Julai merupakan bulan kedua bertugas di tempat baru, merasa gaji kedua semalam. Nikmat yang Allah s.w.t selepas di uji. Banyak perkara baru yang dapat saya belajar di sini. Hijrah yang membawa lebih kebaikan. Indahnya percaturan Ilahi.
Dua hari lepas dapat email dari HR katanya ada token untuk pekerja sempena hari raya. Syarikat nak bagi duit raya walapun jumlahnya tidaklah banyak tetapi itulah rezeki. Berdebar-debar jugak sebab baru 2 bulan bertugas perasaan tu lebih kepada tak dapatlah. Semalam gaji masuk terus login ke akaun tengok ada 2 kali debit ke akaun satu gaji satu lagi duit raya. Yeeeyyyy...alhamdulillah. Lepas lah duit minyak dan tol balik kampung.
Entahlah tahun ini raya mood langsung tak mari. Baju adalah sehelai beli online yang ditempah entahkan siap entahkan tidak. Tahun-tahun sebelumnya adik gunting dan saya jahit sendiri tahun ini entah keinginan itu tak ada pulak. Buat biskut pun atas desakan anak-anak yang tak berhenti dok tanya, errmmm bapaknya pun ye jugak sibuk tanya tart gulung.
Esok hari terakhir bekerja, jadinya esoklah up entri raya. Hari ini kita pusing-pusing cari mood dulu, dah jumpa boleh melompat bintang!
Rutin menjelang Syawal tentulah mengeluarkan oven yang telah lama bertapa di dalam almari untuk aktiviti biskut-membiskut. Bagi memuaskan hati insan-insan yang tersayang disekeliling dengan gigihnya senarai pendek biskut-biskut pilihan telah dibuat awal-awal lagi. Biar tiada rehat biar keletihan namun semua itu umpama angina yang berlalu bila melihat mereka tersenyum dan makan dengan senyum di bibir.
Biskut nostalgia sepanjang zaman yang tidak pernah tidak perlu ada untuk anak-anak dan suami. Tart Gulung Nenas Cinta Hati buat suami tersayang, Almond London Permata Hati pilihan anak-anak serta Pak Usu Syafik di kampung, Coklat Cornflake Comel pilihan anak-anak. Tambahan untuk tahun ini saya buat Biskut Coklat Oat dan Biskut Mazola yang tahun-tahun kebelakangan ini saya buang dari senarai pendek kerana cinta hati saya terpaksa berpantang kacang dan tahun ini saya masukkan kembali kerana memenuhi permintaan Sheila sepupu di Puncak Alam.
Selasa cuti umum Nuzul Al-Quran saya mengambil kesempatan cuti extra ini untuk memenuhi permintaan cinta hati saya yang setiap hari asyik berzikir tentang biskut kegemaran dia, almaklumlah tahun ini saya memilih untuk membuat Biskut Mazola dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak
diingini tahun lepas berulang kembali.
Tahun lepas si abang jadi pembantu tahun ini kakak kembali bersekolah di Kajang jadi dialah ambil alih jadi pembantu, anak-anak pun sama-sama membantu semampu mereka. Walaupun comot kadang-kadang tetapi kesungguhan mereka sangat saya hargai. Practice make you perfect! Alhamdulillah tahun ini lengkaplah kami berbuka dan bersahur sekeluarga.
Menunggu giliran untuk masuk ke dalam ketuhar pembakar, terpaksa banyak bersabar kerana kapasiti ketuhar adalah kecil. Mengambil masa yang lama untuk membakar sahaja
Haaaaa...cantik tak Tart Gulung Nenas Cinta Hati ini? Alhamdulillah tahun ini tart saya menjadi dengan elok tanpa ada yang terhangus atau rosak. Tart debab-debab. Cair di mulut. Puas hati makan bila buat sendiri boleh letak jem sebanyak mana yang disukai.
Inilah hasilnya tetapi jumlah keseluruhannya adalah lima balang. Saya bila membuat biskut memang dalam kapasiti yang agak banyak untuk diagihkan kepada keluarga. Paling penting bahagian suami dan mak juga tukang jahit saya. Tahun ini mak mertua dah tak ada tahun pertama beraya tanpa dia.
Semalam saya upload gambar-gambar tart saya di FB tiba-tiba ada pula yang terbekenan dan minta saya buatkan. Haihhh...saya ingatkan hujung minggu ini nak mengemas rumah sahaja sebab minggu berikutnya sudah mula bercuti tetapi tak sampai hati pulak nak tolak permintaan kawan-kawan. Hujung minggu ini kena gigih
Resepi rujuk
di sini. Saya sangat selesa dengan resepi ini sangat sedap yang cair dimulut, setiap tahun inilah rujukan saya.