Showing posts with label Beirut. Show all posts
Showing posts with label Beirut. Show all posts

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXII) - BeiRuT III

>> Monday, September 06, 2010



Hari 15: 31 MEI 2009

Hari ini adalah hari kedua aku di Beirut, Lubnan. Lebih kurang pukul 8.00 pagi, aku bangun untuk mandi membersihkan diri. Kemudian, aku berbual-bual sebentar dengan kedua-dua orang yang menumpang di bilik hostel yang sama. Seorang dari Korea Selatan & seorang lagi pula dari Belanda. Ramah juga mereka berdua. Mereka sempat menceritakan kepada aku pengalaman-pengalaman mereka di Beirut. Selepas berbual-bual dengan mereka, aku meminta diri untuk mendaftar keluar. Aku kemudiannya meletakkan beg aku di tepi kaunter untuk dijaga oleh pemilik hostel. Selepas itu, barulah aku memulakan pengembaraan aku di hari kedua kota Beirut ini.

Lokasi pertama aku pada hari ini adalah restoran Starbucks yang terletak di Nejmeh Square. Aku bersarapan pagi di sini. Ini sahajalah restoran yang aku mampu. Yang lain semuanya mahal. Sedang aku menikmati sarapan pagi aku di meja luar restoran ini, aku terlihat 3 orang yang mempunyai rupa paras orang Melayu sedang sakan bergambar di Nejmeh Square. Apabila mereka lalu bersebelahan aku, aku menegur mereka dengan memberi salam & kemudian bertanyakan sama ada mereka berasal dari Malaysia. Mereka terus menjawab salam & mengangguk sambil bersalam-salaman dengan aku. Hahaha. Tak sangka aku dapat berjumpa dengan orang-orang Malaysia di Beirut. Menurut mereka, mereka adalah pelajar Perubatan Tahun Akhir di Universiti Islam Antarabangsa. Mereka ke sini untuk melakukan elektif mereka di kem pelarian Palestin. Wah. Murni sungguh kerja mereka itu. Terharu aku. Selepas berbual-bual untuk beberapa minit, mereka meminta diri untuk menyambung perjalanan mereka.


Bersama pelajar-pelajar UIA di Beirut, Lubnan


Bersama pelajar-pelajar UIA di Beirut, Lubnan

Setelah selesai bersarapan pagi, aku pun memulakan pengembaraan aku. Aku berjalan menuju ke kawasan Hamra & Ras Beirut yang terletak agak jauh dari kawasan Solidere. Hampir sejam lamanya aku berjalan kaki di bawah terik cahaya matahari untuk menuju ke kawasan tersebut. Setelah penat berjalan, akhirnya aku tiba juga ke destinasi tujuan aku. Aku cuba bergambar dengan sebuah bangunan yang menerima kesan daripada Perang Lubnan-Israel 2006. Namun, aku dilarang berbuat demikian oleh seorang polis yang lalu di situ. Dia juga melarang aku daripada mengambil apa-apa gambar di sekeliling kawasan tersebut. Huhuhu. Seram pula rasanya aku. Aku mengangguk tanda patuh & kemudian, aku berjalan menyambung perjalanan aku.

Aku seterusnya menuju ke sebatang jalan raya yang terletak di pinggiran pantai yang menghadap Laut Mediterranean. Nama jalan tersebut ialah Avenue de Paris. Kawasan di sekeliling ini dinamakan Corniche Beirut. Panorama di kawasan ini tersangatlah menakjubkan dengan keindahan pantainya & juga pohon-pohon palma yang terdapat di sepanjang jalan tersebut. Aku tidak menyangkakan bahawa Beirut rupa-rupanya adalah sebuah kota yang amat cantik di sebalik stigma buruk yang diberi oleh masyarakat dunia akibat peperangan yang sering tercetus di sini. Kagum benar aku. Kawasan pinggiran pantai berbatu ini menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk berjogging, bermandi-manda & juga memancing ikan. Air lautnya benar-benar jernih.


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan

Sedang aku leka mengambil gambar di kawasan pinggiran pantai itu, aku secara tidak sengaja terambil gambar sekumpulan remaja lelaki tempatan yang sedang bermandi-manda di situ. Mereka lalu menjerit-jerit kepada aku & terus datang menyerbu aku. Aku cuba melarikan diri, namun mereka sempat mengepung aku & aku tidak dapat lari ke mana-mana. Mereka lalu memarahi & memaki-maki aku dalam Bahasa Arab & menunjuk-nunjukkan isyarat mengarahkan aku supaya membuang gambar-gambar mereka yang aku ambil. Aku tiada pilihan lain terpaksa membuang gambar-gambar tersebut di hadapan mereka. Selepas itu barulah mereka melepaskan aku. Sempat juga salah seorang daripada mereka menghentak belakang aku dengan tangan. Sial betul. Mujurlah mereka ramai. Dalam hati, aku menyumpah-nyumpah mereka semua.

Aku sudah tiada mood lagi untuk mengambil gambar selepas kejadian yang berlaku tadi. Terasa trauma pula. Aku lantas terus ke restoran MacDonald’s berhampiran untuk makan tengah hari. Agak lama juga aku berlepak-lepak di dalam restoran itu sambil terkenang kembali kejadian tadi. Hahaha.

Selepas hampir sejam aku di dalam restoran tersebut, aku berjalan menuju ke destinasi terakhir aku sebelum aku pulang semula ke hostel. Destinasi terakhir aku ialah Hamra Street. Jalan ini merupakan antara jalan-jalan yang terpenting di kota Beirut kerana peranannya sebagai antara hab ekonomi & politik di kota ini. Ketika era 1960-an & 1970-an, sebelum berlakunya perang saudara di Lubnan, jalan ini merupakan pusat aktiviti intelektual yang paling utama di Beirut kerana terdapatnya banyak kafe & teater di sepanjang jalan ini. Namun, setelah tamat perang, popularitinya kian menurun selepas terdapatnya banyak jalan-jalan lain yang lebih hidup.


Hamra Street, Beirut, Lubnan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXI) - BeiRuT II

>> Sunday, September 05, 2010



Setelah hilang lelah, aku pun keluar untuk menghabiskan sisa hari yang ada dengan berjalan-jalan di sekitar kota Beirut. Lokasi pertama yang aku tujui ialah Martyr’s Square. Di tengah-tengah kawasan dataran ini terdapat sebuah monumen patung yang diberi nama Monument of the Martyrs. Monumen tersebut dibina sempena memperingati nasionalis-nasionalis Lubnan yang telah digantung mati oleh tentera Turki Uthmaniyah di sini pada tarikh 6 Mei 1916 sewaktu kehangatan Perang Dunia Pertama. Para nasionalis tersebut berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada empayar itu. Kesan-kesan peluru & kecacatan yang terdapat pada monumen tersebut pada masa kini adalah kesan daripada Perang Saudara di Lubnan yang berlaku antara tahun 1975 hingga 1990.


Martyr’s Square, Beirut, Lubnan

Berhampiran dengan Martyr’s Square, terletak sebuah masjid yang merupakan masjid yang paling utama di kota Beirut. Nama masjid tersebut ialah Mohammad Al-Amin Mosque. Masjid ini dibina antara tahun 2002 hingga 2007 oleh bekas Perdana Menteri Lubnan yang bernama Rafik Hariri. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia sebelum masjid ini sempat disiapkan. Jenazah beliau dikebumikan di sebelah masjid ini. Mohammad Al-Amin Mosque yang mempunyai cirri-ciri senibina Turki Uthmaniyah ini telah dirasmikan pada bulan Oktober 2008 oleh anak kepada Rafik Hariri, iaitu Saad Hariri. Kubahnya yang berwarna biru laut sangat-sangat mengagumkan. Aku menunaikan solat jamak Asar & Zohor di dalam masjid tersebut.


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan

Selesai sahaja solat & berehat-rehat di dalam Mohammad Al-Amin Mosque tadi, aku menyambung perjalanan aku ke destinasi seterusnya, iaitu Nejmeh Square atau nama lainnya Place d’Etoile yang terletak di dalam kawasan tengah-tengah bandar yang diberi nama Solidere. Kawasan ini merupakan tumpuan utama penduduk-penduduk tempatan & juga pelancong-pelancong luar. Sewaktu Perang Saudara Lubnan, kawasan ini merupakan pusat kepada perang tersebut. Ia kemudiannya dibangunkan semula selepas tamat sahaja perang. Aku bersiar-siar sambil mengambil beberapa keping gambar di Nejmeh Square. Di tengah-tengah dataran ini terdapat sebuah menara jam yang agak unik bentuknya kerana ianya mempunyai ciri-ciri senibina Perancis.


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Bersama seorang kanak-kanak tempatan di Nejmeh Square, Beirut, Lubnan

Berhampiran dengan Nejmeh Square tadi, terdapat juga sebuah lagi masjid yang agak penting di kota Lubnan. Nama masjid tersebut ialah Al-Omari Mosque. Bangunan masjid ini pada mulanya merupakan sebuah gereja bernama Church of John the Baptist of the Knights Hospitaler yang dibina pada kurun ke-12 sewaktu Beirut berada di bawah pemerintahan Tentera Salib. Fungsinya hanya ditukar menjadi masjid pada tahun 1291 selepas kota ini ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah. Selain Al-Omari Mosque, terdapat sebuah lagi monumen penting di kawasan sekitar Nejmeh Square, iaitu Roman Baths & Cardo Maximus yang dibina sewaktu era pemerintahan Empayar Rom. Yang tinggal kini hanyalah runtuhan-runtuhannya sahaja.


Al-Omari Mosque, Beirut, Lubnan


Roman Baths & Cardo Maximus, Beirut, Lubnan

Tidak jauh dari Nejmeh Square, terletak gereja yang merupakan gereja yang paling utama di Beirut, iaitu St George’s Orthodox Cathedral. Ia dibina sekitar tahun 1715 & mengalami kerosakan yang teruk sewaktu kejadian gempa bumi pada tahun 1759. Ia kemudian diperbaiki semula. Sewaktu berlakunya perang saudara di Lubnan, gereja ini turut menerima kesannya. Gereja ini terletak betul-betul bersebelahan dengan Mohammad Al-Amin Mosque yang aku ziarah mula-mula tadi. Kedudukan kedua-dua rumah ibadat ini secara bersebelahan melambangkan kedamaian yang terpupuk antara penduduk-penduduk beragama Kristian & penduduk-penduduk beragama Islam di kota Beirut secara khasnya & di seluruh Lubnan secara amnya. Kagum benar aku melihatnya.


St George’s Orthodox Cathedral bersebelahan Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


St George’s Orthodox Cathedral, Beirut, Lubnan

Aku kemudiannya berjalan-jalan di sekitar kawasan Solidere yang sememangnya agak luas. Sedang aku berjalan-jalan, aku ditahan oleh 2 orang polis yang sedang meronda-ronda di kawasan tersebut. Mereka meminta aku membuka beg aku untuk melihat isi di dalamnya. Aku menurut sahaja arahan mereka. Setelah beg aku digeledah, mereka mengucapkan terima kasih. Sebenarnya, sewaktu aku berada di Beirut, seluruh kota itu sedang dikawal oleh polis. Mungkin kerana kota ini sering menjadi serangan pengganas, ditambah lagi selepas berlakunya Perang Hezbollah Lubnan-Israel pada tahun 2006. Di mana-mana sahaja ada polis. Aku yang berjalan berseorangan sambil membawa tripod yang besar sentiasa menjadi perhatian mereka, takut-takut jikalau aku membawa senjata atau bom. Hahaha. Bukan sekali dua aku ditahan oleh mereka, malah berkali-kali sehingga aku berasa meluat & tidak sabar untuk meninggalkan kota ini.

Sesudah penat mengelilingi kawasan Solidere, aku kembali semula ke hostel untuk berehat-rehat sementara menunggu masuknya waktu Maghrib. Kedua-dua orang yang menginap di bilik sama dengan aku masih belum pulang. Apabila keadaan di luar sudah hampir senja, aku berjalan menuju ke Mohammad Al-Amin Mosque untuk solat Maghrib berjemaah bersama-sama dengan jemaah tempatan & seterusnya aku menyambung solat Isyak dijamakkan sekali dengan solat Maghrib tadi. Selesai solat, aku mengambil gambar bersama-sama dengan masjid ini dalam suasana malam pula. Setelah itu, aku ke sebuah kedai untuk membeli sesuatu untuk dijadikan makan malam. Tidak ada restoran murah yang aku jumpai di sini. Semuanya restoran-restoran mewah.


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan

Setelah itu, aku pun pulang semula ke hostel. Aku mandi membersihkan diri & kemudiannya terus melelapkan mata. Aku menyedari kepulangan kedua-dua orang yang menumpang bilik tersebut, namun aku terlalu penat untuk berbual-bual dengan mereka. Mungkin esok sahaja.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXX) - BeiRuT I & JeiTa GRoTTo

>> Friday, September 03, 2010



Beirut adalah ibu negara Lubnan. Ia juga merupakan bandar yang terbesar & bandar pelabuhan yang utama di negara ini. Bandar ini terletak di pinggiran Laut Mediterranean. Penduduknya berjumlah 1.25 juta orang. Menurut sejarah, Beirut pada mulanya berada di bawah pemerintahan Parsi, Greek, Armenia, Assyria, Rom & seterusnya Byzantine sehinggalah ia akhirnya jatuh ke tangan orang-orang Islam pada tahun 635. Beirut kemudiannya dirampas oleh kerajaan tentera Salib pada tahun 1110 yang kekal memerintah di sini sehingga tahun 1291. Beirut seterusnya ditadbir pula oleh Empayar Turki Uthmaniyah sehingga kejatuhan empayar tersebut pada awal kurun ke-20. Sewaktu berada di bawah pemerintahan empayar itu, Beirut telah dijadikan ibu kota wilayah Syria pada tahun 1888. Pada waktu itu, kota ini sudah pun membangun & mempunyai hubungan perdagangan yang rapat dengan negara-negara Eropah & Amerika Syarikat.

Selepas tamatnya riwayat Empayar Turki Uthmaniyah, Beirut bersama-sama dengan bumi Lubnan jatuh ke bawah pentadbiran Perancis sehinggalah negara Lubnan mencapai kemerdekaannya pada tahun 1943. Beirut kemudiannya dijadikan ibu kota negara yang baru dibentuk itu. Ia seterusnya menjadi pusat intelektual yang utama dalam dunia Arab. Bandar ini juga merupakan pusat kewangan, komersil & pelancongan utama di rantau tersebut sehinggalah tercetusnya Perang Saudara di Lubnan pada tahun 1975. Sewaktu Perang Saudara yang berlangsung sehingga tahun 1990, bandar Beirut seolah-olah terbahagi kepada dua. Penduduk Islam berkumpul di sebelah barat & penduduk Kristian berkumpul di sebelah timur. Di tengah-tengah bandar pula yang sebelum itu merupakan pusat komersil & aktiviti yang sibuk dibiarkan lengang tidak berpenghuni.

Selepas tamatnya Perang Saudara pada tahun 1990, barulah Beirut dibangunkan semula. Perang antara tentera Hezbollah Lubnan & Israel pada tahun 2006 sekali lagi membawa kehancuran kepada kota Beirut. Mujurlah perang tersebut hanya berlangsung selama sebulan sahaja. Selepas itu, Beirut mulai aman & kembali menjadi pusat pelancongan, kebudayaan, intelektual, perniagaan, fesyen & media yang utama di rantau Arab.


Peta kedudukan Beirut dalam negara Lubnan

Selepas sahaja aku keluar dari hostel tersebut, aku terus menahan teksi di tepi jalan raya. Aku hendak menuju ke sebuah kawasan tarikan pelancong yang bernama Jeita Grotto. Aku bertanyakan harga tambang kepada pemandu teksi itu. Pemandu teksi itu malangnya kurang fasih berbahasa Inggeris. Oleh itu, kami terpaksa meminta pertolongan 2 orang penumpang di tempat duduk belakang teksi itu untuk menjadi perantara. Daripada apa yang penumpang itu katakan, harga tambangnya agak murah. Cuma 200.00 Pound yang bersamaan dengan 3.00 Euro. Aku lantas terus masuk ke dalam teksi itu & duduk di kerusi bersebelahan pemandu. 2 orang penumpang di belakang turun keluar beberapa minit kemudian. Tinggallah aku berdua dengan pemandu teksi itu.

Setibanya kami di Jeita Grotto yang mengambil masa setengah jam perjalanan dari pusat bandar Beirut, aku pun mengeluarkan wang dari dompet aku untuk diberikan kepada pemandu teksi itu. Akan tetapi, rupa-rupanya telah berlaku salah faham. 2 orang penumpang tadi berkata yang pemandu teksi itu meletakkan harga 200.00 Pound, yang bersamaan dengan 3.00 Euro. Akan tetapi, pemandu teksi itu berkata yang dia telah meletakkan harga 20.00 Euro (bersamaan dengan 1,200.00 Pound) & bukannya 200.00 Pound. Aku sendiri menjadi keliru. Aku rasa mungkin pemandu itu sengaja hendak mengenakan aku. Aku sudah masak dengan perangai orang-orang Arab. Kebanyakannya sama sahaja. Kaki penipu.

Aku akhirnya berkata kepadanya yang aku hanya akan membayar 20.00 Euro sekiranya dia sanggup menunggu aku di situ sehingga aku habis melawat & membawa aku pulang semula ke pusat bandar Beirut. Tetapi, dia tidak faham apa yang aku cuba katakan. Dia lalu memanggil salah seorang lelaki yang sedang berlalu di situ untuk menjadi perantara. Setelah penat berbincang, pemandu itu berkata yang dia tidak mahu menunggu aku & dia tetap mendesak aku untuk membayarnya 20.00 Euro. Aku betul-betul berasa bengang. Akhirnya, aku menyerah kalah. Aku membalingkan wang 20.00 Euro aku ke mukanya & terus keluar dari teksi itu. Aku haramkan wang 20.00 Euro itu sekiranya dia menipu aku. Allah SWT menjadi saksi aku.

Dalam keadaan yang masih marah, aku berjalan menuju ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk ke Jeita Grotto. Setelah membeli tiket, aku menaiki kereta kabel untuk ke tempat itu. Jeita Grotto adalah sebuah kompleks gua batu kapur yang terletak di Lembah Nahr al-Kalb. Ianya adalah antara tempat pelancongan yang utama di negara Lubnan. Kompleks gua tersebut terbahagi kepada 2 bahagian gua yang berasingan, iaitu gua bahagian atas & gua bahagian bawah.


Jeita Grotto, Lubnan


Kereta kabel di Jeita Grotto, Lubnan


Kereta kabel di Jeita Grotto, Lubnan


Jeita Grotto, Lubnan

Gua bahagian atas dijumpai pada tahun 1958 & terletak 60 meter di atas gua bahagian bawah. Gua bahagian atas ini boleh dilawati dengan melalui laluan yang telah disediakan di dalamnya. Panjangnya ialah 2.1 km. Namun, hanya 0.75 km sahaja yang dibenarkan untuk dilalui oleh pelancong. Terdapat beberapa ruang di dalam gua bahagian atas ini. Ruang yang terbesar adalah setinggi 120 meter. Di dalamnya juga terdapat stalaktit yang terbesar di dunia.


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan

Gua bahagian bawah dipercayai pernah didiami oleh manusia sewaktu zaman pra-sejarah. Ianya dijumpai oleh Reverand William Thompson pada tahun 1836. Gua bahagian bawah ini hanya boleh dilawati dengan menaiki kemudahan bot yang disediakan kerana ia dipenuhi dengan air sungai bawah tanah. Sungai tersebut merupakan antara sumber air utama penduduk Beirut pada masa kini. Panjang gua bahagian bawah ini adalah sejauh 6.2 km. Di bahagian luar gua bahagian bawah, terdapat sebuah monumen aneh yang diberi nama The Guardian of Time.


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Monumen The Guardian of Time di Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan

Kompleks Jeita Grotto kini terpilih sebagai salah satu daripada 28 finalis untuk mendapat pengiktirafan sebagai ‘New 7 Wonders of Nature’. Keputusan akhir hanya akan diketahui pada tahun 2011 nanti. Kecantikan & keajaiban yang terdapat dalam kedua-dua gua tersebut benar-benar membuatkan aku insaf. Begitu besar sekali kuasa Allah SWT sehingga boleh mencipta gua yang sebegitu indah. Aku berasa seperti hendak terus berada di dalam gua-gua tersebut.

Pelancong-pelancong tidak dibenarkan membawa kamera masuk ke dalam gua. Kamera-kamera perlu ditinggalkan di dalam loker-loker yang disediakan di bahagian luar. Ini kerana ditakuti cahaya dari kamera boleh meruntuhkan stalaktit-stalaktit yang terdapat pada bumbung gua-gua tersebut. Selain kereta kabel, para pelancong juga turut boleh menggunakan keretapi kecil yang menghubungkan kawasan kaunter tiket, gua bahagian bawah & gua bahagian atas. Pelancong juga sebenarnya boleh berjalan kaki melalui jalan yang disediakan.


Keretapi kecil di Jeita Grotto, Lubnan

Selepas puas menyaksikan keindahan kedua-dua gua tersebut, aku pun kembali ke kawasan bawah. Aku tercari-cari teksi yang kosong. Namun, semuanya berpenumpang. Aku akhirnya meminta pertolongan pekerja yang berkerja di pejabat pelancong untuk menelefon syarikat teksi untuk menghantar sebuah teksi ke situ. Tidak berapa lama kemudian, teksi yang dimaksudkan pun tiba. Aku lantas terus masuk ke dalamnya. Aku memintanya menghantar aku kembali ke hostel aku. Bayaran yang dikenakan ialah 30,000 Pound. Agak mahal. Namun, lebih murah daripada teksi yang aku naiki untuk ke Jeita Grotto sebelum itu. Sesampainya aku di hostel aku, aku terus membawa beg aku masuk ke dalam bilik yang sudah boleh dimasuki. Aku berkongsi bilik dengan 2 lagi orang. Namun, kedua-dua mereka tiada di dalam bilik pada waktu itu. Setelah meletakkan beg-beg aku di situ, aku berehat-rehat sebentar menghilangkan lelah.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP