Showing posts with label Europe. Show all posts
Showing posts with label Europe. Show all posts

CYPRuS: PuLau aPHRoDiTe (BHG IV) - NiCoSia II

>> Tuesday, July 20, 2010



Lokasi pertama di Nicosia yang aku kunjungi ialah Bayraktar Mosque yang terletak di bastion Venetian City Wall yang bernama Constanza Bastion. Masjid ini adalah masjid pertama yang dibina oleh Empayar Turki Uthmaniyah selepas berjaya menawan kota Nicosia daripada Republic Venice pada tahun 1571. Di lokasi inilah bendera Turki Uthmaniyah mula-mula sekali dipacakkan sewaktu penawanan kota ini. Walau bagaimanapun, pemacak bendera itu akhirnya telah dibunuh oleh tentera Republik Venice. Mayatnya kemudian disemadikan di kawasan masjid ini & Bayraktar Mosque yang ada sekarang ini didirikan sebagai memberi penghormatan kepada pemacak bendera itu. Masjid ini kemudiannya dibina semula pada tahun 1820 & diperbaiki pada tahun 1990. Pada masa kini, ianya masih dalam proses pembaikan & tidak dapat digunakan oleh para jemaah untuk bersolat.

Sewaktu konflik yang berlaku antara penduduk bangsa Greek & Turki antara tahun 1960 hingga 1974, masjid ini menjadi antara lokasi serangan utama oleh penduduk-penduduk bangsa Greek. Ia telah dibom sebanyak 4 kali pada tahun 1962 sewaktu hari Ulangtahun Kemerdekaan Greece yang telah merosakkan menara azannya. Ia kemudiannya dibom lagi pada tahun 1964. Pengeboman pada tahun tersebut memusnahkan sama sekali menara azan masjid ini. Begitu hebat sekali kebencian orang-orang kafir Greek terhadap orang-orang Islam Turki. Agaknya mereka masih lagi berdendam dengan orang-orang Turki yang telah meruntuhkan Empayar Byzantine dengan penawanan ibu kota empayar tersebut, iaitu Constantinople/Istanbul pada tahun 1453. Empayar Byzantine dahulunya merupakan penaung kepada agama Greek Orthodox yang dianuti mereka. Wallahu ‘alam.


Constanza Bastion berhampiran Bayraktar Mosque, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Bayraktar Mosque, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus

Seterusnya, aku menuju ke Liberty Monument yang terletak di bastion Venetian City Wall yang bernama Podocatro Bastion. Monumen ini didirikan pada tahun 1973 bagi memperingati hari pembebasan pejuang kemerdekaan Cyprus dari penjara pada tahun 1959 yang memperjuangkan kemerdekaan negara itu daripada Empayar British. Selepas bergambar di Liberty Monument, aku menuju pula ke Archbishop’s Palace, rumah kediaman Archbishop of Cyprus, paderi utama di negara ini. Sewaktu konflik yang berlaku antara penduduk bangsa Greek & Turki, Archbishop of Cyprus yang bernama Makarios III telah cuba untuk dibunuh, namun usaha tersebut gagal. Istana itu juga musnah seluruhnya pada tahun 1974 & dibina semula pada tahun 1980. Di hadapannya terdapat ukiran patung Archbishop tersebut.


Podocatro Bastion berhampiran Liberty Monument, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Liberty Monument, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Liberty Monument, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Archbishop’s Palace, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Archbishop’s Palace, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Ukiran Patung Archbishop Makarios III di Archbishop’s Palace, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus

Selepas itu, aku ke Famagusta Gate pula, iaitu salah satu daripada 3 pintu masuk ke kota ini menerusi Venetian City Wall. Ia adalah pintu masuk yang terbesar & yang paling menarik antara ketiga-tiga pintu masuk yang ada. Sewaktu era pemerintahan Republik Venice dahulu, Famagusta Gate digunakan sebagai laluan masuk & keluar pelawat-pelawat di bahagian timur kota ini. Ia masih juga digunakan sewaktu era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Namun, sewaktu zaman pemerintahan Empayar British, tempat ini hanya dijadikan gudang penyimpanan barang. Selepas kemerdekaan Cyprus, Famagusta Gate mengalami proses pengubahsuaian & mulai tahun 1983, ianya dijadikan muzium.


Famagusta Gate, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Ruang dalaman, Famagusta Gate, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus

Kemudian, aku melalui kawasan pagar dawai & besi yang menjadi sempadan antara Nicosia Utara & Nicosia Selatan. Kawasan tersebut yang dinamakan United Nations Buffer Zone sentiasa dipantau oleh United Nations. Pencerobohan antara sempadan di sini amat dilarang sama sekali.


Kawasan pagar dawai & besi yang menjadi sempadan antara Nicosia Utara & Nicosia Selatan


Kawasan pagar dawai & besi yang menjadi sempadan antara Nicosia Utara & Nicosia Selatan


Kawasan pagar dawai & besi yang menjadi sempadan antara Nicosia Utara & Nicosia Selatan

Aku seterusnya berjalan menuju ke Omariye Mosque, salah satu daripada 2 buah masjid yang terdapat di Nicosia Selatan. Omariye Mosque ini sebenarnya adalah gereja yang telah ditukar fungsinya menjadi masjid. Gereja tersebut dibina pada tahun 1395 yang diberi nama St. Mary of the Augustinians & merupakan antara gereja yang terpenting di sini pada zaman dahulu. Gereja itu kemudiannya dikatakan termusnah akibat serangan tentera Turki Uthmaniyah pada tahun 1570. Selepas Nicosia berjaya ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah, gereja itu kemudiannya diperbaiki & ditukar fungsinya menjadi masjid. Memandangkan hari ini adalah hari Jumaat, aku menunaikan solat fardhu Jumaat di sini. Khutbahnya disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Ramai jemaah yang hadir. Hampir penuh masjid ini. Tak sangka pula aku ramai penduduk beragama Islam di Nicosia Selatan ini. Kebanyakan mereka seperti berasal dari India atau Pakistan.


Omariye Mosque, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Omariye Mosque, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus

Selepas menunaikan solat fardhu Jumaat, aku bergambar dengan sebuah hamam di hadapan masjid ini yang dinamakan Omariye Hamam, bersempena dengan nama masjid tersebut. Ia dibina pada akhir kurun ke-16 oleh Lala Mustafa Pasha, sempena penawanan Nicosia oleh Empayar Turki Uthmaniyah. Hamam ini adalah antara hamam yang masih lagi kukuh di bandar ini.


Omariye Hamam, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus

Kemudiannya, aku meneruskan pengembaraan aku ke gereja yang terbesar di dalam kawasan Venetian City Wall, iaitu Frenonemi Church. Gereja Greek Orthodox ini dibina pada tahun 1872. Seterusnya, aku menuju ke jalan membeli-belah yang terdapat di kota Nicosia ini. Aku membeli beberapa buah cenderahati untuk dibawa pulang. Sesudah itu, aku kembali semula ke hostel untuk menunaikan solat Asar. Apabila matahari sudah terbenam, aku keluar untuk makan malam. Aku makan di sebuah restoran halal yang terdapat di kota tersebut. Terdapat banyak juga restoran halal di sini. Alhamdulillah. Selepas makan, aku bersiar-siar mengambil angin malam. Sesudah itu, aku pun kembali ke hostel untuk mandi, solat & kemudiannya tidur.


Frenonemi Church, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Jalan membeli-belah, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus


Jalan membeli-belah, Nicosia Selatan, Republic of Cyprus

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

CYPRuS: PuLaU aPHRoDiTe (BHG II) - PRoLoG II

>> Saturday, July 17, 2010



Hari 1: 6 MEI 2009

Lebih kurang pukul 3.30 petang pada hari ini, aku bertolak menuju ke Lapangan Terbang Dublin dengan menaiki bas. Aku akan ke Paris terlebih dahulu pada hari ini sebelum bertolak ke Cyprus dari London pada keesokan hari. Penerbangan Aer Lingus dari Dublin ke Paris dijadualkan berlepas pada pukul 6.30 petang ini.

Sesampai sahaja aku di Lapangan Terbang Dublin, aku terus mendaftar masuk. Selepas selesai urusan pendaftaran masuk & juga pemeriksaan sekuriti, aku pun menunggu di balai perlepasan. Tidak berapa lama kemudian, para penumpang pun dijemput masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 6.30 petang, pesawat yang aku naiki pun mula berlepas meninggalkan Dublin menuju ke Paris. Perjalanan ke Paris mengambil masa selama 1¾ jam. Lebih kurang pukul 9.15 malam waktu tempatan Perancis, aku pun tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris.

Selepas selesai semua urusan imigresen, aku pun menaiki metro untuk ke stesen keretapi Gare du Nord. Sesampainya aku di stesen keretapi itu, aku mencari mesin pengesahan tiket Eurostar yang terdapat di dalam stesen itu. Setelah puas mencari, akhirnya ia berjaya dijumpai. Aku sengaja mengesahkan tiket aku malam ini supaya aku tidak akan kelam-kabut keesokan paginya sewaktu hendak bertolak menaiki keretapi itu ke London. Sesudah mengesahkan tiket, aku pun terus berjalan mencari lokasi hostel yang sudah pun aku tempat melalui internet yang terletak tidak jauh dari stesen keretapi itu. Aku berjaya menjumpainya tidak lama kemudian. Selepas mendaftar masuk, aku pun dibawa ke bilik aku. Keadaan bilik itu kurang selesa. Namun, aku tidak kisah kerana aku cuma bermalam untuk satu malam sahaja di situ. Selepas mandi & solat, aku keluar untuk mencari makanan. Aku singgah di restoran MacDonald’s & memesan Fillet O’Fish. Selesai sahaja makan, aku pun kembali ke hostel untuk tidur.


Hari 2: 7 MEI 2009

Selepas solat Subuh & mandi, aku mula bergerak menuju kembali ke stesen keretapi Gare du Nord untuk menaiki keretapi Eurostar ke London. Keretapi yang aku tempah dijadualkan bertolak pada pukul 8.07 pagi. Aku berasa sangat gembira kerana akhirnya, tercapai juga impian aku untuk menaiki keretapi Eurostar yang melalui terowong dasar laut itu. Selepas selesai urusan imigresen, aku pun terus masuk ke dalam keretapi itu & tidak lama kemudian, ianya pun mulai bertolak meninggalkan Paris menuju ke London. Sungguh teruja aku. Perjalanan menaiki keretapi ini memakan masa lebih kurang 2½ jam.


Stesen Keretapi Gare du Nord, Paris, Perancis


Keretapi Eurostar di Stesen Keretapi Gare du Nord, Paris, Perancis

Sewaktu melalui Channel Tunnel yang dibina di bawah laut itu, keadaan di luar gelap buat beberapa ketika. Apabila di luar sudah cerah semula, ini menandakan yang aku sudah tiba di bumi United Kingdom. Tepat pukul 9.34 pagi waktu tempatan United Kingdom, aku pun tiba di stesen keretapi St Pancras, London. Setibanya aku di situ, aku terus menaiki Underground untuk ke stesen bas Victoria. Dari stesen bas tersebut, aku menaiki bas pula untuk ke Lapangan Terbang Gatwick. Bas tersebut mulai bertolak dari stesen bas Victoria pada pukul 11.00 tengah hari & tiba di lapangan terbang tersebut pada pukul 12.20 tengah hari.

Selepas beberapa ketika menunggu, akhirnya kaunter pendaftaran masuk pun dibuka & aku terus mendaftar masuk. Kemudian, aku melalui pula zon pemeriksaan sekuriti. Selepas semuanya beres, aku pun menunggu masa untuk masuk ke dalam pesawat EastJet untuk ke Pafos, Cyprus. Beberapa minit selepas menunggu, penumpang-penumpang pun dijemput masuk. Lebih kurang pukul 3.05 petang, pesawat pun mulai berlepas meninggalkan London menuju ke Pafos. Perjalanan mengambil masa selama 4½ jam. Lebih kurang pukul 9.35 malam waktu tempatan Cyprus, aku pun tiba di Lapangan Terbang Pafos, Cyprus.

Setibanya aku di lapangan terbang tersebut, aku pun terus melalui kaunter imigresen. Aku menghadapi sedikit masalah di kaunter tersebut kerana perasaan paranoid pegawai imigresen yang bertugas terhadap nama aku yang bermula dengan Muhammad. Dia bertanya kepada aku jikalau aku mempunyai kenalan di Northern Cyprus. Aku pun menafikannya. Sungguh paranoid sekali. Aku merasakan yang perkara ini mungkin hal yang biasa di pulau ini akibat ketegangan yang wujud antara orang-orang Greek di Republic of Cyprus & orang-orang Turki di Northern Cyprus. Masing-masing menyimpan perasaan paranoid sesama sendiri. Dia kemudiannya bertanya bermacam-macam lagi soalan yang membuatkan aku berasa tidak senang hati. Dia bertanya tentang visa & aku menegaskan yang warganegara Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki negara Cyprus. Selepas itu dia bertanya tentang hostel & aku menjawab yang aku belum menempah mana-mana hostel lagi. Kemudian, dia bertanya pula apa tujuan aku ke sini & aku pun menjawab aku ke sini untuk melancong.

Sessi soal jawab itu dihujani dengan beberapa lagi soalan, seolah-olah aku disyaki sebagai pengganas. Walau bagaimanapun, aku menjawab soalan-soalannya dengan tenang sahaja kerana aku yakin, dengan niat yang betul, Allah SWT akan bantu aku. Pegawai itu akhirnya melepaskan aku dengan syarat aku tinggalkan Cyprus pada tarikh 11 Mei 2009 seperti yang tercatat dalam tiket penerbangan aku. Aku dengan senyum yang dibuat-buat pun bersetuju dengan syarat itu. Selepas itu, aku terus melangkah dengan rasa sakit hati yang teramat sangat. Terasa seperti hendak menyumpah-nyumpah pegawai imigresen tu. Apa-apa pun, aku bersyukur kerana aku akhirnya dilepaskan juga. Syukur kepada Allah SWT.

Aku kemudiannya berjalan keluar dari lapangan terbang itu. Aku tercari-cari jikalau ada sebarang pengangkutan awam untuk ke bandar Pafos. Namun, di luar tiada apa-apa kenderaan pun. Aku kemudian bertanya kepada pengawal yang bertugas yang boleh berbahasa Inggeris dengan amat baik. Rupa-rupanya dia berasal dari England & telah menetap di Cyprus berpuluh-puluh tahun. Dia memberitahu aku bahawa tiada perkhidmatan bas disediakan di lapangan terbang itu. Yang ada cuma teksi. Teksi yang paling awal pun hanya akan ada pada pukul 5.30 pagi nanti. Aku berasa terkejut. Aku bertanya sama ada aku boleh bermalam di lapangan terbang itu. Pengawal itu berkata boleh. Dia kemudian membawa aku ke bilik rehat pemandu-pemandu teksi yang terdapat di lapangan terbang itu. Dia meninggalkan aku di situ bersama-sama dengan seorang pemuda yang terkandas. Aku cuba untuk melelapkan mata di situ, namun tidak berjaya. Mungkin kerana aku sudah tidur dengan puas sewaktu dalam penerbangan tadi.


Lapangan Terbang Pafos, Cyprus


Lapangan Terbang Pafos, Cyprus

Bersambung...



SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

MaLTa: PeRMaTa MeDiTeRRaNeaN (BHG III/aKHiR) - PuLau GoZo & ePiLoG

>> Thursday, July 15, 2010



Hari 2: 15 DISEMBER 2008

Selepas menghabiskan satu hari suntuk di Valletta yang terletak di Pulau Malta semalam, hari ini aku akan ke Pulau Gozo pula yang merupakan pulau kedua terbesar di negara kepulauan ini. Aku bersarapan pagi dahulu di dalam hostel yang aku tumpangi. Sarapan pagi disediakan secara percuma oleh pihak hostel kepada penginap-penginapnya. Dan kebetulan pada waktu itu, aku adalah satu-satunya penginap yang ada. Maka, aku pun diberi layanan yang agak istimewa oleh pemilik hostel itu. Selain roti, jem & mentega, aku turut dijamu dengan kek yang dibuat oleh pemilik hostel itu sendiri. Terharu pula aku apabila mendapat layanan seperti itu. Hahaha. Selepas selesai bersarapan, aku pun mula bergerak untuk menuju ke Pulau Gozo.

Bandar utama yang terletak di Pulau Gozo ialah Victoria yang turut dikenali sebagai Rabat. Untuk ke sana, aku menaiki bas ke jeti Cirkewwa terlebih dahulu dari terminal bas Valletta. Perjalanan dengan menaiki bas ke jeti Cirkewwa tidak memakan masa yang lama. Tambangnya pula murah. Banyak bandar-bandar kecil yang dilalui oleh bas itu sewaktu dalam perjalanan ke jeti Cirkewwa. Menarik betul perjalanan aku ini.

Setibanya aku di jeti Cirkewwa, aku pun terus membeli tiket feri syarikat Gozo Channel Line untuk ke Pulau Gozo. Tidak berapa lama selepas membeli tiket, para penumpang pun dijemput masuk ke dalam feri. Selain penumpang-penumpang yang berjalan kaki, feri itu juga turut membawa kenderaan-kenderaan seperti motorsikal, kereta & lori. Agak besar juga saiz feri ini. Lebih kurang sama besar dengan saiz feri Pulau Pinang. Perjalanan feri dari Pulau Malta ke Pulau Gozo yang menyusuri Laut Mediterranean ini tidak sampai sejam. Feri tersebut juga melalui pulau ketiga terbesar di Malta, iaitu Pulau Comino yang terletak di antara Pulau Malta & Pulau Gozo. Panorama yang aku saksikan sepanjang perjalanan menaiki feri sangat-sangatlah menakjubkan.


Peta Malta yang menunjukkan kedudukan Victoria & Xaghra & Perjalanan Feri dari Cirkewwa ke Mgarr


Feri syarikat Gozo Channel Line


Di atas feri syarikat Gozo Channel Line


Di atas feri syarikat Gozo Channel Line


Feri syarikat Gozo Channel Line menyusuri Laut Mediterranean


Panorama Pulau Gozo & Pulau Comino dari atas feri syarikat Gozo Channel Line


Panorama Pulau Gozo dari atas feri syarikat Gozo Channel Line

Tidak berapa lama kemudian, feri Gozo Channel Line yang aku naiki ini pun tiba di jeti Mgarr yang terletak di Pulau Gozo. Setibanya aku di jeti itu, aku terus menaiki bas untuk ke Victoria, bandar yang terbesar di pulau tersebut. Perjalanan ke Victoria dari jeti Mgarr tidak memakan masa yang lama. Lebih kurang dalam tempoh masa 20 minit, aku pun tiba di stesen bas Victoria. Victoria mempunyai jumlah penduduk seramai 6,500 orang. Nama lama kota ini adalah Rabat. Nama Victoria diberikan kepada bandar ini pada tahun 1887 oleh British sempena ulangtahun ke-50 pemerintahan Ratu Victoria. Lokasi pertama yang aku jejaki selepas tibanya aku di kota ini, ialah sebuah dataran kecil bernama Enrico Mizzo di mana terdapatnya sebuah air pancut yang diberi nama Fountain PJ San Frangisk. Berdekatan dengannya terdapat sebuah gereja yang tidak kurang cantiknya.


Jeti Mgarr, Malta


Dataran Enrico Mizzo, Victoria, Malta


Dataran Enrico Mizzo, Victoria, Malta


Sebuah Gereja di Dataran Enrico Mizzo, Victoria, Malta

Selepas bergambar di dataran tersebut, aku berjalan menuju ke Citadel, sebuah kubu pertahanan lama yang terletak di atas sebuah bukit. Penat juga aku mendaki bukit itu. Kubu pertahanan yang juga berfungsi sebagai istana itu dikatakan telah lama digunakan. Sejak tahun 1500 SM lagi. Ia seterusnya dibangunkan oleh orang-orang Phoenician & kemudiannya oleh Empayar Rom sewaktu Malta berada di bawah jajahan empayar tersebut. Citadel ini seterusnya dijadikan kubu pertahanan oleh organisasi Knights of St. John of Jerusalem sewaktu era pentadbiran mereka. Sewaktu pentadbiran mereka, Citadel ini pernah diserang oleh tentera Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1551, menyebabkan kubu ini mengalami kerosakan. Di dalam kawasan Citadel ini juga terdapat sebuah gereja yang dibina sekitar kurun ke-17. Dari atas kawasan Citadel, aku dapat melihat panorama kota Victoria yang luas terbentang di hadapan mata. Satu panorama yang begitu cantik. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Citadel, Victoria, Malta


Sebuah Gereja di Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta


Panorama kota Victoria dari atas Citadel, Victoria, Malta

Aku menghabiskan masa yang agak lama di kawasan Citadel tersebut. Apabila sudah puas, aku turun semula menuju ke pusat bandar Victoria. Aku menjumpai sebuah restoran halal. Aku lalu terus masuk ke dalamnya untuk makan tengah hari. Selepas itu, aku kembali semula ke stesen bas Victoria. Destinasi aku yang seterusnya di Pulau Gozo ini ialah sebuah kota kecil bernama Xaghra. Bas yang aku naiki ke Xaghra mengambil masa lebih kurang 20 minit dari Victoria. Apabila tiba di Xaghra, aku menuju ke sebuah tapak arkeologi yang menjadi tujuan utama aku ke kota ini. Ianya adalah tapak sebuah kompleks kuil lama yang diperbuat daripada batu-batan. Nama kuil tersebut ialah Ggantija. Ia dikatakan telah wujud sejak Zaman Neolitik lagi, iaitu sejak 5,500 tahun dahulu & merupakan kompleks kuil batu-batan yang tertua dijumpai di Malta. Kompleks kuil Ggantija ini adalah salah satu daripada beberapa kompleks kuil lama di negara Malta yang disenaraikan dalam ‘UNESCO World Heritage Sites’. Kompleks-kompleks kuil tersebut diberi nama ‘Megalithic Temples of Malta’.


Pintu masuk Kuil Ggantija, Xaghra, Malta


Kuil Ggantija, Xaghra, Malta


Kuil Ggantija, Xaghra, Malta

Selepas bergambar dengan kuil lama tersebut, aku kembali ke stesen bas Victoria dengan menaiki bas dari Xaghra. Setibanya aku di stesen bas Victoria, aku menaiki bas lain pula untuk ke jeti Mgarr. Apabila sudah tiba di jeti tersebut, aku menaiki feri dari situ untuk kembali ke jeti Cirkewwa di Pulau Malta. Sesudah tiba di jeti Cirkewwa, aku menaiki bas ke Sliema, sebuah bandar kecil yang terletak di seberang teluk yang memisahkan Sliema dengan Valletta.

Di Sliema terdapat banyak bangunan-bangunan moden seperti pusat membeli-belah, hotel, restoran & café yang sentiasa dipenuhi oleh manusia terutamanya anak-anak muda. Aku cuma menghabiskan masa di kawasan pantainya yang berbatu & menikmati suasana senja di sini. Cantik tak terkata. Subhanallah. Selepas itu, barulah aku kembali ke Valletta dengan menaiki perkhidmatan bot yang menghubungkan Sliema dengan Valletta. Sesampainya di Valletta, hari sudah pun malam. Aku terus kembali ke hostel. Selepas mandi & solat, aku keluar untuk mengambil angin malam. Kemudian, aku pulang semula ke hostel untuk tidur.


Di Tepi Pantai, Sliema, Malta


Di Tepi Pantai, Sliema, Malta


Di Tepi Pantai, Sliema, Malta


Sliema, Malta


Hari 3: 6 DISEMBER 2008

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun untuk bergambar di kawasan Freedom Square yang aku belum lagi bergambar. Kemudian, aku ke Upper Barraka Gardens untuk bergambar berlatar belakangkan panorama Grand Harbour. Selepas itu, aku ke bandar Sliema pula. Aku ke sana dengan menaiki bot sama yang aku naiki malam tadi. Tujuan ke sana adalah untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan kota Valletta seperti yang seringkali aku lihat pada poskad-poskad yang dijual di sini. Aku tidak berkesempatan untuk berbuat demikian semalam kerana sewaktu aku berada di Sliema semalam, hari sudah pun gelap.


Freedom Square, Valletta, Malta


Upper Barraka Gardens, Valletta, Malta


Upper Barraka Gardens, Valletta, Malta


Sliema, Malta


Panorama Valletta dari Sliema, Malta


Panorama Valletta dari Sliema, Malta

Selepas bergambar berlatarbelakangkan Valletta, aku singgah di sebuah kedai untuk membeli roti pastri. Kemudian, aku menaiki semula bot untuk kembali ke Valletta. Selepas itu, aku kembali ke hostel untuk mengemaskan barang-barang aku. Aku akan pulang ke Dublin hari ini. Selesai sahaja mengemas barang, aku turun ke bawah untuk bersarapan pagi. Selepas itu, barulah aku berjalan menuju ke terminal bas untuk menaiki bas ke Lapangan Terbang Malta Luqa.

Setibanya aku di lapangan terbang tersebut, aku terus mendaftar masuk, melalui zon pemeriksaan sekuriti & kemudiannya menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Selepas beberapa ketika menunggu, akhirnya semua penumpang dijemput masuk ke dalam pesawat. Penerbangan Ryanair itu pun berlepas meninggalkan Malta menuju ke Dublin tidak lama kemudian, iaitu lebih kurang pada pukul 11.45 pagi. Penerbangan memakan masa selama 3¾ jam. Lebih kurang pukul 2.30 petang waktu tempatan Ireland, aku pun tiba di Lapangan Terbang Dublin dengan selamat.

Pengalaman selama lebih kurang 3 hari di negara Malta sudah tentunya antara pengalaman yang tidak akan aku lupakan. Walaupun ekspedisi aku ini singkat sahaja, namun banyak yang telah aku pelajari. Malta sememangnya sebuah negara kepulauan yang amat cantik. Tidak pernah terlintas dalam pemikiran aku yang Malta merupakan negara yang kaya dengan sejarah & juga keindahan yang tersendiri. Tidak menyesal aku memijakkan kaki di negara itu. Jikalau boleh, aku ingin ke sana lagi.

TAMAT. Selepas ini, nantikan pula TRAVELOG DI CYPRUS... insyaAllah akan dipublish esok. :)


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP