Showing posts with label ubi kayu. Show all posts
Showing posts with label ubi kayu. Show all posts

Thursday, January 1, 2015

Ubi kayu tanam sendiri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua,

Meski sudah lama tidak menulis di sini, tetapi saya masih berkebun sikit-sikit. Jika ada yang mengikuti perkembangan di Instagram saya, boleh dapat maklumat perkembangan Petak Hijau :) Tidak banyak perkembangannya. Hasil tuaian yang hampir sama saja setiap kali. Agaknya ada yang bosan membacanya. Tujuan saya hanyalah untuk menarik minat rakan-rakan lain untuk sama-sama berkebun di rumah.

Tahun 2015 adalah tahun ketiga saya menceburkan diri dalam bidang perkebunan. Masih perlu mencari gali ilmu penanaman dan dipratikkan. Alhamdulillah, bermula tahun ini saya juga dapat menjadi pekebun kecil sepenuh masa :) Perancangannya ingin memaksimakan ruang kecil depan dan belakang rumah untuk pokok-pokok tanaman makanan, serta meminimakan pembelian sayur-sayuran daripada pasar.

Semalam 31 Disember 2014, saya membuat rondaan pagi untuk melihat perkembangan tanaman di Petak Hijau. Sebenarnya, saya baru pulang dari cuti panjang selama hampir 3 minggu, di rumah ibu saya di Kedah. Melihatkan pokok ubi kayu pemberian Diana Kebun Bahagia Bersama pada Mac 2014 yang lalu sudah meninggi, maka saya berkeputusan untuk menuainya untuk sarapan pagi kami. Alhamdulillah, hasilnya bolehlah tahan juga. Pokoknya tak dijaga langsung. Sesuai ditanam bagi mereka yang sibuk.

Perancangannya mahu buat bengkang ubi kayu. Memandangkan nak cepat, maka kami rebus makan begitu sahaja. Sepatutnya makan dengan kelapa parut campur garam gula, tapi tak lalu pula nak beli kelapa parut kedai depan tu. Tahap kebersihannya agak kurang. Perlu cari pemarut kelapa yang duduk tu nak parut kelapa sendiri baru puas hati. Akhirnya, saya campur dengan tepung gandum, maka jadilah getuk ubi kayu :) rasanya bolehlah nak alas perut sebelum makan tengah hari.

Batang ubi kayu yang telah matang saya tanam semula di Petak Hijau sebelah kiri. Perancangannya mahu jadikan trelis kacang panjang atau pokok memanjat yang berjangka hayat pendek. Kesimpulannya, memang seronok tanam ubi kayu!



Sunday, March 23, 2014

Impian bengkang ubi kayu tanam sendiri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,


Keratan ubi kayu ini saya dapat dari Kebun Bahagia Bersama. Tercari-cari tempat sesuai di Petak Hijau yang sudah agak sesak dengan macam-macam tumbuhan untuk menanam keratannya. Akhirnya, dapat juga benamkan keratan di kawasan yang agak kosong yang agak tersorok berdekatan dengan paip depan rumah di sebelah kiri. Lepas tu memang tak peduli sudah perkembangannya dek kerana sibuk menguruskan bahagian Petak Hijau di sebelah kanan. Terkejut juga cepat pula ia membesar sampai setinggi ini. Sebenarnya, Mr Chef yang beriya-riya suruh tanam. Dia teringin nak makan bengkang ubi kayu tanam sendiri yang tukang kebun masak.

Dulu masa di Kampung Ulu Lenggong, Perak, pokok ubi kayu ini mudah sangat nak jumpa. Saya suka ikut Opah petik pucuknya untuk direbus buat ulam. Nostalgia juga apabila tengok pokok ubi kayu. Kenangan zaman kanak-kanak di kampung yang jauh di pedalaman tidak akan saya lupakan. Ia mengajar saya banyak perkara. Syukur alhamdulillah, saya melalui zaman kanak-kanak dengan cemerlang sekali. Main, main dan main.  KPI exceed limit during those old days :) Mak pula tidak paksa saya belajar. Asalkan siap kerja sekolah maka pergilah main sesuka hati. Tiada gadget yang nak dihadap. Walaupun masa tu sudah ada brick game tapi saya lebih suka main dengan kawan-kawan sekampung. Cabaran ibu bapa kini adalah anak-anak yang asyik mengadap gajet. Anak-anak kurang berinteraksi dengan orang tetapi lebih banyak main game di iPad atau Tab. Anak-anak saya juga tidak terkecuali. Cuma kami hadkan hanya hujung minggu sahaja boleh main. Itu pun setelah selesai kerja sekolah dan mengaji Al-Quran. Walaupun hujung minggu, tetapi khusyuknya dua-beradik tu main game tidak dapat dinafikan. Saya perlu fikir untuk perkenalkan aktiviti supaya mereka tidak terlalu taksub bermain game. Saya ada seorang sepupu yang sedang berusaha menjalankan kempen #boyznogadgetplz terhadap anak-anaknya. Banyak tip-tip yang boleh diikuti dan saya juga mencuba dan berjaya juga alih perhatian anak kepada aktiviti yang lebih menjana minda. Kawan-kawan boleh rujuk di blog Supermakwannabe.


Kalau pokok besar ni, ubinya besar mana lah ye.