Showing posts with label panik. Show all posts

Melayu dan Hantu

Friday, May 25, 2012 · Posted in , , ,


Aku buka tivi dan tertengok Misteri Nusantara (aku tak tau sama ada ini rancangan musim baru atau ulang siar). Cerita pasal kewujudan hantu yang menghuni di satu kawasan yang dipenuhi kereta eksiden. Lokasi dibuat di Thailand dan aku tiba-tiba keliru apakah Thailand termasuk dalam istilah Nusantara? Tapi itu tidak penting pun.

Kru tivi yang ditemani dua pemburu hantu pergi melihat kawasan bangkai kereta yang kebanyakannya diambil terus dari lokasi kemalangan dan kau dapat tengok kesan darah kering dan rambut manusia masih melekat. Aku rasa Horatio Caine pasti teruja kalau dapat menziarah tempat ini untuk menguji daya taakulannya.

Sampai di sebuah bangkai bas, yang didakwa pemburu hantu Thai ia menyebabkan kematian beberapa budak sekolah, seorang pemburu hantu itu menawarkan diri duduk di dalam bas untuk merasai fiil didekati hantu.

Tidak sampai 20 minit, ada bunyi ketukan dari atas bumbung bas dan si pemburu hantu telan air liur, tapi dia masih steady. Selepas itu, selesailah rancangan kerana kewujudan hantu dapat dibuktikan.

Aku anggap bunyi ketukan itu berpunca daripada cuaca sejuk waktu malam. Aluminium bumbung, yang tentunya berkarat dan meleding kerana terdedah lama kepada cuaca tropika (panas-sejuk), menyebabkan berlaku gelembung bunyi yang boleh saja kedengaran seperti ketukan, pijakan, bukaan pintu dan nafas manusia.

Situasi sama juga boleh berlaku pada objek mekanikal yang tidak diselenggara atau dipasang dengan betul.

Macam kereta aku, masalah madgad lopong (yang tertanggal kerana meredah banjir) menyebabkan kereta aku menghasilkan satu bunyi seakan bersinan blow-off daripada kereta turbo setiap kali aku cuba memecut. Sah, kalau kereta aku dinaiki kru Misteri Nusantara, aku syak dia orang akan suspek kereta aku ada hantu bersin.

Lif flat aku pun sama juga, akan ada bunyi ketukan dari atas bumbung kerana plat besi menggelembung dan bergesal akibat tidak dipasang betul. Sudahnya, ada bunyi seperti seekor Ju On mengetuk bumbung lif meminta orang ramai macam aku melepaskannya daripada tambatan.

Dan sebagai Melayu tulen, mereka biasanya akan rasa cuak secara tiba-tiba (sambil duduk diam dan beristighfar) dan esok hari pula begitu teruja mahu berkongsi pengalaman ngeri itu kepada rakan pejabat.

Pasal Twister

Monday, April 16, 2012 · Posted in , , , ,


Ayie cakap dia nampak seekor anjing hitam gigit dan lambung Twister  tinggi sebelum terkam dan ratah kucing tu. Aku tak tau sama ada Ayie membesar-besarkan cerita untuk kesan lebih dramatik. Tapi apa yang aku perasan jantung aku sedang berderau.

Jauh di tengah padang mainan, aku nampak perut Twister kembang kempis. Dia nampak macam nazak dan mata dia terkebil-kebil sambil mulut cuba mengiau tapi tak ada sebutir suara pun keluar sebab sakit sangat.

Kalau Twister lari panjat pokok atau terjun longkang, dia tak akan kena terkam dengan Hitam. Tapi, sebagai kucing yatim, mungkin dia tak tau spesies anjing tu musuh. Mungkin Twister ingat anjing tu datang cari tilam atau surat khabar lama.

Dari dekat aku nampak kesan gigitan Hitam di peha Twister. Bila aku cuba angkat, badan Twister rasa lembik semacam, seperti papah orang lumpuh dengan kaki meleret tak bermaya (tapi sebenarnya aku tak pernah pun angkat orang lumpuh).

Kami lapik Twister dengan kain buruk dan letak dalam pagar surau. Aku ambil air, tuang atas tapak tangan dan titis dalam mulut Twister. Orang cakap, kita akan jadi cepat haus bila sakaratul maut.

Sebab risau Hitam patah balik untuk makan Twister, kami pindahkan dia ke tepi tangga. Kami mula rasa bersalah sebab biarkan Twister sakit macam tu.

Kami patut hantar dia pergi klinik. Tapi mana ada klinik haiwan buka malam-malam buta macam ni. Jadi kami buat keputusan balik rumah dan buka Internet untuk cari klinik haiwan terdekat. Ada satu di KL (aku tak ingat di mana) dan aku cadang bawa Twister pergi klinik esok.

Esok pagi sebelum pergi kerja, aku tengok Twister sekali lagi. Mata dia penuh tahi dan hidung dia ada kesan hingus dan darah kering. Mungkin organ dalaman dia sudah dijangkiti kuman. Dia nampak macam kritikal sangat.

Aku baca doa dan hembus atas ubun-ubun Twister. Matanya menipis, seakan pasrah yang aku takkan ambil MC semata-mata untuk bawa dia ke klinik haiwan. Dia macam  bercakap, pergilah kerja, tak payahlah risaukan aku. Aku tau jaga diri.

Aku rasa bersalah gila. Sepanjang hari semua kerja aku buat jadi huru-hara. Aku terbayangkan, aku kena serang dengan gengster (orang Nigeria) dalam dunia kucing dan kaki aku patah. Kemudian, semua kucing tak pedulikan aku sebab dia orang perlu pergi kerja, walhal aku sedang nazak.

Balik kerja aku nampak Twister berjalan macam Ju-On.

Pasal kucing dan panik

Monday, April 09, 2012 · Posted in , , ,


Dulu di rumah bujang aku ada tiga ekor kucing comel yang kami beri nama Stokin, Chacha dan Twister. Aku syak tiga ekor kucing itu anak yatim yang kebetulan berjumpa di apartment kami, kemudian saling berkenalan dan bersumpah menjadi adik beradik.

Kalau kau orang masih ingat, dalam entri aku yang lamaaaaa dulu, aku ada cerita pasal insiden brader-brader apartment buat operasi tangkap anjing liar yang menyelinap masuk ke kawasan kediaman kami.

Tapi insiden pencerobohan tersebut tak berhenti di situ saja. Tak sampai sebulan selepas kes brader Sham dan Zul kepung anjing dan taruk masuk dalam kotak, ada seekor lagi anjing masuk apartment kami.

Aku yang masa tu sedang menonton tivi (tak ingat cerita apa), biasanya buat tidak peduli saja. Cuma kalau bunyi terlalu mengganggu, aku akan jenguk muka tepi tingkap dan buat suara harimau mengaum ataupun bunyi anjing jenis Rottweiler menyalak. Macamlah suara aku dapat buat anjing liar tu takut dan lari keluar.

Tapi, malam tu tiba-tiba Ayie masuk dari muka pintu dengan wajah penuh suspen.

"Twister kena makan anjing!"

Sebenarnya kata 'makan' yang dimaksudkan Ayie ialah gigit dan dia sebut makan sebab panik sangat masa tu.

Tiba-tiba aku teringat kisah kawan aku, Amin eksiden bawa kereta jatuh parit dan luka di kepala. Masa tu, kawan aku, Man yang panik dan cuba beraksi tenang telefon mak Amin dan dia cakap:

"Amin takde apa pun makcik. Dia cuma jatuh gaung saja."

Powered by Blogger.