TAZKIRAH - FITNAH
Islam mempunyai kaedah lebih
ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan
berita berunsur fitnah. Wajib bagi
Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah
berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya.
Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan
tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai
orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu
berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan
kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu
lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit
menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya.
Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang
turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah
biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa
sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih
layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia.
Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah
itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan
menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan
seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah
menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk
syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak
dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala
terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di
akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya
menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan.
Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat
yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.
Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang
berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan
berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin
menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan
kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang
lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar
dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang
berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui
apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih
mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara
kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat:
Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang
benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang
tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat
Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan
rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya
bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap
Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan
kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi
perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu,
yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa
berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian
khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca
daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi
penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman
pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan
kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu
Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan
memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
Copy dari email rakan sekerja, tq kak..di sharekan kat sini untuk kebaikan bersama.
P/s : Moga ini menjadi peringatan buat semua, berfikir sebelum bertindak jangan diikutkan hasutan syaitan dalam diri, banyakkan mendekatkan diri kepadaNya supaya diri dihindari dari segala penyakit hati ini..