Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Puasa Paling Bahagia

Syukur alhamdulillah setelah berbelas tahun merantau hanya sempat berbuka puasa dua hari terakhir Ramadhan bersama mak tahun ini dapat berpuasa seminggu bersama. 8 Ramadhan mak ke Kajang menghabiskan bulan puasa bersama kami di sini. Anak, menantu dan cucu-cucu gembira dapat berbuka serta bersahur dengan emak. Rumah saya dan adik berdekatan biasanya saya akan angkat segala juadah berbuka ke rumah adik dan berbuka bersama. Malam tadi mak dah selamat balik ke Perlis, asyik teringatkan anak bujang berdua yang ditinggalkan.












Salam Aidilfitri Rider Sejati




Di penghujung Ramadhan yang kian menghampiri hati terasa sungguh sayu masihkah ada kesempatan untuk bertemu lagi, ku simpan kerinduan ini jauh di sudut hati bersama iringan doa moga masih dapat mengejar berkatnya Ramadhan di tahun-tahun akan datang.


Sepi hati melambai Ramadhan keriangan tetap menggoda hati, Syawal dinanti penuh kegirangan berkat kegigihan di Ramadhan yang setiap saat mendidik kita menjadi manusia beriman. Perjuangan sebulan yang melebarkan senyuman. Doa agar segala amal dan ibadat kita di terima Allah s.w.t.


Di kesempatan ini tangan dihulur, kemaafan dipohon buat semua keluarga jauh dekat juga teman-teman yang sentiasa melekat di jiwa. Salam Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin.


Duit Raya Tanpa Mood Raya


Julai merupakan bulan kedua bertugas di tempat baru, merasa gaji kedua semalam. Nikmat yang Allah s.w.t selepas di uji. Banyak perkara baru yang dapat saya belajar di sini. Hijrah yang membawa lebih kebaikan. Indahnya percaturan Ilahi.


Dua hari lepas dapat email dari HR katanya ada token untuk pekerja sempena hari raya. Syarikat nak bagi duit raya walapun jumlahnya tidaklah banyak tetapi itulah rezeki. Berdebar-debar jugak sebab baru 2 bulan bertugas perasaan tu lebih kepada tak dapatlah. Semalam gaji masuk terus login ke akaun tengok ada 2 kali debit ke akaun satu gaji satu lagi duit raya. Yeeeyyyy...alhamdulillah. Lepas lah duit minyak dan tol balik kampung.


Entahlah tahun ini raya mood langsung tak mari. Baju adalah sehelai beli online yang ditempah entahkan siap entahkan tidak. Tahun-tahun sebelumnya adik gunting dan saya jahit sendiri tahun ini entah keinginan itu tak ada pulak. Buat biskut pun atas desakan anak-anak yang tak berhenti dok tanya, errmmm bapaknya pun ye jugak sibuk tanya tart gulung.


Esok hari terakhir bekerja, jadinya esoklah up entri raya. Hari ini kita pusing-pusing cari mood dulu, dah jumpa boleh melompat bintang!

Hati Agar-Agar


'Mama kawan kakak Izza (bukan nama sebenar) nak oder biskut yang kakak bagi dia semalam tu (Cornflake Coklat)'
'Dia bayar le...'
'Dia nak buat apa biskut?'
'Dia nak bawak balik kampung'
'Mak dia tak buat biskut ke?
'Tak'
'Dia nak bayar ke, berapa?'
'Rm25'
'Dia nak satu bekas je'
'Duit tu mana dapat?'
'Dia kumpul'


Sambil menaip Whatsapp air mata saya berderai tak tertahan, sambil menaip entri ini puas air mata diseka tak ingin juga ia berhenti mengalir. Hati ibu saya dipagut pilu, sesak jiwa saya mengenang nasib dia. Dada bagi dipasak.


Anak sebaik dia terpaksa menerima ujian hidup yang pahit, menaggung derita mungkin dari sejak bergelar anak tiri diusia 3 tahun. Bagai jarum menyucuk-nyucuk hati bila terfikirkan soal dia. Trauma yang dia hadapi akan kekal sepanjang hidup dia.


Suatu hari kebenaran akan tersingkap jua. Doa yang terbaik buat dia. Doakan juga saya dapat membantu dia, moga Allah s.w.t mengizinkan saya untuk membantu agar dia dapat melalui hidup dengan tenang. Dapat merasa kasih ibu walaupun bukan dari ibu yang melahirkan dia.


'Duit simpan dia ke?
Allah...
Mama nanges kak.
Kesian.'
'Mama jangan le menangis'
'Kakak ada mama buatkan biskut raya...Izza tak ada mak nak buatkan biskut untuk dia...'
'Ambik le satu kotak Cornflake Coklat tu...'
'Okeyyy...'
'Cakap mama bagi, duit simpan buat belanja sekolah'


Hati saya umpama agar-agar bila berhadapan situasi sebegini. Anak tiri yang dilayan umpama ibu tiri zaman bawang merah bawang putih. Berbirat-birat serta berparut-parut diperut. Sampai hatinya seorang wanita yang Allah lahirkan lembut dan penuh dengan ehsan melayan seorang anak perempuan sebegitu. Walaupun tiada pertalian darah bukankah bila sanggup menerima bapanya sepatutnya juga dia melapangkan dada untuk menerima keseluruhan ahli keluarga lelaki tersebut.


Insyaallah bila segalanya selesai saya akan kongsikan di sini lagi. Kisah sedih seorang anak yang menjadi mangsa sebuah perceraian. Derita dan lara dihati yang disimpan sendiri. Ibu, ayah fahamilah hati anak-anak, jagalah kebajikan mereka walaupun sudah tidak bersama.



Projek Biskut Raya 2014

2014 menyaksikan saya sedikit rajin dengan menambah dua jenis biskut yang lain bagi 'Projek Biskut Raya 2014' yang kebiasaannya hanya Tart Nenas, Almond London dan Cornflake Coklat turut tersenarai kali ini Biskut Mazola dan Biskut Oat. Memenuhi permintaan insan-insan tersayang di sekeliling kita adalah sangat menggembirakan hati saya. Penat yang berbaloi.


Tahun ini saya sempat menyiapkan 5 balang Tart Gulung, 9 balang biskut Almond London, 7 bekas Coklat Cornflake, 4 balang Biskut Mazola dan 2 balang Biskut Oat. Biskut-biskut ini sebahagian besarnya akan di bawa balik ke rumah mak dan sedikit akan di agihkan kepada keluarga terdekat (dalam gambar 3 balang sudah di bawa balik oleh yang berhak). Semalam pula Kakak Hayani menyiapkan 6 bekas Cornflake Coklat  bersaiz sedang buat kawan-kawannya. Bersedekah di bulan Ramadhan walaupun sedikit.




Berbaloi mengerah tenaga membuat sendiri berbanding membeli lagipun saya punya pembantu tetap dan separuh masa untuk membantu. Abang Iqbal Hadi, Kakak Hayani, Adik Hikram dan Alya dengan senang hati membantu menyiapkan biskut tahun ini. Ringan sedikit beban. Jumlah modal yang saya keluarkan untuk membeli barang termasuk balang-balang untuk isi biskut adalah +-Rm180.00. Selebihnya adalah kegunaan elektrik dan tenaga.


Saya gembira bila semuanya telah siap. Sangat berbahagia bila suami tersenyum tart kegemaran tersusun kemas di dalam balang, tersenyum puas bila anak-anak makan dengan mulut tak henti memuji sedap Almond London yang mama buat. Kita bahagia bila dapat membahagiakan orang lain.


Secara rasminya Ahad lepas saya menutup tugas-tugas khas setiap kali Ramadhan menjelang Syawal yang bermaksud tiada lagi kerja-kerja menyepahkan rumah denga bahan-bahan membuat biskut. Kerja-kerja penyelenggaran dan mengemaskan dapur mengambil tempat. Sehari dua ini kerja-kerja mengemas ruamg tamu pula akan bermula. Walaupun kami tidak beraya di Kajang tetapi saya akan pastika rumah berada di dalam keadaan bersih dan teratur ketika Syawal nanti.


Muzik-muzik lagu raya berkumandang di corong-corong radio, bercampur-baur rasa hati. Gembira, sedih dan pilu. Moga satu hari aku mampu mencium tangannya di pagi raya, sesungguhnya aku redha dengan kehendakmu Allah. Bukankan orang yang redha itu adalah orang-orang yang berbahagia.



12.01


Lagi seminggu nak bekerja kemudian Sabtu minggu depan akan bermulalah perjalanan 500km yang mencabar mntal dan fizikal. Cadangnya ingin pulang ke kampung awal pagi Sabtu sekitar pukul 4am tetapi ada perkara lain yang perlu diuruskan. Perjalanan rasanya lebih selesa di awal pagi sebolehnya saya ingin mengelak kesesakan sekita Slim River sehingga ke Tapah yang kadang-kadang sehingga tidak bergerak kenderaan. Bayangkan lebuhraya pun jem. Itu belum masuk cerita kemalangan sana-sini, sepanjang perjalanan mesti 3-4 kemalangan akan ditempuhi.


Membebel.


11.30 saya keluar dari pejabat, panas lit-lit kata orag tempat saya. Panjat tangga jejantas sampai puncak tercungap-cungap, zikir dalam hati. Bab turun lajulah. Berjalan di tengah panas. Siap urusan Tabung Haji saya singgah sekejap di Bank Islam bersebelahan untuk tukar duit raya, malangnya duit Rm10 kiriman seorang kawan kehabisan stok.


Keluar menuju Maybank, Menara PNB yang baru dibuka. Pelanggan tidak ramai sebab ramai yang tidak tahu di situ ada bank mungkin yang ada cuma 5 orang sedang berbaris untuk tukar duit. Saya pergi ke kaunter nombor dan bercakap dengan kakitangan bank.


'Encik saya nak tukar duit boleh tak kat sini'
'Maaf puan tukaran duit dah tutup pukul 12 tengahari'
'Ooo..terima kasih'


Tengok jam kat tangan. What a fishhh! Pukul 12.01 tengahari. Apa salahnya di beri sahaja borang tukaran duit tu. 1 minit sahaja pun, lagipun tak perlu ambik nombor terus berbaris sahaja. Langsung tak ada budi bicara.


Alhamdulillah walaupun cuaca di luar panas terik dengan matahari tegak di atas kepala saya masih boleh kawal hati. Bukan rezeki saya untuk tukar duit di sini pujuk sendiri jiwa. Zikir banyak-banyak dalam hati. Saya senyum juga walaupun sebenarnya saya separuh ikhlas.


Puasa sepatutnya dapat mendidik jiwa serta diri kita untuk bersabar, sekiranya kita biarkan emosi mengawal diri bermakna Ramadhan kita hanya sis-sia. Kita berpuasa tetapi kita tidak menghayati.



Menu Gemilang Sepanjang Ramadhan


Saya jarang kongsi gambar-gambar makanan di blog sejak Ramadhan yang lalu, bukan tak masak tetapi apa yang dimasak hanyalah makanan biasa-biasa yang tetap istimewa di hati anak-anak. Menu yang sama diulang saban minggu dan mereka tanpa jemu makan penuh berselera. Hujung mingu selalunya akan ada sedikit kelainan menu sebab saya ada sedikit ruang masa untuk mengubah sedikit selera berbuka.



Menu utama anak-anak tetap menjurus kepada nasi, sesekali saya tambah dengan menggoreng mee atau kueateow yang kemudian akan menjadi makan lewat malam mereka. Pada hari bekerja mungkin saya akan menambah juadah dari bazar seperti roti john atau murtabak. Kuih pula hanya sekali-dua awal Ramadhan dulu saya beli selepas itu tak ada lagi sebab kadang-kadang kuih anak-anak tak makan pun.



Buah Melaka versi tak rajin hanya berwarna putih, kuih paling senang untuk disediakan Ramadhan ini tak ambil masa lama pun.



Buah Melaka versi rajin ada ada warna merah dan hijau asli daun pandan, wangi je baunya. Ini adalah hasil air tangan anak dara untuk abahnya bawak ke surau, majlis berbuka puasa.

  

Daging goreng cili yang dilebihkan sedikit manisnya, terlebih minyak. Gambar ini adalah gambar sebelum puasa tapi menu repeat Ramadhan pula gambar tak ada.



Tauhu sumbat cicah kuah kacang sebabnya bagi orang Perlis tauhu mahupun cucur udang di cicah kuah kacang bukannya sos pencicah seperti di Kuala Lumpur. Saya tahu sayur-sayuran saya dipotong kasar, mengejar masa berbuka. 



Sup daging yang boleh di makan dengan nasi mahupun dimakan dengan bihun yang dicelur. Berbuka makan bersama nasi untuk makan lewat malam anak-anak celur saha bihun. Senang kerja mak tetapi bila buat sup saya terpaksa buatkan juga sambal untuk mereka.
Menu Sabtu yang sedikit kelainan dari hari biasa. Kambing goreng black paper. Perap daging kambing dengan bawang putih, bawang merah, halia yang ditumbuk, sos tiram dan tentunya lada hitam. Anak-anak suka kejap je habis sepinggan.

Orang Perlis memang tak dapat lari dari menu gulai (kari) orang tempat saya memang begitu kari adalah gulai. Gulai ikan pelaling yang menjadi kesukaan anak-anak, tak perlu ikan besar-besar. Makan bertambah-tambah.


Ada jua menu-menu lain yang saya  buat terutamnya yang berunsur sambal yang sangat sinonim dengan anak-anak. Saya masak sambal kosong satu kuali di hujung minggu dan simpan peti ais. Bila nak masak sendukkan sambal panaskan tambah udang, sotong, ayam goreng, ikan bilis atau apa-apa sahaja mengikut selera. Jika suka boleh tambah bawag besar atau bawang holland jugak.


Saya memasak tetapi tidaklah masak sakan-sakan masakan biasa-biasa cuma bezanya di hari biasa saya cuma kadang-kadang memasak berbanding Ramadhan kali ini Allah s.w.t beri kelapangan masa lalu masa yang ada saya manafaatkan untuk memenuhi selera anak-anak. Mengambil kesempatan waktu lapang yang ada sebelum Allah berikan masa sibuk.




Penyegar RamadhanTeh Bunga Ros




Ramadhan yang panas dan kekadang berjerebu memang nikmat kalau dapat minum minuman berais bila berbuka puasa. Bagi saya memilih air panas untuk mengelakkan keletihan berganda selepas berbuka. Air pilihan adalah 'teh bunga ros'. Kewangian bunga ros yang sangat lembut dan menenangkan. Di kala kita mula minum kewangian itu menusuk hidung kemudian terus menerjah ke dalam mulut menjadi terapi yang memberi ketenangan.


Penyediaan cukup mudah. Masukkan dua kuntum 'teh bunga ros' ke dalam air panas, biar seketika sehingga kuntuman bunga agak berkembang. Jika suka masukkan gula. Nikmatilah teh dengan keharuman yang menenangkan, terasa seperti berada di SPA dengan haruman aromaterapi.


Saya telah jatuh cinta dengan teh ini sejak kali pertama mencubanya. Boleh juga dicampukan dengan chemomile untuk rasa yang lebih memikat atau lain-lain teh yang terdapat di pasaran.



Cabaran Ramadhan Satu Hari Rm10


Sudah 4 hari kita berpuasa juga entri pertama setelah Ramadahan yang sempat ditulis. Alhamdulillah. Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan 'Selamat Berpuasa' kepada semua moga Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik buat kita. Sama-samalah kita meningkatkan ibadah di bulan mulia ini.


Berkat ujian yang akan datang bersama seribu rahmat. Setelah berpindah pejabat baru Ramadahan ini menjadi lebih teratur. Allah s.w.t melapangkan sedikit masa untuk memasak buat anak-anak setiap hari walaupun dengan hidangan yang sangat mudah tetapi anak-anak tetap makan dengan berselera. Berbanding tahun-tahun sebelumnya saya lebih banyak membeli dari memasak dek kekangan masa. Singgah di bazar pun sekadar membeli kuih, laksam atau roti john.


Sempena Ramadhan ini juga saya menetapkan satu cabaran untuk diri sendiri. “Cabaran Ramadhan Setiap Hari Rm10”. Insyaallah menjelang Syawal akan ada Rm300. Duit cabaran Ramadhan ini juga akan menjadi sebahagian daripada sedekah sempena Syawal nanti. Setiap hari saya akan memasukkan Rm10 yang biasanya digunakan untuk perbelanjaan sarapan dan makan tengahari ke dalam tabung cabaran ini. Ini adalah sebahagian dari insiatif untuk bersedekah di Ramadhan ini. Sedikit sebanyak mengajar diri untuk menabung di masa hadapan. Duit walau sebanyak mana pun akan habis begitu sahaja dan kadang-kadang kita tidak pasti ke mana alirannya.



Hari keempat. Insyaallah akan semakin bertambah kelak. Di dalam rezeki kita akan ada rezeki orang lain yang perlu kita agih-agihkan.


Cabaran ini juga mungkin dapat menjadi pencetus idea kepada kawan-kawan yang lain. Paling penting cabar diri ikut kemampuan, semampu yang ada selagi kita ada.


Lambaian Ramadhan Lambaian Kenangan


Detik berlalu pergi hari-hari dilalui terasa pantas berlari, mentari terasa sekejap cuma menyinar bumi kelam pula terasa seperti menghambat waktu mentari sangat cemburu. Alam terasa cepat sangat berputar. Kita masih begitu menghitung hari dan detik tanpa mahu berubah dan hanya mereka yang berusaha gigih terus mara kehadapan.



Ramadhan bakal menjengah kita seketika cuma sahaja lagi, Ahad yang bakal menjengah. Tika ini hati menjadi sayu. Sudah terlalu tua diri ini agaknya untuk merasa begini agaknya. Kenangan Ramadhan satu persatu bermain di mata. Wajah mak terbayang-bayang.


Teringat zaman kecil-kecil dulu. Seminggu sebelum tibanya Ramadhan arwah tok akan buat stok kerisik untuk sebulan sebabnya bila bulan puasa macam-macam masakan akan dihidangkan. Antara kegemaran tok adalah nasi ulam (versi utara). Daun-daun ulaman yang diracik halus kemudian digaulkan dengan nasi, kerisik dan garam. Stok tepung dan gula juga untuk sebulan sebab bulan puasa macam-macam kuih tok akan buat, paling tidak akan ada agar-agar santan untuk jamah sebelum tidur. Kuih paling sedap dan sentiasa dirindui serikaya bakar dan lompang air tangan tok. Rindu!


Arwah tok ayah pula suka bila tok buat agar-agar merah dipotong kiub dan masukkan air sirap. 21 tahun arwah tok ayah meninggalkan kami banyak kenangan bersama dia semakin kabur diingatan. Paling terkesan Ramadhan juga membawa pergi kasih tok ayah terhadap kami anak cucunya. Saya ketika itu sedang belajar di Terengganu dan bila kembali ke kampong untuk berhari raya semua bapa saudara dan emak saudara ada di rumah tok ayah bersebelahan rumah mak. Saya mengandaikan mereka balik cepat untuk berhari raya. Selepas berbuka puasa tok datang ke rumah dan bagitahu tok ayah sudah tiada. Masa tu hanya tuhan yang tahu perasaan ini, sampai hati keluarga tidak memberitahu saya. Kasih saya tumpah banyak pada tok ayah sebab abah terlebih dahulu meninggalkan kami semasa saya berumur 2 tahun.


Sehari sebelum Ramadhan mak akan sibuk ke pasar membeli ayam, hidangan bersahur mestilah sesuatu yang luar dari kebiasaan dan selalunya mak akan hidangkan ayam. Ketika itu ayam adalah makanan mewah buat kami. Antara hidangan yang menjadi pilihan mak yang merupakan kegemaran kami adalah nasi tomato dan ayam masak merah. Memang menjadi lagenda dalam keluarga kami setiap kali bulan Ramadhan. Juga hidangan bubur cha-cha yang dibancuh dan gunting sendiri.


Kenangan itu merentap hati setiap kali tiba Ramadhan. Entahlah apa perasaan anak-anak saya apabila mereka dewasa kelak. Adakah lagi mereka akan mengutip kenangan sebagaimana saya. Kesibukan bekerja untuk kelangsungan hidup mengahdkan masa untuk berlamaan di dapur lalu apa kenangan yang boleh saya tinggal untuk anak-anak? Moga Ramadhan tahun ini akan memberi sedikit ruang kepada saya untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka supa saya dapat mencipta kenangan buat anak-anak.



Ramadhan Yang Kian Pergi


Di Palestin, Mekah, Madinah dan negara-negara Arab lain umat Islam sibuk memakmurkan masjid, beriktikaf mengejar pahala berganda di 10 terakhir Ramadhan. Memenuhi segenap ruang masjid dari malam sehingga ke siang, berebut beribadah.


Kita di Malaysia. Berebut tawaf shopping kompleks, bazaar raya sehingga dini hari ada juga yang sanggup sehingga ke pagi. Sibuk dengan persiapan raya. Kalut urusan duniawi. Masjid sunyi, kosong. 


Bertapa ruginya kita umat yang berada di bumi yang bertuah lagi aman ini. Masjid cantik dan gah tetapi jemaah boleh di bilang dengan jari.



Buat Projek Sehari Sebelum Ramadhan


Badan lemau.

Otak lagilah lemau, berkarat.

Lama tak guna, lama tak diberus. Skill saya sedikit ke laut. Saya akui. Merenung bersunggu-sungguh kapal yang tengah saya buat. Kecik ja tulisan. Tenung-tenung bagai nak koyak kertas. Nampak sikit-sikit. Saya agak-agak jelah. Salah? Nanti masa depa check perbetulkanlah balik. Mata saya dah tak nampak sangat. Tanda-tanda penuaan. Agaknya?

Panjang kapal 45 meter (saya tersilap anggaran sebenarnya kapal tu lebih 300 meter). Saya agaklah malas nak campur ukuran yang ada. Bila dah lama tak buat Hazardous Area Classification ni otak saya jadi tepu. Kena renung dan fikir lama-lama. Haihhh...
Ini projek kapal pertama saya buat. Sebelum ini saya buat pelantar ja pun. Banyak jugak saya kena belajar serta dapat belajar. Bagus untuk resume saya!

Sebenarnya hari ini hati saya dok ingatkan mak.

Teringat esok nak puasa. Teringat zaman kecik-kecik hari ini mak mesti sibuk pergi beli ayam kat market. Nak masak untuk sahur atau 'soq' kata orang tempat saya. Biasanya menyambut Ramadhan kami makan sedikit mewah. Mewah ke? Ayam je pun. Tapi itulah hakikat zaman dulu-dulu. Daging dan ayam adalah makanan mewah. Hari-hari tertentu sahaja dapat dinikmati. Sambut puasa, hari raya atau kenduri-kendara. Sekarang. Budak-budak hari-hari pun ayam!

Malam nanti mak sekali lagi akan sibuk masak sakan-sakan untuk anaknya yang 6 kerat tu. Biar puas anak-anak makan sebelum berpuasa keesokan harinya. Sehari sebelum berpuasa akan menjadi hari sibuk buat mak. Kadang-kadang mak sembelih ja ayam yang ada tapi biasanya beli sahaja kerana ada anak mak yang tak lalu makan ayam kampung. Katanya. 'Cakaq-cakaq ayaq acaq la mak, geli'. Hahhaaaa... Namanya jantan tapi bab-bab macam tu gelilah pulak!

Tahun ini Ramadhan di sambut dengan sedikit kesedihan. Mak Lang dan Tok telah pergi menemui Ilahi, sayang kami tak setanding kasih sayang Allah buat mereka. Al-Fatihah. Bermakna tahun ini juga tak ada lagilah orang yang akan kejutkan mak kalau mak terlajak tidoq. Kebiasaanya jugak setiap kali sahur saya akan menjadi jam kedua mak atau kadang-kadang mak akan jadi jam kedua saya bila anak tak telefon dia di waktu sahur. Tukang jahit depan rumah pun saya jadi tukanq gerak (adik sayalah tu) yang kadang-kadang menjahit tak tentu masa, keletihan lalu terbabas tidurnya.

Banyak kenangan bulan puasa masa kecik-kecik yang buat saya senyum, tiba-tiba juga buat saya sebak. Kenangan yang akan mencuit hati saya saban tahun. Saya dah tua agaknya. Kenangan yang manis pun boleh buat saya menangis.

Salam Ramadhan buat semua. Buat semua pembaca Muslim semoga kita akan di berkati di Ramadhan ini. Maaf juga atas kekhilafan sedar ataupun tidak.