Memaparkan catatan dengan label Akhmal Oh Akhmal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhmal Oh Akhmal. Papar semua catatan

Selasa, 1 Oktober 2019

Naluri Seorang Ibu...

Semalam, bila aku balik ke rumah tengahari seperti selalu untuk mengambil cucuku DQ dari tadika dan memantau ibu_suri, rasa sedikit kelainan kerana melihat AAA tidak ada tidur di depan tv. Aku jengah ke bilik bilik dengan langsir sedia terselak. Makanan yang aku beli pagi tadi di dapur tidak berusik. Duit yang aku letak di bawah kotak tisu tepi tv juga tidak berusik.

Motor juga dalam keadaan sama seperti aku keluar ke tempat kerja pagi tadi. Selipar dia juga masih ada.

Aku menyediakan makanan ibu_suri seperti biasa dan wajah muka yang seperti tidak ada apa-apa yang berat yang aku fikirkan.

'Akhmal mana?' sengaja aku bertanya.

'Ada kat depan?' soal ibu_suri semula.

Aku diam, menukar tajuk perbualan lain sambil mengusik cucuku DQ yang mula membuka beg sekolahnya, membelek buku. Aku tahu, ibu_suri tak sedar apa yang dah berlaku di dalam rumahku tadi. Semasa aku tiba dan menguak pintu bilik, ibu_suri masih enak berdengkur.

Aku mula mengagak... mungkin kah dia di cekup polis atau AADK? Kalau polis selalunya mereka datang di tengah malam sewaktu kebanyakan jiran sudah tidur. 

Tengahari tadi aku tiba-tiba mendapat panggilan dari nombor yang tidak berdaftar dalam simkad taliponku. Aku mengagak bahawa ini mungkin panggilan berkaitan AAA. Dan memang tidak salah... panggilan dari ipd.

Ada sesaorang membuat aduan tentang AAA di balai. 

Perasaan sebagai seorang ayah? 

Masuk kali ini mungkin sudah 4 atau 5 kali dia dicekup atau dibawa ke ipd. Sudah biasa namun hati dan perasaan memang bercampur baur antara elok juga dia ditangkap supaya terhenti sekejap aktiviti tidak sihatnya itu tetapi juga jauh di hati terasa sayu dan sebak bila mengenangkan nasib masa depan dia dan apa respon dari ibu_suri nanti yang amat sayang kepada anak-anak, cucu dan menantunya.

Di dapati memiliki 0.25 gram dadah dan aku percaya jika dilakukan urine test juga akan positif. Ini melihatkan dari apa yang berlaku sebelum itu; bergaduh dengan kawannya yang datang menuntut hutang hingga ke tahap dia mengambil golok yang aku simpan. Mujur aku sempat menahan dan menyuruh kawannya itu balik dulu walaupun kawannya itu nampak seperti mahu melawan.

Entah lah. Takat ini saja yang aku dapat menulis. Sekadar merakamkan apa yang telah berlaku dalam kalendar hidupku terkini.

Malam ini aku akan berjumpa dengan polis yang memegang kes AAA. Pastinya ibu_suri masih belum tahu secara nyata tapi aku dapat rasakan ibu_suri pun dapat mengesyaki sesuatu. Naluri seorang ibu kan... walaupun bukan ibu kandung namun telah menjaganya sejak umur 2 hari.

Doakan yang baik-baik agar aku dapat menangani situasi ini dengan tenang dan sewajarnya!


Selasa, 31 Mac 2015

Sebak


Sebenarnya aku cuba untuk malas menulis kisah yang tidak menyenangkan di blog ini. Namun hakikatnya kisah begitulah yang  menjadi selalu menjadi viral dan berasa perlu dicatat sebagai diari dan biografiku.

Semalam Akhmal hadir mahkamah ekoran kes dia di sini. Aku dah semacam cuak untuk masuk mahkamah hampir saban tahun ini namun terpaksa demi anak. Majestrit menjatuhkan hukuman  penjara atau denda rm3k. 

Aku keluar dari kamar mahkamah II itu dengan hati penuh sebak. Denda sebanyak itu rasanya tak mampu aku layan dengan status aku yang tidak bekerja ini. Lagipun membayar denda untuk Akhmal dibebaskan belum tentu menjamin Akhmal akan sedar dan menjadi baik.

Aku mundar mandir sekitar laman, kantin dan foyer mahkamah. Befikir dan terus berfikir sementara talipon aku terus menerus berbunyi oleh panggilan Akhmal.

Hati besar dan hati kecil aku berperang sesama sendiri di benak. Kemudian aku menuju ke Masjid Sheikh Abdul Kadir yang tidak jauh untuk mengadu petunjuk dari Allah.

Akhirnya aku balik tanpa menoleh lagi dengan talipon yang tak jemu-jemu berbunyi itu aku perosok ke dalam laci dashboard. Sementara benak aku masih berkecamuk dengan perang sesama hati.

Selasa, 6 Mei 2014

Penang White Coffee

Bila Akhmal mengadu sakit gigi, ibu_suri kalut suruh aku carikan ubat. Aku yang tengah sedap meletak kepala di bantal, kalau boleh tak mahu berenggang dari kenikmatan itu.

'Biasalah dia tu. Sat lagi hilanglah...' ujarku sambil mata tetap pejam.

Sebenarnya sebelum ini pun dia pernah mengadu sakit gigi dan aku dah bawa ke klinik. Doktor Cina yang masih muda itu beritahu bahawa tidak ada gigi yang rosak. Akhmal mungkin mengalami ketumbuhan geraham bongsu.

Tapi ibu_suri tidak peduli. Di rengkuhnya juga aku supaya bangun. Dalam keadaan mamun begitu aku capai kunci kereta dan memandu ke arah Seberang Jaya. Dalam kepala aku ialah 7E. Dan bila di situ, yang ada cuma ActiFast. Aku sebenarnya kurang gemar pada perubatan cara beli pil di kedai seperti ini.


Akai dialah tu... Terlanjur dah keluar, mesti singgah minum dulu. 

Kat Makbul ni, minum yang paling aku suka ialah Penang White Coffee. Bukan suka sangat pada kopi itu sebenarnya tapi lebih kepada bentuk awan larat pada cawan yang diguna untuk hidangan. Cawan klasik ini membuatkan aku teringat pada abah dan Pekan Slim dimana aku selalu dibawa untuk minum kopi dan makan roti canai. Abah akan menuangkan kopi o ke atas piring yang dalam lekuknya supaya cepat sejuk. Kemudian menghirup kopi dari bibir piring itu. Macam satu nikmat nampaknya.

Ntah kenapa aku tetiba rindu pada tawa abah dan loghat Peraknya yang kekadang aku sendiri walaupun anak sulongnya....tak faham. Muga Allah rahmati abah di alam barzakh sana!


p/s:
Untuk abah, aku ada buatkan satu blog khas dinamakan Sri Mersing.

Ahad, 23 Februari 2014

BRIM

Pagi ni, riadah Ahad di lokasi yang sama. Takdir Tuhan, berjumpa dengan Shaukiah Hanim, sahabat seperjuangan ibu_suri semasa sesama menjadi ko-kaunselor di bawah naungan Jamaah Islah Malasyia, Pulau Pinang.

Kini, Shaukiah Hanim giat mengajar di surau dan masjid sekitar Pulau Pinang. Suami beliau adalah rakan seusrahku di Surau Taman Pelangi.

Apa-apa pun, kita terokai lokasi riadah yang aku kunjungi setiap hujung minggu ini.

Pintu masuk

Trek yang bersih

Antara peralatan gym yang selamat dan  mesra-pengguna

Kiri untuk jogging, kanan untuk riding

Parkir yang luas

Koperat yang berkongsi pembinaan

Teman setia, menemani tanpa rungutan

Baru tahu, cat bike namanya...

Dan lagi, hari ini adalah hari ke 2, pendekatan reverse psychology aku terhadap Akhmal. Bukan mudah  nak ubah mindset, perasaan dan sikap aku ini, rupanya.

Antara yang aku lakukan ialah;

1. Bercakap dengan kawannya yang hendak keluar dari bilik secara baik.
"Kalau nak masuk rumah pak cik, lain kali masuk dari pintu depan, ya! Tak elok masuk dari belakang ni."

2. Aku lebih banyak meminta Akhmal membantu aku walaupun sebenarnya aku boleh buat semuanya dengan sempurna. 
- "Akhmal, tolong goreng ayam ni ya. Ayah nak sapu depan rumah."
- "Akhmal tolong tukar botol air dari dispenser tu ya. Ayah tak larat lah. Berat!"

3. "Malam Rabu ni, Akhmal ada apa-apa tak?"
 "Kenapa?"
 "Nak ajak Akhmal makan... Ikan bakar ke?"
 Diam...

Semasa solat Zohor tadi, aku berdoa lagi. Muga Allah lembutkan hati Akhmal dan berikan dia hidayah.

"Kata nak beli baju. Dah beli?"

"Belum lagi."

"Pi beli cepat. Duit tu bukan boleh bertahan lama. Takat sehari dua je!"

Itupun, jangan-jangan dah habis, ape.. Raya sakan dengan kengkawannya. Tapi, sejuk juga hati aku bila tetiba dia hulurkan 100 malam Sabtu lalu.

"Duit apa ni?"

"Untuk ayah la.."

"Mana kamu dapat?" Bertanya dengan penuh persoalan dan bimbang.

"BRIM. Akhmal check kat bank tadi. Rupanya dapat."

Owhhh... Patutlah ramai orang beratur kat ATM Agro Bank tadi, getus hatiku.

"Ehhh... ibu punya, tak de ke?"

"Ini you punyalah..," sambil menghulur not sekeping itu. Senyum simpul ibu_suri sebenarnya membuatkan malam itu seperti siang cerahnya...

Akhmal terkebil-kebil. Aku harap dia faham.

Selasa, 2 November 2010

Akhmal Oh Akhmal....akhir

Usai sembahyang Jumaat, aku kembali ke kereta. Aku capai talipon bimbit. Ada 6 msicall dari rumah. Gementar dada. Nombor talipon rumah selalunya dari ibu_suri. Apa hal pula ni? Hal aku ke mahkamah hari ini sebenarnya tidak diketahui oleh ibu_suri.

"Ha.. ayah, Akhmal ni. Akhmal dah balik rumah dah."

"Laa.. Macam mana hang balik rumah?"

"Kawan Akhmal hantar." Pulaakkk...

"Kes hang macammana?"

"Akhmal bebas. Kes tak ada bukti."

Entah kenapa aku kurang gembira mendengar keputusan ini.

Bila malam, aku ajak berbincang bersekali dengan Angah tentang apa yang perlu dibuat oleh Akhmal, next..

Nasihat dan saranan dari kawan-kawan serta saudara mara masih terngiang-ngiang di telinga. Tapi aku tahu. Itu sekadar nasihat berdasarkan dari apa yang mereka tahu, lihat dan mereka alami. Tidak semesti 100% sesuai dengan kemampuan dan  suasana yang aku alami pula.

Dalam perbincangan itu aku mengetahui beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama;

1. Apabila Akhmal keluar dari STB, masyarakat keliling taman sudah melabelkan Akhmal sebagai budak nakal yang perlu diawasi. Bila saja ada kes kecurian, yang mula-mula ada dalam kepala mereka adalah Akhmal.

2. Semasa Akhmal di gari dan di bawa ke balai, lebih dulu Akhmal di gasak oleh polis. mungkin untuk mengorek rahsia dan meminta pengakuan.

3. Di dalam lokap, Akhmal tidur di atas sekeping papan tanpa bantal, tanpa kasut.

4. Dia di bawa ke bilik siasatan. Di situ dengan tangan di gari ke belakang dia di soal dan diminta mengaku. Apabila Akhmal tidak mahu mengaku kerana dia yakin dia tidak bersalah, tangan Akhmal di cakuk naik ke atas. Tidak mengaku juga, cakuk itu akan ditarik ke atas lagi. Aku dapat rasakan betapa sakitnya keadaan itu. Mereka tidak tahu bahawa tangan Akhmal tidak kuat. Kalaulah ditaakdirkan tangannya patah...

5. Orang yang membuat aduan mengatakan Akhmal mencuri motor tidak datang ke balai polis untuk diambil pengakuan. 

Jadinya, cuba kalian bayangkan. Jikalah anak kalian dituduh mencuri tanpa bukti. Kemudian anak kalian di 'dera' di dalam lokap. Tapi akhirnya terbukti dia tidak bersalah.... Siapakah yang sepatutnya akan membayar semula segala sakit dan derita yang dia terpaksa tanggung? Tidur dalam lokap tanpa selimut, bau hamis selama 12 hari?  Si penuduh? Dia sebenarnya sedang ketawa terbahak-bahak di rumah yang berpenghawadingin.

Justeru itu, jangan mudah sangat menuduh orang tanpa bukti. Kalau tuduhan itu benar, berbaloilah. Akan tetapi jika tudahan itu tersasar,  bersiaplah untuk menjawapnya di akhirat kelak!

Hari ini hari anakku. Mungkin esok lusa, hari anak orang lain pula. Dan bagaimalah anakku hendak berubah menjadi baik jika masyarakat terus terusan berperasangka...

Bukan marah. Cuma sedikit kecewa!

Ahad, 31 Oktober 2010

Akhmal Oh Akhmal....2

"Akhmal ada kat lokap tepi kantin." Terpapar sms dari Akhmal di skrin talipon aku.

Aku ingat-ingat lupa hala ke mana kantin mahkamah ini.

"Sapa nama anak?" Tanya polis yang menjaga pintu.

"Akhmal"

"Ha... masuk. Ada di sana." Lembut suara polis itu. Sejuk sikit hatiku.

Berdiri Akhmal memegang jerejak besi. Ada 3 orang lagi di belakangnya. Seperti bukan rakyat Malaysia!

"Akhmal tak naik atas lagi. Sat lagi. Pukul 11 kot."

Aku ternampak seorang pak cik duduk di kerusi kantin. Pak cik ini aku pernah lihat dulu bertugas di pos pengawal pintu masuk pagar mahkamah. Pak cik ni orang di taman aku juga. Dulu dia berniaga.

"Eh, duduklah dulu. Dah minum?" Aku menolak. Rasa tak sedap hati. Tak mahu termakan budi.

"Anak kamu kes apa?"

"Curi motor dan xxxx"

"Dah naik atas?"

"Belum."

"Kalau kamu nak pak cik tolong, boleh. Anak pak cik ada kat dalam bilik nu. Dia lawyer."

Erkss.. Aku mula syak. Dan aku tahu kalau aku terus-terusan di sini, aku boleh terperangkap. Aku ni cepat cair juga orangnya kalau di pujuk. Dan lagi, aku ni susah nak tolak gesaan orang.

"Hari ni hari Jumaat. Selalunya kes akan cuba diselesaikan hari ni. Kalau nak, biar pak cik tolong. Ini hari Jumaat ni. Pak cik tak cakap tipu punya. InsyaAllah, boleh settle. Kalau anak kamu kena denda paling tidak RM2500. Atau 2 tahun masuk xxxx. Yang ni cuma RM500 je." Dan pak cik itu beredar ke meja sebelah, bercakap sesuatu dengan polis yang juga sedang minum di situ.

Aku tahu aku perlukan kekuatan. Perlukan sokongan. Di saat fikiran aku serabut ini, aku perlu pandangan pihak ke 3.

"Ayah.. lebih baik jangan. Ayah tunggu je apa mahkamah nak jatuh hukum. Nanti mahkamah akan bagi tempoh untuk kita fikir. Masa tu ayah talipon angah. Kita bincang."

Aku talipon juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Puan Maizura juga terkejut.

"Baru ni masa lapor diri kata dia ok je. Dah kerja. nak ambil lesen. Hari ni jadi lagu ni pulak!"

Aku garu kepala. Sengeh walaupun Puan Maizura takkan nampak.

"Macam mana, setuju tak dengan cadangan saya. Anak saya dok tunggu tu." Soal pak cik tadi dengan kopiah putih sedikit senget di kepala.

"Anak saya tak setuju. Dialah yang jaga Akhmal. Lagi pun JKM kata polis akan bagi laporan kat JKM sebelum jatuh apa-apa hukuman. Hari ni cuma untuk dapatkan perintah mahkamah je."

Dan aku pun cepat-cepat melarikan diri ke ruang menunggu di depan. Hasrat aku untuk minum, kantoi walaupun perut dah mula kruk..krak..!

Aku lihat jam hampir 12. Sempat makan agaknya sebelum solat Jumaat. Sambil menghidupkan enjin Kancil aku teringat dekat Masjid Sheikh Abdul Kader ada Caltex. Beli makanan ringan sahaja cukuplah kot. Aku pun bukan ada seleran sangat ni. Sekadar lapik perut takut gastrik walaupun taklah serius...

Sabtu, 30 Oktober 2010

Akhmal Oh Akhmal....1

Baru masuk ofis. Seperti selalunya setelah lampu, penghawadingin dan komputer di buka, aku mengambil tuala lembab. Hari ini hari Jumaat. Aku bercadang untuk 5S laci meja tulis aku. Sisih dan Susun semula barang-barang yang ada dalam meja seperti klip kertas, buku nota, kalkulator, pen maarker dan lain-lainnya.

Tiba-tiba talipon aku bergetar. Nombor Akhmal?

"Ayah ada di mana?"

"Tempat kerja. Kenapa?" Aku mula tak sedap perut.

"Ayah tak mai mahkamah ke?"

"Kenapa?" sambil melihat jam di di dinding. Hampir 9 pagi.

"Akmal kena bicara hari ni. Angah kerja ke?"

"Ha.. ya. Macam mana ayah boleh tak tahu hang kena bicara hari  ni?" Uh....

Aku terpempan sekejap merenung komputer yang sedang loading...

"Angah, Akhmal kena bicara hari ni. Dia talipon tadi." Aku cuba melihat sejauhmana Angah boleh bantu.

"Ha...la... Kan Angah dah peringat ayah semalam. Habis tu?"

Ye ke? Tak perasan pula aku. Mungkin kerana terlalu fokus pada ibu_suri menyebabkan aku memasuk telingakiri keluar telinga kanan kan peringatan Angah tu.

"La.. ayah nak tanya. Boleh tak keluar tengok Akhmal sat di Mahkamah BM tu?"

"Tak boleh ayah."

Aku faham kerana Angah baru saja mula kerja dengan MOX ini. Tentu dia tak ada cuti lagi ataupun tak berapa elok kalau minta time off untuk keluar.

Aku memecut kereta memecah angin jambatan Pulau Pinang yang merentasi Selat Melaka. Bergegar kereta aku sesekali dik hempasan angin yang kuat terutama bila bas memotong aku di lorong kanan.

Dah cuba talipon bos tadi tapi tak dapat. Cuma hanar e-mel beritahu yang aku keluar tengok anak dan cuba balik jika selesai dengan segera.


'Akhmal, inilah pengorbanan seorang ayah. Sanggup mengenepikan kepentingan dan keselesaan diri semata-mata mahu  melihat anak menjadi baik. Jadi orang. Terpaksa telan segala perlian orang. Terpaksa teguh berdepan dengan polis yang ayah lihat  paku di bahunya sahaja boleh melembutkan lutut ayah. Terpaksa berdepan dengan orang-orang yang kau aniaya semata-mata kerana pertanggungjawaban. Hari ini ayah terpaksa teguh untuk melangkah ke mahkamah. Satu-satunya tempat yang tidak sepatutnya ayah melangkah kecuali jika berbaju kot dan bertali leher.

Akhmal, kan ayah selalu berkata; daging itu walaupun busuk, dicincang di masak, dimakan jua. Itulah rasahati seorang ayah. Itulah rasa hati seorang yang mahu melihat kamu berjalan di atas landasaan yang betul. Cuma kamu ini entah kenapa masih tidak faham... masih tidak reti...

Entah apalah yang kamu cari dalam hidup. Kenapa kamu tidak menjadi seperti ayah seusia kamu dulu?'

Mujur jalan raya tak sibuk dan aku hampir sampai dalam masa yang kurang setengah jam!