-->
Memaparkan catatan dengan label TIPS DAN PETUA DAPUR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TIPS DAN PETUA DAPUR. Papar semua catatan
Assalamualaikum,

Telur adalah menu murah pilihan penduduk dunia yang kaya dengan protein dan boleh dipelbagaikan dalam hidangan. Di Malaysia khususnya hidangan berasaskan telur begitu sinonim dengan masyarakat tempatan, malah telur rebus juga dihias cantik untuk dijadikan sebagai buah tangan kepada tetamu yang hadir di majlis kenduri- kendara.  Bagi masyarakat di negeri Johor pula, kemahiran menghasilkan telur pindang dengan meracik berbagai jenis daun-daun herba telah menjadi  tradisi zaman berzaman.

Walaupun menu berasaskan telur kelihatan mudah disediakan, tetapi kadang-kadang serba tak kena apabila ia tidak menjadi seperti yang diharapkan. Berikut adalah 4 tips hasilkan menu telur terbaik yang boleh dijadikan panduan.

1. TELUR REBUS
Jika ingin menghasilkan telur agar masak sempurna ataupun telur separuh masak, pastikan anda tahu tempoh yang sesuai untuk merebus.

Tahap kematangan telur dan tempoh memasak juga  bergantung kepada volume air, suhu telur sebelum direbus serta ukuran telur. Tutup api dapur sebaik sahaja air rebusan mendidih dan biarkan proses kematangan telur berlaku didalam air tersebut. Tingkat kematangan telur selepas itu adalah seperti berikut :

2 minit setelah air mendidih : Putih telur tidak masak sepenuhnya dan kuning telur masih mentah.

4 minit setelah air mendidih  : Putih telur sudah masak manakala kuning telur padat di bahagian luar namun masih berair di dalam.

6 minit setelah air mendidih: Bahagian putih dan kuning telur hampir masak sepenuhnya, tetapi agak lembik sedikit di bahagian tengah.

8 minit setelah air mendidihputih telur dan kuning telur telah masak tetapi masih lagi lembut.

10 hingga 15 minit setelah air mendidih : Bahagian putih dan kuning telur masak sepenuhnya.

Selain daripada rebus telur menggunakan air, telur juga boleh direbus dengan melapik dua helai tisu kedalam periuk nasi. Renjiskan air pada tisu, tutup periuk dan tekan butang on.Tunggu hingga naik butang Keep Warm bolehlah tutup plug dan telur telah siap dimasak.

2. TELUR DADAR
Jika di Itali terkenal dengan telur dadarnya yang dinamakan Fritata dan di Indonesia dengan telur dadar Padang, masyarakat di Malaysia sendiri ternyata lebih menggemari telur dadar ala restoran Thai yang rasanya  lazat serta rangup diluar.  

Cara membuatnya pun tidaklah begitu sukar dan kita hanya perlukan 3 jenis bahan iaitu, 3 biji telur, ½ sudu besar sos ikan dan 1 cawan minyak untuk menggoreng .Mula-mula tuang minyak kedalam kuali dan pastikan minyak benar-benar panas untuk dapatkan telur yang garing. Sementara menunggu minyak panas, pecahkan telur kedalam mangkuk dan masukkan  sos ikan, pukul hingga sebati. Tuang telur kedalam kuali dan kecilkan api dapur agar telur tidak cepat hangit. Setelah bahagian bawah telur bertukar keperangan dan agak garing, balikkan telur tersebut dan bila bahagian tersebut telah masak bolehlah diangkat. Resipi ini sangat ringkas tetapi  sedap dan rangup, sesuai digandingkan dengan nasi putih.

3. TELUR HANCUR
Telur hancur dan roti bakar adalah gandingan sarapan yang hebat dan cara terbaik menghasilkan telur hancur yang gebu adalah dengan menggunakan 6 biji telur. Pecahkan telur kedalam mangkuk, masukkan secubit garam dan pukul dengan menggunakan garfu hingga sebati. Panaskan kuali dengan api yang kecil, masukkan ½ sudu besar mentega. Tuang telur kedalam kuali dan tunggu hingga telur kelihatan agak kental, tolak dari tepi kuali menggunakan spatula ke bahagian tengah kuali. Lakukan berulang-ulangkali sehinggalah semua bahagian masak dan inilah kunci untuk dapatkan telur hancur yang gebu, lembut dan tidak nipis. Seterusnya balik-balikkan telur hancur tersebut dan tabur sedikit lada sulah serta bolehlah di hidangkan. Pastikan telur tidak terlebih atau terkurang masak.

4. POACHED EGG
Poached eggs bukan hanya terkenal di Barat, tetapi di Malaysia juga ada resipi yang dimasak menggunakan cara ini sejak zaman berzaman dahulu iaitu masak lemak telur itik. Ada dua cara memasak iaitu yang pertama setelah kuah masak lemak mendidih, kecilkan api dapur, pecahkan telur itik serta lepaskan perlahan-lahan kedalam periuk berisi kuah tersebut. Jangan dikacau dengan senduk, jika tidak telur akan pecah. Hanya renihkan sehingga masak menggunakan api yang kecil. 

Cara yang kedua pula, masukkan air kedalam periuk dan campurkan dengan sedikit cuka makan, didihkan dengan api yang kuat. Setelah menggelegak, kecilkan api dan pecahkan telur itik satu persatu. Setelah telur itik masak, angkat dan barulah dimasukkan kedalam kuah masak lemak. Jika dibarat pula, poached eggs dihidangkan ketika sarapan pagi bersama roti bakar. 

Ada 2 tip menghasilkan poached eggs iaitu yang pertama didihkan air didalam periuk, kecilkan api dapur. Buat putaran air dengan mengacau menggunakan sudu, pecahkan telur kedalam mangkuk kecil dan lepaskan telur perlahan-lahan kedalam periuk. Dengan cara ini telur akan terbentuk cantik. Setelah 3minit bolehlah diangkat. Yang kedua pula gunakan plastik (cling plastic), sapu minyak masak dipermukaan plastik tersebut dan sumbat kedalam mangkuk kecil. Pecahkan telur serta simpulkan plastik tersebut dan masukkan kedalam periuk berisi air panas. Selepas 3 minit, angkat dan buka simpulan plastik serta hidangkan.

Itulah 4 tips hasilkan menu telur terbaik dan semoga bermanafaat.

Assalamualaikum, 

Coleslaw adalah salah satu daripada pelengkap hidangan barat dan kalau dirumah ini anak-anak suka makan dengan roti bun kosong ataupun ayam goreng. Ada berbagai versi resipi coleslaw dan saya suka resipi dibawah ini kerana hasilnya memang menepati selera dan yang penting sekali ianya tidak berair. Resipi ini saya intai dari blog Che Mat dan resipi asal dari Chef Hussin.

Terima kasih untuk keduanya atas perkongsian dan izinkan saya panjangkan di laman blog ini pula untuk pembaca yang ingin mencubanya. Dan jangan lupa, baca juga 4 tips menjaga kesegaran coleslaw.
RESIPI COLESLAW DAN 4 TIPS MENJAGA KESEGARANNYA
Bahan-bahannya :
¼  biji kobis bulat – dihiris halus 
½  batang lobak merah - dicincang halus
½  biji bawang besar - dadu halus
2 sudu besar besar cuka makan
3 sudu  besar gula pasir
Garam secukup rasa
Mayonis  secukupnya

CARA MEMBUATNYA :

1. Kobis dihiris halus, cuci dan toskan. 

2. Seterusnya gaul rata kobis tersebut dengan gula dan cuka makan, perap 30 minit.Kemudian perah dan letak dalam bekas.

3. Satukan dengan bawang dan lobak merah tadi, gaul rata.

4. Tambah mayonis secukupnya dan perasakan dengan sedikit garam. Gaul rata dan simpan dalam peti sejuk. Hidangkan dingin.

Berikut pula adalah 4 tips menjaga kesegaran coleslow sebagai panduan.

4 TIPS MENJAGA KESEGARAN COLESLAW
1.   Bagi menjaga kesegaran coleslaw, buat dalam kuantiti  sebanyak yang anda rasa akan makan pada satu hidangan sahaja.

2.    Campuran coleslaw biasanya digabungkan dengan mayonis, jadi penting untuk menyejukkannya secepat mungkin selepas ianya digaul.

3.    Jika anda bercadang membawa coleslaw untuk berkelah ataupun barbeque, pastikan ianya diletakkan didalam bekas berisi pek ais. Coleslaw yang berada pada suhu bilik selama lebih dari dua jam, akan hilang kesegaran dan dikhuatiri memudaratkan kesihatan jika ianya masih dimakan.

4.    Keracunan makanan yang berkaitan dengan coleslaw biasanya dikaitkan dengan bakteria daripada kobis. Pastikan anda mencuci kobis yang telah diracik hingga bersih dan toskan sebelum digunakan.

5.    Untuk mengelakkan coleslaw daripada berair, selepas kobis  diperap dengan cuka dan gula selama 30minit, perah kobis tersebut sebelum digaul dengan lobak merah, bawang dan mayonis.


Assalamualaikum,

Masyarakat di Malaysia memang sinonim dengan makanan yang pedas dan membuka selera seperti sambal goreng kering. Sambal kering bukan sahaja dinikmati bersama nasi putih tetapi digandingkan juga dengan bubur nasi, roti dan enak diratah begitu sahaja. Walaupun bahan-bahan yang digunakan agak minimum tetapi rasanya tetap enak dan jika kena cara penyediaanya sambal jenis ini tahan lama serta boleh dibawa keluar negara ketika melancong ataupun menunaikan ibadah Haji di Mekah. Sambal kering jenis ini juga sesuai untuk dijadikan bekalan pelajar-pelajar yang tinggal diasrama yang merindukan masakan dari rumah.

Ada dua jenis sambal kering yang boleh dicuba iaitu seperti berikut :
Resipi 1
SAMBAL GORENG CILI KERING
Bahan-bahan:
100 gram cili kering
50gm ikan bilis
7 ulas cili merah – dimayang halus
½ sudu besar jus asam jawa
Garam dan gula secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara membuat :
1. Rebus cili kering hingga lembut, toskan dan tapis agar terpisah dari bijinya.
2.Tumbuk cili kering tersebut dan jika mesin, jangan gunakan air langsung, hanya masukkan minyak kedalam pengisar. Tekstur cili yang di tumbuk atau dimesin hendaklah kasar sedikit
3. Goreng ikan bilis hingga garing, angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan seketika.
4. Panaskan minyak didalam kuali, dengan menggunakan api kecil tumis bawang merah yang dimayang tadi dan kacau hingga garing. Masukkan pula cili kering yang ditumbuk bersama jus asam jawa dan masak lagi sambil dikacau tanpa henti hingga cili menjadi kering seperti tekstur serunding dan pecah minyak.
5. Setelah cili masak sepenuhnya masukkan ikan bilis goreng dan perasakan dengan garam dan gula.
   
Resipi 2
SAMBAL GORENG TEMPE DAN BILIS
Bahan A
100 gram kering ikan bilis - dikopek
200 gram kacang tanah
2 bungkus tempe – dipotong nipis
Garam dan gula secukup rasa
2 sudu besar gula pasir
4 sudu besar air asam jawa
2 sudu besar udang kering – dikisar halus
Bahan B  - (Kisar dengan sedikit minyak – tanpa air)
4 ulas bawang putih
8 ulas bawang merah
16 tangkai cili kering - direndam dalam air panas hingga lembut dan toskan

Cara membuat :

1. Panaskan kuali dan goreng tempe. Bila dah bewarna kuning dan garing angkat dan toskan. Kemudian goreng pula kacang tanah didalam minyak tersebut dan dikacau selalu agar tidak hangit. Angkat setelah garing. Goreng pula ikan bilis hingga garing dan toskan.
2. Tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak, masukkan air asam jawa serta garam, gula dan udang kering. Renih menggunakan api kecil dan pastikan sambal betul-betul masak dan kering.
3. Seterusnya masukkan kacang tanah, tempe dan ikan bilis dan kacau hingga sebati dengan sambal. Setelah sambal kering matikan api dapur.

6 TIPS UNTUK KEKALKAN KETAHANAN SAMBAL KERING
Walaupun betul-betul mengikut resipi yang diberikan kenapa sesetengah orang yang cuba membuatnya tidak menjadi dan sambal tidak tahan lama? Ada 6 tips untuk kekalkan ketahanan sambal kering yang akan saya kongsikan iaitu seperti berikut:

1.      Sebelum mula membuat sambal, sediakan bekas kedap udara yang sesuai untuk menyimpan sambal dan kelengkapan dapur yang akan digunakan untuk proses pembuatan sambal iaitu seperti blender, lesung batu, food processor dan pisau dapur dalam keadaan bersih kerana sisa makanan atau kotoran boleh menjadi tempat kuman membiak dan mengakibatkan sambal tidak tahan lama .

2.      Kisar bahan-bahan dengan menggunakan sedikit minyak masak sahaja, bukannya air. Boleh juga ditumbuk cili kering hingga lumat.

3.      Tumis bahan kisar hingga kering dan pecah minyak. Bahan tumisan yang tidak kering membuatkan sambal tidak tahan lama, mudah berkulat serta berubah rasa dan aroma.

4.      Guna ikan bilis yang berkualiti, begitu juga bawang dan juga cili kering.

5.      Setelah sambal benar-benar masak, matikan api dapur dan tunggu hingga sejuk barulah dimasukkan kedalam bekas kedap udara.

6.      Ketika mengambil sambal, gunalah sudu yang bersih. Jangan gunakan sudu basah ataupun yang telah digunakan untuk makan sambal kerana bakteria dari udara dan bahan makanan lain boleh mengakibatkan sambal tersebut berkulat.

Itulah dua resipi sambal kering dan 6 tips untuk membuatnya tahan lama. Semoga bermanafaat dan selamat mencuba.
Assalamualaikum, 

Perkongsian resipi  biskut nestum cinta hati dan 4 tips yang betul menyimpan biskut untuk dicuba. Jom tengok resipi yang saya sediakan dibawah ini :) 
BISKUT NESTUM CINTA HATI
Bahan A
260gm mentega
40gm shortening
100gm gula icing
2 sudu teh esen vanilla

Bahan B 
280gm tepung gandum 
40gm tepung jagung
100gm nestum - dikisar halus

Hiasan: Kuning Telur, Nestum dan  potongan ceri 

Cara membuatnya :

 1. Panaskan oven pada suhu 150C.

2. Pukul mentega, shortening, gula icing dan esen vanilla hingga berkrim. Masukkan bahan pula bahan B dan uli hingga menjadi doh.

3. Canai dan terap dengan acuan. Sapu dengan telur dan tabur nestum dan ceri diatasnya.

4. Susun di dalam dulang pembakar yang telah digris terlebih dahulu. Bakar pada suhu 150C selama 25 - 30 minit atau sehingga biskut masak.


5. Sejukkan dan bolehlah disimpan dalam bekas kedap udara.

Gambar Ehsan Google

4 TIPS MENYIMPAN BISKUT AGAR KEKAL RANGUP
1.DINGINKAN BISKUT TERLEBIH DAHULU
Ketika baru dikeluarkan dari oven, biasanya biskut agak lembik. Biarkan beberapa saat dalam udara terbuka hingga biskut dingin baru masukkan ke dalam bekas kedap udara. Jika disimpan ketika masih suam atau di campur dengan biskut lain di dalam satu bekas, biskut akan mudah rosak dan lemau.
2. PASTIKAN BEKAS UNTUK MENYIMPAN BISKUT BENAR-BENAR KERING
Pastikan bekas menyimpan biskut benar-benar kering agar biskut tetap rangup. Lap bekas tersebut dengan tuala dapur yang bersih dan angin-anginkan beberapa saat atau jemur di bawah terik matahari agar benar-benar kering. Jika bekas menyimpan lembab, biskut akan mudah berkulat.
3. GUNAKAN BALANG  YANG KEDAP UDARA
Pilihlah bekas menyimpan kedap udara atau balang dengan penutup yang dilengkapi dengan penutup khusus untuk biskut lebih tahan lama dan kekal ranggup.
4. MASUKKAN BUNGKUSAN KECIL GARAM DALAM BALANG KUIH
Selain memakai silica gel dalam bungkusan, kelembapan udara dalam balang juga boleh di kurangkan dengan garam. Bungkus 1-2 sudu teh garam dengan kain bersih lalu masukkan ke dalam balang dan susun biskut di dalamnya. 
Assalamualaikum, 

Bagi yang baru belajar , membuat kek adalah satu cabaran. Kesalahan kecil boleh menghasilkan kek yang bantat. Namun begitu jika dilakukan dengan cermat prosesnya tidaklah terlalu sulit, iaitu mulai dari menyukat bahan, menyediakan loyang, hinggalah menetapkan suhu di dalam oven.
Walaupun kelihatan remeh, 4 tips ini perlu di ikuti ketika proses menghasilkan kek.

1. Periksa bahan dan peralatan
Pastikan bahan yang digunakan masih elok dan belum sampai tarikh luput, masih segar dan tempat penyimpannya sesuai. Seperti telur tidak busuk, tepung tidak hapak dan mentega tidak berkulat atau baking powder masih aktif digunakan.
Untuk mentega, margerin, dan telur yang akan di gunakan, simpan di dalam suhu ruang. Peralatan yang digunakan juga harus bersih, kering dan bebas dari lemak.


2. Ikuti Resepi
Tidak seperti masakan lauk pauk, pembuatan kek harus sesuai mengikut sukatan dalam resepi. Timbang bahan dengan tepat, baca dan pelajari resepi sebelum mula membuat kek. Jika ingin menambah bahan lain yang tidak ada dalam resepi asal, sukatan resepi asal juga harus disesuaikan. Contohnya ingin menambah coklat urai pada resepi kek span, maka sukatan tepung yang digunakan juga mesti dikurangkan seberat coklat urai yang ditambah.


3. Cara memukul adunan
Jika menghasilkan kek dengan menggunakan mesin pemutar, setkan kecepatan rendah ketika memukul telur agar ia bercampur sekata dengan gula dan bahan lain. Kecepatan memutar adunan hendaklah disesuaikan dan ditambah bertahap hingga adunan mengembang.


4. Mencampurkan adunan
Masukkan bahan kering seperti tepung yang telah diayak ke dalam telur yang di pukul sedikit demi sedikit sambil di kacau rata. Kacau perlahan menggunakan spatula dari permukaan adunan sampai ke dasar mangkuk pengadun dengan gerakan memutar dan searah dan jangan lakukan terlalu laju atau lama agar adunan tidak turun atau kempis selepas dibakar.

Itulah 4 tips menghasilkan kek untuk yang baru belajar yang sempat saya kongsikan kali ini dan nantikan bahagian ke 2 pada entry berikutnya. 

Ini adalah perkongsian asas sahaja kerana ada follower saya terutama sekali yang baru belajar nak buat kek bertanya tentang tips yang boleh dikongsikan bersama dan semoga ini memberikan manafaat.