Memaparkan catatan dengan label Changkat Jawi. Papar semua catatan

Perlis Di Landa Ribut Kencang


Semalam saya menerima whatsapp dari teman tapi mesra saya yang bekerja di Ibupejabat Bernama berdekatan Tasik Titiwangsa, baru dipindahkan ke sini dulu dia Ketua Biro Bernama Perlis.


"Dapat berita Changkat Jawi dilanda ribut kencang"
(Changkat Jawi merujuk kepada sekolah berdekatan rumah mak saya)


Kes ribut di Perlis memang agak menakutkan bila tiba musim pertukaran monsun seperti sekarang. Kata orang tua-tua angin sedang berebut arah sebab itulah terjadinya ribut. Ku sangka panas sehingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Ini baru betul kena dengan bidalan itu kerana dalam panas terik tak hujan berhari-hari tiba-tiba angin ribut kencang pula melanda.


Sejak zaman kecil saya sudah biasa dengan ribut sebegini juga sudah biasa melihat bumbung rumah diterbangkan angin, pokok tumbang menghempap rumah dan lebih teruk rumah kayu runtuh menyembah bumi. Bila ribut kencang selalu kami adik beradik akan berlindung dirumah nenek yang lebih kukuh atau akan berkumpul di satu sudut rumah yang dikira lebih selamat. Dalam keadaan tersebut selalunya tok ayah akan melaungkan azan dan tok pula akan membaca doa (kenapa selama hanyat dia saya tak pernah tanya doa tersebut). 


Pernah suatu ketika dahulu semasa ribut kayu dari rumah jiran berdekatan diterbangkan angin sehingga kerumah di depannya serta melayang mencungkil tulang selangka isteri jirannya yang sedang mengandung. Tak lama selepas itu dia mengandung dan anak itu dipanggil Mat Ribut sehingga sekarang.


Kali ini ribut merosakkan 27 buah rumah di Kampung Pida Dua Sekerat tanah kelahiran saya. Kebanyakannya melibatkan bumbung yang 'diangkat' ribut. Alhamdulillah rumah mak selamat begitu juga rumah Yong dan makcik dikiri kanan rumah mak. Cuma semalam rumah mak bergelap sebab hujan menyimbah rumah dan meter utama basah, masing-masing takut nak guna perkakasan elektrik.


Kebiasaanya juga mangsa ribut akan segera di bantu segera oleh Wakil Rakyat setempat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Musibah yang Allah s.w.t turunkan adalah sebagai peringatan kepada kita agar lebih lagi mengingatiNya.