Showing posts with label Hadith. Show all posts
Showing posts with label Hadith. Show all posts

Friday, December 15, 2017

Bermuka-muka..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Sifat bermuka dua atau bermuka-muka adalah sifat yang sangat buruk di sisi moral dan agama. Sifat sedemikian
apabila di hadapan kita dia cakap sekian, tetapi di belakang kita dengan orang lain dia cakap lain pula.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mencela sesiapa yang mempunyai sifat yang keji ini. Dari Abu Hurairah
Radhiyallahu `anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam telah bersabda:

إنَّ شرَّ الناسِ ذو الوجهَينِ الذي يأتي هؤلاءِ بوجهٍ وهؤلاءِ بوجهٍ

“Sesungguhnya seburuk-buruk manusia ialah yang bermuka dua, yang mana dia datang pada suatu kaum dengan
muka sekian, dan dengan kelompok yang lain dia bermuka yang lain.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu `anhu bahawa Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam telah bersabda:

إن من شَرّ الناسِ عندَ اللهِ يومَ القيامةِ ذا الوَجْهَينِ

“Sesungguhnya daripada seburuk-buruk manusia di sisi ALLAH pada Hari Kiamat ialah mereka yang bermuka dua.”
(HR at-Tirmidzi, katanya hasan sahih)

Dari Muhammad bin Zaid bahawasanya ada beberapa orang berkata kepada datuknya
`Abdullah bin `Umar Radhiyallahu `anhuma:

إنا نَدخُلُ على سُلاطينِنَا ، فنقولُ لهم خِلاف مانتكَلَّمُ إذا خَرَجْنا من عِندِهم
قال : كنا نَعُدُّ هذا نِفاقً على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Sesungguhnya apabila kami datang ke hadapan para penguasa maka kami mengatakan kepada mereka lain
dengan apa yang kami katakan apabila kami keluar dari hadapan mereka.”

Kemudian `Abdullah bin `Umar berkata: “Pada masa Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam,
kami menganggap yang demikian itu termasuk perbuatan nifaq.” (HR al-Bukhari)

Berdasarkan hadith-hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa sifat bermuka dua atau bermuka-muka
sangat dibenci oleh Allah Ta`ala, sehingga Nabi Muhammad Shallallahu `alaihi wasallam mengatakan
bahawa manusia yang bersifat sedemikian adalah seburuk-buruk manusia.

Manusia yang bermuka dua atau bermuka-muka ini boleh jadi bersifat demikian dengan tujuan untuk:

1. Melagakan manusia,
2. Meraih keuntungan dari dua pihak atau lebih,
3. Perhatian atau sokongan dari dua pihak atau lebih,
4. Supaya dipandang mulia oleh dua pihak yang berbeza atau lebih,
5. Menyembunyikan kebenaran,

Sifat begini mesti dihindari terutama dari ia wujud dalam diri kita sendiri. Menyedari bahawa kemungkinan
terdapat sebahagian ahli masyarakat kita yang bermuka dua, maka sewajarnya kita sentiasa berhati-hati
dengan maklumat dan berita yang kita kongsikan dengan seseorang. Sifat bermuka dua sangat memudharatkan
masyarakat, terutama jika sifat itu wujud dalam kalangan orang yang memimpin masyarakat.

Semoga Allah Ta`ala memelihara kita semua, amin…

Friday, March 10, 2017

Cinta...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Cinta tak dimusuhi agama, tak dilarang dalam syariat.

Cinta adalah urusan hati sementara hati
adalah urusan ILAHI.

Cinta bukan dosa,
ia adalah fitrah manusia.

Yang harus kita lakukan
adalah mengendalikan
anggota tubuh kita
agar tidak terperosok
ke dalam hal-hal
yang diharamkan~Nya.

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu, pembantu Rasulullah,
dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda,

"Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai
untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Friday, March 27, 2015

Benar...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. daripada Nabi SAW bersabda,
"Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan (taat) dan kebaikan itu pula membawa ke syurga.
Seseorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar.
Dan bahawa kedustaan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan sesungguhnya
seseorang itu sentiasa berdusta sehingga ditulis (dihukum) di sisi Allah sebagai orang yang bersifat dusta.”
[ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ]

Pengajaran Hadith

1. Benar merupakan sifat yang mulia dan menjadi sifat wajib bagi Rasul-rasul. Begitu juga dikurniakan
balasan yang baik bagi siapa yang melazimi kebenaran. Mereka digelar sebagai al-Siddiqin.
Benar ini dibahagikan kepada tiga:

i. Benar hati dan iktikad.
ii. Benar perbuatannya.
iii. Benar perkataannya.

2. Benar yang pertama adalah yang paling sukar diikuti dengan yang kedua. Ini kerana hati yang merupakan
raja kepada badan begitu mudah terpengaruh dan menerima sebarang anasir sama ada daripada pengaruh syaitan
atau nafsu. Justeru, hendaklah kita melazimi sifat benar supaya kehidupan menjadi lebih harmoni.

3. Benar dalam percakapan, janji, perbuatan atau tindakan dalam perkhidmatan atau tugas amat diperlukan.
Ini kerana benar boleh merungkai banyak kemelut kehidupan. Bukan itu sahaja tetapi dapat menenangkan hati
hati-hati manusia.

4. Kita hendaklah sentiasa bercakap benar kerana benar pendorong kebaikan dan menjauhkan diri
daripada berdusta kerana dusta pendorong kejahatan.

5. Fadilat (kelebihan) benar (as-Sidiq) membawa keuntungan di dunia dan di akhirat,
sebaliknya pula dusta membawa kerugian di dunia dan di akhirat.


Wallahu a'lam


Friday, February 20, 2015

Ujian kesabaran..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Daripada Anas R.A. katanya, telah bersabda Rasulullah S.A.W.,
“Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia.
Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya
di hari kiamat. Nabi S.A.W. bersabda, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian,
sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan.
Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak
redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” [Riwayat at-Tirmizi]

Huraian Hadith:

1. Orang beriman akan diuji menurut tahap keimanan dan kedudukan mereka di sisi Allah.

2. Bersabar menghadapi bala atau penyakit akan menghapuskan dosa.

3. Di antara tanda-tanda seseorang itu disayangi Allah ialah bala ujian yang ditimpakan ke atasnya.

4. Oleh itu kita wajib bersabar atas kesusahan yang menimpa kita agar
tidak ditimpa bala dua kali, yang keduanya ialah kerugian luput pahala.

5. Seseorang yang sabar menghadapi kesusahan hidup adalah sebagai tanda
bahawa dia dikasihi Allah. Orang yang tidak dikasihi Allah dilambatkan
balasannya iaitu sampai ke hari kiamat.

6. Seseorang yang bersabar menghadapi kesusahan akan diberi ganjaran
yang setimpal dengan kesusahan yang dihadapi itu.

7. Seseorang yang ingin menjadi hamba yang dikasihi Allah dia hendaklah
bersedia menerima ujian yang diturunkan Allah kepadanya, sebaliknya
seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah dia akan dibenci Allah.

Wallahu a'lam


Friday, November 21, 2014

Adab bertandang...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu datang ke rumah orang berhadapan pintunya, tetapi datanglah dari bahagian tepinya dan
mintalah izin, jika diizinkan untuk kamu, masuklah, kalau tidak, baliklah."
[Riwayat At-Tabrani]

Huraian Hadith:

1. Semulia-mulia manusia adalah mereka yang beradab dan tahu
tata tertib setiap perkara yang dilakukannya.

2. Islam mengambilkira segala hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia
termasuklah aspek hubungan sosial mereka dan mengajarkan adab-adab yang
tertentu demi mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.

3. Adab dalam berziarah contohnya disebutkan secara terperinci iaitu:

a) Memberi salam terlebih dahulu.

b) Mengetuk pintu perlahan-lahan dan tidak melebihi tiga kali.

c) Berdiri bersebelahan pintu kerana dibimbangi jika
yang membuka pintu itu adalah orang yang bukan muhrim.

d) Tidak masuk melainkan setelah mendapat keizinan.

e) Tidak mengintai atau mengendap ke dalam rumah.

f) Duduk di tempat yang disediakan kerana tuan rumah lebih
maklum tentang keadaan rumah mereka.

4. Berkunjung sebagai tetamu hendaklah memilih masa yang sesuai agar ia tidak
menimbulkan keberatan kepada tuan rumah lebih-lebih lagi jika kedatangan tersebut
didapati mengganggu urusan penting yang hendak dilaksanakannya.

Wallahu a'lam..

Friday, November 14, 2014

Pesanan buat umat akhir zaman..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata,
"Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami
dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah,
Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami."
Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah
dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang
hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat
perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah
para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan
mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham
dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya
tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." (H.R. Abu Daud dan Tirmizi)


KETERANGAN

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah s.a.w.
bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau
dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa
yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam hadis, iaitu:

Pertama: Hendaklah ia menlazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan
segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan~Nya.

Kedua: Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya
mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah
Nabi s.a.w. dan sunnah-sunnah kulafa Ar Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai
sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Ketiga: Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah para kulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin
(Abu Bakar, 0mar, Osman dan Ali r.a.) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala,
iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalan ahli sunnah waljamaah yang mana hanya penganut fahaman
ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga
pada hari kiamat nanti.

Keempat: Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah
kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama.
Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bid'ah menurut
pengertian syarak (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid'ah menurut pengertian loghat
atau bahasa sahaja (iaitulah bid'ah hasanah).

Wallahu a'lam..

Diambil dari Kitab Hadis Akhir Zaman

Friday, February 14, 2014

Larangan Menzalimi Anak Yatim


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين



Diriwayatkan, Allah S.W.T. berfirman kepada Nabi Daud a.s.
"Wahai Daud, terhadap anak yatim, bersikaplah seperti bapa yang pengasih; terhadap para janda,
bersikaplah seperti suami yang penyayang. Ketahuilah, kamu akan menuai apa yang telah kamu tanam.
Sebab, kamu pasti mati serta meninggakan anak dan isterimu."


Berkaitan dengan memelihara harta anam yatim dan kezaliman, banyak hadith diriwayatkan yang sejalan
dengan ayat di atas yang berisi ancaman kuat dan peringatan bagi manusia yang menzaliminya. Ada satu
hadith yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Hindarilah tujuh perkara yang akan membinasakan."

Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apa yang tujuh perkara itu?"

Baginda menjawab: "Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah untuk dibunuh
kecuali yang dibenarkan, memakan barang hasil riba, memakan harta anak yatim...."


Dalam Sahihnya, Ibn Hibban menyebutkan bahawa dari sejumlah surat Nabi s.a.w. yang dikirimkan
melalui Umar Ibn Hazm kepada penduduk Yaman berbunyi:

"Dosa-dosa besar yang paling besar pada hari kiamat adalah menyekutukan Allah, membunuh orang
mukmin tanpa kebenaran, lari dari medan perang di jalan Allah pada hari yang melelahkan, derhaka
kepada kedua-dua orang tua, tuduhan berzina kepada perempuan suci, mempelajari sihir, memakan
hasil riba dan memakan harta anak yatim."


Dalam hadith Mikraj yang diriwayatkan oleh Imam Muslim disebutkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Tiba-tiba aku melihat orang-orang yang dilaknat. Sementara yang lain membawa batu dari api,
menelannya, lalu api itu keluar dari dubur mereka. Aku lantas bertanya kepada Jibril, 'Ya Jibril,
siapakah mereka?' Jibril menjawab, 'Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim
secara zalim. Sesungguhnya mereka benar-benar memakan api ke dalam perut mereka.'"


Sementara dalam Tafsir al-Qurtubi dinukil hadith dari Abu Sa'id al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Pada malam Israk aku melihat satu kaum yang memeiliki bibir seperti bibir unta. Lalu bibir mereka
ditarik dan dimasuki batu dari api ke dalam mulut mereka. Lalu api itu keluar dari Dubur mereka.
Aku lalu bertanya, 'Ya Jibril, siapakah mereka?" Jibril menjawab, 'Mereka adalah orang-orang yang
memakan harta anak-anak yatim secara zalim."


Wallahu a'lam


**Karangan Imam al-Ghazali dalam Kitab Mendidik Hati Mendekati Ilahi


Friday, December 20, 2013

Bahagia di dunia dan akhirat


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين

Abdullah bin Amru bin Ash r.a. berkata,
"Orang yang memiliki 5 perkara ini tentu bahagia di dunia dan akhirat, iaitu:

1. Ia suka membaca lafaz,

لاَ اِلَهَ اِلَّا اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ


2. Apabila ditimpa musibah, maka ia mengucapkan,

اِنَّا ِللهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ وَلَاحَوْلَ وَلَا قُوَّةَ اِلَّا بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ


3. Apabila diberi nikmat karena bersyukur atas nikmat yang ia terima
maka ia membaca,

الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَا لَمِيْنَ


4. Apabila memulai sesuatu (ucapan atau perbuatan), ia membaca,

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ


5. Apabila banyak dosa, ia membaca,

اَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ


Hal itu sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.

"Jangan banyak bicara, selain zikir kepada Allah, karena sesungguhnya banyak berbicara
selain zikir adalah penyebab hati yang keras dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia dari
(rahmat) Allah adalah orang yang memiliki hati yang keras."
(HR Tirmidzi)


Wallahu a'lam

Al-Faqir ila Rabbi


Friday, May 03, 2013

Ciri-ciri Pemimpin yang adil


بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Abu Hurairah RA berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. : "7 golongan yang akan dinaungi oleh ALLAH SWT pada hari tiada naungan melainkan di bawah naungan~NYA, Iman yang adil, pemuda yang hidupnya di dalam ibadah...” (Riwayat Imam Bukhari)

Huraian Hadis :

Hadis Riwayat Bukhari ini telah menerangkan bahawa seorang Pemimpin yang adil dalam turutan pertama dari tujuh kelompok manusia utama yang akan mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat nanti membuktikan bahawa peranan sebagai pemimpin yang bersikap adil sangat dititikberatkan. Ini adalah punca utama untuk mewujudkan suasana yang harmoni di dalam sesuatu tampok kepimpinan.

Pemimpin mestilah memiliki akhlak dan ciri-ciri seperti berikut:

1. Dia mestilah seorang yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan menjadikan Ulama sebagai tempat meminta pandangan, dan juga mengharapkan keredhaan ALLAH dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Mempunyai hati yang bersih, jauh daripada penyakit jiwa yang merosakkan amal dan usahanya.

2. Memiliki akal yang kuat, berhikmah, cendekiawan, bijaksana, berpengalaman, berpandangan tajam, ilmu yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari segenap sudut, cepat memahaminya dan cepat menggunakannya sebaik mungkin.

3. Berakhlak dengan sifat al-hilm (lembut). Berdasarkan kepada dalil Al-Quran; Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menehan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Al-Imran ayat 134)

4. Berani, bermaruah, keberanian yang harus dimiliki ialah ketetapan dan ketahanan hati, taat kepada ALLAH, tidak ada wahn (cintakan dunia dan takut mati), berani berterus terang dalam menyatakan yang haq, pandai menyimpan rahsia, sanggup mengakui kesilapan, insaf terhadap diri dan mampu mengawal kemarahan

Firman ALLAH SWT yang maksudnya : “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa ALLAH mengampunimu? Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nur ayat 22)

5. Bersikap as-siddiq (benar) dalam perkataan dan perbuatan. Tawadhu, tidak membanggakan diri kepada manusia. Hatinya tunduk dan patuh pada al-haq (ALLAH).

6. Memaafkan dan ihsan terhadap perbuatan keji orang lain terhadap kita. Para pemimpin biasanya terdedah kepada pelbagai kecaman dengan beraneka ragam manusia. Selalunya gangguan dan serangan ditujukan kepada orang yang dipimpin melalui diri pemimpin. Jadi, wajiblah pemimpin menghiasi dirinya dengan sifat pemaaf, menahan kemarahan dan ihsan asalkan tidak membawa kepada kerendahan, kehinaan ataupun kerosakan yang menimpa maslahat syariat.

7. Menepati janji dan memenuhi sumpah setia. Akhlak ini melahirkan thiqqah (percaya) dalam suasana amal, ketenteraman, tolong-menolong dan membawa hasil.

8. Sabar, kerana pemimpin pastinya akan berhadapan dengan kesukaran, dipenuhi dengan perkara yang berlawanan dengan kehendak hawa nafsu, penuh dengan onak, racun, rintangan, bencana dan ujian.

9. Bersifat dengan al-iffah (suci hati jiwa dan amal) dan al-karam (pemurah dan tidak bakhil). Dengan sifat ini pemimpin tidak berminat dengan harta benda yang melemahkan kemahuan dan tidak sesuai dengan usaha serta jihad besar dalam menentang musuh-musuh ALLAH. Pemimpin mestilah menjadi qudwah (contoh) melalui sifat pemurah dan mengutamakan kepentingan orang lain daripada kepentingan sendiri.

10. Adil dan insaf (terutama terhadap diri sendiri). Sifat ini amat penting kepada pemimpin dan mad’u dalam amal jamaie kerana setiap individu akan merasa tenteram terhadap haknya dan menginsafinya. Ini telah disebutkan Hadis di atas tentang adil.

11. Bersifat wara’ dan zuhud. Ini dapat menjauhi syubhat, meninggalkan perkara yang mengandungi dosa kerana takut terjebak ke dalamnya. Dia sentiasa bermuhasabah dalam segala hal dan setiap waktu.

12. Tidak mengungkit dan memperkatakan kebaikan diri sendiri. Jangan mengharapkan pujian dan sanjungan manusia dan tidak memuji diri sendiri atas segala usaha yang dilaksanakan dalam berdakwah.

13. Memelihara perkara yang dimuliakan oleh ALLAH (Hurumatillah). Setiap masa dalam jamaah mesti menjadi pengawal dan penjaga yang sentiasa sedar, berwaspada dan dipercayai dalam memelihara segala kemuliaan ALLAH pada segenap ajaran Islam supaya tidak timbul pencabulan hak atau perbuatan melampaui batas.

14. Kesejahteraan hati, tidak menghiraukan umpatan dan mengadu domba di antara manusia. Perkara ini jika dilayan akan memberi ruang yang luas untuk dimasuki syaitan, memarakkan kebencian dan permusuhan hingga akhirnya melahirkan perpecahan dalam jamaah.

15. Keazaman yang kuat dan tawakkal yang tinggi kepada ALLAH. Pemimpin terdedah kepada pelbagai biah (suasana), peristiwa dan bebanan yang mempunyai keputusan yang penting dan besar. Pemimpin dituntut menghadapi semuanya dengan azam, kekuatan, hikmah, tanpa kelemahan, keraguan dan menyerah kalah. Sentiasa berbaik sangka dengan ALLAH kerana DIAlah yang Maha Berkuasa di atas setiap perkara.

RASULULLAH S.A.W BERSABDA : "SIAPA SAJA YANG MEMIMPIN TETAPI MENUTUP PINTUNYA DARIPADA RAKYAT, DAN DIA MATI DALAM KEADAAN MENIPU RAKYATNYA, MAKA ALLAH HARAMKAN DIRINYA DARIPADA MEMASUKI SYURGA. (RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM)

Wallahu a'lam...

Dikutip dari Masjid Al-Itisam

Friday, January 04, 2013

Ikhlaskan niat


بسم الله الرحمن الرحيم

Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Abu Dzar r.a., "Hai Abu Dzar, perbaharuilah kapalmu/perahumu, kerana lautan itu sangat dalam. Ambillah perbekalan secara sempurna, kerana perjalanan itu jauh sekali. Kurangilah beban, kerana tanjakan itu bagaikan gunung, dan ikhlaskanlah amal, kerana Zat yang menilai baik dan buruk Maha Melihat.

Keterangan

Abu Dzar bererti bapanya Dzar, nama sebenarnya adalah Jundub bin Jinadah.

Perbaharui perahumu maksudnya yakni ikhlaskanlah niat dalam segala amal yang engkau kerjakan, agar memperoleh pahala dan selamat dari siksa Allah.

Maksudnya kehidupan dunia itu bagaikan samudera yang dalam, penuh dengan gelombang maksiat, godaan, halangan dan rintangan.

Perbekalan maksudnya takwa, yakni melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan~Nya.

Maksudnya perjalanan dunia menuju akhirat itu sangat jauh, jalannya terjal, penuh liku-liku dan melelahkan sehingga sulit untuk ditempuh.

Kurangi beban bermaksud sederhanakanlah urusan dunia.

Tanjakan menuju akhirat itu bagaikan tebing yang tinggi dan curam.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Mu'adz bin Jabal r.a., "Ikhlaskanlah niat, hal itu tentu cukuplah bagi amalmu yang sedikit."

Maksudnya, amal itu harus disertai niat yang ikhlas. Tanpa niat yang ikhlas, amal seseorang tidak akan diterima, meskipun banyak. Tapi dengan ikhlas, amal sedikit pun besar ertinya di sisi Allah.

Sebuah syair menyatakan:

Manusia wajib bertaubat.
Tapi meninggalkan dosa itu lebih wajib.
Sabar dalam menangani musibah itu sulit.
Tapi hilangnya pahala sabar lebih sulit.
Perubahan zaman itu memang sesuatu yang aneh.
Tapi kelalaian manusia lebih aneh.
Peristiwa yang akan datang terkadang terasa dekat.
Tapi kematian itu lebih dekat.

Dari Anas, pada suatu hari Nabi keluar. Beliau memegang tangan Abu Dzar dan berkata, "Tahukah Engkau bahawa di hadapan kita ada tanjakan seperti tebing yang curam? Tidak akan ada yang bisa mendakinya, kecuali orang yang ringan (tidak membawa apa-apa)." Seorang laki-laki berkata, "Wahai Rasulullah, apakah saya termasuk orang yang ringan atau orang yang berat?" Nabi menjawab, "Apakah engkau punya makanan untuk sehari?" Laki-laki itu menjawab, "Ya." Lalu Nabi bersabda, "Apakah engkau punya makanan untuk besok?" Ia menjawab, "Ya."

Lalu Nabi bersabda, "Apakah masih ada untuk hari besok?" Ia menjawab, "Tiada ada." Nabi bersabda, "Apabila engkau memiliki makanan buat tiga hari maka engkau termasuk orang-orang yang berat."

Wallahu a'lam..

Friday, October 14, 2011

Takut dan bimbang


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin~Nya dapat kita bersua lagi di ruang ini. Selawat dan salam kita ucapkan buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan didoakan semoga teman semua di dalam keadaan sihat sejahtera.

Setiap yang bernafas pasti mati. Hidup di dunia ini sementara dan sekejap sahaja. Kalau senang pun sementara dan sekejap. Kalau susah pun sementara dan sekejap. Akhirat pula jauh lebih besar dan kekal buat selama-lamanya.

Kalau senang ertinya mendapat syurga yang merupakan kebahagiaan hakiki yang tidak dapat dibayangkan. Kalau susah pula ertinya neraka yang merupakan seksaan hakiki. Azabnya amat dahsyat yang tidak dapat dibandingkan dengan apa pun. Api neraka bukan macam api lilin. Api lilin yang paling kecil pun tidak upaya siapa pun yang menahan kepanasannya. Sedangkan seringan-ringan api neraka, berpijak atas baranya sahaja sudah mendidih otak di kepala. Kalau memahami hakikat ini janganlah memburu kesenangan yang sedikit di dunia ini, hingga sanggup menderhakai Tuhan. Dan janganlah kerana takutkan kesusahan yang sedikit di dunia ini, hingga sanggup derhaka kepada Tuhan.

Di sinilah perlunya kita rasa takut dan bimbang terhadap Tuhan yang diri kita dalam genggaman~Nya. Kita tidak tahu apa sukatan Tuhan yang bersifat maknawiyah ke atas kita. Semoga dengan kekal rasa takut dan bimbang, maka Tuhan rahmati kita hingga di hari pertemuan dengan~Nya.
  • Ada manusia yang Tuhan beri petunjuk dan pimpinan~Nya. Dia berada dalam kebenaran dan kebaikan dari awal hingga akhir hidupnya.
  • Ada manusia yang di awal hidupnya dalam kesesatan. Manakala di akhir hidupnya Tuhan beri petunjuk dan pimpinan~Nya dan berada dalam kebenaran.
  • Terdapat manusia yang di awal hidupnya dalam kebenaran tetapi di akhir hidupnya dalam kesesatan.
  • Terdapat pula manusia yang dari awal hingga akhir hidupnya dalam kesesatan.
Kita tidak tahu kategori mana yang menimpa nasib kita. Nasib kita belum diketahui. Sanggupkah kita berhadapan dengan Allah SWT di akhirat kelak dalam kesesatan. Sedangkan dunia ini ibarat mimpi saja berbanding akhirat. Sebab itu Allah SWT ulang banyak kali dalam Al Quran dengan maksud, "Dan akhirat itu lebih baik dan kekal." Lebih baik yang Allah SWT istilahkan itu tidak boleh di fahamkan maksudnya menurut bahasa. Lebih baik yang Allah SWT maksudkan itu menurut pengertian~Nya. Kalau lebih baik itu disudut sedapnya rasa makanan, kelazatan di akhirat nanti tidak dapat dibayangkan, malah rasa lazat itu kekal hingga beribu tahun. Hingga kelazatan makanan itu berlapis dan bertindih. Ini belum lagi digabungkan dengan kelazatan dari sumber yang tidak terbatas banyaknya.

Allah, Pencipta segalanya dalam diri kamu dan di sekitar kamu, memiliki kekuasaan yang tak terbatas. Allah menciptakan kita dan memerintahkan kita untuk menghormati~Nya dan berlaku baik seperti yang dituntun dalam Al Qur'an. Yang dituntut oleh Allah dari kita adalah ibadah. Puasa, solat, bersyukur kepada Allah, sabar, dan melakukan amal saleh adalah beberapa bentuk ibadah.

Tetapi sebahagian besar orang, meskipun sedar dengan tanggung jawab mereka, tidak mahu menerimanya. Kerana kesombongan mereka yang parah, mereka merasa sulit untuk tunduk kepada Allah. Mereka tidak mahu mendengarkan perkataan Allah kerana mereka menganggap diri mereka sangat penting. Kerana tidak mahu menerima bahawa Allah telah menciptakan mereka, mereka berani membangkang kepada Allah. Meskipun Allah-lah yang telah memberi mereka hati, telinga, kesihatan, dan pendeknya, segala hal di dunia ini, mereka tidak merasa bersyukur kepada~Nya untuk seluruh kurnia ini.

Tetapi orang-orang ini akan merasa sangat menyesal. Tidak bersyukur dan sombong akan membuat mereka menjalani hidup yang sukar di dunia dan penyesalan yang dalam di akhirat. Tidak bersyukur (kufur) yang mereka tunjukkan di dunia ini akan membawa mereka pada api neraka.

Setiap orang yang tidak mahu merasakan sesal di kemudian hari sehingga masuk neraka, pastilah bersyukur kepada Allah. Allah menginginkan agar kita bersyukur kepada~Nya dan berdoa serta beribadah kepada~Nya, sebagai bentuk syukur atas nikmat yang telah diberikan~Nya untuk kita. Oleh kerana itu, jika kita melihat nikmat yang sempurna dan indah di sekitar kita (yang tidak akan pernah ada dengan sendirinya), kamu harus mengingat Allah dan merasa bersyukur kepada~Nya. Janganlah menjadi orang yang tidak mampu memperhatikan dan menghargai segala nikmat yang diberikan untuk kita.

Dalam Al Qur'an, Allah memerintahkan kita untuk melakukan berbagai ibadah, selain bersyukur kepada Allah. Melakukan solat lima kali sehari, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat, dan menunaikan haji (sekali seumur hidup) jika mampu adalah bentuk ibadah yang diwajibkan oleh Allah atas kita.

Solat lima waktu sehari-semalam dan menjaga solat tersebut sepanjang hidup kita, dalam keluarga mahupun dalam masyarakat membantu kita untuk terus mengingat kelemahan kita sebagai hamba di depan Allah. Ini adalah bentuk ibadah yang ditunaikan pada waktu-waktu tertentu. Allah memberi tahu kita dalam Al Qur'an bahawa bentuk ibadah ini membantu kita untuk menjauhi perbuatan buruk yang tidak disukai oleh Allah.

Berpuasa juga merupakan bentuk ibadah yang diperintahkan dalam Al Qur'an. Selama bulan Ramadhan, Allah mewajibkan agar kita tidak makan dan minum di siang hari. Dengan menunaikan ibadah ini, kita akan menunjukkan kesabaran untuk tidak makan dan minum dalam jangka waktu tertentu.

Membayar zakat, merupakan pemberian sebahagian harta kita kepada orang miskin dan yang memerlukan serta orang lain yang boleh menerimanya. Seperti bentuk ibadah yang lain, menunaikan zakat sangatlah penting kerana menghindari perbuatan jahat dan menunjukkan sikap rela berkorban adalah sifat yang diredhai oleh Allah. Di samping itu, membayar zakat memperbaiki hubungan sesama manusia dan menguatkan jiwa.

Wallahu'alam...

Friday, April 22, 2011

Si pesakit kusta, si botak dan si buta


بسم الله الرحمن الرحيم

DARI Abu Hurairah r.a bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya ada tiga orang dari Bani Israil, iaitu: seorang penderita sakit kusta, seorang berkepala botak, dan seorang buta. Allah ingin menguji mereka bertiga, maka diutuslah kepada mereka seorang Malaikat. Pertamanya datanglah Malaikat itu kepada si penderita sakit kusta dan bertanya kepadanya, "Apakah sesuatu yang paling kamu inginkan?' Ia menjawab, "Rupa yang elok, kulit yang indah, dan apa yang telah menjijikkan orang-orang ini hilang dari tubuhku." Maka diusap-usapnya kulit penderita sakit kusta itu dan hilanglah penyakit yang dideritanya, serta diberilah ia rupa yang elok dan kulit yang indah.

Malaikat pun bertanya lagi kepadanya, "Lalu kekayaan apa yang paling kamu senangi?" Jawabnya, "Unta atau sapi." Maka diberilah ia seekor unta yang bunting dan didoakan, "Semoga Allah melimpahkan berkah~Nya kepadamu dengan unta ini."

Kemudian Malaikat itu mendatangi orang berkepala botak dan bertanya kepadanya, "Apakah sesuatu yang paling kamu inginkan?" Ia menjawab, "Rambut yang indah yang hilang dari kepalaku apa yang telah menjijikkan orang-orang." Saat Malaikat itu mengusap kepala orang yang botak itu, maka hilanglah penyakitnya serta tumbuhlah rambut yang indah. Malaikat pun bertanya lagi kepadanya, "Kekayaan apa yang paling kamu senangi?" Jawabnya, "Sapi atau unta." Maka diberilah ia seekor sapi bunting dan didoakan, "Semoga Allah melimpahkan berkah~Nya kepadamu dengan sapi ini."

Selanjutnya Malaikat tadi mendatangi si buta dan bertanya kepadanya, "Apakah sesuatu yang paling kamu inginkan?" Ia menjawab, "Semoga Allah berkenan mengembalikan penglihatanku sehingga aku dapat melihat.' Maka diusap-usapnya wajah orang buta itu, dan ketika itu dikembalikan oleh Allah penglihatannya. Malaikat pun bertanya lagi kepadanya, "Lalu, kekayaan apa yang paling kamu senangi?" Jawabnya, "Kambing." Maka diberilah seekor kambing bunting kepadanya.

Waktu berselang, maka berkembang biaklah unta, sapi dan kambing tersebut, sehingga orang pertama mempunyai selembah unta, orang kedua mempunyai selembah sapi, dan orang ketiga mempunyai selembah kambing.

Dengan perintah Allah datanglah Malaikat itu lagi kepada orang yang sebelumnya menderita sakit kusta dengan menyerupai dirinya dan berkata, "Aku ini seorang miskin, telah terputus segala jalan bagiku (untuk mencari rezeki) dalam perjalananku, sehingga aku tidak akan dapat meneruskan perjalananku hari ini kecuali dengan pertolongan Allah, kemudian dengan pertolongan kamu. Demi Allah yang telah memberi kamu rupa yang elok, kulit yang indah, dan kekayaan ini, aku meminta kepada kamu seekor unta saja untuk bekal melanjutkan perjalananku." Tetapi dijawab, "Hak-hak (tanggunganku) banyak."

Malaikat yang menyerupai orang penderita sakit kusta itu pun berkata kepadanya, "Sepertinya aku mengenal kamu. Bukankah kamu ini yang dulu menderita sakit kusta, orang-orang jijik kepada kamu, lagi pula orang melarat, lalu Allah memberi kamu kekayaan?' Dia malah menjawab, "Sungguh, harta kekayaan ini hanyalah aku warisi turun-temurun dari nenek moyangku yang mulia lagi terhormat." Maka Malaikat itu berkata kepadanya, "Jika kamu berkata dusta, nescaya Allah akan mengembalikan kamu kepada keadaan kamu dahulu." Setelah malaikat meninggalkannya, maka dengan serta merta Allah mengembalikan penyakitnya dulu semula dan segala kekayaannya lenyap.

Kemudian Malaikat tersebut mendatangi pula orang yang sebelumnya botak dengan menyerupai dirinya berkepala botak, dan berkata kepadanya seperti yang dia katakan kepada orang yang pernah menderita sakit kusta. Namun ia ditolaknya sebagaimana telah ditolak oleh orang pertama itu. Maka berkatalah Malaikat yang menyerupai dirinya itu kepadanya, "Jika kamu berkata dusta, nescaya Allah akan mengembalikan kamu kepada keadaan seperti dahulu." Bila Malaikat itu beredar, demikianlah juga Allah mengembalikan keadaan orang itu seperti dulu berkepala botak dan miskin.

Akhirnya, Malaikat tadi mendatangi pula orang yang sebelumnya buta dengan menyerupai dirinya pula, dan berkatalah kepadanya, "Aku adalah seorang miskin, kehabisan bekal dalam perjalanan dan telah terputus segala jalan bagiku (untuk mencari rezeki) dalam perjalananku ini, sehingga aku tidak akan dapat lagi meneruskan perjalananku hari ini kecuali dengan pertolongan Allah, kemudian dengan pertolongan kamu. Demi Allah yang telah mengembalikan penglihatan kamu, aku meminta seekor kambing saja untuk bekal melanjutkan perjalananku."

Orang itu menjawab, "Sungguh, dahulu aku buta, lalu Allah mengembalikan penglihatanku. Maka, ambillah apa yang kamu suka dan tinggalkan apa yang kamu suka. Demi Allah, sekarang ini aku tidak akan mempersulit kamu dengan memintamu mengembalikan sesuatu yang telah kamu ambil kerana Allah." Malaikat yang menyerupai orang buta itupun berkata, "Peganglah kekayaan kamu, kerana sesungguhnya kalian ini hanyalah diuji oleh Allah. Allah telah redha kepada kamu, dan murka kepada kedua teman kamu."

Hikmah: Tiga orang dalam hadith di atas mewakili dua contoh yang berbeza, seorang sebagai contoh orang yang bersyukur terhadap nikmat-nikmat Allah dan dua orang yang kufur akan nikmat~Nya. Dengan syukur, nikmat akan terjaga dan jika kufur maka nikmat akan lenyap dan terangkat.

Sumber: Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dalam Kitab Ahadisil Anbiya’, bab hadis tentang orang berpenyakit kusta, orang buta dan orang botak Bani Israil (6/500 no. 3464). Dan Bukhari menyebutkannya secara ringkas sebagai penguat dalam Kitabul Iman wan Nudzur, (11/540), no. 6653. Diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahih-nya dalam Kitabuz Zuhd war Raqaiq, (4/2275), no. 2964. Hadis ini dalam Syarah Shahih Muslim An-Nawawi, 18/398.

Sekian, moga ia mendatangkan manfaat yang banyak.