Showing posts with label Golden Circle. Show all posts
Showing posts with label Golden Circle. Show all posts

iCeLaND: BuMi ViKiNG (BHG V) - GoLDeN CiRCLe II

>> Monday, March 08, 2010



Destinasi utama kami yang seterusnya dalam tour Golden Circle ini ialah Geysir, sebuah geyser yang terletak di Lembah Haukadalur. Geyser membawa maksud kolam 'hot spring' yang mengeluarkan wap putih yang panas pada setiap masa & memancutkan air panasnya setiap beberapa minit atau beberapa jam. Perubahan aktiviti geyser-geyser amat dipengaruhi oleh aktiviti gempa bumi di persekitarannya. Geyser Geysir di Golden Circle ini merupakan geyser tertua yang diketahui kewujudannya di bumi Iceland & juga merupakan geyser pertama yang diketahui oleh penduduk Eropah. Perkataan 'geyser' juga diambil daripada nama geyser tersebut. Geyser Geysir ini sudah agak dorman pada masa kini. Ia hanya memancutkan air panasnya 4 atau 5 kali sahaja dalam masa sehari. Sebelum ini, geyser tersebut boleh memancutkan air panasnya dengan kekerapan yang berkali ganda & ketinggian setiap pancutannya boleh mencecah sehingga 70 meter. Menakjubkan sungguh.


Geyser Geysir, Golden Circle, Iceland

Geyser yang aktif pada masa kini adalah sebuah lagi geyser yang terletak berhampiran dengannya, iaitu geyser Strokkur. Geyser Strokkur ini memancutkan airnya yang sepanas 120 darjah celcius setiap 5-10 minit. Ketinggian pancutannya boleh mencecah sehingga 30 meter. Aku berkesempatan untuk menyaksikan sendiri pancutan air panas dari geyser tersebut yang setinggi hampir 30 meter. Agung sekali fenomena alam ciptaan Allah SWT ini. Di sekeliling geyser Strokkur ini terdapat hampir 30 buah lagi geyser-geyser kecil & kolam-kolam hot spring. Kawasan ini sememangnya amat menakjubkan sekali. Kepulan-kepulan wap putih yang keluar dari setiap kolam hot spring & geyser di kawasan ini dapat dilihat dari jauh.


Kawasan Geysir, Golden Circle, Iceland


Kawasan Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur di Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur di Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur masih tenang, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur mula memancutkan air panasnya, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur memancutkan air panasnya setinggi hampir 30 meter, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur memancutkan air panasnya setinggi hampir 30 meter, Geysir, Golden Circle, Iceland


Geyser Strokkur memancutkan air panasnya, Geysir, Golden Circle, Iceland


Sebuah kolam hot spring di Geysir, Golden Circle, Iceland


Berhampiran kawasan Geysir, Golden Circle, Iceland

Berhampiran dengan kawasan Geysir, terdapat sebuah restoran yang dibina untuk kemudahan para pelancong menjamu selera. Pemandu bas tour memberi masa sejam kepada kami semua untuk makan tengah hari & melihat-lihat kawasan Geysir. Aku & Muaz hanya membeli makanan ringan sahaja kerana makanan-makanan yang dijual di restoran itu rata-ratanya tidak halal & mahal-mahal belaka. Lebih kurang sejam kemudian, kesemua peserta tour pun masuk kembali ke dalam bas untuk meneruskan ekspedisi tour Golden Circle.


Restoran di Geysir, Golden Circle, Iceland

Kami dibawa ke destinasi utama kami yang seterusnya & yang terakhir, iaitu Thingvellir National Park. Taman negara ini terletak di kawasan gunung berapi Hengill, sebuah gunung berapi yang masih aktif. Kawasan Thingvellir National Park adalah tapak sejarah, kebudayaan & geologi yang amat penting di Iceland. Pada masa kini, ia merupakan antara tempat tumpuan utama pelancong di negara ini. Taman negara ini telah dinobatkan sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’ pada tahun 2004.

Thingvellir National Park adalah taman negara yang pertama di Iceland. Kawasan taman negara ini sangat penting dalam sejarah Iceland kerana di sinilah bermulanya perkembangan kebudayaan & politik mereka. Thingvellir National Park diasaskan pada tahun 1928. Ia dibuka bertujuan untuk memelihara tapak peninggalan parlimen lama Iceland yang terletak di sini yang merupakan pusat perkembangan politik & kebudayaan masyarakat Iceland pada zaman dahulu. Parlimen tersebut diasaskan pada tahun 930M & memainkan peranannya sehingga tahun 1799. Penggunaannya kemudian dihentikan setelah parlimen Iceland dipindahkan ke Reykjavik pada tahun 1844. Kawasan taman negara ini kemudiannya diperluaskan lagi untuk memelihara keindahan alam semulajadi yang terdapat di sekeliling parlimen tersebut.

Selain merupakan tempat yang bersejarah, kawasan taman negara ini juga terkenal sebagai kawasan yang kerapkali berlakunya kejadian gempa bumi & letupan gunung berapi. Ini kerana kawasan ini terletak betul-betul di garisan pertemuan dua plat tektonik, iaitu Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian. Garisan pertemuan dua plat tektonik tersebut boleh dilihat dengan jelas melalui rekahan-rekahan batu yang terdapat di sini yang terbentuk akibat pergerakan kedua-dua plat tektonik itu dalam beberapa siri kejadian gempa bumi di sini. Rekahan-rekahan batu itu menjadikan kawasan ini kelihatan seperti sebuah kanyon dengan panorama yang amat menakjubkan.


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Rekahan batu hasil pergerakan Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Rekahan batu hasil pergerakan Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Rekahan batu hasil pergerakan Plat Tektonik Amerika Utara & Plat Tektonik Eurasian di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland

Di kawasan Thingvellir National Park ini juga terdapat sebuah tasik cantik yang diberi nama Thingvallavatn. Dengan keluasan seluas 84 kilometer persegi, tasik ini adalah tasik semulajadi yang terluas di pulau Iceland. Kedalamannya pula mencecah sehingga 114 meter.


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland


Tasik Thingvallavatn di Thingvellir National Park, Golden Circle, Iceland

Keindahan alam ciptaan Allah SWT yang aku saksikan di Thingvellir National Park ini memang tiada tandingannya dengan tempat-tempat lain yang pernah aku jejaki sebelum ini. Begitu besar sekali kekuasaan Allah SWT yang mampu mencipta alam seindah kawasan Thingvellir National Park ini. Subhanallah.

Setelah puas mengamati keindahan alam ciptaan Allah SWT di taman negara tersebut, aku, Muaz & peserta-peserta tour yang lain kembali semula ke dalam bas. Dengan terjejaknya kaki kami di Thingvellir National Park tadi, maka berakhirlah tour kami. Kami akan dibawa pulang semula ke Reykjavik.

Setelah lebih kurang 2 jam perjalanan, kami semua akhirnya tiba semula di Reykjavik lebih kurang pada pukul 5.00 petang. Setiap peserta tour diturunkan di kawasan berdekatan dengan hostel masing-masing. Begitu juga dengan aku & Muaz. Selepas kami diturunkan, kami pun berjalan ke hostel kami yang terletak tidak jauh dari tempat kami diturunkan. Apabila sampai di hostel, kami pun berehat-rehat untuk menghilangkan penat. Sejam kemudian, kami berdua keluar semula untuk mengambil angin di sekitar kota Reykjavik memandangkan hari masih panjang. Kami kembali semula ke Sun Craft Sculpture untuk bergambar dengan monumen tersebut. Gambar-gambar yang kami ambil semalam tidak begitu cantik kerana keadaan cuaca yang tidak baik.


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland

Selepas itu, kami ke Thjodmenningarhus, sebuah bangunan yang berfungsi sebagai perpustakaan negara dari tahun 1908 hingga 1994. Pada masa kini, ianya dijadikan sebagai pusat pameran warisan kebudayaan Viking & Icelandic. Berhampiran dengannya adalah bangunan National Theatre of Iceland, bangunan yang direkabentuk oleh arkitek tempatan yang ternama, iaitu Guðjón Samúelsson.


Thjodmenningarhus, Reykjavik, Iceland


National Theatre of Iceland, Reykjavik, Iceland

Apabila malam mula menjelma, aku berjalan bersendirian. Muaz sudah kepenatan & kembali semula ke hostel. Aku menuju semula ke Sun Craft Sculpture tadi untuk mengambil gambarnya dalam suasana malam pula. Seterusnya, aku berjalan-jalan mengambil angin di persisiran pantai. Apabila malam sudah larut, aku pun kembali semula ke hostel. Selepas membersihkan diri & solat, kami berdua masing-masing melelapkan mata.


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland


Sun Craft Sculpture, Reykjavik, Iceland

Bersambung...

Read more...

iCeLaND: BuMi ViKiNG (BHG IV) - GoLDeN CiRCLe I

>> Saturday, March 06, 2010



Hari 3: 30 OGOS 2008

Pada hari ini, aku & Muaz mengambil pakej bas tour syarikat Reykjavik Excursions untuk mengelilingi Golden Circle, satu kawasan di Iceland yang amat popular di kalangan pelancong. Kami telah menempahnya awal-awal melalui internet sewaktu di Dublin lagi. Harga tiketnya agak mahal. Namun, aku yakin ianya pasti berbaloi.

Bas tour itu akan mulai bergerak dari stesen bas Reykjavik pada pukul 9.00 pagi. Pakej bas tour tersebut turut menyediakan perkhidmatan pengambilan peserta-peserta tour dari hostel-hostel penginapan masing-masing untuk ke stesen bas. Para peserta diambil dengan menggunakan van. Kami berdua diambil oleh van tersebut dari hostel kami pada pukul 8.30 pagi, 30 minit sebelum bas mulai bergerak dari stesen bas. Sebelum itu, kami bersarapan pagi terlebih dahulu di dalam hostel. Sarapan pagi disediakan secara percuma oleh pihak hostel kepada semua penginap-penginapnya.

Setibanya di stesen bas, kami & para peserta tour yang lain menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam bas tour yang sudah pun berada di situ. Beberapa minit kemudian, kami semua pun dijemput masuk. Ramai juga pelancong-pelancong yang menyertai tour ini bersama-sama dengan kami. Hampir penuh bas itu. Tour ini akan berlangsung selama 8 jam, iaitu dari pukul 9.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Tidak sabar rasanya untuk melihat keindahan alam semulajadi di bumi Iceland.


Bas tour Reykjavik Excursions


Stesen bas, Reykjavik, Iceland

Tepat pukul 9.00 pagi, bas tour yang kami naiki pun mulai bergerak menuju ke destinasinya, iaitu Golden Circle. Golden Circle sebenarnya terletak tidak jauh dari bandar Reykjavik. Hanya beberapa jam perjalanan sahaja. Ianya adalah satu lingkaran jalan yang melalui 3 buah pusat pelancongan yang terkenal, iaitu Gullfoss Waterfall, Geysir & Thingvellir National Park. Di samping 3 tempat tersebut, tour ini juga akan singgah di beberapa lagi tempat yang tidak kurang menariknya.


Peta menunjukkan lingkaran jalan Golden Circle di Iceland

Pemandu bas merangkap pemandu pelancong memberi penerangan kepada setiap tempat yang kami lalui. Laluan yang dilalui oleh bas tour ini sememangnya amat menakjubkan. Walaupun keadaan cuaca tidak begitu baik kerana hujan, tetapi aku masih dapat menghargai keindahan alam semulajadi ciptaan Allah SWT di bumi Iceland ini. Belum pernah aku melihat lanskap yang sebegitu indah seperti mana yang aku lihat di bumi Iceland. Seperti yang telah aku katakan sebelum ini, di seluruh pulau ini tidak terdapat banyak pokok-pokok yang besar. Yang banyak cuma rumput-rumput & pokok-pokok kecil. Disebabkan itulah kawasan bukit-bukau, gunung-ganang, sungai-sungai & tasik-tasiknya jelas kelihatan walaupun dari jauh. Saujana mata memandang. Subhanallah.


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland


Panorama dari dalam bas di sepanjang Golden Circle, Iceland

Persinggahan pertama kami ialah sebuah kedai cenderahati. Kami diberi masa 20 minit oleh pemandu bas tour tersebut untuk membeli-belah di dalamnya. Aku & Muaz tidak membeli apa-apa. Kami sekadar melihat-lihat sahaja. Rupa bahagian luar bangunan ini agak menarik. Begitu juga dengan rupa ruang dalamannya. Di luar bangunan ini terdapat sebuah ‘hot spring’ kecil yang ditutup dengan batu-batu. Asap sulfur yang keluar dari celah-celah batu tersebut teramatlah kuat baunya sehingga menyebabkan aku terasa pening-pening sedikit. Ramai pelancong mengambil gambar dengan ‘hot spring’ tersebut termasuklah kami berdua.


Ruang dalaman kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland


Ruang dalaman kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland


Hot Spring di bahagian luar kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland


Hot Spring di bahagian luar kedai cenderahati, Golden Circle, Iceland

20 minit kemudian, kesemua peserta tour masuk kembali ke dalam bas untuk meneruskan perjalanan. Persinggahan yang seterusnya ialah sebuah kawasan air terjun yang sangat-sangat cantik. Tak dapat hendak digambarkan dengan kata-kata. Kami cuma diberi masa 15 minit sahaja untuk bergambar dengan air terjun tersebut. Kemudian, kami pun menyambung semula perjalanan kami.


Sebuah air terjun di Golden Circle, Iceland


Sebuah air terjun di Golden Circle, Iceland

Destinasi yang seterusnya adalah Gullfoss Waterfall yang merupakan destinasi utama yang pertama dalam tour ini. Gullfoss Waterfall adalah air terjun yang mengalir melalui Sungai Hvita yang terletak di sebuah kawasan kanyon. Air terjun ini adalah antara pusat pelancongan yang terkenal di Iceland. Ia mempunyai keluasan yang besar, tinggi & bertingkat-tingkat. Purata kelajuan air yang melalui air terjun ini ialah 140 meter padu persaat.

Sebelum pertengahan kurun ke-20, kawasan Gullfoss Waterfall ini adalah hak milik peribadi seorang warga tempatan. Dia kemudiannya menyewakan air terjun ini kepada pelabur-pelabur asing untuk membina kawasan empangan penjanaan kuasa elektrik. Walau bagaimanapun, rancangan tersebut gagal kerana pelabur-pelabur itu kekurangan modal. Akhirnya, kawasan air terjun ini dibeli oleh kerajaan Iceland.

Keadaan cuaca masih lagi tidak begitu baik sewaktu kami di tiba Gullfoss Waterfall. Hujan turun mencurah-curah. Keadaan cuaca sebegitu menyebabkan kawasan sekitar air terjun ini menjadi agak berkabus. Walau bagaimanapun, aku tetap berpuas hati kerana dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT itu. Tiada kalimah yang mampu aku ucapkan selain Subhanallah.


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Aku & Muaz di Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland


Gullfoss Waterfal, Golden Circle, Iceland

Apabila sudah puas mengambil gambar dengan Gullfoss Waterfall, kami berdua pun masuk semula ke dalam bas untuk mengeringkan pakaian kami yang agak basah akibat terkena air hujan. Tidak berapa lama kemudian, penumpang-penumpang lain pun turut masuk & kami seterusnya menyambung semula ekspedisi tour kami.

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP