Memaparkan catatan dengan label Perlis. Papar semua catatan

Kuih Kapal Terbang Berkacang

 
 
Kenangan akan sentiasa berlegar-legar di jiwa ada ketika bila kita melalui sesuatu perkara kita dapat merasai seolah-olah kita pernah melalui detik yang sama tanpa dapat dikesan bilakah ianya berlaku atau ianya cuma sebuah mimpi. Ada ketika bila makan sesuatu sepantas kilat jiwa bergetar merindui rasa yang sama mungkin suatu ketika dahulu kita pernah merasainya. 

Rezeki dari seorang kawan bawa Kuih Kapal Terbang bukan kebiasaan bersalut gula tetapi bersalut kacang tanah. Masyaallah sedap! Tiba-tiba jiwa tersentak. Rasa ini yang pernah saya rindui dan akan sentiasa saya rindui. Sejak kebelakangan ini perasaan itu semakin kuat membenam di jiwa. Alhamdulillah. Rezeki akhirnya datang juga walaupun kuihnya berlainan tetapi rasanya tetap sama.

Semasa sekolah rendah seorang kawan bernama Rosnita akan berjualan Kuih Batang Buruk Kacang Tanah hasil air tangan ibunya. Sebungkus 20 sen! Tahun 80an. Rasanya itu sahaja harga yang mampu dibayar oleh anak-anak sekolah lagipun pada ketika itu tepung gandum berharga sekitar 60 sen sekilogram gula sekitar Rm1.20 sekilogram. Lagipun orang kampung berniaga banyak bersedekah.

Hari ini saya dapat menikmati rasa yang sama dengan Kuih Batang Buruk Kacang Tanah walaupun apa yang saya makan adalah Kuih Kapal Terbang bersalut kacang tanah. Mungkin dibuat menggunakan bahan yang sama jadi rasa hampir sama yang berbeza cara pembuatannya dan bentuknya sahaja.

Alhamdulillah. Nikmat Allah yang mana mampu kita dustakan. Berlegar di minda akhirnya rasa itu menjadi nyata.



 

Rindu Angin Kampung




Kampung saya jauh nun di utara tanah air bersempadan dengan Thailand, berkelana mencari rezeki di bumi Allah sehingga ke Kuala Lumpur. Takdir rezeki saya tertulis di sini demi kelangsungan hidup maka menjadi pemastautin tetap saya di sini.


Kebiasaannya bila ada cuti berkembar saya akan mengambil kesempatan untuk bercuti di kampung dan saya akan sambung dengan cuti tahun sekurang-kurangnya cuti menjadi 5 hari. Perjalanan balik kampung mengambil masa 6-7 jam begitu juga sebaliknya jadi untuk pulang pada hari cuti hujung minggu adalah tidak berbaloi dengan penat dan belanja perjalanan.


Menjadi kelaziman kami bercuti pulang ke kampung pada Tahun Baru Cina dan cuti Hari Raya Puasa selebihnya mengikut keperluan keadaan.Setiap kali pulang bukan sedikit perbelanjaan yang perlu jadi bajet melancong banyak dihabiskan untuk pulang ke kampung tetapi itulah kegembiraan kami walaupun tak dapat melancong tempat best-best hati kami sekeluarga tetap sangat gembira bila dapat balik ke kampung.


Esok saya dan anak-anak akan mengharungi perjalanan lebih 500km kebiasaanya juga jalan akan sesak. Kesihatan pulak agak kurang bagus selsema dan demam mula menyerang. Harap esok saya dapat memandu dengan baik dan selamat tiba ke kampung. Rindu langit kampung! Mak baru sahaja 2 minggu balik dari Kajang jadi rindu masih mampu ditahan.


Walaupun saya gembira bila berada di bawah langit tenah kelahiran hati tetap terkenang si dia yang ditinggalkan. Janan nakal-nakal sepanjang kepergian isteri. Pandai-pandailah jaga diri. Rindu akan tetap meruntun hati.



Telefon Antik Telefon Pusing-Pusing


Kisah ziarah saudara mara jauh dan dekat di hari raya, kali ini berhari raya di rumah sepupu my Almarhum Tok Ayah di Padang Katong, Perlis. Suaminya juga telah di jemput Ilahi tinggal bertemankan seorang cucu yang sudah bekerja, dulu semasa hayat Tok Ayah ini adalah antara rumah yang wajib dikunjungi setiap kali hari raya waima sekiranya ada urusan di Kangar pastinya dia akan singgah di sini.



Ini gambar keluarga besar mereka, saya tak kenal sangat almaklumlah arwah tok ayah pun dah 20 tahun lebih kembali kerahmatullah kiranya selalu datang sini zaman kecik-kecik dulu.




Ini my tok long kiranya mak menakan pupu la dengan mak, orang dulu-dulu sepupu atau dua pupu tu masih dikira keluarga rapat. Dah lama tak jumpa dia pun semakin uzur.



Pusing-pusing rumah tiba-tiba budak-budak terpandang telefon lama ini, masing-masing pelik sebab memang tak pernah tengok. Telefon ini masih berfungsi dengan baik. Jadinya depa ambik kesempatan try pusing-pusing telefon lama ini. Pusing lepas pusing lepas sampai habis no yang nak di dail....depa sukaaaa...



Dah boleh jadi kategori barangan antik kot. Arwah tok long dulu kerja Telekom jadi itulah telefon yang digunakan dari dulu sehingga sekarang.



Kenangan mengusik jiwa betul!


 
Sesekali balik ke kampung terutama bila hari raya masa inilah hendak berkenal saudara jauh dekat yang kadang-kadang walapun kerja sepejabat kita tak tahu yang sebenarnya satu keturunan, satu nenek moyang. Satu perkara yang saya sangat tabik pada orang dulu-dulu ikatan kekeluargaan itu sangat kuat antara mereka walaupun saudara jauh. Berbeza sangat dengan orang zaman sekarang yang kadang-kadang sepupu sendiri pun dah jadi macam orang asing.


Ujian Ribut Yang Sedikit


Kesan ribut yang melanda Perlis baru-baru ini. Inilah ujian ribut yang sedikit buat kita. Kalau hendak dihitung kita hanya kehilangan rumah tempat berteduh, alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Di saat kita berkeluh kesah dengan sedikit ujiannya pujuklah hati, kita selamat, anak isteri selamat hanya harta dunia yang terlibat. Kenangkan juga tempat lain yang dilanda taufan sehingga tiada yang tinggal, banjir melanda menghanyutkan segalanya isi rumah, tanam-tanaman mahupun haiwan peliharaan. Paling penting kita masih ada insan-insan yang kita sayang di sisi.





Bersedih kita tetap bersedih namun siapa kita untuk menolak takdir Ilahi. Redha ubat paling mujarab untuk penyakit hati. Ujian Allah s.w.t mungkin sebagai teguran buat kita atau Dia ingin melihat tahap kesabaran kita. Paling pasti setiap ujian ada hikmahnya.


Seperti biasa bantuan awal tetap tiba dari badan-badan berwajib. Bukan mudah untuk membina sebuah rumah semula kerana rumah lama membawa bersama kenangan yang turut sama menyembah bumi. Yang baru tak kan sama dengan yang lama tetapi hidup perlu diteruskan.



Perlis Di Landa Ribut Kencang


Semalam saya menerima whatsapp dari teman tapi mesra saya yang bekerja di Ibupejabat Bernama berdekatan Tasik Titiwangsa, baru dipindahkan ke sini dulu dia Ketua Biro Bernama Perlis.


"Dapat berita Changkat Jawi dilanda ribut kencang"
(Changkat Jawi merujuk kepada sekolah berdekatan rumah mak saya)


Kes ribut di Perlis memang agak menakutkan bila tiba musim pertukaran monsun seperti sekarang. Kata orang tua-tua angin sedang berebut arah sebab itulah terjadinya ribut. Ku sangka panas sehingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Ini baru betul kena dengan bidalan itu kerana dalam panas terik tak hujan berhari-hari tiba-tiba angin ribut kencang pula melanda.


Sejak zaman kecil saya sudah biasa dengan ribut sebegini juga sudah biasa melihat bumbung rumah diterbangkan angin, pokok tumbang menghempap rumah dan lebih teruk rumah kayu runtuh menyembah bumi. Bila ribut kencang selalu kami adik beradik akan berlindung dirumah nenek yang lebih kukuh atau akan berkumpul di satu sudut rumah yang dikira lebih selamat. Dalam keadaan tersebut selalunya tok ayah akan melaungkan azan dan tok pula akan membaca doa (kenapa selama hanyat dia saya tak pernah tanya doa tersebut). 


Pernah suatu ketika dahulu semasa ribut kayu dari rumah jiran berdekatan diterbangkan angin sehingga kerumah di depannya serta melayang mencungkil tulang selangka isteri jirannya yang sedang mengandung. Tak lama selepas itu dia mengandung dan anak itu dipanggil Mat Ribut sehingga sekarang.


Kali ini ribut merosakkan 27 buah rumah di Kampung Pida Dua Sekerat tanah kelahiran saya. Kebanyakannya melibatkan bumbung yang 'diangkat' ribut. Alhamdulillah rumah mak selamat begitu juga rumah Yong dan makcik dikiri kanan rumah mak. Cuma semalam rumah mak bergelap sebab hujan menyimbah rumah dan meter utama basah, masing-masing takut nak guna perkakasan elektrik.


Kebiasaanya juga mangsa ribut akan segera di bantu segera oleh Wakil Rakyat setempat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Musibah yang Allah s.w.t turunkan adalah sebagai peringatan kepada kita agar lebih lagi mengingatiNya.



Buah Mertajam Apa Yang Tajam



Cantikkan warna buah mertajam ini, mungkin buah ini diambil sempena nama Bukit Mertajam. Buah mertajam tapi apa yang tajam? Buahnya bulat tapi mungkin daunnya yang berbentuk bujur serta agak tajam dihujung mempengaruhi nama buah ini.


Buah mertajam tidaklah sesedap durian, rambutan atau manggis tetapi buah ini mempunyai nilai yang tersendiri buat saya. Banyak kenangan zaman kecil dikampung terhimpun bersama buah mertajam ini. Dulu di depan rumah tok ayah meriah berbuah sekarang pula galak berbuah di belakang rumah mak.


 Rasa buah ini agak manis serta sedikit payau mungkin. Susah nak gambarkan rasanya. Paling sedap apabila warna bertukar kehitaman bermakna buah tersebut sudah ranum. Siapa pernah makan buah ini? Mungkin lain tempat lain pula namanya.



Musim Luruh


Mama musim hujan bosan tak boleh nak main kat luar.

Bila musim luruh pula panas sangat, letih pula main kat luar.

Bila pulak le rumah mak tok dapat musim luruh dik oiii...

Mentang-mentang lah semua daun kuning berguguran ko bantai terus musim luruh ye dik...ishhkkk...





Balik Kampun...Balik Kampung...Balik Kampung...


Syukur alhamdulillah Kakak Hayani sudah buat keputusan untuk balik sekolah dengan mama. Saya is happy sangat-sangat. Harap mak tok tak sedih-sedih bila kakak tak ada kat rumah kelak. Mama pun selalu rindu kakak. Tak pe mak kalau rindu Kak Yang booking je tiket kapal terbang eh...mai Kajang.


Cuti panjang jadinya pasti ramai yg ambik kesempatan balik kampung. Paling sinonim di mana-mana lebuhraya adalah jem. Jadinya saya harus bersiap sedia mental dan fizikal untuk mengharungi 500km++ esok. Saya tiada pemandu gantaian...sobsss...


Bermakna juga blog mungkin akan sedikit terabai sebab bila balik kampung saya banyak aktiviti sosial yang lain. Kalau tak pergi jalan-jalan pun saya lebih suka borak-borak dengan umat manusia disekeliling rumah mak. Renung awan, nikmati kehijauan padi mahupun kuning tanda boleh dituai. Pastinya sekarang musim timur! Siang yang panas berangin dan malam yang super-duper sejuk. Harus saya bawak balik selimut tebal!


Lieya jom dating sambil pekena nasik kandaq ka, charkoey teow ka...laksa Kak Su ka. Apa kata? Ahahahaaa...



Orang Lain Kahwin Kita Pulak Letih


Saya letih tengahari tak mampu rasa nak keluar pegi makan tengahari bagai, sebenarnya memang saya tak pernah makan tengahari pun. Semua tu alasan je. Letih saya ni sampaikan tak ada mood nak update blog. Banyak benda nak tulis tapi idea tu bagai tersekat, point ada tapi tak boleh berkembang langsung. Umpama karangan tak menjadi.


Memandu dari Kajang ke Perlis pada hari Sabtu kemudian sibuk di rumah kerana keesokannya kenduri. Mak sebab semua nak buat sendiri jadi banyak benda dok tertangguh katanya malam sikit-malam sikit nak buat. Haiyooohhhh... Malam tu ramai tetamu yang datang, nenek saudara yang uzur bersama tilamnya kat tengah rumah jadinya apa pun tak boleh nak buat. Nasib baik plan nak gayut-gayut riben depa dah buat siangnya tanpa menunggu saya balik. Barang-barang saya dah beli masa cuti bulan September yang lepas. Melompat saya bila tengok dah siap petang tu. Suka.



Hiasan lelangit rumah cara orang dulu-dulu kahwin, dalam keluarga kami sejak zaman bapa saudara kahwin benda ni wajib ada tetapi tidak lagi bagi zaman sekarang. Bila plan menjadi haruslah saya melompat bintang walaupun bukan saya yang buat. Cuma hiasan tengahnya tu sahaja tak dapat cari yang besar macam dulu-dulu tapi itu pun dah cukup puas hati. Sepupu-sepupu saya yang buat, budak-budak sekolah yang kreatif!


Malamnya lah nak gantung langsir sebab langsir tu jahit di Kajang, nak kemas bilik pengantin, nak rebus telur letak kat bunga pahar, nak siapkan hantaran dan banyak lagi naknya sehinggakan kami adik beradik perempuan tidur pukul 4.30 pagi. Lepas sejam setengah tidur bangun sambung untuk hari kendurinya pulak. Saya dua kali letih, letih memandu letih berjaga kat rumah.


Nantilah saya kongsi gambar-gambar kenduri sebabnya sekarang saya nak tidur. Mak pun dah taubat lain kali 2 hero lagi tak mau buat kenduri sama sehari. Letih kami nak main kejar-mengejar dah tu kawan-kawan datang pun tak sempat jumpa sebab dok urus pengantin di rumah sebelah perempuan sana. Pengantin perempuan pun muncung-muncung sebab kami bawak pelari balik awai sangat tak sempat jumpa kawan-kawan dia.




Kat sinilah majlis berlangsung. Tanah kelahiran saya. Nama kat papan itu adalah nama adik emak yang bungsu bersama suaminya. Semua tu dia buat sendiri tau, mekanik katanya tangan keras tapi dia ni mekanik yang kreatif! Depa berdua jugak merupakan orang penting dalam majlis ini kerana mak serahkan bab kenduri untuk depa uruskan. Terimakasih makcik dan pakcik.



Dapatlah melepas rindu pada kesayangan hamba ini. Budak kuat merajuk yang buat hati mama sentiasa tak terpujuk!



Jeli Kelapa Padang Besar


Bila balik kampung agenda makan-makan tetap menjadi agenda utama. Terasa apa yang terhidang bagaikan sangat lazat. Bihun sup utara yang sangat super sedap, laksa perlis yang maha likat, ABC yang manis berlemak, char kueateow yang super duper sedap dan lauk pauk yang tersangat membangkit selera semuanya ada. Lalu acara makan-makan menjadi sangat meriah dan acara yang sangat penting dalam kalendar balik kampung.


Saja nak tayang-tayang Jeli Kelapa yang sangat sedap ini. Dihidangkan di dalam sebiji kelapa dan didatangkan khas dari Padang Besar Perlis denga harga Rm3 sebiji. Sambil mencedok jeli sesekali cedok isi kelapa arghhhh...nikmat bila sejuknya jeli melalui tekak dalam cuaca panas!






Resepi Nasi Ulam dan Asam Pedas Keladi Perlis





Kalau penduduk di Pantai Timur Terkenal dengan Nasi Kerabu di utara pula terkenal dengan Nasi Ulam. Cara hidangan agak berbeza bagi kedua jenis nasi ini. Sebahagian bahan asas tetap sama. Nasi Kerabu sangat mudah di dapati walaupun di Kuala Lumpur dijual di mana-mana gerai sarapan tetapi Nasi Ulam sangat jarang dapat dilihat. Kebiasaannya hanya dijual ketika hadirnya Ramadhan, itupun sangat terhad bilangan penjualnya.


Bahan asanya adalah nasi, putih, ulam-ulaman dan kerisik. Lagi banyak jenis ulam yang di masukkan lagi beraroma nasi ulam tersebut bermakna semakin sedap. Daun sekentut  antara ulam wajib yang perlu ada kerana aromanya. Kenapa di panggil daun sekentut? Cubalah anda ambil daunnya koyakkan sedikit dan hidu pasti anda akan dapat jawapannya.


Resepi Nasi Ulam

Bahan-bahan:

Nasi putih
Ulam-ulaman (lagi banyak jenis ulamnya lagi sedap-beluntas, sekentut, ulam raja, kaduk, mengkudu, tenggek burung, pegaga, pucuk gajus dan lain-lain yang ada sekeliling rumah)
Kerisik
Bawang
Serai
Lengkuas
Lada  (tumbuk halus)
Garam
Ikan kering

Cara:

1. Semua ulam dihiris halus.
2. Bawang, serai dan lengkuas ditumbuk halus (ada sebahagian tempat hanya mayang sahaja).
3. Masukkan nasi ke dalam mangkuk gaul bersama kerisik, lada dan bahan tumbuk.
4. Masukkan ulam-ulaman, gaul rata akhir sekali masukkan ikan kering yang di carikkan mejadi kecil. Paling senang guna isi ikan talang (garam ikut kesesuaian).


Biasanya di hidangkan bersama Asam Pedas Keladi tetapi resepinya agak berlainan dari asam pedas kawasan selatan tanahair. Sangat mudah untuk memasaknya.

Resepi Asam Pedas Keladi 


Batang keladi
Sedikit cili kering (boleh diganti dengan serbuk cili tambah serbuk kari)
Asam keping
Bawang merah (di tumbuk)
Lada hitam (tumbuk halus)
Daun kesom
Beras yang digoreng sehingga sedikit kekuningan serta wangi dan ditumbuk (sedikit sahaja fungsinya untuk memekatkan kuah dan kuah akan wangi dari beras goreng)
Isi ikan yang di rebus dan tumbuk halus (biasanya ikan kembung putih atau nama lain pelaling kadang-kadang saya tak masukkan pun)
Air


Cara-cara :
1. Siang keladi dengan membuang kuli bahagaian luar jangan dikupas pulak tapi siat je dari bahagian bawah tarik ke atas.
2. Rebus keladi dan tos
3. Didihkan air masukkan bawang merah, asam keping, isi ikan rebus dan serbuk beras didihkan perlahan-lahan.
4. Masukkan keladi, lada hitam dan daum kesum biar mendidih sekejap dan tutup api.


* Saya kalau buat asam pedas cara utara ni main lebur sahaja rempah dicampur dengan serbuk cili. Kadang-kadang ada orang panggil Asam Rebus.


Puasa terakhir yang lalu bapa saudara minta Makcik Uji buatkan nasi ulam, tiap-tiap tahun tok akan buat tapi tahun ini terpaksalah makan air tangan orang lain pulak. Nak membeli di Bazar Ramadhan semua peniaga dah tutup kedai masing-masing sibuk dengan persiapan raya.




Perlis Sunshine

 Berjus! Kata orang Perlis berayaq.

Jamu matalah ye. Sedap. Mempelam ni dulu dikenali dengan nama mempelam sala tetapi dikomersialkan menjadi Perlis Sunshine. Kalau dulu tak adalah menjadi harga sangat buah jenis ini tapi sekarang memang boleh buat duit. Mempelam ni jugak depa guna untuk buat kordial. Kordial Mangga. Kalau ke Perlis jangan lupa cari Kordial Mangga.

Mempelam sala ini biasa ditanam di sekeliling rumah. Kalau sesiapa yang biasa ke Perlis pemandangan rumah kampung pasti di kelilingi pohon mempelam, bila tiba musimnya buah terbuai-buai ditiup angin. Buah ini juga sedap di buat cicah 'garam belacan' kata orang Perlis. Gula, garam, belacan dan cili ditumbuk kemudian ditambah kicap. Makan pulak atas 'pelantaq' bawah pokok mempelam, dapat pula buah yang tua isi dah mula kuning tapi masih keras. Rasa yang lemak-lemak dan masam boleh buat kembang pipi.

Buah mempelam sala yang tua jugak sedap dibuat kerabu kalau nak terasa masamnya pilihlah buah yang sedikit muda. Kupas bersih kulitnya, cincang buah memanjang boleh juga guna penyagat tetapi akan jadi sedikit haluslah. Tumbuk bawang merah, cili, lengkuas. Bahan tumbuk tadi dicampur dengan kerisik. Kacau sebati. Masukkan mangga yang siap dicincang, tambah garam dan serbuk perasa. Ini kategori kerabu orang malas, walaupun malas tetap sedap.

 Ini rupanya Perlis Sunshine. Kulinya nampak sedikit lebam kerana kepanasan di dalam bonet kereta.

Sekarang ni musim mempelam di Perlis, kalau ke sana jangan lupa mencari mempelam harum manis. Biasanya akan out of stok. Di bungkus dan diimpor jugak. Berbelas-belas ringgit sebiji kalau dah sampai keluar negara. Balik baru-baru ni buah baru awal musim tak dapatlah nak merasa. Sudahlah harum manislah pula memang hati teringat-ingat.

Talapia Bakar Timah Tasoh - Restoran Pokok Asam

Melewati Perlis yang kecil seperti kurang tarikan pelancongan. Tiada tempat-tempat yang mengujakan untuk dilawati seperti negeri-negeri lain. Bagi Aina sebagai anak jati Perlis pihak bertanggungjawab seharusnya mengambil langkah yang proaktif untuk mengembangkan industri pelancongan di negeri Perlis. Sekurang-kurangnya dapat menjadi sumber ekonomi.

Hari ini nak ajak makan-makan. Balik Perlis entah bila tapi rasanya cuti Hari Raya Cina awal tahun dulu. Menguruskan perpindahan sekolah si anak dara. Kebetulan melewati pejabat seorang teman. Oleh kerana setahun hanya sekali dua berjumpa dia dengan bebesar hati ajak pergi makan tengahari. Bak kata pepatah rezeki tak baik ditolak.

Aina tak berapa pandai sangat jalan-jalan di Perlis. Hanya menurut. Dari Kangar kami menyusuri Jalan Kaki Bukit menuju Padang Besar. Melewati MRSM dan kawasan sekitar. Aman. Perjalan juga lancar. Melepasi persimpangan Guar Jentik. Empangan Timah Tasoh yang luas kami tempuhi. Sebelah kiri jalan terdapat gerai-gerai menjual ikan pekasam dan disitu ada kebun sayur. Perlahan kereta membelok ke kanan.Sebuah kedai yang sangat sederhana. Dipayungi rimbunan pohon asam yang menyejukkan suasana.

Makanan yang dihidang adalah masakan kampung. Special kat sini adalah ikan talapia Timah Tasoh yang dibakar menggunakan bara api bukan bakar atas kuali. Sisik ikan pun tak buang. Wangi asap meresap ke dalam ikan. Ikan ini memang segar dari empangan berdekatan.


Lauk pauk yang menjadi hidangan kami pada hari tersebut. Ikan talapia bakar, sayur tumis air petola, ikan pekasam goreng, gulai batang pisang bersama daging dan air asam. Air macam biasa Aina minum teh tarik sebab memang tak minum ais. Penaja pulak minum kopi. Pelikkan bunyinya makan tengahari minum macam tu tapi itulah keunikan orang Perlis. Jangan tak percaya kami boleh habiskan ikan sebesar itu berdua!


Ini adalah penaja Aina pada hari tersebut. Setiap kali balik memang dia akan menjadi penaja tetap untuk acara makan-makan. Lepas makan kami menung bawah pokok asam yang rendang dikelilingi pohon buluh sambil penaja siapkan kerja. Ini adalah Encik Adnan Jahaya, Ketua Biro Bernama Perlis merangkap antara teman baik sekiranya balik ke Perlis. Memang tabik kat dia kerana dalam sibuk melakukan tugasan dia masih mencari masa meraikan seorang teman. Selagi ada internet dia akan bekerja dimana-mana sahaja.

Kalau ada yang teringin nak singgah ke kedai ini memang di cadangkan sesangat. Makanan ala kampung yang sedap. Gerai mungkin nampak biasa tapi hakikat makanan kat sini memang best. Waktu Aina sampai kami merupakan pelanggan pertama. Lepas tu tiba waktu makan tengahari gerai ini penuh dengan orang. Memang tak percaya tengok memandangkan kedudukannya memang agak terpencil, ditengah laluan jalan utama ke Padang Besar.

Jom makan!