Showing posts with label politaik. Show all posts

Menjelang pilihanraya iii

Thursday, April 18, 2013 · Posted in , , ,


Kawan-kawan pro-Pas rata-ratanya mewarisi ideologi politik mereka daripada latar keluarga masing-masing. Kalau bapak dia Pas, maka Pas jugalah ikutan mereka. Ini terbukti menerusi kajian rambang aku, jika kawan-kawan aku itu pro-Umno, tak ada seorang pun kalangan mereka daripada latar keluarga Pas.

Peliknya, kalau situasi bapak dia Umno, tapi anak dia pro-Pas ramai pula. Aku ada ramai kawan yang bercerita perihal bapak masing-masing yang kuat Umno, tapi diorang pula memang anti-Umno.

Trend ini semakin menular selepas era Reformasi 98, sepanjang aku belajar di selatan dan kemudian wilayah tengah Semenanjung.

Matematiknya begini,
Bapak Pas = Anak Pas
Bapak Umno = Anak Umno/Pas

Jadi, kesimpulannya (daripada analisis seorang anak muda yang baru belasan tahun), jika trend sebegitu berterusan, aku meramalkan Umno dalam bahaya untuk sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang atau lebih.

Buktinya, PRU12 pada 8 Mac 2008, BN kalah teruk dan PR meraih undi popular dengan beza undi hanya 285,947 walaupun cuma mampu menawan lima negeri (sebelum ditolak Perak akibat krisis Perlembagaan).

Menjelang pilihanraya ii

Tuesday, April 16, 2013 · Posted in , , ,



Semangat politik aku bermula ketika meletusnya fenomena Reformasi 98 selepas Anwar Ibrahim dipecat Mahathir Mohamad dalam krisis politik baru yang tak pernah wujud dalam sejarah Malaysia.

Ketika itu aku baru tingkatan 5 dan aku ingat ada member aku conteng ayat 'Reformasi' besar-besar atas papan hitam.

Aku pula lukis gambar bendera Pas dan jadikan key-chain kunci motor sebelum abah aku buang.

Memang anak muda dan pemberontakan tidak dapat dipisahkan. Bak kata pepatah, lagi ditekan lagi melawan.

Persoalannya, apakah semua itu berlaku disebabkan usia mentah (orang utara panggil kanyiaq) yang baru 17 tahun? Atau apakah disebabkan aku terlalu memuja Anwar Ibrahim? Atau dipengaruhi faktor sekeliling?

Alam yang hilang

Friday, October 05, 2012 · Posted in , , , ,


Lambat sikit cerita pasal bajet. Aku sebenarnya tak naklah kritikal sangat sebab bukan pakar ekonomi pun.

Cuma aku tak suka bajet yang berbentuk one-off tanpa kau buat apa-apa. Apatah lagi mengambil kira status Malaysia sebagai negara kapitalis (separuh masak). Sebab dalam hukum mudah kapitalisme, apa saja habuan yang kau terima mesti ada sandaran. Ada jual beli atau servis atau kerja. Hukum inilah yang mengitar dan memakmurkan sistem ekonomi kapitalis sesebuah negara.

Asalkan kau menyanjung nilai moral dan selagi ada kudrat dan pemikiran, jika kau mahu duit, kau kena kerja atau buat sesuatu. Duit one-off atau free tu hanya untuk kanak-kanak, orang sakit terlantar, hilang akal, atau seumpamanya.

Jadi, apa saja cubaan one-off adalah tindakan populis berbaur politik tidak kiralah ia dilakukan juak kerajaan atau pembangkang.

Kalau kerajaan banyak sangat duit tapi tak tahu nak fikir apa melainkan buat satu skim one-off '1M', apa kata sandarkan skim itu kepada satu-satu kerja.

Misalnya, kerja mengutip sampah di Sungai Klang (atau mana-mana tempat) dengan kuantiti sampah sekian-sekian (contoh: 50kg) akan dibayar RM200. Kerja ini boleh dibuat secara separuh masa saja dan terbuka kepada semua warga Malaysia. Rakyat gembira dapat duit dan kerajaan dapat wujudkan suasana perbandaran bersih. Situasi menang-menang.

Bukan apa, bajet kali ini tak ada langsung yang menyentuh pasal alam sekitar yang sebenarnya ada sangkut paut dengan spiritual manusia. Dan kau tanyalah diri sendiri bila kali terakhir kau  lihat bintang di langit KL atau langit biru tanpa jerebu atau pohon hijau dan sungai mengalir segar.

Kerana alam inilah yang membuatkan kita menjadi akrab dengan Sang Pencipta, juga membawa kita mengenali diri. Bukan dengan menatap gunung konkrit, matahari neon dan sungai kereta yang memaksa kita memuja manusia dan material dunia.

Revolusi dan demonstrasi orang Melayu

Monday, May 07, 2012 · Posted in , , , , ,


Revolusi dan demonstrasi adalah dua kata berbeza yang kerap membuatkan kau keliru. Benar, sejarah mencatatkan demonstrasi (menerusi penentangan) adalah sebahagian daripada revolusi. Sekarang kau boleh sebutkan semua revolusi menerusi demonstrasi yang kau ingati seperti di Perancis, Amerika, Iran, Filipina dan Indonesia.

Tetapi, sejarah juga mencatatkan revolusi juga boleh berlaku tanpa demonstrasi. Dan sejarah juga menulis tentang betapa banyak demonstrasi yang tidak membawa revolusi apa-apa pun.

Dalam bahasa skema, revolusi ialah perubahan sosial atau budaya yang berlaku dalam skala masa pantas dan berkait rapat dengan kehidupan sesebuah masyarakat.

Aku tidak salahkan kau kalau kau sempitkan revolusi itu kepada revolusi politik semata-mata, sedangkan sejarah dunia ini juga ada revolusi sosial. Itupun kalau kau masih ingat tentang Revolusi Industri, tercetus di Britain sebelum merebak ke seluruh Eropah dan Amerika pada abad ke-18 dan 19.

Namun, sebelum revolusi itu berlaku (yang membuatkan kau dan aku sekarang lebih mencintai makhluk tidak bernyawa seperti duit dan kereta), Eropah terlebih dahulu melalui revolusi sosialnya menerusi zaman pencerahan, 'Enlightenment' seawal abad ke-16.

Pada zaman itu, lahir beratus-ratus cendekiawan Barat dalam pelbagai bidang. Falsafah. Agama. Fizik. Kejuruteraan. Astronomi. Sastera. Politik. Kimia, Perubatan. Undang-undang. Banyak lagi.

'Enlightenment' muncul atas sikap kuriositi orang Eropah untuk menentang dogma agama dan politik istana. Ia (kuriositi) meluap-luap disebabkan dasar agihan ekonomi tidak seimbang dan undang-undang barbarian yang menyebabkan kehidupan rakyat menjadi derita.

Ya, sekarang kau mesti ingat tentang kata DERITA. Inilah punca utama yang mendorong kepada kemunculan 'enlightenment' dan kemudian mencetuskan pelbagai revolusi di Eropah.

Derita melahirkan 'enlightenment' yang kemudian membiakkan revolusi, sama ada dalam politik atau sosial. Demonstrasi atau bukan.

Namun, dalam sejarah Melayu, kata revolusi tidak pernah ada, apatah lagi 'enlightenment', yang ada cuma pemberontakan dan penderhakaan. Apakah kerana aku dan kau tidak pernah mahukan pencerahan?

Pasal demo Hijau Kuning

Thursday, March 01, 2012 · Posted in , , ,

Dengar kata nanti ada demo Hijau Kuning, gabungan dua gerakan yang mana warna kuning mahu pilihan raya bersih dan satu lagi mahu tutup kilang Lynas di Pahang sana.

Memandangkan demo mengambil tema Hijau Kuning, aku cadangkan pihak sekretariat tetapkan tarikh demo serentak dengan perlawanan Liga Super membabitkan pasukan Kedah di KL. Dalam erti kata lain, polis akan keliru dengan modus operandi ini.

"Mana ada saya join demo encik. Saya nak pi tengok game Kedah ni," ujar seorang kutu yang siap sedia memakai jersi Hijau Kuning, tetapi dalam kocek tersimpan kain ikat kepala bertulis 'Pergi Jahanam Lynas'.

Tapi, aku rasa, mesti Sultan Bola tangguh punya game Kedah hari Sabtu tu.

Ceh..

Krisis atau terlebih bekalan lembu?

Saturday, January 28, 2012 · Posted in , ,



Kau boleh terang macam-macam pasal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) untuk mewajarkan projek mega kau.

Tapi, sebagai rakyat marhaen, setahu aku, belum pernah lagi aku terbaca pasal krisis daging meruncing berlaku di tanah Malaya ini. Malah, terlebih-lebih pula bekalan daging kita, terutama bila tiba Raya Haji, sampai kena tegur dengan ustaz-ustaz pasal perangai bazir tak tentu hala kita.

Pak-pak menteri pun boleh tahan sibuk juga masa Raya Haji. Masing-masing kalut mau derma lembu untuk dikorbankan. Tersilap derma, jadi pula isu rasuah atau beli undi.

Masa zaman Pak Lah dulu (2007), kompeni nama Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd (HCISB), yang ketika itu mendakwa ada pengalaman lapan tahun dalam hal ehwal perdagingan, mensasarkan mahu menampung 80 peratus keperluan daging tempatan menjelang 2010.

Mengikut perancangan, HCISB akan melantik 1,000 usahawan dan setiap seorang akan diberi 300 lembu untuk diternak secara fidlot selama enam bulan. Ertinya, setiap mereka bela 600 lembu setiap tahun.

Secara matematik, dalam setahun mereka hasilkan 600,000 lembu, 1.2 juta dalam tempoh dua tahun atau 1.8 juta pada 2010, lebih banyak daripada penduduk Pahang, di mana jumlah ini cukup untuk menampung permintaan daging segar yang memerlukan sebanyak 800,000 lembu setahun (mengikut anggaran keperluan daging ketika itu).

Sekarang, sudah dua tahun berlalu selepas 2010. HCISB entah ke mana, timbul pula NFC.

NFC cakap nak hapuskan monopoli, tapi monopoli siapa (HCISB?). Apakah menghapuskan monopoli dengan mewujudkan monopoli baru tindakan yang betul dalam usaha merancakkan ekonomi atau menampung pasaran? Kenapa tak rekrut usahawan daging kita dan biarkan pasaran bergerak bebas, biar setiap daerah atau negeri ada pusat lembu sendiri yang diuruskan orang yang memang pakar pasal lembu dan bukan pak Menteri yang tau nak pau duit saja.

Peliknya, krisis gula, ayam, tepung, susu, air dan harga rumah tak ada pula nak buat fidlot atau hapus monopoli bagai? Lembu yang tak adalah hebat sangat krisis bekalan tu pulak yang dikalutkan.

Betullah orang cakap, Melayu kalau meniaga dan mula nampak duit juta-juta, cepat kelabu mata. Ptuihhh..

Powered by Blogger.