LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Showing posts with label sambal. Show all posts
Showing posts with label sambal. Show all posts

Sunday, September 25, 2016

Sambal Kicap


Assalamualaikum dan selamat sejahtera;


Pagi tadi saya letak gambar sambal kicap ini di FB dan ada kawan-kawan yang bertanyakan bagaimana cara-cara nak buat sambal ini.Sebenarnya tiada resipi hanya pakai campak-campak saja atau agak-agak.Orang dulu-dulu tiada sukatan yang tepat jika memasak tapi hanya agak-agak mengikut pengalaman atau trial and error .
Tetapi jangan risau untuk membuat sambal kicap ni tak susah insyallah jadi dan sedap.

Bahan-bahan yang di perlukan...

6-7 biji cili api-terpulang pada selera masing-masing jika suka pedas letaklah lebih.

1 ketul kecil gula Melaka.

1 sudu makan gula pasir.

1 sudu teh garam.

1 ketul kecil..agak2 sebesar ibu jari belacan-panggang sekejap.

4 sudu makan cuka

4 sudu makan kicap manis.

Cara-caranya:)


  • Tumbuk cili api sehingga hancur.
  • Masukkan gula melaka,garam,gula pasir,kicap serta cuka.Lenyek sehingga semua bahan-bahan sebati.
  • Siap untuk di hidangkan  dengan keropok lekor,mangga muda ,soto dll.Selamat mencuba ya.





Cili Api Jeruk

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bahan-bahan yang di perlukan...
Cili api.
Garam.
Gula.
Cuka makan.
Botol kaca yang sesuai.


Kali ini  saya ingin berkongsi cara-cara untuk menjeruk cili api agar ia bertahan lama.Selalunya jika kita simpan dalam peti ais dalam tempoh yang lama cili akan reput atau rosak dan jika   kita simpan dalam freezer pun cili akan jadi lebam dan akhirnya rosak juga.Jalan paling selamat adalah dengan di jadikan jeruk.
Saya ada menanam 5 pasu pokok cili api dan semuanya berbuah serentak.Alhamdulillah seronok sangat apabila melihat pokok_pokok itu berbuah dengan lebatnya.Tak habis untuk kegunaan harian kerana kami sekeluarga bukan pemakan cili tegar  jadi saya mengambil keputusan untuk menjeruk lebihan cili api yang saya petik petang tadi agar bertahan lama.


Inilah hasil tuaian petang tadi.Saya cuci bersih dan keringkan betul-betul sebelum di jeruk.

Cili api yang sudah di keringkan airnya tadi perlu di gaul dengan garam serta gula.

Kemudian cili api tadi di isikan kedalam botol yang telah di rendam dengan air mendidih dan keringkan sebelum di gunakan.Akhir sekali tuangkan cuka makan kedalam botol cili sehingga penuh.

Sekarang jeruk cili api kita sudah siap.Dalam masa empat lima hari lagi boleh lah di makan bersama bihun sup,sup tulang ,mee goreng atau apa-apa saja yang di sukai.Ada juga yang makan dengan nasi panas atau dengan ikan pekasam.Selamat mencuba...






Monday, October 6, 2014

Sambal pecal

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Sambal Pecal.

Resipi asal : Khai Kitchen.
  Olahan : Makcikmanggis.

Bahan-bahannya:

8 tangka icili kering.*
8 ulas bawang merah.*
2 ulas bawang putih.*
2 tbsp udang kering.*
1 ketul kecik belacan.*
1 1/2 cawan kacang tanah.*
1 tbsp  asam jawa.*
1 ketul kecil cekur atau( 3 helai daun limau purut-hiris nipis.)
Gula Melaka secukup rasa.
Garam secukup rasa.
Cara-caranya:


  • Goreng kacang tanah sehingga perang dan toskan minyaknya  dengan kitchen paper kemudian ditumbuk halus. (Cm guna food processor)
  • Kemudian goreng bahan-bahan yang bertanda * sekejap tapi goreng  setiap bahan berasingan.
  • Tumbuk bahan-bahan yang di goreng tadi sehingga hancur.Masukkan gula melaka serta garam.
  • Akhir sekali masukkan cekur dan ditumbuk sehingga sebati.
  • Seimbangkan rasa manis ,masin dan masam mengikut selera masing-masing.
  • Gaulkan dengan kacang tumbuk tadi sehingga rata.
  • Sedia untuk di gunakan...bancuh dengan sedikit air panas mengikut kepekatan yang dikehendaki dan bolehlah dicampur dengan sayur sayuran seperti kangkung,kacang panjang,pucuk ubi dan lain lain lagi.Jangan lupa celur sekejap sayur-sayuran tu ya.
  • Tambah dengan hirisan timun.
Terima kasih pada Khai Kitchen kerana berkongsi resipi bondanya ini.Mengikut kata Khai ini resipi orang jawa dan di makan dengan nasi himpit atau bihun.Rasanya... bukan bihun goreng tapi bihun yang di celur dengan air panas.(agak Cm la)

Cm pernah makan pecal  dengan nasi himpit tetapi belum pernah makan dengan bihun.Boleh cuba Insyallah,Mungkin ada yang merasakan agak pelik ,tak cuba tak tahu kan ....

Semasa Cm mula-mula kahwin dengan suami Cm terasa agak pelik bila cakap tentang kuih Chang atau kuih bulan.Mula-mula makan selera tak "masuk" langsung tetapi lama kelamaan kedua-dua kuih itu menjadi kesukaan Cm se keluarga.

Selamat mencuba :)

Wednesday, June 4, 2014

Sambal Pauh

Sambal pauh.

Bahan-bahannya:

2 biji mangga mengkal.
2 ekor ikan kembung.
6-7 biji cili api.
Garam secukup rasa.


Cara-caranya:


  • Mangga di kupas kulit dan parut kasar.
  • Ikan di panggang.Asingkan isi dari tulangnya.
  • Tumbuk cili api dan garam.Masukkan isi ikan dan tumbuk hingga sebati.
  • Gaulkan dengan parutan mangga.
  • Sedap dimakan dengan nasi panas.

Sunday, April 6, 2014

Ikan Kerapu Dengan Sambal Nenas.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Menu ikan bukan menjadi pilihan anak bongsu Cm.Jadi setiap kali masak ikan kena cari idea untuk menarik perhatiannya.Setakat ikan goreng "bodoh"memang tak akan disentuhnya....rela dia goreng telur mata kerbau dimakan bersama kicap.

Kali ini Cm masak sambal nenas untuk dicurahkan ke atas ikan goreng.Alhamdulillah katanya sambal itu sedap....hehe sambal je sedap.

Ikan Kerapu Goreng Dengan Sambal Nenas.

Bahan-bahannya:


1 ekor ikan kerapu-saiz sedang.
1 tsp serbuk kunyit.
1 tbsp tepung gandum.
1/2 tsp garam halus.

Sambal nenas.

1 potong kecil nenas-potong dadu.
1/2 labu bawang besar.
2 ulas bawang putih.
1 batang serai-ketuk.
5 tangkai cili kering.(jika suka pedas boleh campur dgn cili api)
1/2 inci halia.
2 helai daun limau purut.
1 biji buah tomato.
Sedikit gula Melaka.
Garam secukup rasa.
Sedikit air asam jawa.
Minyak untuk menumis.

Tabur
1 tangkai daun ketumbar.
1 tangkai daun bawang.
Cara-caranya:


  • Perap ikan dengan serbuk kunyit serta garam sekejap.
  • Taburkan dengan tepung gandum pada ikan dan goreng sehingga masak.Ketepikan.
Sambal Nenas.

  • Bawang besar,bawang putih,halia,buah tomato dan cili kering di kisar halus.
  • Panaskan minyak dan tumis sehingga naik baunya.
  • Masukkan serai ,daun limau purut,gula Melaka dan garam.
  • Masak sehingga sambal pekat dan seimbangkan rasa pedas,masin,manis serta masam.
  • Akhir sekali masukkan nenas dan masak sekejap.
  • Tuangkan ke atas ikan goreng. Tabur dengan hirisan daun ketumbar dan daun bawang.Sedap dimakan ketika masih panas dengan nasi putih.


Kena  dengan selera ...... rasa masam ,manis serta pedas.Sebenarnya jika ikutkan selera sendiri Cm lebih suka jika ditambah dengan cili api .....lagi pedas lagi sedap ;)

Wednesday, February 12, 2014

Sambal Tumis

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Sambal Tumis.

Bahan-bahannya:

15 tangkai cili kering-buang bijinya dan rebus sekejap.
8 biji cili masak.
3 ulas bawang putih.
15 ulas bawang merah.
1 labu bawang besar.
1 inci halia
Sedikit belacan.
Sedikit air asam jawa.
Gula Melaka secukup rasa.
Garam secukup rasa.
Minyak untuk menumis-(1-3/4 cawan.)
Cara-caranya:


  • Kisar cili kering,cili masak,bawang putih,bawang merah,halia,belacan dan bawang besar sehingga halus.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar sehingga betul-betul masak.Kemudian masukkan air asam jawa,garam dan gula merah secukup rasa.
  • Masak sambal sehingga pekat.Sejukkan terlebih dahulu sebelum di masukkan kedalam botol dan simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan kemudian nanti.



Sambal tumis seperti ini sangat sesuai untuk dijadikan perencah ikan bakar,sambal ikan bilis,sambal udang,sotong , perencah nasi goreng & bihun goreng.Menyediakan pes sambal tumis ini tidaklah sukar cuma memerlukan kesabaran untuk mengadap kuali panas kerana ianya mengambil masa yang  agak lama.Api hendaklah kecil dan  perlu sentiasa mengacaunya agar sambal tidak hangus.

Jika kita dapati sambal nasi lemak yang di jual dikedai mempunyai warna merah menyala,hmm kena hati hati kerana sambalnya tidak cukup masak.Risiko kita akan mengalami sakit perut & cirit birit selepas memakannya adalah besar....

Apa saja  yang kita lakukan mestilah dengan penuh keikhlasan.Segalanya... semata-mata kerana Allah..semata-mata keranaNya...jika kita berniaga kita bertanggung jawab terhadap  pelanggan kita.Jika kita seorang ibu atau suri rumah ,tanggung jawab kita menyediakan makanan yang halal,selamat,penuh keberkatan untuk ahli keluarga yang kita sayangi.


Tuesday, December 24, 2013

Sambal Tomat.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Sambal Tomat.
Asal: Dapur CikManggis.

Bahan-bahannya:

5 biji cili masak.
5 biji cili api.
2 biji buah tomato.(saiz agak besar)
4 ulas bawang putih.
5 ulas bawang merah.
Sedikit belacan.
Garam secukup rasa.
Gula secukup rasa.
1 biji limau kasturi.

  • Cili masak,cili api,buah tomato,bawang putih dan bawang merah direbus sekejap.Toskan airnya.
  • Kisar sehingga hancur.Masukkan belacan dan gaul rata.
  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisan sehingga wangi.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa.Kecilkan api dan biarkan di atas api sekejap.
  • Perah jus limau kasturi.Kacau rata,Siap untuk dihidangkan.
Tadi Cm makan sambal ini  dengan ayam panggang...Hmm..rasa seperti sambal ayam penyek pun ya :)

Tuesday, December 17, 2013

Ikan Keli Masak Sambal Ala Indon.

Ikan Keli Masak Sambal Ala Indon.

Resipi Asal : Neng 

Bahan-bahannya:

8 ekor ikan keli.
10 ulas bawang merah.
4 ulas bawang putih.
10 biji cili masak.(Jika suka pedas boleh tambahkan cili api)
2 biji buah tomato.
Garam dan gula secukup rasa.

Cara-caranya:


  • Ikan keli di cuci bersih dan dikelar-kelar.
  • Perap ikan keli dengan serbuk kunyit dan garam.
  • Taburkan dengan sedikit tepung dan goreng sehingga garing-ketepikan.
  • Bawang merah,bawang putih,buah tomato dan cili masak  direbus selama 5-6 minit.
  • Tumbuk bawang merah,bawang putih dan buah keras sehingga halus.Ketepikan.
  • Buah tomato dan cili masak di tumbuk kasar-ketepikan.
  • Ambil sedikit minyak lebihan goreng ikan tadi.Panaskan.
  • Tumis bawang merah,bawang putih dan buah keras sehingga terbit baunya.
  • Kemudian baru masukkan buah tomato dan cili masak.Masak sehingga terbit minyak(benar-benar masak)
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa.Akhir sekali masukkan ikan keli dan gaul sehingga rata.


Tuesday, November 12, 2013

Sambal Pedas Sorok Sorok :)p...(Sambal Pedas Udang Kering)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Cm jarang memasak masakan yang pedas walaupun terlalu rindu nak makan makanan yang pedas-pedas  sehingga meleleh hidung hehe.Selera melayu lah katakan.Mesti selera cili api ..sambal belacan dan budu serta ikan masin.Selera suami pulak opposite...bukan tak suka pedas tetapi tak boleh .... jadi demi sayang seorang isteri pada suami ,ku sanggup berkorban :)p...Tetapi........

Cm pastikan ada stok Sambal Pedas Udang Kering kat dapur  tapi kena sorok-sorok dari pandangan suami.Jika  di makan akibatnya ke hospital lah jawabnya :(.Asalnya sambal ni di panggil sambal Setan tetapi tak baiklah kan nama yang begitu diberi pada makanan takut kurang keberkatan.Kasilah nama yang baik-baik dan menarik.

Bahan-bahannya:

1/2 kg cili api merah.
10 biji cili masak.
6 ulas bawang putih.
1 labu besar bawang besar.
1 cawan udang kering.
Gula melaka secukupnya.
Garam secukup rasa.




Cara-caranya:


  • Kisar cili api,cili masak,bawang putih dan bawang besar,udang kering   dengan sedikit air sehingga sebati.
  • Panaskan  1 1/2 cawan  minyak masak dan tumis bahan-bahan yang di kisar tadi.Masukkan gula melaka dan garam secukup rasa.
  • Apabila sambal hampir masak kecilkan api dan sentiasa mengacau sehingga sambal bertukar warna menjadi agak gelap.
  • Sejukkan terlebih dahulu sebelum disimpan dalam botol atau bekas yang sesuai.
  • Sedap dimakan dengan mee kari,kuey tiew goreng,mee sup atau di makan dengan nasi panas.

Nota:  Sambal ini boleh juga di jadikan perencah nasi goreng.bihun goreng,kuey tiew goreng atau mee goreng.

Tuesday, September 3, 2013

Sambal Tempe Dengan Ikan Bilis.




Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Selepas hari raya tempohari Cm lebih suka  makan makanan yang ringkas .Jemu  dengan lauk pauk raya.Sayurnya hanya di celur, rebus atau pun masak bening.Kebetulan emak Cm ada kat rumah jadi emak suka masakan yang ringkas dan tidak berlemak seperti singgang ,kerabu atau panggang.

Sambal Tempe Dengan Ikan Bilis.

Bahan-bahannya:

2 bungkus tempe(tempe tiga segi panjang yang di balut dengan daun pisang)
1 cawan ikan bilis.
8 tangkai cili kering.*
1 ulas bawang putih*.
10 ulas bawang merah.*
1 keping asam gelugur.
1 tsp serbuk belacan.*
Gula melaka secukup rasa.
Garam secukup rasa.
Minyak masak secukupnya.
Cara-caranya:


  • Potong tempe nipis-nipis dan goreng sehingga garing.Ketepikan.
  • Goreng ikan bilis sehingga ranggup.Ketepikan.
  • Kisar bahan-bahan yang bertanda * hingga halus.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga wangi.
  • Masukkan asam keping,garam dan gula melaka.
  • Masak sehingga agak kering  baru masukkan tempe dan ikan bilis.Gaul sehingga rata.
Selamat mencuba .....kepada penggemar tempe insyallah anda pasti tak kecewa dengan Sambal Tempe Dengan  Ikan Bilis ini.Jika nakkan rasa lebih "kaw" boleh tambahkan dengan cili api.

Sunday, July 28, 2013

Ikan Salai Masak Sambal Hijau.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bila dah penghujung bulan puasa begini idea untuk masak-masak  pun dah nak kering .......apa nak masak hari ini......buntu kan.Apabila memasak kena fikir selera anak,selera suami dan selera sendiri......kebiasaannya selere diri sendiri boleh di abaikan,tetapi apabila suami ada jemputan berbuka di luar maka Cm akan memasak apa yang Cm suka :)..yehaa....Jahatnya bunyi hikhik
Pagi tadi semasa singgah di Pasar Semenyih Cm beli dua ekor ikan salai.Makcik orang Minang yang menjual ikan tu siap kasi resipi dan cara-caran nak memasak ikan salai tersebut.Harga ikan ini boleh tahan juga..Rm 40 untuk satu kg.Cm hanya beli dua ekor .


Bahan-bahannya:

2 ekor ikan salai.
8 biji cili hijau.
8 biji cili api.
1 biji cili merah.
1 biji buat tomato.
3 ulas bawang putih..
10 ulas bawang merah.
1 keping asam gelugur.
Garam dan gula melaka secukup rasa.
Sedikit belacan.

Cara-caranya:


  • Goreng ikan hingga garing.Toskan minyaknya dan ketuk ikan seperti mengetuk ayam penyet.Ketuk sekali je ya dan berhati-hati takut hancur kerana ikan ini sangat ranggup.
  • Tomato di belah-belah.
  • Masukkan buah tomato,cili hijau,bawang merah,bawang putih,cili api dan cili merah ke dalam blender.Kisar kasar.(Tekan sekejap  je switch blender dan stop)
  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar sehingga wangi dan agak kering.Masukkan garam,asam keping  dan gula melaka secukup rasa.
  • Akhir sekali masukkan ikan goreng daan kacau rata.
  • Siap untuk di hidangkan.

*** Jika suka pedas boleh tambahkan lagi cili api tu ya :) Selamat mencuba.

Monday, June 24, 2013

Sambal Belacan.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Bekalan belacan tidak pernah putus sejak adik perempuan Cm menetap di Kedah.Apabila Cm  balik emak selalu top up bekalan belacan .Cm simpan belacan dalam freezer jadi apabila lama belacan tu dalam freezer  dia jadi peroi . Cm masukkan dalam oven dan panggang hingga garing.Tunggu sehingga betul -betul  sejuk bolehlah di simpan dalam botol yang kedap udara.Senang jika nak guna bolehlah cedok je :)...kira belacan segera la :)
Belacan yang telah di panggang.


Simpan dalam botol yang kedap udara.

Bahan-bahannya:

5 biji cili masak.
6 biji cili api.
2 biji limau kasturi.
1 tbsp serbuk belacan.
2 ulas bawang putih-bakar sekejap dan cincang halus.
3 ulas bawang merah-bakar sekejap dan cincang halus.
Garam secukup rasa.
Gula secukup rasa.

Cara-caranya:

  1. Tumbuk cili masak dan cili api sehingga hancur.
  2. Masukkan belacan,bawang putih dan bawang merah.Tumbuk hingga sebati.
  3. Masukkan garam dan gula.
  4. Perahkan jus limau kasturi.
  5. Gaul hingga rata.
Sedap di makan bersama ulam-ulaman seperti kacang panjang,timun,daun selom ,ulam raja dan ulam-ulam kampung yang lain.

Selamat berpuasa kepada kawan-kawan muslimin dan muslimat yang berpuasa pada hari ini.Dan ada ibu -ibu pastikan anak-anak anda berada dalam rumah ketika keadaan jerebu yang semakin teruk ini

.Putrajaya pun dan redup kerana jerebu.Jangan lupa minum air yang banyak dan sentiasa memakai mask apabila keluar rumah.Sama-sama lah kita berdoa agar masalah ini cepat berlalu.Harap-harap akan ada hujan dalam masa terdekat ini.

Thursday, June 20, 2013

Lontong Jawa.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Pagi tadi  Cm belajar satu lagi  resipi baru dari Bibik..Selama ini Cm selalu nampak di pasar tani ada peniaga yang menjual "nasi himpit" dalam gulungan daun pisang.Teringin nak buat  sendiri dan hari ini tertunailah hasrat dihati.


Bahan-bahannya:

3 cawan beras-cuci bersih.
4 cawan air.
Daun pisang secukupnya.
Pencungkil gigi secukupnya.

Cara-caranya:


  • Beras dimasak seperti biasa tetapi lebihkan air agar sedikit lembik.Sukatan air sebenarnya bergantung pada jenis beras tetapi jangan terlampau lembik ya.Sedang-sedang je.
  • Apabila nasi masak sejukkan sekejap agar senang untuk membalutnya.
Cara-cara membalut:

Sendukkan sedikit nasi dengan menggunakan senduk plastik yang tak melekat.Padatkan serta bentukkan lonjong seperti ini.



Gulung dengan kemas dan sematkan dengan pencungkil gigi di hujungnya.

Tekan-tekankan bahagian hujung yang satu lagi agar nasi menjadi lebih padat dan semat dengan lidi.Lakukan proses yang sama sehingga selesai dan rebus selama 1 jam.

Setelah masak toskan airnya dan biarkan sejuk baru di potong.

Wah baunya sungguh harum dan nasinya pun lembut.

Alhamdulillah sedap dimakan dengan sayur lodeh dan sambal ikan bilis.Raya tahun ini nampak gayanya Cm akan ucapkan selamat tinggal pada nasi himpit segera yang menggunakan plastik :)