Memaparkan catatan dengan label aktiviti keluarga. Papar semua catatan

Pekasam Nasi

Pernah dengar pekasam nasi? Bukan nasi tu dibuat pekasam tetapi ikan dibuat pekasam menggunakan nasi sejuk. Walaupun sudah 15 tahun menjadi menantu orang Perak inilah kali pertama saya lihat kakak ipar sediakan ikan pekasam. Sebelum ini saya hanya melihat yang siap digoreng dan beranggapan setiap pekasam adalah sama cara pembuatannya. 


Perjalanan lebih 3 jam biasanya sangat membataskan masa saya untuk masak-memasak di dapur, sekadar membantu atau kadang-kadang saya langsung berbaring sementara kakak ipar memasak. Memandu sejauh 255km dari Kajang-Bota Kiri membuatkan saya sangat letih dan bertambah letih sebab kebiasaannya kami akan balik semula ke Kajang pada hari yang sama. Tumpuan Pak Tuan di jalanraya semakin berkurangan berikutan faktor umur jadi saya akan menjadi pemandu setiap kali balik kampung.


Cara-cara untuk membuat pekasan ini sangat mudah. Ikan talapia hitam dicuci bersih, digaramkan. Kemudian dilumurkan dengan nasi dan dimasukkan asam keping. Apa yang saya lihat didalam perut ikan mesti ada asam keping. Rasa pekasam ini agak kurang masamnya berbanding pekasam beras goreng. Masih boleh menikmati rasa ikan, masam yang kurang dan wangi semasa menggoreng juga tidak menusuk hidung. Berbanding pekasam beras goreng yang biasa orang Perlis buat bau pekasam ini sedikit kurang berbanding pekasam beras goreng yang berbau agak kuat.



Bekalan dari kakak ipar. Sebelum menggoreng buang semua nasi yang ada di badan dan perut ikan. Saya buat kerja senang cuci sahaja terus dengan air.



Inilah hasilnya. Wangi dan sedap makan dengan nasi panas.



Kecewa Dengan Boboiboy

Ahad 13hb March beria-ia mama dan anak-anak ke Alamanda nak tengok filem animasi Malaysia yang sedang hot iaitu Boboiboy The Movie. Hikram asyik merungut setiap kali tengok iklan di televisyen. Kesian kan Hikram terus ajak abang, kakak dan Alya sekali. Malangnya sampai sahaja kat Alamada kebanyakan tiket sudah penuh yang ada hanya pukul 5.55pm itu pun selected seat, malam masih banyak yang kosong masalahnya abah pula ada kat rumah. Cari juga kat tempat lain menggunakan online booking sama juga hot sangat Boboiboy ni, kebetulan cuti sekolah ramailah ibu-bapa bawak anak-anak tengok wayang. Kebisaannya kat Alamada senang sahaja nak beli tiket minggu lepas sesak, kaum Cina pun ramai bawak anak tengok wayang kat sana kebetulan pada masa yang sama sibuk dengan Kungfu Panda 3.


Alya tegak kat belakang dengan muka masam dan Hikram dah mula cari pasal dengan kakak, protes tak dapat tengok wayang. Mama pula mula naik angin dah la stress internet macam siput sahaja geraknya. Abang cool sahaja walaupun mama dah tinggikan suara sikit. Akhirnya buat keputusan pergi ke Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2016. Manusia punyalah ramai. Hikram mengikut sahaja dengan muka masam lama-lama cool sikit bila abnng mula pujuk dan tengok aktiviti lasak yang ada sekitar pesta. Kemudia mood terus ok bila kami semua berlari sakan dalam hujan ke kereta sambil gelak-gelak. Terus happy.











Sepatutnya petang tersebut belon panas dinaikkan tetapi disebabkan hujan semua belon panas tak dapat naik mungkin sebelah pagi dah naik sebab biasanya ada sesi pagi dan petang. Nak masuk kawasan belon panas kena beli tiket tetapi kami hanya jalan-jalan sekitar pesta sahaja. Dapatlah bergambar dengan belon panas besar yang disediakan untuk pengunjung tetapi kena bayarlah untuk naik belon tersebut. Bateri hp mama habis kalau tak lagi banyak gambar-gambar kat sana, anak-anak tak nak layan mak gedik bergambar.






Balik singgah Ramal Junction upah kecewa tak dapat tengok Boboiboy, Hikram dah boleh senyum, Alya pun happy sahaja dapat nasi ayam sorang sepinggan dan Willey Satay.


Minggu ini sibuk google tiket online nak booking GSC Alamda, Putrajaya namun gagal. Katanya tak boleh booking online sebab masalah server. Esok kena beratur beli tiket siap-siap lusa terus sahaja pergi bawak anak-anak. Kalau tanggug-tangguh takut tiket habis lagi. 




Balik Kampung Main Roller Blade

Sabtu lepas balik kampung suami di Bota Kiri, kalau cerita balik kampung kegembiraan sama saja balik Perlis ke balik Perak ke hati tetap gembira sangat sebab dapat jumpa kaum keluarga. Lagipun sejak suami kakak ipar meninggal ini kali pertama  nak ziarah dia walaupun dia dah pesan balik Perlis cuti Tahun Baru Cina singgah kampung tidur sini kak dah dok sorang tetapi saya tak balik juga sebab fikirkan suami, kalau boleh nak balik tengok kakak dengan dia.





Kami balik ke rumah kakak ke empat Pak Tuan bersiap-siap untuk ke rumah mak mertua yang di dijaga oleh kakak ke tiga yang tinggal bersama dua anak serta cucu-cucunya.



Balik Perak tentulah patin tempoyak cara orang Perak menjadi menu utama, saya siap minta kakak ipar masak lebih untuk bawak balik. Hahahaaa…nasib baik kakak-kakak ipar semua baik-baik serta faham yang adik ipar tak pandai masak patin tempoyak. Kakak-kakak ipar semuanya dah sebaya emak dan ada yang lebih tua dari emak sendiri jadi saya jatuh sayang pada mereka seperti saya sayang emak. Bila merenung wajah mereka perasaan sayu mula berselinap di ruang jiwa. Apa tah lagi Pak Tuan setelah emak mertua meninggal sayang itu beralih kepada kakak-kakak. Kalau balik siap peluk-peluk cium-cium kakak. Jangan tak tahu kadang-kadang air mata lelaki dia menitis juga.



Entah bila kakak masukkan roller blade ke dalam bonet kereta, kalau tak boleh bawa skuter Alya sekali baru ada geng nak main-main kat jalan. Ini kegilaan baru kakak Hayani sehingga minta dibelikan untuk dia dengan alasan nanti kongsi juga dengan adik dan abang. Trend sekarang dah naik semula roller blade ini lepas lama menyepi. Mana-mana pun boleh lihat anak-anak bermain roller blade malahan ada juga tempat yang menyewakan roller blade. Sebab mama punya waktu yang agak terhad untuk melayan kehendak kakak jadi belikan sahaja satu, petang selepas habis sekolah dia akan keluar ke Kajang 2 bersama kawan unuk bermain roller blade.



Beli ais krim!




Jalan lenggang sebab hari cuti hujung minggu sukalah kakak.





Alya suka sangat cuci pinggan sebab singki kat rumah kakak Pak Tuan rendah habis di kutip cawan dicucinya. Kalau abah dan mama berjalan sanggup tinggalkan ayah dan ibu.







Anak perempuan nan seorang bukan mengikut kata anak tetapi bila orang lain ada jadi kasihan pulak dia asyik merengek sahaja, lagipun kalau hendak bermain diluar ambik masa mama pula belikan satu pandai-pandailah kakak urusakn masa. Kegembiraan anak-anak tetap menjadi keutamaan bukan bermakna memewahkan anak tetapi memberi mengikut kemampuan. Selain itu setiap pemberian adalah ganjaran buat mereka atas usaha mereka di sekolah juga sebagai menggembirakan hati anak-anak yang ringan membantu kerja-kerja di rumah.



Timba Ikan Angin Timur


Menjelang akhir tahun air di sawah, di sungai mula sedikit mengering, padi nan menguning mula dituai, cuaca panas dan kering datang bersama angin kencang maka berterbanganlah miang padi serata bumi. Kemudaian salji hitam mula berguguran hasil pembakaran jerami beberapa minggu selepas tuaian dan jerami mula mengering. Panas serta berangin pada waktu siang dan sangat sejuk pada sebelah malam menjelang ke pagi. Dini hari menjadi terlalu dingin sehingga ke tulang sum-sum.


Dulu zaman bersekolah menetap di rumah kampung yang telaga berada di luar rumah dipagari oleh zink namun kedinginan itu tetap terasa. Dalam kegelapan pagi di bawah rimbunan pohon-pohon di kampung tangan pantas mencedok air di perigi lalu dijirus kebadan. Dingin air telaga dipagi hari yang semalaman berembun sehingga menggigil menetap bibir menahan sejuk disapa pula oleh angin sepoi-sepoi bahasa membuat tubuh menjadi kaku. Selesai mandi kadang-kadang tanpa sabun pun cepat berlari ke dalam rumah berkelumoih (berselimut) gebar. Itulah kenangan zaman kecil yang tak akan kembali lagi.


Cuti Tahun Baru Cina yang lalu kami sekeluarga berkesempatan bercuti di kampung selama seminggu, kampung sebelah sayalah di Perlis. Musin angin timoq katanya sempatlah mengimbau setiap kenangan yang ditinggalkan ketika musim timoq sejak dulu. Dalam 12 bulan kalau dapat bercuti di akhir tahun sehingga bulan Mac itulah nikmat yang tak ternilai bagi saya. Kebetulan kami meraikan perkahwinan adi kedua bungsu tahun ini jadi saya berpeluang menikmati sepuas-puasnya angin timoq.


Kali ini saya sempat memberi pengalaman baru buat dua anak bujang Iqbal dan Hikram, pengalaman pertama mereka bergelumang dengan selut dan menangkap ikan! Pengalaman yang tak akan mereka dapat di mana-mana juga pun. Abang dan adik sangat 'enjoy this moment'. Adik yang dikenali sebagai seorang yang sangat pembersih, pantang ada yang kotor mula berkerut muka sehinggakan buang sampah pun boleh muntah tapi kali ini boleh bergelumang dengan selut, bermain lumpur dan berenang di dalam air berwarna coklat. Kali ini baru dapat tengok yang dua beradik ini 'Anak Kampung Yang Sebenar'.




Pengantin pun sibuk nak tangkap ikan, teruja tengok ikan berenang-renang salam selut. Orang baru belum seminggu bergelar suami isteri. Moga bahagia milik mereka selamanya.




Tengah menimba air ke bahagian yang di sekat, proses ini memang sedikit memenatkan. Kat atas masih tunggu giliran untuk mengerah tenaga.



Haaaa...tu gambar adik yang sangat alergik dengan benda-benda kotor tapi kali ini dia sangat teruja nak bermain selut, nak tangkap ikan. Tengok dia gembira sangat mengejar ikan di dalam selut.


Abang pun sama sibuk dengan serkap di tangan tapi entah dapat ikan entah tidak, main selut je yang lebih.



Antara ikan haruan yang paling besar dapat ditangkap seberat kira-kira hampir sekilogram. Menjadi habuan bakar-membakar sebelah malamnya.



Sebelum mula aktiviti menangkap ikan awalnya kami makan-makan bawah rumah. Ini adalah rumah kampung bapa kepada adik ipar kami yang baru.




Parit kecik sahaja tempat menangkap ikan ini, parit ladang harum manis. Sekat dibahagian tengah kemudian timba air kebahagian yang satu lagi sehingga kering dan tangkap ikan yang berenag di dalam selut.



Adik saya baru sahaja keluar hospital pada hari tersebut setelah dimasukkan ke hospital pada malam kenduri, jadi dia tak dapat meraikan majlis perkahwinan Shahizat tetapi tak nak lepaskan peluang tengok orang timba ikan. Tengah panas sanggup berpayung.


Walau letih berulang berkali-kali dari tengah ladang harum manis ke rumah mengambil barang di tengah terik mentari tetapi hati sangat terhibur. Satu kepuasan bila dapat melakukan aktiviti yang biasa kita buat dizaman kecik-kecik dahulu. Insyaallah tahun hadapan nak ulang lagi akiviti ini lagipun tuan tanah dah bagi green light dan bercadang untuk pagarkan parit tersebut dari dimasuki oleh memerang dan biawak. Kalau tak ada binatang dua ekor ni lagi banyak ikan dapat ditangkap. Paling penting ini juga cara Allah s.w.t mengeratkan ukhwah bersama keluarga baru adik Shahizat.



Raikan Cinta Shahizat & Mardhiyah


Bermudik ke hulu di Pekan Baru
Bermudik dari Sungai Dua
Manis sungguh pengantin baru
Bagai pinang di belah dua

Si cantik manis berwajah sugul
Mengenang jejaka si buah hati
Saat sudah terijab qabul
Cinta bersemi sehidup semati








Syukur alhamdulillah dalam penuh kesederhanaan tiga majlis berjalan lancar, majlis pernikahan di Masjid Tambun Tulang pada Jumaat tanggal 6hb Febuari bererti kisah cinta mereka bermula secara rasmi, 7hb Febuari majlis menyambut menantu di sebelah pihak perempuan berlangsung di homestay di bandar Kangar dan majlis menerima menantu di sebelah lelaki meriah seadanya pada 8hb Febuari 2016 di Kampung Pida Dua.



Bermain Dengan Bunga, Kain dan Agar-agar Kering

Masih berbaki 23 hari sebelum majlis berlangsung, persiapan sudah semakin rancak dilakukan. Perancangan majlis berjalan dengan lancar kecuali satu dua perkara yang melibatkan menu. Keluarga besar jadi bila ada kenduri-kendara pastinya ada yang ingin tumpang kenduri. Sepupu di kampung dengan senang hati ingin menyediakan acar rebung untuk kenduri, seorang emak saudara pula berniat untuk sama memeriahkan majlis dengan gulai ikan kering bersama nangka. Jadi menu sedikit bertukar dari gulai daging kepada masak putih daging kata orang tempat saya tetapi orang luar sebut kurma daging. Selagi majlis tidak berlangsung selagi iulah pasti ada perubahan-perubahan kecil menu kerana di kampung masih mengamalkan masak secara gotong royong. Seperti biasa mak akan serahkan bab dapur kepada adik-adik dan ipar duai sahaja.


Baju pengantin masih di dalam pembikinan, kata tukang jahit nak buat baju pengantin perlu berada dalam mood yang baik. Tak boleh serabut dengan masalah nanti idea lambat datang. Nampak gaya baju sudah mula digunting setakat semalam. Tukang jahit adalah adik saya sendiri yang lebih di kenali sebagai Cik Ja dalam keluarga, kami tinggal di tingkat yang sama jadi tiap-tiap hari kakak akan buat spot check lepas tu membebel. Baju pengantin package sekali dengan simple viel.


Baju untuk kakak-kakak pengantin pula juga berlaku sedikit perubahan, hajatnya nak menggunakan warna mint green tetapi bila ke Laila Fabrika yang menjual kain secara borong warna tersebut sudah habis. Terpaksa memilih warna lain. Kami menggunakan warna yang kontra dari pengantin untuk majlis di rumah emak. 9 pasang untuk anak serta cucu perempuan menggunakan sekayu kain, untuk lelaki beli sahaja ready made kecuali untuk adik bungsiu Syafiq yang akan menjadi pengapit, memilih warna yang sama bila buah hati telah menyiapkan baju berwarna ungu mengikut tema.



Ini dah lebih tukang jahit siapkan baju dia dulu kali ini, warna pilihan kedua atas persetujuan bersama. Umi nak warna kuning tapi kakak Hayani tak berkenan, last-last pilih warna mam jelah.


Masih berkira-kira hiasan untuk goodies walaupun sudah ada idea asal namun saat-saat begini terasa ingin mengubah idea asal pulak. Mak pun sudah memulakan projek agar-agar kering yang saya cadangkan untuk goodies, semampu mak jelah buat kalau tak cukup akan ditambah dengan benda lain seperti kerepek atau kacang-kacang. Yassin yang ditempah telah siap hanya menunggu masa untuk ambil sahaja. Harap semua dapat disiapkan sebelum tarikh tersebut. Kerja-kerja akhir goodies akan dibuat di kampung tapi saya tidak risau sangat sebab bila balik sudah ramai pembantu-pembantu yang menunggu.


Hendak menaja pembantu-pembantu cilik dengan baju seorang sepasang memang tak mampu walaupun niat tu ada. Jadi mungkin saya hanya akan menyediakan bunga kepala buat mereka, hanya untuk menggembirakan mereka dan memeriahkan majlis. Sepupu-sepupu sebelah rumah mak 4 orang anak dara itulah yang akan jadi pembantu tetap nanti. Dari menyiapkan goodies, memasang meja beradab, membuat mini pelamin dan memberi goodies kepada tetamu. 


Agar-agar kering dalam pembikinan, cuaca panas dan kering di Pelis mempercepatkan proses mengeringkan agar-agar.



Berangan nak buat ‘flower crown’ tapi menggunakan warna mengikut tema, bab ni kena gigih sikit sebab saya keras tangan.


Tak sabar menunggu cuti Raya Cina walaupun terpaksa menempuh jem yang panjang tetapi semangat tetap kuat untuk percutian seminggu di kampung. Doa yang terbaik agar mak sihat pada tarikh tersebut begitu juga anak-anak, menantu-menantu serta cucu-cucu mak agar semua orang dapat meraikan majlis dengan pnuh gembira dan meriah.




Sirih junjung ‘trail version’ sudah siap Cuma nanti pasangkan daun sirih tulin, pinang dan kapur. Bunga pun sudah siap digubah untuk kegunaan majlis. Emak memang pandai bab  gubah mengubah, menjahit sehinggalah memasak. Sampai sekarang pun masih suka masuk pertandingan berkaitan. Warna tema awal purple putih dan mak tetap kata dia pilih purple dan pink sedangkan kain dah beli purple dan putih. Hentam sajalah labu.


Motivasi Diri

Kadang-kadang emosi kita tak stabil, ada sahaja kegusaran melanda yang membuatkan hati kita jadi tak tenteram. Runsing. Sehinggakan perkara remeh boleh bertukar menjadi besar dan berat untuk dipikul. Adakala kita rasa sangat gembira sehinggakan setiap masalah walaupun sangat berat mampu ditangani dengan baik sekali dan selesai tanpa disangka.


Membuat kebaikan memerluka kekuatan mental dan fizikal. Walaupun ia hanyalah solat dua rakaat. Ada ketikanya terasa sangat berat untuk melakukannya tambahan pula bila kita sibuk dengan urusan duniawi yang membuatkan kita lalai dan meletakkan urusan kerja sebagai yang pertama.


Dhuha. Tahajud. Antara yang agak berat untuk dilakukan akibat pengaruh emosi. Ketika Dhuha kita akan sibuk dengan kerja-kerja pejabat, buat ibu-ibu dirumah pula itulah kemuncak kesibukan di dapur dan ruang tamu rumah yang bagi kita perlu didahulukan, untuk tahajud pula kita rasa sangat sayang untuk meninggalkan bantal bimbang tidak cukup tidur serta mengganggu tugasan ke esokan harinya.


Saya mempunyai cara sendiri untuk memotivasikan diri dalam menagani masalah hati ketika menghadapi situasi tersebut. Kesibukan kerja di pejabat mahupun melawan rasa mengantuk saya akan mendidik hati berkata-kata dengan kata-kata yang memotivasikan diri. Contohnya ketika saya sedang bekerja melihat jam di tangan pukul 9.30am terus saya detikkan dihati “Allah sedang memanggil saya untuk Solat Dhuha, mungkin hari ini Allah s.w.t sedang mahu mengabulkan doa-doa saya, alangkah ruginya sekiranya saya menolak pemberian ini”. Begitu juga bila terjaga di tengah malam bila hati berat untuk terus beradu cepat-cepat saya kejutkan minda. “Allah kejutkan kamu ketika orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi mungkin Allah s.w.t ingin memberikan sesuatu, siapa tahu esok impian akan menjadi kenyataan”. Saya selalu pasakkan hati dengan kata-kata motivasi untuk melakukan kebaikan.


Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menjadi lebih baik. Selagi ia memberi perkembangan positif teruskanlah dan berusahalah untuk menjadi lebih baik. Mungkin bukan hari ini yang Allah beri mungkin esok, mungkin lusa atau mungkin disimpan untuk memberi sesuatu yang lebih istimewa. Itu rahsia Allah.


2016 walaupun ekonomi agak suram jangan lepaskan peluang untuk bercuti menghadiahkan diri serta memanjakan diri setelah berpenat lelah bekerja. Walau ekonomi tidak menentu hidup tetap perlu diteruskan paling penting adalah perancangan dalam setiap apa yang hendak dibuat. Rancang percutian sebaik mungkin entri ini “8 Things You Can StartDoing NOW For A Healthy Fund For Your 2016 Travels” boleh membantu sedikit sebanyak perancangan tersebut, memberi idea agar semuanya berjalan dengan lancar.







Inilah percutian yang saya tunggu-tunggu saban tahun. Percutian di rumah mak. Habiskan masa bersama adik-beradik walaupun hanya pi makan bihun sup, laksa dan ais kacang tepi laut di Kuala Perlis. Itulah saat-saat yang paling berharga buat kami sekeluarga.






Persiapan Majlis Perkahwinan



Bila adik lelaki yang kahwin tentunya yang bertungkus lumus buat kerja kakak-kakak sebab adik lelaki nak buat apa-apa semua tanya kakak-kakak. Dapat pula bakal adik ipar yang memang sangat simple dan tak suka sangat melaram jadi sikit-sikit tanya Kak Yang, tanya Cik Ja. Jadilah kami perunding majlis untuk kali ini.


Persiapan dibuat perlahan-lahan, dari beli kain serta tempahan semuanya Cik Ja yang uruskan. Bawa bakal pengantin shopping di Kuala Lumpur kerana majlis sebelah perempuan nak pakai songket sebelah lelaki pula lebih simple hanya menggunakan kain chiffon berwarna ungu. Masih tertangguh baju untuk majlis akad nikah sebab keluarga pengantin minta majlis pernikahan dilangsungkan pada hari Jumaat sedangkan mak pula minta majlis diadakan pada hari majlis di rumah pengantin perempuan. Lagipun Jumaat kami yang jauh masih bekerja.Fesyen designer by Hasniza Abdullah Couture dari pembelian kain, design baju, jahit sehinggalah hiasan di baju. Alhamdulillah ada kakak yang pandai menjahit jimat kos.



Songket dah yang ditempah telah sampai stok jadi bolehlah mula design baju, warna ni sangat hot di pasaran jadi selalu taka da stok ini pun terpaksa booking dahulu.


Langsir untuk ruang tamu rumah,mini pelamin, meja makan beradab dan untuk bilik sudah siap dibeli hanya menunggu tukang jahit menjalankan kerja-kerja seterusnya. Bahagian ini masih tertangguh adalah cadar untuk bilik pengantin dan bunga-bunga serta hiasan-hiasan lain untuk pelamin dan meja makan beradab.


Goodies pula hanya mencari yang simple dan meninggalkan kenangan buat yang datang meraikan pengantin. Kebiasaanya adik beradik emak akan menyediakan bunga telur tetapi sebab kali ini kami merancang untuk memberi 'goodies' emak memnita adik-beradiknya menyediakan kuih atau lain-lain barang yang boleh digunakan pada hari kenduri.



Cadangnya letak makanan dalam beg kertas macam ini sahaja, mungkin akan tambah sedikit benda lain untuk keluarga terdekat dan orang kampung yang bergotong royong.


Baju untuk sekeluarga kami merancang untuk menggunakan warna yang agak kontra dari warna tema pengantin. Setakat ini warna 'mint green' menjadi pilihan dan mungkin akan berubah mengikut kesesuaian keadaan. Masih mencari-cari warna tudung yang sesuai mungkin 'dusty pink' atau 'peach'. Bagi lelaki pula mungkin hanya akan beli kemeja siap sedia sahaja.


6 minggu lagi untuk membuat persediaan. Moga majlis akan berjalan dengan lancar serta dipermudahkan hendaknya. Harap mak juga sihat pada tarikh perkahwinan adik nanti. Dengan usia yang hampir menginjak 65 tahun dan kesibukan menguruskan majlis takut juga emak kehilangan tenaga. Berilah yang terbaik kepada kami Allah.



DiRenjis-Renjis DiPilis


Rezeki, ajal maut dan jodoh pertemuan Allah s.w.t yang tentukan. Semampunya kita merancang sebaik mungkin namun Allah jua yang lebih mendahului segalanya. Walalupun segalanya telah dirancang akan berlangsung pada Dec 2016 namun jodoh itu rahsia Allah. Dengan izin Allah dua bulan dari sekarang kami bakal menerima ahli keluarga baru. Suntuk namun kami sekeluarga terima ketentuan Allah dengan berlapang dada. Walaupun mengejut namun itulah yang terbaik bagi kedua belah pihak, bertolak ansur.

Tiga minggu yang lepas bapa kepada tunangan Shahizat yang bertunang pada hari raya ke tiga yang lalu menyuarakan kegusarannya. Memandangkan dia semakin uzur, selalu sakit-sakit jadi dia mita dipercepatkan urusan perkahwinan. Dia juga dengan rela hati ingin memudahkan urusan pernikahan anaknya. Emak menerima dengan tenang namun jauh di sudut hatinya tetap gusar namun bila mengenangkan tahap kesihatan bapa tunangan adik emak tetap menerima dengan redha. Semua itu janji Allah. Insyaallah akan dipermudahkan.


Dua bulan dari sekarang segalanya perlu disiapkan dari urusan baju, doorgift, kad jemputan, hantaran dan urusan kenduri. Perancangan awalnya perkahwianan Shahizat hendak diraikan dengan sedikit lebih meriah darpada perkahwinan Angah tetapi bila masa sudah suntuk sebegini kami hanya mampu berbuat apa yang termampu sahajalah. Kakak-kakak jugalah yang akan menjadi lebih sibuk dari biasa.


Pembahgian tugas telah dibuat bagi memudahkan keadaan. Baju, langsir, cadar, doorgift saya dan adik yang duduk di Kajang akan uruskan, mak dan Yong (kakak sulung) akan uruskan manisan yang akan dimasukkan ke dalam beg doorgift. Urusan kenduri-kendara pula mak akan uruskan untuk membeli bahan-bahan kering dan jemputan. Kad jemputan Shahizat akan uruskan sendiri dan Angah serta adik bungsu Shafiq akan menguruskan khemah serta kerusi meja untuk hari kenduri. Daging akan diuruskan oleh Abang Long suami kakak. Pada hari kenduri bahagian masak-memasak serta hidangan akan diserahkan sepenuhnya kepada Makcik Uji dan Pakcik E adik bungsu mak dan suaminya.




Harapan saya agar majlis ini akan berjalan dengan lancar serta sempurna, moga Allah s.w.t memudahkan urusan perkahwinan Shahizat, melancarkan majlis kenduri juga. Belajar dari kesilapan kali ini majlis sebelah perempuan diadakan berlainan hari supaya tidak sesak masa. Nikah, majlis sebelah lelaki dan majlis sebelah perempuan diadakan pada hari yang berlainan. Dalam ghairah menguruskan segalanya hati tetap menitip seribu kesyukuran kerana masih dapat menggembirakan orang sekeliling dengan sedikit kudrat yang ada.



Sepakat Membawa Berkat


Syukur alhamdulillah penyewa baru telah mula menduduki rumah sejak 15hb November setelah dua minggu penyewa yang sebelumnya keluar rumah. Penyewa baru merupakan bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi, sekian lama mengintai rumah di kawasan tersebut akhirnya mereka berkenan dengan rumah yang diiklankan dan terus membuat keputusan untuk menyewa sebab lain kali mungkin dah tak ada yang bersesuaian dengan hati serta bajet mereka.

  



Dua minggu yang sangat meletihkan kerana membersih dan mengecat rumah. Mengganti tombol-tombol pintu yang rosak, membaiki bilik air yang tersumbat dan menggantikan mentol-mentol lampu yang tidak menyala. Upah orang memang lebih senang tetapi sebab Pak Tuan sedikit cerewet jadi kami buat sendiri semuanya lagi pun boleh jimatkan kos. Anak-anak pun sudah besar jadi sudah boleh membantu jadi bab cat mengecat mereka ambil alih tanggungjawab. Mama dan abah selesaikan yang selebihnya.






Dua bilik air di tingkat atas tersedia water heater.

Keadaan rumah tidak teruk sangat cuma biasalah bila duduk bukan di rumah sendiri jadi tidak dijaga sangat. 2 tombol pintu rosak, lampu tangga padam tidak berganti, simen didepan dan belakang dibiarkan hitam berlumut, bilik air di bilik tidur utama tersumbat, tandas cangkung di bilik air bawah tersumbat katanya berus tandas terjatuh di dalam lubang tandas. lap habuk-habuk di tingkap dan semua grill. Sedikit penat menguruskan 3 bilik air yang perlu digosok lantai dan dindingnya, memberus lantai yang berlumut di porch depan dan ruang belakang dapur. Mengeluarkan barang-barang yang tersumbat dari lubang tandas rupanya bukan berus tandas sahaja, ubat gigi, pisau cukur, botol syampu, botol carrie junior dan paip getah dikeluarkan manalah tak tersumbat. Membersihkan kitchen kabinet dan bawahnya yang penuh dengan tahi lipas. Masyaallah yang ini memang saya marah sangat, tempat masak kot dibiarkan kotor macam tu.




Dua orang pembantu tetap mama Kakak Hayani dan Alya setiap kali mama ada di sana pastinya ada kakak dan Alya.

Hujung minggu dan cuti Deepavali memang menguruskan rumah tersebut sahaja sehingga demam. Nampak seperti mudah tetapi memerlukan kudrat yang banyak juga. Namun bila semuanya selesai saya rasa sangat berpuas hati. Terasa berat pula hati hendak menyerahkan kunci kepada penyewa baru bila keadaan rumah sudah bersih dan cantik. Nampak gayanya bila penyewa ini keluar nanti memang saya akan pindah masuk sahajalah, sayang rumah dibiarkan penyewa duduk. Kalau dapat penyewa yang jaga rumah dengan baik tak apa sekiranya sebaliknya memang makan hati.









Kali pertama dan terakhir adik ikut mama uruskan rumah, tolong cat tembok pagar hadapan esoknya terus tak nak datang lagi. Abah minta catkan dengan warna tanah seperti coklat yang agak gelap tetapi warna cat seperti itu kehabisan stok jadi pilih sahajalah coklat cair.



Perjanjian sewa beli pun sudah di tandatangan dan dibawa ke LHDN bulan lepas cuma salinan belum diberi kepada penyewa. Itulah risiko menyewakan rumah kepada orang, nasib baik rumah dikembalikan dalam keadaan baik kalau sebaliknya terpaksa baiki rumah pula. Harapnya penyewa baru dapat mejaga rumah sebaik mungkin, jaga seperti rumah sendiri. 



 Rumah yang sudah siap di berishkan dan dicat, semakin kemas rumah semakin sayang pula hendak di sewakan.