Merobah Massa!

"The future belongs to those who prepare for it today!"-Malcom X

Kata-Kata Hikmah

Manusia tercipta kerana bergerak, dan untuk bergerak. Maka bergeraklah! Maka DIA akan bersama kita, setiap orang memiliki masa-masa kepahlawanannya sendiri, maka ia perlu dihargai!"

Tazkirah

"Marilah kawan mari kita kobarkan, Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa, Marilah kawan mari kita nyanyikan, Sebuah lagu tentang pembebasan tanpa pendustaan! Tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri!"

Showing posts with label analisis. Show all posts
Showing posts with label analisis. Show all posts

AUKU & Mahasiswa Politik

Debat: Saifuddin Abdullah & Ibrahim Abu Shah dalam Soal Jawab TV3

Secara peribadi, saya menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah YB Dato’ Khaleed Noordin; yang pernah satu ketika dahulu untuk menilai semula AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971 / Pindaan 1974). YB Khaleed Nordin mahu menilai semula AUKU ini demi memberi kebebasan berpersatuan dan autonomi kampus kepada warga Universiti. Namun, dalam pengetahuan saya, perkara ini juga telah pun dinyatakan oleh dua (2) Menteri KPT sebelum beliau; Datuk Mustapha Muhammad dan Dato’ Shafie Salleh. Kita telah maklumi bahawa masih belum ada apa-apa inisiatif dalam hasrat ini. TV3 ada melancarkan kutipan responden. Alhamdulillah, lebih 80 peratus setuju AUKU ini dikaji semula.

Bagi saya, AUKU ini patut dimansuhkan bukan kerana pandangan umum rakyat Malaysia, tetapi kerana substance AUKU itu sendiri jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. Satu-satu perkara yang zalim ini wajib disanggah, biarpun hanya didokong oleh satu jiwa yang adil sahaja.

KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 ; sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).

Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama.

Saya ingin memetik pendapat Junaidi Abu Bakar dalam buku Mahasiswa dan Undang-Undang dengan izin. Menurut beliau, setiap undang-undang yang digubal mesti mempunyai niat pengubalannya. Begitu juga dengan AUKU, digubal selepas berlakunya beberapa aksi mahasiswa – (1)penyebaran Manifesto Mahasiswa oleh PMUM (Pertubuhan Mahasiswa Universiti Malaya) menjelang PRU4 sehingga menggugat status quo parti-parti memerintah; (2)Demontrasi anti-Tunku (29/8/69); (3)Demontasi ‘Papan Tanda’ demi mempertahankan bahasa Melayu di UM; dan sebagainya.

Selepas berlakunya beberapa peristiwa tersebut, kerajaan telah menubuhkan ‘Jawatankuasa Mengkaji Kampus’ dan AUKU ini diperkenalkan dan digazet di Parlimen yang mulia ini. Sila rujuk Laporan Muhammad Abu Bakar dalam Mahasiswa Menggugat. Persoalan yang ingin saya timbulkan, adakah mahasiswa pada ketika itu melakukan suatu jenayah di sisi undang-undang Malaysia atau Kerajaan sendiri sebenarnya cuba untuk menutup pekungnya sendiri dengan melumpuhkan aktivitisme mahasiswa secara berperundangan?

Saya secara peribadi yakin, niat pengubalan AUKU ini demi menutup pekung kerajaan semata-mata daripada diketahui umum melalui suara mahasiswa. Sudah lebih 37 tahun, AUKU ini dikuatkuasa ke atas anak-anak kita di kampus. Dan selama itu juga kita telah lihat sejauhmana perkembangan generasi muda dan IPT di Malaysia. Saya telah meneliti beberapa perkara dalam AUKU ini dan saya dapati banyak perkara dalam AUKU ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagai yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, 1948 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat, 1981.

Saya ingin menyebut beberapa seksyen dalam AUKU ini yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia, Seksyen-seksyen tersebut adalah Sekyen 7(1), Sekyen 7(3), Sekyen 8, Sekyen 9, Sekyen 11, Sekyen 12, Sekyen 15(1), Sekyen 15(2), Sekyen 15(3), Sekyen 15(4), Sekyen 15A(1), Sekyen 15A(2), Sekyen 15B(1), Sekyen 15D(1), Sekyen 16 dan banyak lagi. Pendek kata, AUKU hampir kesemua seksyen adalah bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Saya ingin membawa contoh, merujuk pada Seksyen 15(3) dan 15(4), AUKU: Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan.

Bagi saya, akta di atas ini bertentangan dengan Hak Asasi Manusia; kebebasan bersuara dan berpertubuhan sebagaimana yang dijamin oleh Hak Asasi Manusia. Kadang-kadang, saya melihat tukang sapu sampah atau pemandu teksi atau peniaga yang usianya sebaya dengan usia mahasiswa jauh lebih bertuah di Malaysia ini kerana mereka bebas bersuara dan berpertubuhan serta berorganisasi. Justeru, pada hemat saya AUKU ini dimansuhkan. AUKU juga sebenarnya jelas berdiskriminasi hak-hak kemahasiswaan dan tidak berperikemanusian.

Saya ingin membawa contoh, dengan izin. Sila rujuk Seksyen 15D(1):

“Jika seseorang pelajar Universiti dipertuduhkan di bawah kesalahan jenayah maka ianya hendaklah dengan serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan perbicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus atau kampus mana-mana universiti lain.

Dalam disiplin ilmu undang-undang, terdapat suatu maksim yang menegaskan bahawa seseorang individu tidak akan bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah (a man is not guilty until he is proven guilty). Berdasarkan pada nature of law dan contoh seksyen AUKU di atas, jelasnya berlaku pra-penghakiman (pre judgement conviction).

Kes ini lebih ketara dalam isu penangkapan ISA7 yang belum selesai sehingga kini, namun hak belajar dan menerima keadilan di Universiti telah dinafikan oleh mereka. Selain itu juga boleh merujuk dalam isu Norlia bte Syukri vs Universiti of Malaya, 1978 dalam laporan Tribunal Tatatertib Universiti, UM dan laporan tindakan ke atas 1 orang mahasiswa yang ditahan beberapa bulan lepas dan diberikan amaran keras oleh tatatertib Universiti kerana kesalahan mendatangkan kesan buruk secara langsung atau tidak langsung kepada universiti kerana menubuhkan Parti Mahasiswa Negara. Hasil penghujahan yang dilaporkan media dan tribunal perbicaraan walaupun sabit kesalahan tetapi AUKU terbatal sama sekali untuk menjatuhkan hukuman kepada beliau kerana ia bercanggah dengan undang-undang persekutuan dan perlembagaan yang memberikan ruang dan hak yang luas kepada warganegaranya untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Jadi hingga kini saya masih keliru di manakah relevannya akta ala rimba ini dan ‘validity’ nya dalam perlaksanaan di kampus bagi mengekang keterlibatan serta mematikan idealisma mahasiswa.

Status Umur 21 tahun, mahasiswa layak berpolitik

Berhubung dengan status umur 21 tahun, sewajarnya bila bergelar student/mahasiswa ; mahasiswa semestinya diberikan ruang dan peluang agar dapat bertindak dan berperanan dengan lebih proaktif, sebagai agen/entiti yang boleh menjadi sebahagian elementasi "check & balance" iaitu semak dan imbang, bersuara memberikan pandangan, menyumbang idea dan sumbangsaran yang lebih baik kepada pihak kerajaan agar lunas demokrasi, pembangunan dan proses pentadbiran yang diamalkan dapat dilaksanakan secara seimbang dan saksama bukan hanya mahasiswa sekadar pergi mengundi pada pilihanraya. Rasionalnya, kewujudan AUKU telah menyekat peranan ini. Bagi saya, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan. Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan keberhadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran. Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan/ cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi? Sewajarnya pihak kerajaan menyokong tindakan ini kerana modal insan yang sebeginilah yang sepatutnya kita lahirkan demi generasi yang lebih cemerlang pada masa akan datang. "Generasi Baru Untuk Malaysia Yang Baru"

Insan yang baik semestinya warganegara yang baik, namun apa yang terjadi kita mampu melahirkan warganegara yang hanya menjadi pengikut yang setia yang kadangkala tidak mengerti apa tanggungjawab dan tuntutan yang perlu ditunaikan sebagai warganegara. Bagi warga pelajar dan mahasiswa, segalanya bermula dengan pendidikan yang akhirnya membuahkan kefahaman dan mencetuskan kesedaran. Apa yang berlaku sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan yang baik kerana ia masih bersifat konservatif dan tidak efektif. Para pelajar masih kekal dengan sistem pelajaran kuno (disuap) tanpa di didik agar berfikir dan bertindak, seolah-olah semuanya telah dicaturkan. Senario ini berlaku di semua peringkat/tahap pengajian sama ada rendah, menengah atau tinggi. Kegagalan memikirkan formulasi yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini akhirnya pada persepsi saya akan menyebabkan kita masih dan terus gagal membina masyarakat dan melahirkan generasi warganegara yang baik. Bagaimana boleh melahirkan insan dan warganegara yang baik sekiranya pendedahan tentang peranan itupun tidak cuba diterapkan dengan komprehensif dan konsisten dilapangan ilmu yang sebenar. Ini terbukti kelemahan sistem pendidikan kita tidak berupaya melahirkan warganegara yang prihatin, peka, proaktif kerana kesedaran komponen pendidikan politik pun tidak dapat disalurkan dengan sistematik di segenap lapisan masyarakat. Adakah ia menjadi ketakutan, kegusaran, dan kebimbangan kepada pihak kerajaan sekiranya gelombang kesedaran itu muncul ditengah masyarakat atas dasar kefahaman, keprihatinan dan kepekaan..

Lantaran itu, buat pihak kerajaan dan parti pemerintah, saya amat kesal dan kecewa dengan pihak kerajaan kerana gagal memulangkan segala mandat dan kepercayaan yang diberikan pada pilihanraya yang lepas (PRU 12, Mac 2008) kemenangan pada pilihanraya yang lalu hanya dari kacamata kemenangan kerusi  (parlimen & DUN) semata, namun tampak jelas hampir 3 tahun memegang amanah ini, pentadbiran dan kepimpinan ini hanya seolah-olah melepaskan batuk ditangga, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib dan kabinetnya pada amatan saya adalah terlalu lemah walaupun gagasan 1 Malaysia seolah-olah suatu omongan kosong yang cantik pada luaran dan bersifat retorik semata-mata, semakin banyak isu  (keselamatan negara, kehakiman, pendidikan, sosial, bencana ekonomi dll) dan gejala salah laku para pegawai kerajaan dan bapak menteri (rasuah, skandal seks, korupsi, pembunuhan dll) semakin hangat didedahkan di dada akhbar dan media massa. Semuanya gagal ditangani dengan baik dan hanya sekadar respon tetapi tidak serius dalam segala tindakan yang diambil. Terlalu banyak kelompangan yang berlaku, namun rakyat tidak diberikan kesedaran dan penerangan, mereka semakin ditindas dan dipergunakan. Sudah masanya rakyat memikirkan sesuatu yang lebih baik untuk memilih kepimpinan negara yang lebih baik pada masa hadapan. Sewajarnya, kita bersedia dan berani membuat perubahan dan bertukar kerajaan jika diberi peluang pada masa akan datang.

Di tambah pula, baru-baru ini isu 4 orang pelajar UKM ditangkap atas pertuduhan berkempen pada pilihan raya Hulu Selangor dan Kes Rosmah Puaka adalah sesuatu yang naif. Adakah layak dan sewajarnya mereka dihukum tanpa meminta penjelasan dan pengadilan serta pihak Universiti menggunakan AUKU sewenang-wenangnya, arahan yang agak tergopoh gapah dan tindakan melulu yang dikeluarkan oleh KPT kepada para Naib Canselor agar mengenalpasti dan mengenakan tindakan kepada mahasiswa yang terlibat dengan politik dan unsur negatif yang mungkin suatu konspirasi ini adalah satu perkara yang pada pandangan saya adalah bukan sebagai penguatkuasaan undang-undang (AUKU) kerana mahasiswa bukanlah "penjenayah" yang dikehendaki, tetapi apa yang kami lakukan ini adalah untuk membuktikan bahawa terlalu banyak kelemahan dan kepincangan yang terjadi dalam negara. Pada amatan kami arahan yang dikeluarkan itu adalah sebagai usaha untuk mempertahankan kekebalan parti pemerintah/ kerajaan dan melindungi segala kepentingan mereka kerana mereka amat bimbang ketika mana mahasiswa terlibat secara langsung dalam mematangkan politik negara dan bersuara.

Terbaru, kerajaan melalui jemaah menteri sebulat suara melarang mahasiswa terlibat aktif dalam politik? Ketakutan semakin memuncak, segalanya nampak terdesak. Forum ‘student power’ pula telah diharamkan di UiTM. Adakah semua ini mampu menghalang kebangkitan mahasiswa? Ataupun mahasiswa yang ada masih tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku. Jika dipandang secara sinikalnya, apakah tiada beza antara mahasiswa dan belia muda diluar sana yang bebas menentukan warna politik dan anutan idealisme mereka yang tersendiri. Justeru, hari ini, seluruh elemen gerakan mahasiswa perlu duduk semeja. Bermuhasabahlah. AUKU telah berjaya dipinda. Slogan “Mansuhkan AUKU” entah hilang ke mana. Tekad perlu dibulatkan. Semangat perlu disemarakkan. Benar, AUKU bukan segala-galanya. Aktivisme mahasiswa tidak akan sama-sekali terkesan dengan AUKU. Namun, perlu kita ingat bahawa AUKUlah yang selama ini telah menjadi demon dan dogma jahat yang ditakuti oleh rakan-rakan mahasiswa kita yang lain sehingga mereka terperosok jauh ke dalam kehidupan kampus mereka yang sia-sia.

"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all." - Dale Carnegie

"Teguh Bersatu Demi Kebenaran, Hidup Mahasiswa"- Azlan Zainal

Kerajaan adalah 'khadam' rakyat

Pemimpin dan kerajaan yang memerintah sesebuah negara sewajarnya memberikan layanan terbaik kpd rakyat mereka kerana sebenarnya mereka (pemimpin dan kerajaan) akan mendapatkan manfaat yang lebih banyak daripada apa mereka berikan.

Sebenarnya pemimpin politik sebagai ketua kerajaan, tidak kira gelaran yang di pakai sama ada presiden atau pun perdana menteri, adalah begitu lemah kerana mereka memerlukan rakyat untuk menerima mereka. Sistem kerajaan yang ada sama ada monarki, monarki berperlembagaan, diktator, junta tentera, komunis, demokrasi berparlimen, republik teokratik, republik dsbnya memerlukan rakyat yang menerima kerajaan yang memerintah.

Oleh itu pemimpin politik hanya dapat memperpanjangkan usia pemerintahan mereka dari dukungan dan sokongan rakyat yang berpuas hati dengan layanan kerajaan melalui jenteranya yang ada.

Tanpa sokongan dan dukungan rakyat negara boleh menjadi kacau bilau dan hancur. Sokongan dan dukungan rakyat mungkin didapati secara buatan (artificial) melalui paksaan atau hadiah/rasuah (rewards) tertentu. Ini adalah terlalu rapuh bergantung kepada kekuatannya (intensity). Bila kekuatannya melemah akan berlaku masalah rakyat tidak mahu taat.

Apakah fungsi sesebuah kerajaan? Kerajaan sewajarnya menyediakan polisi-polisi yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyatnya dan pada waktu yang sama melaksanakan peraturan bagi sesiapa saja yang melanggarnya. Kerajaan sepatutnya membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Tapi seolah-olah pemimpin dalam banyak negara terlupa peranan yang sepatutnya berlaku; menolong rakyat. Nampaknya Tamak dan Kuasa semakin menguasai kerajaan dan akhirnya rakyatnya akan menderita.

Apabila sokongan dan dukungan rakyat bukan asli (real) tetapi hanya buatan, sejarah akan tetap berulang. Lihat apa terjadi, sekadar contoh, kepada Shah Iran, Marcos, Suharto, Kwame Nkrumah (Ghana), A. Milton Obote (Uganda), Jeneral Idi Amin (Uganda), Jeneral Sani Abacha (Nigeria), Wojciech Jaruzelski (Poland), Enver (Albania), Bay Doc Duvalier (Haiti), Kolonel Mengistu Haile-Mariam (Ethiopia), Slobodan Milosevic, President Nicolae Ceausescu (Rumanian), Robert Mugabe (Zimbabwe), Hissene Habre (Chad), Augusto José Ramón Pinochet Ugarte (Chile) dan Kolonel Juan Peron (Argentina). Apabila rakyat bangun menuntut hak dan keadilan yang selama ini di nafikan walaupun terpaksa berdepan polis, unit pencegah rusuhan dan tentera yang bertindak secara kasar serta menggunakan peluru hidup.

Akhirnya Shah Iran, Marcos dan Suharto dllnya tiba-tiba hilang kuasa saktinya, terpaksa berundur dengan keadaan terhina meninggalkan kehebatan dan kemewahan istana. Hujungnya sama saja: Sama ada mereka dan orang kanan serta keluarga mereka melarikan diri bersama-sama kekayaan negara atau menunggu kes-kes mahkamah kerana mereka menghadapi tuduhan-tuduhan termasuk tuduhan menyalahgunakan kekayaan negara.

Hatta polis, polis rahsia yang terkenal dan tentera yang amat di takuti suatu masa dahulu kerana sering di salah guna tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka terpaksa mundur kerana gelombang barisan rakyat sudah bangkit atau mereka bertukar ketaatan di pihak rakyat.

Oleh itu ingatlah pemegang kedaulatan tertinggi di dalam sebarang pemerintahan atau kerajaan adalah RAKYAT. Dalam istilah kita: RAKYAT HAKIM NEGARA. Kepuasan rakyat merupakan ukuran kejayaan sebuah pemerintahan mana-mana negara. Bukan dengan menakutkan rakyat melalui penyalahgunaan kuasa jentera kerajaan. Bukan juga dengan merasuah pengundi dalam pelbagai cara untuk memenangkan kerajaan sedia ada.

Di antara kerajaan dan rakyat: Siapa yang terhutang budi? Kerajaan sepatutnya sedar bahawa mereka hanya berjaya memerintah negara menggunakan kekayaan negara dan menggunakan duit rakyat! Bukan membuncitkan perut anak-beranak, kerabat serta kroni dengan harta dan kekayaan melalui cara yang tidak halal. Berkhidmat untuk Rakyat.-Azlan Zainal

Memikirkan semula fungsi dan peranan Universiti

Universiti mempunyai makna yang cukup akrab dengan ilmu. Newman merujuk university sebagai “School of Universal Learning” di mana universiti menjadi pusat ilmu dalam apa bidang sekali pun dan sentiasa kehadapan dalam memandu masyarakat. University seharusnya menjadi tanda aras ketamadunan dan ketertinggian intelektual masyarakatnya. Nilaian universiti terbaik adalah universiti yang mampu menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya sahaja malah turut mengesan masyarakat umumnya. Impak yang dimaksudkan sudah tentunya merujuk kepada memberi jawapan terhadap polemik yang wujud dalam kalangan masyarakatnya sama ada yang bersifat structural mahupun yang berciri semasa dan dalam masa yang sama, sentiasa menawarkan idea – idea baharu.

Oleh hal yang demikian, jika perkara ini dijadikan sebagai tanda aras universiti yang baik, maka adakah universiti di Malaysia ini amat jauh keterbelakang dalam mendukung makna universiti itu sendiri ? Andainya kita merujuk kepada falsafah pendidikan kebangsaan (FPK), salah satu konsep asas yang terkandung dalam FPK adalah mengenai ilmu, nilai dan peranannya dalam pembangunan insan dan masyarakat – hal yang merupakan inti pati yang mendukung makna universal Knowledge – Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia.

Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia dan seharusnya yang memikul tanggungjawab ini adalah universiti. Hal ini kerana, mereka yang terbaik dalam kalangan masyarakatnya – daripada sudut akademik – pastinya akan tertumpu dan terkait dengan universiti. Jika tidak, maka rugilah universiti tersebut.

Gerakan intelektual adalah perlu dalam sebarang bentuk gerakan masyarakat sebagai vanguard – perintis barisan hadapan sesuatu gerakan (perjuangan) – yang memacu pengislahan dan pereformasian serta pencerahan sesuatu masyarakat. Tanpanya sebarang gerakan massa itu hanya akan bersifat kosmetik, luaran, popular dan gagal mencetus perubahan – apatah lagi revolusi pemikiran. Hanya dengan adanya pemikiran – pemikiran besar yang bersifat structural yang mampu memberi anjakan paradigma baharu dalam sesebuah masyarakat. Pencerahan dan pengislahan hanya bermula selepas masyarakatnya berfikir.

Man only can become man by education. Jadi, pada pundak siapa seharusnya beban tanggungjawab mencerahkan dan menyedarkan masyarakat ini diletakkan?

Apakah ini tanggungjawab universiti? Namun jika universiti sendiri tidak terbina dengan nilai ilmu, harus bagaimana? Jika universiti Malaysia gagal memainkan peranan utamanya ini – malah makin menyeret masyarakatnya dalam gelap pekat – tak kan kita harus menyuruh para naib Canselor kita kembali menekuni falsafah dan nilai intelektual semula, apa pula kata dunia pada kita nanti? Letak hebatnya Universiti itu bukan pada capaian 'ranking' nya semata tapi pada erti manusia yang mendewasakan Mahasiswanya.-Azlan Zainal

Adakah Jebat derhaka?

Hang Tuah bersaing dengan Hang Jebat untuk jawatan laksamana. Hang Jebat berketurunan sama dengan Sultan Mansur Syah dan juga Bendahara Seri Nara Di Raja bin Raja Benua Keling Mani Purindam. Setelah Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang berkuasa, kedudukan Hang Tuah menjadi semakin penting. Hang Tuah berketurunan Melayu daripada sebuah negeri di utara Semenanjung. Tun Perak juga telah meletakkan Raja Muhammad, putera sulung Sultan menjadi Raja Pahang tetapi bukan sebagai Raja Melaka. Keputusan itu dibuat berikutan peristiwa Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Tun Perak dalam satu permainan sepak raga. Beliau melantik Sultan Alauddin Riayat Shah menjadi sultan kerana Sultan Alauddin Riayat Shah ialah anak saudara Tun Perak. Raja Munawar yang sepatutnya menjadi sultan tidak dilantik walaupun ia beribukan seorang Melayu tulen dan pewaris takhta yang lebih berhak. Sebaliknya, dia menjadi raja di Kampar.

Hang Jebat cuba melakukan rampasan kuasa namun percubaan itu gagal. Hang Tuah yang dibantu oleh Tun Perak serta pasukan-pasukan tentera dari negeri-negeri Melayu di utara semenanjung termasuk Selangor, Kedah dan Kelantan menggagalkan percubaan itu. Hang Jebat dihukum bunuh walaupun ia adik Sultan Mansur. Hang Jebat memilih untuk mati di tangan Hang Tuah.

Puak Tun Perak dan Hang Tuah terus berkuasa di Melaka sehingga zaman Sultan Mahmud Shah. Setelah Tun Perak meninggal dunia, jawatan bendahara berpindah kepada adik Tun Perak iaitu Tun Perpatih Putih bin Tun Perpatih Sedang.

Apabila Bendahara Seri Tun Mutahir bin Tun Ali, atau terkenal dengan gelaran Temenggung Seri Maharaja berkuasa, politik Melaka dikuasai oleh penyokong Hang Jebat. Penyokong Hang Jebat terus berkuasa sehingga kedatangan Portugis.

Penyokong Tun Perak dan Hang Tuah tidak berpuas hati. Mereka bersekongkol dengan Alfonso de Albuquerque untuk menguasai Melaka. Panglima Awang membantu Alfonso de Albuquerque dengan meriam, kapal perang dan pasukan tentera. Beliau dibantu oleh Panglima Hitam. Pembesar Melaka lain yang membantu Panglima Awang ialah Raja Abdullah iaitu anak kepada Sultan Munawar Shah, Sultan Kampar. 16 Julai 1511 ialah tarikh yang amat bersejarah. Ini kerana pada tarikh inilah Panglima Awang menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Alfonso de Albuquerque. Alfonso de Albuquerque membawa pasukan marinnya memasuki kota Melaka pada 24 Ogos 1511 setelah sekurang-kurangnya 25,000 buah bangunan dimusnahkan dan lebih daripada 130,000 orang terbunuh. Raja Abdullah menjadi Bendahara Melaka pertama di bawah pentadbiran Portugis.

Meluruskan kembali sejarah perjuangan kemerdekaan

Pada tahun-tahun terakhir sebelum bersara, ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO, Tun Mahathir berulang-ulang menyatakan bahawa perjuangan kemerdekaan negara ini bermula dengan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946, dan kemudian UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dalam konteks penentangan terhadap Malayan Union itulah yang menuntut kemerdekaan daripada British bersama-sama dengan MCA dan MIC.

Inilah versi sejarah perjuangan kemerdekaan "arus perdana" yang agaknya sudah menjadi "versi rasmi", yang termuat dalam buku-buku teks sekolah dan selalu diulang-ulang oleh media cetak dan media elektronik milik pemerintah atau yang dikuasi oleh parti pemerintah.

Versi sejarah perjuangan kemerdekaan arus perdana ini jelas tidak tepat dan mengelirukan, kerana dari perspektif masa, ia melihatnya dari perspektif jangka pendek. Dengan menyatakaan perjuangan kemerdekaan itu bermula pada tahun 1946, maka yang akan tertonjol ialah peranan UMNO saja dalam perjuangan itu, dan perjuangan kemerdekaan itu seolah-olah merupakan "monopoli UMNO".

Dengan perspektif jangka pendek yang demikian, peranan dan jasa tokoh dan golongan lain yang mempelopori perjuangan kemerdekaan sebelum itu seolah-olah ingin dilupakan dan diketepikan. Ini merupakan satu penyelewangan sejarah, kalau pun bukan pembohongan sejarah, dan mesti dibetulkan (atau "diluruskan" kata orang Indonesia).

Untuk meluruskan kembali sejarah perjuangan kemerdekaan ini, kita sepatutnya menggunakan perspektif masa yang lebih panjang atau lebih awal dari tahun 1946, yang mungkin boleh kita istilahkan sebagai perspektif jangka panjang dan perspektif jangka sederhana.

Dengan perspektif jangka panjang, kita boleh melihat perjuangan kemerdekaan itu sudah pun bermula selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis, atau terkemudian sedikit selepas negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor , Pahang dll jatuh ke tangan Inggeris.

Dengan itu, kita boleh melihat dan menghargai peranan pembesar tradisional Melayu, seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagur di Perak, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang dan Tok Janggut di Kelantan dalam perjuangan menentang Inggeris. Mereka bukan pemberontak atau penderhaka sebagaimana yang didakwa oleh Inggeris, tapi perjuang kemerdekaan yang tidak mahu tanah air mereka dijajah dan diperintah oleh kuasa asing.

Dengan perspektif jangka sederhana pula, kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan secara berorganisasi dan dalam bentuknya yang moden sudah bermula pada tahun 1930 dengan penubuhan PKM. Kemudian perjuangan itu diteruskan oleh KMM yang ditubuhkan pada tahun 1937 dan oleh PKMM (bersama badan gabungannya API dan AWAS ) yang ditubuhkan pada tahun 1945.

Jadi kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan dalam bentuknya yang moden itu sudah dipelopori oleh PKM, KMM dan PKMM sebelum UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Dengan itu, pelopor perjuangan kemerdekaan bukan UMNO, tapi ialah pelbagai organisasi yang wujud sebelum UMNO.

Dengan perspektif jangka sederhana ini juga kita boleh melihat dan menghargai peranan pelbagai tokoh yang turut memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan, seperti Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussein (KMM), Dr.Burhanuddin dan Ishak Haji Mohamad (PKMM), Ahmad Boestamam (API) dan Shamsiah Fakeh (AWAS).

Begitu juga mungkin bukan satu kesalahan jika kita mengikiraf peranan PKM dengan tokoh-tokoh Melayunya seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad dalam perjuangan kemerdekaan. Dan adakah satu kesalahan jika kita masukkan juga Chin Peng, tokoh utama PKM, sebagai salah seorang pejuang penting kemerdekaan?

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini jelaslah pada kita, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan negara kita bukan bermula pada tahun 1946, dan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO bukanlah pelopor perjuangan kemerdekaan. UMNO dan kedua tokohnya itu sebenarnya hanya menyambung perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh banyak tokoh lain sebelum mereka.

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini juga saya harap kita dapat "meluruskan" sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita yang telah diselewengkan oleh versi sejarah arus perdana.

Dan dengan itu, adalah satu keharusan kita turut memberi pengiktirafan terhadap peranan dan jasa pelbagai tokoh pejuang kemerdekaan sebelum Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, yang tentunya tidak wajar dilupakan begitu saja. Bagi saya mereka semua menyumbang jua demi memerdekakan negara, cuma cara dan laranya perjuangannya sahaja yang berbeza.

Tokoh-tokoh yang ingin dilupakan ini tentu wajar dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang tulin, kerana sebahagian besar daripada mereka pernah menjadi penghuni kem tahan dan penjara rejim kolonial, dan sebahagian lagi terpaksa bergadai nyawa apabila keadaan memaksa mereka mengangkat senjata.-Azlan Zainal

Kediktatoran pada pengertian 'Ketuanan Melayu'

Menaksirkan Ketuanan Melayu sebagai 'Malay superiority’ (keunggulan Melayu) sebaliknya agak tidak bermakna, tidak tepat secara asal usul ilmu bahasa dan secara falsafahnya dilihat angkuh. Saya kira kata 'kediktatoran' lebih dekat pada pengertiannya.

'Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada orang Arab yang lebih mulia dari orang bukan Arab atau orang bukan Arab lebih mulia dari orang Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih), selain daripada belas kasihannya. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.'- Sabda Nabi Muhammad s.a.w (Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi.

'Malaysia – dipunyai oleh siapa? Kepada warga Malaysia. Tapi siapakah warga Malaysia itu? Tuan Pengerusi Majlis, harapannya sayalah warga itu. Namun kadangkalanya, duduk di kamar ini, saya meragui kalau-kalau saya dibenarkan menjadi warga Malaysia. Ia keraguan yang membuai tergantung dalam pemikiran ramai orang,.... [sekali] emosi digerakkan dalam tindakan, manusia berlaga sesama manusia sepanjang kata-kata yang tidak terucap, kamu akan berdepan dengan perang yang akan memecahkan negara dari atas ke bawah dan meleraikan Malaysia.'– Lee Kuan Yew, Menteri Kanan, Republik Singapura.

Menaksirkan Ketuanan Melayu sebagai 'Malay superiority’ (keunggulan Melayu) sebaliknya agak tidak bermakna, tidak tepat secara asal usul ilmu bahasa dan secara falsafahnya dilihat angkuh. Saya kira kata 'kediktatoran' lebih dekat pada pengertiannya. Seterusnya membaca tulisan ini, tolonglah jauhi daripada membuat penghakiman tentang nilai dan janganlah terperangkap dalam penjara bahasa yang berhubungan dengan kata 'kediktatoran'.

Mendikte ['dikte' kata akar 'diktator'] membawa erti tersirat memberitahu, yang juga bermaksud menceritakan. Menceritakan bermaksud menjalin kisah berasaskan satu ideologi. Mengideologikan bererti mengurung. Mengurung bermaksud akan diperangkap. Kediktatoran di sini bermaksud pemerangkapan. Seseorang itu bukan menyedari kebebasan untuk memerintah tetapi sebaliknya sedar dirinya dalam perangkap – dan cuba keluar dari keadaan yang menjeratnya itu. Inilah bentuk kesedaran palsu.

Kata-kata, seperti yang diungkapkan ahli teori sastera Raymond Williams, perlu dipancangkan pada konteks/diletakkan dalam keadaan ekonomi yang muncul di dalamnya. Pernyataan terkenal Marx bahawa kewujudan manusia itu berdasarkan takrif keadaan ekonomi mereka dan keadaan ekonomi tersebut telah ditentukan sebelum mereka lagi. Ini merupakan pandangan 'ketentuan' (deterministic) dalam sejarah manusia.

Saya pertama kali mendengar ungkapan Ketuanan Melayu yang telah lama diwarwarkan dalam pertengahan 1980-an dari buku karangan Malik Munip. Saya membaca karyanya, dalam masa yang sama menelaah tulisan Lim Kit Siang, ‘Malaysia in the dangerous 80s’ (Malaysia dalam tahun-tahun 80an yang berbahaya) untuk mendapatkan kesan penghujahan.

Saya juga mendengar, para pelajar Melayu tidak digalakkan membaca karya Kit Siang dan digalakkan membaca 'Ketuanan Melayu'. Saya sukakan buku-buku yang diharamkan dan buku yang disebut orang supaya jangan dibaca. Terdapat rasa cabaran intelektual atas keupayaan membaca buku-buku terlarang. Saya membaca buku Mahathir Mohamad, 'Dilema Melayu' dan buku Syed Husin Ali, 'Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya' serta buku, 'Mitos Pribumi Malas' karya Syed Hussein Alattas serentak pada waktu yang sama. Sekali lagi, untuk mendapatkan rasa keseimbangan.

Saya membaca penerbitan rasmi tentang keadaan ekonomi, disamping iringan bacaan rapi analisa ekonomi-politik negara kapitalis Malaysia. Saya membaca karya Sigmud Freud dan Marx bagi melihat sejauhmanakah penghujahan tentang totalitarianisme dari para pengarang besar arus pemikiran Sekolah Kajian Kemasyarakatan Frankfurt (Frankfurt School of Social Research). Saya membaca Al-Quran dan Bhagavad Gita, Ramayana dan Mahabharata untuk melihat dimanakah berdirinya hujah berkenaan keunggulan kaum dan apakah takdir masa hadapan manusia.

Jika kita membaca sejarah perkembangan ideologi ketuanan ini, kita dapat melihat ide tentang penguasaan sosial dan keunggulan kaum kemungkinan segalanya hanyalah berpunca daripada ekonomi. Tetapi soalan saya – siapa yang berhak mendakwa bahawa tanah ini dan itu dipunyai oleh kumpulan orang ini dan itu. Di titik manakah budaya dan kewarganegaraan bertemu dan merundingkan isu berkenaan kesetaraan [fahaman egalitarianisme]? Di mana 'kebenaran satu-satu budaya' itu sampai ke batas hadnya dan datang persoalan menguasai tentang 'kebenaran kewarganegaraan'?

Ia perihal persoalan yang cukup rumit. Warga Malaysia perlu menjawabnya setelah 52 tahun kemerdekaan. Kita mesti membuka ruang perbincangan berkenaan isu ini.

Lirik yang indah penuh propaganda

Mari kita melihat bagaimana gagasan ketuanan Melayu disebar luaskan ke dalam jiwa anak-anak muda. Salah satu caranya, melalui kem-kem pemaksaan kepercayaan (indoctrination) dengan menggunakan nyanyian lagu-lagu. Lebih berdekad lamanya, barangkali jutaan pelajar Melayu diajarkan lagu propaganda berbahaya, ‘WARISAN/Anak Kecil Main Api’. Salah satu rangkapnya mengungkapkan kuasa orang-orang Melayu:

… kini kita cuma tinggal kuasa
yang akan menentukan bangsa
hasil mengalir, ke tangan yang lain
pribumi merintih sendiri…
(senikata lagu Biro Tata Negara)

Saya tidak fikir kita memiliki kejernihan kefahaman terhadap maksud lirik ini. Saya juga meragui penulis lagu ini benar-benar mengerti maksud 'sejarah rakyat Malaya'. Ianya lagu yang berasaskan hasrat perkauman; liriknya ditulis seorang yang tidak memiliki kefahaman ekonomi-politik sejarah warga Malaysia, apatah lagi kemajuan terkini di bidang ilmu kejiwaan (psikologi) tentang kesedaran.

Program-program latihan yang memerangkap jerat dengan tema lagu ini bertujuan menumbuhkan perasaan takut orang Melayu, bukan terhadap orang lain tetapi diri mereka sendiri, serta mengacukan kebencian terhadap kumpulan etnik lainnya tanpa menyedari siapakah musuh sebenar orang Melayu.

Ia menggunakan kaedah merehatkan tubuh bagi membawa gelombang otak dalam isyarat alpha dan keadaan yang bersesuaian untuk penyampaian pesan-pesan tidak senonoh di bawah sedar. Dalam keadaan ini para pelatih dipukau ke dalam keadaan 'separuh tidur' bagi menyerap pesan ketuanan Melayu yang menjajah kesedaran mereka. Teknik ini dipelopori ahli sains Rusia, Barzakov dan Lozanoz di awal tahun 1970-an, dinamakan ’suggestopedia’ yang digunakan untuk menanam rasa takut yang mencengkam dalam diri seseorang dan kebencian mendalam terhadap orang lain.

Sejarah adalah himpunan corak rumit tata cara aturan susunan kata-kata yang saling mempengaruhi di antara teknologi, ideologi, budaya, taksiran dan proses yang melembagakannya. Sejarah tidaklah semudahnya dapat dikurangkan setakat lirik-lirik dangkal yang pernah dinyanyikan suatu waktu dahulu sebelum perang [Dunia Kedua] di Jerman dalam alunan gubahan semangat kebangsaan yang melampau.

Sejarah juga tentang kerumitan perkembangan beransur-ansur (evolusi) kelas pemerintah yang memiliki teknologi-teknologi pengawalan. Seperti kata Marx, pada setiap zaman hanya sejarah penguasa yang mengawal perkakas-perkakas pengeluaran yang akan ditulis dan ditulis kembali. Pemenang menulis sejarah, mereka yang kalah menulis puisi atau mengkaji sains kajian budaya (antropologi), keluh sebahagian orang lagi.

Kembali ke lirik tadi. Setelah 52 tahun kemerdekaan, siapakah yang menderita di Malaysia? Siapa yang menjadi kaya-raya? Siapa yang membesar dan berkembang menjadi raja perompak? Apa yang terjadi ke atas sistem kehakiman kita, universiti kita, jalan-jalan di kota kita, jaminan keselamatan awam kita, sekolah kita, anak muda kita dan keseluruhan penyusunan sosio-ekonomi masyarakat menjelang pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Bagaimana ide ketuanan Melayu menyumbang terhadap keadaan-keadaan yang wujud hari ini?

Bahasa kuasa dan ideologi di alunkan dalam lirik tersebut. Penakrifan 'bumiputera' dimainkan. Ia menjadi kata yang bermasalah dalam era dekonstruksionisme [fahaman tentang kemusnahan makna dan pembinaannya kembali dalam bermacam ragam taksiran atas dobrakan pada makna tersebut]; menurut penyair WB Yeats suatu era dimana tiada lagi pemusatan, “pusat bukan lagi penumpuan segalanya.”

Pemuzik rock akan mengingati lagu terkenal kumpulan Scorpion, 'Winds of Change' bagi mengenang runtuhnya Tembok Berlin dan permulaan pecahnya Empayar Soviet. Kita perlu berdepan dengan 'kemarahan' kata-kata.

Tamatkan Ketuanan Melayu

Bagi umat penganut Islam di Malaysia, sabda Nabi Muhammad S.A.W ini memang biasa didengar:

'Asal usul turunanmu tidak perlu dibanggakan. Tidak juga ia membawa kepadamu keagungan. Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa. Kamu semua sama ibarat bijirin gandum di dalam cupak ... tiada yang lebih mulia dari lainnya, kecuali dalam amal saleh dan ketaqwaanmu. Untuk melihat seseorang itu dalam kekejian, mencukupi jika dia menghina orang lain dengan wang, amarah dan pembaziran....'

Saya menyatakan ketuanan Melayu merupakan gagasan berbahaya yang mengancam hubungan kaum. Ia merupakan taksiran sombong terhadap sejarah terpilih; sejarah yang memberi keuntungan besar terhadap sekumpulan orang hasil daripada penerapan ideologi ini.

Siapapun yang mempromosikan gagasan ini adalah dangkal dalam perihal perkara falsafah sejarah. Saya tidak fikir Melayu hari ini membeli ide 'ketuanan Melayu dan kediktatorannya'. Jika ada ketuanan satu-satu kaum itu, maksudnya kaum lain hanyalah 'hamba' dan 'abdi' atau 'warga kelas kedua'. Itupun kalau kita ingin menganalisa dari sudut pandang hikayat 'Tuan dan Hamba'?

Selaku orang Melayu yang ingin melihat berakhirnya gagasan layu Ketuanan Melayu dan lahirnya kesedaran baru yang menghormati martabat semua kaum dan maruah kesemua kumpulan etnik, saya menyeru warga Malaysia untuk terus bersikap kritis terhadap apa jua usaha oleh kaum manapun untuk mencanakkan gagasan ketuanan palsu mereka. Ini kerana ianya akan mencambahkan etnocentrisme [fahaman kecintaan kaum yang melampau] yang berjiran pula dengan xenofobia [fahaman kebencian terhadap orang asing].

Kita perlu bekerja sama untuk mendobrak [dekonstruk] segala bentuk susun aturan politik berasaskan kaum. Seiring dengan itu bekerja ke arah menzahirkan tata cara baru yang berasaskan kepada reka bentuk ekonomi yang lebih setara yang mengambil kira keperluaan asasi dan martabat kesemua kaum. Kita mesti mengajar murid-murid sekolah bagaimana untuk mendobrak rasa keunggulan ketuanan kaum itu, bukan saja dengan mengajar tolak ansur tetapi kesetaraan masyarakat – melalui strategi pendidikan kedamaian. Kita akan menuai hasilnya buat generasi akan datang.-Azlan Zainal

Islam dan Demokrasi, adakah kesamaan padanya?

Selepas forum 'Free Public Forum' atau lebih dikenali dengan FPF 2 bulan yang lalu saya cuba untuk menulis makalah ringkas ini. Isu yang agak panas dan mencabar, antara Demokrat Islam & Demokrat liberal, di manakah letaknya nilai Demokrasi dalam sisi pandang Islam itu sendiri. Menurut Crick, demokrasi telah menjadi perkataan yang paling kacau dalam arena hal ehwal awam. Namun, ia telah menjadi isu penting kehidupan masyarakat moden saat ini. Hampir tidak ada satupun negara di dunia yang tidak endah idea – idea sebegini, sehingga muncul istilah-istilah seperti “Demokrasi Liberal”, “Demokrasi Terpimpin”, “Demokrasi Pancasila”, “Demokrasi Sosial”, dan sebagainya. Kenyataan tersebut tidak terkecuali pada masyarakat Islam. Lalu mula terkait mungkin sedikit dengan konsep seperti bai`ah, musyawarah (syura), dan konsensus (ijma). Ramai yang menerima nilai – nilai Islam itu identik dengan nilai demokrasi namun tidak kurang juganya menganggap Islam itu syumul tanpa perlu dikotori nilai Barat (baca: demokrasi) yang tradisinya amat beza. Tapi adakah tepat sekiranya gagasan Islamisasi ilmu itu berlaku pada tradisi barat seluruhnya sedangkan madrasah dan metodologinya sungguh banyak jauh bezanya.

Demokrasi mempunyai dua aspek, Pertama – tama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara, keduanya, sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Pada aspek yang pertama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara, Islam lebih merupakan sebuah agama dan aturan hidup bermasyarakat, tidak berbicara tentang sistem, apalagi bentuk sebuah negara. Bagi Barat pula, Idea demokrasi moden tidak lagi didasarkan atas pemikiran demokrasi Yunani tetapi dikembangkan sejak renaissance pada abad ke – 16. Idea yang dimaksudkan ialah sekularisme Niccolo Macheavelli (1469-1527), Negara Kontrak Thomas Hobbes (1588-1679), separation of powers oleh John Locke (1632-1704) yang kemudiannya disempurnakan Baron de Montesquieu (1689-1755), serta idea kedaulatan rakyat dan social contract yang diperkenalkan Jean-Jacques Rousseau (1712-1878). (David A. Apter. 1977)

Islam dan demokrasi hasil tulisan Muhammad Uthman el – Muhammady berkisar tentang penerimaan maupun keselarian antara nilai Islam dengan asas demokrasi. Beliau menyatakan tentang beberapa pendapat; Abul – A’la al – Mawdudi dan Syed Qutb. Yang masing – masing menolak langsung konsep kedaulatan popular — kedaulatan rakyat. Kerana Islam meletakkan kekuasaan mutlak pada Tuhan. Namun, yang dimaksudkan dengan kedaulatan rakyat itu selalunya menjunjung nilai – nilai kebebasan, keadilan, dan seumpamanya. Nilai manusiawi, yang juga merupakan nilai ketuhanan. Kedaulatan rakyat hendaklah diifahami sebagai manifestasi pencaran kuasa Tuhan dalam melaksanakan nilai – nilai ini tadi. Makanya, tiada yang tidak koheren di situ. Turut menyertakan tentang beberapa pandangan Ghannouchi yang terpengaruh dengan Malik Bennabi melalui esei “Islam and Democracy”, yang kemudiannya dijelaskan oleh Azzam Tamimi bahawa Islam bukan sahaja tidak bercanggah dengan demokrasi, tetapi ia berkongsi dengannya. Robin Wright kelihatannya sepakat dengan hal itu; Islam mengutamakan persamaan, keadilan, dan kehormatan darjat manusia. Dan ini sekali lagi, tidak dapat tidak punya persamaan dengan penghargaan terhadap keberadaan manusia itu sendiri melalui pemeliharaan hak asasi yang didukung faham demokrasi.

Konsep – konsep tertentu juga dibicarakan dalam pemikiran Islam klasik, antaranya ijmak, al – Sawad al – A’am, Jumhur, al – tarjih bil – kathrah, al – qawaid al – fiqhiyyah yang mempunyai kaitan dengan prinsip majority dalam syura. Mungkin permasalahan yang dihadapi khalayak apabila menganggap apa – apa yang datang daripada Barat ditafsirkan sebagai bukan Islam sebelum menilai gagasan – gagasan yang dibawa sebenarnya miliki nilai Islam yang manusiawi. Tidak kurang juga terdapat para ilmuwan yang membahaskan tentang asas demokrasi itu yang liberal. Yang bagi mereka terpisah daripada agama. Serasa, tidak salah untuk menyatakan bahawa Barat yang mengalami zaman kegelapan dahulu tidak bermusuh dengan agama tetapi dengan gereja pada waktu itu. Liberal – liber yang bermakna bebas, mungkin sahaja punya konotasi bebas daripada kongkongan gereja. Tidak agama.

Islam dan demokrasi bukanlah merupakan item yang berasingan dan berbeza. Kerana sejarah membuktikan syura boleh mengambil bentuk Islamik sehingga kini, dan ia tidak mustahil bagi demokrasi. Syura yang dianggap merupakan Islamik berbanding demokrasi, bukannya wujud selepas kedatangan Islam tetapi kaedah syura ini digunakan semasa pemerintahan Ratu Saba’. Tetapi kaedah terus digunakan semasa zaman Rasul dan para sahabat. Mengapa demikian? Kerana itu adalah kaedah yang terbaik sesuai dengan konteks zamannya, malah tiada sebarang kenyataan dalam al – Quran yang mengarah kepada pemerintahan bentuk yang bagaimana sekalipun, tetapi yang dibangkitkan tentang sistem (jika boleh dipanggil demikian) yang dapat menjamin kebajikan rakyat. Terpulang sama ada ia bentuk demokrasi atau tidak. Sesungguhnya, tidak ada aturan yang jelas dalam al-Qur’an mahupun hadis yang menyebutkan bentuk dan sistem negara yang harus ditegakkan masyarakat khususnya muslim.

Menurut al-Jabiri, persoalan politik dalam Islam baru dimulai saat ada pertemuan antara kaum Anshar dengan Muhajirin di Saqifah Bani Saidah, setelah wafat Rasul, untuk menentukan khalifah. Lalu, membangunlah sistem khalifah dan perilaku politik muslim. Namun, dalam pertemuan yang menghasilkan keputusan yang mengangkat Abu Bakar sebagai khalifah pengganti Rasul, tidak memberikan gambaran yang jelas tentang sistem dan bentuk negara. Kerana persoalan politik pada masa itu ialah tentang penguasa dan bukannya negara sebagai institusi atau sistem. Abu Bakar diangkat berdasarkan bai`ah, mengikuti aturan al-Qur`an dan Hadis. Setelah sumpah setia (bai`ah), khalifah sepenuhnya bertanggung jawab kepada Tuhan dan bukan kepada rakyat. Dikatakan sebegitu tetapi bukankah dengan terlaksananya tanggungjawab pemimpin kepada rakyat, hal itu merupakan manifestasi ketaatannya pada Tuhan.

Soal pemisahan antara negara dan agama juga ditimbulkan. Jika pada zaman khalifah al – Rasyidin, seorang khalifah sekaligus sebagai pemegang autoriti keagamaan menggantikan Rasul s.a.w., tetapi khalifah sejak Umaiyah mulai merenggangkan diri daripada agama. Jadi, di mana letaknya sistem pemerintahan Islam itu mestinya khalifah, tidak demokrasi? Dalam demokrasi sendiri terkandung nilai-nilai universal. Nilai – nilai persamaan (al – musawah), kebebasan (al – huriyah) dan pluralisme (al – musyarakat).

Prinsip persamaan muncul untuk menentang sistem dominasi kekuasaan yang dilakukan aristokrasi atau oligarki serta tuntutan sebagai akibat daripada hierarki dan diskriminasi sosial. Equality of opportunity, iaitu persamaan yang menghapuskan hambatan yang menghalang individu dalam potensinya. (Norman. 1981)

Kebebasan adalah salah satu syarat untuk mewujudkan demokrasi tetapi tidak semua bentuk kebebasan menunjukkan makna demokrasi. Kebebasan yang dimaksud, menurut Norman, hanya menunjuk pada kebebasan politik yang berkaitan dengan demokrasi, iaitu yang mencakup kebebasan bersuara, berpartisipasi dalam politik dan mempengaruhi pemerintahan. Dalam Islam, kebebasan ini meliputi kebebasan beragama dan kebebasan berfikir. Kebebasan beragama adalah kebebasan paling fundamental dalam urusan sosio-politik kehidupan manusia. Ajaran agama yang merupakan ajaran paling benar ternyata tidak dipaksakan. Rasul saw sendiri selalu diingatkan bahwa tugasnya hanya menyampaikan pesan Tuhan tidak berhak memaksa seseorang untuk beriman dan mengikutinya. Kebebasan beragama dalam Islam disebut berulang kali dalam al-Qur`an. Antara lain, pada al-Baqarah, 256, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama Islam”; al-Kahfi, 29, “Kebenaran itu dari Tuhanmu. Siapa yang ingin silahkan beriman, siapa yang ingin silahkan kafir…”. al-Ghasyiyah, 21-2. Kaedah usul al-fiqh, “al-Hukmu yaduru ma`a illatihi” iaitu hukum berubah sesuai dengan keadaannya. Kaedah usul fiqh menyatakan, Hurriyat al-mar`i mahdudah bi hurriyat siwah iaitu kebebasan individu dibatasi oleh kebebasan orang lain. Prinsip ini juga berlaku dalam soal berpendapat dan bertindak.

Dalam Islam, pluralisme merupakan hukum alam (sunnatullah) yang tidak akan berubah dan ditolak. Al – Quran menyatakan bahawa manusia memang diciptakan dalam pelbagai bangsa dan suku; al-Hujurat, 13. Oleh itu, pluralisme harus diterima dan dihormati majoriti atau minoriti. Bahkan, al – Quran menyatakan bahwa perbezaan pandangan itu hikmah menuju kebaikan; al-Maidah, 48. Untuk menegakkan dan melindungi prinsip pluralisme ini diperlukan adanya nilai-nilai toleransi; al-Baqarah, 62.

Islam dan demokrasi nyata miliki keserupaan malah lebih jauh dari itu, masing – masing membawa nilai universal yang tidak berlawanan tetapi saling memperkuat. Hal ini bukan bermakna Islam itu tempang tanpa demokrasi tetapi ia lebih merupakan apabila saat seseorang itu berbicara soal Islam, ia juga menyentuh nilai demokrasi yang bersamaan.

Senarai rujukan

Norman P. Barry. 1981. An Introduction to Modern Political Theory. Martins Press. New York.

Muhammad Syahrur. 2003. Tirani Islam: Genealogi Masyarakat dan Negara (terj). LKiS Yogyakarta.

David A. Apter. 1977. Introductions to Political Analysis. Winthrop Publisher. Cambridge.

Legasi Tuan Guru Nik Aziz, ketakutan bagi UMNO.

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera..!

Kutukan Tuan Guru Nik Aziz terhadap UMNO, “Pergi jahanamlah UMNO!”, menimbulkan huru-hara di kalangan ahli UMNO dan penyokong UMNO, yang mendorong para pemimpin UMNO mengisytiharkan diri merekalah pemimpin sejati orang Melayu dan Islam. Semua mereka sebulat suara mengajak rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu dan orang Islam, supaya melupakan saja Tuan Guru Nik Aziz, tidak memberi perhatian lagi kepada Tuan Guru yang sangat bisa mulutnya itu. Seorang Timbalan Manteri dari Kelantan berkata, Tuan Guru itu hendakkan buah, tapi tak mahu pohon apabila menolak kerjasama dengan UMNO tetapi bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat.

Jika anda pernah ke pasar tani yang kebetulan ada penjual durian, bagaimana perasaan anda jika penjual durian bertanya, “Tuan mahu buahnya saja atau pohonnya sekali?” Tentulah anda anggap penjual buah durian itu sudah gila. Apa perlunya pembeli hendak beli pokok durian, jika buahnya saja yang dia mahu? Tidakkah gila jika setiap kali anda ingin makan buah-buahan, anda terpaksa membeli pokoknya sekali. Tetapi Timbalan Menteri yang terlalu cerdik itu jadi amat bodoh apabila menggunakan analogi yang tidak masuk akal itu. Inilah taraf pemikiran pemimpin UMNO, baru berada pada kelas budak-budak sekolah, belum lagi sampai ke taraf seorang ulama seperti Tuan Guru Nik Aziz.

Kelemahan terbesar UMNO ialah tidak dapat menerima kekalahan, oleh itu mereka akan menjahanamkan musuh politik mereka dengan cara apa saja, misalnya dengan merampas kuasa seperti yang mereka lakukan berkali-kali di Kelantan, Terengganu, di Perak (terbaru) dan kini sedang mencuba bermati-matian hendak menjahanamkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Mereka boleh melakukannya kerana mereka mempunyai kuasa undang-undang kerana masih berkuasa di peringkat pusat. Mereka menggunakan undang-undang yang mereka bikin sendiri dalam Dewan Rakyat untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Dalam konteks inilah ucapan keras Tuan Guru Nik Aziz itu harus difahami. UMNO dan sekutunya menganggap Malaysia kepunyaan mereka, dengan alasan bahawa merekalah yang “memperjuangkan” kemerdekaan Malaysia. Sebenarnya mereka bukan pejuang dalam makna yang tepat yang digunakan dalam politik perjuangan kemerdekaan yang dialami di Indonesia, Vietnam, Burma dan lain-lain. UMNO adalah “perunding” kemerdekaan, yang dicipta oleh penjajah Inggeris-British untuk mewakili orang Melayu dan raja-raja Melayu. Kerana adanya perasaan “Malaysia UMNO punya”, maka UMNO tidak boleh terima sebarang kekalahan.

Sikap inilah yang telah menjahanamkan orang Melayu, kerana orang Melayu dipaksa berada dalam keadaan yang sentiasa bergantung kepada UMNO “demi keselamatan Melayu dan Islam”. Sedar atau tidak, orang Melayu telah dijadikan hamba oleh UMNO untuk terus berkuasa. Begitu terhutang budinya si Melayu ini apabila diberi sebuah jambatan baru berharga RM300,000 selepas PRK Manek Urai 14 Julai 2009 baru-baru ini. Diberi seekor anak beruk atau anak kambing pun mereka sangat terhutang budi kepada UMNO. Demikian hinanya menjadi Melayu di bawah naungan UMNO, terpaksa menjadi peminta sedekah untuk mendapat sesuatu yang mereka perlukan.

Walaupun disedari mereka perlukan jambatan, pemimpin UMNO memberi syarat dan kata dua kepada para pengundi dalam sejenis amaran yang dihamburkan oleh TPM Muhyiddin Yassin di Manek Urai baru-baru ini: “Kita boleh bagi jambatan baru, Insya Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja Barisan Nasional. Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah Barisan Nasional. Kalau tidak, esok tak dapat jambatan. Nak jambatan, pangkah Barisan Nasional.” (Siasah, 19-25 Julai, 2009).

Keangkuhan seperti ini mendorong sebahagian besar rakyat Manek Urai menjeritkan kutukan, “Pergi jahanamlah UMNO!” Suara rakyat itulah yang digemakan kembali oleh Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau mengulang kutukan itu. Ituah makna sebenar “rakyat diutamakan” yang digembar-gemburkan oleh Najib Tun Razak, yang kononnya mencipta One Malaysia (bukan Satu Malaysia kerana satu sen tidak ada harga sekarang!). Nah, mengapa pula UMNO marah-marah apabila rakyat benar-benar diutamakan dengan mengulang kutukan mereka, “Pergi jahanamlah UMNO!” seperti yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz. Kalau benar rakyat diutamakan 'BUBARKAN saja Dun Perak, biar rakyat yang menentukannya!

Jika kalau betul-betul rakyat diutamakan juga, UMNO wajib dengar suara yang berbeza daripada rakyat, walaupun berupa kutukan. Kutukan demikian sebenarnya perlu untuk mengimbangi keangkuhan para pemimpin UMNO seperti yang ditunjukkan oleh Muhyiddin Yassin di Manek Urai. Dalam konteks ini, UMNO mesti bersedia untuk dikalahkan, malah UMNO mesti belajar menjadi kumpulan yang kalah.

Pendeknya, hanya dengan menerima kekalahan sebagai ketua parti yang budiman dan bersikap lapang dada, barulah UMNO boleh berubah. Jika UMNO tidak mahu kalah, maka sikap itu bertentangan dengan Islam yang dikatakan amat disanjung oleh UMNO. Atau sebenarnya UMNO berpura-pura dalam semua perkara, termasuk dalam agama? Kalau begitu, tepatlah tempelak Tuan Guru Nik Aziz, “Pergi jahanamlah UMNO!. Ingat doa ulama' bisa saja diangkat Tuhan, takut berat padahnya.-Azlan Zainal
 

different paths

college campus lawn

wires in front of sky

aerial perspective

clouds

clouds over the highway

The Poultney Inn

apartment for rent