Memaparkan catatan dengan label ibu_suri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ibu_suri. Papar semua catatan

Khamis, 16 Disember 2021

Zaman Video 3G

Video ibu_suri ini diambil menggunakan talipon 3G - Sony Ericsson tahun 2008. di rumah penempatan sementara mertuaku di Taman Sri Nibong.

Di masa ini ibu_suri baharu sahaja discaj dari BM Specialist Centre (sekarang KPJ) akibat minor stroke. Dia baru saja pulih dari fasa Depresion dan beraleh ke fasa Bipolar Disorder. Di fasa Bipolar Disorder ini aku terpaksa ikut apa sahaja kemahuannya jika tidak mahu berlaku pertengkaran atau hal-hal yang diingini. Di fasa ini aku mulai merasai tekanan perasaan...



Tapi orang luar mungkin nampak aku macam ok je. Dan memuji aku kerana cool dalam menjaga kebajikan dia...

Sabtu, 6 November 2021

Sindrom Parkinson

Aku tak ingat tarikh bila video ini aku ambil. Yang pastinya ialah ketika aku menghantar dia ke rawatan susulan di unit Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang. Masa itu Covid 19 belum menyerang negara kita.

Apa yang nak aku tunjukkan di dalam babak awal video ini ialah ibu jari tangan ibu_suri yang bergoyang di luar kawalan dia.

Keadaan ini berterusan walaupun selepas aku adukan kepada doktor. Doktor sarankan dia makan ubat urat saraf namun sindrom ini masih sama sehinggalah pergerakkan luar kawalan itu merebak hampir ke seluruh jari tangan kirinya.

Sampai ke satu tahap dia tidak boleh lagi memegang pinggannya sendiri ketika makan. Maka setiap kali dia nak makan aku perlu memegang pinggannya sehinggalah dia selesai makan.

Nasib baiklah ianya berlaku pada tangan kiri. Kalaulah di tangan kanan lebih susah dia sebab tidak boleh menyuap malan atau memegang apapun kerana semuanya akan terjatuh.




Rabu, 3 November 2021

Senyap Yang Tak Boleh Diabaikan...

Pagi ini, buka saja fbku terpapar ulangan posting ucapan selamat hari lahir ibu_suri kepada saudara dan sahabat kami yang lahir di bulan November ini...




Sesekali rasa terubat juga perasaan kehilangan ini.

Silap juga dulu, aku tak muatnaik banyak-banyak foto ibu_suri semasa hayat dia.

Mungkin keistimewaan perempuan, ibu_suri memang ingat kesemua tarikh lahir adik beradiknya, anak buah malah kawan-kawannya.

Aku saja yang tak pernah ambil kisah bab tarikh lahir ni. Kadang kadang nampak rasa  kecil hati dia bila dia tanya:

Esok hari apa?

Aku jawap:

Hari Rabu...

Senyap ja dia. Senyap yang tak boleh di abaikan.

Maka bila begitu aku perasanlah...

'Selamat menyambut hari jadi, istriku...'

'Nak bagi hadiah apa?'

Adoi... ni yang buat aku 'susah hati'. Bercakap bab hadiah hari lahir ni aku bukan reti sangat. Tambah-tambah lagi perempuan. Hendaknya pulak istriku. 

Selama hidup aku sejak kecil di kampung tak pernah kenal bab selebret hari jadi. Bila datang Penang sahaja budaya ini aku kenal...

Khamis, 28 Oktober 2021

Sepasang Batu Nisan

Sabtu, 24 Oktober lalu, batu nisan yang aku terima telah siap. Aku ajak Akhmal untuk ke perkuburan ibu_suri untuk di tanam ke pusaranya. Aku memang tak larat nak angkat dan mencangkul tanah untuk menanam nisan tersebut. 

Akhmal mengajak kawan baiknya bersama.





Sewaktu aku hendak menempah batu nisan tersebut (yang nombor pembuat batu nisan itu aku dapat dari banner yang digantung di pagar Masjid Kubang Semang), aku minta pendapat anak-anakku, batu jenis mana yang mereka cadangkan.

Akhmal antara yang pertama respon mencadangkan supaya tempah jenis batu sungai kerana semasa hayat ibu_suri, beliau memang suka mengambil batu sungai untuk hiasan di taman kecil rumahku ini. Cadangan ini disokong oleh Along dan Angah sedangkan aku sendiri lebih suka nisan yang dibuat dari batu (kalau tak salah yang di impot dari Cina). Nisan itu lebih cantik buatannya.

Tapi tak mengapalah. Bukan isu besar sangat. Jadi aku akur sahaja dengan cadangan anak-anakku. Harga sepasang batu nisan sungai ini adalah RM380.

Semasa aku dan Akhmal menanam nisan ini, Pak Omar yang ditugaskan menjaga tanah perkuburan ini ada datang dan memberi beberapa panduan.

Kata Pak Omar, batu ini bukan sebenarnya dari sungai tapi dibuat dari konkrit seolah berbentuk batu sungai.

Barulah aku tahu. Tapi logik juga sebab mana nak cari batu sungai yang sebesar ini untuk memenuhi permintaan pelanggan sipembuat yang tentunya ramai. Maka, buat sendiri menggunakan bahan konkrit adalah yang lebih mudah.

Semasa si pembuat menghantar batu nisan ini ke rumah aku, sempat dia memberitahu bahawa bulan ini sahaja dia telah buatkan lebih seratus pasang batu nisan yang kebanyakannya adalah meninggal kerana kes Covid.

Bayangkan.. Itu baru di tangan dia. Bagaimana dengan di tangan pembuat batu nisan yang lain?

Ganasnya virus ini. Dulu aku hanya mendengar atau membaca sahaja tentang impak virus ini akan tetapi bila aku sendiri mengalaminya, aku dapat rasai ke'gerun'an ini.

Muga Allah jauhkan musibah ini dari keluargaku...


Biarlah Rindu Itu Berlalu...

 Pada 30 September lepas, aku telah pulangkan semula kerusi roda sumbangan dari AP Permatang Pauh akan ( tetapi belum sempat digunakan oleh ibu_suri ) serta beberapa pack lapin pakai buang bersaiz XL yang masih berbaki untuk di perpanjangkan sumbangannya kepada yang memerlukan.



Aku masih belum selesai samada menyimpan atau menyahkan pakaian atau peralatan yang digunakan oleh ibu_suri tetapi tidak dapat aku guna untuk diri sendiri seperti pakaian lamanya, gambar-gambar lamanya serta koleksi pemberian anak muridnya semasa menjadi guru Tadika Amal Rintis di sini.

Bagi aku yang berguna untuk aku dan keluarga, aku guna atau aku simpan sementara yang dah lusuh atau tak perlu aku simpan, aku buang sahaja.

Setengah orang suka menyimpan untuk dilihat selalu bila rindu sementara aku sebaliknya... tidak mahu dibebankan oleh rindu atau kesayuan.

Bagi aku yang pergi tetaplah pergi. Aku hanya berdoa muga Allah ringankan azabnya di'sana' jika ada dan diberikan Syurga di alam kekal nanti.

Namun sebenarnya doa dari anak-anaknya adalah lebih diterima Allah seperti doa kita terhadap ibubapa kita...

Ahad, 10 Oktober 2021

Uban

Ada satu hari tu semasa ibu_suri minta sikatkan rambutnya.

Aku sikat perlahan lahan supaya dia tidak terasa sakit di kulit kepala. Kalau dia merasa sakit, anginnya baleh naik secara tiba tiba. Naya nanti aku kena marah.

" You nak bunuh I ke? "

Pernah dia menjerit begitu satu ketika dulu sedangkan aku telah cuba menyikat rambutnya dengan sebaik mungkin. Rambut di bahagian belakang jadi kusut berpintal, mungkin sebab lama sangat berbaring.

Hati kecil aku tersentap juga bila yang bernama istri menginggikan suaranya terhadap suami. Aky cuba memujuk hati aku dengan memaafkannya dengan ikhlas.

" Kenapa you belek rambut I? Ada uban ke? "

" Mana ada. Rambut you hitam berkilat lagi. Rambut abang la banyak uban."

Sambil aku menunjukkan kepala aku kepadanya.

Memang rambutnya masa itu belum nampak ada uban namum tak lama selepas itu aku perasan ubannya mulai kelihatan.

Aku diam sahaja, tak mahu beritahu apa apa. Bimbang nanti hatinya terusik sekaligus akan membuatkan emosinya terganggu...


Isnin, 9 Disember 2019

Jagalah Kesihatan


Semalam ibu_suri terjatuh semasa bangun melangkah dari kerusi roda ke katil dalam bilik. Lantai yang basah kerana baki air mandi ibu_suri yang masih ada di kerusi menitik ke lantai menyebabkan ibu_suri tergelincir lalu tersepuk ke lantai. 

Malam sebelum Raya Haji dah pernah jatuh di bilik air. Aku terpaksa panggil Angah untuk sama-sama mengangkat ibu_suri. Apa yang kami buat ialah dengan membentang cadar katil ( yang kuat kainnya ), suruh ibu_suri bergolek lalu baring di atasnya lantas kami seret dari bilik mandi hingga ke dalam bilik.

Sebelum itu juga ibu_suri pernah jatuh di bilik air semasa melangkah masuk hendak mandi. Masa itu Akhmal dan kawan-kawannya ada. Merekalah yang berusaha mengangkat ibu_suri. Harapkan tenaga aku yang renta ini, tak dapat berbuat apa-apa.

Kali pertama ibu_suri pernah jatuh ialah semasa turun ke tanah dari kaki lima restoran nasi kandar. Silap jangkaan meletak kaki ke tanah dari kaki lima. Aku meminta bantuan dari beberapa orang yang sedang makan di situ. Melayu dan Cina sama-sama membantu mengangkat ibu_suri naik ke kerusi kereta.

Urutan dari semua itulah sekarang ini aku tak benarkan lagi ibu_suri ke bilik air maupun tandas. Hendak berak atau kencing, aku suruh sahaja lepaskan ke dalam lampin lupus.  Jadinya, bertambah pula kos membeli lampin dalam penjagaan kebajikan ibu_suri. Sehari 2~3 helai lampin diperlukan. Bayangkan kalau seminggu... kalau sebulan.

Bila mandi, aku sorong dengan kerusi roda dan mandi di dapur sahaja. Mesin basuh ni usah kiralah, sehari tu memang 2~3 kali membasuh. Kali pertama, basuh kain atau tuala yang kena najis atau kencing tanpa sabun. Kemudian baru basuh menggunakan sabun. Tuala dan kain basuh secara berasingan.

Makanya, bilamana ibu_suri banyak menghabiskan masanya di katil, berat badan ibu_suri aku dapat rasanya telah bertambah. Dia sedikit susah untuk mengesot jauh sekali untuk bangun. Lututnya mula terasa sakit. Banyak masa di katil menyebabkan dia merasa boring, otak tepu dan rimas. Sebab itu, setiap malam lepas balik kerja aku mesti membawanya berjalan-jalan dengan kereta hingga tengahmalam. Kalau tidak untuk makan-makan atau tiada tujuan pun, dia akan suruh bawa aku pusing-pusing sahaja.

Baju juga kekadang aku yang pilihkan bila dia tidak tahu nak buat pilihan. Makan pun adakalanya aku yang terpaksa bagi idea apa yang dibeli dan kemudian suapkan bilamana perasaan murungnya itu tiba. 

Sejak Akhmal tidak lagi ada di rumah, ibu_suri makin murung. Asyik memikir dan bertanyakan bila Akhmal akan dibebaskan. Dah 3~4 hari dia tidak lalu makan. Banyak kali makanan yang aku belikan untuk dia, dia cuma makan sedikit. Akhirnya makanan dia banyak yang terbazir.

Memang kena banyak bersabar, memahami dan berlapang dada dalam menjaga dia. Dah lah susah bergerak ditambah dengan kesan minor strok di saraf-saraf otaknya menyebabkan dia tidak boleh berfikir cepat atau bagaimana hendak melalukan sesuatu. Hatta memakai baju pun aku yang kena betulkan arah baju dipakai. Mana yang patutnya di depan dan di belakang. Selalunya aku yang sarungkna ke kepala dan masukkan ke tangan.

Muga apa yang berlaku kepada ibu_suri dan apa yang telah aku lakukan dalam menjaga kebaikan dia menjadi tauladan, panduan dan contoh buat kalian semua.

Jagalah kesihatan terutama yang menghidapi darah tinggi. Jangan menjadi seperti ibu_suri yang culas ke klinik dan makan ubat seperti arahan doktor, tiba-tiba sahaja di satu pagi ibu_suri menjadi seperti anak-anak tadika yang sukar bertutur, memahami dan berfikir.

Peringatan untuk aku juga...

Selasa, 13 Ogos 2019

Wad 10 - Hari Ke 3...

Nampaknya ibu_suri dah mula boleh makan walaupun bebrapa suap. Namun badannya masih lemah, tutur cakapnya masih kurang jelas dan perlu diamati.

Rupanya baju ibu_suri juga telah disalin baru oleh menantuku kelmarin. Baju yang dipakai semasa mula masuk ke wad kecemasan adalah baju bukan kapas. Jadinya agak berkuap dan hangat lebih lebih lagi bila tengahari.

Memang dari dulu, bila ibu_suri di wad; selama mana di wad selama itulah ibu_suri tak mandi. Bukan aku tak mahu mandikan tetapi dengan keadaan fizikal ibu_suri yang susah bergerak dan keadaan katil yang tinggi memberikan masaalah untuk ibu_suri. Jadinya aku hanya lapkan badan ibu_suri setiapkali ke sana.

Rimas? Dah tentulah...

Semalam dia mula bertanya bila boleh balik. Satu soalan yang kurang sedap untuk di dengar.

' Boleh saya nak buangkan kencing dari dalam beg?' pinta cleaner wad.

Aku mengenjak ke tepi memberi ruang kepada cleaner untuk membuka penutup doe beg kencing ibu_suri yang tergantung di birai katil dan menadahnya dengan baldi.

'Tak cantik air kencing istri saya ni, ya!' ujarku bila melihat warnanya yang seperti warna karat besi.

Cleaner itu mengangguk sahaja.

'Dia tak mahu makan.' terangku tanpa dipinta.

'Tu la... ' jawap cleaner itu.

'Abang cakap apa dengan dia?' ibu_suri ingin tahu bila cleaner itu berlalu pergi.

'Takda apa. Saja sembang dengan dia.' jawapku. Bukan semua boleh dipembariskan dengan ibu_suri ini. Tambahan saat saat dia di wad. Perlu sangat menjaga emosi supaya dia kekal selesa di sini.

'Nak abang belikan air soya sejuk?'

Aku teringat pesan Along supaya berikan air soya sebab ibu_suri tak lalu makan. Paling tidak, air soya itu mengandungi protin yang boleh memberi tenaga.

Angguk sahaja ibu_suri.

Aku melihat jam di tangan yang hampir ke pukul 1.30 petang. Waktu  melawat hanya hingga 2.00 petang.

Cepat-cepat aku beredar...

Rabu, 7 November 2018

Temujanji Dengan Doktor Pakar KK




Belum habis letih dengan temujanji di Klinik Pakar 1 Isnin lepas, bertemujanji di Klinik Kubang Semang pula.

Temujanji ibu_suri sekarang ni bukan lagi dengan doktor biasa malah rata-ratanya dengan doktor pakar.

Letihnya bila rapat sangat tempoh temujanji dengan doktor ini sekarang ini berbanding dulu bukan sangat membawa dia tapi bila terpaksa mengusung masuk san keluar kerusi roda dari dalam kereta.

Lebih melelahkan ialah bila terpaksa menolak naik jika ada gon ke dalam atau keluar klinik. Kadang-kadang bila tak mampu, rasa tidak segan meminta tolong orang keliling membantu tolak sama.

Istimewanya pemegang kad OKU. Setakat ini semua pemeriksaannya adalah percuma. Jika sebaliknya, mungkin dah ribu rm duit keluar dari kocek.

Marilah sama-sama kita jaga kesihatan kita. Jangan langkau makan pagi, jangan makan lewat malam, kurangkan manis dan berminyak.

Paling penting jangan fikir yang remeh-temeh, yang tidak boleh selesai biarkan masa menentukan, yang berat-berat letakkan ke tepi. Kita rai setakat yang kita ada dan mampu.

Jangan takut buat medical checkup. Makanlah ubat ikut jadual.

Kasihi diri kita dan sayangi Tuhan!

Ahad, 4 November 2018

Speechless...

Jam 9.30. 

Aku pun tak ada plan apa-apa walaupun ibu_suri kerap bertanya... harijadi dia nanti aku nak hadiahkan apa?

Aku bukan dibesarkan dengan budaya sambut harijadi. Orang kampung yang miskin, yang nak berbelanja ke sekolah pun sekadar membeli aiskrim Malaysia potong dua dengan adik, mana teringat 'kemewahan' yang seperti itu.

Tapi bila berkahwin dengan orang Pulau Pinang ini, memang ada sedikit kejutan budaya. Pertembungan ini kekadang terpaksa aku serap ke dalam budaya aku sendiri.

Dipendekkan cerita ( sekarang ni memang malas menulis panjang-panjang sebab sukar menaip di skrin talipon yang kecil), Angah suruh aku bawa Marissa dan Qaisara ke kedai kek dan hadiahkan kepada ibu_suri.

Oleh kerana ibu_suri sekarang ini dah tak boleh berjalan keluar kereta, kami raikan bersama di dalam ruang yang sempit, di kotak parkir Nash Bistro, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Harga kek dah bukan soal. Tidak ada pilihan. RM50 itu adalah harga yang paling rendah di antara banyak banyak kek.

Tak sangka pula, pandai Marissa menulis dan melukis sendiri kad ucapan walaupun baru berusia 6 tahun...





Mungkin video klip itu tak muat untuk dimuatnaik di sini kerana saiz yang besar.

Boleh saja tonton di status fb aku di sini...

Isnin, 13 Ogos 2018

Moi Sup...

Jam 10.40 malam.

Aku berada di depan Man Cafe. Satu satunya kedai makan yang aku singgah kalau nak.makan moi sup bila malam macam ni.


Sejak keluar hospital, ibu_suri kurang selera makan. Lapar tapi apa yang aku beli tidak menambat rasa mahu makannya.

Jadi aku anjurkan dia makan moi sup.  Nampaknya ada selera dia untuk makan hingga habis.

Memang susah nak layan kerenah ibu_suri ini tambah lagi bila dalam keadaan tak stabil begini.

Aku harap kalian janganlah jadikan diri serba payah dalam menjalani hidup. Cubalah menjadi orang yang tidak banyak ragam. Hidup simple, ok sahaja dalam apa kesusahan hidup.

Ini kali pertama aku paparkan video klip ibu_suri di dalam blogku ini, rasanya. Melalui video ini barangkali kalian boleh lihat dan renung karektor ibu_surinyang dikatakan kesan minor stroke dulu yang membawa kepada rawatan berkala di wad psikiatrik...


Pagi Ini Di Klinik...

Hari ini bawa ibu_suri ke Klinik Kesihatan Kubang Semang. Pemeriksaan kesihatan yang berjadual sekitar 3 bulan sekali.

Hari ini pertama kali guna kerusi sendiri yang disumbangkan oleh seorang kawan yang juga guru Tadika Amal Rintis di Kondominium Mutiara, Bandar Perda.

Sebelum ini dia belikan kerusi untuk kegunaan anaknya yang patah kaki akibat kemalangan. Bila anaknya dan sembuh dia teringat nak beri kepadaku untuk kegunaan ibu_suri.

Alhamdulillah, mudah bagi aku nak urus ibu_suri.


Kali ini kena ambil contoh air kencing. Ambil siap siap di rumah guna botol yang sememang makmal KK bagi siap siap sebelum ini.

Tak ramai sangat orang di klinik pagi ini. 

Tapi masaalahnya bila nak tolak naik ibu_suri ke dalam klinik, masyaAllah... 2 kali try baru berjaya. Berat badan ibu_suri sekitar 130kg tak sepadan dengan tenaga umur 58ku ini.

Kalau berjumpa doktor aku akan ceritakan kes ibu_suri masuk hospital minggu lepas dan minta periksa perut ibu_suri yang kembung, keras dan berasa sakit itu.

Aku harap rawatan ini berjalan lancar. Aku perlu anggap semua yang aku buat pagi ini sebagai sesuatu yang 'fun'. 

Jika aku tidak beranggapan begitu maka susah pasti aku akan merasa tertekan dengan beban dan membuat aku jadi tension.

So.... aku kena banyak senyum, feel happy dan lapangkan dada.

WACHAAAA....

Terkini... ibu_suri

Jumaat lalu, 10hb, ibu_suri discaj dari wad 10 Hospital Bukit Mertajam setelah 3 hari di katil.

Seperti kes sebelum ini, dalam badan ibu_suri ada lebihan airo. Dktor terpaksa memberinya sedutan gas untuk 'memaksa' dia kencing. Aku agak ada sekitar 3 beg sendat dengan air kencing ibu_suri yang berjaya dikumuhkan.

Balik ke rumah, malam itu ibu_suri asyik terkencing hingga aku tak boleh tidur hingga pagi. Berkali kali tukar lapik tidur, bantu dia ke tandas, mandi, salin baju dan sebagainya.

Sejak keluar wad juga selera ibu_suri merudum jatuh. Puas tanya nak makan apa atau aku main beli ikut firasat aku sendiri tapi akhirnya dia tak lalu dan aku yang habiskan.

Malam ini aku singgah di Restoran Al Amin, belikan roti canai. Apa apa sanalah asal dia mahu makan.

Esok jadual dia jumpa doktor di Klinik Kubang Semang. Nak tanya doktor phla kenapa dia selalu rasa sakit kat perut. Memang, bila aku rasa perutnya rasa keras satu macam.

Macam macam pula teoribyang bermain di fikiran. Harap harap tidaklah serius.

Sabtu, 14 Julai 2018

Senyum Pagi Dia...

'Abanggg...' terdengar suara ibu_suri dari dalam bilik.

Aku yang baru saja meletakkan punggung ke lantai depan tv, bertongkat tangan untuk bangun. Hari ini entah kenapa rasa malas dan kurang semangat itu menyelimut ketat jiwaku.

'Kenapa?' soalku sebaik saja menghembus nafas dalam lalu menyelak langsir pintu.

'Buatkan kopi...boleh?' sambil memandang ke wajahku menguntum senyum.

Hatiku sedikit lega. Lega bila melihat manis senyumannya memberi isyarat bahawa emosi ibu_suri baik pada pagi ini.

'Nak minum apa? Milo...'

Cebik bibir.

'L.A coffee, ok... Dengan biskut?'

Senyum lagi sambil mengangkat kedua ibu jari tangan kanan dan kirinya.

Awal pagi ini 2 kali ibu_suri terkencing di katil. Kerja separuh besar kepada aku yang terpaksa membersihkan dia dan lapik katilnya.

Mujur juga aku membatalkan hasrat hati hendak balik kampung jenguk mak.


Aku buatkan yang terbaik bancuhan kopi dan hidangkan untuk ibu_suri ke atas katil.

Dalam masa yang sama wajah mak bermain di serebrum...

Selasa, 20 Mac 2018

Ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental


Pagi ini bawa ibu_suri ke temujanji dengan doktor di Wad 102. Kira-kira 6 bulan selepas temujanji sebelum ini.

Walaupun logiknya 1/2 tahun itu lama tetapi tidak pula bagi aku. Macam baru bulan lepas sahaja aku ke sini.

Sepanjang pemanduan merentasi sesak lebuhraya dan jambatan Pulau Pinang tadi ada saja rasa terbeban, rasa jemu dan rasa mahu 'pencen' saja dari membuat semua ini menyelinap di sanubari. Istighfar beberapa kali...

Mencari parkir di HBPP ini semacam semut berebut sebutir gula. Hampir 45 minit juga menunggu, melilau cari petak kosong. Risau juga jika ibu_suri nak terk*nc*ng atau lebih parah, nak terb*r*k macam hari tu.

Nasib baik di wad, dapat berjumpa dengan doktor yang sama dengan sebelum ini. Soalan beliau juga masih sama seperti dulu, kini san selamanya...

' ada masalah tidur? '
' ada dengar orang bisik bisik? '
' ada rasa nak marah marah? '

' Tak ada pun. Okey jer... ' jawap ibu_suri.

' Kenapa doktor simpan janggut pulak? ' tanya ibu_suri.

' Tak boleh ke... ' balas doktor muda yang manis raut mukanya.

Memang sekejap sahaja soaljawap dengan doktor ini berbanding tempoh masa datang dan cari parkir. Tak ada isu baru. Ubat pun kekal dengan dos yang sama; yang paling minima bagi pesakit macam ibu_suri walaupun dah beberapa kali aku minta kurangkan dos.

' Kenapa tak kata kat doktor tu hensem tadi? ' usikku kepada ibu_suri sambil menolak kerusi roda yang berkeriut menahan beratnya 135kg ibu_suri.

' Awat, takut ibu tergoda ka? ' balas ibu_suri yang memang kerap tersasul membahasakan dirinya 'ibu' tatkala berbual dengan aku.

Jarum jam anti clockwise di tangan kiri aku dah menunjuk ke pukul 1 tengahari. Entah apa masaalahnya, punyalah panjang Q di kaunter ambil ubat hingga berderet di sepanjang koridor.

Nampaknya aku cuti kerja sahajalah hari ni.

Rabu, 14 Mac 2018

Sejarah Baru

Pagi pagi lagi angah dah datang ke rumah. Baru lepas hantar anak-anaknya ke tadika lah tu!

"Ayah tak pi kerja lagi ke?"

"Nak pi la ni. Sebelum mandi banyak kerja kena buat..." jawabku sambil berlalu ke dapur dengan tuala lembab di tangan selepas selesai mencuci kusyen kereta.

Dari kejauhan aku terdengar suara ibu_suri...

"Semalam ibu b*r*k kat dalam kereta. Ayah la... ibu hon kereta dua tiga kali, ayah tak dengaq. Eeee... ibu geram betul!"

Aku ada usrah gabungan di Sekolah Tahfiz Al Islah (STAIL), Tok Bedu malam tadi. Memang selalu maklumkan kat ibu_suri, janganlah ikut. Nanti kalau ada apa-apa berlaku semasa ibu_suri menunggu di kereta, aku tak tahu. Masaalah nanti jadinya.

Tapi kalau dia dah beriya-iya nak ikut, aku bawa saja. Daripada aku lansung tak dapat hadirkan diri ke program jamaah, tak mengapalah aku susah sikit dengan membawanya bersama dan melayan ragamnya jika ada.

Jadi, malam tadi mendapat la. Tercatat satu lagi sejarah baru selepas sejarah terk*nc*ng dalam kereta beberapa kali sebelum ini.

Nasib baik ibu_suri cerdik juga, dia membuang di dalam plastik yang sebelum ini ada di belakang kereta, bekas sisa makanan yang dibeli sebelum datang ke STAIL. Jadinya, otw balik, aku terpaksa mencari port terbaik untuk buangkan pelastik berisi n*j*s... Mana lagi kalau tak ke sungai walaupun aku tahu ianya satu perbuatan yang tidak baik.

Tahan nafas jugalah sehingga nak sampai ke rumah. 

Angah yang faham sangat dengan 'keuzuran' ibunya hanya berkata....

'Tak apalah... ayah ada!'

"Sorilah.... ibu bukan sengaja!...."


Selasa, 21 November 2017

Sarapan

Pagi ini ibu_suri minta gorengkan mi. Nyeghongin aje dia bila ianya dah terhidang di depan mata.

Ini mi goreng segera telor goyang, ujarku ikut nyeghongin juga tapi yang dibuat-buat.

Namun sayangnya, bagai selalu. Dia jamah sedikit sahaja.

Tak sedap, katanya.

Sabar sahajalah, kan.

Maka aku jugalah yang menghabiskannya walaupun dah suntuk masa nak ke tempat kerja.


Sabtu, 14 Januari 2017

Masuk Wad Lagi

5:48 pagi. Dah nak hampir dengan azan Subuh.

Aku baru saja balik dari Hospital Bukit Mertajam. Buat kali kedua, ibu_suri dimasukkan semula ke wad 10. Kali pertama pada 6hb bulan lepas.

Kes yang sama. Paru-paru dipenuhi air hingga menyebabkan kandungan Oksigen di dalam paru-paru menyusut hingga 70%.

'Jika lambat sikit datang, peratusan Oksigen mungkin turun lagi rendah berkemungkinan istri awak mengalami maut,' terang doktor yang membuat aku rasa kecut.

'Tolong pujuk istri awak,' pinta doktor setelah memaklumkan bahawa ibu_suri enggan dipindahkan ke wad 10.

Belum sempat mendekati katil, ibu_suri dah melambai tangan tanda tak mahu.

'Oh...no...no...no...' sambil tangan kirinya memegang corong gas yang melekap di mulut dan hidungnya.

'Lebih baik duduk di wad. Doktor dan misi boleh tengokkan. Kalau kat rumah, abah boleh buat apa,' pujukku. Takkan nak katakan bahawa paras oksigennya sekarang ini boleh membawa maut bahawa jika tidak ditangani dengan cepat.

'Nanti sapa nak ambil Marissa dari tadika?' soalnya. Aduhh...

'Ayahnya ada, biarlah ayah dia yang fikirkan.' pujukku.

Aku perasan tentang masalah paru-paru ibu_suri ini berulang semula bila dia tiba-tiba batuk 2hari lepas.Bila terlalu kerap batuk, dia akan penat dan otot-otot perut berasa sakit. Kaki dan betisnya juga kembong. Kulit kakinya tegang seperti tiub tayar dipam.

Aku tahu bahawa kerja menjaga ibu_suri di hospital dah bermula. Kerja yang memerlukan sepenuh kepintaran saikologi, kesabaran dan kemampuan diri menyerap masa yang tak terurus.

Hasrat aku untuk balik kampung siang nanti untuk ziarah mak di kampung, adik dan biras yang juga dimasukkan ke Hospital tengku Bainun, Ipoh tak kesampaian.

'Hari Isnin nanti, I mesti keluar, ya...'

'Tengoklah, apa kata doktor nanti. Yang penting, you sihat dulu.'

'Nanti nak bagitau Angah, bukan ibu yang nak masuk hospital tapi ayah kamu yang suruh...'

Okeylah...

Rabu, 4 Januari 2017

Di Klinik 102

Tak ramai pesakit di Klinik 102 pagi semalam.

Seperti biasa, ibu_suri perlu mengambil bacaan tekanan darah dan berat badan. Periksa kali kedua apabila bacaan pertama menunjukkan 145/87. Memang beberapa kali sebelum ini samada di Klinik Kubang Semang mahupun semasa di Hospital bukit Mertajam hari  tu,bacaan tekanan darah ibu_suri agak melegakan berbanding sebelum ini yang sekitar 190~200/90~100.

Aku percaya ini mungkin disebabkan doktor FMS yang merawat ibu_suri di Klinik Kubang Semang telah menukar dos ubat. Maknanya selama ini bacaan tekanan darah yang tak terkawal itu adalah kerana ketidaksesuaian dos ubat? Bukan berpunca dari tabiat makan atau pergerakan ibu_suri?

Kali ini, yang merawat ibu_suri adalah doktor perempuan berbangsa Cina. Manis airmukanya dan fasih berbahasa Melayu. Sejuk hatiku memandang.

'Apa khabar?' 

'Okey...' sambil ibu_suri mendepang tangan. Aku yang berdiri di sebelah memegang kerusi roda ibu_suri yang kerosakan brek.

'Boleh tidur malam?'

'Makan macammana? Ada selera tak?'

Aku biarkan ibu_suri menjawap semua soalan itu. Aku rasa doktor itu lebih memahami respon dari pesakit seperti ibu_suri. Aku juga tahu, doktor itu sebenarnya bukan sangat nak tahu jawapan yang diberikan sebaliknya lebih kepada melihat reaksi, cara menjawap dan body language.

'Ada dengar suara bisik-bisik?'

'Apalah doktor ni. Mana ada dengar...'

Dulu memang aku tak faham bila doktor bertanya tentang suara bisik-bisik. Tapi bila aku sendiri alami hampir setiap malam ibu_suri kata terdengar bunyi orang bercakap di dalam bilik... mulanya bulu roma aku tegak berdiri. Ingatkan ada makhlok halus dalam rumah. Namun bila jenuh berubat 'kampung' sana sini disamping ke hosspital, juga membaca dan bertanya kawan akhirnya aku memahami salah satu karektor pesakit psikiatri adalah halusinasi.

Akhmal juga begini di awal wal keterlibatannya dengan syabu. Meracau-racau seolah terlihat makhluk halus di siling rumah dan diding bilik air. 

Agak tebal juga kertas nota yang ada di tangan doktor dan di belek-belek beberapa kali untuk mendapatkan info lalu kes ibu_suri. Aku percaya nota itu adalah  catatan oleh para doktor yang pernah merawat ibu_suri sejak 2008.

'Awak beruntung kerana mendapat suami yang menjagaa awak dengan baik' ujar doktor sambil memandang aku.

'Ya doktor... 8 tahun saya menjaga dia. It is tough job. Really need patient and strong spirit...

Dalam keadaan tertentu aku sengaja bercakap dalam bahasa Inggeris supaya ibu_suri tidak mengetahui.

Akhir sekali aku meminta supaya rawatan akan datang dibuat pada bulaan 8. bukan selepas 6 bulan sepertimana lazim sebelum ini.

Walaupun 6 bulan itu adalah setengah tahun tapi terasa sekejap sahaja dah terpaksa datang lagi ke sini.

Aku agak doktor puas hati dengan perkembangan kesihatan mental dan emosi ibu_suri. Aku juga akui hakikat ini. Itulah kata orang, berkat sabar dan kuat semangat. 

'Awak perlu jaga badan awak ya. Buat senaman sikit. Jalan-jalan dalam rumah pun takapa. jangan duduk sahaja ya...' pesan doktor sambil menghulurkan perskripsi ubat kepada aku.

'Tak boleh kurangkan ubat ke doktor?' tanya ibu_suri.

'Eh.... tak baguslah. Ubat awak sekarang ini adalah paling minima. Janji awak makan ikut sukatan...okey!'

Aku menolak kerusi roda ibu_suri keluar bilik. Seorang Cina membantu aku membukakan pintu.

Memang... urusan rawatan ibu_suri kali ini agak mudah dan cepat seperti sebelum ini. Parkir kereta juga mudah, mendapatkan kerusi roda dari meja urusetia juga cepat dapat. dan mendapatkan stok ubat baru serta cop untuk ubat seterusnya boleh di ambil dari Hospital Bukit Mertajam juga tak perlu tunggu lama.

Dalam kereta, ibu_suri juga nampak hepi dan tidak melarang aku memutar cd lagu sambil memandu.

Bila diajak untuk singgah ke rumah mak dan abahnya, dia tak mahu. Ajak untuk ke klinik gigi juga tak mahu. Dia mahu aku membawanya jalan-jalan, jangan balik rumah cepat sangat.

Ajak makan pun dia tak mahu!

Selasa, 3 Januari 2017

Sakit Gigi

Siang nanti tiba giliran bawa ibu_suri ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan susulan di Klinik Psikiatri - 102.

Walaupun berkali-kali aku nasihatkan supaya esok utamakan pergi keklinik gigi tapi ibu_suri tetap degil dan mahu ke HBPP juga.

Dah beberapa hari ibu_suri mengadu sakit gigi di sebelah kiri. Memang jelas nampak pipinya sedikit bengkak. Tapi nak ke klinik gigi sehari dua ini tentu saja tutup sebab cuti umum.

Untuk memilih klinik gigi mana yang sesuai untuk ibu_suri menerima rawatan memang bukan boleh sembaragan. Dah beberapa klinik aku cuba akhirnya Klinik Ameen dirasakan lebih memahami keperluan pesakit seperti ibu_suri yang obes dan tidak boleh berdikari.

Dr Ameen dan stafnya memang lemah lembut dan penyabar dalam melayani kerenah ibu_suri. 

Tapi khabarnya, Dr Ameen pun dah kian uzur. Banyak kali aku ke sana, doktor muda yang menggantikannya.

Mulanya masa keluar makan tadi aku ingatkan nak beli ubat cap kaki 3 sahaja sebagai penahan sakit. bimbang juga takut dia tak boleh tidur malam kerana menahan sakit.

Aku tahu sangatlah bahana jika sakit gigi. Tawaf pukutl 3~4 pagi depan tv. Memandu ke 7E mencari ubat tahan sakit. Serba tak kena.

Tapi ibu_suri menolak. Katanya tak perlu. Dan esok masih tetap nak ke HBPP.

Aku mengalah sahaja dan perlu bersedia untuk apa sahaja kemungkin. Memang, sesekali bila angin ketegaq dia mai, mengalah itu lebih baik bagi aku.

Aku tahu, sebenarnya ibu_suri tak mahu giginya dicabut jika rosak.