Memaparkan catatan dengan label Catatan Kenangan. Papar semua catatan

Ruang Dapur Dapur Idaman

Penyewa sudah memberi notis sebulan untuk pindah keluar jadi dalam masa terdekat ini rumah akan kembali kosong. Hampir tiga tahun penyewa ini duduk tanpa maslah besar dan berpindah keluar sebab rumah sendiri di Semenyih 2 telah siap. Hajat di hati nak sahaja pindah masuk almaklumlah rumah teres lebih selesa dengan anak yang semakin membesar, anak-anak pun akan dapat seorang satu bilik berbanding sekarang terpaksa bilang anak tangga ke tingkat dua dan anak-anak terpaksa berkongsi bilik. Nanti bolehlah hiaskan rumah ikut kehendak hati dah lama teringin nak ada taman kecil di depan rumah.



Bila di fikirkan pro dan kontranya pula rasa sayang nak tinggalkan rumah yang di duduki sekarang, walaupun rumah kecil tetapi banyak kelebihannya. Jiran-jiran yang sangat baik serta sentiasa mengambil berat dan tolong menolong ketika kita di dalam kesusahan. Masa anak-anak masih sekolah rendah boleh sahaja minta tolong jiran tengok-tengokkan mereka di rumah semasa kita keluar bekerja. Sekolah kebangsaan, sekolah menengah hanya sebelah menyebelah boleh berjalan kaki sahaja. Kedai runcit, pasaraya, dobi pun dekat, Klinik 1Malaysia pun ada. Pulak tu dekat sangat dengan Pekan Kajang dan ada kemudahan bas.



Warna kuning antara warna kegemaran tetapi untuk kabinet dapur mungkin tidak. 


Masa dibeli dulu rumah ini telah siap dengan cabinet dapur berwarna coklat, walaupun ini bukan warna kegemaran saya biarkan sahaja sebab keadaannya masih baik dan rumah tersebut memang nak disewakan sementara waktu. Bagi saya dapur adalah tempat yang sangat penting selain ruang tamu dan bilik tidur. Bila dapur cantik keinginan untuk berada di dapur sangat tinggi dan mood untuk memasak pun pasti berbunga-bunga. Jadi bila berpindah masuk perkara utama yang saya ambil kira adalah untuk mengubahsuai dapur. Saya menginginkan ciri-ciri dapur moden yang tampak simple tetapi amat praktikal.


Saya mencari idea-idea segar dari beberapa pasaraya terkemuka di Malaysia yang membekalkan cabinet dapur, ingin mengolah sendiri kabinet dapur mengikut kehendak serta kemampuan sendiri serta haruslah bersesuaian dengan bajet. Banyak laman web yang boleh membantu untuk mendapatkan dapur idaman yang penting perlu sedikit kerja keras dan luangkan masa yang lebih untuk memenuhi kehendak hati. Bila semua dilakukan sendiri ini akan memberi lebih kepuasan. Saya juga merujuk ke `4 Steps To Create The Kitchen Of Your Dreams. It’s As Simple As ABC’ bagi merealisasikan impian dapur terbaik untuk kami sekeluarga.





Warna merah yang garang dan pink yang menarik sangat memikat mata. Gambar rujuk di sini.



Beli rumah sudah mengeluarkan modal yang besar, nak pindah rumah pula terpaksa fikirkan apa yang nak diisi ke dalam rumah pula. Nak selesa kenalah berkorban sebab di situlah banyak masa yang akan dihabiskan, mungkin hanya sekali itu sahaja kita membeli barang-barang mahupun membuat perubahan di dalam rumah mengikut selera kita. Menghasilkan sentuhan-sentuhan magic yang boleh membuatkan hati kita tenang setiap kali melangkah masuk ke dalam rumah.




Kenangan Sunat Hikram


Cuti sekolah bermula 28hb May 2014 dan merupakan hari terakhir saya bekerja di pejabat lama, saya mengambil peluang cuti seminggu sebelum memulakan kerja di tempat baru untuk sunatkan Hikram di kampung. Memilih salah sebuah klinik swasta yang terdapat di Perlis dan bersetuju untuk sunatkan Hikram pada hari Sabtu 31hb May 2014 manakala kenduri kesyukuran diadakan pada hari Isnin 2hb May 2014.



Peristiwa sedih berlaku bila Hikram buat perangai semasa hendak disunatkan, dia menangis tak mahu bersunat. Tak bersedia katanya. Satu ketika hati saya sangat pedih, hancur berkecai umpama cermin yang pecah. Sehingga malamnya saya tidak mampu melelapkan mata kerana asyik terdengar-dengar suara cemuhan doktor yang saya anggap seorang yang profesional lagi pulak penampilannya yang sangat Islamik dengan janggut mencecah dada. Saya sedih. Jika bukan kerana khidmatnya sudah separuh jalan memang saya angkat anak ajak balik.


Percubaan kali keempat baru dapat sunatkan Hikram, tiga kali keluar masuk dan akhirnya dia setuju dalam terpaksa bila teringatkan abah yang akan balik pada hari kendurinya iaitu hari Isnin. Kata-kata doktor yang bagi saya sangat kasar dan tidak sepatutnya dilafazkan oleh seorang yang profesional terhadap tugasnya tetapi saya akur dia juga manusia biasa ada perasaan dan tahap kesabaran.


'Pisikologi tak jalan mai sini aku bagi penampaq logi'
Bila Hikram dok ulang takut abahnya balik hari Isnin doktor tu tengking.
'Hang dok diam-diam sebelum abah hang balik kot sat ni aku boh penampang dulu kot' sambil tunjuk tangan dia depan muka Hikram.
Bila Hikram dok cakap banyak almaklumlah stress di tengkingnya.
'Kepala hotak hang aihhh...cakap pandai'
Bila nurse cuba tenangkan Hikram ditengkingnya nurse.
'Hang jangan dok layan dia, sat lagi jadi apa-apa mampoihh aku tau dak?'


Apa pun saya bersyukur sebab segalanya selamat. Anak seperti dia memang memerlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan kerenahnya. Sebagai ibu walaupun sakit hati tetapi saya redha ini ujian buat saya.











Gambar-gambar sebelum jadi budak besar, dah boleh geng dengan abang. Dah boleh ada girlfriend. Paling tak best mama tak boleh gurau-gurau pegang bird macam biasa. Dah besar katanya. Kalau sebelum sunat dia selamba je bagi mama pegang bird.


Ketupat Untuk Menantu


Saban tahun setiap kali hari raya emak tidak pernah tidak pasti akan menyiapkan ketupat sebagai bekalan balik ke Kajang. 'Ketupat Untuk Menantu'. Emak dalam banyak keadaan akan lebih memenangkan menantu berbanding anak sendiri. Walaupun kadang-kadang salah itu datang dari menantu sebagai emak dia akan memberi nasihat yang lebih pro kepada menantu mungkin untuk tidak mengeruhkan keadaan. Sayang mak pada menantu lebih dari sayangkan anak tetapi itu hanya tanggapan, jauh disudut hatinya anak-anak tetap datang nombor satu.


Hari raya tanpa suami bagai rutin kepada saya, hati saya sudah kalis anak-anak sudah hadzam. Usah di tanya kenapa kerana itulah rezeki kami. Redha adalah ubat hati terbaik. Di sebalik sebuah ujian ada hikmahnya tersendiri. Allah s.w.t menguji saya beraya tanpa suami tetapi Allah s.w.t memberi saya kegembiraan beraya bersama emak tersayang. Adil bukan? Sepanjang 39 tahun tidak pernah tidak tanah kelahiran akan tetap saya jejaki, sepanjang itu jugalah saya mencipta kenangan ditempat sendiri. Senyum mak, air mata mak, resah serta gundah mak di Aidilfitri kami tempuh bersama. Kegembiraan beraya bersama adik-beradik tidak kurang hebatnya.


Lali dengan pandangan orang sekeliling saya biarkan pandangan serta cakap-cakap mereka pergi di angin lalu, saya tidak izinkan ia menyinggah di hati. Hidup kami jadi kami lebih mengerti. Bagi saya selagi suami mengizinkan untuk pulang beraya di kampung sendiri itu sudah cukup baik. Bukankah syurga saya ditelapak kaki dia? Bukan hati tidak sayang tetapi kerana sayang saya sanggup berjauhan. Memberi ruang kepada diri masing-masing.


Walaupun berasal dari Perak yang terkenal dengan lemang dan rendang tok tetapi dia lebih suka ketupat palas. Menggemari ikan sungai puyu, haruan, keli dan sepat. Hidup secara orang kampung yang menjadi darah dagingnya, kenangan itu tetap kukuh di hati. Jadinya setiap kali raya mak akan siapkan ketupat palas
buat menantu.




Sesi buka daun palas sehari sebelum mak gigih balut ketupat palas. Habis lengan luka-luka sebab gighnya isteri pergi ambik daun palas di pokok demi suami tersayang...cewahhhh...



Mak dengan kakak ipar sedang balut ketupat, saya jadi tukang tengok sahaja sebabnya tangan saya tidak berseni untuk membalut. Sampai hitam pulut yang putih saya kerjakan, jadi sebiji nak buat lagi dah lupa cara pusing. Kakak ipar muda dari saya tapi pandai balut ketupat palas. Jadinya esok-esok teringin nak makan boleh buat muka sedih kat kak ipaq!



Tahun ini mak buat ketupat pulut hitam. Beras pulut putih yang dimasak dengan santan tetapi dicampur dengan beras pulut hitam yang selalu buat bubur tu.



Demo dari kakak ipar tetapi adik ipar tetap tak boleh serap ilmu balut ketupat palas.



Hasil dari 1kg beras pulut putih dan sedikit campuran beras pulut hitam. Selepas siap balut sesi merebus pulak sebab pulut tersebut hanya separuh masak sebelum dibalut.


Suatu hari kisah 'Ketupat Untuk Menantu' hanya akan menjadi kenangan kerana itu adalah pasti. Selagi emak ada selagi itu pasti setiap tahun akan ada kisah berlainan dengan tajuk yang sama dan saya sentiasa berharap akan masih banyak lagi tahun-tahun akan saya lalui bersama mak untuk menyiapkan 'Ketupat Untuk Menantu'.



Lambaian Ramadhan Lambaian Kenangan


Detik berlalu pergi hari-hari dilalui terasa pantas berlari, mentari terasa sekejap cuma menyinar bumi kelam pula terasa seperti menghambat waktu mentari sangat cemburu. Alam terasa cepat sangat berputar. Kita masih begitu menghitung hari dan detik tanpa mahu berubah dan hanya mereka yang berusaha gigih terus mara kehadapan.



Ramadhan bakal menjengah kita seketika cuma sahaja lagi, Ahad yang bakal menjengah. Tika ini hati menjadi sayu. Sudah terlalu tua diri ini agaknya untuk merasa begini agaknya. Kenangan Ramadhan satu persatu bermain di mata. Wajah mak terbayang-bayang.


Teringat zaman kecil-kecil dulu. Seminggu sebelum tibanya Ramadhan arwah tok akan buat stok kerisik untuk sebulan sebabnya bila bulan puasa macam-macam masakan akan dihidangkan. Antara kegemaran tok adalah nasi ulam (versi utara). Daun-daun ulaman yang diracik halus kemudian digaulkan dengan nasi, kerisik dan garam. Stok tepung dan gula juga untuk sebulan sebab bulan puasa macam-macam kuih tok akan buat, paling tidak akan ada agar-agar santan untuk jamah sebelum tidur. Kuih paling sedap dan sentiasa dirindui serikaya bakar dan lompang air tangan tok. Rindu!


Arwah tok ayah pula suka bila tok buat agar-agar merah dipotong kiub dan masukkan air sirap. 21 tahun arwah tok ayah meninggalkan kami banyak kenangan bersama dia semakin kabur diingatan. Paling terkesan Ramadhan juga membawa pergi kasih tok ayah terhadap kami anak cucunya. Saya ketika itu sedang belajar di Terengganu dan bila kembali ke kampong untuk berhari raya semua bapa saudara dan emak saudara ada di rumah tok ayah bersebelahan rumah mak. Saya mengandaikan mereka balik cepat untuk berhari raya. Selepas berbuka puasa tok datang ke rumah dan bagitahu tok ayah sudah tiada. Masa tu hanya tuhan yang tahu perasaan ini, sampai hati keluarga tidak memberitahu saya. Kasih saya tumpah banyak pada tok ayah sebab abah terlebih dahulu meninggalkan kami semasa saya berumur 2 tahun.


Sehari sebelum Ramadhan mak akan sibuk ke pasar membeli ayam, hidangan bersahur mestilah sesuatu yang luar dari kebiasaan dan selalunya mak akan hidangkan ayam. Ketika itu ayam adalah makanan mewah buat kami. Antara hidangan yang menjadi pilihan mak yang merupakan kegemaran kami adalah nasi tomato dan ayam masak merah. Memang menjadi lagenda dalam keluarga kami setiap kali bulan Ramadhan. Juga hidangan bubur cha-cha yang dibancuh dan gunting sendiri.


Kenangan itu merentap hati setiap kali tiba Ramadhan. Entahlah apa perasaan anak-anak saya apabila mereka dewasa kelak. Adakah lagi mereka akan mengutip kenangan sebagaimana saya. Kesibukan bekerja untuk kelangsungan hidup mengahdkan masa untuk berlamaan di dapur lalu apa kenangan yang boleh saya tinggal untuk anak-anak? Moga Ramadhan tahun ini akan memberi sedikit ruang kepada saya untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka supa saya dapat mencipta kenangan buat anak-anak.



Masa Pantas Bergerak



Masa kecil sekarang dah besar, rindu waktu mereka selalu gaduh, jerit-jerit dan nangis.


Memori 2013


Hari terakhir 2013 esok bermula juga satu fasa lagi di dalam kehidupan kita, fasa melalui tahun 2014 yang semakin mencabar mungkin. Tiada azam baru (dah bertahun-tahun memang tak ada azam selain satu dua perkara yang menjadi keutamaan yang ingin dicapai itupun untuk jangka panjang).


Terlalu banyak pahit dan manis pada tahun ini semuanya bercampur baur. Air mata yang jatuh Allah s.w.t beri kemanisan kemudiannya. Siapa kita untuk menghalang takdirnya. Air mata tumpah dihari perginya ibu saudara tersayang pada bulan Febuari, seminggu kemudian kehilangan janin yang sedang membesar di dalam kandungan dan pada April tok (nenek) menghembuskan nafas yang terakhir mengikut jejak mak lang. Terkesan. Lemas sehingga hati tidak keruan.


Febuari juga Allah telah tetapkan rezeki kami mungkin, rumah teres yang menjadi salah satu azam untuk dimiliki telah bertukar tangan kuncinya. Bertambah manis bila rumah tersebut adalah hasil penat lelah sendiri tanpa dikongsi. 3 November 2013 kami sekeluarga mampu tersenyum kerana menerima ahli keluarga baru bila abang yang sekian lama membujang bertemu jodoh. 14 November 2013 sekali lagi Allah menghadiahkan hari gembira bila Kakak Hayani mendapat 4A1B di dalam peperiksaan UPSR semoga selepas ini kejayaan akan sentiasa bersama dia. 


Itulah antara hari besar yang akan menjadi ingatan sepanjang perjalanan kehidupan. Kenyataan kehidupan yang bakal dikenang senyum, tangis dan ketawa itulah pelengkap kitaran hidup.



Market Value Rumah Meningkat


Bulan November genap setahun urusan membeli rumah kami di Taman Taming Impian. Alhamdulillah semu a urusan jual beli berlangsung dengan baik walaupun proses pinjaman sedikit memakan masa di mana akhirnya bank yang sudi bagi adalah bank tempat tiap-tiap bulan gaji saya dimasukkan. Sebenarnya saya tak cuba dibanyak bank pun cuma 3 sahaja tu pun dah rasa penat. Allah s.w.t permudahkan urusan dari berjumpa agen (adik tuan rumah saya agak sebab Sir namenya sama) sehinggalah urusan dengan peguam semuanya very smooth. Saya bersyukur sangat sebab mendapat perkhidmatan dari sayarikat guaman yang sangat efisyen dan banyak membantu dalam urusan jual beli dan pada akhirnya penjual turut menggunakan peguam yang sama. Pegawai bank tempat saya uruskan pinjaman suggestkan saya guna khidmat syarikat guaman ini dan ini adalah pilihan yang terbaik!




Saya pernah bercerita di banyak entri di blog saya termasuk Panduan Membel  Rumah, Tip Membeli Rumah, Catatan Kenangan Impian Kami Sama, Impian Kami Sama Jumpa Peguam Untuk Urusan Seterusnya dan Rumah Baru Kami. Itulah antara kisah perjalanan yang memberi satu pengalaman baru kepada saya dalam urusan pembelian rumah memandangkan suami menyerahkan segala urusan pada saya. Lagipun inikan rumah saya!


Saya sangat beruntung kerana dapat membeli rumah tersebut dengan harga kurang dari Rm300k. Alhamdulillah. Mengikut harga kebanyakan rumah kawasan tersebut yang diikalankan adalah lebih Rm300k. Dalam masa 4 bulan dari tarikh saya membeli saya sudah boleh menjual rumah tersebut dengan harga tambahan  sebanyak 50k dari harga asal. Saya beli bukan nak invest tapi untuk duduk jadi nilai tersebut saya letak ke tepi.


Semalam saya intai-intai market value untuk rumah sekitar Taman Taming Impian yang diiklankan di internet. Gosok-gosok mata saya tengok, kalau saya tak grab rumah tu tahun lepas memang saya tak mampu lah nak beli tahun ini. Itulah di namakan rezeki. Rumah kalau naik sekitar Kajang sekarang memang tak ada yang murah lagi. Kajang 2 juga sudah tiada pembinaan rumah teres cuma yang ada semi-d dan super link yang berharga Rm750k dan ke atas. Gulp!



Tengok tu harga rumah semua melebihi Rm300k di taman perumahan yang sama, ada satu rumah tu saya tak dapat nak upload gambarnya Rm380k dan terjual pulak tu tapi mungkin yang tanah belakangnya ada 10 kaki kot rumah saya cuma ada 5 kaki tapi orang masih sanggup beli. Iklan penuh boleh tengok kat sini.




Rumah Baru Kami

Kehidupan seharian kita penuh dengan cerita suka dan duka. Syukur alhamdulillah. Di dalam cerita duka kebelakangan dari kehilangan barang, perginya ahli keluarga menemui penciptanya, kehilangan bayi yang sedang dikandung terselit juga sedikit cerita suka di celah-celahnya.

7hb Febuari 2013 Zana dari Zainal, Ithnin & Partners telefon bagitau dah boleh ambik kunci rumah. Syukur alhamdulillah. Segalanya selesai dalam masa yang ditetapkan bahkan cepat hampir sebulan. Jadi kalau korang nak beli rumah area Kajang atau Bangi boleh pertimbangkan pejabat peguam yang ni. Layanan dan penerangan pun bagus. Tak menyesallah appoint depa. 13hb Febuari 2013 Aina dan Pak Tuan pergi ambik kunci dan tandatangan apa yang patut.

Dah dapat kunci esoknya selesaikan pulak urusan Syabas dan TNB kerana tuan rumah dah potong bekalan. Peringatan pada kawan-kawan semua masa ambik borang pastikan dokumen diperlukan dan buat salinan. Aina hari tu kat Syabas Kajang sampai 2-3 kali keluar. Masa kat TNB Bandar Baru bangi semuanya lancar coz pekerja TNB dah tanda semua dokumen yang perlu dibuat salinan dan berapa bayaran yang perlu.

Hari Sabtu 16 Febuari Aina anak beranak pergi cuci rumah. Masa tu dah tahu baby dah tak ada dan akan D&C esoknya tapi kuatkan semangat jugak nak tengok rumah. Lagipun penyewa dah tak menyempat nak masuk. Ikut hati memang nak duduk kat situ tapi nak legakan sikit akaun bank yang dah kering jadi Aina sewakan dulu rumah ni buat sementara waktu. Angkat air naik atas coz masa tu air tak naik kat tangki. Cuci bilik air, mop lantai dan cuci tingkap. Kat bawah kami main air lagi satu rumah penuh air dan sabun. Nasib baik anak-anak tolong. Buat abang Iqbal terima kasih tolong mama dan abah. Adik waktu tu tak sihat kerana sehari sebelum tu cerit-berit.

Alhamdulillah Ya-Allah. Rahmatmu sentiasa luas buat hambamu. Moga-moga selepas ini akan ada rezeki lagi buat kami yang melimpah ruah. Di beri kesihatan yang baik supaya dapat terus beramal ibadat kepada Mu. Berjuang demi agama. Menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Moga-moga akan menjadi ibu yang baik dan isteri yang sentiasa taat pada suami (tiba-tiba hati ini tersentuh).


Rumah Baru Kami Kelak
Si kecik Hikram tengah lentang dengan bahagianya. Doc Hanie jangan marah ok, saya dah makan ubat walaupun tak nak ambik injection kerana saya fobia dengan jarum.

 
Pembantu tetap. Abang Iqbal, adik Hikram dan Baby Alya. Bertungkus lumus cuci lantai bahagian atas. Alhamdulillah anak-anak ringan tulang nak tolong.

 Lepas cuci rumah bagai laparlah pulak. Makan nasi bungkus bekalan dari rumah. Baby Alya memula makan walaupun kerjanya hanya menyibuk je.

Abah kat pagar, betulkan peti surat agaknya. Memang kami tak sempat nak cat langsung pagar dan tembok tu. Dua minggu je dapat pegang kunci dan keluar masuk rumah tu. Penyewa tak sabar nak pindah rumah jadi tak boleh salahkan kita orang jugaklah.

 Merenung di kejauhan (sebenarnya dok renung abah kat pagar). Kepenatan mencuci rumah juga sedang mencari kekuatan mental dan fizikal untuk menghadap hari esoknya. Temujanji 8am di KPMC untuk D&C. Penuh debaran kerana ini pengalaman pertama.

Segalanya berlalu sudah. Rumah siap di huni, Aina juga sudah kembali bekerja walaupun kesihatan masih lagi kurang memuaskan. Tuntutan tanggungjawab yang tidak boleh di pandang remeh. Semoga esok matahari akan lebih bersinar. Salam sayang semua. 


Biar Kasih Ku Hingga Ke Syurga

Alhamdulillah kami masih diberi kesempatan oleh Allah  s.w.t untuk terus menikmati bahagia ini. Senyum, tawa, tangis dan airmata yang sentiasa melengkapi kitaran hidup seharian. Pengalaman pahit manis hidup bersama yang mendidik menjadi kami semakin matang melayari kehidupan bersama.

Hari ini genap 11 tahun kami bersama setelah aku gagal mempertahankan perkahwinan pertama bertahun-tahun dahulu. Sakit itu telah lama hilang, tenggelam dalam bahagia bersamanya kini. Walaupun bagi orang lain rumahtangga kami tidak sempurna tapi kami tetap bahagia dalam cara sendiri. Aku menjadi seorang yang lebih bersyukur dan lebih menghargai apa yang aku ada. Mengalah bukan bererti kalah tetapi redza akan membuat kita lebih bahagia.

Tiada yang istimewa hari ini. Tiada acara tertentu juga. Cuma ucapan ringkas dari suami tersayang melalui sms 'Semoga Kebahagiaan Kita Kekal Abadi'. Sangat-sangat ringkas tapi yang penting dia ikhlas. Mungkin akan mencuri masa hujung minggu nanti untuk sama-sama meraikannya.



Tip Membeli Rumah

Tajuk gempaq gitukan. Tak adalah cuma nak syer gembiranya dalam hati ini. Dua bulan lepas kami dah buat keputusan untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat. Keputusan ini memang agak berat kerana bayaran bulanan yang agak banyak. Bila difikirkan kalau tak beli sekarang bermakna masa akan datang pun belum tentu kami dapat beli rumah teres dengan trend harga rumah yang tak masuk akal sekarang. Jadi keputusan terpaksa diambil jugak dengan menghadkan lain-lain perbelanjaan.

rumah untuk di sewa, double story
Inilah rumah yang sedang dalam proses tu. Teres dua tingkat empat bilik tidur dan tiga bilik air. Selesalah untuk keluarga kecil kami. Depan tu dah plan nak pasang tiles semua dan mungkin akan buat bumbung separuh sebab tak nak dalam rumah gelap kalau tutup semua (owhhh verangan).

Sebelum beli rumah tersebut ada jugak la buat research sikit-sikit dan kebanyakannya melalu internet. Belajar sebelum ditipu dan mungkin juga akan ada yang ingin mengambil kesempatan. Banyak blog yang boleh di rujuk. Salah satunya Aina pernah ambik tip dari blog Abang Ensem. Bukan untuk menceburkan diri dalah bidang hartanah cuma ilmu untuk kegunaan sendiri je.

Ikut procedure semuanya akan di selesaikan dalam masa 4 bulan. Biasanya peguam akan bagi tempoh 3+1 untuk selesaikan segala documentation. Kalau lebih dari tempoh tersebut bermakna sebagai pembeli kita terpaksa membayar penjual 8% setahun kira macam denda la. Bayangkan kalau rumah tu harga Rm300k. Banyak jugak. So sebelum rasa tertipu Aina awal-awal dah warning peguam (macam pandai sangatlah kan...ngeee).

Pas tu kalau nak beli untuk investment cuba study kawasan yang kita nak beli dulu. Kemudahan yang ada dan paling penting demand. Sebab Aina beli untuk duduk tak ambik kisah sangat pasai tu. Cuma yang penting dekat dengan sekolah, surau dan kedai (rumah yang dibeli ini walking distance to surau dan Giant, best!). Dua bulan dah berlalu. Rajin-rajinlah push peguam coz kalau dapat yang betul-betul buat kerja oklah, kalau dak prepare duit untuk bayar yang 8% tu. Dua bulan lepas sign segala documentation call peguam dan katanya owner punya bank dan bayar separuh kepada Aina punya bank, dah boleh proceed untuk MOT. Insyaallah lagi dua bulan boleh selesai. Hope so...

Tip membeli rumah yang Aina ada baca dulu tu tentang buat iklan. Kalau nak beli rumah buat iklan untuk tengok demand sesuatu kawasan. Paling senang cari 7-Eleven beli iklan kat situ iklankan rumah untuk di sewa. Tunggu call sahajalah lepas tu. Kalau banyak panggilan tanya pasal rumah tu bermakna kawasan tu memang high demand. Terus grablah that house. Kalau ada yang call sedangkan rumah tu bukan kita punya pun cakap jelah sori dik rumah tu dah ada yang sewa, bukan dia orang tau pun (tipu sunat...kehkehkehhh...).

Dua hari lepas Aina guna tip membeli rumah yang sama untuk cari penyewa kerana Aina tak akan duduk lagi rumah tersebut untuk setahun dua atau mungkin tiga tahun ini. Tak nak hipokrit masalah utamanya tentulah keewangan. Selain tu masalah si kecik tu nanti tak ada yang nak jaga coz dia memang tak boleh berdikari. Sekarang adik yang take care of him. Jalan paling senang guna internetlah. Sambil duduk-duduk je buat iklan kat Mudah.com. Aina hanya menggunakan khidmat iklan percuma jadi mengambil masa 24 jam untuk diiklankan di Mudah.com. Memasukkan harga sewa hampir maksimum kawasan tersebut sebagai percubaan. Alhamdulillah. Sebaik diiklankan Aina menerima tiga panggilan bertanyakan rumah tersebut.

Mengikut kata peguam semuanya akan selesai dalam masa lagi dua bulan. Itu janji dia. Bermakna bulan Febuari akan dapat kunci. Memberi tempoh sebulan untuk cuci rumah, cat pagar dan tembok depan. Rumah berada dalam keadaan baik kerana pemilik baru sahaja berpindah 4 bulan. Masa pergi tengok dulu rumah bersih. Siap dengan kabinet dapur. Jadi Aina iklankan kemasukan untuk bulan April.

Jauh berjalan luas pemandangan banyak membaca luas pengetahuan. Sebelum membuat apa-apa keputusan dalam apa juga sebab ambil tahulah pengalaman orang lain samada membaca atau meminta pandangan orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan. Kita tidak akan hebat dalam semua bidang, mungkin kita seorang jurutera hanya hebat dalam dunia seorang jurutera dan tidak akan hebat dalam bidang keewangan tetapi dengan belajar sedikit sebanyak walaupun tidak menjadi pakar sekurang-kurangnya kita ada ilmu supaya tidak ditipu.

Impian Kami Sama : Jumpa Peguam Untuk Urusan Seterusnya

Catatan Kenangan 2.

Sambungan dari Catatan Kenangan 1.

Tandatangan surat tawaran dari bank sudah. Menunggu pulak urusan guaman untuk hal-hal yang seterusnya. Pada petang yang sama pihak peguam telefon memaklumkan pihak bank telah melantik mereka untuk menyiapkan dokumentasi mewakili bank dan seperti telah dipersetujui sebelum ini dengan pegawai bank Aina jugak appoint peguam yang sama untuk urusan Sale & Purchase Agreement.

Oleh kerana rumah ini terletak di Kajang pihak bank juga mencadangkan firma guaman yang terdekat. Zana dari Zainal Ithnin & Partners menguruskan dokumentasi kami kat sini. Firma guaman ini terletak di Fasa 9, Bandar Baru Bangi. Jadinya segala urusan di Pejabat Tanah menjadi sedikit senang bagi mereka kerana terletak berdekatan.

Alhamdulillah pada 24hb Oktober 2012 semua dokumen siap ditandatangan. Perjanjian dengan bank juga dokumen Perjanjian Jual Beli atau Sales & Purchase Agreement. Dua jam kami menghabiskan masa menandatangan segala dokumen. Bayangkanlah every page untuk kedua-dua dokumen kena initial. Lenguh tangan. Pak Tuan tengok jelah kali ini kerana pinjam atas nama isteri rumah pun atas nama isteri sorang.

Menurut kata Zana tuan rumah juga menggunakan khidmat mereka. Aina macam terkejut jugak. Terus cakap dengan dia. Kebanyakan orang tak nak guna peguam yang sama takut buyers. Takut peguam berat sebelah. Risau jugak nih. Dia pun cepat-cepat terangkan yang semua tu untuk mempercepatkan urusan kerana dokumentasi satu tempat je.

Kalau beli rumah subsale ni korang kena tahu hak-hak kita sebagai pembeli. Biasanya urusan pembelian rumah ini berkuatkuasa dari tarikh kita tandatangan Perjanjian Jual Beli. Biasanya 3+1 iatu 3 bulan + 1 bulan. Kalau tak selesai dalam masa tu tuan rumah boleh claim dengan pembeli 8% setahun sehingga segala urusan rumah selesai. Kecuali ada budi bicara dari pihak tuan rumah lah kan. Pastika kena selalu telefon peguam tanya perkembangan dokumentasi.

Pastikan juga segala bil utility, cukai tanah dan cukai pintu dibayar oleh tuan rumah sepenuhnya. Dedulu buta main redah je masa beli rumah pertama yang juga subsale, akhirnya kami terpaksa tanggung Rm1000 cukai pintu yang tuan rumah tak bayar.

Harapan cuma satu. Segala proses moga akan berjalan dengan lancar, tanpa masalah. Penat tandangatan segala dokumen yang mengambil masa hampir dua jam.


Sambung lagi kemudian.

Happy Birthday Nur Fatihah Hayani

Hari ini tanggal 1 November 2012 genap sudah umur anak dara nan seorang 11 tahun.
Tahun ini menyambut hari lahir dengan mak tok di kampung.
Entah apa yang mak tok rancangkan untuk dia.
Kalau dengan mama pastinya sebiji kek menjadi habuan.

Hampir juga setahun dia meninggalkan rumah tempat dibesarkan.
Meninggalkan mama di dalam linangan air mata.
Memasak hati abah dengan rindu yang disimpan.
Membuat garis pemisah untuk adik dan abang.

Rumah menjadi sunyi tanpanya.
Tiada lagi usikan abang segenap ruang.
Hilang juga jeritan nyaring menceriakan suasana.
Sunyi sudah suara mama meninggikan suara meleraikan keadaan.

Doa yang terbaik buat mu sayang.
Dimana juga kamu berada limpahan kasih sayang mama tak pernah kering.



LoVe YoU So MuCH.




Nur Fatihah Hayani ketika berusia 2 bulan. Masa ini baru lepas pantang. Dilahirkan pada hari Khamis bersamaan 1hb November 2001, jam 12.05 tengahari. Berat ketika lahir 3.70kg. 

Kakak dan mama ketika mengikuti abah menguruskan Krusus Peralihan Detektif (Narkotik) di Pantai Teluk Batik. Masa ni mama berusia 26 tahun.

Ketika berusia 4 bulan.

 Posing-posing depan kamera.

Tarikh gambar ini 11.8.02 bermakna umur kakak sekitar 10 bulan. Masa ini kakak dah pandai jalan sikit-sikit, dia start jalan ketika berusia 9 bulan.

 Sukan Sekolah Tabika Perpaduan daerah Hulu Langat yang di adakan di Stadium Bukit Jalil. Ketika ini kakak berusia 5 tahun.

 Hari graduan Pra-sekolah.

Kakak ketika berusia 8 tahun. Berjimba di Taman Botani, Putrajaya. Bersama Lania Pricilia Ayu.

Menaiki tram ketika pameran MAHA 2010. Ketika ini kakak berusia 9 tahun.
Kakak sekarang. Menyambut hari ulangtahun kelahiran yang ke 11. Gambar ini diambil ketika di KLCC, jalan-jalan ke Petrosains awal tahun yang lalu. Cepatnya masa berlalu.


Catatan Kenangan : Impian Kami Sama

Catatan Kenangan 1.

Buat kami untuk dikenang dan diingati. Buat anak-anak moga-moga mereka tahu susah payah kami. Perjuangan kehidupan yang suatu hari akan sampai titik noktahnya.

Syukur pada MU ALLAH. Kau menguji dan kau juga telah memberi. Pengertian yang hanya aku sahaja mengetahuinya. Ujian yang aku tempuhi dengan penuh kekuatan hati dan redza. Memperbaiki diri belajar dari kesilapan lampau yang hampir-hampir menghitamkan keseluruhan penghidupanku. Tanpa menyerah kalah. Kini aku di sini. Menghitung bahagia yang kian mewangi.

Aina pernah bercerita tentang impan di sini dalam entri MY DREAM. Cita-cita yang sedang diusahakan supaya menjadi kenyataan. Alhamdulillah. Salah satu impian itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Kami sedang berusaha menyelesaikan segala-galanya secepat mungkin. Kepuasan maksima apabila semuanya adalah hasil penat lelah sendiri.

Semuanya bermula di sini. Hasil jalan-jalan jamu mata yang akhirnya Pak Tuan berkenan sangat. Terjebak. Selepas dipujuk rayu semahunya akhirnya Aina mengalah. Mengikut sahaja kehendaknya. Selepas ditolak campur darab dan bahagi ada sedikit lebihan untuk perbelanjaan tetapi banyak benda terpaksa diketepikan. Bermaksud tiada lagi booking AirAsia untuk setahun dua ini. Hanya keperluan yang boleh dipenuhi tidak kemahuan. Shopping berlebihan juga dihentikan buat seisi keluarga.

Seminggu selepas kami melawat tapak hati dibulatkan. Nekad. Sudah sampai masanya kami melangkah setapak kehadapan dalam memperbaiki taraf hidup. Booking fees di bayar sebanyak 2%. Bermulalah episod menjengah serta bank di Kuala Lumpur.

Mengikut track record RHB paling bagus packagenya. Sayangnya valuer hanya menilai sebanyak Rm260k sahaja, mana nak cari selebihnya sedangkan untuk membayar 10% deposit sudah amat menyakitkan. Sebelum itu telah ke Maybank dan Aina kecewa bila hanya pemegang ijazah boleh memohon pinjaman sehingga maksimum berusia 70 tahun. Kaki di hayun lagi kali ini ke CIMB Bank. Harapan yang terlalu tinggi dengan muka yang hitam kelam. Petugas bank menerima dokumen dengan senyum. Petangnya dia menelefon memberitahu yang valuer setuju dengan harga rumah tersebut (katanya dia risau tengok muka Aina yang sangat-sangat runsing). Bermakna CIMB boleh bagi pinjaman sebanyak harga rumah yang diletakkan. Horeyyyyy... Alhamdulillah. 

Syukur alhamdulillah. Pinjaman pun sudah lulus. Latter Offer pun sudah tandatangan pada 17hb Oktober 2012. Menanti masa untuk tandatangan segala dokumen dengan pihak peguam. Insyaallah andai itu rezeki kami kunci rumah tersebut akan bertukar tangan tak lama lagi. Alhamdulillah akhirnya kami dapat membeli landed property walaupun itu bukanlah rumah idaman kalbu (mengidam jelah semi-d tu).

19 September 2012 kami bayar booking fees Pak Tuan mengamuk sakan kat kedai makan malam tu marahkan agent. Ada ke patut kalau loan tak approve dia nak potong Rm1k dari booking fees. Malu. Apa taknya ramai dok perhati. Akhirnya Aina cakap kalau tak nak beli jom balik tak payah bayar. Bila balik rumah baca booking form tu terang-terang dah tulis yang agent perlu bayar balik sepenuhnya. Mesti budak tu kecut bila Pak Tuan gertak dia (pengalaman Pak Tuan kat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial membuatkan dia sangat berhati-hati).

Sebelum tu pun kita orang dah jumpa nak bayar booking fees tapi agent tersalah tulis nama jalan pada alamatnya, rasanya tertinggal satu perkataan terus Pak Tuan reject minta isi borang baru. Borang pulak bawak satu. Adeh. kata Pak Tuan ini kalau pergi mahkamah kami kalah!

Beli rumah subsale ni macam tulah banyak perlu dikorbankan, banyak perlu belajar terutama dari pengalaman orang lain. Banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan segalanya. Banyak jugak modal yang perlu didahulukan. Kami korbankan semuanya itu.