Showing posts with label United Kingdom. Show all posts
Showing posts with label United Kingdom. Show all posts

MaNCHeSTeR & LiVeRPooL (BHG V/aKHiR) - LiVeRPooL III & ePiLoG

>> Monday, July 12, 2010



Selepas membeli-belah di Liverpool One, aku berjalan ke Albert Dock, sebuah kompleks bangunan & gudang yang terletak di sebuah kawasan parkir kapal. Di kawasan inilah kapal-kapal kargo melabuh untuk dimasukkan barang atau untuk dipunggah pada zaman dahulu. Albert Dock mula dibuka & dirasmikan pada tahun 1846 oleh Putera Albert & merupakan bangunan-bangunan pertama di Britain yang diperbuat daripada besi & batu-bata tanpa menggunakan sebarang kayu. Selepas peristiwa pengeboman di Liverpool sewaktu Perang Dunia Kedua, Albert Dock turut menerima kesannya. Ia akhirnya terpaksa ditutup pada tahun 1972 kerana masalah kewangan dalam kos untuk memperbaikinya. Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembaikan dimulakan semula pada tahun 1981 & pada tahun 1988, Albert Dock dibuka semula. Pada masa kini, ianya adalah antara tempat tumpuan utama pelancong-pelancong & turut disenaraikan dalam UNESCO World Heritage Sites.


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK


Albert Dock, Liverpool, UK

Antara bangunan-bangunan penting & terkenal yang terdapat di dalam kawasan Albert Dock ini ialah The Beatles Story, Merseyside Maritime Museum & Tate Liverpool. The Beatles Story adalah sebuah pusat pameran & muzium yang didedikasikan kepada kumpulan muzik yang terkenal di seluruh dunia ketika era 1960-an dahulu, iaitu The Beatles. Muzium ini mempamerkan kisah-kisah berkaitan dengan kumpulan tersebut dari saat ia ditubuhkan pada tahun 1960, sehingga saat perpecahan mereka pada tahun 1970. Keempat-empat anggota kumpulan tersebut iaitu John Lennon, Paul McCartney, George Harrison & Ringo Starr adalah anak jati Liverpool. Kumpulan itu sendiri ditubuhkan & memulakan kerjaya mereka di kota ini. The Beatles Story ini mula dibuka pada tahun 1990. Antara khazanah-khazanah berharga yang dipamerkan dalam muzium tersebut ialah cermin mata bulat yang menjadi ikon kepada John Lennon & gitar pertama George Harrison. Selain itu, terdapat juga kedai cenderahati di sini yang menjual pelbagai jenis cenderahati yang berkaitan dengan kumpulan tersebut. Aku membeli 2 helai baju untuk aku & untuk ayah aku yang merupakan peminat kumpulan tersebut.


The Beatles Story, Liverpool, UK


Ruang dalam The Beatles Story, Liverpool, UK


Ruang dalam The Beatles Story, Liverpool, UK

Merseyside Maritime Museum pula adalah muzium yang mempamerkan kisah-kisah Liverpool yang pernah menjadi pusat urus niaga hamba, pusat emigrasi & pusat perdagangan laut. Sejarah tentang kapal Titanic juga turut diceritakan di sini. Muzium ini mula dibuka pada tahun 1980. Tate Liverpool yang juga turut terletak di kawasan Albert Dock ini adalah muzium yang menyimpan koleksi lukisan British dari tahun 1500 hingga sekarang. Ia mula dibuka pada tahun 1988.


Merseyside Maritime Museum, Liverpool, UK

Selepas melawat kawasan Albert Dock, aku berjalan pula ke kawasan Chinatown yang terletak agak jauh dari Albert Dock. Sedang aku berjalan ke sana, hujan turun semakin lebat. Aku terpaksa berteduh buat seketika. Selepas hujan semakin reda, aku menyambung perjalanan aku.

Tidak berapa lama kemudian, aku pun tiba di Chinatown tersebut. Chinatown di Liverpool ini adalah kawasan komuniti orang-orang Cina yang tertua di benua Eropah. Pintu gerbang yang terdapat di sini juga adalah pintu gerbang Chinatown di luar negara China yang terbesar di dunia. Di Liverpool ada lebih kurang 7,100 orang Cina yang merupakan 1.7% daripada jumlah penduduknya. Kedatangan mereka ke Liverpool dari negara China sudah bermula sejak kurun ke-19 lagi. Ramai antara mereka telah berkahwin dengan penduduk tempatan & melahirkan anak-anak kacukan Eurasian.


Chinatown , Liverpool, UK

Selepas melalui kawasan Chinatown, aku meneruskan perjalanan aku ke Liverpool Cathedral, sebuah gereja Anglikan yang dibina di atas puncak St James’s Mount. Gereja ini dibina antara tahun 1904 hingga 1978. Ia adalah gereja Anglikan yang terpenting di Liverpool. Dengan keluasan 9,687 meter persegi, ia merupakan gereja yang kelima terbesar di dunia. Menara locengnya adalah yang terbesar di dunia & juga merupakan antara yang tertinggi, dengan ketinggian 100/6 meter. Loceng yang terdapat di dalam menara tersebut adalah yang terberat di dunia dengan berat 31,000 kg.


Liverpool Cathedral, Liverpool, UK


Ruang dalam Liverpool Cathedral, Liverpool, UK

Selepas bergambar di dalam & di luar Liverpool Cathedral yang besar itu, aku menyambung ekspedisi aku ke sebuah lagi gereja yang terkenal di sini, iaitu Liverpool Metropolitan Cathedral. Ia adalah gereja Roman Katolik yang terpenting di Liverpool. Penduduk beragama Kristian Roman Katolik ini kebanyakannya berasal dari Ireland, yang berhijrah ke sini pada kurun ke-19 dahulu. Gereja ini mempunyai senibina yang menarik. Pembinaannya bermula pada tahun 1962 & siap sepenuhnya 5 tahun kemudian. Disebabkan tempoh pembinaannya yang terlalu cepat, pelbagai kerosakan berlaku kemudiannya. Akhirnya, gereja ini terpaksa diperbaiki semula pada tahun 1990-an.


Liverpool Metropolitan Cathedral, Liverpool, UK


Ruang dalam Liverpool Metropolitan Cathedral, Liverpool, UK

Berhampiran dengan Liverpool Metropolitan Cathedral adalah University of Liverpool. Universiti ini diasaskan pada tahun 1903. Jumlah pelajarnya adalah seramai 20,000 orang, termasuklah berpuluh-puluh pelajar Malaysia yang belajar dalam bidang perubatan & kejuruteraan.


University of Liverpool, Liverpool, UK

Selepas bergambar di hadapan universiti tersebut, aku pun kembali semula ke stesen keretapi Liverpool Lime Street. Jam pada waktu itu sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Tepat pukul 5.30 petang, aku pun tiba di tempat penyimpanan beg di dalam stesen keretapi tersebut, seperti yang dijanjikan dengan Muaz pagi tadi. Tidak berapa lama kemudian, Muaz pun muncul. Setelah mengeluarkan beg-beg kami, kami pergi menunggu bas untuk ke Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool.

Hampir setengah jam kami berdua menunggu, namun bas untuk ke lapangan terbang masih belum muncul-muncul. Aku bertanya kepada pekerja syarikat bas awam yang sedang bertugas tentang status bas tersebut. Dia memberitahu aku bas tersebut akan tiba dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Kami pun terus menunggu. Lebih kurang 15 minit kemudian, bas masih belum muncul juga. Kami berdua mulai risau. Begitu juga dengan 4 lagi orang yang sedang menunggu bas tersebut bersama-sama kami berdua. Disebabkan takut jikalau terlepas penerbangan, kami berenam berpakat untuk menaiki teksi sahaja. Kami berpecah kepada 2 kumpulan. Kami menahan 2 buah teksi untuk membawa kami ke lapangan terbang tersebut. Ini sahajalah pilihan yang ada. Mungkin bas yang kami nantikan sedang terperangkap dalam kesibukan lalu lintas yang teruk.

Seketika kemudian, kami semua pun tiba di Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool. Aku & Muaz mengucapkan terima kasih kepada 4 orang tersebut kerana sudi berkongsi teksi dengan kami. Kami berdua kemudiannya terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar masuk. Selepas itu, kami melalui zon pemeriksaan sekuriti & kemudiannya, kami menunggu ketibaan pesawat Ryanair untuk ke Dublin.

Tidak berapa lama selepas menunggu, pesawat yang dinantikan pun tiba & para penumpang dijemput masuk. Lebih kurang pukul 9.30 malam, pesawat pun mulai berlepas. Perjalanan ke Dublin mengambil masa 50 minit sahaja. Lebih kurang pukul 10.20 malam, kami pun tiba di Lapangan Terbang Dublin.

Pengalaman selama 2 hari di Manchester & Liverpool sememangnya menarik walaupun tempoh masa kami di sana terlampau singkat. 2 hari tersebut memang cukup padat dengan pengalaman-pengalaman yang cukup berharga. Walaupun kami mengembara berasingan, namun aku yakin kami masing-masing mendapat pengalaman yang sama banyak & sama nilainya yang akan sentiasa dikenang hingga ke akhir hayat kami. Manchester & Liverpool adalah kota-kota yang wajib dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang memijakkan kaki di bumi England.

TAMAT. Selepas ini nantikan pula TRAVELOG MALTA: PERMATA MEDITERRANEAN... :)

p/s: Masih lagi 'mourning' disebabkan kekalahan my favourite team, Germany/Deutschland kpd Spain hari tuh.. Nasib baik la dpt Third Place selepas berjaya membelasah Uruguay semalam.. Moga Germany akan menjuarai EuroCup 2012 nanti.. Hahaha.. To all German haters, dont be mad ok!! Hehehe...


GO DEUTSCHLAND!!!

Read more...

MaNCHeSTeR & LiVeRPooL (BHG IV) - LiVeRPooL II

>> Sunday, July 11, 2010



Selepas bergambar dengan bangunan-bangunan yang terletak di kawasan William Brown Street Conservation Area, aku meneruskan perjalanan ke lokasi yang seterusnya, iaitu Municipal Offices yang terletak di Water Street. Aku sendiri kurang pasti apa fungsi sebenarnya bangunan ini. Selepas bergambar di sini, aku terus berjalan ke Liverpool Town Hall yang merupakan kediaman rasmi Datuk Bandar Liverpool. Bangunan yang elegan & berunsurkan gothic ini siap dibina pada tahun 1754. Walau bagaimanapun, kawasan dalaman bangunan ini mengalami kerosakan yang teruk sewaktu kebakaran yang berlaku pada tahun 1795. Ia diperbaiki semula selepas kejadian itu. Bersebelahan dengan Liverpool Town Hall, terletak sebuah monumen yang diberi nama Nelson Monument. Monumen yang dirasmikan pada tahun 1813 ini dibina sempena memperingati Horation Nelson, seorang tentera laut England yang banyak berjasa.


Municipal Offices, Liverpool, UK


Liverpool Town Hall, Liverpool, UK


Liverpool Town Hall & Nelson Monument, Liverpool, UK

Selepas itu, aku meneruskan langkah menuju ke Queen Victoria Monument, sebuah monumen yang cantik & klasik. Monumen ini terletak di tapak Liverpool Castle yang telah dirobohkan pada tahun 1725 untuk digantikan dengan St George’s Church. Gereja tersebut akhirnya turut dirobohkan pada tahun 1889 & digantikan dengan Queen Victoria Monument ini.


Queen Victoria Monument, Liverpool, UK

Selepas bergambar denan Queen Victoria Monument, aku ke destinasi yang seterusnya, iaitu 3 buah deretan bangunan yang terletak di pinggir laut yang diberi jolokan Liverpool’s Three Graces, iaitu Port of Liverpool Building, Cunard Building & Liver Building. Ketiga-tiganya terletak dalam lokasi Pier Head yang tersenarai dalam UNESCO World Heritage Sites. Port of Liverpool Building turut dikenali sebagai Dock Office. Bangunan yang siap dibina pada tahun 1907 ini adalah ibu pejabat kepada Mersey Docks and Harbour Board sehingga tahun 1994, sebelum ia dijual kepada syarikat pembangunan hartanah Downing pada tahun 2001.

Cunard Building yang terletak di tengah-tengah antara Liverpool’s Three Graces itu dibina antara tahun 1914 & 1917. Bangunan ini merupakan bangunan ibu pejabat syarikat perkapalan Cunard Steamship Company sehingga tahun 1960-an, sebelum ianya dimiliki oleh Merseyside Pension Fund.


Port of Liverpool & Cunard Building, Liverpool, UK

Royal Liver Building pula adalah bangunan yang dibina pada tahun 1911 & merupakan pejabat kepada Royal Liver Assurance Group. Bangunan ini merupakan bangunan tertinggi di Liverpool sehingga tahun 1965, sebelum St John’s Tower dibina pada tahun tersebut. Ia kini merupakan bangunan kedua tertinggi di Liverpool & merupakan antara mercu tanda utama bandar ini. Bangunan ini mempunyai 2 buah menara & terdapat sebuah jam pada setiap menara. Jam tersebut yang masing-masingnya berdiameter 7.6 meter merupakan sepasang jam yang terbesar di United Kingdom, mengalahkan jam pada Big Ben di London. Di puncak kedua-dua buah menara itu pula terdapat sebuah patung burung di kedua-duanya yang diberi nama Liver Birds.


Royal Liver Building, Liverpool, UK


Royal Liver Building, Liverpool, UK

Berdekatan dengan ketiga-tiga bangunan tadi, terdapat sebuah gereja kecil yang diberi nama Church of Our Lady and Saint Nicholas. Tidak jauh dari ketiga-tiga bangunan itu juga, iaitu di Pier Head, terletak Titanic Memorial, sebuah monumen yang dibina bagi mengenangkan jasa-jasa kru-kru kapal Titanic yang kekal dengan tugasan mereka untuk sedaya-upaya melambatkan penenggelaman kapal tersebut bagi menyelamatkan nyawa penumpang-penumpangnya. Kru-kru kapal tersebut, termasuk ketua pegawai, ketua jurutera & lain-lain kebanyakannya berasal dari Liverpool. Kapal Titanic yang tenggelam di tengah-tengah Lautan Atlantik pada bulan April 1912 itu adalah kepunyaan White Star Line yang beribu pejabat di Liverpool. Ia adalah kapal penumpang berkuasa stim yang terbesar yang pernah dibina di dunia. Ia dibina di Belfast & mula belayar dari Southampton untuk menuju ke New York.


Church of Our Lady and Saint Nicholas, Liverpool, UK


Royal Liver Building & Titanic Memorial, Liverpool, UK


Titanic Memorial, Liverpool, UK


Titanic

Aku kemudiannya bergambar di kawasan sekitar Pier Head yang menghadap Laut Irish. Pada masa dahulu, kawasan ini berfungsi sebagai jeti bagi kapal-kapal yang menuju ke benua Amerika. Walau bagaimanapun, fungsinya tersebut ditamatkan pada tahun 1973. Pada masa kini, kawasan Pier Head ini hanya menyediakan kemudahan kapal-kapal untuk ke Isle of Man & beberapa tempat lain sahaja. Sewaktu aku sedang bergambar di sini, hujan turun dengan lebat. Aku terpaksa berteduh dahulu sebelum menyambung ekspedisi aku.


Pier Head, Liverpool, UK

Apabila hujan sudah reda, aku pun menyambung semula ekspedisi aku ke Liverpool One, sebuah kawasan membeli-belah & hiburan yang besar & terkenal di Liverpool. Sewaktu aku di sini, cuma kawasan fasa pertama sahaja yang telah dibuka. Ia telah dibuka pada bulan May 2008. Kawasan fasa kedua pula akan dibuka pada bulan Oktober nanti. Liverpool One dibahagikan kepada 6 zon, iaitu Hanover Street, Peter’s Lane, New Manesty’s Lane, Paradise Street, South John’s Street & The Park. Terdapat banyak kedai-kedai pakaian & restoran ternama di kawasan membeli-belah ini. Antaranya ialah Top Shop, Tie Rack, JD Sports, Nike, Starbucks, Gap, Zara, Adidas, Esprit & banyak lagi. Aku menghabiskan masa yang agak lama di sini. Aku sempat membeli beberapa helai baju.


Liverpool One, Liverpool, UK


Liverpool One, Liverpool, UK


Liverpool One, Liverpool, UK


Liverpool One, Liverpool, UK


Liverpool One, Liverpool, UK


Liverpool One, Liverpool, UK

Bersambung...

Read more...

MaNCHeSTeR & LiVeRPooL (BHG III) - LiVeRPooL I

>> Saturday, July 10, 2010



Hari 3: 3 SEPTEMBER 2008

Apabila kami sudah selesai membersihkan diri & mengemaskan barang-barang, kami terus menuju ke stesen bas Manchester Central. Kami akan ke Liverpool pagi ini. Bas National Express ke Liverpool dijadualkan bertolak pada pukul 8.00 pagi. Setelah beberapa minit menunggu, bas yang dinantikan pun tiba. Kami berdua lantas masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 8.00 pagi, bas itu pun mulai bergerak meninggalkan Manchester menuju ke Liverpool. Jarak antara Manchester & Liverpool tidak sejauh mana. Perjalanan dengan bas mengambil masa hanya selama 1¼ jam sahaja. Lebih kurang pukul 9.15 pagi, kami pun tiba di stesen bas Liverpool.

Setibanya kami di stesen bas itu, kami terus mencari lokasi stesen keretapi Liverpool Lime Street untuk menyimpan barang-barang kami. Kami akan terus pulang ke Dublin pada waktu malam nanti. Kami tidak menginap di mana-mana hostel di Liverpool. Oleh itu, kami perlu mencari tempat untuk menyimpan barang. Stesen bas Liverpool tidak terdapat kemudahan menyimpan barang. Disebabkan itulah kami terpaksa ke stesen keretapi tersebut kerana di situ sahajalah adanya kemudahan menyimpan barang.

Setelah menyimpan barang di stesen keretapi Liverpool Lime Street, kami pun memulakan ekspedisi pengembaraan kami. Kami berdua tidak berjalan-jalan bersama juga di Liverpool kerana masing-masing lebih selesa mengembara bersendirian. Oleh itu, kami menetapkan waktu & lokasi untuk berjumpa semula pada waktu petang nanti. Kami menetapkan pukul 5.30 petang di tempat penyimpanan beg. Kami kemudiannya pun berpecah mengikut haluan masing-masing.


Stesen Keretapi Liverpool Lime Street, Liverpool, UK


Stesen Keretapi Liverpool Lime Street, Liverpool, UK

Ini adalah kali pertama aku menjejakkan kaki aku di bumi Liverpool. Liverpool adalah bandar pelabuhan yang penting di England. Ia terletak di dalam daerah Merseyside, di bahagian barat laut England, di pinggir Laut Irish. Populasi penduduk di Liverpool adalah seramai 435,000 orang. Penduduk-penduduk di sini dipanggil ‘Scousers’ yang mempunyai loghat Bahasa Inggeris mereka yang tersendiri. Liverpool juga amat sinonim dengan kumpulan muzik The Beatles yang pernah popular di seluruh dunia ketika era 1960-an. Bandar ini adalah bandar kelahiran kumpulan itu. 6 lokasi di Liverpool telah disenaraikan dalam ‘UNESCO World Heritage Sites’. Keenam-enam lokasi itu digabungkan & diberi nama Liverpool Maritime Merchantile City. Enam lokasi tersebut ialah Pier Head, Albert Dock, Stanley Dock Conservation Area, Duke Street Conservation Area, Castle Steet Conservation Area & William Brown Street Conservation Area.


Kedudukan Liverpool dalam peta England, UK


The Beatles

Menurut sejarah, Liverpool diasaskan pada tahun 1207, sewaktu England diperintah oleh Raja yang bernama John. Perkembangan Liverpool agak lembap sebelum kurun ke-17. Mulai kurun ke-17, barulah ianya mulai berkembang dengan adanya urus niaga penjualan hamba. Ia menjadi pusat penjualan hamba yang terbesar di United Kingdom pada waktu itu & juga antara yang terbesar di Eropah. Pada tahun 1830, landasan keretapi antarabandar yang pertama di dunia telah dibina menghubungkan Liverpool & Manchester.

Populasi Liverpool meningkat secara mendadak pada tahun 1840-an akibat penghijrahan besar-besaran orang-orang Irish disebabkan kebuluran yang sedang melanda Ireland ketika itu. Pada tahun 1851, ¼ daripada penduduk Liverpool adalah orang-orang Irish. Serangan bom yang dilakukan oleh tentera Nazi Jerman di kota ini sewaktu Perang Dunia II telah membunuh seramai 2,500 orang & hampir separuh daripada kota ini termusnah. Selepas tamatnya perang tersebut, barulah kerja-kerja membaik pulih dimulakan.

Sewaktu aku keluar daripada stesen keretapi Liverpool Lime Street, aku terlihat sesuatu benda yang menarik yang digantung pada bangunan Concourse House, berhampiran dengan stesen keretapi itu. Ianya adalah labah-labah mekanikal yang diberi nama La Princesse, yang telah direka & dioperasikan oleh sebuah syarikat Perancis. Labah-labah mekanikal tersebut direka untuk meraikan perayaan penghormatan bandar Liverpool sebagai European Capital of Culture tahun 2008, bersama-sama dengan sebuah lagi bandar di Norway yang bernama Stavanger. Menurut kata penduduk tempatan, hari ini adalah hari pertama labah-labah tersebut dilihat. Terasa bangga pula aku kerana melihatnya pada hari pertama ia dipasang. Labah-labah ini kemudiannya dikatakan akan digerakkan ke seluruh kota Liverpool melalui jalan-jalan utama dari tarikh 5 September hingga 7 September. Hahaha. Menarik betul. Malang sekali, aku tidak dapat menyaksikannya.


Labah-Labah Mekanikal, Liverpool, UK


Labah-Labah Mekanikal, Liverpool, UK


Logo Liverpool, European Capital of Culture 2008

Berhampiran dengan stesen keretapi Lime Street Liverpool juga terletak sebuah menara yang bernama St John’s Tower. Ia juga turut dipanggil Radio City Tower. Menara setinggi 138 meter ini dirasmikan oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1969. Ia pada mulanya dibina bertujuan untuk membantu sistem pengudaraan St John’s Market yang terletak di bawahnya, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat masalah tertentu. Mulai tahun 2000, menara ini dijadikan pejabat Radio City 96.7. Pada masa kini, terdapat restoran berputar & platform tinjau di atas puncak menara tersebut.


St John’s Tower, Liverpool, UK

Bertentangan dengan stesen keretapi Lime Street Liverpool, terletak sebuah bangunan besar yang diberi nama St George’s Hall. Bangunan yang bercirikan senibiba neo-klasikal ini mempunyai dewan-dewan konsert & bilik-bilik mahkamah di dalamnya. Bangunan ini terletak di dalam kawasan William Brown Street Conservation Area yang merupakan salah satu lokasi di Liverpool yang tersenarai dalam UNESCO World Heritage Sites. Kerja-kerja pembinaan bangunan ini telah dimulakan pada tahun 1841 & berakhir pada tahun 1854. Di hadapan St George’s Hall terdapat sebuah kaki lima yang diberi nama St George’s Plateau. Di sini terdapat ukiran 4 ekor patung singa & juga ukiran patung equestrian Putera Albert & Ratu Victoria. Di lokasi inilah peminat-peminat The Beatles berkumpul sewaktu meratapi kematian 2 orang anggota kumpulan tersebut, iaitu John Lennon & George Harrison.


St George’s Hall, Liverpool, UK


Patung-patung Singa di St George’s Plateau, Liverpool, UK


Ukiran Patung Equestrian Ratu Victoria di St George’s Plateau, Liverpool, UK


St George’s Plateau, Liverpool, UK

Seterusnya, aku berjalan menuju ke Walker Art Gallery yang terletak berdekatan dengan St George’s Hall. Galeri ini mempamerkan antara koleksi lukisan-lukisan yang terbesar di England. Bangunan ini mula dirasmikan pada tahun 1877 & dinamakan bersempena dengan nama bekas Datuk Bandar Liverpool yang bernama Sir Andrew Barclay Walker. Ia juga turut terletak di dalam lokasi William Brown Street Conservation Area. William Brown Street adalah satu-satunya jalan di England yang tidak mempunyai apa-apa bangunan lain selain daripada muzium, galeri & perpustakaan.


Walker Art Gallery, Liverpool, UK

Sebuah lagi bangunan yang terletak dalam kawasan William Brown Street Conservation Area ialah bangunan William Brown Library & Museum. Bangunan yang dibina pada pertengahan kurun ke-19 ini menempatkan World Museum Liverpool & Liverpool Central Library, perpustakaan yang terbesar di kota ini.


World Museum Liverpool & Liverpool Central Library, Liverpool, UK


World Museum Liverpool & Liverpool Central Library, Liverpool, UK

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP