Berhati-hati Bila Menggunakan Surau Putrajaya Sentral
Putrajaya Sentral merupakan terminal bas yang menyediakan perkhidmatan bas henti-henti mahupun bas ekpress untuk perjalanan jarak jauh. Di sini juga terdapat kemudahan-kemudahan lain termasuk surau untuk kegunaan umum. Ingatan buat pengguna surau di Putrajaya Sentral supaya berhati-hati dengan beg yang di bawa terutama beg tangan mahupun beg sandang yang kita letakkan barangan berharga terutama beg duit. Rasanya banyak pengalaman orang lain yang dapat kita baca di internet.
Jumaat yang lalu anak saudara Pak Tuan Nurul yang belajar di Cyberjaya telah menjadi mangsa. Naif. Tanpa prasangka. Almaklumlah pertama kali hidup berdikari dan berjauhan dari ibubapa. Bila semua bersolat dia meletakkan beg agak kebelakang. Usai bersolat bersiap dia ke kedai untuk membeli air dan ketika itu barulah dia tersedar beg duit dan telefon bimbitnya telah lesap. Pencuri itu hanya mengambil barang kecil yang bernilai besar. Menangis dia. Duit tak ada, kad bank lesap, telefon bimbit juga hilang malahan tiket balik juga dikebas.
Dia kehilangan arah. Bila sedikit tenang dia menghubungi bank untuk menyekat penggunaan kad tetapi sayang Rm2000++ pinjaman pelajaran MARA telah dikeluarkan dari akaun bank, telefon satu lagi bank juga sama Rm300 langsai. Alhamdulillah duit Baitulmal di dalam Bank Islam tidak terusik. Bagaimana duit dapat dikeluarkan? Kesilapan dia apabila menggunakan tarikh lahir sendiri sebagai pin nombor atm kad. Penyangak memang cekap sebab itu kerja mereka jadi perkara pertama tentulah nombor kad pengenalan yang akan dia cuba dulu.
Bumi Allah yang luas ini masih ada manusia baik-baik. Nurul di pertemukan dengan seorang wanita baik hati. Memberi pinjam telefon dan memberi duit untuk beli tiket serta duit belanja buat Nurul. Bila kakak Pak Tuan meminta nombor telefon dan nombor akaun dia kata pertolongannya adalah ikhlas kerana Allah. Kasihan Nurul katanya.
Jadi berhati-hati di mana juga kita berada, syaitan yang bertopengkan manusia ada di mana-mana walaupun di dalam surau mahu pun masjid. Mereka tidak segan-silu untuk mencuri walaupun di rumah Allah. Tidak hairan zaman sekarang andai kita terlihat orang bersolat dengan beg komputer riba tersandang di belakang!