Memaparkan catatan dengan label sedetik rasa seikhlas hati. Papar semua catatan

Hati Agar-Agar


'Mama kawan kakak Izza (bukan nama sebenar) nak oder biskut yang kakak bagi dia semalam tu (Cornflake Coklat)'
'Dia bayar le...'
'Dia nak buat apa biskut?'
'Dia nak bawak balik kampung'
'Mak dia tak buat biskut ke?
'Tak'
'Dia nak bayar ke, berapa?'
'Rm25'
'Dia nak satu bekas je'
'Duit tu mana dapat?'
'Dia kumpul'


Sambil menaip Whatsapp air mata saya berderai tak tertahan, sambil menaip entri ini puas air mata diseka tak ingin juga ia berhenti mengalir. Hati ibu saya dipagut pilu, sesak jiwa saya mengenang nasib dia. Dada bagi dipasak.


Anak sebaik dia terpaksa menerima ujian hidup yang pahit, menaggung derita mungkin dari sejak bergelar anak tiri diusia 3 tahun. Bagai jarum menyucuk-nyucuk hati bila terfikirkan soal dia. Trauma yang dia hadapi akan kekal sepanjang hidup dia.


Suatu hari kebenaran akan tersingkap jua. Doa yang terbaik buat dia. Doakan juga saya dapat membantu dia, moga Allah s.w.t mengizinkan saya untuk membantu agar dia dapat melalui hidup dengan tenang. Dapat merasa kasih ibu walaupun bukan dari ibu yang melahirkan dia.


'Duit simpan dia ke?
Allah...
Mama nanges kak.
Kesian.'
'Mama jangan le menangis'
'Kakak ada mama buatkan biskut raya...Izza tak ada mak nak buatkan biskut untuk dia...'
'Ambik le satu kotak Cornflake Coklat tu...'
'Okeyyy...'
'Cakap mama bagi, duit simpan buat belanja sekolah'


Hati saya umpama agar-agar bila berhadapan situasi sebegini. Anak tiri yang dilayan umpama ibu tiri zaman bawang merah bawang putih. Berbirat-birat serta berparut-parut diperut. Sampai hatinya seorang wanita yang Allah lahirkan lembut dan penuh dengan ehsan melayan seorang anak perempuan sebegitu. Walaupun tiada pertalian darah bukankah bila sanggup menerima bapanya sepatutnya juga dia melapangkan dada untuk menerima keseluruhan ahli keluarga lelaki tersebut.


Insyaallah bila segalanya selesai saya akan kongsikan di sini lagi. Kisah sedih seorang anak yang menjadi mangsa sebuah perceraian. Derita dan lara dihati yang disimpan sendiri. Ibu, ayah fahamilah hati anak-anak, jagalah kebajikan mereka walaupun sudah tidak bersama.



Cabaran Ramadhan Satu Hari Rm10


Sudah 4 hari kita berpuasa juga entri pertama setelah Ramadahan yang sempat ditulis. Alhamdulillah. Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan 'Selamat Berpuasa' kepada semua moga Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik buat kita. Sama-samalah kita meningkatkan ibadah di bulan mulia ini.


Berkat ujian yang akan datang bersama seribu rahmat. Setelah berpindah pejabat baru Ramadahan ini menjadi lebih teratur. Allah s.w.t melapangkan sedikit masa untuk memasak buat anak-anak setiap hari walaupun dengan hidangan yang sangat mudah tetapi anak-anak tetap makan dengan berselera. Berbanding tahun-tahun sebelumnya saya lebih banyak membeli dari memasak dek kekangan masa. Singgah di bazar pun sekadar membeli kuih, laksam atau roti john.


Sempena Ramadhan ini juga saya menetapkan satu cabaran untuk diri sendiri. “Cabaran Ramadhan Setiap Hari Rm10”. Insyaallah menjelang Syawal akan ada Rm300. Duit cabaran Ramadhan ini juga akan menjadi sebahagian daripada sedekah sempena Syawal nanti. Setiap hari saya akan memasukkan Rm10 yang biasanya digunakan untuk perbelanjaan sarapan dan makan tengahari ke dalam tabung cabaran ini. Ini adalah sebahagian dari insiatif untuk bersedekah di Ramadhan ini. Sedikit sebanyak mengajar diri untuk menabung di masa hadapan. Duit walau sebanyak mana pun akan habis begitu sahaja dan kadang-kadang kita tidak pasti ke mana alirannya.



Hari keempat. Insyaallah akan semakin bertambah kelak. Di dalam rezeki kita akan ada rezeki orang lain yang perlu kita agih-agihkan.


Cabaran ini juga mungkin dapat menjadi pencetus idea kepada kawan-kawan yang lain. Paling penting cabar diri ikut kemampuan, semampu yang ada selagi kita ada.


Projek Iqra' Shopping Raya 2014




Tahun ini sekali lagi Projek Iqra’ menjalankan program Shopping Raya 2014 bagi membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf dari rumah kebajikan terpilih.


Seperti mana tahun lalu saya ingin bersama-sama mempelawa semua kawan-kawan dan pembaca blog Rider Sejati untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.


Projek Iqra’ masih meneruskan aktiviti untuk tahun ini dengan sumbangan Rm195 tajaan untuk seorang . Sekiranya tidak mampu menyumbang untuk seorang bolehlah kita berkongsi bersama kawan-kawan atau ahli keluarga. Sebagaimana tahun lepas saya menganjurkan Rm20 seorang yang kemudiannya dikongsi untuk penjaan seorang anak yatim/asnaf atau boleh juga mengikut kemampuan masing-masing. Semua sumbangan akan saya kumpul dan kemudian di masukkan ke akaun pihak Projek Iqra' Shopping Raya 2014.


Meski pun sedikit tetap bererti buat mereka yang memerlukan.




Sesiapa yang berminat untuk menaja sebahagian iaitu Rm20 bolehlah menghubungi saya di FB Junaina Abdullah atau sekiranya ingin menaja untuk seorang boleh berhubung terus dengan pihak Projeq Iqra' seperti yang disertakan.


Tel :  017-6702033 (Solleh)
        017-2748904 (Sharifah)
        019-2175597


Maybank
Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ SeMalaysia
5648-1050-4003
www:projekiqra.com

email : info@projekiqra.com


Marilah kita bersama-samalah menambah saham akhirat. Sedikit bagi kita tetapi sangat bererti bagi mereka. Saya pertah melalui detik-detik itu dan saya juga pernah merasai kegembiraan setiap kali mendapat bantuan kini saya cuba memberi walaupun sedikit juga dengan tulisan ini juga moga semakin ramai yang akan membantu dan dapat dibantu.



Projek Iqra - Shopping Raya 2013


Sila rujuk entri sebelumnya di  Mereka Yang Perlu DiBantu - 'Projek Iqra'.


Syukur alhamdulillah. Saya berkongsi idea bersama teman-teman untuk sama-sama memberi sumbangan, mengumpul jumlah yang kecil seorang sedikit ibarat kata pepatah 'Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit'. Teman-teman sepejabat yang sentiasa tak lokek, yang sentiasa merendah diri untuk sama membantu.


Saham akhirat ini moga dapat membantu meringankan sedikit beban pihak penjaga anak yatim/asnaf terbabit. Memberi dengan harapan ada segaris senyuman disebalik kepayahan yang dilalui. Rawan hati tak dapat kami bantu cuma sedikit perhatian meringankan beban hati yang ada.


Terima kasih terutamanya buat Kak Idah yang banyak menyalurkan sumbangan peribadi dan juga dari teman-teman akak yang lain. Buat Kak Habsah, Fadzli, Rose, Faizah dan Eti keikhlasan kalian membantu hanya Allah s.w.t sahaja dapat membalasnya. Sedikit atau banyak bukan pokonya tetapi hati yang ikhlas hanya Allah mampu membalasnya.


Sumbangan telah di masukkan ke akaun Projek Iqra dengan selamatnya. Juga telah mendapat pengesahan daripada petugas di sana. Jumlah keseluruhan yang terkumpul Rm616 membolehkan kita menaja 3 orang anak yatim/asnaf dan selebihnya sedekah kepada rumah kebajikan terbabit untuk kegunaan lain.


Insyaallah tahun hadapan kita boleh berkongsi lagi membantu setakat yang kita mampu. Banyak atau sedikit tidak penting paling penting ikhlas. Semakin banyak kita memberi semakin banyak juga kita akan menerima. Semoga Allah s.w.t meberkati usaha kita ini.



Mereka Yang Perlu DiBantu - 'Projek Iqra'


Hari ke dua berpuasa. Setelah melalui hari pertama yang sedikit kalang-kabut, almaklumlah tempat kerja di Kuala Lumpur rumah pula di Selangor. Kesuntukan masa. Alhamdulillah abang sudah boleh diharap membeli juadah untuk adik. Bila balik makanan sudah terhidang tetapi semuanya hasil belian abang. Sedih. Hari pertama puasa terasa ingin melayan anak-anak sebaik mungkin tetapi Allah lebih mengetahui perancangan hanya tinggal perancangan.
Alhamdulillah anak-anak juga tidak banyak soal. Letih berpuasa membuatkan mereka makan sahaja tanpa merungut tetapi sebagai ibu masih lagi memasak selepas berbuka dan bersolat magrib. Balik dari surau anak-anak terus makan nasi yang telah di masak.
Bila Ramadhan menjelang hati sangat-sangat tersentuh. Teringat kisah suka-duka zaman kecil. Kisah kami yang menjadi yatim sejak kecil. Perit, jerih emak membesarkan kami seorang diri tanpa pendapatan tetap. Emak cuma mendapat pencen Perkeso sebanyak Rm240/sebulan bila arwah abah meninggal ketika berusia 26 tahun. Kemalangan di tempat kerja. Traktor menarik tebu yang dibawaknya terbalik dan menimpa separuh dari badannya. Kenangan kain 'cukin' di bawa sehingga ke sana. Duit sebanyak itulah jugak emak membesarkan kami empat beradik.
Sehingga kini apabila menyebut kisah anak yatim hati cepat tersentuh, air mata senang gugur. Mereka umpama bayang-bayang kesusahan kami yang lampau. Makan ala kadar, pakai sekadar ada bermewah jauh sekali. Apa yang pasti Ramadhan adalah saat paling kami tunggu kerana tika ini pelbagai bantuan dan sedekah bertali arus. Baju raya, duit raya tak kurang juga jemputan berbuka puasa dari kerajaan Negeri, YB atau orang perseorangan. Walau hanya dapat Rm10 kami sudah cukup gembira tika itu. Biasanya duit dalam jumlah yang banyak kami beri kepada emak. Untuk perbelanjaan raya, untuk simpanan masa tiada terutama untuk membayar yuran sekolah.
Segalanya ada hikmah tersembunyi. Saya tetap memegang 'Allah lebih hebat perancangan Nya' buat kita. Alhamdulillah sekarang saya di sini. Susah mengajar insan menjadi kuat semangat, lebih berusaha, tahu bersyukur.
Bila berada pada kedudukan sekarang saya sangat-sangat bersyukur. Walaupun tidak kaya tetapi tetap mampu hidup agak selesa. Masih mampu memenuhi setiap permintaan anak-anak. Paling penting saya dapat memenuhi setiap permintaan emak dan selagi termampu saya akan terus penuhi, selagi terdaya.
Tujuan utama saya adalah untuk sama-sama berkongsi satu program iaitu 'Projek Iqra’ – Shopping Raya 2013. Mungkin kita ada sedikit kelapangan dari segi keewangan atau juga masa. Sama-samalah kita membantu, sekiranya tidak banyak mungkin sedikit buat bekalan kita ke akhirat kelak. Melalui program ini bantuan akan disalurkan ke rumah-rumah anak yatim, rumah kebajikan orang tua juga kepada badan-badan amal.
Cerita selanjutnya silalah ke halaman 'Kak Jie-kujie.com'. Ada cerita penuhnya di sana serta perkongsian lebih mendalam tentang projek ini.
projek iqra shopping raya 2013
Sama-samalah membantu. Memberi kepada yang memerlukan. Mereka perlu dibantu. Mungkin dengan sedikit pemberian kita, akan memberi senyuman buat mereka di lebaran nanti. Kegembiraan Syawal kita kongsi bersama.

'Projek Iqra’ – Shopping Raya 2013.
AKAUN: MAYBANK
NAMA AKAUN: PERSATUAN KEBAJIKAN PROJEK IQRA’ SEMALAYSIA (jika isu cheque, jangan lupa tanda ‘pada perkataan Iqra’)
NO AKAUN: 5648-1050-4003
EMAIL: info@projekiqra.com
NO TEL: 019-2175597 (SUHAIMI – Bendahari) / 017-274 8904 (Sharifah Sharina – Timbalan Pengerusi)
Sila isi  borang di sini Projek Shopping Raya 2013 sekiranya anda telah menyumbang. Maklumat terbaru boleh juga diikuti di Facebook Projek Iqra.

Tak Mau Kena Marah Telefon Mama-Selamat Hari Guru

7.00am - Mama merempit tapi kat belakanglah abah bawak moto.

9.30am - Teringat telefon bimbit dalam beg. Ya ampun 3 panggilan tak berjawab dari dak pompuan tu jam 7.45am, bila call tak berangkat dia pun smslah berbunyi 'Mama tolong call mak tok...habaq kat dy bli 3 hadiah kt cikgu pstu sruh balut skali tau...' (ayat budak zaman sekarang nasib baik mak faham).

Mama pun telefon mak tok bagitau kehendak cucu, katanya dah sembang semalam tapi tak ada kata putus. Cucu minta belikan mug tapi mak tok kata beli coklat coz nanti mug tu mesti cikgu dapat banyak dah. Pas tu mak tok kata petang sikitlah baru dia nak pergi beli.

10.45am telefon bimbit mama bunyi lagi. 'Mama dah habaq kat mak tok ke? Tak hantaq pun lagi, semua orang dok tengah bagi hadiah kat cikgu ni' suara marah + merajuk. Sabar jelah anak. Mama ni kat KL mak tok tu dari sekolah nampak rumah, kenapalah tak call mak tok je.

Mama call mak tok bagitau kehendak cucu yang nak hadiah dan-dan tu jugak. Pas tu letak telefon. Pukul 11.45am call mak balik katanya kat rumah.
'Hah...! Mak tak pi beli hadiah kat kakak ke?'.
'Dah balik la ni lepas Kak Yang telefon mak teruih pi hantaq'
'Satnya pi mak beli di mana'
'Guna apa yang ada di rumah ja. Mangkuk kecik yang mak dapat masa pi tahlil rumah YB Mastika dulu tu ada, dalam kotak cantik dah. Tak payah nak balut. Bagi ja yang tu. Bagi tiga mak ada simpan lagi satu sebagai kenangan.
Mak sampai sekolah jalan pi kelas dak pompuan dari jauh dia nampak mak tok dia pun berlari sambil senyum. Pi kat motor Pak Usu tengok barang yang dibawa makin lebar senyumnya sampai telinga. Cantikkknyaaa...mak tok.'

Ini mungkin salah satu sebab kakak nak sangat sekolah kat kampung. Terlupa buku ada orang hantarkan, sambung sekolah sampai petang nanti mak tok hantarkan selipar, hantar bekal, hantar air sebotol besar. Tiba-tiba ada buku hendak dibeli dan-dan tu mak tok hantarkan duit. Merajuk-merajuk nak baju mak tok belikan. Petang-petang boleh kayuh gerek keliling kampung. Kalau dok dengan mama macam mana nak layan sekolah kat Kajang mama kerja kat KL, mau semput kalau nak ulang alik kerana sebuah buku. Mama selalu banyak alasan kalau kakak nak beli barang, yelah seorang beli mesti ketiga-tiga hendak.

Selamat Hari Guru buat semua guru-guru. Jasa kalian mendidik tak terbalas. Sekarang ramai pulak kawan-kawan yang jadi cikgu dan mendidik anak Aina pulak. Buat cikgu Hashim Ismail yang sentaisa berlegar di FBku Terima Kasih Cikgu kerana sehingga kini masih terus mendidikku dengan kata-kata motivasi darimu.


Rasa seperti ingin mencari kelainan untuk Fathers Day. Teringin pulak tengok Jelly Kek yang ceria ini kalau ada yang tergoda silahlah ke sini. Tawaran dari Groupon Rm38 instead of Rm68 ditanggung halal. Teringin sebab hari-hari lalu Pavillion bolehlah singgah dan ambik je tapi kat Puchong dan 1 Utama ada jugak Q Jelly Bakery ni.


Derma Darah Bersama Pusat Darah Negara

Kali Pertama. Berdebar. Goyang sikit la. Bukan pasai pa cuma goyang tengok darah yang keluar dalam pack. Mau tak sedap je darah tu mengalir keluar dari badan. Alhamdulillah misi pertama kali berjalan dengan lancar dengan AZAM akan memenuhi buku merah yang di beri.

 Sebelum nak derma darah mesti melalui pemeriksaan kesihatan dulu dari staff Pusat Darah Negara. Mula-mula periksa kepekatan darah dan jenis darah. Sebelum tu isi borang dulu ye. Dalam borang tu macam-macam soalan tentang sejarah kesihatan kita, sila jawab dengan jujur. Lepas tu timbang. Pengambilan darah ikut berat badan so darah Aina di ambil sebanyak 350ml sahaja. Kemudian ambik tekanan darah. Nampak tu 106/70. Pas. Beratur line ke tiga masuk data kat komputer dan bagi buku merah.

 Inilah tempat petugas-petugas Pusat Darah Negara sedut darah penderma (macam drakula le pulak). Kesian kat depa. Penat kots. Bermula dari pukul 10am sampai pukul 4pm dengan tenaga kerja yang sama. Kesian. Budget hanya 40 penerma tetapi di sebabkan pekerja syarikat mempunyai kesedaran kesudahannya 100 lebih yang menderma. Banyak barang-barang terpaksa di hantar kali kedua. Nasib baik Pusat Darah Negara tu dekat je dengan opis.

Peace. Bukti sebagai penderma darah okeh. Kak AzieAzah sila jangan jelez. Lepas ini kalau nak derma darah kena pastikan my sijil penderma kena bawaklah.

Keistimewaan untuk penderma darah.

1. 1 Kali - Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tidak termasuk X-ray dan pembedahan) dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan*.

2. 2-5 Kali - Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk *4 bulan. Percuma bagi pelalian Hepitatis B.

3. 6-10 Kali - Percuma rawatan pesakit luar *1 tahun dan rawatan perubatan kelas dua untuk *6 bulan.

4. 10-15 Kali - Percuma rawatan pesakit luar *2 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk 1* tahun.

5. 16-20 Kali - Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk *2 tahun.

6. 21-30 Kali -  Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan  dan wad kelas dua untuk *3 tahun.

7. 31-40 Kali - Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk *4 tahun.

8. 41-50 Kali - Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk *6 tahun.

9. Lebih 50 Kali (Penderma "whole blood") dan Lebih 150 Kali (bagi penderma "aferesis")
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu.

*Mulai tarikh akhir menderma.
(Rujukan : Surat Pekeliling KPK 5/2005 bertarikh 20 Julai 2005)
Di salin semula dari Buku Merah - Sijil Penderma Darah.

Sebagai penghargaan kepada staff yang sanggup menderma darah pada hari tersebut kita orang semua dapat Rm20 Baucer San Francisco Coffee. Lepas le sarapan untuk 2 hari. Dak pun kat Sunway Tower ada tawaran beli satu percuma satu start pukul 2pm so boleh le belanja kawan-kawan.

Gambar cilok dari sini.

Adam Syukri - Deritamu Deritaku

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kisah ini sudah lama berlegar-legar di alam maya juga di media massa. Banyak blog-blog yang bercerita tentangnya. Blog KakCik Seroja  selalu update tentang kisah Adam Syukri.

Lahirnya adalah rezeki. Buat kedua orang tuanya ini adalah ujian maha hebat. Mereka menjadi insan terpilih untuk menempuhinya. Semalam Adam Syukri telah di bawa ke HKL dengan penerbangan ehsan. Menerima rawatan yang lebih sempurna kerana doktor pakar terbaik ada di HKL. Alhamdulillah.

Satu yang sangat-sangat menyentuh hati melihat ketabahan ibu Adam Syukri Noraisah Mohamad Malena bercakap di kaca telivisyen malam tadi. Tidak mengharapkan Adam Syukri pulih sepenuhnya kerana dia faham fungsi otak sukar untuk dipulihkan. Bermakna dia redza dengan ketentuan Ilahi. Wajahnya cukup tenang tanpa ada air mata yang bergenang walaupun kita tahu dihatinya ada seribu gelora.

Buat kedua ibu dan bapa Adam Syukri Sherma dan Noraisah tabahlah menghadapi ujian ini. Kami mendoakan yang terbaik buat Adam Syukri. Permudahkanlah perjalanan hidupnya Tuhanku.




Rezeki Ramadhan.

Alhamdulillah. Esok umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Ramadhan. Malam ini akan bermula terawikh pertama. Semoga kita semua akan diberi kesihatan yang baik sepanjang Ramadhan ini untuk terus beramal ibadat. Buat semua salam Ramadhan.

Rezeki ALLAH buat kami sekeluarga tahun ini datang sehari sebelum Ramadhan. Syukur padamu YA-ALLAH, YA-KARIM,YA-RAHMAN,YA-RAHIM,YA-GHAFUR, YA-HANNAN, YA-MANNAN. Sesungguhnya ia terlalu manis buatku.

Hari ini Jun menerima surat daripada Manager. Surat pertama menyatakan kenaikan gaji dan kejutan untuk surat yang ke dua menerima penyelarasan gaji. Subhanallah. Sesungguhnya Engkau sentiasa adil pada umatmu. Rezeki Ramadhan untuk tahun ini.

Memberilah seikhlas-ikhlasnya moga-moga ALLAH juga akan memberi kembali kepada kita tanpa batasan. Bukan hanya kesenangan dunia tetapi mungkin segalanya menanti di akhirat atau kesihatan yang baik juga anak-anak yang soleh. Itu nikmatnya. Itu balasannya buat hambanya yang bersyukur.


Ibu Bapa : Tanggungjawab, Kasih Sayang atau Belas Ehsan.

Menyentuh isu yang terlalu meruntun kalbu sejak akhir-akhir ini. Ramai anak-anak mula bertindak diluar batasan terhadap insan yang melahir, membesarkan serta yang membanting tulang demi kelangsungan hidup keluarga.Banyak cerita-cerita sedih di penghujung usia yang kita dengar. Karma mungkin atau ujian juga. Walau apapun alasannya hati tua mereka tetap tersentap.

Tersisih, menyisih tak kurang disisih oleh insan tersayang meninggalkan luka yang amat dalam, membuatkan lara di penghujung usia terlalu kelat untuk ditelan. Tersish kerana perhatian anak-anak jatuh kepada anak-anak serta isteri sendiri. Menyisih bila terasa diri mereka tidak diperduli dan menjadi beban anak-anak. Disisih kerana ank-anak tidak lagi mahu menggalas tanggungjawab terhadap orang tua.

Ambillah iktibar. Jadikan kisah-kisah di dada akhbar sebagai pedoman. Selagi hayat dikandung badan terimalah amanah ALLAH itu seadanya setelah mereka menjalankan amanah mereka suatu tika dulu. Jangan sampai karma itu kembali kepada kita.

Jika kita mampu membeli rumah yang selesa, kereta yang berjenama tiada salahnya kita juga menghulur seratus dua kepada ibu bapa setiap bulan. Jangan dikira beban yang ditanggung kerana berkatnya rezeki yang diberi kepada ibu bapa akan dibalas lebih besar oleh ALLAH. Doa ibu dan bapa bukan kerana duit yang diberi tetapi kerana kasih sayang mereka pada anak-anak.

Muhasabah diri, Sekadar ingatan untuk diri sendiri.


gambar mak
Sejak berusia dua tahun hanya mak yang aku ada. Jasanya, pengorbanannya walaupun sepincing tak mampu kubalas. Seboleh dapat aku cuba penuhi setiap permintaannya, menunaikan setiap keinginannya hanya kerana aku mahu dia gembira melalui hari tuanya setelah pengorbanannya membesarkan kami.


Biar Sedikit Tapi Bererti


Dedikasi khas buat Yayan dan keluarga bagi megisi tabung si comel Yayan. Kisah deritanya boleh dibaca di blog bonda kesayangannya Yayansmum.


Satu lagi kisah yang meruntun hati setiap ibu. Bisa membuat mata seorang ibu merah dengan tangisan. Bukan siapa-siapa mereka dengan kita tetapi jiwa kita tetap meronta-ronta tika memandang gambar-gambar si comel. Betapa sengsara yang ditanggung, betapa kesakitan yang dibawa seolah-olah menjadi racun tanpa penawar dihati ibu dan bapa. Doa yang terbaik buat Yayan. Juga moga ketabahan sentiasa bersama kedua orang tuanya.

Sama-samalah kita membantu setakat yang mampu. Mungkin hari ini hari mereka dan tidak mustahil akan tiba hari-hari duka kita. Membantu tanpa mengharapkan balasan. Mungkin hari ini kita membantu Yayan, bila kita berada dalam kesusahan walaupun bukan Yayan yang membantu mungkin insan lain akan membantu kita. Berpegang pada janji Allah (s.w.t) setiap kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan juga.

Kebelakangan ini banyak kisah-kisah sedih yang sampai ditelinga kita terutama bila menggunakan dunia tanpa sempadan. Seboleh mampu kita juga ingin membantu. Walaupun bukan dengan wang ringgit, bukan dengan tenaga empat kerat mungkin dengan sepotong doa kita titipkan buat mereka.

Jun terbaca entri ini di halaman mamavogue. Terima kasih atas perkongsian dan Jun mohon jugak untuk berkongsi di blog ini. Bantulah sedaya yang kita mampu. Pada mereka walaupun sekecil mana sumbangan kita tetapi itulah rahmat buat mereka.