Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Sempena PRU13 yang lalu, kami pulang ke utara tanah air untuk melaksanakan misi dan tanggungjawab memilih pemimpin. Kami pulang menaiki Keretapi Senandung Langkawi seperti kebiasaannya. Ya, kami sekeluarga sering pulang ke kampung menaiki keretapi. Ia mudah dan tidak memenatkan. Kebiasaannya kami akan mengambil Koc Tidur Kelas Superior (ADNS). Hanya perlu naik tren dan tidur sahaja, esok pagi dah sampai. Kids pun memang dari kecil sudah biasa naik tren sehinggakan, jika balik kampung naik kereta mereka akan mengomel sana sini sebab tak seronok. Naik keretapi lagi seronok.
Koc Tidur Kelas Superior (ADNS)
(Sumber gambar : www.ktmb.com.my)
Kelihatan 3 lelaki sedang menunggu keretapi di Stesen KL Lama. Kids tak pernah jemu tanya perihal keretapi dengan abahnya. Sehinggakan kids boleh bezakan antara tren penumpang, tren ETS Gold dan Silver, myCommuter (tren baru), komuter lama dan komuter lebih lama (kepala rata).
Saya juga pulang bersama misi terpendam membawa benih-benih yang dibeli untuk ditanam di Petak Hijau Seri Bayu. Rumah mak yang bertanah tepi mudah untuk saya tanam pelbagai tanaman yang sudah lama tersemat di hati. Hari pertama sampai, saya membuat operasi mencerahkan kawasan yang ingin ditanam, membuang segala rumpai dan mencabut tanaman yang sudah tua. Semasa membuang rumpai, terdapat banyak anak-anak pokok inai tumbuh. Terus saja pergi membelek pokok induknya. Memang banyak biji-biji benih. Kurang berminat dengan inai, saya cabut dan buang segala anak-anak pokok. Berseorangan, saya menggemburkan tanah dengan tekunnya. Kelihatan di bawah adalah pokok pisang kaki yang mak saya tanam.
Hari yang sama juga saya mengajak Mr Chef ke nurseri berhampiran untuk membeli tanah kompos. Harganya agak murah berbanding di Shah Alam jika beli banyak beg. Di Shah Alam, beli 10 beg baru dapat harga murah. RM2 sebeg. Di sini, RM5 boleh dapat 3 beg. Jadi saya telah beli 24 beg! :)
Pada pagi hari pilihanraya, saya bangun awal. Bukan untuk bersiap pergi mengundi tetapi untuk memulakan kerja-kerja perkebunan saya :) Saya meletakkan tanah kompos di atas tanah yang digemburkan semalamnya dan menukar tanah di dalam pasu. Semasa itu, jalan memang agak sibuk dengan kenderaan lalu-lalang. Semua orang sibuk keluar mengundi, tapi saya pula sibuk menyemai sana dan sini :) Sebelum tengah hari saya dapat menyiapkan kerja-kerja dan pergi membuang undi dan terus pulang ke Alor Setar pula untuk Mr Chef membuang undi di sana.
Biji benih yang disemai adalah Baby Blue Jade Corn KBB, Royal Burgundy Long bean KBB, Sawi Hong Cut Flower tanamsendiri.com, Topweight carrot KBB, Petola bantal Semua Menjadi, Timun Betik Semua Menjadi, Small Sugar Pumpkin KBB, bendi Petak Hijau, Rosselle Petak Hijau, Evening Sun Sunflower KBB, Bauhinia Kockiana KBB dan Lollo Rosso Lettuce KBB. Ambitious! Saya pesan kepada mak supaya menyiram dua kali sehari jika tak hujan.
Bayam merah yang sudah berbunga dan berbiji benih.
Tiga pokok carrot topweight yang dialih dari tempat asalnya yang berdekatan pokok bunga telang. Tidak pasti boleh hidup sampai boleh dituai ke tidak.
Malam ahad itu kami pulang semula ke tempat bermastautin kami di Subang Jaya dengan menaiki keretapi juga :) Kali ini tidak boleh lelap kerana menunggu keputusan PRU13 yang sememangnya dinantikan ramai orang. Saya terima segala keputusan pilihanraya dengan hati terbuka dan berlapang dada. Sesungguhnya segala ketentuan adalah dariNya. Mari kita renung dan hayati ayat Allah ini.
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ali Imran ayat 26)
|
Setuju benar dengan pandangan Prof Kamil di
http://muhdkamil.org/home dalam entri pada 26 Jumada al-Akhir 1434 ~ KEMENANGAN & KEKALAHAN
Di sebelah mana pun kita berada - dipilih atau ditolak - ia suatu keputusan yang wajib disyukuri. Ada hikmat tersembunyi yang tidak dapat ditelah. Kedua-duanya adalah kemenangan jika dinilai secara cermat. Namun kuncinya, biar apa pun keputusan yang dicapai, ia sepatutnya membawa kita lebih hampir kepadaNya.