukan Yahudi dengan menanamkan teori-teori palsu dan ilmu-ilmu yang bathil.



Protokol kesepuluh: Yahudi akan membawa masuk racun Liberalisme ke dalam negara-negara bukan yahudi untuk menggugat kestabilan politik. Pilihanraya diatur supaya boleh beri kemenangan kepada pemimpin-pemimpin yang dapat bertugas sebagai agen-agen Yahudi dalam melaksanakan "grand plan" Yahudi.

Protokol kesebelas: Bangsa Yahudi menyifatkan diri mereka sebagai serigala dan bangsa lain sebagai kambing. Bagi mereka, Yahudi merupakan bangsa yang terpilih dan mereka bertebaran di atas muka bumi ini sebagai satu rahmat. Berada di perantauan atau negara asing yang nampak sebagai kelemahan, sebenarnya mencerminkan kekuatan yang dapat membawa bangsa itu ke pintu kekuatan di seluruh dunia.

Protokol keduabelas: Yahudi akan mengubah pengertian tentang kebebasan atau kemerdekaan dengan mentafsirkan istilah itu sebagai mengamalkan apa-apa yang diperkenalkan atau dibenarkan oleh undang-undang sahaja. Kalau bangsa bukan Yahudi diberi permit menerbitkan 10 akhbar atau majalah, maka bangsa Yahudi mesti menerbitkan 30 akhbar atau majalah. Perkara ini amat penting kerana ia adalah alat untuk mengubah fikrah rakyat.

Bersambung...

Hukama' Sohyuni 1


Protokol pertama: Cara memerintah yang sebaik-baiknya ialah dengan menggunakan kekerasan dan keganasan dan bukannya perbincangan ilmiah. Hak itu terletak kepada kekuatan. Siapa kuat dialah yang berhak kerana dalam hukum alam, kebenaran terletak kepada kekuatan. Sesungguhnya politik tidak sesuai dengan akhlak. Pemerintah yang berpandukan moral bukanlah ahli politik yang bijak. Mereka yang ingin memerintah mesti menggunakan tipu helah dan matlamat menghalalkan cara. Minuman keras harus digunakan untuk mencapai tujuan itu.

Protokol kedua: Bantuan-bantuan yang diberikan oleh bangsa Yahudi melalui agen-agen Yahudi akan memperkuatkan kedudukan Yahudi. Yahudi akan memerintah bangsa lain seperti bangsa itu sendiri memerintah tanpa disedari bahawa mereka telah berada di bawah genggaman Yahudi. Ketua pentadbir yang dilantik untuk mengatur pentadbiran negara terdiri daripada orang-orang berjiwa budak, yang mudah diarah untuk kepentingan Yahudi. Melalui akhbar, Yahudi menggerakkan fikiran orang ramai serta mengambil kesempatan mendapatkan emas, meskipun dari lautan darah dan airmata. Pengorbanan adalah perlu kerana setiap nyawa di kalangan Yahudi berharga seribu orang bukan Yahudi.

Protokol ketiga: Yahudi menjadikan negara bukan Yahudi sebagai gelanggang pertelagahan manusia yang boleh membawa huru-hara seterusnya menyebabkan kemerosotan ekonomi. Yahudi akan berlagak seperti penyelamat dengan membawa masuk ke "pasukan kita" iaitu Sosialis, Komunis, Fasis, Athise, dan lain-lain yang dapat memberi ruang kepada Yahudi untuk menguasai bangsa bukan Yahudi. Dalam alam fikiran Yahudi, wajib ditanam perasan bahawa semua haiwan bukan bangsa Yahudi tidur nenyak apabila kenyang dengan darah. Ketika itulah senang bagi Yahudi memperhambakan mereka.

Protokol keempat: Bangsa Yahudi menghapuskan segala bentuk kepercayaan agama serta mengikis prinsip ketuhanan dari hati orang bukan Yahudi dan menggantikannya dengan perkiraan ilmu hisab serta lain-lain keperluan kebendaan "materialistik". Fikiran orang bukan yahudi mesti dialih kepada soal perdagangan dan perusahan supaya mereka tidak ada masa memikirkan soal musuh-musuh mereka, akhirnya seluruh kepentingan akan jatuh ke tangan Yahudi.

Protokol kelima: Sekiranya di kalangan orang-orang bukan Yahudi cuba mengatasi bangsa Yahudi dari segi sains, politik dan ekonomi, maka bangsa Yahudi mestilah menyekat mereka dengan cara menimbulkan pelbagai bentuk perselisihan sehingga wujud konflik sesama mereka. Kesannya, mereka mengambil keputusan untuk tidak mencampuri permasalahan tersebut kerana ianya hanya difahami oleh orang-orang yang memimpin rakyat sahaja.

Protokol keenam: Untuk memusnahkan perusahaan bangsa bukan Yahudi ialah dengan cara merosakkan sumber pengeluaran dan memupuk tabiat membuat kejahatan dan meminum minuman keras/arak di kalangan para pekerja, serta mengambil langkah menghapuskan orang-orang terpelajar dari kalangan bangsa bukan Yahudi. Semua bangsa bukan Yahudi mesti dipastikan menundukkan martabat kaum buruh yang melarat.

Bersambung...

Wednesday, January 12, 2011

Malaysia Sebuah Negara Islam

Pembentukan negara Islam adalah suatu tuntutan dalam Islam. Ia termasuk dalam perkara Fardu Kifayah. Kepentingan tentang pembentukan negara Islam ada kaitannya dengan perlaksanaan syariah, kerana syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa ada perlaksanaan syari‘ah adalah wajib ke atas Muslim, maka mewujudkan negara Islam adalah suatu yang wajib.

Dalam kertas kerja ini perbincangan akan ditumpukan kepada perkara berikut; pengenalan negara Islam, sumber autoriti pembentukannya, syarat-syarat Ketua Negara Islam, pemilihan Ketua Negara, kerakyatan negara dan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan Islam.

PENGENALAN NEGARA ISLAM

Istilah Negara Islam "al-dawlah Islamiah" atau "al-Hukumah al-Islamiyyah" tidak didapati penggunaannya dalam Quran. Istilah ini merupakan satu istilah baru yang mula diperkenalkan oleh Muhammad Rashid Rida dalam bukunya, "Caliphate and the Great Immate". Sungguhpun begitu dalam Qura’an terdapat istilah-istilah lain yang boleh menjadi asas kepada persoalan ini seperti istilah khalifah, khulafa’ atau khala'if dan juga istilah imam, yang secara umumnya memberi pengertian sebagai pengganti Allah atau khalifah Allah di bumi atau kepimpinan kerohanian yang terbatas maksudnya untuk perkataan imam.

Selain daripada istilah-istilah di atas terdapat istilah-istilah lain seperti ulu al-amr, yang bermaksud merujuk kepada pemerintah atau penguasa, perkataan hukum atau hukkam yang bermaksud merujuk kepada penghukum adil. Antara istilah yang dipakai dalam Qur'an yang ada kaitan dengan masalah ini ialah istilah umat yang bermaksud kumpulan manusia yang bersatu berdasarkan agama dan undang-undang, istilah kaum yang bermaksud merujuk kepada kumpulan manusia yang tunduk kepada pemimpin. Demkian juga istilah syura yang bermaksud merujuk kepada perbincangan dan permesyuaratan untuk menyelesaikan masalah dan jamaah yang merujuk maksudnya kepada satu kumpulan yang tunduk kepada pemimpin. Kedua-dua istilah disebut dalam Hadith Rasulullah s.a.w. Istilah-istilah yang digunakan dalam dua sumber ini terkandung di dalamnya maksud kuasa, undang-undang atau perlaksanaannya. Dengan kata-kata lain istilah-istilah ini dapat dirumuskan kepada empat perkara besar iaitu autoriti mutlak ialah Allah, manusia sebagai khalifahNya, autoriti diberikan kepada Rasulullah dan khalifah Rasulullah atau umat, hukum syari'at atau perlaksanaannya.

Para ulama dalam membincangkan teori politik Islam selalunya diletakkan di bawah tajuk al- siyasah wa al- immah, al-ahkam al-sultaniyyah, al-siyasah alshariyyah. Nizam al-hukm fi al-Islam atau nizam al-siyasah fi al-Islam.

Dalam tulisan ulama tradisional tidak didapati takrif negara Islam diberikan. Apa yang mereka berikan ialah ciri-cirinya seperti perbincangan mereka tentang ketua negara, syarat-syaratnya, cara pemilihannya, tugasnya dan perkara-perkara lain yang ada kaitan dengan pentadbiran negara. Tetapi di masa kebelakangan ini terdapat cendekiawan Islam yang cuba memberi definisi tentang negara Islam. Maududi ada mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah S.W.T. yang menentukan syariatnya dan syariat itu dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ia sebuah negara yang bercorak theo–democracy yang tergabung di dalamnya autoriti mutlak pada Allah dan penyerahan autoriti yang terbatas kepada manusia dalam perlaksanaan urusan negara yang diakui oleh syara'.

Ayatullah Khomeini pula mentakrifkan bahawa negara Islam tidak ada sebarang persamaan dengan mana-mana sistem kerajaan yang ada. Negara Islam bukanlah autokratik dan tidak menjadikan ketuanya berkuasa penuh sehingga membolehkannya berbuat sesuka hati terhadap nyawa dan harta benda orang.

Sesebuah negara Islam bebas daripada dispotisme. Ia adalah negara berpelembagaan yang ditafsirkan oleh Parlimen atau badan-badan perwakilan awam. Negara Islam ialah negara berpelembagaan yang ditafsirkan oleh Parlimen atau badan-badan perwakilan awam. Negara Islam ialah negara berpelembagaan dalam ertikata bahawa sesiapa bertanggungjawab mengendalikannya terikat kepada undang-undang dan sysrat-syarat yang ditetapkan oleh al-Qur'an dan al-sunnah.

Abu Zahrah dalam membincangkan konsep negara Islam dan bukan Islam membawa beberapa pandangan ulama yang terkenal antaranya pandangan Abu Hanifah yang berpendapat bahawa negara bukan Islam ialah ada tiga syarat iaitu:

1. Hukum bukan Islam dilaksanakan di negeri tersebut seperti amalan riba, arak, judi dan babi.

2. Negeri itu tidak ada perhubungan langsung dengan orang Islam. Malah disegi geografinya terhalang daripada negara Islam. Kalau kawasan bukan Islam itu ada hubungan dan dikelilingi oleh kawasan Islam ia bukannya Dar-al-harb.

3. Tidak ada di sana seorang Islam pun atau dhimmi yang boleh hidup dalam keamanan sebagaimana keamanan Muslim awal dengan pengikut-pengikutnya.

Berdasarkan ini bagi Abu Hanifah berpendapat negara Islam ialah negara yang melaksanakan hukum Islam atau orang Islam atau dhimmi berada dibawah pemerintahan Islam atau pemerintah Islam. Abu Yusuf, Muhammad dan setengah fuqaha' lain berpendapat bahawa penentuan negara sama ada negara Islam atau tidak ialah terletak kepada perlaksanaan hukum Islam, jika hukum Islam dilaksanakan maka ia negara Islam dan jika tidak ia bukan negara Islam. Alasan mereka ialah hakikat pembentukan negara ialah daripada asas Islam dan kufur; dinamakan negara Islam jika hukum dan sistem Islam berkuatkuasa dan dinamakan negara bukan Islam jika hukum dan sistem bukan Islam dilaksanakan.

Berdasarkan huraian di atas Abu Zahrah membuat kesimpulan bahawa pentafsiran fuqaha' tentang negara Islam dan bukan Islam terdapat dua pandangan iaitu:

1. Pandangan pertama negara Islam diasaskan kepada perjalanan dan perlaksanaan hukum Islam dan sistemnya, kalau tidak ianya bukan negara Islam.

2. Pandangan kedua ialah diasaskan kepada keadaan keamanan Muslim dan kawasannya. Kalau orang Muslim mendapat keamanan sebagaimana keamanan negara Islam awal, maka ia adalah negara Islam.

Berdasarkan pendapat kedua dalam menentukan negara Islam adalah berasaskan unsur majoriti bilangan Muslim, jika unsur ini ada maka negara itu ialah negara Islam, sekalipun undang-undang dan sistem Islam tidak terlaksana.

Abu Zahrah lebih cenderung kepada pendapat Abu Hanifah dan ulama yang sependapat dengannya. Beliau menganggap semua negara yang penduduk Muslim lebih banyak adalah negara Islam sekalipun undang-undang Islam tidak dilaksanakan, tetapi beliau mengharapkan bahawa hukum Quran dan Sunnah supaya lahir diseluruh negara Islam supaya negara Islam itu sempurna mengikut pendapat ijmak bukan mengikut pendapat seorang fakih sahaja sekalipun ia seorang yang hebat.

Berdasarkan pandangan Abu Hanifah beliau mengakui bahawa negara Islam merangkumi kawasan daripada Maghribi sebelah barat sehingga Turkistan dan Pakistan di timur.

SUMBER AUTORITI PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM

Quran tidak menyebut secara langsung tentang pembentukan negara Islam. Sungguhpun begitu ulama cuba memahami ayat-ayat yang ada akitan dengan persoalan ini seperti kekuasaan Allah, undang-undang, nubuwwah, ketaatan, khalifah, umat dan sebagainya dijadikan asas teori kepada pembentukan negara Islam.

Kebanyakan ulama' dalam membincangkan teori pembentukan negara Islam ini sumbernya diambil daripada Hadith dan sirah Rasulullah s.a.w. serta sirah para khulafa' Rashidun. Keperluan kepada Ketua Negara Islam adalah suatu yang tidak dapat dinafikan dan Mawardi ada menjelaskan ini katanya, "Ketua Negara (Imamah) digelar sebagai Khalifah Rasulullah dalam urusan agama dan urusan dunia, pemilihan orang yang akan menjalankan tugas ini adalaah wajib mengikut ijmak kecuali pendapat Asam". Ibn Hazm berkata bahawa sepakat di kalangan semua ulama ahl- Sunnah, Murjiah, Syiah dan Khawarij tentang wajib diadakan pemimpin negara. Umat wajib mematuhi imam yang adil yang berupaya menegakkan hukum-hukum Allah dan memerintah berdasarkan hukum-hukum syara' yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Qur'an dan Sunnah menegaskan tentang wajib kepada pemilihan ketua negara, antaranya firman Allah s.w.t. bermaksud: "Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul serta pemimpin-pemimpin urusan kamu", demikian juga hadith-hadith sahih banyak yang memerintah supaya taat kepada ketua negara.

Berdasarkan kepada nas-nas dan huraian-huraian yang diberikan oleh ulama menunjukkan bahawa keperluan kepada ketua negara dan pemilihannya adalah merupakan satu tuntutan hukum yang mesti dilaksanakan oleh umat.

SYARAT KELAYAKAN KETUA NEGARA ISLAM

Ketua Negara Islam dipanggil dengan berbagai gelaran seperti Khalifah Amir al-Mu'minin dan Imam.

Para ulama ada menentukan beberapa syarat untuk melayakkan seseorang memegang jawatan ketua negara. Syarat-syarat itu ada yang disepakati oleh mereka dan ada pula syarat yang mereka tidak sepakati pendapat. Syarat-syarat itu ialah:

1. Keupayaan jasmani; seseorang itu mestilah sempurna pancaindera dan selamat anggota badannya, tidak ada sebarang kecacatan yang boleh menghalang tugasnya sebagai ketua negara iaitu kecacatan seperti gila, buta, pekak, tuli, hilang dua tangan, dua kaki atau dua biji kemaluan.

2. Kelayakan undang-undang sempurna iaitu ia seseorang memenuhi syarat-syarat berikut:

a. Seseorang Islam; kerana tugas utama ketua negara ialah untuk melaksanakan syariat. Tugas ini hanya dapar dilakukan oleh ketua negara Muslim.

b. Merdeka; iaitu dia bukannya hamba, kerana hamba tidak mempunyai kelayakan undang-undang.

c. Seorang lelaki; Ijmak ulama berpendapat bahawa jawatan khalifah hanya sah dipegang oleh lelaki, kerana jawatan ini disegi beban tugasnya tidak sesuai dengan keadaan kaum wanita.

d. Cukup umur; iaitu dia seorang Mukallaf yang terikat dengan kewajipan hukum syara' (taklif), bukannya kanak-kanak yang tidak terikat dengan kewajipan hukum syara'.

3. Kelayakan ilmiah; iaitu kelayakan dalam bidang ilmu yang sampai ketahap mampu berijtihad.

Mengikut kenyataan Ibn Khaldun bahawa khalifah ialah orang yang melaksanakan hukum Allah. Dia dapat melaksanakannya bila dia mengetahui dan tidak mungkin dapat dilaksanakannya bagi orang yang tidak mengetahui. Untuk itu dia hendaklah seorang yang mujtahid bukannya seorang muqallid. Kerana sifat taqlid adalah suatu kecacatan, sedangkan jawatan ketua negara memerlukan kesempurnaan dalam semua hal.

4. Adil; iaitu seorang yang tinggi budi pekerti dan akhlak nya yang merangkumi ciri taqwa dan wara'. Mawardi berpendapat bahawa adil disini ialah dia seorang yang bercakap benar, amanah pada zahirnya, bersih diri daripada perkara haram dan dari[ada perkara dosa, juga bersih daripada perkara yang meragukan, sentiasa tenang dan keadaan biasa dan dalam keadaan marah, kualiti maruahnya dihayati dalam urusan agama dan dunia.

5. Menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran. Ibn Khaldun dalam memberi penjelasan dalam syarat ini berpendapat bahawa ketu negara (Imam) hendaklah menegakkan hukum Allah (hudud), mahir dalam peperangan , dapat memimpin di medan perang, mengetahui tentang kekuatan dan kelemahannya, tegas dalam membuat keputusan politik. Maka dengan ini semua dapat dia menjaga agama, berjihad menentang musuh, menegakkan syariat dan mentadbir untuk maslahat umat.

Mawardi pula menjelaskan syarat ini dengan kenyataan bahawaa ketua negara (Imam) hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatannya, berani, berupaya mempertahankan negara dan berjihad menentang musuh.

6. Keturunan Quraisy; Syarat ini diterima secara ijma' oleh jumhur ulama. Seseorang yang dipilih untuk menjadi ketua negara mestilah dari keturunan Quraisy, kerana syarat ini telah disetujui secara ijma' oleh sahabat dalam pemilihan Abu Bakar sebagai Khalifah di Saqifah.

Enam syarat yang disebutkan di atas adalah syarat yang disepakati oleh jumhur ulama, tetapi memandangkan kepada perkembangan yang berlaku dalam sejarah politik umat Islam dirasakan oleh sebahagian ulama ada syarat-syarat yang tidak boleh diterima sepenuhnya kerana keadaan dan suasana masyarakat Islam telah berubah. Antara syarat itu ialah syarat keturunan Quraisy. Syarat ini telah ditolak oleh golongan Khawarij. Ibn Khaldun dalam memberikan pandangan tentang syarat ini berkata bahawa syarat ini dapat diterima selama kekuatan ada pada golongan Quraisy yang berupaya mengikat dan menyatukan umat ('Asabiyyah wa al-Ghalab). Kita mengetahui bahawa perkara ini Allah tidak menetapkan kepada generasi tertentu dan umat tertentu. Oleh itu orang yang disyaratkan untuk memimpin dan mentadbir urusan umat ialah orang yang mempunyai kekuatan dan keupayaan menguasai orang lain pada zamannya dan mereka itu tunduk kepadanya dan bersatu dengan pengawalan dan penjagaannya.

Selain daripada syarat keturunan Quraisy, syarat kelayakan ilmu sampai ke tahap ijtihad juga diperbahaskan. Syarat ini dirasakan tidak mudah untuk dicapai. Justeru itu terdapat di kalangan ulama yang berpendapat seorang ketua negara tidak semestinya mampu berijtihad tetapi hendaklah dibantu oleh seorang yang mempunyai kelayakan ilmu smapai ke tahap ijtihad untuk menyelesaikan keperluan dan perlaksanaan hukum Allah.

PEMILIHAN KETUA NEGARA

Golongan Ahl al-Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihanraya. Pada pendapat mereka pemilihan Khalifah merupakan ikatan kontrak di antara Khalifah dan umat. Justeru itu istilah yang dipakai dalam kontrak ini "Bai'ah". Berdasarkan ini kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada umat, umat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara umat dengan ketua negara adalah ikatan "Kontrak Sosial".

Abdul Wahab Khallaf ada menjelaskan tentang kedudukan Khalifah dalam Islam, bahawa ketua negara dalam pemerintahan Islam adalah kedudukannya sama dengan pemerintahan negara-negara yang berpelembagaan kerana Khalifah mendapat kuasa kedaulatannya daripada umat yang diwakilkan kepada "Ahl al-Hal wa al-Aqd". Kedauatan itu kekal bergantung kepada kepercayaan mereka dan keupayaan dalam pemerintahan untuk menjaga kemaslahatan umat. Justeru itu ulama menetapkan bahawa umat boleh melucutkan Khalifah daripada jawatannya dengan sebab-sebab tertentu, kalau pemecatan itu boleh membawa fitnah kepada umat, maka ketika itu hendaklah dilihat mana yang lebih ringan mudaratnya.

Dalam pemilihan khalifah, terlibat di dalamnya tiga golongan manusia:
1. Calon Khalifah yang mencukupi syarat.
2. Anggota pemilih yang dipanggil oleh Mawardi "Ahl al-Hal wa al-'aqd".
3. Orang awam Muslim.

SYARAT ANGGOTA PEMILIHAN DAN TUGASNYA

Anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd" perlu memenuhi beberapa syarat untukmelayakkannya memilih ketua negara supaya pemilihannya tepat. Mengikut penjelasan Mawardi mereka perlu memenuhi tiga syarat iaitu:

1. Adil; sifat adil yang dikehendaki di sini ialah sebagaimana sifat adil yang diperlukan pada Khalifah.

2. Berilmu iaitu ilmu yang membolehkannya untuk menilai calon yang layak untuk memegang jawatan ketua negara dengan mengambil kira syarat-syarat yang diperlukan.

3. Kecekapan dan kebijaksanaan dalam memilih calon yang layak dan memilih yang lebih baik, lebih berpengetahuan untuk kebaikan dan kemaslahatan umat.

Tugas mereka ialah memilih dan menentukan calon yang layak untuk jawatan itu. Apabila mereka bermesyuarat untuk memilih calon hendaklah meneliti syarat-syarat yang ada pada calon dan memilih serta memberi persetujuan terhadap calon yang lebih baik dan lebih lengkap syarat-syaratnya.

Bilangan anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd", ulama tidak sepakat. Pendapat Mawardi menjelaskan bahawa ulama tidak sepakat pendapat tentang bilangan anggota yang memilih ketua negara (Imam); ada terdapat beberapa pendapat; ada golongan yang berpendapat bahawa tidak sah calon ketua negara melainkan pemilihnya dipersetujui oleh semua anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd" dari setiap negeri supaya persetujuan itu berlaku secara menyeluruh dan penyerahan kuasa kepadanya secara ijmak. Pendapat ini bercanggah dengan apa yang berlaku dalam pemilihan Khalifah Abu Bakr. Dia telah dipilih oleh anggota yang hadir sahaja dan mereka tidak menunggu anggota yang lain lagi.

Ada pendapat yang mengatakan sekurang-kurangnya bilangan anggota yang memilih ialah lima orang yang semuanya sepakat membuat pemilihan atau seorang sahaja yang membuat pemilihan dan anggota yang lain bersetuju dengan pemilihannya. Pendapat ini bersandarkan kepada dua alasan; pertama cara pemilihan Abu Bakr yang dilakukan oleh lima orang kemudian diikuti oleh orang lain seperti Umar al-Khattab, Abu Ubaidah al-Jarrah, Asid Hudair, Bashir Sa’ad, Salim Maula, Abu Huzaifah. Kedua Umar melantik enam orang anggota syura supaya seorang daripada mereka memilih untuk jawatan Khalifah dengan persetujuan dengan lima anggota yang lain. Pendapat ini dipersetujui oleh kebanyakan fuqaha dan mutakallimin daripada ulama Basrah. Ada pendapat lain daripada ulama Kufah memadai pemilihan dilakukan oleh tiga orang anggota sahaja dengan seorang memilih dan dipersetujui dengan dua orang yang lain. Mereka dianggap sebagai seorang Hakim dan dua orang saksi, sebagaimana sah aqad nikah dengan seorang wali dan dua orang saksi.

Ada pendapat lain pula yang menyatakan bahawa sah pemilihan itu dibuat seorang anggota sahaja. Ini berdasarkan kepada Abbas yang berkata kepada Ali, "Hulurkan tangan engkau aku memberi kesetiaan kepada engkau." Orang berkata, "Bapa saudara Rasulullah memberi kesetiaan kepada anak saudaranya, maka jangan kamu mempertikaikan keduanya. Itu adalah hukum dan ia adalah sah."

Sah dengan pemilihan seorang anggota bukan bermakna calon yang dipilih telah sah menjadi ketua negara. Apa yang berlaku dalam pemilihan Abu Bakr kalau pencalonan Umar tidak dipersetujui oleh pihak lain, kelompok kaum akan bertelagah dan tidak dapat ditentukan mana satu golongan yang kuat dan mana pula yang lemah.

Justeru itu ikatan Imamah tidak akan berlaku, sedangkan syarat utama ikatan itu ialah perlu adanya kekuatan "Shaukah", kesatuan hati, kesepakatan zahir dan batin untuk itu, kerana tujuan tuntutan mewujudkan Imam ialah untuk menyatukan umat ketika berlakunya pertentangan kerana dorongan nafsu. Kuasa tidak dapat ditegakkan tanpa persetujuan majoriti yang diambil kira pada setiap zaman.

MASYARAKAT AWAM

Pemilihan ketua negara tidak terhenti setakat pemilihan anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd", tetapi ia memerlukan proses persetujuan rakyat umum terhadap calon yang telah dipilih oleh anggota "Ahl al-Hal wa al-Aqd". Persetujuan majoriti umat ini dilakukan secara terbuka sebagaimana yang berlaku pada pemilihan ini seorang calon ketua negara disahkan menjadi ketua negara Islam.

PENYERAHAN KUASA DARIPADA KHALIFAH KEPADA PENGGANTINYA

Pemilihan ketua negara Islam mengikut proses pilihanraya tidak selamanya berlaku, tetapi terdapat Khalifah menyerahkan kuasanya kepada penggantinya sebelum dia meninggal. Sebilangan besar di kalangan fuqaha' menerimanya sebagai sah. Mawardi ada menjelaskan tentang ini katanya, "Adapun menyerah kuasa Imamah kepada orang tertentu yang dipilihnya, mengikut ijmak adalah sah kerana ada dua alasan; pertama Abu Bakr menyerahkan kuasa kepada Umar dan umat Islam menerima penyerahan itu sebagai sah. Kedua, Umar menyerahkan kuasa kepada anggota ahli syura, mereka menerimanya dan mereka adalah orang yang penting ketika itu dengan berkeyakinan bahawa penyerahan itu adalah sah, sedangkan sebahagian sahabat yang lain tidak termasuk anggota ahli syura." Justeru itu penyerahan kuasa demikian dikira sebagai ijma'.

Penyerahan kuasa ada juga berlaku dalam pemerintahan Islam dalam warisan apabila negara Islam menerima system beraja dalam pemerintahannya. Pemindahan kuasa secara warisan ini juga diterima oleh ulama sebagai sah. Demikan juga jika kuasa pemerintahan itu dipegang oleh orang yang kuat dan mengisytiharkan dirinya sebagai ketua negara, mengikut Abu Ya'ala al-Fara adalah sah dan meletakkan keadaan ini sebagai satu suasana dharurah yang mengharuskan membuat perkara yang dilarang.

Imam Ghazali juga ada memberi pandangan tentang ini. Beliau berpendapat bahawa apabila syarat-syarat yang diperlukan untuk kelayakan seorang menjadi ketua tidak dapat dipenuhi dan kuasa itu dipegang oleh seorang yang mempunyai kekuatan (shaukah) dan fasik, sesiapa yang melantiknya maka pemarintahannya sah sebagaimana sahnya pemerintahan orang yang zalim (bughat).

KERAKYATAN NEGARA ISLAM

Kerakyatan negara Islam diasaskan di atas dua asas; pertama kepercayaan agama dan kedua ialah ikatan perjanjian kemasyarakatan di mana seseorang itu berada.

Kerakyatan bagi Muslim ialah kerana kepercayaan agama dan bagi bukan Muslim kerakyatannya melalui ikatan perjanjian kemasyarakatan yang dipanggil "Aqd al-Dhimmah". Dengan perjanjian ini mereka menjadi rakyat negara Islam seperti Muslim yang mendapat hak dan menanggung tanggungjawab.

Adapun golongan bukan Islam yang datang ke negara Islam untuk mendapat perlindungan maka mereka diletakkan di bawah perjanjian khas yang dipanggil "Adq al-Musta'min". Dengan perjanjian ini mereka diberi perlindungan dan mereka hidup mengikut ajaran agamanya.

Golongan bukan Islam yang mendapat taraf kerakyatan diberi kebebasan bersuara dan memberi pendapat, bebas beragama, boleh melakukan ibadat di rumah mereka dan menghayati syiar agamanya. Mereka boleh mengikut ajaran agamanya dalam bidang muamalat dan acara selama mereka tidak membawa masalah pertikaiannya kepada pihak Islam. Pemerintahan Islam berkewajipan melindungi mereka di segi nyawa dan harta daripada pencerobohan. Kalau mereka diceroboh, hukuman qisas dikenakan ke atas penjenayah, dibayar ganti rugi kepadanya jika berlaku pembunuhan. Jika jenayah melibatkan harta dibayar ganti rugi atau dipulangkan jika masih ada.

Pemerintahan Islam juga berkewajipan melindungi mereka daripada serangan luar. Mereka berhak mendapat tempat tinggal, hak bermaustatin, hak berpindah dalam negara Islam selain daripada Mekkah dan Semenanjung Tanah Arab secara amnya. Perempuan mereka dibenarkan berkahwin dengan lelaki Muslim dan sembelihan mereka harus dimakan jika mereka daripada golongan Ahl al-Kitab. Mereka boleh mewarisi harta di antara mereka dan saksi mereka diterima dalam keadaam darurah dan mereka dikenakan hukuman jenayah Islam. Mereka diminta supaya menjaga kedudukan masyarakat Islam supaya tidak terganggu, menjaga keamanan dalam negeri dan daripada gangguan pihak luar.

Mereka tidak dibenarkan memperdaya Muslim supaya menganut agama mereka atau menghalang kafir dhimmi daripada menganut Islam. Mereka ditegah daripada mendedahkan perbuatan mungkar dalam semua bentuknya, atau membina rumah ibadat lain daripada tempat yang dipersetujuinya.

Golongan kafir dhimmi ini merangkumi penganut Yahudi, Kristian dan Majusi. Demikian juga kaum musyrik selain daripada musyrik Arab. Ibn al-Qaiyyum dalam mengulas pandanagn mereka yang berpendapat bahawa orang musyrik termasuk dalam golongan kafirdhimmi katanya, Hukum tentang Ahl al-Kitab diambil daripada al-Qur'an dan hokum tentang semua golongan kafir diambil daripada Sunnah. Rasulullah mengambil Jizyah daripada orang Majusi yang menyembah api, dari sudut ini (kepercayaan) mereka tidak ada beza dengan golongan musyrik yang lain.

PRINSIP-PRINSIP NEGARA ISLAM

Negara islam ditegakkan di atas empat prinsip yang penting

1. Prinsip Syura
2. Prinsip Keadilan
3. Kebebasan
4. Persamaan

1. Prinsip Syura

Asas kepada prinsip syura ini ialah firman Allah s.w.t. Maksudnya: "Bermesyuaratlah dengan mereka dalam satu-satu urusan" dan firmanNya yang bermaksud, "Dan urusan mereka hendaklah bermesyuarat di antara mereka."

Ayat-ayat ini memerintahkan supaya bermesyuarat dalam perkara yang melibatkan urusan orang-orang Muslim. Dalam amalan Rasulullah s.a.w. prinsip ini adalah dijalankan, baginda bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya dalam urusan-urusan kepentingan umat dan negara seperti dalam peristiwa peperangan Badar dan Uhud. Demikian juga amalan para sahabat-sahabat, banginda Abu Bakar bermesyuarat untuk mengambil tindakan ke atas orang-orang murtad. Saidina Umar bermesyuarat untuk menyelesaikan tanah rampasan perang.

Mereka juga bermesyuarat untuk mengambil tindakan mengumpul dan menyalin menyusun al-Qur'an. Jadi, amalan prinsip syura ini adalah lumrah dalam pimpinan Islam dalam segenap peringkatnya.

2. Prinsip Keadilan (Justice)

Keadilan yang dimaksudkan di sini,ialah keadilan mutlak yang digariskan oleh Islam yang mengatasi segala kepentingan peribadi, keluarga, kelompok dan sebagainya, sekalipun terhadap musuh dan terhadap golongan non-muslim. Allah berfirman maksudnya, "Apabila kamu memberi saksi hendaklah dengan adil sekalipun hal itu mengenai keluarga. Janji Tuhan hendaklah kamu patuhi. Itulah yang dipertingkatkan kepada kamu,mudah-mudahan kamu ingat." Rasullah s.a.w. bersabda maksudnya, "Siapa yang menyakiti Dhimmi akulah musuhnya." Maka prinsip keadilan ini menjadi asas dalam amalan pemerintahan Islam yang melibatkan seluruh golongan dalam masyarakat.

3. Kebebasan

Prinsip kebebasan juga menjadi asas amalan dalam pemerintahan Islam. Kebebasan itu diberikan kepada rakyat yang tunduk dibawah pemerintahan Islam sama ada dari golongan Muslim atau bukan Muslim. Oleh sebab manusia diberi hak kebebasan memilih maka hal ini perlu diberikan kepada semua individu. Islam memberi kebebasan beragama, kebebasan dalam memiliki harta, kebebasan bergerak dan berpindah. Kebebasan bercakap dan memberi pendapat hendaklah dalam ruang yang tidak mencabuli kepentingan undang-undang syara' dan ketenteraman kehidupan masyarakat yang menjadi asas kepada undang-undang negara. Jika pendapat itu tidak lagi diberi peluang, maka ia akan menjejaskan autoriti dan masyarakat Islam. Kebebasan itu adalah dengan falsafah negara, sistem politik dan perundangannya. Lantaran itu mereka yang murtad dalam negara Islam dianggap sebagai pengkhianat (treason).

4. Persamaan

Prinsip persamaan ini ialah setiap kaum adalah sama sebagai rakyat di antara satu sama lain dalam hak, kebebasan dan tanggungjawab di hadapan undang-undang Islam. Dalam melaksanakan prinsip ini secara umumnya berlaku dalam kehidupan rakyat negara Islam tetapi dalam beberapa hal ada perbezaaannya di antara rakyat yang mendokong negara dan rakyat yang tidak mendokong ideologi negara tetapi patuh kepada pimpinan negara. Prinsip equality ini diterima oleh Islam dalam konteks penyelarasan dalam perhubungan manusia secara umum.

Allah berfirman maksudnya, "Hai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu dari golongan lelaki dan perempuan.Kami jadikan kamu dari berbagai bangsa dan suku kaum, supaya kamu dapat berkenalan, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Tuhan ialah bertaqwa." Manusia tidak ada bezanya di antara satu dengan yang lain dalam penilaian Allah di segi keturunan, warna kulit, bahasa dan kebudayaan, tapi perbezaan itu terletak kepada ketaqwaannya.

Rasullah s.a.w. bersabda maksudnya, "Kamu semua dari Adam dan Adam dari tanah,tidak ada perbezaan di antara orang Arab dengan orang bukan Arab kecuali dengan taqwa."

Berdasarkan prinsip inilah Rasulullah s.a.w. menegaskan dalm perlaksanaan undang-undang dalqm sabdanya yang bermaksudnya, "Demi Allah sekiranya Fatimah mencuri aku potong tangannya."

Dan nabi pernah melaksanakan hukum rejam kerana kesalahan berzina ke atas Muslim dan non-Muslim.

MALAYSIA SEBUAH NEGARA ISLAM

Berdasarkan kepada pandangan Muhamad Abu Zahrah yang meletakkan ciri Islam berasaskan kepada majoriti penduduk Muslim dan keamanan, maka Malaysia juga merupakan sebuah negara Islam bukan sahaja dilihat di segi pendudukan majoriti Muslim dan keamanan, tetapi juga dilihat daripada pengalaman sejarah, kedudukan undang-undangnya serta pemimpin negara Muslim.

PENGHAYATAN ISLAM DI ZAMAN KESULITAN MELAYU

Dari sudut sejarahnya selepas kedatangan Islam dan pembentukan Kerajaan Melaka yang bercorak keislaman, kita dapati proses Islamisasi di bidang undang-undang, sosio-budaya dan pilitik berterusan berlaku. Dalam bidang undang-undang dimulai dengan undang-undang Kanun Melaka & Kanun Laut Melaka, diikuti pula dengan Kanun Pahang dan seterusnya Kanun Kota Setar dan lain-lain. Demikian juga dengan perlembagaan Terengganu & Perlembagaan Negeri Johor. Perubahan dalam bidang sosio-budaya juga berlaku di mana orang Melayu telah menghayati nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan yang terangkum dalam adab-adab kehidupan mereka seperti adab berpakaian, adab berbahasa, adab berjiran dan sebagainya. Dalam bidang politik, pemerintah dianggap sebagai pemerintah di mana kekuasaan politik itu merupakan satu amanah Allah dan para pemimpin diminta bertindak mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam.

PENGHAYATAN ISLAM BERTERUSAN BERLAKU DI ZAMAN PENJAJAHAN

Proses Islamisasi Undang-undang & Sosio-Budaya dan Politik tergugat dengan kedatangan penjajah British, tetapi tidak banyak terjejas di zaman Portugis dan Belanda. Di zaman penjajahan British peranan Undang-Undang Islam diperkecilkan bidang perlaksanaannya & golongan yang terlibat dengan Undang-undang Islam, iaitu hanya untuk orang-orang Islam dan bidangnya hanya bidang undang-undang diri dan kekeluargaan. Sesungguhnya begitu, kita dapati dalam bidang-bidang yang lain, seperti pendidikan agama, kehidupan keagamaan dan kehidupan individu dan keluarga serta masyarakat masih diberi ruang untuk dihayati dan tidak diganggu gugat. Justeru itulah kita dapati perkembangan Islam dan penghayatannya masih dapat dipertahankan di negara ini.

PENGHAYATAN ISLAM DI ZAMAN KEMERDEKAAN

Kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah usaha daripada UMNO, yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. UMNO cuba menunjukkan kekuatannya kepada pihak berkuasa British dengan menggabungkan parti Cina (MCA) dan parti India (MIC) dalam gagasan "Perikatan" dengan mengekalkan identiti parti masing-masing dalam perkara-perkara tertentu.

Berasaskan perikatan ini didapati penyarikatan kuasa politik berlaku antara etnik Melayu, Cina dan India, tetapi walau bagaimanapun UMNO masih merupakan kuasa politik dominan dalam pemerintahan. Sejak daripada tahun 1957 sehingga kini, kedominan parti UMNO dapat dipertahankan dalam menguasai pemerintahan negara. Sungguhpun UMNO dilabelkan sebuah parti sekular, pendukung-pendukungnya adalah dari golongan Melayu Muslim yang masih sensitif kepada Islam. Dengan adanya sensitiviti ini, didapati kedudukan Islam dan orang Melayu ada keistimewaan-keistimewaan tertentu dan begitu juga intitusi-intitusi Islam di peringkat negeri dan pusat masih diberi kedudukannya yang tersendiri.

Sejak daripada tercapainya kemerdekaan, perhatian kepada pembangunan masyarakat Islam terus berlaku dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial. Cuma yang agak tersekat dalam proses Islamisasi ialah bidang undang-undang yang disegi kenyataannya untuk dibuat perubahan secara menyeluruh terhalang disebabkan beberapa peruntukan yang ditinggalkan oleh penjajah dalam perlembagaan, Undang-undang Federal dan Pusat.

Undang-undang yang agak ketara percanggahannya adalah di bidang jenayah hudud, adapun di bidang jenayah membunuh & mencederakan, sebahagian daripada prinsip dan hukumnya tidak banyak beza dengan Islam, demikian juga dalam hukum takzir kesalahan-kesalahan maksiat. Selain daripada itu dalam muamalat hanya unsur riba yang ketara bercanggah dengan Islam, tetapi dalam bahagian yang lain tidak banyak percanggahannya. Dalam bidang kekeluargaan, didapati sepenuhnya undang-undang Islam dilaksanakan, kecuali negeri yang masih berpegang, kepada adat perpatih.

Dalam proses meneruskan Islamisasi di bidang undang-undang didapati peruntukan-peruntukan khas diwujudkan untuk kepentingan Islam dan masyarakat Islam seperti Akta Bank Islam, Akta Takaful, Falsafah Pendidikan Negara, Akta Universiti Antarabangsa, Akta Kooperasi dan sebagainya. Melihat kepada perkembangan ini ternyata proses Islamisasi berterusan berjalan dengan adanya ruang peruntukan dalam Undang-undang Negeri & Persekutuan, Cuma yang perlu diusahakan ialah bahagian-bahagian tertentu dalam Undang-undang Federal, Perlembagaan dan undang-undang Negeri yang menghalang perlaksanaan Islam yang menyeluruh perlu dipinda.

SISTEM DEMOKRASI & PENGHAYATAN ISLAM

Selepas merdeka kita didedahkan dengan sistem demokrasi berparlimen, yang ditaja oleh penjajah British sebelum Malaysia diberi kemerdekaan. Untuk melaksanakan sistem demokrasi dalam pemerintahan, maka parti politik ditubuhkan. Dalam sistem berparti ini terdapat peruntukan untuk parti pemerintah & parti pembakang. Dilihat dari sudut Islam sistem demokrasi ini dapat diterima dari satu sudut iaitu memberi suara kepada rakyat memilih pemimpin mereka secara bebas dan terbuka, tetapi yang tidak sesuai dengan Islam ialah ia membelah umat berterusan kepada dua kelompok, kelompok pemerintah dan kelompok pembangkang yang menentang pemerintah dalam ruang terbatas. Sedangkan dalam Islam mengajak kepada kesatuan umat dan mendekatkan jurang pemisahan di antara kelompok, bukan meluaskan jurang.

Walau bagaimanapun kenyataan ini wujud di hadapan kita dan kita terpaksa menerima sistem ini dengan dibuat perhitungan bahawa sistem ini bukan suatu kebenaran mutlak dan ia adalah tajaan penjajah yang masih meneruskan polisinya "divide & rule". Dalam percaturan politik yang berlaku sekarang ini, orang Melayu masih mengusai kuasa politik negara di peringkat pusat dan negeri, golongan lain dalam ikatan barisan masih berada di bawah kawalan kerajaan kecuali beberapa buah negeri seperti Penang & Kelantan yang dikuasai pembangkang.

Kalau diambil asas masa kini iaitu kuasa politik Melayu masih ada sebagai titik tolak untuk menyatukan Kelompok Islam, dengan mengambil kira Islam sebagai asas dalam penyelesaian kuasa politik dan cuba menjauhkan titik-titik perbezaan serta mencari titik-titik persamaan yang membina, maka dirasakan ini lebih bermanfaat untuk kekuatan masa depan politik orang Islam. Kalau tidak kita berterusan menjadi alat idea penjajah "divide & rule" yang kita sendiri memecahkan kelompok kita dengan tangan kita sendiri.

Oleh itu bagi memudahkan proses penyatuan umat di masa depan, kita perlu menerima sebagai suatu kenyataan bahawa negara ini ialah sebuah negara Islam. Dengan menerima negara ini sebagai sebuah negara Islam bukan bermakna ianya telah selesai segala tuntutannya. Kesempurnaannya perlu kepada pengisian daripada kita, sama juga seorang Muslim yang diakui sebagai Muslim selepas mengucap dua kalimah syahadah bukan bermakna Muslimnya sudah sempurna, kesempurnaan Islamnya bergantung kepada proses peningkatan ilmu & penghayatan Islam pada dirinya.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada perbincangan di atas kita dapat membuat beberapa kesimpulan berikut:

1. Tidak ada kesepakatan dikalangan ulama' tentang kriteria negara Islam kerana tidak terdapat nas Qati yang menentukannya. Justeru itu ulama' berbeza pandangan dalam ijtihadnya dalam menentukan cirri-cirinya. Ada yang mencirikan bilangan majoriti Muslim sebagai penentu dan ada mencirikan perlaksanaan syari'ah sebagai penentu.

2. Dalam pengalaman sejarah politik Islam tidak terdapat penentuan cara yang tetap dalam pemilihan pemimpin negara. Ada secara pemilihan terbuka dan ada secara warisan, tetapi semua bentuk pemimpin yang ditentukan itu diterima sah oleh ulama' yang membincangkan teori politik Islam.

3. Ulama' juga tidak sepakat pendapat tentang syarat-syarat yang ditetapkan bagi ketua negara, kecuali beberapa syarat sahaja seperti keupayaan jasmani, kelayakan undang-undang, adil, kelayakan ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran.

4. Kerakyatan negara Islam sama ada Muslim atau bukan Muslim adalah sama dari segi hak dan kewajipan kecuali perkara-perkara khusus yang dikecualikan. Mereka dikira sebahagian daripada umat Islam (ummatun min al-Muslimin).

5. Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan kepada majoriti penduduk Islam, keamanan yang dinikmati, perlaksanaan undang-undang Islam sebahagian besarnya dan kepimpinan negara dikuasai oleh orang Islam yakni Melayu.

Dengan penerimaan negara ini sebagai sebuah negara Islam menimbulkan beberapa implikasi dalam kehidupan Muslim:

1. Muslim berhak menuntut pemerintah melaksanakan Islam sepenuhnya kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai pemerintah Islam.

2. Muslim dapat hidup dengan harmoni dan dapat berusaha meningkatan produktiviti untuk kepentingan Islam, kerana terdapat sikap baik sangka antara satu dengan yang lain.

3. Menimbulkan tanggungjawab yang lebih kepada Muslim untuk melaksanakan Islam di mana saja dia berada, kerana tidak dirasakan ada sesuatu yang bercanggah yang patut dielakkan dalam kehidupannya.

4. Membina sikap positif dan membuat kritikan yang membina untuk kepentingan Islam, serta berpatisipasi dalam memenuhi tuntutan Islam di mana saja ada kekurangan.

5. Setiap individu Muslim merasa berkewajipan untuk membangun negara dan umatnya dalam keupayaan masing-masing.

Demikianlah sedikit penjelasan mengenai betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kesinambungan kepimpinan Islam dalam negara ini. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kepimpinan Islam masih belum pasti. Ayuhlah bersama menjayakannya.

-Penulis ialah Dr. Abd. Halim El Muhammady dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber sini.

Sunday, January 2, 2011

Rebung MARA

Kupasan CSR Rebung ini bakal menjawab 70 soalan di Dewan Rakyat, khusus yang mensabit perihal Institut Integriti Malaysia sebagai agensi penyampai ilmu dan dakwah integratos kepada rakyat Malaysia.

Program CSR Rebung sudah bermula sejak 2006 yang berpangkalan di IIM, Jalan Duta. Rebung kerana asuhan integriti dimulakan di peringkat menengah rendah dan menengah atas, memberi fokus kepada pelajar terpilih yang menikmati keistimewaan pengajian di MRSM. MRSM dijadikan sampel latihan kerana semangat dan jiwa semulajadi MRSM yang memfokus kepada pengwujudan barisan pelajar berteras sains dan teknologi, akhirnya menjadi pemimpin teknokrat dan usahawan teknologi tinggi dalam zaman global serba sofistikated dewasa ini.

Program CSR Rebung mencerna elemen intelegensia, spiritual, emosi dan fizikal yang dibatasi oleh hambatan-hambatan peribadi peserta sendiri. CSR Rebung letusan pemikir IIM yang terdiri daripada Saudara Mohd Nizam Mohd Ali, Saudara Mohd Rezaidi Mohd Ishak dan Saudara Mohd Suhaimi Mohd Din, hari ini sudah matang mencapai usia 6 tahun. Rekod pencapaian yang baik dan berkesan dengan bantuan Master Trainer pakar yang mengguna terap resepi "pembelajaran berteras latihan kemahiran, hands on, amalan terbaik "good practises" daripada the 7 big sisters leadership training model, merupakan imbuhan dan pembolehubah kepada CSR Rebung.

CSR Rebung 2007 dipusatkan di MRSM Alor Gajah, CSR Rebung 2008 di MRSM Taiping, CSR Rebung 2009 di MRSM Pontian, MRSM Felda Trolak tuan rumah CSR Rebung 2010, manakala tahun 2011 CSR Rebung yang matang dinaik taraf kepada ICC akan berlaku di MRSM Baling. ICC ialah Integrity Champions Challenge iaitu "Cabaran Juara-Juara Integrity". Seramai 3,500 orang para pemimpin pelajar dari 45 buah MRSM seluruh Malaysia, meliputi MRSM dari Sarawak dan Sabah telah mengambil bahagian dan manfaat daripada projek perdana IIM ini.

CSR Rebung memulang kepentingan sosial kepada banyak pihak yang pernah berkorban kepadanya, antaranya PLUS Berhad, PDRM, WWF, MARA dan banyak lagi agensi. Mengikut rekod tidak kurang 20 buah agensi baik swasta, mahu pun badan berkanun telah terlibat dalam agenda memulia ilmu integriti kepada rakyat menerusi CSR Rebung anjuran IIM dengan kerjasama MARA, sejak 2006.

MARA harus melihat dan mengkaji bahawa rebung yang disemai, disiram dan dibaja oleh barisan Master Trainer IIM melalui CSR Rebung sehingga kini telah membuah putik yang baik untuk kemaslahatan warganegara. Pejabat Perdana Menteri mesti buka hati dan naluri untuk membantu proses pengkaderan ilmu integriti ini. BTN amat wajar dalam skema ini untuk melihat bagaimana IIM berperanan menjadi agen dakwah integriti menerusi CSR Rebung yang kali ini dikenali sebagai ICC.

Pada 6 Januari 2011 hingga 9 Januari 2011, Integrity Champions Challenge akan berlangsung di MRSM Baling. MRSM Baling dipilih sebagai markas taktikal IIM tahun ini, kerana beberapa faktor penarik yang baik untuk "stakeholders" iaitu peneraju fasilitator latihan bersama. Baling ialah premis bersejarah yang memberi bukti kepada kesan integriti. Alumni Anak Sains MARA atau ANSARA juga perlu terlibat dalam diskripsi pena'akulan integriti. Resepi cabaran lebih mencabar apabila Persatuan Veteran Komando VAT 69 turut diberi penghargaan untuk terlibat memberi input terma integriti kepimpinan khasnya semasa peperangan dan rintisan perjuangan.

Cukuplah sebagai imbuhan tambahan pengetahuan kepada pembaca PM.

Wednesday, November 17, 2010

عيد الأضحى

"PENGORBANAN KEMBALI KEPADA ISLAM"
10 ZULHIJJAH 1431H
17 NOVEMBER 2010M


Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang di Rahmati Allah Sekalian,

Pada pagi Hari Raya Iduladha yang penuh keberkatan lagi mulia ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Ketakwaan penuh keinsafan, penuh pengorbanan yang bertanggungjawab membawa kita mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk "PENGORBANAN KEMBALI KEPADA ISLAM".

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah,

Ibadah haji mengembalikan kenangan agong yang berlaku kira-kira 5,000 tahun yang lampau melibatkan pengorbanan nabi Ibrahim AS dan keluarganya dalam mentaati perintah Allah. Dalam mencapai pengorbanan yang agong ini nabi Ibrahim telah menghabiskan segenap usianya untuk berbakti kepada tuhan, meletakkan batu asas supaya manusia kembali kepada agama Allah. Selain menjadikan kota Mekkah sebagai pusat gerakannya, baginda kemudian berpindah dari satu daerah ke satu daerah, dari wilayah Iraq sampai ke Palestin, terus ke Mesir. Ditinggalkan isterinya Hajar bersama putranya Ismail di tanah tandus yang tidak berair itu sehingga terpancarlah air zamzam untuk memberi minum kepada mereka. Apabila baginda kembali ke Makkah, diperintahkan tuhan menyembelih puteranya Ismail, dan dilakukannya dengan penuh keikhlasan. Maka diganti oleh Allah SWT dengan haiwan iaitu kibas yang dijadikan korban sembelihan. Kemudian bersama putranya membina semula Baitullah yang menjadi kiblat kaum muslimin hingga sekarang. Pengorbanan besar nabi Ibrahim dan keluarganya kepada Allah SWT dapat dilihat dalam kalimah talbiah yang berbunyi,

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu."

Lafaz talbiah yang diucapkan oleh nabi Ibrahim AS dan keluarganya memberi pengertian yang besar dalam kehidupan umat Islam. Apa yang nyata talbiah ini adalah ikrar yang dilafazkan jemaah haji di seluruh tanah haram Mekkah semata-mata untuk bertakwa kepada Allah SWT, tanda kerinduan kepada Allah yang Maha Esa dan bersiap sedia untuk berkorban kembali kepada Islam dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kekuatan ibadah haji terletak kepada penghayatan lafaz talbiah ini yang dizahirkan melalui amalan tawaf, Sai’, wuquf, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bercukur dan ibadah yang lain. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menerangkan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji seseorang muslim menunjukkan kerinduannya yang mendalam kepada tuhan. Ditinggalkan kampung halaman, anak isteri, keluarga serta sahabat dan berangkat mengharungi lautan yang luas, meredah angkasa, mengharungi daratan yang terbentang menuju ke tanah suci dan Baitullah semata-mata untuk mengabdikan dan kembali kepada ajaran Islam seperti mana ikrar yang dilakukan oleh nabi Ibrahim, nabi Ismail dan nabi Muhammad SAW ketika berada di tanah suci Mekkah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:

Maksudnya: "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya contoh ikutan yang baik."

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah,

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima selepas mengucap kalimah syahadah, solat, berpuasa, dan menunaikan zakat. Mereka yang melaksanakan ibadah haji ini hakikatnya menjadi simbul telah sempurna keimanan dan penghayatan melaksanakan perintah Allah. Mereka melafazkan lafaz talbiah sebagai mengistiharkan dan berikrar untuk kembali dan berkorban mempertahankan ajaran Islam sepenuhnya. Sebab itulah mereka yang menunaikan ibadah haji dan mempertahankan sifat-sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang membawa kebaikan kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara dianggap sebagaimendapat haji mabrur.

Sambutan Hari Raya Korban atau Iduladha adalah merujuk kepada pengorbanan kembali kepada Islam kerana Islam adalah agama Allah. Menerima Islam untuk diamalkan dan diperjuangkan samalah seperti menjemput kedatangan rahmatan, keamanan dan keindahan. Menerima Islam sepenuhnya tidak akan merugikan, menyusahkan dan tidak menjatuhkan maruah seseorang.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, terdapat umat Islam mengalami perasaan ragu-ragu untuk menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Keadaan ini menyebabkan mereka mengamalkan Islam secara terpisah-pisah atau secara serpihan. Ada yang mengamalkan solat, puasa, haji tetapi pada masa yang sama pula bergelomang dengan maksiat. Lantaran kealpaan inilah kita lalai dalam melaksanakan tangungjawab sebagai seorang hamba Allah SWT. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu lalai dari tangungjawab yang sebenarnya antaranya ialah kerana mereka ini sukakan kehidupan dunia dan benci kepada kematian, sedangkan perlu diingat suatu hari nanti kita akan berhadapan dengan Allah dalam keadaan bersendirian. Cinta kepada dunia datang dengan pelbagai bentuk seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang ada pada kita di jalan Allah SWT. Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari Allah SWT. Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umum. Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini sebenarnya memupuk semangat berkorban sesama umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri.

Prinsip-prinsip inilah yang akan membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu muslim pada ketika ini. Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip-prinsip pengorbanan ini membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu pengorbanan antara satu sama lain adalah agenda umat yang paling dituntut. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengorbankan sedikit kepentingan diri demi mengatur langkah bagi memperkukuhkan dan memperkasakan ukhwah sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan umat Islam itu sendiri. Pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kepentingan Islam. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda dengan bertunjangkan kepada niat yang ikhlas dan ketakwaan kepada Allah SWT. Ingatlah wahai umat Islam sekalian setiap pengorbanan tanpa keiklasan dan ketakwaan kepada Allah SWT adalah sia-sia belaka. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37:

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya."

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Lafaz talbiah yang menyeru kita kembali dan berkorban untuk Islam telah menyedarkan kita, menginsafkan kita bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat Islam di negara ini. Kelemahan kita mempertahankan Islam akan menjerat bangsa kita menjadi bangsa yang tiada identiti dan jati diri. Mimbar menyeru marilah kita mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan ziarah-menziarahi dan bermaaf- maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Iduladha yang kita rayakan ini mengajar kita erti pengorbanan dan sesungguhnya pengorbanan itu adalah sesuatu yang sangat tinggi nilainya bagi seluruh umat Islam.

Kedua: Ibadat haji secara tidak langsung mendidik kita supaya bersikap dengan nilai-nilai yang positif serta dituntut di dalam Islam seperti sabar, tolong- menolong, bertolak ansur, merendah diri, bersyukur, redha, istiqamah, tawakkal dan sebagainya. Disamping itu juga, ia mendidik kita menjauhi nilai-nilai negatif seperti mementingkan diri sendiri, tidak sabar, tamak, bangga diri, hasad dengki dan seumpamanya.

Ketiga: Pengorbanan kembali kepada Islam adalah yang berasaskan kepada keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

Maksudnya: "Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak(di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya)."

Sidang Jemaah yang dikasihi sekalian,

Marilah pada hari yang penuh bahagia ini kita melafazkan rasa kesyukuran di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya disekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita. Selepas ini umat Islam akan melakukan ibadat korban bagi meninggikan syiar Islam. Binatang yang hendak dikorbankan mestilah mematuhi syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Dengan ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menerima ibadat yang dilakukan sambil lewa, tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengabaikan soal kesempurnaan ibadat yang hendak dilaksanakan. Oleh itu ketelitian dan kesungguhan dalam melakukan apa jua kerja mestilah di beri perhatian oleh semua umat Islam. Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan.

Pengagihan daging korban dapat membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturrahim di antara umat Islam itu sendiri. Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbangan dalam pelbagai bentuk tanda kasih sayang sesama kita, walaupun harga sebahagian binatang korban semakin meningkat, namun ianya tidak menjadi penghalang bagi yang mampu kerana ganjaran pahalanya yang besar. Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak yang tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan ibadat korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Vietnam, Filipina bagi menyahut seruan suci ini. Paling penting adalah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini dengan penuh
ketakwaan dan hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadat korban samada di peringkat kampung, taman perumahan mahupun di luar negara.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas baginda nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan salawat dan salam sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 56:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Sumber: Khutbah ON-LINE JAKIM

Saturday, August 21, 2010

Minda Melayu

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip. Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai "minah karan". Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka? Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga. Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru,wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat.Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65% tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan,banyak wanita yang memegang jawatan tinggi. Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik. Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata "A nation of shopkeepers". Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

-Minda Melayu dari kaca mata Prof. Diraja Ungku Aziz-

Friday, August 20, 2010

KIASU

Prof Diraja Ungku Aziz, tokoh akademik yang sering mencetuskan pelbagai idea untuk membasmi kemiskinan Bumiputera, mencabar masyarakat itu supaya menjadi lebih berani dan mengamalkan sikap "kiasu" iaitu tidak mahu mengalah, ke arah menjadi usahawan berjaya.

"Kiasu adalah perkataan Hokkien (bermaksud takut kalah) yang popular dalam kalangan rakyat Singapura. Saya berpendapat masanya sudah tiba bagi penduduk luar bandar kita turut mempunyai sifat kiasu dan menjadi agresif sedikit. Disebabkan kiasu ini, seseorang itu akan kata dia mahu menjadi yang terbaik, menjadi nombor satu. Namun tidak semua Melayu boleh menjadi hebat tetapi semuanya boleh mempunyai sifat kiasu. Saya rasa penduduk luar bandar bersifat kompleks, pemalu, terlalu baik hati untuk menyemai sifat kiasu ini. Ini adalah satu daripada perkara penting untuk menjadi seorang usahawan Bumiputera yang berjaya," katanya.

Ungku Aziz berkata usahawan Bumiputera harus mempunyai kemahiran berfikir, sesuatu yang tidak diajar di sekolah, bagi memahami perkara seperti pengurusan risiko dan perakaunan asas.

Katanya usahawan yang baik perlu mempunyai sifat sadiq, amanah dan telus.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini berkata, "Sadiq bermakna yang benar...bercakaplah apa yang benar. Kita juga mesti amanah, yang bermakna kita hendaklah menjadi orang yang boleh dipercayai...jika berjanji, tunaikan. Kalau tak mampu, jangan berjanji. Kita juga hendaklah telus. Amalan menyogok untuk menjalankan sesuatu urusan tidak baik untuk pembangunan luar bandar. Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah semua pihak yang terlibat dalam pembangunan luar bandar mestilah telus, bermakna mereka mestilah terbuka, tidak memihak kepada sesiapa dan memilih kasih."

Ungku Aziz juga meminta usahawan luar bandar mengamalkan 3S iaitu Sopan, Santun, Senyum.

"Dengan 3S ini, anda akan menjadi ahli perniagaan dan usahawan yang baik," katanya.

Beliau juga berharap untuk melihat satu "ledakan bumi" di luar bandar, seperti fenomena "ledakan bayi" yang berlaku apabila tentera pulang daripada Perang Dunia.

"Mereka (Bumiputera) mesti meledak dan berkembang dengan banyak untuk menjayakan program pembangunan luar bandar," katanya.

Ungku Aziz juga bercakap mengenai perlunya "perubahan generasi" bagi membolehkan usahawan muda mendapat peluang menikmati pekerjaan lebih baik dan mengumpul kekayaan di sektor luar bandar.

"Ini akan mengurangkan kadar pengangguran khususnya dalam kalangan lulusan universiti," katanya.

Ungku Aziz berkata produktiviti yang rendah merupakan satu masalah yang melibatkan modal insan di luar bandar.

Katanya tumpuan perlu diberi ke arah mengutamakan penduduk luar bandar dalam pelaksanaan program modal insan.

Beliau juga berharap untuk melihat kurangnya projek infrastruktur besar yang berprestij, bangunan contoh, malahan jambatan.

Ungku Aziz mengaitkan kemiskinan luar bandar antaranya kepada salah pengurusan hutan tropika dan dasar imperialis penjajah yang memusnahkan sistem sosial, menjejaskan kestabilan pertubuhan politik dan hubungan budaya masyarakat.

"Oleh itu, kita perlukan satu penyusunan semula tanah bagi melindungi petani luar bandar kerana penggunaan tanah masih tertakluk kepada undang-undang yang dibuat semasa era imperialisme," katanya.

Wednesday, June 30, 2010

Warisan Darah Perwira

Moto bertakhta di perisai Very Able Troopers 69 "Warisan Darah Perwira" ialah Wasiat Keramat kepada Bumi Melayu ini. Pada mulanya pasukan ini digelar sebagai Charlie Platoon yang mendapat latihan khas daripada British Special Air Service iaitulah Commando British. VAT 69 dilahirkan pada 23 Oktober 1969 atas gesaan Tun Dr. Ismail [almarhum] yang ketika itu menjadi "hard-core" pemikir dan pemegang kunci di Kementerian Dalam Negeri. Inilah orang kuat yang "menyinga" ilmu dakwah Islamiah dan keMelayuannya, inilah Panglima yang dipanggil Khalid Al-Walid oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra [PM-1] dan Almarhum Tun Haji Abdul Razak Hussein.

Banyak peristiwa tersurat dan tersirat berlaku sepanjang musim Darurat Kedua bermula 1969 hingga 1989 [sebelum Perjanjian Perletakan Senjata oleh Parti Komunis Malaya dengan Kerajaan Malaysia].

Apo yang hondak disungkit dalam pengkisan Warisan Darah Perwira ialah melihat darah kesediaan anak-anak Muda Malaysia khasnya rakyat Raja, Orang Asli, Pribumi Sarawak dan Sabah serta Kaum-kaum lain dalam bab Pengurusan Tamadun sebuah Negara Bangsa.

Hari ini, Program Latihan Khidmat Negara selama 3 bulan yang diperkenal pada tahun 2003 semakin suram khabar berita. Dikhabarkan tenaga pengajar dan jurulatih yang bermatian dalam proses pelaksanaan PLKN tidak menikmati ganjaran-ganjaran yang setimpal dan berbaloi.

Hari ini, Program Pemimpin Belia Berkaliber selama 4 hari 3 malam diperkenal sebagai kalender ad-hoc untuk sejumlah 5580 insan yang dikelas sebagai belia, sesuai dengan tafsiran belia dalam Seksyen 2, Akta 668. Dikhabarkan program ini sebagai projek melepas anjing tersepit dan melepas batuk di tangga. Khabarnya ganjaran kepada tenaga pengajar yang bermatian dalam proses pelaksanaan PPBB ini, tidak menikmati ganjaran yang setimpal dan profesional sifatnya.

Hari ini, Program yang dianjur oleh Agensi-agensi yang pelbagai daripada 12 lagi Kementerian, turut tidak menggambarkan penghayatan kepada titisan "Warisan Darah Perwira"...

Pak Sedaro fikir sudah tibo maso, untuk kita uji pemimpin Muda yang berada di kedudukan semasa tentang, apo makno Perlembagaan Persekutuan 1957? Apo makno Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007? Apo makno Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960? Apo makno Akta Rahsia Rasmi? Apo makno Akta Pertubuhan 1966?

Ini semua memberi makna besar kepada keSETIANEGARAAN, khasnya kelompok warganegara Muda di Malaysia...

Hari 95% Rakyat Malaysia hanya tahu berhujah di benteng dan kedai kopi. Kedai kopi di tepi jalan, ceruk kampung, tengah bandar mahu pun hotel-hotel terkemuka. Hari ini 10% Rakyat Malaysia ialah pekerja-pekerja yang mendapat GAJI daripada Kerajaan Malaysia baik di peringkat Kerajaan Negeri mahu pun Persekutuan. Hanya 2.56 juta, rakyat ialah anggota kerja yang makan nasi daripada Hasil Kerajaan Malaysia.

Masih ramai yang tidak menikmati hasil langsung daripada duit gaji Kerajaan. 10% Rakyat Malaysia hari ini, menikmati faedah kepada kemerdekaan negara dengan menjadi Ahli dan Peneroka Felda, Felcra, Risda, program-program bantuan kehidupan "survival" semasa Negara.

Baik yang namanya Nelayan, Petani, Pekebun Kecil, Peladang, Penternak, Peminta Sedekah, Asnaf-asnaf, pelajar di IPTA, pelajar yang melanjut pelajaran ke Luar Negara, semua anak-anak Malaysia yang bersekolah megikuti pengajian di Sekolah Kerajaan Malaysia, sebagainya...menikmati faedah Negara ini MERDEKA...

Namun yang menjadi persoalan PALING UTAMA... Di mana proses menyemai Warisan Darah Perwira ini, wajar bermula?...Kursus dan latihan selepas umur 17 tahun? Kursus dan latihan di peringkat 6 hingga 13 tahun? Penghapusan skema peperiksaan UPSR dan PMR boleh menyemai "pembinaan dan pembentukan Tamadun Negara Bangsa"? Atau sehingga "retak menanti belah"? Atau bila mana "yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang"?

Pembaco di kalangan Istana yang menduduki 9 buah Negeri Melayu Beraja, sedang mula diteropong kekuatan dan ketempangan tertentu. Insiden-insiden yang menjadi buah mulut rakyat BUKAN sirna juga cakna kepada HARAPAN PERJANJIAN Bumi Melayu sejak 1262 Masehi.

Pembaco di kalangan Pemimpin Politik, Pengurus dan Pentadbir Negeri, Pengurus dan Pentadbir Korporat, sedang mula dibelek oleh Rakyat yang dipanggil sebagai Pengundi. Kerajaan Najib Tun Razak, masih goyang dan tidak bersendi. Bak kato pepatih "Kok bongkar, bulus. Kok tempek, buruk ngoman. Kok togak, tak menureh. Kok duduk, tak jojak."...

Pembaco di kalangan rakyat marhaen, madani dan jembel sedang mula berfikir dan berkira-kira, apakah untung nasib boleh membina tamadun? Apakah keturunan yang ada hari ini, boleh terus menghirup oksigen MERDEKA DAN DAULAT Rakyat Raja? DAULAT DAN KARAMAH, Islam itu agama bagi Pesekutuan? DAULAT DAN TAAT SETIA bahawa Perkara 153 terus ditentukan Hak dan Kelebihannya?

Warisan Darah Perwira ialah nostalgia pelbagai peristiwa. Mereka yang melahir Rejimen Ke-10, Parti Komunis Malaya tentu banyak cerita sejarah dan penting yang hendak dikongsikan. Siapakah mereka? Inilah perspektif yang mesti Rakyat tahu untuk menghayati pengorbanan Warisan Darah Perwira....Ini bukan personafikasi sebagai aksesori MERDEKA. Ini bukan retorika dan fatamorgana survival di hujung tanjung harapan. Ini bukan kisah pelengkap kepada sejarah 1511. Ini lah penerus perjuangan Haji Mohamad Hassan yang terkulai di gigi Sungai Kelantan. Ini lah pewaris darah keturunan rakyat Raja yang MESTI warganegara ambil tahu.

Saturday, September 12, 2009

Kilat dan Petir

Kejadian kilat dan petir menuntut umat masa kini untuk berfikir mengenai fenomena yang berlaku kerana korban jiwa dan harta yang berlaku di seluruh dunia semakin banyak berlaku.

Satu kekuatan luar biasa dan menakjubkan muncul dari partikel positif dan negatif yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, menunjukkan bahawa petir dan guruh diciptakan dengan tujuan tersendiri seperti yang diterangkan dalam surah Ar Rad: Menerusi terjemahan ayat 12 hingga13, yang bermaksud:

"Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan kamu (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia yang menjadikan awan tebal yang berat dengan air."

"Dan Dialah juga guruh, petir dan malaikat bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya, dan Dialah yang juga menghantarkan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahnya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasanya) padahal Dia amat keras azab seksa-Nya."

Daripada ayat Al Quran ini (sila rujuk Tafsir Al Azhar, Prof. Hamka Juzu' 13), kita mendapati sikap Petir (guruh) dan Halilintar (kilat) yang bertasbih dan memuji-Nya walaupun hayat bagi kilat adalah tidak lama. Prof. Hamka menyatakan, walaupun kilat terhasil akibat persentuhan cas-cas elektrik di dalam awan serta pertembungan dengan ion-ion atmosfera dan bersifat tidak kekal, kilat ini masih ada keinginan untuk bertasbih. Sikap memuji ini ditetapkan sebagai sikap ubudiyyah (kehambaan) petir dan kilat kepada pencipta-Nya.

Setiap atom dan zarah halus bukannya bersifat gerakan rawak tak menentu. Sebaliknya setiap atom dan zarah yang tak terhitung banyaknya ini juga dibawa dan digerakkan oleh Malaikat atas perintah Allah SWT. Malaikat yang banyak ini dicipta untuk memandu serta menembungkan cas-cas udara sehingga terhasilnya petir yang dahsyat. Tetapi lebih menghairankan, para Malaikat sendiri bertindak memuji Allah atas kejadian petir hasilan Malaikat itu. Ini menerangkan kepada kita bahawa petir bukan suatu fenomena yang tiada keterikatan dengan Aqidah dan keTuhanan, sebaliknya penjelasan terperinci ini memandu kita dalam membuat perbahasan cuaca dan fenomena alam.

Allah SWT secara jelas menarik perhatian umat Islam mengenai petir di dalam al-Quran. Kita wajib berfikir dan bersyukur bahawa guruh yang mungkin belum pernah difikirkan oleh kebanyakan orang, dapat menimbulkan perasaan takut dan pengharapan dalam diri manusia, selain meningkatkan taqwa kepada Allah SWT.

Kilat dan Petir

Pembentukan kilat dan petir itu sendiri dalam ilmu sains terbukti berfungsi untuk kitaran nitrogen. Arus elektrik yang kuat ini memecahkan molekul-molekul nitrogen yang boleh larut dalam air dan sekaligus boleh dimanfaatkan oleh tumbuh-tumbuhan, sekali lagi membuktikan bahawa petir diciptakan dengan kearifan yang khusus.

Secara semulajadi, gas tidak mengalirkan elektrik tetapi jika diberi keupayaan elektrik yang tinggi, gas tersebut boleh mengalirkan elektrik. Fenomena itulah yang dipanggil kilat. Kilat terjadi apabila udara turun naik di dalam awan ribut petir, mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera yang cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Pergerakan awan yang disebabkan tiupan angin yang kuat, menyebabkan zarah-zarah awan bercas. Hasil geseran antara zarah serta angin yang laju biasanya menyebabkan pembentukan awan-awan bercas lebih besar. Ia juga menyimpan tenaga elektrik yang besar dan panahan kilat yang terhasil juga lebih teruk.

Kilat boleh terjadi sama ada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 16 kilometer dari kawasan hujan berkenaan. Udara kawasan dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000 ºC, lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan renjatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.

Kilat adalah cahaya terang yang terbentuk sewaktu pelepasan elektrik di atmosfera ketika hujan ribut. Petir boleh berlaku ketika regangan elektrik pada dua titik terpisah di atmosfera dalam satu awan, atau antara awan dan permukaan tanah, atau antara dua permukaan tanah. Petir adalah kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi guruh. Ia berkembang secara menyisi dan menegak menjadi awan padat yang lebih besar yang disebut sebagai awan kumulosnimbus, dengan pergolakan kuat di dalamnya dan aliran keluar yang kuat di bawah dasarnya.

Tenaga yang Dihasilkan oleh Kilat

Sekali kilat menyambar, ia memiliki tenaga yang boleh menyalakan sebuah lampu 100 watt selama lebih tiga bulan. Satu sambaran kilat mengandungi kekuatan elektrik sebesar 20,000amp. Kilat bergerak dengan kecepatan 150,000 kilometer sesaat, atau separuh kecepatan cahaya dan 100,000 kali ganda lebih cepat daripada suara.

Kilat terjadi dalam bentuk sekurang-kurangnya dua sambaran. Pada sambaran pertama, muatan negatif mengalir dari awan ke permukaan tanah. Sejumlah kilat bercabang biasanya dapat dilihat menyebar keluar dari jalur kilat utama. Ketika sambaran pertama ini tiba di permukaan tanah, satu muatan bertentangan terbentuk pada titik yang akan disambarnya dan arus kilat kedua yang bermuatan positif terbentuk dari dalam jalur kilat utama, terus menuju ke awan.

Dua kilat berkenaan biasanya bertemu kira-kira 50 meter di atas permukaan tanah. Arus pendek terbentuk di titik pertemuan antara awan dan permukaan tanah itu dan hasilnya, satu arus elektrik yang sangat kuat dan terang mengalir dari dalam jalur kilat utama menuju awan. Perbezaan tegangan aliran elektrik antara awan dan permukaan tanah ini melebihi beberapa juta volt.

Panahan Petir

Seorang saintis berkata, kilat mampu menyambar semua benda yang terdedah di permukaan bumi, seperti bangunan, tangki, pokok, puncak bukit, kenderaan, menara telekom, lampu, haiwan dan manusia yang berada di luar rumah ketika ribut petir seperti ahli sukan, pemain golf dan pejalan kaki.

Kejutan elektrik yang dipancarkan dari petir adalah berbahaya. Sama seperti mereka yang terkena kejutan elektrik, panahan petir ini boleh menyebabkan mangsa mengalami kelecuran kulit. Pada masa yang sama, ia juga boleh mencederakan organ-organ dalaman, menghentikan fungsi jantung dengan mengganggu sistem elektrik tubuh dan merosakkan sistem saraf.

Profesor Madya Dr. Roslan Md. Nor (UM) mengatakan, selain itu, ia boleh mengakibatkan degupan jantung terhenti dan mangsa memerlukan bantuan kecemasan. Berbeza dengan kejutan elektrik biasa, orang lain masih boleh menyentuh mangsa kerana tiada lagi aliran elektrik pada tubuhnya. "Ia agak berbeza dengan kejutan elektrik biasa kerana panahan petir sekalipun tenaganya besar, tetapi hanya sekali saja. Sebaliknya, kejutan elektrik biasa akan mengalir dalam tubuh secara berterusan dan orang lain tidak boleh menyentuh mangsa. Jantung menggunakan sistem saraf yang bersifat elektrik untuk mengawal proses pengepaman darah, sama ada mempercepat atau memperlahankan degupan, bergantung mengikut keadaan", jelas beliau.

Tip ketika petir

1. Tidak berada di luar rumah ketika hujan lebat yang disertai kilat dan petir
2. Berteduh dalam bangunan.
3. Jika dari jauh, kelihatan kilat menghala ke arah kita dan ketika itu kita sedang bermain bola, berenang atau memancing, seeloknya berhenti melakukan aktiviti tersebut.
4. Elakkan:
* Berada di kawasan lapang seperti di tengah padang bola.
* Berteduh di bawah struktur-struktur yang tinggi seperti di bawah pokok, atau tiang bendera
* Jika kita dalam keadaan basah, ia akan mengalirkan arus elektrik jika dipanah petir.
* Jika tidak mempunyai pilihan ketika itu, kita disaran supaya duduklah di tengah-tengah padang. Andainya hanya terdapat sebatang pokok saja di situ, sebaik-baiknya, kita duduk di tengah padang dengan mengecilkan diri seboleh mungkin seperti duduk mencangkung.
* Pastikan kedudukan kita ketika itu dengan pokok yang ada sejauh dua kali ganda dengan ketinggian pokok tersebut.
* Berada hampir dengan logam atau bahan pengalir elektrik yang bersambung di tempat tinggi seperti menara komunikasi.
* Menggunakan telefon talian tetap.
* Jika berada di atas sampan atau bot, pergilah segera ke pantai jika melihat ada tanda-tanda kilat.
* Panahan petir pada air boleh terkena kepada sesiapa yang berada di kawasan tersebut.

P/S: Terima kasih kepada Siti Fatimah a.k.a MMA atas carian @ sumbangan artikel ini.

Blog Archive