Showing posts with label bayam. Show all posts
Showing posts with label bayam. Show all posts

Thursday, August 14, 2014

Resepi bubur bayam berkhasiat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Terima kasih, jazakallahu khairan kepada rakan-rakan yang masih sudi menjenguk blog saya yang biasa- biasa ini. Saya masih aktif berkebun cuma tidak sempat mengemaskini entri di blog ini. Saya hanya sempat membuat laporan tanaman di Instagram dengan nama Petak Hijau. Rakan-rakan yang mempunyai Instagram sudi-sudikanlah komen di ruangan komen di Insta Petak Hijau, nanti saya akan follow rakan-rakan ya. 

Alhamdulillah, bekalan bayam sentiasa ada di Petak Hijau sejak ia ditanam. Ia mudah ditanam dan dijaga. Jika dibiarkan berbunga mengeluarkan biji benih, maka banyaklah anak-anak pokok yang akan tumbuh merata-rata berdekatan dengan pokok induk. Jika rajin mengalih, banyak juga hasil yang diperolehi. Sejak akhir-akhir ini, saya agak sibuk dengan kehidupan harian. Tak sempat nak mengalih anak-anak pokok yang tumbuh merata-rata. Kami sekeluarga memang suka bayam jenis ini.  Maka, kerajinan perlu ditambah untuk mendapatkan hasil kebun yang lebih banyak :) Man jadda wa jada.

Pada hujung minggu yang lepas, Mr Chef kurang sihat. Kerajinannya memasak juga merudum jatuh. Makanya, pada Sabtu yang lepas, dengan proaktifnya pada awal pagi saya telah menyediakan bubur nasi bayam yang berkhasiat untuk sarapan pagi dan juga makan tengah hari. Saya bukanlah seorang yang pandai memasak. Apabila masak pasti tak berenggang dengan buku resepi di sebelah :) Resepi bubur nasi ini saya ambil daripada laman web aininizainal.com dengan sedikit olahan mengikut selera keluarga. Untuk penyediaan makanan yg sihat dan home remedy, bolehlah lawati laman web ini. Banyak yang saya belajar dan cedok ilmu daripada situ.

Alhamdulillah. Mr Chef yang sedang batuk dan selsema dan tak lalu nak makan, tambah sampai 2 kali penuh mangkuk. Syukur, ia memenuhi selera ahli keluarga. Setakat ni dah dua kali buat atas permintaan mereka. Cubalah.....

Bayam yang telah dialih cepat membesar. Jangan biarkan ia berbunga nanti dah tak berapa sedap sebab batangnya berserat sikit.

Alhamdulillah. Memang besar -besar dan segar bugar daunnya hasil baja tahi ayam.


MyPetakHijau Nutritious Porridge Recipe.


Tuesday, March 25, 2014

Hasil Tuaian Semalam, Amberjack dan Wolf

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yg dikasihi Allah,

Bukan perkara biasa apabila saya menuai pada hari Isnin :) Ya, semalam saya bercuti untuk membuat pemeriksaan kaki di SJMC dengan seorang orthopedik. Sakit tapak kaki ini sudah dialami selama setahun tetapi sejak kebelakangan ini semakin hari semakin sakit terutama apabila bangun pagi dari tidur. Doktor mendiagnos bahawa bahagian yang sakit itu telah mengalami keradangan. Di antara faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada keradangan ini adalah kenaikan berat badan, aktiviti seharian - sangat banyak berjalan atau berdiri dan proses penuaan :) Maka, esok saya akan mula menjalani fisioterapi selama 3 hari setiap minggu selama 4 minggu. Sebenarnya, bukan saya seorang yang mengalami simptom sakit tapak kaki ini. Di pejabat saya terdapat beberapa orang telah mengalami simptom dan sakit yang sama. Maaf, meyimpang jauh dari topik utama. Saya rasa perlu berkongsi cerita jika ada kawan-kawan ada mengalami simptom yang serupa boleh cepat-cepat jumpa ortopedik. Jangan sampai sakit berdenyut-denyut macam saya ni. Terjengket-jengket berjalan dari stesen KLCC ke pejabat yang jauhnya lebih kurang satu kilometer itu.

Berbalik kepada topik utama, hasil tuaian kali ini adalah untuk makan tengah hari. Mr Chef nak balik makan hari ini, nak makan ikan amberjack katanya :) Ikan amberjack ini istimewa kerana ia adalah pemberian seorang rakan sekolah Mr Chef. Seorang arkitek dan membuat kerja sambilan sebagai nelayan di laut dalam. Menarik tak! Fresh fish from the sea plus organic own grown vegetables. Kombinasi yang mantap untuk kesihatan. Mr Chef siap jemput best friend nya (yang juga jiran sebelah kiri kami) mai makan di rumah.

Kobis cina yang ditanam di dalam bekas tomato perlu dituai memandangkan cuaca yang terik dan sebelum pokoknya melecur kepanasan, jadi saya tuai segera. Bayam hijau daun bulat dan bayam amaranth memang tahan panas. Jadi, boleh tanam kedua-duanya dalam bulan Januari - Mac. Nota untuk diri sendiri. Bendi juga tahan panas dan mula meninggi bagai johan. Kami suka makan bendi rebus cicah budu ketereh. Memang sedap! Ulam raja adalah dari pokok tunggal yang baru sahaja dimusnahkan masuk dalam kompos untuk memberi laluan kepada pembesaran betik sekaki. Bersungguh-sungguh kawan Mr Chef yang berbangsa cina makan ulam raja tadi. Berkali-kali dia puji kesedapan ulam raja. Hint...hint.. nanti kami ajak datang lagi ya makan di rumah :) Daun bawang juga dituai untuk dijadikan hiasan masakan ikan masak kicap saya :)





Semasa tengah menyiram pokok waktu paginya, Wolf datang minta makanan. Beberapa hari lepas kami beri makan ikan bilis sebab Whiskies dah habis. Bukan main suka lagi. Hari ni tak nak makan Whiskies, tunggu  juga di situ nak suruh letak ikan bilis sambil buat muka kesian. Akhirnya terpaksa juga makan apabila saya kata hari ini ikan bilis tak ada. Makan saja apa yang ada. Jangan membazir. Dalam keadaan terpaksa makan jugala ia. Kucing pun suka makan yang original.






Wednesday, January 22, 2014

Kacang Tanah 'Tadong' hidup subur bersama bayam

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan pengunjung yang budiman,

Benihnya saya beli di kebunbahagiabersama.blogspot.com. Ditanam pada awal Disember 2013. Kelihatan kedua-duanya hidup bahagia bersama :) Bilakah ia boleh dituai?


Wednesday, March 27, 2013

Hasil tuaian 230313

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Syukur alhamdulillah. Tuaian hujung minggu lepas meriah dengan sayur-sayuran hijau. Pertama kali dapat rasa makan mentah mustard red giant. Memang rasanya spicy.


Rosselle, radish, tomato, cili kulai, bayam hijau daun bulat, sawi hong cut flower dan mustard red giant.

Semasa sarapan, Mr Chef masukkan mustard red giant dalam maggi penne seafood sup :) sedap juga. Bertambahlah 2 kali. Semasa tengah hari, sesambil Mr Chef masak untuk lunch, sempat pula dia membuat salad letak thousand island yg terdiri daripada mustard red giant tanam sendiri, tomato tanam sendiri dan lobak merah beli sendiri. Sedap! Kalau makan raw mmg saya tak selesa :)


Sempat snap gambar bunga sawi menang semasa menuai.




Thursday, March 21, 2013

Bayam Hijau Daun Bulat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Bayam hijau daun bulat sedia untuk dituai. Benih adalah daripada tanamsendiri.com. Bayam jenis ini tak banyak karenah menjaganya. Setelah ditabur dan bercambah, saya jarakkan pokoknya dan ia cepat membesar selepas itu. Seminggu sekali letak baja tahi ayam. Bayam ini di tanam di dalam bekas daun pudina. Bayam mendapat tanah, pudina pun dah tak nampak sudah.