Showing posts with label kapitalisme. Show all posts

Kita yang miskin, mereka yang kaya

Wednesday, December 19, 2012 · Posted in , , ,



Masyarakat yang stabil adalah masyarakat yang cakna atau peka dengan situasi sosial mereka. Dan kestabilan ini dapat dilihat menerusi kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bukan berorientasikan wang ringgit atau dipengerusikan manusia politik.

Ini kita dapat dilihat pada masyarakat Barat, di mana NGO di sana memainkan peranan proaktif menjaga kestabilan sosial mereka. Ada saja perkara yang mahu diperjuangkan dan setiap individu rasa diwakili dan ada ruang bersuara. Yang penting, bebas kepartian.

Namun kesedaran menubuhkan NGO itu sebenarnya dimulakan dengan semangat individu, yakni apa saja kebaikan yang mahu dilakukan adalah bermula daripada diri sendiri.

Contohnya, semangat cintakan sungai sepatutnya bermula daripada diri sendiri. Semangat itulah yang akan tempias kepada manusia lain dan kemudian menular kepada komuniti lebih besar. Hinggakan ke satu tahap tidak kira siapa kau, bapuk ataupun lesbian, masing-masing akan merasakan perbuatan mengotorkan sungai itu satu perkara paling hina dan jelik.

Tidak perlu menunggu tertubuhnya NGO kebersihan yang kau anggap bodoh, sedangkan kau itu yang bodoh kerana tidak buat apa-apa.

Tapi, NGO kita bodoh. Berpaksikan manusia politik untuk bergerak. Sudahnya, dasar mereka jadi tempang. Aku tak kisah kau mahu jadi NGO Melayu yang penuh nasionalis, ortodoks, konservatif dan rasis. Tapi tolong jadi neutral dan tunjukkan pendirian kau.

Apabila juak kau rembat tanah orang Melayu, kau diam, tapi bila juak lain rembat tanah Melayu, kau bising dan terpekik.

Kau tahu kenapa perkara ini berlaku?

Semuanya kerana wang. Kau kalut mengejar wang yang kau rasa mampu memberikan bahagia. Dan kau lupa masa yang dibuang sepanjang mencari wang itu adalah faktor utama menghalang kau turun padang menunjukkan semangat individu bebas kerajaan. kau tak ada masa mahu melayan isu-isu sosial itu.

Kau tidak pernah mahu mengawal wang, sebaliknya rutin kau bekerja demi wang. Sampai mati. Bila kau tiada wang, macam mana kau mahu membeli masa.

Jadi wahai manusia-manusia baik, rancang finansial kau, jadilah senang dan kaya supaya kau dapat beli masa kau untuk tunjukkan kebaikan kepada manusia sekeliling kau. Ini bukan zaman orang miskin yang terpekik, sedangkan yang kaya terus kaya, bakhil, kikir dan takabbur.

Alam yang hilang

Friday, October 05, 2012 · Posted in , , , ,


Lambat sikit cerita pasal bajet. Aku sebenarnya tak naklah kritikal sangat sebab bukan pakar ekonomi pun.

Cuma aku tak suka bajet yang berbentuk one-off tanpa kau buat apa-apa. Apatah lagi mengambil kira status Malaysia sebagai negara kapitalis (separuh masak). Sebab dalam hukum mudah kapitalisme, apa saja habuan yang kau terima mesti ada sandaran. Ada jual beli atau servis atau kerja. Hukum inilah yang mengitar dan memakmurkan sistem ekonomi kapitalis sesebuah negara.

Asalkan kau menyanjung nilai moral dan selagi ada kudrat dan pemikiran, jika kau mahu duit, kau kena kerja atau buat sesuatu. Duit one-off atau free tu hanya untuk kanak-kanak, orang sakit terlantar, hilang akal, atau seumpamanya.

Jadi, apa saja cubaan one-off adalah tindakan populis berbaur politik tidak kiralah ia dilakukan juak kerajaan atau pembangkang.

Kalau kerajaan banyak sangat duit tapi tak tahu nak fikir apa melainkan buat satu skim one-off '1M', apa kata sandarkan skim itu kepada satu-satu kerja.

Misalnya, kerja mengutip sampah di Sungai Klang (atau mana-mana tempat) dengan kuantiti sampah sekian-sekian (contoh: 50kg) akan dibayar RM200. Kerja ini boleh dibuat secara separuh masa saja dan terbuka kepada semua warga Malaysia. Rakyat gembira dapat duit dan kerajaan dapat wujudkan suasana perbandaran bersih. Situasi menang-menang.

Bukan apa, bajet kali ini tak ada langsung yang menyentuh pasal alam sekitar yang sebenarnya ada sangkut paut dengan spiritual manusia. Dan kau tanyalah diri sendiri bila kali terakhir kau  lihat bintang di langit KL atau langit biru tanpa jerebu atau pohon hijau dan sungai mengalir segar.

Kerana alam inilah yang membuatkan kita menjadi akrab dengan Sang Pencipta, juga membawa kita mengenali diri. Bukan dengan menatap gunung konkrit, matahari neon dan sungai kereta yang memaksa kita memuja manusia dan material dunia.

Powered by Blogger.