Showing posts with label Memori nasi berlauk. Show all posts
Showing posts with label Memori nasi berlauk. Show all posts

Thursday, April 8, 2010

Nostalgia nasi berlauk, air oren tiga puluh sen

Teks: Masayu Ahmad

Setiap kali mahu pergi sekolah saya sukakan suasana kabus waktu pagi yang gelap. Sekitar jam enam hingga tujuh pagi jalanraya masih gelap. Siapa yang sampai awal sangat seronok kerana lampu masih terpasang. Bangun awal dan datang awal adalah menjadi rebutan dan satu keseronokan.


Saya gemar waktu pagi membelah gelap pagi berkabus. Berjalan kaki beriringan dengan kakak atau kawan-kawan yang lain. Setiap pagi hanya berjalan kaki sahaja.

Ada satu kedai menjual nasi berlauk yang sangat kami suka. Saya lupa nama kedai tersebut, nasi berlauk kuah gulai dan ayam goreng sangat sedap. Bungkus dan dijadikan makanan kegemaran setiap kali menjelang masa rehat.

Apabila tiba masa pulang, kami bertiga Hasni, Sayani dan saya akan singgah di kedai tersebut membeli keropok lekor. Dahulu keropok lekor hanya 10 sen dan sangat besar. Murah, sedap dan kenyang. Di makan bersama air sirap merah sejuk, juga harganya 10 sen. Ketika darjah 1 hingga darjah tiga emak memberikan wang saku 30 sen hingga 50 sen. Tetapi ketika darjah enam wang saku saya 50 sen dan ke atas.

Kadangkala emak buat nasi bekal. Kertas suratkhabar dilipat empat segi dan dilapik plastik. Sangat sedap makan masakan emak yang dibungkus begitu. Kadangkala ada juga nasi goreng atau bihun goreng yang dijadikan bekal.

Ada satu acara istimewa, saya rasa kebanyakan pelajar sekolah mungkin kalian juga merasainya. Setipa kali habis penggal sekolah ada satu hari terakhir. Kami panggil hari ‘berkelah’. Iaitu setiap pelajar boleh membawa apa sahaja hidangan istimewa pada hari terakhir untuk ‘berkelah’. Berkelah di sini adalah hari bebas dan sangat istimewa, selalunya makanan yang selalu dibawa pelajar ialah air oren botol yang ada gambar limau pada label botol dan juga magi. Dua makanan ini adalah antara makanan wajib yang dibawa pelajar.

Ada juga yang membawa makanan istimewa lain seperti bihun dan agar-agar merah. Agar-agar merah dikenali sebagai ‘belda’. Sangat seronok juga, makanan yang disimpan di dalam ruang bawah meja, ruang yang tidak tertutup tetapi selalunya tempat menyimpan buku. Makan beramai-ramai dan ada juga bertukar makanan.

Wednesday, March 10, 2010

Berubat kaedah dulu-dulu

Saya ingin mengimbas kembali zaman kanak-kanak ketika usia saya masih kecil. Rasanya masih belum bersekolah sekitar usia empat, lima atau enam tahun. Saya memang lupa, tapi masih ingat memang saya belum sekolah. Orang kampung seperti saya mana ada pergi tadika, terus sahaja darjah satu.

Saya masih teringat nenek membelikan saya bagu gaun yang bawah paras lutut sedikit. Memang lah suka. Saya sangat seronok apabila emak membawa kami adik-beradik pulang ke kampung nenek. Kampung Pantai Irama, Bachok.

Situasinya masih jelas, keriuk pintu rumah nenek apabila pintu dibuka. Rumah nenek ibarat klinik, sentiasa ada orang datang. Di laman kadangkala banyak kenderaan, orang beratur untuk merawat.

Nenek mewarisi ilmu perubatan, bukan jampi tetapi menggunakan kaedah ayat-ayat suci al-quran. Setiap pesakit yang datang akan menemui nenek. Salah satu penawar ialah air yang akan dibawa pulang, dibacakan ayat-ayat suci.

Ilmu perawatan yang masih saya ingat ketika emak mengubati saya ketika saya sakit gigi, menggunakan sebatang paku, dimulakan bismillah dan meneruskan ayat-ayat suci tertentu. Bukan jampi atau serapah.

Kini setelah saya dewasa, saya mula menemui dan mengenali kaedah rawatan ini dikenali sebagai Perubatan Jawi atau perawat dinamakan Herbalis. Kaedah ini menggunakan ayat-ayat suci sebagai rawatan utama, dan herbalis menggunakan perawatan menggunakan herba.

Mungkin ada sedikit perkaitan, tetapi suasana di rumah nenek masih kuat pada gambaran fikiran saya.

Kisah beruk

Saya masih teringat juga, nenek datang menziarah kami sekeluarga. Ada satu kejadian di kampung, seekor beruk besar terlepas. Jadi seluruh kampung digegarkan supaya setiap rumah menutup pintu agar beruk besar itu tidak naik atas rumah.

Beruk terlepas itu naik ke rumah saya. Ya rumah saya. Saya pada ketika itu sedang lena dengan nyenyaknya di depan tv. Pada masa tersebut sepupu-sepupu sebelah rumah memang datang melihat tv di rumah, jadi rumah saya memang meriah.

Beruk naik ke rumah tamu, saya memang sedang nyenyak tidur (cerita semula oleh emak), beruk tersebut sempat mengigit Fatimah (timoh gelaran Kelantan) yang usia lingkungan 10 bulan. Keadaan hingar-bingar, kemudian beruk tersebut ke dapur dan makan garam, kemudiannya terlepas lagi.

Esoknya, suasanan kampung pada waktu pagi memang sunyi sahaja. Kemudiannya sekumpulan ketua keluarga dan anak-anak muda mula membuat pencarian beruk besar yang terlepas itu.
Beruk berjaya ditangkap dengan helah memberi telur, tetapi hanya pakar beruk sahaja yang berjaya menangkap.

Setiap kali ada beruk terlepas, akan kedengaranlah orang-orang kampung.

"Beruk putus, beruk putus," membawa maksud beruk sudah terlepas daripada tali.

Ini semua kenangan terindah diari anak kampung. Saya gembira dilahirkan dalam suasana ini. Fatimah juga sudah berumahtangga, baru sahaja melahirkan anak sulung. Betapa kenangan lalu, sedar atau tidak, kita sudahpun semakin dewasa.

Saturday, February 20, 2010

Memori nasi berlauk, siri 3



Teks: Masayu Ahmad

Haruman nasi lemak daun pandan mula menyengat pada deria hidung. Kemudian disusuli dengan gulai ayam dan ikan yang dipanaskan. Ianya bercampur-campur dengan kelentang-kelentung di kedai.

Seawal jam 4 pagi emak sudah bangun untuk memanaskan lauk-pauk jualan, memasak nasi, menjerang air. Apabila jam menginjak subuh hari kedengaran azan subuh berkumandang. Rutin saya pula mengantikan emak untuk turun membantu di kedai. Ayah seperti biasa mula membuka papan-papan yang tersusun sebagai penutup ruangan jualan.

Emak naik untuk solat dan saya pula turun ke kedai untuk meneruskan rutin. Sudah ada beberapa orang nelayan dan kanak-kanak sekolah menanti untuk membeli sarapan.

Ayah melayan Kak Nab yang menghantar donut dan roti goreng. Bau daun pisang yang membalut pulut panggang juga sudah ada ianya dibuat oleh Mok Noh. Tinggal beberapa jenis kuih lagi belum sampai. Setengah jam kemudian ruangan berjualan di hadapan sudah penuh dengan kuih muih. Di satu sudut pula, susunan peruk yang mengandungi gulai ayam, gulai ikan, lauk-pauk nasi lemak, budu, ulaman untuk nasi kerabu, daging dan ayam goreng. Juga ada bekas yang mengisi nasi putih, nasi lemak, nasi kerabu berwarna biru, dan juga keropok keping.

Saya mula membungkus nasi lemak, nasi kerabu, nasi berlauk seberapa pantas yang boleh. Pesanan bagi seorang nelayan biasanya tiga atau empat bungkus sebagai bekalan untuk turun ke laut.

Kemudiannya saya dibantu oleh kakak. Kami sama-sama membungkus nasi pesanan pelanggan. Kini semakin ramai, anak-anak sekolah, pekerja kilang, pekerja pejabat dan suri rumah. Para nelayan sudah hampir tiada, kerana sudah berduyun-duyun ke pantai atau kuala.

Baju sekolah yang saya pakai juga sudah berbau nasi berlauk. Saya bersegera menyiapkan beberapa bungkus nasi berlauk dan nasi kerabu pesanan teman sekolah. Sambil itu juga tangan sempat meraba dalam bekas duit mengambil wang lima ringgit sebagai belanja sekolah.

Saya meninggalkan kakak dan emak untuk meneruskan rutin berjualan di kedai yang hanya bersebelahan rumah sahaja.

Bersambung... (siri 2 belum lagi ;D)

Memori nasi berlauk, yang lama masih terkenang-kenang


Wanita dahulu sudah mencipta budaya buat duit dari rumah


Apabila menaip perkatan bekerja dari rumah pada carian google, angka carian tertera adalah 8,760,000. Bukan calang-calang angka sebenarnya. Betapa ramai umat manusia yang cuba mencari gaya hidup baru dengan bekerja dari rumah.

Wanita tradisional sudah memulakannya dahulu

Saya gemar kehidupan kampung yang tenang, tiada kesibukan, tiada pencemaran dan semuanya indah-indah belaka. Tatkala bangun pagi ibu sudahpun menyiapkan sarapan ataupun akan membeli sarapan di kedai atau gerai di sekitar kampung.

Sangat popular pada ketika itu ialah kedai Mok Doh Bulat, Kedai Mok Cik Mek dan Kedai Mok Doh Tok Mek Nik.

Kesemua pemilik kedai jualan nasi berlauk tersebut tergambar kemas dalam memori saya. Saya suka akan suasana pagi pada hari cuti sekolah saya mula mengayuh basikal memberi sarapan pagi.

Setiap kedai mempunyai cara dan citarasa yang berbeza dari rasa nasi berlauk. Tiga kedai tersebut memiliki aura tersendiri. Jika boring kedai Mok Doh Bulat, saya akan membeli kedai Mok Cik Mek, begitulah bertukar-tukar selera.

Kami sekeluarga sudah ada deria rasa mengenal nasi bungkus berlauk. Jika pendek dan comel sudah tentu nasi kedai Mok Doh Bulat. Kalau kuah pekat merah dan sedap, mesti kedai Mok Cik Mek dan kalau kuah sedikit dan baunya lain dari yang lain mesti dari kedai Mok Doh Tok Mek Nik.

Kedudukan kedai Mok Doh Bulat paling dekat, kalau mengayuh basikal hanyalah dua mint sahaja. Lokasi paling dekat dengan rumah saya kerana, berada pada kedudukan tepi jalan besar sahaja.

Kedai Mok Doh Tok Mek Nik berada di tepi pantai. Cuba bayangkan waktu pagi seorang kanak-kanak riang (saya lah tu) mengayuh basikal menelusuri rumah-rumah dan jalan yang berdekatan pantai.

Segar waktu pagi disapa pula angin pagi dari hembusan pantai sungguhlah mengujakan. Ketika menulis ini, saya seolah melihat skrin saya sendiri sedang mengayuh basikl mahu ke kedai Mok Doh Tok Mek Nik. Mok Doh mempunyai seorang anak perempuan, Kak Ani namanya. Kak Ani ini sangatlah bekeng dan mukanya masam sahaja. Sangatlah takut kalau mahu membuat permintaan kuah perlu banyak, atau kuah mahu diasingkan.

Kini setelah usia berganjak dewasa, apabila saya berjumpa Kak Ani di majlis kenduri kahwin di kampung, kami bertegur sapa dan memori saya terus mencanang bahawa Kak Ani sudah berkongsi kenangan indah saya semasa kecil. Terima kasih Kak Ani.

Bersambung…

Memori bubur kacang lompat tikam siri 2


Caption: Bangsal tempat mengaji saya dahulu lebih segak dari yang ini.

Teks: Masayu Ahmad
Foto:www.anjungsenama-warisan.blogspot.com

Loceng menandakan tamat sesi persekolahan untuk hari ini berdering. Bertebaran kanak-kanak kecil mengendong beg keluar dari bilik darjah.

Saya seperti biasa sebelum menapak pulang akan singgah dahulu untuk mengambil wang jualan karipap di kanten sekolah. Saya sangat puas hati apabila semuanya laris dijual. Kadangkala ada juga yang tidak habis barang seketul dua. Biasanya rakan-rakan yang pulang bersama saya akan mendapat habuan makan kuih karipapa. Saya bagi percuma sahaja. Rakan sekolah saya di kampung Hasni dan Sayani, kadangkala kami pulang berdua kadangkala bertiga. Sudah lama tidak berjumpa mereka.

Saya sangat teringin mengayuh basikal milik sendiri. Hanya melihat dengan perasaan membuak-buak sahaja rakan-rakan yang memiliki basikal BMX.

Tengahari selepas mandi dan makan tengahari saya perlu mengaji Quran dengan Pak Long Amat (Pok Long Amat panggilan loghat Kelantan). Kami mengaji dalam sebuah pondok yang dibina khas.

Di sebelah tempat mengaji itu, ada sebuah tempat yang besar juga ruangnya. Tempat tersebut mempunyai tapak yang kukuh dengan berlantaikan papan. Ruang tempat mengaji terdahulu.

Di situlah arwah emak berjualan bubur kacang. Kadang-kadang sebelum sesi mengaji bermula, budak-budak lepak di situ makan bubur kacang emak. Sedap kalau tambah pulut atau ais. Ada juga minuman sirap. Kadang-kadang emakl buat juga bubur kacang yang ditambah durian. Sangat enak dan sedap

Apabila semua makan habis semangkuk. Budak-budak akan naik semula ke pondok untuk mengaji. Kedengaran suara yang bersatu membaca bacaan Al- Fatihah dan beralih ke ayat-ayat seterusnya.

Siapa yang datang lambat kena libas dengan rotan. Perlu juga mengangkut air sebaldi dua jika tempayan kosong. Indahnya zaman kanak-kanak.

Emak meningkatkan pembuatan kuihnya karipap, donut, roti goring, roti kukus dan bingka (kuih beke). Setiap hari diselang seli dengan jenis kuih yang berlainan.

Biasanya pada sebelah malam emak akan uli tepung untuk buat doh roti. Saya bersama kakak membantu juga meletakkan isi karipan dan mengetipnya dengan menggunakan bekas acuan.

Dinihari sebelum subuh emak sudah bangun mengoreng kuih muihnya. Selalunya beberapa bungkusan sudah siap diletakkan berasingan. Saya seperti biasa meletak dalam bakul dan mula mengayuh basikal ke sekeliling kampung untuk meletak kuih di beberapa kedai makan. Kedai Mok Doh Tok Mok Nik, Mok Doh Bulat dan kedai Mok Cik Mek.

Sebelah petang dalam jam lima atau enam saya akan mengutip wang jualan dari kedai-kedai tersebut. Mengingatkan kembali nostalgia itu, membuatkan saya terkenang-kenang keseronokan di usia kanak-kanak. Rasanya emak sudah melatih saya berjualan sejak kecil.

Menginjak ke sekolah menengah Ayah membina kedai makan di sebelah rumah, daripada itu bermula episod baru berjualan kedai makan. Sangat memenatkan, kami adik beradik ada tugasan masing-masing.

Lepas pulang ke sekolah dan selepas mengaji Quran gilaran saya pula menjaga kedai sehingga jam 5 petang. Kakak yang tengah urusannya mengemas rumah dan mengopek bawang, adik lelaki saya turun membantu mengopek kelapa untuk mendapatkan santan. Selepas jaga kedai saya perlu ke kedai runcit untuk membeli barang mentah. Kakak yang sulung adalah teraju utama dalam masak-memasak membantu emak.

Kadangkala saya memberontak juga, kerana mahu belajar di rumah tidak mahu jaga kedai.
Ketika zaman inilah, badan saya gebu segebunya, dek kerana kelazatan masakan arwah emak. Haha, emak juga yang disalahkan.

Ketika di Tingkatan Enam di Sekolah Bachok, saya menyertai juga Persatuan Usahawan Muda (PUM). Geng saya berjualan juga di asrama dan sekolah.

Lima biji gula-gula dimasukkan dalam bungkusan plastik kecil, berharga dua puluh sen. Sebelum cikgu masuk ke kelas, urusniaga akan berlangsung. Bersimpang siur duit syiling di lambung ke arah saya, kemudiannya sebungkus gula-gula akan melayang ke arah pelanggan yang meminta. Urusniaga akan berehat seketika, kemudiannya apabila cikgu keluar dari kelas, akan bermula sekali lagi jualan dan permintaan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin