Showing posts with label Patriotisme. Show all posts

Pasal lupus kenderaan

Wednesday, November 20, 2013 · Posted in , ,


Sebenarnya, cadangan lupus kenderaan lama sudah dibuat oleh Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) pada 2007 (rujuk SINI.) Tetapi ditentang hebat pelbagai pihak.

Selepas 6 tahun berlalu, cadangan yang sama kedengaran lagi. Kali ini yang memberi cadangan ialah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon (rujuk SINI). Pun ditentang hebat juga.

Cuba bayangkan cadangan itu dilakukan 6 tahun lalu, sudah tentu kita sudah dapat tahu sama ada hasilnya positif atau negatif. Jika pun cadangan itu tidak dilaksanakan, setidak-tidaknya ada pihak berusaha merangka mekanisme menyeluruh ke arah mewujudkan dasar pelupusan kenderaan lama.

Malangnya, apa pun tidak ada. Dan kita sekali lagi mungkin akan menunggu 6 tahun lagi (2019) untuk mendengar cadangan yang sama dan kemudian sekali lagi bergaduh komen dalam Facebook.

Asasnya, aku memang menyokong usaha mewujudkan dasar pelupusan kereta lama. Aku pernah tulis entri pasal lambakan kereta di Malaysia yang mana populasinya hampir sama banyak dengan jumlah penduduk negara ini.

Tengoklah sekeliling. Di flat aku menyewa sekarang, dua tahun lepas kereta yang diparkir bukan dalam kotak parkir cuma selapis. Tetapi sekarang sudah jadi dua lapis dan kau perlu 2-3 kali pusing untuk cari ruang parkir kosong sebelum parkir kereta kau dan riliskan brek tangan supaya orang lain dapat tolak ke depan dan belakang pada esok pagi.

Ya, situasi itu berlaku dalam tempoh dua tahun saja. Dan jangan hairan dua tahun lagi akan jadi tiga lapis dan mungkin ada yang terpaksa parkir kereta mereka di tepi jalan-jalan utama. Mungkin juga padang bola sebelah flat itu akan dijadikan kawasan parkir. Segalanya mungkin.

Dan kalau kau berjalan-jalan di kawasan perumahan bukan apartment atau flat, kau pasti terperasan pemandangan yang sukar dilihat sekitar lebih 10 tahun lalu. Kalau dulu rumah yang banyak kereta adalah rumah bujang atau rumah orang kaya, tetapi kini sebuah rumah sudah ada lebih daripada dua kereta.

Jadi, mahu tidak mahu kita mesti berfikir, merancang dan melaksanakan mekanisme pelupusan kereta. Tak usahlah difikirkan pasal lupus kenderaan 12 tahun kerana depot khas untuk menempatkan kereta-kereta yang mahu dibuang pun kita tidak ada.

Sekarang satu-satunya alternatif buang kereta adalah di kedai-kedai kereta terpakai. Maklumlah, takkanlah nak buang saja. Sekurang-kurangnya dapatlah juga duit ye tak? Untunglah kalau kereta kau masih ada harga. Kalau kereta tak laku, kau pun ambil keputusan buang tepi sungai, dalam semak, tinggal belakang bangunan lama atau biar saja depan rumah. Tak percaya? Datang flat aku sekarang.

Kenapa pelupusan kereta lama ini diperlukan?
Pertama, bagi negara pengeluar kereta, mekanisme pelupusan kenderaan adalah satu cara jaminan survival industri automotif nasional. Bayangkan kau pakai Proton Saga sampai 20 tahun, macam mana industri automotif nak berkembang?

Apabila usia kereta dihadkan, pengeluar ada tempoh tertentu untuk mendapat untung dan suntikan modal yang kemudian dilaburkan untuk tujuan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan pembuatan kereta. Jangan dilihat aspek untung semata, tetapi lihat juga kepada kos pembiayaan pekerja automotif yang saban tahun sentiasa bertambah seiring populasi penduduk dan tuntutan permintaan pelanggan.

Kedua, pelupusan kereta lama adalah satu cara mengawal populasi kereta. Pernahkah kau bertanya, ke manakah kereta-kereta lama dalam negara ini ditongsampahkan? Apakah kau tak merasa senak perut melihat betapa banyak kereta bersidai di tepi-tepi jalan. Sudahlah pergi kerja mengadap banyak kereta, balik rumah pun banyak kereta juga. Sampai kena parkir tepi rumah jiran atau tak puas hati dengan jiran yang suka-suka hati letak kereta sebelah rumah. Apa dia ingat rumah ni abah dia punya? Marah kau dalam hati.

Jadi kenapa orang bantah lupus kereta?
Masyarakat kita masih mengganggap pemilikan kereta macam rumah. Kalau boleh mahu memilikinya untuk sepanjang hayat dan berhasrat pula mewarisinya kepada anak cucu.

Sedangkan di Barat, kereta itu sama saja macam barang elektrik atau perkakasan rumah yang perlu ditukar ganti apabila sampai tempoh tertentu. Bukan sekadar faktor keselamatan, tetapi sebagai cara meraikan teknologi dan pencapaian.

Di Barat, selain medium pengangkutan, membeli kereta adalah salah satu apresiasi teknologi. Sehinggakan ke tahap apabila sampai tempoh lupus kereta, diorang sendiri yang pandu kereta dan tinggalkan di depot pelupusan berserta kunci sekali.

Tetapi orang kita apabila sudah membeli kereta, masih berkira-kira berapa ringgit lagi aku boleh dapat kalau aku jual kereta walaupun keretanya sudah menjangkau belasan dan puluhan tahun.

Benarkah masyarakat kita tak ada kesedaran dan fikir duit semata?
Jawapannya, ya. Berapa kerat sangat orang mahu fikir pasal lambakan kereta yang melampau di Malaysia? Berapa ramai pula yang berfikir, peduli apa pasal 4-5 tahun akan datang, itu aku punya duit. Ikut suka akulah nak beli kereta. Ikut suka akulah nak lupus ke tidak. Aku beli penat-penat, tanggung hutang dekat 10 tahun, senang-senang hati kau suruh buang. Cilaka!

Tetapi, aku tak salah pun pemikiran sebegini. Inilah kita yang dilahirkan dalam satu sistem yang serba tempang.

Sistem apa yang tempang?
Jika ditanya semula, kenapa ramai orang bantah lupuskan kereta, jawapan aku adalah dari segi kepuasan pemilikan kereta dan tempoh pinjaman kenderaan.

Situasinya begini, kau peruntukkan sepertiga gaji dan sepertiga usia karier kau untuk memiliki sebuah kereta, dan tiba-tiba ada orang suruh kau lupuskan aset kau itu.

Contoh, t-shirt harga RM20 dan kot tempahan khas, RM1,000. Mana satu yang kau tak kisah untuk buang selepas dipakai setahun? Kenapa kau tak kisah sangat pun buang t-shirt RM20 tu? Kalau kawan atau sedara mintak pun kau ok saja bagi free.

Jawapannya, pemilikan kereta di negara ini tidak pernah mencapai tahap kepuasan. Rakyat kita mampu memiliki kereta bukanlah kerana mampu dalam erti kata sebenar, tetapi disebabkan terma pinjaman mudah yang membolehkan kita berhutang hingga 9 tahun.

Apakah selepas 9 tahun baru pemilik kereta rasa berbaloi? Tidak juga, kerana selepas hutang dilangsaikan, prestasi kereta turut merosot. Jadi, kerana geram dan mahu puaskan diri, biarlah aku pakai kereta tu sampai mampos.

Sekarang kau nampakkan kenapa banyak negara mengehadkan pinjaman kenderaan selama 5 tahun saja? Pada usia lima tahun, selepas kau melangsaikan hutang kereta, kereta kau masih pada tahap terbaik.

Jika mengambil kira baki 7 tahun lagi (jika syarat lupus 12 tahun) dan kepuasan memandu kereta tanpa hutang, ditambah pula prestasi kereta yang menurun berdasarkan usia, aku hampir pasti kau tidak kisah pun melupuskan kereta itu apabila genap usia 12 tahun.

Malah, dengan kewujudan beberapa insentif pembelian kereta baru, kau mungkin melupuskan kereta lebih awal kerana kau sudah pun mencapai tahap kepuasan memiliki kereta.

Peduli apa orang bantah? Kalau betul nak lupuskan kereta, buat sajalah.
Tidaklah semudah dicakap. Kita harus sedar di sebalik cadangan pelaksanaan itu, ada banyak kitaran ekonomi yang terbabit.

Antaranya, kedai-kedai potong dan alat ganti. Negara kita sudah lama menjadi tapak pelupusan kereta dari Jepun dan Eropah. Kedai-kedai ini tumbuh disebabkan permintaan daripada pemilik kereta lama yang ramai di Malaysia.

Ini termasuk kewujudan premis kereta terpakai dengan kelangsungan bisnes bergantung kepada jual beli kereta-kereta yang sudah berusia.

Begitu juga dengan kelompok pemilik kereta antik atau lama. Kewujudan kelompok seperti ini turut menjana ekonomi negara. Merekalah pelanggan setia kedai-kedai potong. Mereka jugalah yang dicari untuk memeriahkan sesuatu acara seperti pameran auto show, kenduri kahwin, atau majlis rasmi tertentu.

Jadi, jika dasar pelupusan kereta dilaksanakan, ia sedikit sebanyak  menjejaskan ekonomi sedia ada.

Kalau semua tak boleh, apa caranya?
Pertama, kurangkan harga kereta. Usaha Pakatan Rakyat (PR) melancarkan kempen kurangkan harga kereta adalah bagus. Kesannya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pun turut meletakkan cadangan sama dalam manifesto mereka.

Mengurangkan harga kereta semata-mata tidak memadai, tetapi mesti serentak dengan terma pinjaman bank yang singkat, iaitu dari 3 hingga 6 tahun.

Walaupun harga kereta murah, jumlah bayaran ansuran mungkin masih sama seperti sekarang. Tetapi sekurang-kurangnya, tempoh pinjaman kita sudah pun langsai selepas 6 tahun. Dan kau harus fikir situasi kau memiliki aset tanpa hutang selama 6 tahun lagi sebelum ia perlu dilupuskan.

Bandingkan situasi 3 tahun bawa kereta tanpa hutang (selepas 9 tahun berhutang!) dan situasi kau pandu kereta 6 tahun selepas 6 tahun berhutang. Mana lebih berbaloi?

Kereta lebih 12 tahun masih boleh dimiliki, tetapi tambahan cukai dikenakan. Cukai lebih tinggi jika kereta itu kereta kedua atau ketiga di bawah satu nama. Ansuran sudah habis, takkanlah tak nak bayar cukai langsung. Kereta kau tu sudahlah menyesakkan muka bumi.

Boleh juga mewajibkan ujian berkala di Puspakom. Biar nampak macam leceh sedikit. Bagi yang betul-betul minat saja menyimpan kereta lama. Kalau suam-suam tu, diorang sudah tentu menganggap beli kereta baru lebih berbaloi.

Skim pinjaman kereta boleh saja diubah. Jika sekarang bank dan ah long menjadi satu-satunya medium orang berhutang, apa kata pihak pengeluar kereta pula tawarkan skim pinjaman sendiri.

Ok, pihak bank akan mengamuk. Jadi, untuk menjaga kepentingan industri perbankan, pinjaman dari pengeluar kereta cuma terhad untuk 3 hingga 4 tahun saja. Selepas kereta dilupuskan dan pembeli memutuskan membeli kereta jenama sama, mungkin rebat harga atau insentif tertentu boleh diberikan.

Jangan lupa bangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap. Suruhlah Proton bangunkan satu kenderaan pikap ala Tuk Tuk seperti di Thailand dengan caj ke mana saja cuma di bawah RM5. Lagi murah lagi bagus.

Dulu, KL ada bas mini dengan saiz kompak yang memudahkan ia mencilok di tengah kesibukan ibu kota. Dan aku masih tak faham kenapa bas bersaiz gergasi yang dipilih. Bergerak dalam bandar saja kot. Kalau isunya keselamatan, buatlah penguatkuasaan.

Jadikan pengangkutan awam pada tahap kau keluar saja rumah, lambai tangan dan ada kereta datang. Macam yang selalu kau tengok dalam filem Hollywood.

Kedai potong dan kereta terpakai macam mana?
Buat permulaan memang kesan dasar pelupusan kereta cukup dirasai pihak di atas. Apabila ramai orang beli kereta baru, permintaan alat ganti kereta lama akan berkurangan. Orang juga lebih cenderung beli kereta baru.

Keuntungan akan merosot, tetapi kelompok pemilik kereta lama tetap ada. Mungkin kerajaan boleh fikir insentif tertentu buat pihak yang terbabit dalam industri ini. Misalnya, menawarkan geran eksport kereta terpakai ke negara dunia ketiga lain yang pemilikan kereta mereka masih di tahap rendah dan sederhana.

Tempoh siap sedia juga perlu diberikan supaya masing-masing bersedia dengan dasar yang bakal dilaksanakan. Bukannya hari ini cadang, bulan depan terus nak skrap kereta.

Kereta nasional macamana? Kalau kereta import sudah murah, siapa yang nak beli?
Apa susah. Kerajaan berilah insentif khas kepada pembeli kereta tempatan. Misalnya, diskaun 20 peratus di semua laluan tol dalam negara. Kalau di kompleks beli-belah, ada kotak parkir khas untuk kereta nasional yang dekat dengan pintu masuk atau sama aras dengan panggung wayang.

Parkir khas juga disediakan di bangunan kerajaan, sekolah atau premis-premis perniagaan lain. Tapi kena betul-betul buatlah. Kalau jadi, kau akan dapat lihat satu pemandangan unik dengan deretan kereta nasional dalam satu ruang letak kenderaan. Sekarang bolehlah gebang dan eksyen kat orang luar pasal patriotisme dan keistimewaan beli kereta nasional di Malaysia.

Boleh juga bagi pelepasan cukai kereta, insurans rendah atau apa saja manfaat asalkan rakyat nampak berbaloi beli kereta nasional dalam situasi sekarang dengan reputasi kereta tempatan tak berapa nak bagus. Mungkin skim pinjaman daripada pengeluar kereta boleh dikhaskan kepada Proton atau Perodua saja.

Banyak benda boleh dibuat. Mahu tak mahu saja.

Dunia bukan utopia

Tuesday, July 02, 2013 · Posted in , , , ,


Konflik Syria dan kemelut Sunni-Syiah yang kecoh kebelakangan ini membuatkan rating entri aku mengenai dua mazhab bersengketa itu (SINI) naik mendadak selaku entri paling popular. Padahal isu tersebut aku tulis dua tahun lalu (Januari 2011).

Apa yang aku ulas dalam entri tersebut adalah di luar pandangan konflik mazhab dan lebih kepada sejarah sengketa politik Arab-Parsi yang cuba mendominasi pengaruh geopolitik di Timur Tengah. Sengketa tersebut bukan hanya bermula ketika negara Arab dipecahkan atau ketika era Revolusi Islam Iran 1979, tetapi sudah tercetus sejak tertubuhnya kerajaan dinasti Islam pertama, Umayyah, termasuk ketika era kerajaan Islam moden seperti Uthmaniyyah yang mewakili Sunni dan Safawiyyah, mewakili Syiah.

Ini sama saja mengenai sengketa Malaysia-Indonesia-Singapura di Asia Tenggara yang masing-masing mewarisi kesan konflik sejarah lama. Indonesia mewarisi sejarah kerajaan Jawa, Majapahit, manakala Malaysia berbangga dengan era kerajaan Melayu, Srivijaya dan Kesultanan Melaka. Konflik Singapura pula tercetus sejak berpisahnya republik itu daripada Malaysia pada 1965. Perasaan wasangka dan sentimen aku brader kau loser sentiasa ada.

Ya, kalau kita rajin sedikit mengkaji, kita pasti menemui betapa konflik dunia hari ini adalah berpunca daripada kesan sejarah lama seperti sengketa Thailand-Myanmar, India-Pakistan, England-Argentina, Portugal-Perancis dan lain-lain.

Agama dan bangsa cuma alas yang digunakan sebagai punca sengketa, walhal rejim adalah rejim tanpa mengira bangsa dan agama anutannya. Sama saja isu sesetengah Melayu yang melihat Cina sebagai musuh talam dua muka yang perlu dihapuskan, dan begitu juga Cina yang melihat Melayu sebagai bangsa korup yang perlu digulingkan. Dan realitinya, pihak penindas sedang bersalam erat sesama mereka tanpa mengira bangsa dan agama atas nama kuasa.

Ramai juga tidak sedar betapa sejak manusia menghuni bumi, tiada satu zaman pun yang merekodkan mana-mana kerajaan atau negara yang dihuni oleh manusia yang cuma sebangsa dan seagama dan seideologi. Ya, Hitler pernah cuba melakukan perkara itu dulu, tetapi dia akhirnya mati di tangan sendiri.

Dunia bukan milik kita seorang dan kita berkongsi langit yang sama. Kita mungkin majoriti di negara sendiri, tetapi jangan lupa ada rakan sebangsa dan seagama kita menjadi minoriti di bumi asing. Perpecahan dan peperangan langsung tidak membantu mewujudkan dunia yang lebih aman.

Pasal bendera dan subliminal

Thursday, September 06, 2012 · Posted in , , , ,


Asalnya, bendera cuma kepingan fabrik yang digunakan sebagai simbol, medium isyarat atau dekorasi. Tapi sejak manusia pandai memindahkan simbolisme bendera menjadi makna tertentu selain hanya sekadar alat koordinasi di medan perang, kewujudan sesuatu bendera itu mula membentuk bahagian-bahagian tertentu dalam sejarah peradaban manusia.

Kini, fabrik dengan jalur dan logo berwarna tersebut senang saja menjadi medium mencetuskan permusuhan sesama manusia dan negara.

Isu bendera kali ini aku melihat lebih kepada counterculture yang resam kemunculannya membentuk trend atau nilai yang cuba menyimpang daripada norma masyarakat arus perdana.

Apabila kau faham pasal isu counterculture ni pula, kau akan sedar mengenai sebab kenapa sekelompok anak muda mengibarkan 'Sang Saka Malaya' pada malam merdeka tempoh hari-walaupun ia sebenarnya adalah bendera baru yang mengambil semangat 'Bendera Rakyat' ciptaan AMCJA-PUTERA (menurut makluman Fahmi Reza).

Aku tak nampak ia sebagai satu pengkhianatan, sebaliknya lebih kepada luahan etos, aspirasi dan impian sekelompok manusia mengenai masyarakat mereka hari ini. Ia mungkin juga protes atas kegagalan majoriti penduduk Malaya dulu yang memilih membentuk sebuah masyarakat integrasi dan bukan sebuah negara bangsa tanpa ras.

Walaupun 'Sang Saka Malaya' (atau sebenarnya Bendera Rakyat) kini tinggal menjadi sebahagian sejarah lampau tanah air, mengingati dan meraikannya bukanlah satu dosa. Ia samalah seperti memakai t-shirt matahari bersinar ketika Jepun menjadi kuasa imperialis dunia dulu, sedangkan bangsa itulah yang pernah menyembelih nenek moyang mereka. Tapi kenapa kini menjadi budaya hip anak muda? Kerana 'Asia untuk Asia' atau semangat 'Kamikaze' atau simbolik kuasa Barat dimalukan orang Asia? Trend counterculture itu tidak muncul tiba-tiba melainkan akibat pengaruh sosial masyarakat itu sendiri.

Dalam filem Gila-Gila Remaja (1986), si Roy dan rakan-rakanya tidak lekang dengan t-shirt Jepun, Great Britain dan USA. Aku tak tahu sama ada arwah pengarah, Hussein Abu Hassan mahu menyindir sikap anak mudah yang sentiasa dijajah, ataupun arwah mahu menghantar mesej subliminal tentang perihal hipokrit orang dewasa yang melihat anak muda sebagai sekelompok manusia yang senang terjajah menerusi imej harfiah mereka (t-shirt, jeans, rambut gondrong, kibar 'Sang Saka Malaya'?). Walhal orang dewasa itu sendiri yang terjajah dan ini dapat dilihat melalui perihal bapa Suzi (lakonan Hussein sendiri) yang begitu mudah diapi-apikan antagonis Farouk.

Kebetulan pula 'Dasar Pandang ke Timur' diumumkan Mahathir pada 1982 selepas pemimpin sebelumnya cenderung memandang ke Barat. Sama ada ia kepentingan politik ataupun tidak, kita sebenarnya tidak pernah berhenti melihat dan mengambil semangat daripada sejarah lampau kita, meski pahit.

'Sang Saka Malaya' adalah mesej subliminal anak muda kepada sang politikus mengenai negara mereka yang sakit dan 'plastik' serba serbi. Lain daripada itu, ia cuma cubaan mencetuskan trend counterculture yang belum tentu disambut anak muda teramai. Sekurang-kurangnya mereka berani mencuba.

Dan aku teringatkan P Ramlee dan M Zain.

"Labi, ini kepala bapak kau, ini pulak kepala bapak aku. Kalau kau anak jantan, kau pijaklah kepala bapak aku," kata Labu (M Zain) kepada Labi (P Ramlee).

Dan kepala bapak masing-masing dalam filem itu cuma dimaknakan dalam gumpalan kertas yang asalnya memang tak ada makna apa-apa pun. Tetapi memanaskan hati pelakunya dan mereka yang patriotik tiba-tiba, tetapi entah ke mana.

Paloh - filem patriotik terbaik

Sunday, September 02, 2012 · Posted in , ,

Orang Jepun pun keliru diorang berjuang untuk siapa

Antara sekian banyak filem genre sejarah buatan Malaysia, Paloh arahan Adman Salleh adalah yang terbaik dalam penilaian aku setakat ini. Mujurlah filem itu dirilis pada 2003. Kalau sekarang aku syak mungkin ia akan terperap dalam kabinet Finas dan dicincang sana sini.

Berbanding Bukit Kepong yang bersifat propaganda (tapi berjaya dari segi mengundang simpati), Leftenan Adnan yang terlalu lurus dan Embun yang feminisme, Paloh nyata berbeza.

Filem ini membawa aku membaca sejarah dari kaca mata pelakunya tanpa perlu mengajak aku bersetuju dengan sesiapa. Adman mengajar, ketika perang, apa yang ada dalam diri manusia adalah curiga dan syak wasangka, selain rasa percaya bahawa kebenaran itu milik kita. Sedangkan kita tidak sedar kita sebenarnya adalah mangsa siasah perang, dan kita terperangkap.

Macam kau baca novel Salina dan tak faham kenapa Salina sanggup jadi hamba dan pelacur kepada Abdul Fakar. Logik kau, Salina patut lari jauh ke Semenanjung dan mulakan hidup baru. Atau bunuh saja Abdul Fakar awal-awal. Tapi itulah kesan siasah perang dan melalui Salina, Pak Samad berjaya menyampaikan pengalaman perit zaman perang dilaluinya sebaik mungkin. Itupun kalau kau fahamlah.

Menerusi Paloh pula, kau akan sedar betapa keretakan hubungan kaum di Malaysia sebenarnya bukan bermula akibat insiden 13 Mei 1969, tetapi ketika fasa pendek penjajahan Jepun (awal 40-an).

Seperti dialog bapa Siew Lan, si ketua Komunis, ketika berunding dengan Ahmad (Namron) supaya tak kacau orang Melayu, "Kita tak bunuh Melayu, kita bunuh Melayu sebab Melayu masuk Jepun bunuh Cina. Masa British, lu ada dengar Cina kacau Melayu?"

Ya, ketika Jepun datang, orang Melayu sendiri berpecah kepada dua, antara puak yang mahu bekerjasama (macam zaman British) dan puak penentang radikal (info: Kesatuan Melayu Muda (KMM) asalnya meraikan kedatangan Jepun menentang British sebelum gerakan itu sendiri diharamkan.)

Malah sebelum Mat Sabu bangkitkan cerita pasal Mat Indera, Adman sudah terlebih dulu menulis tentang golongan radikal Melayu (bapa Fatimah) yang digambarkan sebagai nasionalis tulen yang enggan bekerjasama dengan mana-mana penjajah dan pada masa sama seorang warak serta kental jiwa Melayunya (bermain ghazal meski dalam seragam Komunis).

Kalau kau masih keliru mengenai kenapa orang Melayu masuk Komunis, tetapi malas baca buku, Paloh setidak-tidaknya mampu memberikan sedikit gambaran ringkas mengenai perkara itu.

Dalam History Channel pasal penjajahan Jepun ke atas Malaya, ada satu insiden orang Jepun serbu satu kampung dan asingkan Melayu dan Cina. Kemudian, orang Cina dibunuh beramai-ramai dan orang Melayu hanya duduk diam saja.

Ya, pada fikir orang Melayu, orang Cina dibawa British untuk bekerja dan  mereka bukan sebahagian penduduk Malaya. Lagipun, sebagai rakyat biasa, siapa yang tidak goyang bila tengok senapang dan pedang Samurai?

Sebaliknya, dalam fikir orang Cina, orang Melayu memang mahu mereka dibunuh. Ini diburukkan lagi dengan hakikat ada orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Kesannya dapat dilihat melalui pemberontakan Komunis selepas Jepun berundur dengan menyerang kepentingan British yang kebetulan pula dijaga orang Melayu.

Turut dikupas adalah perbezaan dan perpecahan yang juga berlaku dalam parti Komunis antara puak rasional dan puak yang cenderung berpaksi kepada parti Kuomintang China.

Apa yang menarik mengenai Paloh adalah beberapa dialog kontroversi yang aku jamin tak akan lepas jika filem itu dibikin selepas fasa tsunami PRU-12 (siapa kata kita makin terbuka?), misalnya dialog, "British, Jepun dan Komunis semua sama. Tapi, sekurang-kurangnya Komunis lawan untuk bebaskan kita." dan "Tak payahlah nak memuji sangat komunis tu."

Gambaran siasah perang terbaik oleh Adman dan lima bintang untuk Paloh!

Revolusi dan demonstrasi orang Melayu

Monday, May 07, 2012 · Posted in , , , , ,


Revolusi dan demonstrasi adalah dua kata berbeza yang kerap membuatkan kau keliru. Benar, sejarah mencatatkan demonstrasi (menerusi penentangan) adalah sebahagian daripada revolusi. Sekarang kau boleh sebutkan semua revolusi menerusi demonstrasi yang kau ingati seperti di Perancis, Amerika, Iran, Filipina dan Indonesia.

Tetapi, sejarah juga mencatatkan revolusi juga boleh berlaku tanpa demonstrasi. Dan sejarah juga menulis tentang betapa banyak demonstrasi yang tidak membawa revolusi apa-apa pun.

Dalam bahasa skema, revolusi ialah perubahan sosial atau budaya yang berlaku dalam skala masa pantas dan berkait rapat dengan kehidupan sesebuah masyarakat.

Aku tidak salahkan kau kalau kau sempitkan revolusi itu kepada revolusi politik semata-mata, sedangkan sejarah dunia ini juga ada revolusi sosial. Itupun kalau kau masih ingat tentang Revolusi Industri, tercetus di Britain sebelum merebak ke seluruh Eropah dan Amerika pada abad ke-18 dan 19.

Namun, sebelum revolusi itu berlaku (yang membuatkan kau dan aku sekarang lebih mencintai makhluk tidak bernyawa seperti duit dan kereta), Eropah terlebih dahulu melalui revolusi sosialnya menerusi zaman pencerahan, 'Enlightenment' seawal abad ke-16.

Pada zaman itu, lahir beratus-ratus cendekiawan Barat dalam pelbagai bidang. Falsafah. Agama. Fizik. Kejuruteraan. Astronomi. Sastera. Politik. Kimia, Perubatan. Undang-undang. Banyak lagi.

'Enlightenment' muncul atas sikap kuriositi orang Eropah untuk menentang dogma agama dan politik istana. Ia (kuriositi) meluap-luap disebabkan dasar agihan ekonomi tidak seimbang dan undang-undang barbarian yang menyebabkan kehidupan rakyat menjadi derita.

Ya, sekarang kau mesti ingat tentang kata DERITA. Inilah punca utama yang mendorong kepada kemunculan 'enlightenment' dan kemudian mencetuskan pelbagai revolusi di Eropah.

Derita melahirkan 'enlightenment' yang kemudian membiakkan revolusi, sama ada dalam politik atau sosial. Demonstrasi atau bukan.

Namun, dalam sejarah Melayu, kata revolusi tidak pernah ada, apatah lagi 'enlightenment', yang ada cuma pemberontakan dan penderhakaan. Apakah kerana aku dan kau tidak pernah mahukan pencerahan?

Kita yang rasis

Thursday, December 01, 2011 · Posted in , , ,


Tipulah kalau kau cakap kau tak rasis. Tidak perlu kau dengar ucapan persidangan UMNO, Pas, PKR ataupun DAP untuk mencari di manakah rasisnya politikus kita.

Bagi aku, politikus dan kita sebenarnya sama saja. Kong kali kong. Contoh mudah, bila kita dengar ada eksiden, jenayah, musibah atau apa-apa berita buruk, satu soalan yang wajib ditanya ialah: "Eh, yang mati tu Melayu ke Cina?"

Selagi kau tak boleh elak daripada bertanya soalan macam tu, sama ada secara terang ataupun terdetik dalam hati, selagi itulah kau tak boleh nak cakap kau jenis yang tak rasis langsung.

Terpulanglah kalau kau rasa perkara ini tak ada poin, kes berat atau tahap membimbangkan tapi OK, namun hakikatnya, soalan yang jelas rasis ini sudah menjadi psych dalam diri kau secara tanpa sedar.

Cuma satu saja berita buruk yang kita takkan tanya soalan rasis macam atas tu, iaitu berita tangkap khalwat. Dan inilah salah satu didikan mulia Metro. Ceh.

Tentang Tanah dan Manusia

Saturday, July 24, 2010 · Posted in

1. Sumpah aku ingat lagi. Dalam buku Alam dan Manusia, ada tiga perkara utama yang ditakrifkan sebagai keperluan hidup manusia. Makanan, tempat tinggal dan pakaian. Namun, modenisasi yang tidak terkawal sejak Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka memaksa manusia-manusia di Malaysia menambah dua lagi keperluan hidup mereka, duit dan kereta. Tapi ini bukan cerita tentang duit dan kereta, tetapi tentang harga rumah sewa.

2. Di Lembah Klang, harga sewa RM480 untuk sebuah apartment tingkat bawah adalah murah. Buktinya apabila aku cerita sama penduduk kota lain, mereka akan jawab, eh eh murahlah tu. Sepatutnya harga macam tu kau kena duduk tingkat 4 atau 5. Kalau nak murah lagi, kau cari rumah kat Rawang atau Batang Berjuntai. Persoalannya, siapakah yang menentukan harga pasaran rumah-rumah di Lembah Klang ini?

3. Ini realiti. Harga tanah KL mana sama harga tanah di Changloon sana, ujar Sameon, seorang tokoh jutawan hartanah (yang bangga memiliki 35 buah rumah sekitar KL dan bercadang menambah dua lagi tahun ini). Persoalannya, siapakah yang menentukan harga pasaran rumah-rumah di Lembah Klang ini? Siapakah yang menentukan harga tanah KL mana sama harga tanah di Changloon sana?

4. Realiti apapun yang dicakap, tanah adalah tanah. Apakah kualiti tanah di KL tidak sama dengan kualiti tanah di Changloon? Kalau kau pergi di Shah Alam Darul Student, sewa flat merpati di Seksyen 7 ada yang mencecah RM800. Apakah flat itu dibuat daripada emas? Apakah ada askar Gurkha mengawal keselamatan penghuni flat tersebut? Tidak, semua benda itu tidak ada pun di sana. Sebaliknya, flat itu dihuni 13 pelajar yang memutuskan meminimumkan duit poket untuk pergi berhibur dan membeli iPhone atau Blackberry.

5. Hukum kapitalis bersabda, harga tanah bergantung dengan nilai ekonomi sesebuah kawasan itu. Dalam bahasa mudah, jika tempat itu memiliki potensi ekonomi (boleh buat duit), maka naiklah harga tanah berkenaan. Persoalannya (berapa banyak persoalan daa), potensi ekonomi itu untuk siapa? Apakah untuk Budiarto, buruh binaan dari Indonesia, Jamal, jaga syarikat percetakan dari Pakistan atau Sulaiman, peon dari Mentakab?

6. Tempat tinggal (rumah/tanah), makanan dan pakaian adalah keperluan hidup. Kegagalan mengawal tiga keperluan utama manusia itu menyebabkan ketidakstabilan sosio ekonomi dan memarakkan protes dalam hati rakyat. Siapakah yang terkesan dengan protes-protes ini? Ya, mereka adalah manusia yang dikutuk tujuh keturunan hanya kerana mereka memilih untuk bekerja sebagai peniaga warung, si tukang kasut dan pengutip sampah di lorong-lorong kota. Ibu kota hanya layak untuk mereka yang berjaya di segi memakai kasut kilat dan berkot di tengah hari dan meletak Mercedes di bahu jalan.

7. Sampai sekarang aku tidak pernah percaya yang merampas tanah hanya orang Cina. Dan aku menipu juga kalau aku ini Melayu tanpa rasis. Hakikatnya, Melayu dipaksa menjadi teknokrat dan si kaya bodoh sejak sekolah, dipaksa membenci kaum lain dan bukan membenci penindas atau menjadi manusia mengasihani, dipaksa bekerja selesa dengan kerajaan untuk mengundi mereka ketika pilihan raya dan dipaksa lari meninggalkan tanah yang dilabelkan dengan kemiskinan. Kita semua dipaksa dan bukan terpaksa.

8. Jadi, Melayu tinggalan moyang-moyang dulu yang mahsyur dan bangga kerana menguasai dan mengerjakan tanah dan air dipaksa menukar kecintaan mereka kepada wang, memiliki 35 buah rumah untuk dijual kepada pelajar, memanipulasi pasaran dan menaikkan nilai tanah-tanah atas nama ekonomi. Ekonomi taik kucing!

9. Arab di Palestin mengamuk bukan kerana Zionis Yahudi mengutuk Tuhan Allah? Tetapi mereka mengamuk kerana tanah mereka dirampas dan hak mereka bertanah dinafikan. Ia sama saja dengan Islam di selatan Thai dan Islam di Mindanao. Dan bersedia sajalah, apabila segenap Semenanjung Emas ini diangkat menjadi tanah ekonomi, orang-orang pinggiran macam kau akan dihambat berumah di celah longkang.

10. Minta maaf kepada kawan-kawan yang kita sama-sama pernah merancang membeli banyak rumah untuk disewakan kepada manusia-manusia yang juga tidak ada pilihan seperti kita. Kerana, aku tidak pernah berhenti menyumpah diri sendiri dan orang lain setiap kali aku melihat seorang gila di lorong sampah yang cuma berbumbung bangunan tempat aku kerja.

Tetiba Nak Tulis Entri Pasal Tok Det

Friday, April 23, 2010 · Posted in

Saya harap Kerajaan akan nasihatkan nelayan kita supaya tidak menangkap Ikan Yu Paus ini.

Some people said that the price of cars in Malaysia is very high because the Government is protecting Proton. Actually the high price is due to the Government's attempt to discourage petrol guzzling big cars. Whether there is Proton or not Malaysians will pay a high price for their cars. Cheap cars will lead to even worse jams than now.
.
.

Serius, ada banyak benda yang aku tidak setuju dengan Tok Det. Tapi dua kenyataan di atas adalah antara sebab kenapa Tok Det berada dalam kelas tersendiri.

Berlatih Ilmu Batin Menjelang 8 Haribulan Oktober 2009

Thursday, October 08, 2009 · Posted in

Hari ni 8 haribulan. Memang cemas juga sikit. Tambah-tambah bila baca helikopter Malaysia kena baling batu. Mungkin budak-budak nakal tu tengah praktis melontar besi peringkat sukan sekolah.

Ya. Sejak patah tangan aku punya nunchaku dah terkulai kat kotak di ruang tamu. Rantai pun dah berkarat. Dulu ada juga sapu minyak sambil perasap kemenyan. Lepas tangan masuk besi aku dah lupa dengan cota berantai yang Dragon Long hadiah kat aku masa kalahkan Tuan Tulang tahun 1994 dulu.

Sambil sarung kepala dengan topi salji merah yang Why beli kat Medan, aku genggam kemas batang nunchaku. Satu di tangan dan satu lagi dikepit celah ketiak. Langkah pertama, buat gaya Patukan Ular Puaka, iaitu baling dan kembalikan semula kayu ke celah ketiak. Hmm.. mantap lagi prestasi aku. Langkah kedua, gaya Naga Mengamuk di Angkasa Raya, iaitu libas kayu ke belakang dan sambut dengan tangan di belakang juga.

Brappppp!!

Aku baling nunchaku. Aku buka pc. Aku dengar lagu Dewa, Dua Sejoli.
.
.
.
(Perasap kemenyan sekadar fiksi)

Jawapan Kepada Persoalan Nombor Satu (sebuah sesi perbincangan ilmiah sempena bulan merdeka)

Monday, September 07, 2009 · Posted in

Kenapa kita tidak bersatu?

1. Mukadimah, Malaysia adalah negara demokrasi di mana pilihan raya diperlukan sebagai syarat utama kalau kau nak perintah negara. Pilihan raya ni pula terbuka kepada semua individu yang mempunyai kerakyatan Malaysia di mana peluang memerintah negara adalah bergantung kepada mereka yang dapat majoriti rakyat.

Jadi, untuk capai matlamat tersebut, individu-individu ni biasanya menubuhkan parti yang mempunyai struktur organisasi tertentu bagi menunjukkan keupayaan mereka mentadbir negara.

2. Di sini sepatutnya penubuhan parti-parti politik di Malaysia diraikan dengan sihat kerana masing-masing mempunyai gagasan, cara kerja dan ideologi berbeza. Dan sepatutnya tidak timbul isu pengkhianatan kerana kita cuma berbeza ideologi politik tetapi dalam hal-hal kenegaraan, ia sepatutnya dikongsi dan didokong bersama. Masalahnya sekarang, parti-parti politik di Malaysia berpolitik seperti zaman menuntut kemerdekaan. Siapa mau rampas siapa? Siapa mau tindas siapa? Siapa mau khianat siapa?

Membandingkan kematangan politik Malaysia dengan Indonesia atau Thailand, kita sebenarnya jauh tidak matang kerana selepas lebih 50 tahun merdeka masih lagi memperdebatkan isu-isu perkauman untuk tarik undi.

3. Menyentuh soal perpaduan, pada pendapat aku, kita sebenarnya sudah lama bersatu. Kita tak bersatu cuma di segi politik saja. Tapi apabila kita meletakkan perpaduan kita dalam kepompong politik, kita selalu jadi manusia penuh emosi dan mula dipengaruhi sentimen.

4. Contohnya, bagi golongan pertengahan yang mewakili kelompok terbanyak di Malaysia, apabila harga barang naik, kita sudah pun berkongsi kesusahan yang sama. Dan kesusahan itu merentasi kaum. Tapi bila kita bercakap dalam kepompong politik, kita tiba-tiba dipengaruhi sentimen dan emosi perkauman sehingga kita lupa kesusahan hidup yang menyatukan kita.

Kenapa rakyat di Tanah Melayu dulu boleh berpakat menuntut kemerdekaan daripada British? Ya, sebab kesusahan hidup yang dilalui datuk nenek kita.

Tapi malangnya kesusahan yang kita lalui sekarang telah kita pisahkan kepada warna kulit, ruas dan agama. Dan kita terus jadi tak ketahuan sampai nak bermandi darah apa cerita?

5. Ada yang lantang memekik, British yang sebabkan kita tidak bersatu! Ini angkara kaum lain yang mahu lihat kita berpecah supaya tanah Merdeka ini dapat dirampas!

Padahal isu asalnya ialah desakan hidup (duit). Susah nak bayar bil. Susah nak buat loan. Miss soru. Dan bla bla bla.

6. Apakah kalau Malaysia tidak dijajah dan tiada kaum lain di sini akan menjamin kita bersatu. Belum tentu juga. Mungkin masa tu akan jadi pergaduhan etnik sesama rumpun (Austronesia). Dan kita akan mula pertikaikan status quo etnik masing-masing.

7. Aku ambil contoh terdekat, rumah puaka. Masa tu mungkin aku sekarang dah rasis dengan Why sebab dia orang Bugis (lanun dari Sulawesi), Binbin dan Ayi pula Jawa (pendatang dari Kepulauan Jawa). Jarul pula Aceh (pendatang juga. Kedah pernah berperang dengan Aceh).

Cuma aku saja Melayu tulen. Berasal dari kerajaan Kedah Tua yang sememangnya penduduk asal di Tanah Melayu yang mempunyai darah Patani bawah naungan kerajaan Siam Islam yang kental melawan kerajaan Thai Buddha sebelum tewas dan dipisahkan British dalam Perjanjian Anglo-Siam 1909.

Itu belum masuk lagi yang ada darah India. Cina. Eropah. Serani dan sentimen negeri (Kelantan, Borneo, Orang Utara, Pantai Timur)

8. Sudahnya sampai ke mana kita? Itulah padahnya kalau kita asyik fikirkan perbezaan dan kita masing-masing tidak mahu berubah kepada satu bentuk perpaduan baru dan terus biarkan diri dalam persepsi. Sampai bila? 50 tahun lagi? 100 tahun lagi?

9. Kita juga tidak bersatu sebab kerajaan tak sungguh-sungguh untuk laksana langkah drastik agar rakyat Malaysia bersatu. Ambillah apapun. Sukan, bahasa, pendidikan, ekonomi. Semuanya separuh masak. Setakat datang rumah terbuka dengan muka manis macam kurma, nyanyi lagu Faizal Tahir, tayang iklan pegang tangan dan orang tua kesal dengan anak muda sekarang yang rasis, apakah cukup untuk kita berbangga dengan perpaduan di Malaysia?

10. Sebagai generasi muda selepas merdeka, aku rasa sudah tiba masanya kita tidak mewarisi apa saja pemikiran ortodoks dan perangai buruk pemimpin yang meraban dan mengamuk tak tentu pasal.

Anggap sajalah apa yang berlaku macam perang psiko bola sepak. Wenger kutuk Ferguson. Ferguson kutuk balik. Nak tackle lawan mesti dalam official game. Tackle kasar kena kad merah. Geng sana ada beli player sini, geng sini pun ada beli player sana. Lawan mesti ada taktikal. Ikut suka nak guna pragmatik atau art of foolbal method. Tapi janganlah sampai beli referee.

Kita ni peminat. Terpulang nak sokong siapa. Kalau aku menang, kau yang kalah mesti kena kutuk. Tapi rilekslah. Nanti aku kalah, giliran kau pula kutuk aku.

Sekali sekala tu mesti ada aksi ekstrem macam kes bakar trak polis di Kelantan. Biasalah. Masing-masing pasukan ada hooligan. Tapi takkanlah sampai aku kena benci kawan aku, Bain atau Awi sebab diorang asal Kelantan.

Rileks-rileks sudah. Yang penting habis game lepak kedai kopi, mai secawennnn... :P

Soalan Pengajian Malaysia untuk Dijawab

Thursday, September 03, 2009 · Posted in

Ketika entri ini ditulis lagu 'Malaysia Satu' ciptaan Audi Mok, lirik Nur Fatimah, nyanyian Faizal Tahir diumumkan juara Pertandingan Lagu 1Malaysia.

Tetapi persoalannya, apakah dengan mencipta lagu dan menyiarkan iklan Melayu, Cina dan India berpimpin tangan menuju sebuah bangunan kerajaan di Putrajaya mampu menyatukan kita?

Bagi aku, sudah tentulah tidak. Tambah-tambah lagi dengan pelbagai krisis etnik, agama dan politik yang kelam kabut sekarang.

Ok. Sempena bulan merdeka ni, aku bagi dua soalan pengajian Malaysia iaitu:

1. Kenapa kita tidak bersatu?
2. Apakah yang menyatukan kita?

Boleh bagi apa saja alasan pun. Jawapan terbaik akan dapat tiket melancong ke sempadan Afghanistan berjumpa ketua baru Taliban, Hakimullah Mehsud.

*Untuk pembaca, dialu-alukan tulis komen guna nama, elakkan guna anony. Gunalah nama seperti Majid misalnya ataupun Harimau Kumbang Shinjuku. :)

Malapetaka Bola Sepak Malaysia (Bekas Gergasi Asia)

Thursday, June 25, 2009 · Posted in

Bola sepak Malaysia memang teruk tahap celaka. Ok, minta maaf terlebih dulu dengan mukadimah hamun tadi.

Kenapa FAM celaka? Buktinya FAM buat idea gila lagi. Nak tukar format profesional ke semi pro. Lebih malapetaka FAM bercadang mahu hadkan penyertaan pasukan dalam liga sebagai satu cara mengatasi masalah kewangan. Dan bagi menguatkan lagi idea 'super' tersebut, FAM merujuk kepada liga Myanmar (atau Burma) yang hanya menampilkan lapan pasukan tetapi tetap mampu menghasilkan pasukan kebangsaan yang beraksi 'power' di peringkat antarabangsa walaupun baru dua bulan diperkenalkan.

FAM,
Liga bola sepak domestik yang bagus ialah liga yang kompetitif, yang bertanding banyak pasukan dan banyak perlawanan. Kalau kau seorang samurai, level jaguh kau diukur dengan berapa banyak kepala musuh sudah kau pancung dan berapa ramai lawan sudah kau jumpa. Hero samurai Jepun, Miyamoto Musashi tak akan jadi legenda kalau setakat lawan pedang dengan lapan orang musuh, dia perlu lawan seribu musuh satu musim (contoh).

Jadi, secara kasar dan di atas kertas, liga yang kompetitif (yang banyak pasukan dan perlawanan dalam liga) sepatutnya menghasilkan pasukan kebangsaan yang bagus juga. Kita tak perlu terbang ke Eropah untuk membuat rujukan, cukup sekadar teropong ke liga-liga gergasi Asia Tenggara seperti Singapura (12 pasukan-S-League), Thailand (16 pasukan-Thai Premier League) dan Indonesia (18 pasukan-Indonesia Super League).

Sepatutnya tiga negara tersebut yang dijadikan penanda aras bola sepak Malaysia, bukan Myanmar. Jadi, untuk menjawab persoalan kenapa pasukan bola sepak Myanmar semakin maju berbanding kita adalah kerana tahap liga bola sepak kita yang mundur dan primitif.

Aku bukan suka hati cakap bola sepak Malaysia mundur dan primitif. Ok, untuk mengukuhkan kecaman aku terhadap kemunduran dan keprimitifan bola sepak Malaysia adalah dengan membandingkan laman web liga Malaysia (laman web liga, bukan persatuan bola sepak) dengan tiga negara Asia Tenggara tersebut.

Singapura - S League
Thailand - Thai Premier League
Indonesia - Indonesia Super League
Malaysia - Liga Malaysia (tiada)

Inilah segala kubra punya masalah yang dihadapi FAM. Cemas tak tak tentu pasal. Tapi buat laman web liga pun tak lepas lagi. Aku rasa FAM baik pergi kursus buat laman web dulu. Nanti bila dah lulus hubungi aku dan aku akan terangkan pula cara mengatasi masalah kewangan UPB-MyTeam.

Hari Ni Boleh Jadi Hari Anti-Kolonial Malaysia Kot

Saturday, February 14, 2009 · Posted in

14 Feb. Apakah kau mahu aku ucapkan selamat hepi valentine? Salah..

Hari ini patut aku ingatkan kau tentang tarikh syahidnya seorang patriot kita. Leftenan Adnan bin Saidi semasa bertempur di Bukit Candu, Singapura. 14 Februari 1942.

Hebatnya arwah Adnan ni sampai Jeneral Tomoyuki Yamashita (Harimau Malaya) cakap, kalau ada 10 orang Adnan dalam tentera British di Malaya masa tu, Jepun kena hantar 10 divisyen untuk tawan Malaya. Arwah memang sentiasa jadi hero perang aku masa kecik lagi sejak aku tau dan mula baca cerita dia yang ditulis Talib Samat.

Kalau aku jadi PM, aku isytihar 14 haribulan Hari Anti-Kolonial Malaysia. Tivi wajib tayang filem perang, dokumentari perang, lagu perang, kartun perang dan etc etc. Selain tu, baju-baju celoreng digalakkan dipakai masa hari tu, tapi senjata api diharamkan. Pameran tentera ala Jom Heboh turut dibuka di seluruh negara dan orang ramai yang datang boleh belajar pegang senjata api dan tembak ke lapang sasar. Selain tu, game dan pertandingan simulasi perang disediakan kepada peminat-peminat game seperti Call of Duty, Hitman, Age of Empires, Sim City misalnya [game last tu saja aku letak untuk menunjukkan aku seorang gamer]. Pemenang pertandingan game ni akan diberi surat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan. Seperti Ijazah Sarjana Muda Perang Kombat ataupun Ijazah Sarjana Muda Penembak Tepat misalnya.

Ni asal 14 haribulan, Sudahkah anda menghantar nada dering CINTA kepada si dia? Taip CINTA 1212 dan hantar ke..

Apa cerita?

Perlembagaan Rumah Kami

Friday, February 13, 2009 · Posted in

Dunia sekarang memang penuh dengan tak ketahuan. Busuk hati. Busuk perangai. Busuk segala-galanya. Puncanya ialah kita sekarang dah tak peduli dengan rukun. Tak kisahlah rukun apa-apa pun. Sebab, kepatuhan pada rukun itu akan membentuk satu kerukunan. Kerukunan dalam pemenuhan hidup.

Ramai yang hafal rukun-rukun ni. Tak kisahlah rukun apa-apa pun. Rukun Negara. Rukun Kahwin. Rukun Islam. Rukun Iman. Rukun Tetangga. Rukun etc. Tapi semuanya dihafal secara harfiah saja. Atau dicetak di belakang kulit buku misalnya. Kemudian disimpan. Tak pernah dipedulikan pun.

Tak payah pening kepala fikir sebab apa kita bergaduh sana bergaduh sini. Risau sana risau sini. Dengki sana dengki sini. Huru sana hara sini. Puncanya mudah. Sebab kita tak pernah peduli pun pasal rukun-rukun ni.

Oh, kat atas tu rukun/manifesto pemilik rumah sebelum kami. Itu satu-satunya poster Rumah Puaka yang tak pernah digugurkan. Melihat poster yang diconteng tu baru aku faham. Kadang-kadang kita bukan suka sangat rukun-rukun ni. Dan kita protes. Manusia..


p/s: Gambar atas tu kitar semula. Tak ada idea sebenarnya. Hihihi.

ucapan sadis yang bisaku terima

Sunday, October 26, 2008 · Posted in ,

UCAPAN SADIS YANG BISAKU TERIMA

"Cuti ni tak pegi Batu Caves ke?"

Biasalah. Itu semua dialog tipikal di kalangan etnik Melayu Malaysia. Kalau yang sadis sikit, setiap kali lalu sebelah kuil atau tokong maka keluarlah dialog ni,

"Beb, kau tak semayang lagi kan? Hah, apa lagi.."

Kalau masuk hari Thaipusam.

"Kau tak pegi pecah kelapa ke hari ni?"

Kalau masuk hari Krismas.

"Kau pegi church mana hari ni?"

Agak sadis lawak macam tu kan? Iman memang bengkok. Haha! Ya, itu semua dialog tipikal di kalangan etnik Melayu Malaysia. Tapi aku tak tahulah pula kalau orang Cina atau India pun buat lawak macam tu jugak. Contohnya setiap kali tiba Aidilfitri, "Lingam, kau raya masjid mana hari ni?"

Kalau dialog-dialog lawak ni diterjemahkan secara harfiah memang ada unsur perkauman dan boleh dikategorikan sebagai menghina agama.

Kalau diterjemahkan sebaliknya, semua itu menunjukkan betapa muhibahnya kita. Negara yang Tuhan takdirkan pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Kalau kita hidup dikelilingi ideologi rasis, maka rasislah kita.

Apa pun, Happy Deepavali! Orang Malaysia memang suka kalau dapat cuti! Haha!

kita pun ada cerita perang

Monday, October 20, 2008 · Posted in

KITA PUN ADA CERITA PERANG

Sejarah boleh disembunyikan. Boleh juga digembar-gembur. Diekploitasi atas nama nasionalisme kononnya. Mungkin juga atas nama individualistik dan sentimen sempit semata. Tapi persepsi manusia mengenainya mana boleh dipaksa-paksa.

Dari arkib Prof. Wikipedia:

She chose to join PKMM because she believed it was more dedicated to the
struggle for Malaya's independence; UMNO, in her view, was the puppet of the British

Kalau ada kanan mesti ada kiri. Kalau ada air mesti ada api. Kalau ada pena mesti ada senjata. Al-Fatihah buat Shamsiah Fakeh.

itu piala kita punya, kita punya itu piala

Sunday, August 24, 2008 · Posted in ,

ITU PIALA KITA PUNYA, KITA PUNYA ITU PIALA

Gol pertama, Selangor sumbat dulu. Terus jantung aku sentap. Dup dup dup.
Tak sampai 15 minit Kedah sumbat 1. Kemudian 2. Dan 3.
Tiga gol dalam masa tak sampai 10 minit.

Seronok punya pasal sampai brader kat sebelah peluk aku.
Tak pe tak pe. Bola punya pasal tak de hal.
.
.
.
Untuk aku --> tahniah sebab pertama kali tengok final Piala Malaysia di Stadium.
Untuk Kedah --> tahniah kekalkan treble!
Untuk Marlon, Hugging dan Nelson --> sayonara. We'll miss you always!
Untuk Selangor --> boleh cuba lagi.
Untuk FAM --> majulah sukan untuk negara.

Powered by Blogger.