Friday, December 9, 2011

Kepada: Yang Merindui Diri Ini...

Kehadapan para pembaca ku yang diingati selalu,

Sudah agak lama kita tidak bertemu. Bukan niatku ingin menjauhkan diri tapi apakan daya, diri ini tidak berkesempatan untuk duduk bersantai sambil mengarang cerita-ceriti untuk di sajikan kepada anda semua...

Sungguh ramai rakan taulan yg datang berkunjung ke bumi sakura ini sejak 2 bulan yang lepas. Tak putus-putus teratak ku menjadi tempat persinggahan tetamu dari Tanah Malaya. Selain menjadi tuan rumah, aku juga turut menyediakan pakej seperti tukang masak, tukang cuci dan juga tour guide untuk tetamu-tetamu ini... Lantas, tiada waktu senggang untuk mengupdate blog dek kerana bilik kecil tempat ku mencurahkan idea dihadapan komputer ini dipenuhi jika bukan beg2 tetamu, diri2 tetamu yang melepaskan lelah setelah penat mengukur jalan bandaraya Tokyo bersamaku di waktu siangnya...

Walaupun begitu, hati ini sedikit girang kerana selain menerima pelbagai buah tangan dari Tanah Malaya, ada seorang tetamu istimewa yang telah berjaya menjejakkan kakinya ke Nihon ini. Rakan lama merangkap bekas teman serumah, bekas teman seuniversiti dan bekas bridesmaid ku ini telah mula menjadi warga Nihon setelah permohonan kerjanya diterima. Beliau yang telah genap sebulan menjadi rakan sepejabat Idhamu-san, telah berjaya mendapatkan rumah berdekatan dengan teratak kami ini. Senanglah bagi kami nanti untuk menumpang kasih di kala Idhamu-san bertugas di luar negara. Adalah juga teman berbicara, teman berjalan, teman bershopping dan teman bergossip di bumi Nihon ini...Sejak kedatangan beliau, kami banyak menghabiskan masa mencari kediaman yang sesuai untuknya, mencari perabot-perabot yang sesuai untuk rumahnya dan juga mencari pakaian musim sejuk yang sesuai untuk dirinya...

Dek kerana kesibukan ku sejak akhir-akhir ini, perkara yang tak sepatutnya berlaku telah pun berlaku. Ongakukai (persembahan muzik) Neesa-chan menjadi mangsanya... Bila difikirkan semula, menyesal pun ada... Dek kerana terlalu sibuk melayan tetamu, diri ini menjadi alpa... Alpa sehingga tersilap membuat percaturan masa. Sebaik sahaja kaki dijejakkan ke gimnasium sekolah rendah Waseda, kelihatan para pelajar Gred 2 turun dari pentas selepas selesai membuat persembahan. Memang lazimnya para ibu bapa tidak akan menonton keseluruhan persembahan yang dipentaskan kerana memberi ruang kepada ibu bapa serta atuk dan nenek pelajar Gred yang membuat persembahan sahaja berada di dalam Gimnasium. Para ibu bapa dibekalkan dengan jadual persembahan agar dapat mengagak masa yang sesuai untuk datang ke sekolah dan menonton persembahan anak masing-masing...

Sehingga hari ini Neesa chan tidak tahu yang ibu nya tidak menyaksikan dia beraksi di pentas (walaupun dia mensyaki Ibunya tiada di tempat kejadian hinggakan terpacul beberapa soalan yang diajukan untuk kepastian lagak gaya seperti salah seorang ahli CSI). Mujurlah ada rakaman persembahan yang dijual oleh pihak sekolah. Dapatlah juga ditonton aksi Neesa chan menggoyang loceng di pentas...

Sibuk (dan malas) juga penyebab kenapa diri ini tidak berjaya menyediakan bubur asyura pada hari ke10 bulan Muharram. Baru hari ini (dikala sedang menaip entri ini) berjaya mencuri masa untuk memasak bubur asyura versi utara yang menjadi bubur favourite kedua selepas bubur caca...

Diharapkan agar kesibukan ini akan mula hilang berdikit-dikit agar dapat ku update blog ini dengan lebih kerap di masa hadapan.

Hingga bertemu lagi di lain lembaran. Akhir kata: jaga diri, hiasi peribadi~

Salam Sayang,
TBCcL