Showing posts with label Kobis. Show all posts
Showing posts with label Kobis. Show all posts

Tuesday, March 25, 2014

Hasil Tuaian Semalam, Amberjack dan Wolf

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yg dikasihi Allah,

Bukan perkara biasa apabila saya menuai pada hari Isnin :) Ya, semalam saya bercuti untuk membuat pemeriksaan kaki di SJMC dengan seorang orthopedik. Sakit tapak kaki ini sudah dialami selama setahun tetapi sejak kebelakangan ini semakin hari semakin sakit terutama apabila bangun pagi dari tidur. Doktor mendiagnos bahawa bahagian yang sakit itu telah mengalami keradangan. Di antara faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada keradangan ini adalah kenaikan berat badan, aktiviti seharian - sangat banyak berjalan atau berdiri dan proses penuaan :) Maka, esok saya akan mula menjalani fisioterapi selama 3 hari setiap minggu selama 4 minggu. Sebenarnya, bukan saya seorang yang mengalami simptom sakit tapak kaki ini. Di pejabat saya terdapat beberapa orang telah mengalami simptom dan sakit yang sama. Maaf, meyimpang jauh dari topik utama. Saya rasa perlu berkongsi cerita jika ada kawan-kawan ada mengalami simptom yang serupa boleh cepat-cepat jumpa ortopedik. Jangan sampai sakit berdenyut-denyut macam saya ni. Terjengket-jengket berjalan dari stesen KLCC ke pejabat yang jauhnya lebih kurang satu kilometer itu.

Berbalik kepada topik utama, hasil tuaian kali ini adalah untuk makan tengah hari. Mr Chef nak balik makan hari ini, nak makan ikan amberjack katanya :) Ikan amberjack ini istimewa kerana ia adalah pemberian seorang rakan sekolah Mr Chef. Seorang arkitek dan membuat kerja sambilan sebagai nelayan di laut dalam. Menarik tak! Fresh fish from the sea plus organic own grown vegetables. Kombinasi yang mantap untuk kesihatan. Mr Chef siap jemput best friend nya (yang juga jiran sebelah kiri kami) mai makan di rumah.

Kobis cina yang ditanam di dalam bekas tomato perlu dituai memandangkan cuaca yang terik dan sebelum pokoknya melecur kepanasan, jadi saya tuai segera. Bayam hijau daun bulat dan bayam amaranth memang tahan panas. Jadi, boleh tanam kedua-duanya dalam bulan Januari - Mac. Nota untuk diri sendiri. Bendi juga tahan panas dan mula meninggi bagai johan. Kami suka makan bendi rebus cicah budu ketereh. Memang sedap! Ulam raja adalah dari pokok tunggal yang baru sahaja dimusnahkan masuk dalam kompos untuk memberi laluan kepada pembesaran betik sekaki. Bersungguh-sungguh kawan Mr Chef yang berbangsa cina makan ulam raja tadi. Berkali-kali dia puji kesedapan ulam raja. Hint...hint.. nanti kami ajak datang lagi ya makan di rumah :) Daun bawang juga dituai untuk dijadikan hiasan masakan ikan masak kicap saya :)





Semasa tengah menyiram pokok waktu paginya, Wolf datang minta makanan. Beberapa hari lepas kami beri makan ikan bilis sebab Whiskies dah habis. Bukan main suka lagi. Hari ni tak nak makan Whiskies, tunggu  juga di situ nak suruh letak ikan bilis sambil buat muka kesian. Akhirnya terpaksa juga makan apabila saya kata hari ini ikan bilis tak ada. Makan saja apa yang ada. Jangan membazir. Dalam keadaan terpaksa makan jugala ia. Kucing pun suka makan yang original.






Sunday, February 16, 2014

Kobis cina tahan panas

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan yang budiman,


Benih kobis cina ini diberi oleh rakan sekerja saya. Sebelum ini dia telah memberi benih kobis bulat dan alhamdulillah menjadi. Setelah saya tunjukkan hasil kepadanya, dia rajin memberi biji benih kepada saya :) Ng Lee Siang berasal daripada Cameron Highland dan abangnya adalah seorang pemilik ladang sayur.

Kobis cina ini saya mula semai pada awal Januari 2014. Baja yang digunakan adalah air kisar perut ikan dan baja palet tahi ayam yang dibeli di My DIY Seksyen 19, Shah Alam. Daripada pemerhatian saya setelah 2 tahun berkecimpung dalam perkebunan, penggunaan air kisar perut ikan sebagai baja dapat memberikan hasil yang memberangsangkan.

Cuaca sangat panas pada hari siangnya. Terik matahari memang terasa bahangnya. Ada kebanyakan pokok di Petak Hijau melecur di tepi daunya dan layu pada waktu tengah hari panas membahang. Pokok kobis cina ini pun tidak terkecuali. Tetapi alhamdulillah dapat survive juga dalam keadaan panas ini.

25/1/2014 : Anak-anak pokok setelah dialih

8/2/2014

15/2/2014 : Kelihatan daun yang melecur di bahagian tepi

15/2/2014 : In different angle. Mr Chef nak guna dalam rencah masakan hari ini.


Saturday, January 25, 2014

Hasil tuaian penutup 2013

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Sangka saya kobis tidak boleh ditanam di kawasan tanah rendah, apatah lagi di kawasan Subang Jaya ini. Tapi terbukti segala sangkaan saya salah sama sekali. Kobis dapat hidup aman damai di kawasan sempadan Subang Jaya - Shah Alam ini. Penghujung Disember 2013 yang lepas, alhamdulillah kesemua kobis yang hampir membentuk bebola telah habis saya tuai dan makan :) Sekarang cuaca semakin panas, pokok ulam raja saya melecur dek kepanasan. Mungkin ditangguhkan dulu penanaman kobis ini sehingga ke suatu ketika yang sesuai.

Meriah! Alhamdulillah!

Friday, November 8, 2013

Hasil Tuaian Pembuka 1435H

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Tahun Islam memberikan signifikan kepada saya kerana dua digit terakhir bersamaan dengan umur saya :)! I am getting older! Alhamdulilah, setelah lama tidak menuai hasil di kebun, tuaian pembuka 1435H menggembirakan hati Mr Chef. Hasil tuaian kali ini macam-macam Mr Chef masak. Terima kasih Mr Chef yang budiman.

Antara hasil tuaian adalah, 
+ Kobis
+ Tampaka
+ Ulam Raja
+ Bayam Malabar Merah
+ Roselle
+ Bunga Misai Kucing
+ Kacang panjang merah
+ Biji benih balsam

Kesemuanya kecuali bunga misai kucing dan biji benih balsam Mr Chef gunakan dalam masakannya. Kobis tak sempat nak membentuk bebola sudah kami tuai. Lama sangat nak tunggu, setiap hari kobis macam memanggil-manggil suruh dituai :)



Tinggal beberapa tompok saja lagi kobis. Wahai kobis, mohonlah jadi bebola!



Tampaka ini dibeli dari kebunbahagiabersama.blogspot.com. Menurut Diana ia digunakan sebagai ubat tradisional untuk membantu menambahkan darah atau mencuci/membersihkan darah dalam badan. Saya tuai juga sebab nak cuba letak dalam masakan walaupun Diana kata setahun baru boleh nampak bebawangnya.



[kiri] Kobis dan kacang panjang dimasak budu. [kanan] Sup sayur tomato, tampaka dan bayam malabar merah. Kids suka! ^_^



Ini satu-satunya lauk kami pada 1 Muharram yang lepas, Ikan bakar. Ikan jenahak segar ini kami beli pasar malam Alor Setar Zulhijjah yang lepas dengan harga yang jauh lebih murah daripada Shah Alam sini. Tentulah!  Lauk ikan bakar, di makan bersama 3 jenis hidangan sayur (termasuk ulam raja) dan makan cicah dengan budu! Terima kasih banyak-banyak kepada Mr Chef kerana menggembirakan kami dengan makanan yang sedap!



Kids pula sanggup simpan sikit bahagian mereka untuk diberikan kepada Wolf. Kucing kongsi dengan jiran. Wolf tak pandang sudah makanan kucing apabila melihat ikan bakar segar di depan mata. Mr Chef pula memang rajin melayan mereka jika ia berkaitan kucing. Keluarga mertua saya memang sangat sukakan kucing. Like grandfather, like grandson. Jika menelefon Tok Wan bertanya khabar, setelah bertanya tentang kesihatan Tok Wan, soalan kedua mesti tanya pasal Comel. Kucing kesayangan Tok Wan. Inilah cucu Hussain bin Hassan yang sungguh obses dengan kucing.




Monday, September 23, 2013

Kobis kembang semangkuk

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Biji benih kobis ini saya minta rakan sepejabat yang tinggal di Cameron Highland belikan. Saya hanya cuba-cuba saja nak tanam dan tidak mengharap sangat. Syukur alhamdulillah, ia dapat membesar sehingga hari ini. Saya semai semasa penghujung Syaaban 1434H. Saya memang tak tahu kobis akan jadi kembang semangkuk sebegini.Sepatutnya dijarakkan jauh sikit lagi. Nampak sempit sangat dah dalam ruang yang tak berapa nak besar tu. Bersabarlah dalam bersabar wahai kobis-kobis kesayanganku ;)

Dalam cuaca kering, panas dan tak hujan tapi mendung macam sekarang ni, tak tahulah nasibnya akan tertutup atau terbuka macam ni saja. Pada saat ini, pokok inilah yang menjadi kesayangan ;) Ditanam di atas raise-bed di hujung pagar depan. Rupanya macam bunga ros besar. Kembang mekar menyambut tetamu di pagar depan. Saya letak baja kompos sekali sahaja semasa mengalih pokok. Lepas tu memang tak sempat nak letak baja. Disebabkan masa yang agak terhad di kebun, ada seorang kawan memberi cadangan menggunakan serbuk darah ikan jenama Yates. Hanya letak dalam tangki pengairan dan dah tak perlu fikir tentang letak baja. Ada kawan-kawan pernah guna tak baja Yates jenis ini?


Saturday, January 5, 2013

Kobis Cina segar bugar


Assalamualaikum,
Asalnya saya bukanlah seorang yg suka makan sayur. Tapi sejak berumahtangga, saya terpengaruh dgn suami yg mmg hantu sayur. Suami yg juga Mr Chef di rumah, selalunya akan buat 2 jenis masakan yg berunsurkan sayuran. Mmg saya kene tanam sayur yg pelbagai jenis lagi supaya tak bosan asyik makan sayur yg sama. Kobis cina adalah sayur yg menjadi dgn elok. Alhamdulillah. Saya tanam, Mr Chef masak! :)

Saya dapat benih kobis cina percuma dari tanamsendiri.com. Saya buat semaian terus ke dalam polisterin dalam bekas yg ada pokok kunyit. Benihnya sangat bernas. Bernih bercambah dalam masa 2 hari. Pokoknya dipayungi sikit oleh ulam raja. Diperhatikan tidak terdapat serangan serangga perosak ke atas kobis cina. Alhamdulillah. Dapatlah 3 kali digunakan dalam masakan Mr Chef. Pada pendapat saya kobis cina sesuai disemai terus ke dalam bekas. Pokoknya agak fragile untuk dialihkan. Ini kerana, 3-4 pokok saya alih terbantut dan akhirnya mati.

Sesungguhnya berkebun mmg dapat menghilangkan stres. Kerja sepenuh masa 9-6 mmg memenatkan otak. Alhamdulillah, apabila sampai rumah melihat pokok2 yg semakin membesar (buat2 tak nampak tanaman yg semakin mengecil dan mengering) berbunga2 hati saya, lalu mood pun menjadi baik untuk mendengar cerita anak2 pula. Sesungguhnya adalah fitrah bila kita berasa tenang apabila melihat hidupan ciptaan dan kurniaan Allah. Seperti yg selalu Ustaz Pahrol kata, lihat nikmat, ingat Pemberi nikmat.

Panduan menanam sendiri Kobis cina ini boleh didapati di sini.