Sejak mula memandu 6 tahun lepas berbagai pengalaman saya lalui sebab kebanyakan masa saya memandu adalah tanpa suami hanya anak-anak atau adik. Pemanduan jarak dekat mahu pun jarak jauh saya sudah terbiasa. Berulang dari Kajang ke Perlis berkali-kali setahun, saya lali dengan perjalanan di lebuhraya sepanjang lebih 500km. Suami yakin dengan saya jadi secara automatik keyakinan itu meresap ke dalam jiwa saya. Sebulan selepas saya mendapat lesen memandu dan mendapat kunci kereta juga suami izinkan saya memandu balik ke Perlis bersama anak-anak. Sebab kepercayaan dia saya percaya pada diri sendiri yang saya boleh buat.
Balik dari kampung menuju ke Kajang pada cuti Awal Muharram lalu saya terasa sedikit stress, mungkin sebab keletihan menguruskan kenduri. Pada hari tersebut juga kereta agak banyak di lebuhraya dan jalan sangat sesak sebelum Terowong Menora kerana lori rosak di dalam terowong, selalu sangat rasanya lori rosak di situ. Bayangkan dalam keadaan trafik yang meningkat punyalah jauh dia punya jem!
Selepas Gopeng jalan kembali seperti biasa tetapi nasib saya agak tidak baik bila 'dimain-mainkan' oleh pembuli jalan raya. Memandu dengan agak selamba dilorong paling kanan. Saya mengikut rapat dari belakang dengan harapan dia akan mengubah laluan tetapi hampa. Beberapa kali saya menaikkan lampu juga tidak di layan. Saya kemudian menukar ke lane kiri dan cuba memotong dan dia tak semena-mena jugak melajukan kenderaan dan saya terpaksa menekan break sebab tidak sempat masuk ke lorong kanan semula. Beberapa kali dia mempermainkan saya sebegitu. Mungkin dia melihat di dalam kereta adalah perempuan dan hanya bersama anak-anak kecil jadi dia boleh menang.
Bila kesabaran saya semakin menipis dan akal di kuasai emosi macam-macam boleh jadi. Saya mengikut dari belakang dengan mengagak jarak kenderaan di lane kiri agak jauh saya terus keluar dan masuk dengan cepat di hadapan kereta tersebut yang membuatkan dia terpaksa break mengejut! Saya bukanlah kejam sebab dah tengok juga kereta di belakang masih jauh sebab tu berani buat.
Ikutlah pertimbangan akal bila memandu. Jalan raya bukan milik kita. Kalau nak makan angin duduklah lane yang sepatutnya jangan menyusahkan orang belakang. Kelajuan di lebuhraya 110km/jam kalau pemandu lain ingin memandu lebih laju beri sahaja laluan sebab mereka yang akan menanggung akibatnya bukan kita. Jadi bertolak ansurlah.
Pagi ini buka surat khabar terpampang di dada akhbar sebuah bas berwarna kuning dan oren yang terbalik dengan tajuk '16 Penumpang Bas Tercampak, Drebar Maut'. Al-Fatihah. Terasa ingin berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan bas yang sama minggu lepas.
Pengalaman naik bas ekpress dari Kangar ke Kuala Lumpur saya sangat pelbagai setelah hampir 20 tahun tinggal di kota metropolitan tetapi ini adalah pengalaman pertama saya menggunakan perkhidmatan bas ekpress tersebut. Biasanya saya akan menggunakan Sani Ekpress kerana ia lebih selesa, pemandu pulak boleh bertolak ansur dan tidak sombong. Bas Ekpress Etika akan menjadi pilihan kedua. Di sebabkan kehabisan tiket kerana cuti hujung minggu bersambung dengan cuti Hari Malaysia saya tiada pilihan kerana itu adalah tiket terakhir yang ada.
Perjalanan 10.30pm, bermula pengalaman yang kurang menyenangkan buat saya. Pergi ke kaunter dan diberitahu penumpang ke Kajang akan menumpang bas yang akan ke Klang/Shah Alam ke Alor Setar kerana masalah kelewatan bas sampai dari Kuala Lumpur. Dari Kangar ke Changlun mengambil penumpang kemudian ke Jitra di sana berlakulah sedikit perselisihan faham. Saya dan anak serta 2 orang penumpang yang akan ke Kajang diarahkan turun setelah pemandu dan agen bertekak hampir setengah jam di bawah. Rupanya ada yang mengugut untuk meminta bayaran balik tiket sekiranya tak dapat naik bas tersebut (itupun saya dapat tahu bila saya mula nak naik angin dengan agen).
Bayangkan ketika itu hampir pukul 12 malam, anak saya sedang nyenyak tidur. Saya memberi alasan anak tidur. Apa yang membuatkan hati saya sangat marah ketika itu adalah pemandu dengan angkuh terus berkata 'Gerak jugak sampai bangkit' dengan kasar. Saya rasa kalau dia bercakap secara sopan dan meminta maaf atas kesulitan saya akan faham tetapi bila begitu keadaannya hati saya sangat bergelora tetapi saya pahat di hati apa yang berlaku ada hikmahnya. Beristighfar. Pelan-pelan saya kejut anak yang sedang tidur, angkat 2 beg kecil yang ada bersama, turun ke bawah dudukkan anak di koridor kerana semua bangku sudah penuh kemudian mengangkat 2 lagi beg pakaian di tempat penyimpan beg di bawah bas. Tiada siapa ingin menolong! Tidak pemandu, tidak juga wakil agen bas tersebut di Jitra. Pemandu muda yang ada rupa, bersuara sedap di rangkaian radio pemandu bas agaknya tetapi tidak mempunyai perilaku yang baik!
Kami berempat dan dua penumpang dari Jitra dihantar ke Hentian Shahab Perdana, Alor Star menaiki 2 teksi. Allah sudah tentukan malam tersebut rezeki pemandu teksi tersebut saya berbisik di hati. Dari Hentian Teksi yang berada di luar anak mamai-mamai berjalan ke platform masa telah melewati jam 12.30 malam. Pemandu teksi menawarkan diri untuk membawa barang-barang, tetapi saya tetap menolak dengan baik. 1 beg di galas di depan, 1 di belakang 2 beg lagi berada di tangan (nasib baik 2 beg ini hanya berisi kuih-kuih mudah pecah dan selimut sahaja). Sampai sahaja saya ke platform saya lihat bas yang sama ada di situ dan pemandunya biadab turut ada (masa tu rasa macam ada api dalam mulut!). Saya sangat marah!