Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Sejarah aku, kau dan kita

Monday, December 09, 2013 · Posted in , , ,


Hari itu kecoh sebentar pasal isu tapak sejarah candi Lembah Bujang di Kedah. Mengamuk sekejap aku dalam Facebook. Haha.

Bagi pembaca awal blog aku dulu, kau tentu sedar betapa sensitifnya aku pasal benda-benda sejarah ini. Ada banyak entri aku tulis mengenai kebebalan kita menjaga benda sejarah seperti di Melaka, Langkawi, termasuk isu berhala jam sebelah Kaabah bagi umat Islam.

Dan aku selalu tegaskan betapa perihal memelihara, menyayangi dan menghormati monumen, tapak, tempat atau apa saja objek sejarah bukanlah bermakna kau seorang rasis Melayu yang mahu menegakkan kedaulatan ketuanan atau ada kena mengena dengan kesyirikan, apatah lagi kemurtadan.

Walaupun sejarah tidak dapat lari daripada menyentuh hal bangsa (race), tetapi pada masa sama juga menyimpan aspek lebih besar iaitu tentang nusa (nation), yakni tanah tumpah darah kita atau era ketamadunan hari ini disebut sebagai negara (country/state).

Sama seperti hal bahasa. Aku mempertahankan bahasa bukan sebab faktor Melayu seperti sesetengah pihak yang mengamuk tak tentu hala pasal isu Melayu. Tetapi, bahasa itu sendiri adalah hak nusa dan patut dipertahankan oleh bukan saja orang Melayu tetapi semua bangsa yang pernah lahir di negara ini. Aku ulangi, ia perihal nusa.

Sama seperti bahasa Inggeris di England, bahasa Arab di Timur Tengah dan bahasa-bahasa lain. Ia bukan bermakna isu menjaga bahasa itu cuma rigid kepada orang putih/Inggeris atau bahasa Arab untuk orang Arab saja. Tetapi ia sepatutnya menjadi kecintaan bagi sesiapa saja yang lahir di nusa itu.

Samalah isu sejarah.

Jangan fikir sejarah hanya pasal orang lain atau benda yang sudah mati dan sebahagian subjek lulus periksa yang kau perlu tinggal selepas ujian selesai. Aku pun tak minta kau ambil jurusan sejarah atau sertai mana-mana NGO sejarah untuk faham benda ini. Tapi cukup saja kau pandai menghormati.

Kita masuk dalam konteks lebih kecil. Analoginya begini.

Pernah tak kau rindukan zaman kecil? Ketika kau, ibu ayah dan adik beradik lain tidak dipisahkan jarak dan masa? Kau teringatkan garangnya ayah, sabarnya ibu. Kau teringatkan detik kau bergaduh, bermain, menangis dengan adik beradik. Dan sesekali apabila kau berjumpa beramai-ramai dengan mereka, kau akan sebut dan ulang cerita-cerita lama itu.

Kau juga rindukan zaman belajar yang simpan banyak cerita pasal kawan-kawan, asrama, cikgu, cinta monyet, konvokesyen dan macam-macam. Bila berhimpun beramai-ramai, sekali lagi kau sebut dan ulang cerita-cerita yang sama. Dan kau tak pernah bosan pun dengan semua cerita itu.

Kau juga teringatkan tentang saat kau berkenalan dan bercinta dengan isteri kau. Kau teringat pasal hadiah hari jadi, pasal tengok wayang, pasal cari hantaran kahwin, pasal tempat makan kegemaran dan macam-macam. Dan sesekali bila kau datang semula ke tempat itu atau merasai sesuatu (seakan dejavu) yang ada kena-mengena dengan situasi dulu, kau pun bercerita dengan dia. Sedikit pun tidak pernah jemu. Kau rasa rindu. Kau rasa mahu mengulanginya semula.

Mungkin juga sesuatu perkara itu bukan yang indah saja. Boleh jadi kenangan pahit. Misalnya, tempat kau berpisah dengan makwe lama, tempat kau kemalangan, tempat kawan atau saudara kau meninggal, tempat datuk nenek kau pernah berperang dengan Jepun dan syahid di situ. Tetapi apakah kepahitan hidup yang kau rasai itu buatkan kau lupa? Malah melihat 'ada'nya tempat-tempat itu mengembalikan semula nostalgia lama untuk kau muhasabah dan insafi diri dan belajar tentang hidup yang fana. Buat kau lebih ingat dan rindukan mereka. Buat kau cuba menjadi manusia.

Sekarang, apabila masa dan jarak semakin menjauh, kau mula mencari sesuatu untuk dipegang, dilihat dan disimpan. Apatah lagi apabila orang yang kau sayang itu sudah pergi buat selama-lamanya. Kau mula menyimpan gambar, baju, seluar, kain pelikat, kain batik, keris, barang kemas, diari, dan apa saja yang mampu mengingatkan kau tentang mereka.

Sesekali apabila balik ke kampung, kau akan masuk ke bilik-bilik mereka dan terasa semangat dan kenangan dulu mengapung. Ia sesuatu yang sukar kau ungkapkan dengan kata-kata. Sesuatu itu adalah sejarah!

Kau akan marah dan sedih apabila anak kau tiba-tiba conteng gambar lama kau dan ibu ayah. Kau juga marahkan isteri kalau tiba-tiba dia buangkan entah baju lama mana yang kau simpan dalam almari. Kau kelam kabut cari kawan-kawan yang pandai IT untuk dapatkan semula gambar yang terpadam, termasuk minta kongsi semula gambar lama dulu.

Kau juga akan marah dan sedih kalau tiba-tiba ada adik beradik kau tanpa bertanya pendapat tiba-tiba pecahkan bilik arwah mak ayah kau untuk buat bilik lebih luas. Kau juga marah kalau entah siapa-siapa kontraktor cuba bina kompleks beli-belah depan simpang rumah.

Soalan aku, kemarahan dan kesedihan itu semuanya sebab apa? Kalau sejarah itu tidak memberikan apa-apa, buang saja segala kenangan dengan mereka yang kau sayang. Biarlah kau melihat ke depan saja. Maklumlah, benda lama bagi kau tak perlu dikenang dan tak beri apa-apa.

Pasal sejarah

Tuesday, March 05, 2013 · Posted in , ,


Cerita pasal Sulu. Jenuh juga aku buka laman web macam-macam untuk baca apa sebenarnya sudah berlaku di Sabah sana. Ada yang bergebang pasal konspirasi politik dan ada pula pasal cerita sejarah lampau yang dilupakan.

Kita humbankan sekejap pasal politik sebab kau boleh saja pergi baca blog pro parti masing-masing supaya hati kau boleh tenang dan pada masa sama mendengus, padan muka kau parti XX!

Ok, bercerita pasal sejarah. Sebenarnya ia sesuatu yang payah untuk diselesaikan kerana setiap pihak akan mendakwa mereka benar. Lebih buruk, terjadilah pertumpahan darah atau krisis kemanusiaan.

Namun, sebagai penganut real politik dan penyaksi siasah era moden, usahlah diungkit sejarah yang lalu. Biarlah ia tinggal sejarah sebab kita bukanlah pelaku yang terlibat dalam situasi zaman itu.

Ini kerana, sebenarnya banyak situasi dan keputusan sejarah dibuat orang-orang terdahulu yang mahu kita ungkit dan pertikaikan.

Misalnya, kenapa nenek moyang Melayu dulu menolak kewarganegaraan jus soli oleh British untuk kaum Cina dan India, tetapi kemudian menerimanya dan pada masa sama cukup rasis. Terdesak mahu merdeka atau gilakan politik kuasa?

Misalnya, kenapa Malaya tidak berjuang menentang Perjanjian Anglo-Siam yang memisahkan kita dengan negeri-negeri Melayu di Selatan Thai dan kini mencetuskan krisis pemberontakan dalam negeri di negara jiran itu.

Misalnya, kenapa Sultan Kedah pajak Pulau Pinang dengan terma selagi ada bulan dan bintang?

Misalnya, kenapa orang Melayu dan Islam masih begitu sanjungkan monarki yang gagal memberikan mereka apa-apa?

Memang susah difahamkan kerana kita bukanlah pelaku siasah pada zaman itu. Rasa seperti kau mahu naik mesin masa dan luku kepala mereka yang buat dasar bukan-bukan yang kemudian menyusahkan kita zaman sekarang.

Dan tidak mustahil juga cucu-cucu kita nanti pun berperasaan sama atas keputusan bodoh yang kita lakukan.

Tapi itulah yang aku tulis tadi. Usahlah diungkit sejarah yang lalu. Biarlah ia tinggal sejarah sebab kita bukanlah pelaku yang terlibat dalam situasi zaman itu.

Dan aku selalu bayangkan dunia ini tanpa negara dan kau bebas ke mana-mana tanpa prasangka.

Melankolia Jebat

Tuesday, May 22, 2012 · Posted in , , ,



Sejarah menulis, Jebat mengamuk kerana Sultan menghukum bunuh saudaranya, Tuah tanpa usul periksa. Jebat dilabel penderhaka, tetapi hari ini ramai menganggap beliau sebagai revolusioner pertama Melayu yang berani menyanggah daulah atas nama memerangi kezaliman.

Namun, sebelum Tuah difitnah dan dihukum bunuh dan disembunyikan Bendahara di dalam hutan sebelum dipanggil balik (atas idea Bendahara) dan dikerah pula membunuh Jebat (aku dapat bayangkan minda Tuah didoktrin ala tentera Nazi), tiada siapa pun tahu kejahatan apa lagi yang dilakukan Sultan selain hukuman bunuh ke atas Tuah.

Sedangkan Tuah yang bergelar Laksamana pun dihukum bunuh hanya kerana adu domba orang istana, tidaklah dapat dibayangkan nasib rakyat biasa lain yang dizalimi atau dituduh melakukan kesalahan yang belum dibuktikan bersalah.

Mungkinkah ada ramai isteri yang dirampas. Atau ada yang dibunuh kerana melintas dan tertonggeng depan Sultan sebab tak tahan mahu memerut. Semua itu kita tidak tahu pun kerana peel umat Melayu ketika itu sama saja seperti hari ini, mereka lebih gemar berlebong ceramah dan mendengar propaganda semata-mata daripada menulis catatan sejarah dan hal ehwal keilmuan mengenai alam seputar mereka.

Persoalannya, kalau Tuah tidak dihukum bunuh, apakah Jebat ambil peduli pasal perihal kezaliman Sultan terhadap orang lain? Aku rasa tak.

Cuma, dek hukuman tak masuk akal ke atas Tuahlah yang menyebabkan Jebat naik minyak. Mungkin fikir Jebat ketika itu, Tuah patut diberikan sedikit imuniti atas statusnya sebagai orang istana yang banyak berjasa, malah terbukti kesetiaannya. Malangnya, Tuah tak dapat apa-apa pengampunan pun, sebaliknya dihukum pula bunuh dan dendam Jebat meledak, lalu beliau mengamuk.

Jebat bukan penderhaka, tetapi apa dilakukannya itu (mengamuk dan menawan istana) tidaklah pula melayakkan beliau bergelar revolusioner. Beliau cuma lelaki yang terperangkap dalam melankolia kerana keliru kenapa Tuah diperlakukan sedemikian rupa.

Percayalah, Jebat sebenarnya langsung tidak pedulikan perihal rakyat Melaka dan orang Melayu pun.

Revolusi dan demonstrasi orang Melayu

Monday, May 07, 2012 · Posted in , , , , ,


Revolusi dan demonstrasi adalah dua kata berbeza yang kerap membuatkan kau keliru. Benar, sejarah mencatatkan demonstrasi (menerusi penentangan) adalah sebahagian daripada revolusi. Sekarang kau boleh sebutkan semua revolusi menerusi demonstrasi yang kau ingati seperti di Perancis, Amerika, Iran, Filipina dan Indonesia.

Tetapi, sejarah juga mencatatkan revolusi juga boleh berlaku tanpa demonstrasi. Dan sejarah juga menulis tentang betapa banyak demonstrasi yang tidak membawa revolusi apa-apa pun.

Dalam bahasa skema, revolusi ialah perubahan sosial atau budaya yang berlaku dalam skala masa pantas dan berkait rapat dengan kehidupan sesebuah masyarakat.

Aku tidak salahkan kau kalau kau sempitkan revolusi itu kepada revolusi politik semata-mata, sedangkan sejarah dunia ini juga ada revolusi sosial. Itupun kalau kau masih ingat tentang Revolusi Industri, tercetus di Britain sebelum merebak ke seluruh Eropah dan Amerika pada abad ke-18 dan 19.

Namun, sebelum revolusi itu berlaku (yang membuatkan kau dan aku sekarang lebih mencintai makhluk tidak bernyawa seperti duit dan kereta), Eropah terlebih dahulu melalui revolusi sosialnya menerusi zaman pencerahan, 'Enlightenment' seawal abad ke-16.

Pada zaman itu, lahir beratus-ratus cendekiawan Barat dalam pelbagai bidang. Falsafah. Agama. Fizik. Kejuruteraan. Astronomi. Sastera. Politik. Kimia, Perubatan. Undang-undang. Banyak lagi.

'Enlightenment' muncul atas sikap kuriositi orang Eropah untuk menentang dogma agama dan politik istana. Ia (kuriositi) meluap-luap disebabkan dasar agihan ekonomi tidak seimbang dan undang-undang barbarian yang menyebabkan kehidupan rakyat menjadi derita.

Ya, sekarang kau mesti ingat tentang kata DERITA. Inilah punca utama yang mendorong kepada kemunculan 'enlightenment' dan kemudian mencetuskan pelbagai revolusi di Eropah.

Derita melahirkan 'enlightenment' yang kemudian membiakkan revolusi, sama ada dalam politik atau sosial. Demonstrasi atau bukan.

Namun, dalam sejarah Melayu, kata revolusi tidak pernah ada, apatah lagi 'enlightenment', yang ada cuma pemberontakan dan penderhakaan. Apakah kerana aku dan kau tidak pernah mahukan pencerahan?

Makam Mahsuri atau Pasar Mahsuri?

Thursday, February 16, 2012 · Posted in , , ,



Cuti raya Cina lepas, aku pergi melancong ke Langkawi selepas lebih kurang lima tahun tidak ke sana.

Pelancong sudah semakin ramai dan suasana agak kalut, terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti di makam Mahsuri dan kereta kabel hingga buatkan aku insaf dan bertekad untuk tidak lagi ke pulau lagenda ini melainkan cuti hari biasa.

Tipikal negara dunia ketiga, apabila tiba musim perayaan, maka harga barang dan sewa pun meroket berkali ganda. Aku hairan, apakah sudah menjadi budaya kita untuk naikkan harga barang pada hari-hari tertentu seperti musim cuti sekolah, hari raya dan cuti umum lain. Tidak bolehkah harga hari biasa dikekalkan untuk musim perayaan kerana bukankah volum pelancong bertambah? Kenapa nak 'kapur' orang ramai masa ni?

Tapi, bukan pasal harga yang mahu aku tuliskan. Aku sebenarnya mahu sentuh pasal makam Mahsuri dari segi apresiasi dan semiotik sejarah.

Aku pernah tulis pasal kebodohan kerajaan Melaka membangunkan kawasan sekitar A Famosa hingga membuatkan kota bersejarah itu dikepit hutan batu yang tak ada nilai sejarah langsung.

Bagi aku, Melaka harus kekal sebagai negeri yang 'menjual' nilai sejarahnya dan memang itulah tujuan orang datang ke Melaka pun. Orang pergi Mekah untuk melihat tinggalan Nabi dan para sahabat. Orang pergi Paris untuk Eiffel Tower dan kesan Revolusi Eropah. Orang pergi Rom untuk Colosseum. Orang pergi Phuket untuk bersantai di pantai indah dan orang ke Melaka untuk apa? Naik menara Taming Sari?

Berbalik pasal Langkawi dan Mahsuri, semua tahu pasal legenda Mahsuri yang difitnah dan ditikam mati hingga terpancut darah putih daripada tubuhnya. Cerita ini cukup mahsyur di kalangan rakyat Malaysia, terutama orang Kedah. Dan jangan terkejut kalau aku katakan Mahsuri akan tetap mahsyur untuk 1000 tahun lagi berbanding filem Ombak Rindu atau Neelofa.

Di Langkawi, makam Mahsuri, yang dipercayai menjadi tempat Mahsuri dikuburkan, menjadi antara destinasi pelancongan yang jarang sunyi dengan pengunjung. Ada saja pengunjung datang walaupun cuti hari biasa. Mahsuri sudah lama menjadi ikon Langkawi, semahsyur William Wallace di kalangan warga Scotland.

Malangnya, makam Mahsuri yang dibina semula dan dilengkapi muzium, teater tradisional dan rumah Kedah kini bertukar menjadi seakan tapak pasar yang langsung memusnahkan nilai semiotik tempat tersebut.

Gerai makan dan cenderamata dibina dalam kawasan tapak makam, malah air telaga Mahsuri diproses dan dijual sebagai air minuman kepada pengunjung? Jika dulu ada sebuah rumah Kedah yang dibina atas tapak rumah Mahsuri, tetapi kini ditambah pula rumah Panglima Hitam dan zoo mini.

Malah, kawasan makam dan ruang jalan kaki yang dulu luas, kini menjadi sangat sempit. Pengunjung perlu beratur dan terjenguk-jenguk melihat plak makam. Tiada langsung ruang pengunjung duduk tenang, bertafakur dalam diam sambil menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah.

Makam Mahsuri yang sepatutnya menjadi dataran sunyi dan pilu, kini menjadi pasar yang bising. Kau boleh saja bayangkan kau pergi ziarah kubur orang tersayang yang di sebelahnya tapak pasar malam.


Cuba lihat Taj Mahal. Makam itu menjadi tanda cinta Shah Jahan buat isterinya, Mumtaz Mahal yang dibina pada 1632-1653. Cuba tunjukkan aku gambar gerai makan dan cenderamata di sepanjang laluan ke Taj Mahal.

Kenapa kerajaan India tak benarkan orang berniaga sepanjang laluan itu? Ini kerana Taj Mahal ialah tempat orang merasai fiil tentang betapa hebatnya cinta seorang lelaki kepada seorang wanita. Ia makam cinta. Dan fiil tersebut takkan dapat kau rasai jika Taj Mahal menjadi kawasan seakan pasar yang bising, sempit, kotor atau dikepit bangunan tinggi lain.

Semua simbol/monumen budaya adalah tanda kerana kita memang hidup di dunia yang penuh dengan tanda. Diri kitapun sebahagian daripada tanda itu sendiri dan semua tanda tersebut kemudian diberikan makna sebagai 'ada' supaya kita memahami kehidupan ini. Lalu, manusia melalui kemampuan akalnya berupaya berinteraksi dengan tanda itu sebagai alat untuk mencapai makna yang mahu disampaikan.

Jadi, apa semiotik makam Mahsuri? Ia adalah tanda kepada kita mengenai malapetaka dan kesucian. Ia kawasan kesedihan dan air mata. Mahsuri sudah lama mati, tapi makamnya menjadi tanda dan memberi makna supaya kita memahami kisah tragis tersebut. Jangan cuba hapuskan tanda ini.

Kalau mahu jual makan, beli cenderamata atau air minuman telaga Mahsuri, pergi Pekan Kuah. Atau buat satu kawasan yang jauh dari makam. Kawasan sekitar makam biarkan lapang, tanamkan bunga kemboja, sediakan bangku dan haramkan sebarang binaan tinggi untuk pengunjung berteleku.

Jangan jadi bodoh. Menghargai semiotik ini bukan syirik. Jangan jadi Arab Saudi yang punggah habis tinggalan Nabi dan bina jam besar sebelah Kaabah!

Antara faham, tahu dan buta seni

Tuesday, February 22, 2011 · Posted in , , ,

zebra crossing n eiffel tower adalah warisan bangsa dari bangsa itu sendiri,memang wajar diagungkan oleh mereka.. tapi a-famosa adalah warisan penjajah yg dijadikan warisan bangsa.. tiada kewajaran pun untuk diagungkan.. biarlah ia tersepit antara hutan batu kerana berbangga dengan menara taming sari adalah lebih bererti bg pewaris bangsa yg punya identiti. - anonymous

Komen di atas aku dapat untuk entri ni. Ikutkan, memang aku nak jawab terus. Tapi, bila difikir-fikir, sedap pula buat entri ketika idea tengah kontang mau tulis blog.

Bagi aku, sesuatu monumen atau apa-apa binaan tidak boleh ditafsir secara satu hala atau satu lapis makna saja. Tambahan lagi kalau monumen itu ada unsur sejarah yang kuat, tidak kira sama ada sejarah itu menyimpan catatan kemenangan atau kekalahan dalam pembentukan sesebuah negara moden hari ini.

Selepas era Perang Dunia Kedua, semua sejarawan dunia, tanpa mengira Muslim, Kristian, Buddha, Hindu dan atheis yang bergabung di bawah Unesco bersepakat bahawa apa saja monumen sejarah perlu dipulihara kerana ia adalah dokumentasi tentang perilaku umat manusia sebelum kita.

Namun, dalam usaha memulihara monumen bersejarah itu, ada dua kelompok penentang yang tak ambil pusing langsung tentang makna semiotik yang tersimpan dalam sesebuah binaan lama itu. Pertama, kelompok kapitalis yang menghalalkan apa saja upacara pecah tanah atas dasar 'kemakmuran' ekonomi. Dan kedua, kelompok buta seni yang salah seorang adalah anonymous di atas.

Antara kelompok buta seni terkenal lain ialah Taliban yang berfatwa mengebom patung Buddha Bamyan di barat laut Kabul dalam wilayah Hazarajat, Afghanistan yang dibina pada 507 Masihi pada 1999.

Ok, untuk memudahkan pemahaman kita, jom kita ikuti penerangan bergambar di bawah:

Piramid Khufu di Giza adalah antara 138 piramid yang dibongkar setakat 2008 di Mesir. Ya, semua sedia maklum bahawa piramid di Mesir adalah kubur Firaun. Cilake orang Mesir, sungguh khurafat dan syirik korang memulihara kubur dan menyimpan mumia di dalam muzium!

Ziggurat adalah kuil atau tempat sembahyang bagi penduduk Sumeria, Babylonia, Elamite, Akkadia dan Assyria yang kini menjadi sebahagian daripada Iran dan Iraq. Antara ziggurat terkenal ialah Great Ziggurat of Ur dan Aqaf Nur di Iraq; dan Chogha Zanbil dan Sialk di Iran. Matilah korang orang Iraq dan Iran, sampai begitu sekali korang menjaga kuil yang syirik lagi mensyirikkan itu!

Hagia Sophia adalah basilica, tempat berhimpunnya paderi atau bishop pada era Empayar Rom Timur. Ia pernah berfungsi sebagai gereja Katolik sebelum ditukar fungsinya kepada masjid selepas kerajaan Constantinople tumbang kepada askar Sultan Mehmed II. Sekarang, Hagia Sophia dijadikan muzium oleh kerajaan Turki. Woi, Islam apa korang ni. Bekas gereja buat muzium. Sultan Mehmed tu mesti Islam nama saja sebab sampai hati dia guna gereja untuk buat masjid!


Ya, inilah yang kita mahu. Menara jam terbesar dunia. Overshadow Kaabah pun tak apa, asalkan kita dapat buktikan kepada dunia keunggulan Islammmm!! Takbirrrrr!!! Nanti ada duit lebih, kita bina lagi jambatan kasi cross atas Kaabah. Ada duit lagi kita taruk pulak bumbung supaya jemaah tak kena hujan. Ini kerja amalll.. Takbirrrr!!!!!

Tuan hamba. Lihatlah menara ini betul-betul. Bukankah rekabentuknya penuh kehalusan kesenian nusantara? Gila agaknya kalau tuan hamba semua tidak nampak kesenian tamadun Melayu di menara itu. Kalau arwah Hang Tuah masih hidup, nescaya menangis gembiralah laksamana itu sampai tujuh hari tujuh malam adanya. Lagipun, ia juga boleh memuatkan 66 penumpang untuk ditembak naik ke langit. Tidakkah teknologinya begitu berfalsafah sekali? Biarpun teknologinya dari Switzerland, itu usahlah dikisahkan. Apa yang penting seni! Faham tak, apa itu seni!

p/s: Aku lupa, ada satu lagi kelompok yang asyik kondem mana-mana monumen atau binaan. Yang ini tak kira bersejarah atau tak? Yang dicari dan dikaji ialah bangunan tu ada bentuk salib tak? Atau ada bentuk mata dajjal? Ini kumpulan memang kena duduk dalam khemah atau reban ayam.

Antara Abbey Road dan Kota Melaka

Friday, January 14, 2011 · Posted in ,

Gambar di atas adalah lintasan pejalan kaki (zebra crossing) Abbey Road di barat laut London. Lintasan tersebut pernah digunakan band legenda dari England, The Beatles sebagai kulit album studio ke-11 mereka, 42 tahun lalu (1969).

Bulan lepas, Menteri Warisan Britain, John Penrose mengambil langkah melindungi lintasan tersebut dengan mengisytiharkannya sebagai tapak warisan, susulan reaksi daripada nasihat jabatan warisan Inggeris.

Kini, lintasan tersebut sudah dimasukkan dalam senarai warisan Gred II oleh Penrose walaupun timbul beberapa dakwaan yang menyatakan kedudukan lintasan itu bukan lagi berada di lokasi asal seperti dalam album Abbey Road.

Namun, berdasarkan imej pada album, ramai peminat-peminat muzik dari seluruh dunia, termasuk band-band terkenal, bersetuju menjadikan lintasan itu sebagai tempat ritual seni yang wajib dilawati jika kau mengaku cintakan muzik. Bagi kerajaan Britain, ia menjadi tempat ikon kebudayaan dan sejarah negara itu yang mencetuskan fenomena muzik seluruh dunia.

Lintasan dan kawasan sekelilingnya hendaklah dipulihara dan dijaga seperti yang terpapar pada imej kulit album tersebut dan tiada binaan tambahan dibenarkan didirikan. Semuanya untuk mengekalkan mood dan suasana 70-an sama seperti pada zaman ketika album itu dilancarkan.

Sebaliknya, nun jauh di rantau ini, orang Malaya yang mengaku leluhur mereka amat kaya dengan budaya dan ketamadunan, sejauh manakah kita menghargai bangunan ikon budaya dan sejarah kita?

Misalnya, di Melaka, suatu masa dulu kawasan sekitar kota A Famosa, dikenali Dataran Pahlawan, terbentang luas dan kau tidak perlu mendaki bukit atau menaiki menara Taming Sari (yang huduh) untuk melihat Selat Melaka. Dan kau senang saja berimaji tentang keadaan umat nusantara pada abad ke-15 sambil membayangkan bagaimana berakhirnya riwayat Kesultanan Melayu Melaka hingga tertegaknya kota Portugis itu.

Sekarang. Semua kesan dan tinggalan sejarah itu habis ditenggelamkan bangunan-bangunan moden. Kota lama itu kelihatan kerdil dan mati dikepit hutan-hutan batu atas nama ekonomi pelancongan.

Kau tengok Menara Eiffel. Kau tengok kawasan sekelilingnya. Tiada monumen lain dibina untuk menyaingi ikonik Eiffel. Menara itu dibiarkan gagah berdiri kerana orang Perancis melihat Eiffel sebagai binaan yang melambangkan kebangkitan intelektual dan nikmat demokrasi yang diraih mereka sejurus tercetusnya Revolusi Perancis.

Aku tidak tahu sejak bila orang Malaya semakin buta sejarah. Mungkin sejak juak Arab Wahabi datang ke tanah Malaya dan berjaya mengarabisasikan seluruh pemikiran dan budaya umat Melayu dan nusantara. Ataupun, kita sememangnya sudah tidak faham lagi makna budaya dan sejarah sejak pandai meletakkan apa saja perkara dalam dunia ini atas nama ringgit.


Dua ikon sejarah yang mendapat layanan berbeza

Melayu di Kaca Mata Mendiang Swettenham

Tuesday, December 01, 2009 · Posted in

Orang Melayu berbadan pendek, gempal dan tegap. Rambutnya lurus dan hitam, warna kulitnya gelap, hidung dan bibirnya agak tebal dan matanya cerdas dan cerdik.

Biasanya dia bersifat baik hati, gerak gerinya sopan dan senang berbicara.

Orang Melayu tidak pernah menikus, tetapi dengan orang tidak dikenali dia agak pendiam dan agak curiga walaupun tidak ditunjukkan.

Dia seorang yang berani dan amanah dalam menjalankan tugas, tetapi da juga bersikap suka berbelanja, suka meminjam wang dan lambat pula membayar balik.

Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka.

Dia mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan sebab itu kadang-kadang dia juga bercerita tentang hal orang.

Dia pengikut Muhammad dan percaya kepada takdir, tetapi juga percaya kepada tahyul.

Dia tidak pernah minum sebarang minuman memabukkan, jarang-jarang sekali menghisap ganja. Tetapi gemar berjudi, menyabung ayam dan permainan lain seperti itu.

Dia semula jadi suka bersukan, pandai menangkap dan menjinakkan gajah, nelayan yang mahir dan sungguh cekap sekali dengan perahu.

Tetapi yang penting sekali dia seorang yang konservatif, bangga dan cintakan tanah air dan rakyatnya, memuliakan adat resam, takut kepada raja dan menghormati pihak berkuasa.

Tetapi dia mencurigai semua jenis pembaharuan dan akan menentang apa-apa pembaharuan yang dipaksa ke atasnya.

Residen Inggeris Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham - 1850-1946



Powered by Blogger.